Anda di halaman 1dari 3

Contoh Karangan Kepentingan Menerapkan Semangat Cinta Akan Negara

Sejak negara kita menikmati arus kemerdekaan daripada penjajahan asing, pelbagai
kemajuan yang telah dikecapi. Siapa sangka, negara yang terdiri daripada berbilang kaum
mampu untuk mencapai kemerdekaan dan seterusnya melangkah maju ke hadapan
bersaing dengan negara membangun yang lain. Namun begitu, kita acapkali tersentak
dengan pelbagai permasalahan yang dicetuskan oleh masyarakat kita sendiri yang mempu
mengganggu gugat kemakmuran negara kita. Oleh itu, sebagai warganegara yang cinta
akan tanah air, kita seharusnya menyemai sifat patriotisme di dalam setiap peringkat umur
masyarakat agar kemerdekaan yang dicapai tidak disia-siakan. Saya yakin rakyat Malaysia
mengenali peribahasa rambut sama hitam tetapi hati masing-masing lain. Walaupun kita
berbeza dari pelbagai sudut, dengan sifat toleransi dan keterbukaan, kita mampu menjadi
negara yang bersatu padu dalam mencapai kemajuan sejagat. Mari kita bincangkan
kepentingan menerapkan semangat cinta akan negara kepada nusa bangsa.

Umum mengetahui, Malaysia mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada


bangsa Melayu, Cina, India, Orang Asli dan pelbagai lagi golongan bumiputera yang
berada di Sabah dan Sarawak. Pada tanggal 16 September 1963, Persekutuan Malaysia
telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman menjadi bukti penyatuan rakyat yang
berbilang bangsa, kaum dan agama ini. Justeru itu, dalam mengekalkan keharmonian dan
keamanan negara, semangat cinta akan negara mampu menjadi penyumbang perpaduan
antara masyarakat tempatan. Dengan iltizam dan semangat yang dikongsi bersama iaitu
memajukan negara dan memartabatkan masyarakat di persada anatarabangsa, ia dapat
melahirkan sebuah negara yang berwibawa. Persis kata mutiara, bersatu teguh, bercerai
roboh. Anggota masyarakat pada hari ini seharusnya bersikap inteligensia dan terbuka
dalam meraikan perbezaan serta mencari kesatuan dalam setiap situasi yang dihadapi oleh
kita. Janganlah kita bersikap seperti gajah berjuang sama gajah, palanduk mati di tengah-
tengah. Nescaya perjuangan yang memecah-belahkan perpaduan akan merugikan kita.

Di samping itu, semangat cinta akan negara juga dapat membentuk masyarakat yang
berdaya saing. Konsep ini kita dapat lihat di negara-negara maju seperti Jepun dan Korea
Selatan. Kita dapat lihat bahawa masyarakat di negara tersebut memartabatkan negara
mereka dengan mengetengahkan elemen lokal atau tempatan dengan jayanya. Sebagai
contoh penggunaan bahasa tempatan mereka dan pemerkasaan teknologi tempatan
diberikan tumpuan yang lebih berbanding elemen asing. Misalnya, jenama automotif negara
Jepun, Honda yang terkenal di seantero dunia dengan produk dan kemampuan mereka. Kita
sebenarnya sudahpun mempunyai jenama yang berjaya diperingkat antarabangsa seperti
Petronas tetapi kita perlu lebih banyak lagi jenama atau industri tempatan yang bersaing di
peringkat antarabangsa. Berbekalkan semangat cinta akan negara, mungkin pada satu hari
nanti jenama Proton akan menjadi salah satu jenama automotif yang terkenal di dunia. Ia
bergantung kepada kehendak dan kemampuan tenaga professional tempatan sama ada
untuk maju ke peringkat lebih tinggi atau kekal di takuk yang sama.

Pada sudut pandang yang lain, semangat cinta akan negara adalah penting bagi
mengekalkan tradisi dan budaya masyarakat tanah air kita. Dewasa ini, generasi muda kita
lebih terdedah dan terpengaruh dengan anasir dari negara luar sehingga melupakan tradisi
dan budaya yang kita miliki. Keunikan seni budaya tempatan semakin dilupakan dan
pengamalnya mencari-cari pengganti yang akan mewarisi budaya atau tradisi tempatan ini.
Jika tidak dijumpai maka, ia akan pupus dan hilang dek ditelan kealpaan masyarakat kita
menghargai dan memelihara keunikan nenek dan moyang kita yang terdahulu. Kemodenan
hari ini merupakan cabaran yang perlu kita tempuh tetapi ia tidak sepatutnya menjadi alasan
untuk kita melupakan tradisi dan budaya kita. Bak kata pepatah Melayu, hidup dikandung
adat, mati dikandung tanah. Mungkin generasi hari ini perlu menyelami budaya dan tradisi
yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu supaya muncul kembali perasaan atau
semangat cinta akan negara.
Semangat cinta akan negara juga penting supaya menjadi teladan kepada generasi akan
datang dalam mengekalkan kemakmuran dan keamanan negara. Terdapat segelintir
daripada masyarakat kita yang intelek dan menyambung pelajaran ke luar negara.
Seterusnya mereka menetap di sana dan menjadi tenaga kerja professional di sana. Hal ini
tidak menjadi isu yang besar tetapi alangkah baiknya jika kemampuan mereka dugunakan
untuk manfaat masyarakat tempatan. Situasi ini perlu diberi perhatian oleh golongan
pemimpin negara dan pembuat polisi dalam memastikan setiap ahli masyarakat kita
mempunyai peluang dalam kerjaya serta pendidikan. Dengan mengutamakan dua agenda
ini, negara kita pasti dapat menghasilkan tenaga kerja professional tempatan yang akan
melonjakkan ekonomi dan status negara kita. Namun disebabkan kurangnya peluang dan
lebih banyak manfaat yang ditawarkan di negara luar, maka ramai ahli masyarakat yang
berkhidmat di negara asing. Sebagai pengajaran kepada generasi muda, pihak berwwajib
harus mencari solusi terbaik dalam menerapkan semangat cinta akan negara kepada semua
rakyat di negara ini dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Konklusinya,  pelbagai kepentingan yang dapat kita bincangkan terhadap topik semangat
cinta akan negara. Perkara ini adalah mustahak dalam menjamin kebolehan sesebuah
negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.
Janganlah kita bersikap terlalu meraikan kehadiran pelabur atau pendatang asing tanpa
memastikan masyarakat di negara kita mendapat manfaat yang terbaik yang boleh diberikan
oleh negara kita sendiri. Persis kata peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan
batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri. Oleh yang demikian, setiap di antara kita
perlu memanifestasikan fikiran dalam mencari mekanisma terbaik untuk memajukan negara
di samping mengangkat elemen-elemen tempatan yang dimiliki oleh kita. Kekitaan yang kita
tunjukkan mampu menjadi ejen penyatuan masyarakat dunia yang kerap kali dicabar
dengan perang saudara atau kuasa di mana pengakhirannya hanyalah merugikan tamadun
manusia.

Anda mungkin juga menyukai