Anda di halaman 1dari 7

CONTOH KARANGAN BM SPM USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda

negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang. Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya. Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali. Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak. Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini. Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali. Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam. Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang. Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka. Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah

mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak. Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anakanak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak. Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali p un terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran. Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik. Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama

katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini. KELUARGA IMPIAN SAYA "Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia. Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti menatang minyak yang penuh . Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti kapal tanpa nakhoda. Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita? Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. Rumahku, syurgaku. Keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan. Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara. Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti Bukit Kepong, Paloh, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita. Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara

yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

FAKTOR JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang . Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu. Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asapasap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi. Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Anda mungkin juga menyukai