Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT TUAN ARUL KUMAR A/L JAMBUNATHAN,

PENGERUSI JAWATANKUASA BERTINDAK SUMBER MANUSIA,

PERLADANGAN DAN HAL EHWAL BUKAN ISLAM,

EXCO DAN ADUN NILAI

SEMPENA MAJLIS ISTIADAT GRADUASI SMK DATO’ MOHD TAHA


KALI KE-7 TAHUN 2019

TARIKH: 24 SEPTEMBER 2019 (SELASA)

MASA: 2.30 PETANG

TEMPAT: DEWAN BESTARI, SMK DATO’ MOHD TAHA

1
Selamat Pagi dan selamat sejahtera,

Beras kunyit saya taburi,


Air mawar direnjis wangi;
Berkembang kasih menabur budi,
Undangan tuan amat disanjungi.

Terlebih  Dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana pihak sekolah sudi
menjemput saya untuk merasmikan Istiadat Graduasi SMK Dato’ Mohd Taha kali Ke-7 tahun
2019. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah yang berjaya
mengadakan program ini sebagai satu program tahunan demi kepentingan para pelajar, khas
untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang
akademik, sahsiah dan kokurikulum.Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar
cemerlang sekolah ini.

Para hadirin dan pelajar sekalian,

Penganjuran majlis seumpama ini sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi


motivasi, perangsang dan ingatan agar  para pelajar dapat  meningkatkan kesediaan diri dari
aspek psikologi di samping kesediaan intelek untuk mencapai keputusan yang cemerlang.
Sesungguhnya, memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM
adalah sangat penting sebagai platform untuk meneruskan hasrat menuntut ilmu ke peringkat
yang lebih tinggi di universiti pada peringkat diploma dan ijazah. Kemudian, ke peringkat
sarjana dan doktor falsafah dalam bidang-bidang tertentu. Berkemungkinan juga pelajar akan
ditawarkan untuk menyambung pengajian di universiti ternama di luar negara dengan
penajaan kerajaan atau pihak swasta.

2
Para hadirin dan pelajar sekalian,

Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada
fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk
dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak
mulia. Oleh itu, sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia
untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman. Justeru
itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan
bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan
abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-
anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan
cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh
semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Ibu bapa
perlu menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi
juga di rumah. Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau
bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada
guru-guru dan pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan
di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah.

Para hadirin dan pelajar sekalian,

Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, para pendidik perlu melakukan


anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang
menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis . Oleh itu, para pendidik
perlu sedar orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian  berdasarkan
standard kualiti yang telah dijanjikan. Para pendidik jangan cepat berasa puas dengan
pencapaian  pada hari ini. Seorang pendidik mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti
perkhidmatan agar perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang
lain. Seperti yang kita semua sedia maklum, para pelajar merupakan tiang negara dan bakal
pemimpin negara kerana  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi pengasuhan,
bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat
penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan
pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu
diberi perhatian yang sama berat.

3
Para Hadirin dan pelajar sekalian,

Saya percaya Istiadat Graduasi pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi
dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai
kecemerlangan pada peringkat seterusnya. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang akan menerima anugerah dan sijil
nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak
berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini
tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak
bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang
dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita
sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka
ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Para hadirin dan pelajar sekalian,

Saya percaya para pelajar yang mendapat Anugerah Terbilang pada hari ini
merupakan mereka yang rajin berusaha dan konsisten dalam berusaha. Mereka yang
cemerlang ini biasanya rajin pada setiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan
semata-mata atau rajin mengikut musim. Saya percaya jika para pelajar dapat mencontohi
mereka, anda juga pasti akan sama seperti mereka pada akan datang.

Para Hadirin dan pelajar sekalian,

Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai
hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa
menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.Ingatlah,
kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-ansurkan. Semua pihak termasuk
ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu kepada pihak sekolah. Dalam hal ini,
semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha untuk
merealisasikannya. Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan
kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai.

4
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas
kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan Istiadat Graduasi tahun ini. Saya dengan
ini MERASMIKAN, Istiadat Graduasi SMK Dato’ Mohd Taha Kali Ke-7 bagi tahun
2019.

Sekian, Terima Kasih.

Anda mungkin juga menyukai