Anda di halaman 1dari 6

REFLEKSI Alhamdulillah, syukurlah ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya, saya berjaya menamatkan program khidmat masyarakat Bina

Insan Guru (BIG), kali kedua bagi tahun 2011. Program Bina Insan Guru pada semester ini telah dilaksanakan pada 23 Julai 2011 di Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Islam Pontian, Johor. Program ini bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Program Bina Insan Guru ini telah disertai oleh 18 orang guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka yang terdiri daripada guru pelatih PISMP Matematik Januari 2011. Melalui program Bina Insan Guru (BIG) ini, kami telah mendapat pelbagai pengalaman yang sangat berguna untuk diaplikasikan dalam profesion perguruan dan juga dalam kehidupan seharian. Sepanjang program khidmat masyarakat yang dijalankan di Rumah Anak Yatim Islam Pontian ini, pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk penghuni rumah anak yatim dan juga guru pelatih telah dijalankan. Antara aktiviti utama yang telah dijalankan di rumah anak yatim tersebut adalah aktiviti bergotong royong membersihkan kawasan rumah anak yatim tersebut. Aktiviti gotong royong tersebut melibatkan 18 orang guru pelatih dan 55 orang penghuni rumah anak yatim tersebut. Selain aktiviti gotong - royong, kami telah menjalankan sesi ice breaking bersama sama penghuni Rumah Anak Yatim tersebut selepas acara perasmian program khidmat masyarakat ini. Bukan itu sahaja, kami juga telah mengadakan permainan tradisional untuk semua penghuni rumah anak yatim. Di samping itu, kami juga telah mengadakan slot motivasi bersama semua penghuni rumah anak yatim tersebut. Saya yakin semua aktiviti yang dirancang mempunyai motif dan objektif yang tersendiri untuk guru pelatih aplikasikan apabila menjadi guru pada masa akan datang. Pada pendapat saya, semua aktiviti yang telah dilaksanakan sewaktu program ini sangat menarik dan mempunyai nilai murni yang dapat diaplikasikan dalam profesion perguruan. Setiap aktiviti dalam Program Khidmat Masyarakat yang telah di jalankan di Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Islam Pontian, Johor telah menyedarkan saya tentang tugas sebenar sebagai seorang guru. Untuk menjadi seorang guru kelas pertama, tanggungjawab yang perlu dipikul bukan hanya meliputi tugas pengajaran dalam kelas sahaja. Malah guru juga bertanggungjawab untuk mengambil berat

tentang masalah yang dihadapi oleh anak muridnya. Sepanjang Program ini saya dapat melihat kekuatan yang ada dalam diri saya iaitu sanggup bekerjasama antara satu sama lain membersih kawasan rumah anak yatim tersebut. Persiapan sebelum program berlansung juga dilakukan bersama-sama sehinggalah berakhirnya program itu. Sebagaimana yang kita sedia maklum, sikap kerjasama ini sangat penting dalam melakukan apa sahaja perkara. Amalan kerjasama ini perlu diterapkan terutamanya dalam profesion perguruan. Contohnya, apabila saya menjadi seorang guru kelak, saya perlu bekerjasama untuk menjalankan sesuatu program untuk murid murid di sekolah. Tanpa amalan kerjasama, sudah pasti sesuatu program itu tidak akan berjalan dengan lancar. Selain itu, saya sanggup membuang perasaan malu saya dengan berjumpa masyarakat setempat dan melakukan kerja pembersihan di sepanjang kawasan tersebut. Tiada kata pengeluhan atau kata tidak yang keluar dari mulut saya, tetapi apa yang ada hanyalah saya boleh, saya boleh melakukannya. Sewaktu program tersebut, setiap guru pelatih ditugaskan untuk menjadi fasilitator bagi kumpulan masing masing. Kami perlu melakukan semua aktiviti secara berkumpulan contohnya, aktiviti ice breaking , permainan tradisional, bergotong royong dan sebagainya. Melalui pembahagian kumpulan ini, kami dapat belajar pelbagai perkara. Sebenarnya, pembahagian kumpulan ini mempunyai motifnya yang tersendiri jika kita kaji. Pada pendapat saya, motif utama pembahagian kumpulan ini dapat memberi peluang kepada kami untuk berkenalan antara satu sama lain. Di samping itu, ianya bertujuan untuk mendedahkan guru pelatih bekerja secara berorganisasi dan memupuk semangat kerjasama dalam satu kumpulan. Pembahagian kumpulan ini bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan kerja sahaja tetapi bertujuan untuk membiasakan guru pelatih dengan keadaan sebenar profesion perguruan. Sebagaimana yang kita tahu, profesion perguruan mempunyai organisasinya yang tersendiri seperti guru besar, guru penolong kanan dan sebagainya. Melalui kerja dalam kumpulan, ia dapat memberi latihan awal kepada semua guru pelatih untuk bekerja secara berorganisasi dalam kumpulan yang mengandungi ketua dan ahli-ahli. Selain itu, profesion perguruan juga memerlukan interaksi antara satu sama lain. Keadaan ini jika dilihat dengan lebih terperinci adalah bertujuan untuk membiasakan guru pelatih dengan keadaan sebenar profession perguruan yang sebenarnya memerlukan seseorang guru itu berkomunikasi, bersosial dan bekerja dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai ragam dan perangai. Sewaktu program ini,
2

saya dapat melakukan aktiviti secara berkumpulan bersama sama penghuni rumah anak yatim. Semua aktiviti dilakukan secara berk umpulan contohnya pertandingan permainan tradisional. Antara permainan tradisional yang telah diadakan pada hari tersebut adalah belalang belatuk, galah panjang, dan juga belon keretapi. Di samping itu, sebagai seorang yang bakal bergelar guru, saya sedar bahawa kemahiran komunikasi merupakan sesuatu yang amat penting. Hal ini kerana komunikasi merupakan medium utama untuk mendidik pelajar-pelajar. Guru yang mempunyai kemahiran yang mantap dalam komunikasi akan disegani oleh murid murid. Melalui komunikasi berkesan, murid-murid akan dapat faham sesuatu ilmu yang ingin disampaikan oleh guru. Jika seorang guru itu tidak mempunyai kemahiran dalam berkomunikasi, maka amat sukar bagi pelajar untuk mendengar arahan yang disampaikan oleh guru mereka. Tambahan pula, seorang guru pastinya akan sentiasa berdiri dikhalayak ramai, hadapan para guru lain, murid -murid dan juga ibu bapa murid itu sendiri. Dalam proses mengajar dan memahami murid, guru hendaklah menggunakan kata-kata yang sesuai dan mudah difahami oleh mereka. Selain itu, guru juga perlu mengetahui tahap pemikiran anak-anak murid meraka agar ucapan yang disampaikan boleh diterima dan dapat aplikasikan kelak, serta menggunakan laras bahasa yang tepat. Melalui slot motivasi yang telah dijalankan terhadap penghuni rumah anak yatim tersebut, saya dapat mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi saya terutamanya dengan semua penghuni rumah anak yatim tersebut. Slot motivasi yang dijalankan amat membantu kami sebagai bakal guru terutamanya dalam mempertingkatkan keyakinan diri terutamanya ketika berkomunikasi di hadapan khalayak. Seorang guru perlu berani untuk menerima kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa dan pelajar. Jika perkara ini berlaku apabila saya menjadi seorang guru kelak, saya telah bersedia untuk menerima segala kritikan daripada pelbagai pihak dan berusaha untuk memperbaiki kelamahan diri saya. Saya sedar bahawa untuk menjadi seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah. Walaubagaimanapun saya perlu berusaha sedaya upaya saya untuk menjadi seorang guru yang baik dan faham mengenai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Selain itu, juga seorang guru perlu mempunyai kemahiran bersosial yang tinggi. Kemahiran sosial sangat penting bagi seorang insan yang bergelar guru. Hal ini kerana, melalui kemahiran sosial, guru dapat mengenali seseorang murid itu dengan lebih dekat dan memahami perasaan mereka. Jika seseorang guru itu tidak
3

mempunyai kemahiran sosial yang baik, maka amat sukar untuk guru itu berhadapan dengan murid yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza. Saya sedar bahawa, untuk menjadi seorang guru, kemahiran bersosial amat penting kerana melalui kemahiran bersosial yang ada seseorang guru itu akan mudah menyesuaikan diri dengan orang orang di sekelilingnya. Maksudnya, guru bukan sahaja perlu bersosial dengan anak didiknya, malah guru haruslah bijak bersosial dengan orang yang berada di sekelilingnya seperti dengan guru besar, rakan sejawat, staf staf sokongan, petugas kantin, dan sebagainya. Melaui program khidmat masyarakat yang telah berlangsung di rumah anak yatim tersebut, saya berpeluang untuk mengenali beberapa orang penghuni rumah anak yatim tersebut. Saya berasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk berkenalan dengan mereka yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza. Ada yang datang dari keluarga yang susah dan ada juga yang datang dari keluarga yang sederhana. Walaupun mereka datang dari latar belakang keluarga yang berbeza, tetapi mereka dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru dan kawan kawan yang baru. Program khidmat masyarakat ini telah memberi peluang keemasan kepada saya untuk mempertingkatkan kemahiran bersosial terutamanya dengan kanak kanak. Secara tidak langsung, program ini telah melatih diri saya untuk bercakap dengan kanak kanak dan melayani karenah mereka yang pelbagai. Jadi, sedikit sebanyak program BIG ini dapat membantu saya menjadi seorang guru yang mesra dengan pelajar dan bersedia menangani segala kerenah murid pada masa akan datang. Selain kekuatan, saya juga dapat mengesan kelemahan yang ada pada diri saya melalui program bina insan guru ini. Untuk program BIG ini, saya bertindak sebagai biro perhubungan luar. Sepanjang saya menjadi jawatankuasa perhubungan luar, saya akui pelbagai pengalaman baru yang saya peroleh. Namun, sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Perkara yang berlaku tanpa kami duga. Semasa hari tersebut, saya tidak menghubungi pihak pertubuhan atas kelewatan kami lebih awal. Sepatutnya, saya perlu menghubungi pihak pertubuhan atas kelewatan yang berlaku lebih awal supaya mereka tidak menunggu kami terlalu lama. Selain itu, saya juga menerima kritikan bahawa kemahiran komunikasi perlu dipertingkatkan terutama apabila berhubung dengan pihak rumah anak yatim tersebut sebelum program khidmat masyarakat ini berlangsung. Sejujurnya, program ini telah membantu saya untuk menjadi seorang yang lebih berani menerima kritikan daripada
4

pelbagai pihak. Walau bagaimanapun saya akan mengambil iktibar daripada kelemahan diri saya dan saya juga akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya pada masa akan datang saya akan menjalankan tugas yang diberi dengan sebaiknya. Terdapat beberapa ancaman yang kami terima sewaktu program BIG ini. Antara ancaman yang kami hadapi semasa dalam proses untuk menjalankan program khidmat masyarakat ini adalah kami lewat sampai ke destinasi. Walau bagaimanapun masalah ini bukan berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab guru pelatih. Punca kelewatan kami adalah kerana masalah bas. Disebabkan masalah ini, kami tiba lewat di rumah anak yatim tersebut. Sepatutnya, acara perasmian program BIG ini bermula pada pukul 9.00 pagi. Tetapi disebabkan masalah teknikal, kami terpaksa melakukan acara perasmian pada pukul 11.00 pagi. Akibat kelewatan tersebut, kami terpaksa mengubahsuai masa program. Melalui masalah ini, saya dapat mengambil iktibar bahawa amalan menepati masa ini sangat penting kerana jika kita tidak menepati masa, maka sesuatu aktiviti tidak akan dapat berjalan dengan lancar. Sebagai seorang yang bakal bergelar guru, amalan menepati masa ini sangat penting dan perlu diberi perhatian yang sirius. Seorang guru yang cemerlang haruslah mempunyai akhlak yang terpuji dan berdisiplin. Sebagai seorang guru, saya sedar bahawa nilai menepati masa amat penting. Guru yang sedar akan tanggungjawab akan bersikap menepati masa manakala guru yang tidak sedar akan tanggungjawabnya akan mengabaikan nilai ini. Dalam proses pembinaan jati diri seorang guru, sifat berdisiplin seperti menepati masa ini sangat penting. Hal ini kerana jika seorang guru sentiasa berdisiplin dan menepati masa, maka semua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah akan berjalan lancar. Pelbagai akibat yang buruk akan timbul jika seorang guru itu tidak pandai mengurus masa. Sebagai contoh, jika guru tidak menepati masa dan lewat masuk ke kelas untuk mengajar, pelbagai masalah akan timbul seperti kelas menjadi bising dan tidak terurus. Lebih teruk lagi, ada kes tentang pergaduhan murid yang berlaku akibat guru tiada dalam kelas. Oleh itu, seorang guru perlu sedar akan tanggungjawab yang perlu dipikul dan menepati masa agar tidak belaku perkara-perkara yang boleh merosakkan imej baik seorang guru. Sepanjang program BIG ini, saya telah dilatih untuk sentiasa menepati masa agar sesuatu program berjalan dengan lancar seperti yang diran cang. Contohnya, semasa program BIG ini kami perlu bangun pada awal pagi untuk

bertolak ke destinasi dan menepati masa dalam menguruskan semua aktiviti semasa program khidmat masyarakat ini. Akhir sekali, saya sangat bersyukur kerana telah melalui program BIG ini yang telah banyak memberi saya pengetahuan, pengalaman baru, fizikal diri saya dan yang paling penting dapat membantu diri saya bagi membina jati diri seorang pendidik yang berkarisma tinggi. Saya berharap pada BIG yang seterusnya, saya akan lebih banyak menimba pengalaman dan ilmu bagi mencapai matlamat saya untuk menjadi seorang pendidik yang gemilang.

Anda mungkin juga menyukai