Anda di halaman 1dari 12

Amalan berjimat cermat dan menabung.

............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. ............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. ............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anakanak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang. ............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin. ...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasaberjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena. ............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja


Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus. (ubah suai karangan isi agar sesuai dengan SPM) ............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. ............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang . Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini. ............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri. ............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka. ............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagungdan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain. ............Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya .Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini. ............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini. ............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya. ............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya. ............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah. ............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. .............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. ............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintih , ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget . ............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama. ............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara . Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Bagaimana Menjadi Pengguna Bijak


BAGAIMANA MENJADI SEORANG PENGGUNA YANG BESTARI DEMI MENGATASI MASALAH EKONOMI NEGARA.

............Keperluan membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna demi memantapkan ekonomi negara adalah satu agenda yang berkepentingan tinggi dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan suatu aliran Pengguna Perkasa . Jika pada suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh bertindak menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila menjelang sesuatu musim perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini dengan kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya bahawa kekuatan sebenarnya berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti ini telah semakin berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika tidak dibendung dengan berkesan akhirnya akan membahayakan ekonomi negara dan akibatnya masyarakat juga yang akan menanggung rugi. ............Jika pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna boleh bertindak memboikot barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat pembuat barangan berkenaan, dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang kuasa pengguna . Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para pengguna sendiri. Contohnya apabila kita membeli tepung sekampit yang ditulis berat bersihnya 1 kilogram, adalah wajar bagi kita menimbang semula kampit tepung berkenaan dan memastikan bahawa berat bersih produk berkenaan adalah benar-benar 1 kilogram. Sebagai pengguna prihatin, kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih teliti tentang barangan yang kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang digunakan menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di tetapkan oleh kerajaan? Adakah produk berkenaan mengandungi MSG? Adakah produk itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya menepati harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa ramaikah yang akan membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin barangan yang hendak dibeli dan membuat perbandingan harga setiap produk yang dibeli? Isu-isu sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para pengguna hari ini. ............Fenomena kenaikan harga barangan keperluan ini bukanlah suatu masalah yang cuma berlaku di Malaysia sahaja, malahan telah menjadi suatu permasalahan global hari ini. Pada Oktober 2007, rakyat Itali telah memboikot keluarangan barang-barang pasta apabila harga makanan ini naik melebihi 20 peratus dalam masa seminggu. Hasil daripada tindakan ini pengeluar Pasta terpaksa akur kepada sentimen kuasa pengguna Itali, dan menurunkan semula kadar harga barangan berkenaan. Mekanisma penyebab pada kenaikan harga barangan sememangnya berhubung rapat antara satu sama lain. Contohnya di Mexico, apabila permintaan meningkat untuk minyak bio-diesel yang dipanggil Ethanol yang dihasilkan daripada jagung, maka harga jagung di pasaran terus melambung dan ini menyebabkan timbulnya masalah bekalan jagung kepada penternak lembu tenusu yang juga memerlukan jagung sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan mereka. Ekoran ini harga susu, keju, dan mentega pula turut naik di pasaran Mexico. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pertanian dan Pemakanan Sedunia yang beribu pejabat di Brussels, harga pasaran makanan sedunia pada hari ini naik sebanyak 70 peratus berbanding dengan harga pada tahun 2000. Jadi sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu bertindak dengan menggunakan "kuasa pembeli" mereka. ............Hakikatnya pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi penduduk-penduduk di negara-negara membangun dunia yang besar seperti China dan India, maka permintaan dunia untuk barangan seperti gandum, beras, minyak masak dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus juga meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos dalam proses pembuatan serta penghantaran akan terus meningkat dan ini akan menyumbang pada peningkatan harga barangan di pasaran. Faktor cuaca juga memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia. Permintaan bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk diproseskan menjadi bio-fuel atau ethanol adalah juga merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan harga barangan pasaran. ............Manusia memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Akibat krisis bekalan makanan yang gagal dikawal, akan membawa kepada kemelut kenaikan harga bekalan makanan di pasaran dan ini akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi pada ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan lagi dalam usaha untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang berkemungkinan akan timbul pada masa depan. Kita sebagai pengguna yang bijak adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling efektif untuk membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga pasaran. Selain itu, akta undang-undang perlindungan pengguna yang membawa kepada hukuman yang lebih drastik mestilah terus digubal demi untuk perlindungan jangka panjang kepada pengguna. ............Kementerian yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kementerian terbabit demi memastikan kebajikan pengguna benar-benar terjamin. Antara langkah-langkah berikut adalah dengan menubuhkan Stok Penimbal Kebangsaan serta Penubuhan Majlis Harga Negara. Kerajaan juga turut mengenakan larangan membawa keluar

barangan kawalan dari Malaysia serta memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak mereka melalui penggubalan rang undang-undang Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan penubuhan Mahkamah Tribunal Pengguna. Pada masa yang sama, kerajaan juga menggerakkan sektor pertanian negara secara aggresif sebagai langkah membangunkan Sarawak sebagai Negeri Jelapang Padi Kedua Negara . ............Tindakan-tindakan ini telah berjaya mengawal kestabilan harga barangan di pasaran dan juga dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang lain, telah dapat mengurangkan kadar aktiviti penyeludupan bahan makanan ke negara jiran. Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi langkah susulan proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna telah dapat dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan kritikal ini, telah dapat membantu untuk memangkinkan lagi ekonomi negara. Justeru marilah kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk kesedaran tentang hak-hak kita, langsung menjalankan tanggungjawab sosial kita dan juga memartabatkan diri kita sebagai Pengguna Bestari .

Kepentingan Bahasa Inggeris


Kepentingan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan.

............Menjelang tahun 2003, bahasa Inggeris telah mula digunakan dalam pendidikan di Malaysia. Sistem ini dimulakan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar untuk mata pelajaran sains dan matematik. Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan kepada pelajar tahun 1 serta pelajar tingkatan 1. Beberapa tahun kemudian, semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pendidikan sains dan matematik. Biarpun program ini diliputi dengan pelbagai kontravesi namun tindakan kerajaan melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan memberi pelbagai kebaikan. ............Antara faedah menguasai bahasa Inggeris dalam pendidikan adalah bagi membolehkan pelajar menguasai isi pelajaran yang kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, memandangkan beberapa mata pelajaran penting seperti sains, matematik, teknologi maklumat dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris maka kegagalan pelajar menguasai bahasa ini akan melemahkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang disebutkan tadi. Pepatah Melayu pernah menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya . Begitulah juga halnya, jika penggunaan bahasa Inggeris tidak dimulai dari sekarang, selagi itulah para pelajar akan ketinggalan dalam mata pelajaran tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Inggeris adalah amat perlu dikuasai agar para pelajar dapat memperoleh ilmu npengetahuan yang kebanyakannya hanya dapat diperoleh melalui kemahiran berbahasa Inggeris. ............Selain itu, bahasa Inggeris juga penting dalam pendidikan di negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Penguasaan bahasa inggeris yang dimulakan dari sekolah mampu melahirkan individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh dunia. Sebagai contohnya, kemahiran berbahasa Inggeris amat penting apabila seseorang individu ditugaskan di luar Negara atau membawa misi negara di luar negara. Kegagalan berkomunikasi dengan berkesan menggunakan bahasa Inggeris akan menjejaskan pelbagai peluang baik berupa peluang ekonomi mahupun sosial. Jelasnya, pendidikan bahasa Inggeris di peringkat sekolah mampu melahirkan individu yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat lain di seluruh dunia. ............Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan juga penting kerana dengan penguasaan bahasa tersebut para pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan baik dapat berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Memandangkan bahasa Inggeris telah diterima sebagai bahasa antarabangsa, kebanyakan universiti teragung di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Jika seseorang pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik maka peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah lebih cerah. Sebagai contohnya, institusi pendidikan swasta seperti kebanyakan institusi pendidikan swasta di negara kita juga telah mengimplementasi penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar mereka di institusi pendidikan tinggi swasta. Oleh yang demikian, para pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi perlulah menguasai bahasa Inggeris dengan baik. ............Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga penting kepada para pelajar bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pada masa depan. Perlu diingat bahawa majikan akan lebih tertarik untuk mengambil pekerja yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa Inggeris. Sebagai contohnya, pekerjaan dalam bidang telekomunikasi, penyiaran, teknologi maklumat dan sebagainya amat memerlukan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh itu, lepasan sekolah atau universiti yang mahir berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Tambahan pula, mereka yang mahir berbahasa Inggeris lebih diminati oleh majikan dari syarikat-syarikat besar yang biasanya menawarkan pendapatan lebih lumayan. Jelasnya, bahasa Inggeris amat penting dipelajari di sekolah demi memanfaatkan pelajar bagi tujuan membina kerjaya pada masa yang akan datang. ______Sementara itu, kemajuan ekonomi negara yang telah melepasi sempadan negara, mengakibatkan Malaysia memerlukan penduduk yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik agar dapat bersaing dengan mereka dari seluruh dunia. Pendidikan bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa. Sebagai contohnya, perkongsian dalam bidang ekonomi, sosial mahupun bidang teknologi memerlukan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Umumnya, mereka yang gagal menguasai bahasa ini akan berdepan dengan pelbagai rintangan yang dapat mengganggu komunikasi serta boleh menggagalkan peluang yang tersedia pada peringkat antara bangsa. Justeru, pendidikan bahasa Inggeris di sekolah berperanan membina masyarakat yang lebih berdaya saing pada peringkat global suatu hari nanti. ______Intihanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua pelajar. Seseorang yang dapat menguasai bahasa ini akan lebih berkeyakinan dan mampu merebut peluang yang tersedia sama ada pada peringkat nasional atau pada peringkat antara bangsa. Namun begitu, biar bagaimana penting sekalipun bahasa Inggeris ini digunakan oleh masyarakat antarabangsa namun penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara amat perlu dipertahankan

dan dipertingkatkan martabatnya. Kita tidak mahu bahasa rasmi kita pupus akibat kelalaian kita mengagungkan bahasa Inggeris umpama kata pepatah Melayu yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran .

Kepentingan Memelihara dan Mengekalkan Bangunan Bersejarah di Negara Kita.


Malaysia kaya dengan bangunan dan monumen bersejarah. Kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan menjadikan binaan lama tersebut sebagai salah satu daripada Warisan Kebangsaan. Bincangkan kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah di negara kita. . .

.Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. . .Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan. . .Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. . .Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara. . .Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan

Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni tak kenal maka tak cinta . Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri. . .Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas . Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang. .

Usaha Menggalakkan Kemajuan Pelancongan Negara


Industri pelancongan membawa sumber pendapatan negara. Huraikan usaha-usaha yang mampu dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan negara.

............Tahun 2007 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan memandangkan industri pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Sektor pelancongan juga perlu dimantapkan kerana sektor ini mampu memantapkan ekonomi negara kita. Banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita boleh dikunjungi oleh pelancongpelancong asing dan tempatan seperti di Cameron Highland, Genting Highland, bandar raya Melaka, Desaru dan sebagainya. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan. ............Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah kemudahan pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia. ............Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut.Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan kedatangan pelancong baru. ............Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk menjelaskan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan Arab Saudi. Usaha mempromosikan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarkan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. ............Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek kebersihan dan kemudahan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan baik. Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa terkawal. Begitu juga halnya dengan kemudahan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan selesa. Sebagai contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat membeli belah perlu dibina di kawasan pelancongan. Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. ............Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap duta pelancongan negara haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana bahasa menunjukkan bangsa . Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing ini dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis di sepanjang hidup mereka. ............Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan perlu diperluaskan dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti ekopelancongan , pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta . Jika pelancongan versi baru ini tidak dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui potensi yang dapat diperoleh daripada industri pelancongan tersebut. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.

. ............Tuntasnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya , jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

Anda mungkin juga menyukai