Anda di halaman 1dari 2

Kemelesetan disiplin dan keruntuhan moral pelajar di sekolah, merupakan satu lagi

perkara yang mencabar dan membebani semua pihak terutamanya ibu bapa masa
kini. Bagi mengatasi masalah ini, ia memerlukan pembabitan pengaruh sekitar untuk
menanganinya bersama. Gejala tersebut kian parah berleluasa sehingga terdapat di
kalangan pelajar yang sanggup membakar sekolah kerana marahkan guru atau
membalas dendam. Kenyataan ini juga turut diakui oleh Kementerian Pendidikan yang
menyifatkan salah laku disiplin di kalangan pelajar kian meruncing dengan sekian
ramai pelajar menghadapi masalah personaliti dan keluarga. Persoalannya, siapakah
yang harus dipersalahkan? Adakah sistem pendidikan di negara kita masih belum
mampu mencari formula bagi menangani gejala ini? Atau adakah KBSM masih belum
berkesan untuk membentuk keperibadian dan moral pelajar-pelajar? Atau adakah
sekolah tidak berperanan untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni kepada
pelajar-pelajar? Atau adakah ibu bapa sendiri tidak memainkan tanggungjawab yang
sewajarnya dalam mendidik anak-anak.

Kalau dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara, kita dapat merumuskan bahawa
kerajaan berhasrat untuk melihat pendidikan di Malaysia sebagai alat untuk
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI).
Begitu juga dengan KBSM, prinsip-prinsip yang digubal jelas menampakkan usaha
ke arah kesepaduan ilmu berasaskan konsep JERI dan penekanan nilai-nilai murni.
Namun persoalannya, kenapa timbul juga isu keruntuhan moral dan salah laku disiplin
di kalangan pelajar? Sebenarnya perkara ini tidaklah menghairankan kita. Seberapa
ramai manusia boleh menulis ribuan falsafah dan prinsip-prinsipnya, namun setakat
manakah pelaksanaannya dapat direalisasikan secara ikhlas dan bersungguh-
sungguh. Kita tidak menafikan usaha Kementerian Pendidikan menampakkan
keikhlasannya seperti memberikan lebih kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan
pelajar dan sebagainya tetapi memadaikah hanya Kementerian Pendidikan sahaja
yang terlibat di dalam menangani kes ini. Dalam senario hari ini, kita dapat melihat
bahawa tidak ada kesepakatan dan kesepaduan tindakan di antara kementerian-
kementerian kerajaan untuk membendung masalah disiplin di kalangan pelajar. Contoh
yang dapat dilihat dengan jelas ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan
Kementerian Penerangan.

KDN tidak sepatutnya bersikap lepas tangan kerana dengan bersikap demikian, gejala
tersebut akan menjadi bertambah parah dan boleh menjejaskan imej pendidikan di
negara ini. Sebagai contoh, KDN bersikap acuh tak acuh dengan kebanjiran ratusan
buku, majalah dan komik berunsur tahyul, seks dan seram yang dikhuatiri boleh
meracun minda dan pemikiran pelajar-pelajar yang membanjiri gerai majalah dl sekitar
ibu kota. Begitu juga dengan kebanjiran pita video dan cakera padat video (VCD) lucah
dan ganas yang terlalu mudah diperolehi oleh pelajar di pasaran-pasaran tempatan.
Kemudahan tersebut menyebabkan remaja mudah terdedah dengan gejala-gejala
sosial yang boleh memberi kesan negatif kepada kelakuan mereka. Jadi, apakah
tindakan KDN selama ini?

Peranan Kementerian Penerangan juga dipersoalkan di dalam menangani masalah


disiplin pelajar ini. Apakah peranan Kementerian Penerangan terhadap pengaruh
siaran media-media elektronik? Apakah selama ini mereka menyajikan saluran yang
terbaik untuk tontonan remaja atau sebaliknya? Menurut kajian, media elektronik
memainkan peranan penting mendedahkan gejala-gejala negatif yang menjadi ikutan
remaja hari ini. Mengapa remaja kini bersikap liar, berpakaian punk dan rock kerana
mereka terpengaruh dengan rancangan TV yang menayangkan konsert, video klip
kumpulan rock yang berkelakuan dan berpakaian tidak senonoh yang bertentangan
dengan budaya kita. Media kita sungguh berani mempamerkan adegan-adegan yang
tidak sopan dan aksi-aksi wanita separuh bogel. Sekiranya beginilah sikap
Kementerian Penerangan, maka apakah lagi yang dapat diharapkan dari kementerian
tersebut untuk membentuk disiplin pelajar.

Terdapat juga pandangan masyarakat yang menganggap sekolah dan guru kurang
profesional di dalam mendidik para pelajar. Sejauh manakah kenyataan ini tepat?
Berdasarkan kajian sosiologi pendidikan, perubahan persepsi masyarakat masa kini
terhadap sekolah disebabkan kerana hakisan pewarisan 'budaya autokratik' sekolah.
Budaya autokratik yang menjadi asas utama institusi sekolah mulai hilang. Kerana
itulah peranan sekolah sebagai sebuah institusi, penitipan budaya, nilai dan ilmu mula
dipersoalkan oleh masyarakat terutamanya oleh ibu bapa. Rata-rata hari ini para
pendidik lebih suka menangani masalah disiplin pelajar melalui pendekatan psikologi.
Persoalannya, sejauh manakah kaedah ini dapat membendung salah laku pelajar?
Pada pandangan penulis, cara ini bukan tidak baik tetapi ada kalanya kita patut juga
berkeras dengan pelajar. Semuanya mengambil kira kesesuaian dan tingkahlaku
pelajar itu sendiri.

Para pendidik juga disarankan supaya menjalin hubungan yang positif dengan para
pelajar, di samping memperluaskan rangkaian hubungan dengan ibu bapa dan
masyarakat agar sikap prejudis dan saling tuduh menuduh di antara satu sama lain
dapat dielakkan. Hubungan tersebut dapat diwujudkan melalui PIBG ataupun Majlis
Pemuafakatan PIBG Nasional, di mana fungsinya amat penting dalam menangani
gejala sosial pelajar yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Akhir sekali,
peranan ibu bapa amat penting di dalam membentuk sahsiah dan perilaku anak-anak.
Ini kerana disiplin pelajar masih di bawah tanggungjawab ibu bapa, manakala guru
hanya bertindak sebagai pembantu dalam memberikan ilmu pengetahuan dan disiplin
dalaman. Ibu bapa perlu membekalkan anak-anak dengan asas-asas ilmu agama dan
membentuk mereka supaya mempunyai “jati diri” serta mempunyai “kawalan diri”.
Semuanya berada di tangan ibu bapa, mereka bebas untuk mencorakkan kehidupan
dan masa depan anak-anak mengikut resepi masing-masing. Namun halangannya
tetap ada kerana pengaruh persekitaran di mana anak-anak berada lebih kuat
mempengaruhi gaya hidup mereka. Maka di sinilah terletaknya peranan dan
kebijaksanaan ibu bapa.