Anda di halaman 1dari 10

Pengenalan

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian menu makanan yang disediakan dengan olahan pelbagai
citarasa, justeru amat susah untuk mengekalkan pemakanan yang sihat lengkap dengan nutrisi.
Dalam mengejar arus pemodenan dan kenaikan kos sara hidup menyebabkan para ibu turut
keluar bekerja bagi meningkatkan pendapatan seisi rumah. Justeru, anak – anak yang pergi
sekolah perlu membeli makanan yang dijual di kantin. Makanan yang dijual di kantin seharusnya
disediakan mengikut keperluan nutrisi anak – anak, namun keperluan pemantauan oleh pihak
berkuasa perlu diteruskan dengan kerjasama padu ibu bapa, guru dan juga pihak sekolah.

Intervensi pemakanan sangat sesuai dan ideal dilakukan di sekolah dalam menyediakan
persekitaran yang menyokong murid untuk mengamalkan pemakanan sihat. Inisiatif ini
membolehkan pelajar untuk membesar dengan sihat dan mengambil jumlah nutrisi iaitu
karbohidrat, protein, vitamin dan mineral yang secukupnya.

Inisiatif makanan sihat di sekolah ini juga pernah diperkenalkan oleh mantan Menteri
Pendidikan, Dr. Maszlee Malik iaitu Program Sarapan Pagi (PSP) yang bermula pada Januari
2020 di mana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan menu sarapan pagi
yang sihat dan percuma buat semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara. Menurut Dr.
Maszlee, pelajar memerlukan jadual dan amalan pemakanan yang seimbang bagi memastikan
pelajar dapat menumpukan pelajaran dengan baik. Namun begitu, idea pelaksanaan sebegitu
tidak dapat dilaksanakan secara holistik kerana sasaran tertumpu kepada golongan pelajar yang
kurang berkemampuan. Tambahan pula, pelaksanaan sebegini tidak menjamin konsistensi dalam
jangka masa yang lama kerana berlakunya perubahan pemerintahan Kerajaan yang secara
tuntasnya segala idea yang diperkenalkan adalah mengikut ideologi kepimpinan pada masa
tersebut.

Pihak Sekolah

Pelaksanaan sesebuah program advokasi tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak.
Apabila seseorang pelajar memasuki kawasan sekolah, amalan pemakanannya sedikit sebanyak
berubah. Ini termasuk dari segi menu hidangan dan waktu makan mereka yang bergantung
kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Bagi pelaksanaan Jom Pinggan Sihat
Pelajar ini, komitmen utama dari pihak sekolah yakni pihak pengurusan terutama dalam usaha
memantau pengurusan kantin itu sendiri adalah sangat penting. Melalui tinjauan soal selidik
ringkas oleh kumpulan ini, kesemua ibu bapa dan para profesional menyatakan tiada penjualan
makanan sihat dan seimbang yang lengkap dengan keperluan nutrisi dijual di kantin sekolah.

Pihak pengurusan sekolah perlu berbincang dan melantik pengusaha kantin yang mampu
memberikan komitmen yang padu dalam usaha menyediakan menu makanan sihat untuk dijual
kepada pelajar sekolah. Makanan tersebut juga perlu disediakan dengan bersih, menu yang
menarik dan dijual dengan harga yang berpatutan.

Dalam hal ini, KPM telah memperkenalkan garis panduan yang mengandungi terma –
terma berkaitan berdasarkan perjanjian dan garis panduan antara pihak kantin dan sekolah (The
Merdeka Times, Mac 2023). Namun, ruang perbincangan antara pihak sekolah dan pengusaha
kantin masih wujud walaupun perjanjian telah dibuat. KPM atau Pejabat Pendidikan Daerah juga
boleh menggalakkan pihak pengusaha kantin seperti mengadakan Pertandingan Kantin Contoh
dengan memberikan hadiah saguhati kepada kantin terbaik yang menyediakan menu hidangan
sihat, menarik dan tersusun.
Selain itu, sokongan pihak sekolah dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran
pelajar berkaitan pemakanan yang sihat boleh dilakukan melalui pendekatan program kesihatan
seperti kempen kesedaran pemakanan sihat dan perkongsian ilmu mengenai keperluan
pengambilan makanan sihat. Menurut Whitman (2000), jawatankuasa pakar Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (World Health Organisation) mendapati bahawa kajian di negara-negara maju
dan membangun menunjukkan program kesihatan yang dijalankan di sekolah dapat
mengurangkan masalah kesihatan, meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan dan
seterusnya kesihatan awam, pembangunan sosial dan ekonomi.

Sekolah memainkan peranan penting dalam mengubah diet pelajar (Bowker el al. 1999).
Hal ini kerana sekolah berpeluang untuk mendidik generasi muda mengenai makanan dan nutrisi
serta dapat mendemonstrasikan kepentingan diet seimbang untuk kesihatan masa depan dengan
menyediakan pilihan makanan yang sihat di kantin sekolah. Justeru, usaha untuk
mempromosikan amalan pemakanan dan cara hidup yang sihat dalam kalangan pelajar adalah
sangat berkesan di sekolah kerana sekolah secara langsung mempunyai perkaitan dengan para
pelajar. Menurut Christie (2005), melalui penilaian yang dilakukan di sekolah yang menjalankan
program bantuan pemakanan di Burkina Faso mendapati bahawa kantin sekolah mempunyai
perkaitan dengan peningkatan pencapaian sekolah, kedatangan pelajar, penurunan kadar berhenti
sekolah dan peningkatan kadar kejayaan dalam peperiksaan kebangsaan.

Guru

Kerjasama guru pula adalah diperlukan untuk menyediakan borang atau senarai tempahan awal
mengenai menu makanan yang disediakan sepanjang minggu persekolahan. Guru boleh
memaklumkan senarai menu untuk dibuat tempahan oleh ibu bapa melalui medium seperti
WhatsApp Group dan Telegram Group kelas pelajar. Kaedah pembayaran secara talian
(Electronic Fund Transfer - EFT) amat digalakkan supaya mengelakkan pelajar terlupa untuk
membawa wang tunai sehingga menyebabkan tidak mengambil makan tengah hari. Sistem
tempahan makanan secara awal ini juga bagi memastikan hidangan makanan yang disediakan
mencukupi mengikut kehadiran pelajar ke sekolah.
Ada parents yang tidak sempat untuk menyediakan bekalan untuk anak - anak dan
harapkan kantin untuk membekalkan makanan. Mungkin perlu sediakan menu pre order
untuk parents yang mahukan anak - anak makanan lengkap – Encik Zikree, Bapa

Warga pendidik di sekolah diharap dapat memainkan peranan dalam memupuk gaya
pengambilan makanan sihat di sekolah dalam usaha mencegah obesiti dalam kalangan pelajar.
Menurut Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, beliau pernah menyatakan
bahawa guru memainkan peranan penting dalam mengawasi apa yang dimakan murid-murid
ketika berada di sekolah. Guru memainkan peranan penting kerana kebanyakan masa anak-anak
dihabiskan di sekolah.

“Pemakanan sihat perlu diterapkan bukan sahaja di rumah ,malah ia perlu diterapkan
di sekolah kerana pelajar menghabiskan hampir separuh harinya di sekolah” – Puan
Nur Ili, Pakar Pemakanan

Selain itu, bagi memperkasakan amalan pemakanan sihat dalam kalangan pelajar, guru –
guru perlu diberi ilmu dan penekanan mengenai pemakanan sihat. Guru perlu dilatih melalui
program – program latihan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat
Kesihatan tentang cara pengambilan makanan sihat seterusnya guru dipertanggungjawab
memberi penerangan kepada murid mengenai aspek pemakanan pada setiap hari persekolahan.
Penerangan daripada guru sedikit sebanyak dapat membantu memberi bimbingan tentang
pengambilan makanan sihat oleh pelajar dan pelajar akan lebih berusaha untuk mengamalkan
pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Hal ini kerana melalui penerangan sebegini para
pelajar didedahkan dengan keburukan mengambil makanan yang tidak berkhasiat yang
menyebabkan masalah obesiti dan penyakit yang lain.

Guru juga perlu sentiasa memantau pemakanan pelajar dengan membuat tinjauan ketika
pelajar sedang rehat di kantin sekolah atau memeriksa bekal makanan yang dibawa oleh pelajar.
Galakan dan nasihat dari guru sangat penting untuk memastikan pelajar sentiasa membawa
bekalan makanan berkhasiat seperti buah, membawa air kosong secukupnya di sekolah, tidak
membeli makanan ringan yang dijual di pagar sekolah serta menasihati pelajar untuk membeli
makanan yang berkhasiat dan seimbang di kantin sekolah. Peranan guru juga perlu membuat
pemantauan terhadap pengusaha kantin supaya tidak menjual makanan yang dilarang
sebagaimana yang ditetapkan pada Garis Panduan Kantin Sekolah Sihat oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Ibu Bapa

Kebanyakan ibu bapa yang sibuk lebih gemar menghulurkan wang saku untuk anak anak
membeli makanan kantin di sekolah. Kebanyakan ibu bapa yang bekerja tidak sempat untuk
menyediakan bekal yang sihat kepada anak – anak. Walaupun anak-anak selalu diingatkan
supaya tidak membeli makanan serta minuman yang tidak berkhasiat, godaan serta pengaruh
rakan-rakan sukar dielak. Walau bagaimanapun, ibu bapa tetap merupakan orang dewasa
pertama yang menjadi role model untuk menerapkan amalan pemakanan sihat yang bermula di
rumah. Antara perkara mudah yang boleh dilakukan ibu bapa untuk mendidik anak
mengamalkan pemakanan sihat adalah seperti berikut:

1. Mendidik bahawa sayur adalah lazat

Ibu bapa digalakkan memasukkan sayur-sayuran dalam hidangan untuk menarik minat
dan menambah selera anak. Daripada bahan sesuatu jenis sayur, ibu bapa perlu kreatif dalam
penyediaan makanan yang boleh menarik minat anak untuk memakan hidangan mengandungi
sayur, contohnya cucur nasi lobak. Anak – anak juga mungkin lebih berminat makan buah dan
sayur jika dipotong atau dihidangkan dalam bentuk haiwan mahupun corak lain yang lebih
menarik.

2. Mendidik mengenai kawalan pengambilan makanan

Diet seimbang bermaksud keperluan pemakanan yang pelbagai namun sederhana dan
seimbang. Cara mudah untuk melakukan ini adalah dengan menggunakan konsep pinggan
kesihatan seperti mana yang ingin ditekankan dalam program ini iaitu Jom Pinggan Sihat Pelajar
(rujuk Gambarajah 1). Kanak-kanak perlu mempraktikkan mengambil makanan di atas pinggan
mengikut pembahagiannya iaitu satu perempat nasi, satu perempat makanan berasaskan protein
(ayam, telur, ikan, kekacang) dan separuh pinggan buah dan sayur-sayuran.

Gambar Rajah 1 : Pinggan Sihat Pelajar

3. Penyediaan makanan kegemaran tempatan versi sihat

Pemakanan sihat bukanlah terus menidakkan atau melarang memakan makanan tradisi
tempatan yang telah menjadi amalan rakyat Malaysia sejak dahulu kala seperti nasi goreng dan
nasi lemak. Pemakanan sihat bermaksud penyediannya memadai dengan mengurangkan
penggunaan minyak, garam dan gula serta lebihkan sayur, sudah boleh membuatkan makanan itu
menjadi lebih sihat. Burger juga boleh dijadikan lebih sihat dengan menggantikan kepingan
daging beku segera dengan isi ayam segar yang telah dikepingkan dan dipanggang dengan
minyak yang sedikit. Keadaan ini memupuk minat anak untuk makan makanan yang disediakan
di rumah berbanding membeli makanan segera di luar.

Justeru, ibu bapa bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam memupuk
amalan pemakanan sihat yang bermula sejak di rumah demi menghasilkan generasi yang
berkualiti. Sekiranya sejak kecil telah dididik dengan gaya pemakanan yang seimbang dan
berkhasiat, anak – anak akan membesar dengan lebih sihat dan produktif seterusnya
mengelakkan risiko penyakit yang merosakkan kesihatan anak – anak.
“Makanan dan minuman yang sihat dan seimbang membawa kepada menjadi dewasa
yang sihat dan berpotensi menjadi rakyat yang produktif pasa masa akan datang” – Che
Lah, Pakar Pemakanan

Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia


(KPM) telah mengeluarkan garis panduan kantin sekolah sihat di mana menyenaraikan makanan
yang dilarang dijual di kantin sekolah, namun pelaksanaannya di kantin sekolah masih di tahap
yang rendah. Makanan kantin yang dilarang dijual di kantin sekolah seperti mana garis panduan
kantin sekolah sihat adalah seperti makanan yang diproses, aiskrim, makanan yang mengandungi
mainan gula-gula dan coklat makanan jeruk minuman bergas dan air kotak makanan bersalut
gula makanan ringan mi segera. Kesemua makanan ini mempunyai kalori dan kandungan gula
yang tinggi boleh menyebabkan risiko penyakit seperti kencing manis masalah berat badan dan
keras gigi. Namun, berdasarkan tinjauan ringkas Kumpulan ini mendapati makanan yang dijual
di kantin sekolah masih tidak seimbang dan tidak lengkap dengan nutrisi dengan dapatan
sebanyak 80% (Rajah X di bawah)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan Garis Panduan
Pelaksanaan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) sebagai salah satu strategi yang
diambil untuk mencapai matlamat budaya makanan secara sihat dan berkhasiat di sekolah.
Program ini merupakan hidangan pakej makanan berkhasiat yang terdiri daripada sumber
karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ianya memenuhi keperluan kalori dan
nutrien murid mengikut waktu makan di sekolah. Senarai menu hidangan berkhasiat bagi satu
bulan disediakan oleh Pegawai Sains (Pemakanan), supaya murid-murid dapat menikmati
hidangan yang berlainan setiap hari.

Walau bagaimanapun, advokasi melalui program HiTS ini perlu diperkukuhkan lagi oleh
Kementerian Pendidikan secara langsung terutama dalam menyediakan dan menggubal dasar
kepada sistem pendidikan itu sendiri. Pengetahuan tentang pemakanan dan tabiat pemakanan
sebahagian besarnya diperoleh daripada proses pendidikan di sekolah. Sekolah merupakan
tempat yang paling sesuai bagi mengajar kanak-kanak tentang pemakanan kerana ia
menyediakan kakitangan terlatih dan peluang disediakan bagi mempraktikkan pemakanan sihat.
Dalam erti kata lain, Kementerian Pendidikan atau Jabatan Pendidikan Negeri perlu
mengeluarkan garis panduan dalaman mengenai sistem pembelajaran di sekolah bagi
mengukuhkan lagi dan melancarkan pelaksanaan program HiTS yang disediakan oleh pihak
KKM.

Antaranya subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) adalah bukan semata – mata
menekankan aktiviti jasmani seperti bersukan dan senaman fizikal, namun perlu diperbanyakkan
pembelajaran mengenai pengetahuan tentang pemakanan sihat contohnya aktiviti seperti
menyediakan menu makanan berkhasiat secara amali. Kaedah pengajaran yang lebih baik perlu
ditambah baik oleh pihak KPM bagi memberi kesedaran kepada pelajar melalui kaedah
pembelajaran secara terus atau ‘skill base’. Keberkesanan kaedah pembelajaran secara
kemahiran merupakan bantuan pengajaran kepada guru berupaya membantu pelajar supaya lebih
minat belajar mengenai amalan pemakanan yang sihat.

Hal ini dibuktikan melalui kajian oleh Ping pada tahun 2006 mengenai perubahan
pengetahuan, tabiat dan amalan pemakanan sihat di kalangan pelajar dalam Kampus Induk UMS,
terdapat peningkatan pengetahuan pemakanan sihat selepas pembelajaran pemakanan di mana
pembelajaran pemakanan dapat mengubah pengetahuan, tabiat dan amalan pemakanan sihat di
kalangan pelajar UMS (Khairul Azhar and Denise Koh 2022). Selain itu, kajian yang dijalankan
oleh Beardsworth et al. (2002) tentang perubahan tabiat pemakanan ke atas individu yang
berumur
18 tahun ke 74 tahun di United Kingdom mendapati bahawa antara factor terpenting perubahan
tabiat pemakanan adalah disebabkan oleh wujudnya pengetahuan dan kesedaran tentang
pengambilan diet yang sihat dan keinginan untuk menguruskan badan bagi penampilan yang
lebih menarik.

Sehubungan dengan itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlu


ditambahbaik oleh pihak KPM menggunakan kaedah kemahiran terus (Skill Base) dalam
pembelajaran subjek Pendidikan Jasmani Kesihatan mengenai amalan pemakanan yang sihat
dalam kalangan pelajar. Penggunaan pengajaran secara kemahiran (Skill Base) bukan sahaja
dapat meningkatkan penguasaan apek kefahaman pelajar, bahkan juga dapat meningkatkan
penguasaan aspek-aspek kesihatan yang lain seperti kandungan kalori dalam makanan, berapa
kalori diperlukan badan dan lain-lain.

Rujukan

Beardsworth, A., Bryman, A., Keil, T., Goode, J., Haslam, C. & Lancashire, E. (2002). Women,
men and food: the significance of gender for nutritional attitudes and choices. British
Food Journal, 104(7), 470491. doi:10.1108/00070700210418767

Bowker, S., Crosswaite, C., Hickman, M., McGuffin, S., Tudor-Smith, C. (1999). "The healthy
option : A review of activity on food and nutrition by the UK schools involved in the
European network of health promoting school". British Food Journal. 101, 8. 610-620

Christie, K. (2005). "Setting and exercise standards for kids". Phi Delia Kappan, 1.5-8.

Garis Panduan Pelaksanaan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS)


Hamidah Noor binti Md Yusoh. 2006. Amalan Pemakanan yang sihat di Kalangan Pelajar
Sekolah Menengah Teknik, Tesis Sarjana, Fakulti Pendidikan Teknikal, Kolej Universiti
Teknologi Tun Hussein Onn

Khairul Azhar Bin Mohamed Arshad, Denise Koh. 2022. Healthy Eating Habits in Health
Education Classrooms. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-
ISSN : 2504-8562) 2022, Volume 7, Issue 3

Muhammad Mustakim Ramli. 2019. Makanan percuma untuk pelajar mulai 2020. Berita Harian,
26 Ogos

Wartawan TMT. 2023. KPM jamin harga makanan di kantin sekolah tidak naik. The Merdeka
Times, 16 Mac

Whitman, C. V. (2000). "Education for all 2000 assessment". World Health Organization's
(WHO): Nota

Anda mungkin juga menyukai