Anda di halaman 1dari 4

Adat Resam Kaum India Sewaktu Kelahiran 1.

Ketika mengandung Adat Valaikaappu adalah adat yang dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud `kandungan ibu? dan Kaappu pula bermaksud 'perlindungan'. Gelang ini dipakai bertujuan untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada kesukaran semasa bersalin. Adat Valaikaappu diadakan pada hari dan masa yang baik menurut kalendar India. Upacara ini akan diadakan di rumah suami atau ibu bapa dan disertai oleh kaum wanita yang telah bersuami dan mempunyai anak yang dipanggil cumanggali. Gelang tangan yang dipakaikan dalam upacara ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu gelang kaca, pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak dilahirkan, gelang tangan emas tersebut akan dileburkan untuk dibuat perhiasan bagi bayi tersebut dan akan dipakaikan pada hari pemberian nama.

2. Sewaktu kelahiran Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini akan menentukan mental, fizikal dan rohani bayi sehingga dewasa. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi mengenai agama Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Namun begitu adat ini disesuaikan dengan hanya membisikkannya sebaik sahaja melihat bayi tersebut kerana perubatan moden tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik bersalin.

Bisikan nama Tuhan pada telinga bayi adalah untuk membolehkan bayi tadi mendengar nama Tuhan sebelum mendengar apa-apa yang lain. Ia bertujuan untuk membawa rahmat kepada bayi tersebut. Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir. Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Di samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur. Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut.

3. Selepas kelahiran Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan. Ia bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang malapetaka dariapada berlaku. Bagi upacara aalati ini, dulang yang mengandungi serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang, sirih dan kapur barus yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali mengikut arah jam dan juga lawan jam. Dulang juga dilambai sebanyak tiga kali. Seterusnya para cumanggali akan mencelupkan ibu jarinya ke dalam dulang tersebut dan

mencalitkan ke dahi ibu dan anak. Setelah ibu dan anak masuk ke dalam rumah, isi dulang aalati dibuang. Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang luar dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan perubatan. Jika proses bersalin secara pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi selama dua minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah kerana pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi ibu yang bersalin normal, si ibu akan mandi selang sehari selepas bersalin. Beberapa herba dan dedaun seperti aadatoodai dididihkan bersama air. Air tersebut digunakan untuk mandi. Rambut ibu akan dikeringkan dengan segera dengan asap kemenyan bagi mengelakkan sakit kepala, selsema dan juga untuk menyegarkan tubuh badan selepas bersalin. Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu petang oleh seorang wanita yang berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit bayi. Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan dilakukan pada tubuh bayi dan tulang belakang bayi supaya tidak bengkok. Bagi tujuan kecantikan, hidung, kening dan telinga turut diurut. Beberapa bahan seperti serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau yang ditumbuk digunakan sebagai pembersih badan bayi bertujuan untuk mengelakkan penyakit kulit dan melicinkan kulit bayi. Selesai dimandikan, bayi ditonggengkan dengan mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk mengeluarkan kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu dengan bedak yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung dengan kain bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.

Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan. Ia dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli keluarga yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-dewa. Upacara dimulakan dengan mengadakan upacara sembahyang sebagai tanda kesyukuran. Terdapat juga upacara memuja Dewi Pecciyamman dan Dewi Kaatteeri dilakukan oleh segelintir masyarakat India. Upacara pemujaan dilakukan dengan membersihkan sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahan-bahan persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan kering dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam buaian dan namanya diumumkan pada orang ramai. Saudara mara yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara diakhiri dengan jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi. Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan agama Hindu juga dipilih bagi bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan mempengaruhi perwatakannya kelak.