Anda di halaman 1dari 2

Berbicara mengenai prinsip penyusunan reka bentuk kurikulum, semestinya kita melihat kepada model

kurikulum yang popular iaitu model Tyler. Menurut Tyler, pemilihan kandungan merupakan proses yang
kreatif. Kandungan kurikulum yang telah dipilih hendaklah disusun dengan teliti agar dapat
menghasilkan pembelajaran yang menyeluruh dan berkesan. Untuk tujuan ini, Tyler mencadangkan tiga
prinsip dalam penyusunan kandungan, iaitu prinsip kesinambungan, prinsip turutan, dan prinsip
integrasi.

Bagi melaksanakan hubungkait prinsip penyusunan reka bentuk kurikulum ini ke dalam mata pelajaran
yang saya ajar iaitu matapelajaran pendidikan Islam yang terdiri daripada Al-Quran, Feqah, Tauhid dan
Jawi; saya sebagai guru perlu mengetahui dengan jelas sukatan pelajaran yang diajar dari segi topik atau
unit-unit yang terdapat dalam matapelajaran tersebut supaya saya dapat menyusun strategi pengajaran
dengan baik agar kurikulum yang dibina dapat sampai kepada murid dengan berkesan.

Prinsip kesinambungan secara dasarnya merujuk kepada pemeringkatan ilmu, kemahiran dan nilai yang
perlu dikuasai oleh murid mengikut tahap perkembangan mental dan pertumbuhan fizikal seiring
dengan peningkatan usia mereka. Suatu pembelajaran itu hendaklah bermula dengan peringkat yang
paling asas atau mudah dan diteruskan dengan membolehkan murid mengaplikasikannya dan meneroka
pada tahap yang lebih tinggi. Saya mengambil contoh subjek Feqah Tahun 2, sukatan yang telah disusun
sebenarnya mempunyai kesinambungan daripada subjek Feqah Tahun 1; misalnya bab Taharah Feqah
Tahun 1 disambung dengan bab Najis dalam Feqah Tahun2. Malahan setiap unit pelajaran dalam Feqah
Tahun 2 telah disusun mengikut ilmu yang lebih asas; misalnya, Bab 1 - Najis disambung dengan Bab 2 –
Hadas. Maka saya sebagai guru bersama ketua panitia perlu membina rancangan tahunan untuk
menentukan pemeringkatan topik-topik dalam subjek tersebut.

Prinsip turutan pula merujuk kepada pertambahan ilmu, kemahiran dan nilai yangdibina menerusi
pembelajaran yang dilaksanakan merentas waktu. Prinsip ini menekankan kepada pembelajaran yang
bersifat berterusan dengan mengaitkan pengalaman lalu murid dan seterusnya mampu memberi
peluang kepada pelajar belajar secaraluas dan mendalam. Sebagaimana subjek Feqah Tahun 2 yang
dibincangkan diatas, murid sudah mempunyai pengetahuan tentang benda kotor(najis) melalui
peristiwa yang mereka alami sendiri atau maklumat yang mereka perolehi secara tidak formal maka
tetapi mereka dapat lebih memahami konsep sebenar najis melalui proses pengajaran dan
pembelajaran yang berlaku di sekolah. Dalam memastikan prinsip turutan ini berfungsi dengan baik,
rancangan pengajaran harian perlulah dibuat dengan teliti oleh saya dengan mengambil kira
pengetahuan sedia ada murid selaras dengan sukatan pelajaran.

Prinsip integrasi adalah prinsip yang mana murid dapat menghubungkait satu ilmu dengan satu ilmu
yang lain supaya pembelajaran lebih bermakna dan menyeluruh. Bahagian pendidikan Jais telah
memperkenalkan satu sistem pendidikan yang dipanggil sebagai IHES (Integrated Holistic Education
System) yang sekarang ini perlu diguna pakai oleh guru-guru sekolah agama dibawah Jais. Secara
umumnya, saya melihat sistem ini adalah selaras dengan prinsip integrasi dalam reka bentuk kurikulum
yang mana guru perlu bijak dalam mengaitkan topik yang dipelajari dalam sesuatu subjek dengan satu
ilmu lain yang berkaitan supaya adanya kemenjadian murid. Misalnya, saya memandu murid dalam
mengaitkan tentang kenapa anjing dan babi adalah najis sehingga tidak boleh menyentuhnya dengan
ilmu sains tentang kuman dan bakteria berbahaya yang terdapat pada binatang tersebut serta sifat
bintang itu.
Secara kesimpulannya, dalam melaksanakan hubung kait prinsip-prinsip ini secara berkesan; guru
perlulah kreatif dan bijak menyusun dan merancang proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan
sukatan pelajaran dan pengalaman pembelajaran murid.

Anda mungkin juga menyukai