Anda di halaman 1dari 8

RASUAH (FAKTOR, KESAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN)

ISI-ISI:

FAKTOR-FAKTOR:

 Kelemahan peribadi seseorang (kurang didikan agama)


 Kelemahan kepimpinan
 Faktor perkembangan modenisasi
 Faktor sosial dan budaya

KESAN:

 Berlaku ketidakadilan dalam masyarakat (golongan miskin/sederhana ditindas)


 Menjejaskan imej negara (nama negara akan tercemar di mata dunia)
 Mengancam keselamatan rakyat dan negara (sektor pembinaan-bahan tidak berkualiti)
 Melemahkan sistem pemerintahan (lahir pemimpin yang tidak berkualiti)
 Menghancurkan sebuah negara

LANGKAH PENCEGAHAN:

 Penguatkuasaan undang-undang
 Kempen kesedaran
 Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)
 Mempermudahkan urusan melalui ICT (lebih selamat)
 Penerapan nilai murni di sekolah (Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan)
 Didikan agama yang mencukupi (sejak kecil)

CONTOH JAWAPAN:

Kegiatan rasuah semakin berleluasa di negara kita dan menjadi ancaman kepada imej negara.
Terdapat beberapa faktor dan langkah-langkah drastik yang perlu dilakukan untuk mencegah
kegiatan rasuah ini.

Antara faktor yang menyebabkan gejala rasuah ini adalah kelemahan peribadi seseorang
induvidu. Kelemahan peribadi ini mungkin disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral
seseorang. Sikap ingin hidup mewah dan tamak menyebabkan golongan yang mengambil rasuah ini
sanggup mengetepikan ajaran agama. Mereka hanya memikirkan kesenangan sementara tanpa sedar
balasan dan hukuman yang bakal diterima kelak.

Selain itu, kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi juga merupakan faktor utama
berlakunya rasuah. Kepimpinan yang tidak cekap dan lemah menyebabkan kurang penyeliaan dan
pemantauan ke atas golongan pekerja. Hal ini akan mendorong aktiviti rasuah berlansung secara
berleluasa dalam sesebuah organisasi. Oleh itu, golongan pekerja merupakan golongan yang mudah
terjebak dalam gejala rasuah.
Di samping itu, terdapat beberapa langkah untuk mengatasi gejala rasuah ini seperti
memperkuatkuasakan undang-undang dan hukuman. Hal ini bagi memastikan pengamal rasuah
akan berfikir dua kali sebelum melakukan rasuah. Hukuman yang berat perlu dijatuhi kepada pesalah
rasuah agar mereka serik untuk melakukan gejala rasuah di kemudian hari. Melalui langkah ini,
masyarakat akan sedar betapa bahayanya aktiviti rasuah ini.

Seterusnya, pendedahan awal tentang bahayanya gejala rasuah sejak di bangku sekolah lagi
merupakan langkah yang bijak bagi menangani gejala rasuah. Generasi yang dididik agar membenci
gejala rasuah ini akan lebih bersikap telus, jujur dan amanah semasa menjalankan tugas mereka.
Pendedahan awal tentang gejala rasuah ini boleh diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah
dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan.

Langkah lain ialah mempermudahkan urusan menggunakan kemudahan teknologi maklumat


(ICT). Proses yang panjang dan sukar semasa melakukan urusan harus dipermudahkan menggunakan
kelebihan ICT. Melalui cara ini, seseorang induvidu lebih cenderung berurusan dengan menggunakan
perkhidmatan atas talian yang lebih cepat dan cekap sekaligus membendung gejala rasuah yang
mudah berlaku seperti sogokan semata-mata untuk mempercepatkan prosedur proses urusan.

Kesimpulannya, semua lapisan masyarakat perlu berganding bahu bagi membanteras gejala
rasuah ini agar imej negara bersih dari gejala rasuah. Hal ini juga akan menjadikan ekonomi negara
kita bertambah maju tanpa rasuah.
Rasuah jika tidak dikawal dan diperangi habis–habisan dari awal lagi akan memberi kesan buruk
terhadap sistem pentadbiran negara . Penyakit ini juga akan turut menggugat kestabilan sosial negara
. Apatah lagi ketika kerajaan sedang mencanangkan program pembangunan perindustrian yang
bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju . Gejala ini akan menjejaskan keyakinan orang
ramai terutama pelabur asing terhadap kecekapan dan keberkesanan sistem perundangan serta
birokrasi negara ini . Rasuah juga tidak boleh dimulakan kerana akan berlarutan dan ketagihan .
Setelah sebati dengannya , maka wabak berbahaya ini merebak menjangkiti orang lain pula . Rasuah
menyebabkan seseorang menjual prinsip , maruah dan harga diri . Masyarakat yang mengamalkan
rasuah akan bertindak di luar batasan dan peraturan yang telah ditetapkan .

Kesan amalan rasuah terhadap ekonomi ialah rasuah mempersulit kemajuan ekonomi apabila
kecekapan menurun selain mengubahsuaikan sistem yang selama ini diterima pakai dan efektif.
Dalam sektor swasta, perbelanjaan akan meningkat kerana wujudnya perbelanjaan "di luar akaun",
belanja perundingan dengan pejabat yang korup (duit kopi?), dan serta risiko pembatalan konsesi.
Walaupun ada yang menyatakan bahawa rasuah mengurangkan kos kerana birokrasi berjaya
"dicairkan", penyelidikan terbaru mendapati hal demikian tidak berlaku, sebaliknya lebih tinggi lagi
kosnya kerana pejabat korup tersebut akan membuat lebih banyak peraturan dan hambatan yang
baru. Rasuah juga menjejaskan persaingan dalam perniagaan dan pasaran seluruhnya apabila
syarikat tertentu yang mempunyai "hubungan" dilindungi daripada persaingan, lantas melahirkan
industri yang tidak berdaya maju.

Rasuah menimbulkan kekacauan dalam sektor awam apabila perbelanjaan awam untuk projek-
projek kemasyarakatan yang sememangnya banyak, naik mendadak kosnya, sehingga melepasi
peruntukan awal. Jabatan awam (mungkin juga kontraktor) mungkin "mengubahsuai" projek
tersebut (selepas menerima peruntukan daripada peringkat kerajaan yang lebih tinggi, misalnya),
walaupun sebenarnya tidak diperlukan, sebagai usaha menyorokkan rasuah yang berlaku.
Kemudiannya, keselamatan, keselesaan, dan kesan alam sekitar projek tersebut menjadi pertaruhan .
Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam dan infrastruktur yang dirancangkannya,
sekali gus mengenakan tekanan yang hebat kepada belanjawan bajet kerajaan.

Para pakar ekonomi berpendapat, antara punca ekonomi beberapa buah negara Asia dan Afrika
berkembang lemah, terutama di Afrika, ialah rasuah yang berbentuk "penagihan sewa" yang
menyebabkan perpindahan penanaman modal ke luar negara, bukannya dilaburkan di dalam negara
(yang sering kali disebut orang betapa ramai diktator Afrika mempunyai akaun bank di Swiss).
Berbeza pula dengan diktator di Asia, seperti Suharto yang sering meminta sogokan (daripada setiap
biaya atau keuntungan projek), namun lebih memberikan perhatian dalam pelaburan dalaman,
seperti dalam projek prasarana, kewangan, perbankan, dan lain-lain (yang bermanfaat kepada rakyat
jelata Indonesia). Pakar daripada Universiti Massachussetts memperkirakan, dari tahun 1970 hingga
1996, "pelarian" modal 30 buah negara Sub-Sahara berjumlah sekitar US $187 bilion (RM710.6
bilion); melebihi jumlah hutang luar negara-negara tersebut! (Hasilnya, Mancur Olson mengutarakan
model ekonomi tentang pembantutan pembangunan). Dalam kes Afrika lagi, antara punca lain
termasuklah ketidakstabilan politik; dan kerap kali kerajaan baru yang berjaya menggulingkan
pemerintah lama, merampas segala harta kerajaan terdahulu yang diperoleh daripada rasuah.
Mereka kemudiannya akan melakukan perkara yang sama, tanpa henti, dan menyimpan hasilnya di
seberang laut untuk persiapan "masa-masa sukar"

Kesan kepada kesejahteraan negara ialah "Rasuah politik" berlaku di banyak negara dan mengancam
jutaan manusia. Rasuah politik bererti "kebijaksanaan" pemerintah kerajaan memberikan pelbagai
faedah istimewa kepada penyogok, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat terbanyak. Dari satu sudut
yang lain, para politikus memainkan peranan melindungi syarikat tertentu (lazimnya entiti yang
besar), yang sebenarnya cuba menguburkan perusahaan yang lebih kecil yang baru bertatih. Mereka
memang pintar melindungi syarikat yang telah menaja kempen-kempen politiknya sahaja. Rasuah
yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat,
terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti
pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi. Untuk
memahami masalah ini dan mencari rumusannya, sangat penting untuk membezakan antara rasuah
dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas). Sama ada sesuatu perilaku dianggap
rasuah atau tidak bergantung pada praktik undang-undang di wilayah berkenaan. Contohnya,
pendanaan parti politik untuk pilihan raya dianggap satu bentuk rasuah di negara tertentu tapi
dianggap legal di tempat lain.

Kesan kepada demokrasi ialah musuh pembangunan. Dalam dunia politik, rasuah menjejaskan
perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan. Rasuah dalam pilihan
raya atau pemilihan umum lain dan dalam badan perundangan merosakkan akaun libiliti dan
kecekapan, juga rasuah dalam sistem pengadilan pula mencabul ketertinggian undang-undang dan
rasuah dalam pentadbiran awam menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial. Secara umum,
rasuah mengikis kemampuan sesuatu sistem kerana tidak tepat prosedur, kemerosotan sumber daya
usaha, dan pejabat diiktiraf oleh jabatan bukan kerana prestasi. Keseluruhannya, rasuah
menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang ada.

Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal
ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan,
mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat
masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka
tidak dibawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat akan keikhlasan
kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke
mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat
awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa
memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang
setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini. Usaha kerajaan untuk menakutkan
pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang
dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah
ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej
atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan
masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah
tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini.
Selain itu, siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiat lagi agar masyarakat sedar
betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan
negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah
lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor
pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep
murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk
mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami
keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan
kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini
dengan begitu mudah dan berkesan. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam
perlu memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri kita untuk mengelakkan diri daripada gejala
rasuah ini. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk
membanteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa,
pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati
diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa yang tahu dan peluang terbuka luas di
hadapan mata.

Pihak sekolah juga perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak bangsa supaya
menjauhi gajala ini. Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik
sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik agar membenci rasuah akan membesar
menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya
membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh
semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku
terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi
masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan
diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan
dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya. Sesungguhnya masyarakat
yang kehilangan nilai amanah akan ditimpa krisis kepercayaan. Oleh itu, semua pihak perlu menjauhi
sifat tamak yang boleh menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja
melebihi pendapatan. Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala ini, rakyat sangat
berharap tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang–undang. Martabat atau parti
politik bukan payung yang melindungi sesiapa daripada penghakiman dan hukuman. Kita yakin
bahawa hukuman yang setimpal boleh menerbitkan perilaku baik seseorang. Sehubungan itu, dalam
memerangi gejala ini, semua pihak perlulah bertindak secara menyeluruh dan berterusan. Jika kita
sepakat melakukannya, tiada sebab kita akan gagal. Nabi Muhammad s.a.w bersabda

"Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari mereka
mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong
tangannya. Demi Zat yang jiwa ku ada di tangan Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri,
nescaya akan aku potong tangannya!"
Punca Gejala Rasuah dan Langkah Mengatasi

Rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang
diberikan kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapat sesuatu
dengan mudah dan cepat tetapi salah di sisi undang-undang negara. Rasuah merupakan gejala yang
sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini dan menjadi buah mulut media massa. Media massa
selalu menyiarkan pelbagai kes rasuah yang melibatkan pegawai berprofil tinggi sebagai bukti isu ini
semakin berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Kekurangan didikan agama dan moral

Antara punca berlakunya gejala rasuah termasuklah kurangnya didikan agama dan moral. Semua
agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang
kemudaratan. Didikan agama dan moral merupakan pedoman dan panduan kita semasa menempuh
belantara kehidupan. Namun demikian, seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat mudah
terpengaruh dengan dunia hedonistik yang mementingkan aspek kebendaan semata-mata. Mereka
akan leka mengejar kekayaan dan mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan dengan mengambil
rasuah untuk memenuhi fatamorgana diri sendiri. Individu sebegini sudah kehilangan prinsip asas
dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Jelaslah bahawa anutan agama dan moral yang kurang mantap akan
menyebabkan seseorang melibatkan diri dalam gejala rasuah.

Ketelusan sistem pentadbiran kerajaan

Punca lain yang ketara ialah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat
menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang
telus terutamanya aspek pemberian tender, kontrak dan projek lain yang menyebabkan ramai
pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan ini untuk mengaut keuntungan dengan
memberikan rasuah. Lagipun, ketiadaan sistem permantauan berkesan yang bak melepaskan batuk
di tangga menyebabkan ramai pekerja awam yang terangsang untuk melakukan jenayah ini. Maka,
wabak sosial ini telah menular dalam masyarakat kita sehingga dianggap sebagai asam garam
kehidupan dan merupakan kebiasaan di negara kita. Persepsi demikian menyebabkan jumlah kes
rasuah melambung tinggi dan menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita.

Ketelusan sistem pentadbiran kerajaan

Punca lain yang ketara ialah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat
menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang
telus terutamanya aspek pemberian tender, kontrak dan projek lain yang menyebabkan ramai
pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan ini untuk mengaut keuntungan dengan
memberikan rasuah. Lagipun, ketiadaan sistem permantauan berkesan yang bak melepaskan batuk
di tangga menyebabkan ramai pekerja awam yang terangsang untuk melakukan jenayah ini. Maka,
wabak sosial ini telah menular dalam masyarakat kita sehingga dianggap sebagai asam garam
kehidupan dan merupakan kebiasaan di negara kita. Persepsi demikian menyebabkan jumlah kes
rasuah melambung tinggi dan menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita.

Penguatkuasaan undang-undang yang lemah

Seperkara lagi, penguatkuasaan undang-undang yang lemah dalam sistem perundangan negara kita
turut menyumbang kepada penularan gejala rasuah dalam negara kita. Tindakan mahkamah yang
menjatuhkan hukuman ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah
yang diambil oleh mereka telah menimbulkan pandangan negatif terhadap keupayaan sistem
kehakiman negara kita untuk menangani isu ini. Hukuman ringan ini dikatakan menjadi motivasi
kepada pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana sedar bahawa mereka
masih mampu menikmati hasil rasuah yang diambil setelah keluar dari penjara. Terdapat juga
anggapan rakyat bahawa masih ada pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi tidak dibawa ke
muka pengadilan. Hal ini telah mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan
kerajaan untuk menangani isu ini. Sesungguhnya, kekurangan ketegasan sistem kehakiman kita
dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah merupakan antara
penyumbang utama kepada kejadian jenayah rasuah di negara kita.

Langkahmenyemai nilai murni

Untuk menangani isu rasuah dari akar umbi, ibu bapa dan barisan pendidik memainkan peranan
yang signifikan dalam menyemai nilai murni pada sanubari anak. Sejak usia muda, anak-anak perlu
dididik tentang keburukan mengambil rasuah kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah
daripada rebungnya. Ibu bapa perlulah menjadi entiti mithali dan teladan baik dengan bersikap jujur
dan menjauhi amalan rasuah. Hal ini disebabkan ibu bapa yang melakukan jenayah rasuah dan cuba
menasihati anak-anak mereka untuk menjauhi gejala tersebut ibarat ketam yang mengajar anaknya
berjalan dan nasihat mereka akan bagai mencurah air ke daun keladi. Di sekolah, pengajaran
pendidikan agama dan moral perlu diberikan tekanan. Barisan pendidik boleh berkongsi maklumat
terkini tentang gejala rasuah dengan anak murid sebagai iktibar supaya tidak melakukan jenayah
rasuah dalam kehidupan mereka. Sesungguhnya, kerjasama daripada ibu bapa dan barisan pendidik
mampu melahirkan anak bangsa yang berpegang kuat pada prinsip mereka dan menjauhi amalan
rasuah.

Langkah Menguatkuasakan undang-undang

Pihak kerajaan boleh membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut sosial ini dengan
menguatkuasakan undang-undang negara kita. Sistem kehakiman negara kita perlulah diperketat dan
pesalah-pesalah rasuah mestilah ditahan, didakwa dan dihukum tanpa mengira kedudukan mereka.
Hukuman tegas perlu dijatuhkan pada pesalah rasuah sebagai amaran kepada orang lain agar tidak
melakukan jenayah tersebut kerana bak kata pepatah, harimau ditakuti disebabkan giginya.
Kesungguhan kerajaan dalam membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan juga memberikan satu
peringatan yang kekal terpahat pada sanubari mereka selagi hayat dikandung badan. Jelaslah bahawa
tindakan tegas terhadap semua pengamal rasuah tanpa memilih bulu akan mendorong masyarakat
kita supaya menjauhi jenayah tersebut.

eranan Media Massa

Di samping itu, media massa turut memainkan peranan vital dalam menimbulkan kesedaran dalam
lapisan masyarakat tentang keburukan dan implikasi mengambil rasuah. Pihak kerajaan seharusnya
melancarkan kempen iklan yang efektif dengan menggunakan media massa secara holistik, iaitu
akhbar hingga ke internet untuk memastikan setiap lapisan masyarakat didedahkan kepada kempen
tersebut. Kempen ini bertujuan untuk memberikan amaran dan peringatan kepada setiap individu
tentang hukuman yang akan dihadapi jika mengambil rasuah. Justeru, masyarakat akan berfikir dua
kali sebelum menerima rasuah dan senario ini akan mengurangkan kes rasuah dengan signfikan.
Sudah terang lagi bersuluh, dalam menempuh arus globalisasi ini media massa merupakan senjata
yang efektif dalam membanteras jenayah rasuah di negara kita.

Penutup Karangan gejala rasuah

Konklusinya, rasuah merupakan wabak sosial yang mestilah dibanteras hingga ke akar umbi. Semua
pihak tidak kira pangkat atau harta seharusnya menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk
mengatasi gejala rasuah di negara kita. Jika setiap individu memainkan peranan dengan mengelakkan
diri daripada mengambil rasuah, pastilah masalah ini dapat ditangani kerana bak kata pepatah, di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maka, tindakan saksama yang dikenakan terhadap pesalah
rasuah tanpa mengira kedudukan juga dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.
Lantas, negara kita dapat terus maju dan muncul sebagai negara kelas pertama di pentas dunia.

Anda mungkin juga menyukai