Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PN.

HAJAH RAZANA AINI BINTI ALI DAWAM (PENGETUA CEMERLANG SMK SERI TASIK) SEMPENA MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE 8 Yang Berusaha saudari pengerusi majlis, Yang Dihormati Yang Dipertua PIBG , Tn. Haji Rosli Bin Bahari, Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum, Pn. Zuruwati Binti Awang, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Khiruddin Bin Abdullah, Penolong Kanan Kokurikulum, Pn. Khamisah Binti Mustafa, Penolong Kanan Pendidikan Khas, En. Rosli Bin Omar, guru-guru kanan, kaunselor, guru-guru ,dan para ibubapa sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Saya melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah kerana kita dapat bersamasama dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-8 SMK Seri Tasik. Saya amat mengalu-alukan kedatangan ibubapa sekalian. Di sebalik kesibukan tugas harian, ibubapa semua dapat juga mencuri masa untuk hadir. Tidak dilupakan kepada para guru yang telah berusaha dengan gigih selama ini. Saya rasa berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan dan prihatin semua ibubapa dan guru-guru. Bagi pihak PIBG sekolah, saya yakin dengan kehadiran kita, akan dapat menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan warga SMK Seri Tasik untuk melibatkan diri dengan aktif dalam program sekolah. Tuan/puan, hadirin dan hadirat sekalian, pada masa ini jumlah pelajar di SMK Seri Tasik ialah seramai 1098 orang pelajar iaitu 1022 pelajar daripada aliran perdana dan 76 pelajar daripada PPKI. Walau bagaimanapun, jumlah ini sentiasa berubah dari masa ke semasa dengan pelbagai faktor seperti

perpindahan masuk atau keluar pelajar. Manakala kita mempunyai 86 orang guru iaitu 65 orang guru perempuan dan 21 orang guru lelaki. Hadirin sekalian, Kita sedar bahawa dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa ke masa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang. Apatah lagi, tanpa kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah. Anak-anak kita pula hidup dalam zaman yang semakin mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah. Ini bermakna peluang pendidikan yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mahukan anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya melanjutkan ke kolej atau universiti. Dengan adanya dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan, anak-anak kita ini boleh merebut peluang yang ada. Hal ini kerana markah sebanyak 10 peratus diperuntukkan dalam aspek kokurikulum. Anak-anak yang aktif dalam kokurikulum boleh menggunakan kelebihan itu disebabkan pencapaian yang baik dan keaktifan pelajar itu sendiri. Saya juga pasti pihak ibu bapa sendiri telah pun sedia maklum berkaitan perkara ini dan pihak sekolah dalam usaha untuk memastikan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang kurikulum malahan dalam bidang kokurikulum. Pada masa ini, semua pelajar terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis. Semua aktiviti kelab atau persatuan dijalankan pada hari Selasa, aktiviti unit beruniform pada hari Rabu manakala sukan dan permainan dijalankan pada hari Khamis. Waktu yang telah ditetapkan adalah 2.30 petang sehingga 4.30 petang dan peraturan sekolah tidak membenarkan sama sekali pelajar terus balik ke rumah sebaik sahaja kelas tamat tetapi meneruskan aktiviti kokurikulum di sekolah. Saya melihat bahawa penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan masalah sosial. Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti bersukan dan kawad kaki, masa mereka terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan dapat membentuk disiplin anak-anak. Selain itu, pihak sekolah telah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat kepada pelajar sepanjang tahun 2010 dan kita boleh saksikan di slide yang akan

dipaparkan kepada kita. Antara program-program yang telah kita jalankan ialah Majlis Anugerah Cemerlang, Sambutan Bulan Patriotisme, Kem Pengawas, Program Dear, Program Motivasi, Majlis Graduasi, Program Ihya Ramadhan, Qiamulai pelajar tingkatan 3 dan 5, Hari Keusahawanan dan banyak lagi. Syukur ke hadrat ilahi kerana semua program yang dijalankan berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan. Pada tahun ini juga pelbagai program telah dirancang dan telah pun bermula. Antaranya ialah Program Julang Permata yang bukan sahaja melibatkan pelajarpelajar yang terpilih malahan melibatkan guru-guru yang sentiasa membimbing pelajar-pelajar ini seperti anak mereka sendiri. Sekolah benar-benar mengharapkan kejayaan program ini supaya ia dapat diteruskan pada masamasa akan datang. Saya mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, terutamanya daripada ibubapa kerana setiap antara kita boleh menyumbang demi kemajuan anak-anak kita . Saya percaya dengan keprihatinan semua kita boleh mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam semua aspek. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada semua yang sudi bersama-sama dengan kita pada hari ini. Saya menyusun jari memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Apa yang saya perkatakan datangnya dari hati saya yang ikhlas demi melihat kemajuan anak-anak kita jua. Dengan lafaz bismillahhirahmanirrahim , saya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-8 SMK Seri Tasik.