Anda di halaman 1dari 3

Kebaikan Amalan Gotong Royong Dalam Masyarakat (Kelebihan)

Pendahuluan Setiap di antara kita pastinya pernah menyertai program


bergotong royong sama ada di sekolah atau di kawasan perumahan
masing-masing. Aktiviti ini melibatkan sekumpulan individu bersama-
sama membersihkan atau melakukan satu tugasan untuk kebaikan
bersama. Jika ditelusuri, budaya ini telah pun dilakukan oleh nenek dan
moyang kita apabila ingin menjalankan sebuah majlis keraian atau
perkahwinan, mereka akan bersama jiran tetangga untuk memasak dan
membersihkan kawasan yang digunakan selepas itu. Namun begitu,
kemajuan zaman pada masa ini telah menjadikan budaya tersebut
semakin dilupakan bagai kacang lupakan kulitnya. Pekhidmatan
katering dan pengatur cara majlis lebih mudah untuk diupah dan
memastikan majlis-majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.
Justeru, wajar untuk kita mengetahui kebaikan amalan gotong royong
dalam masyarakat supaya kita dapat melaziminya kembali untuk
mendapat faedah bersama. Isi 1 Kebersihan kawasan persekitaran
dapat dipelihara adalah salah satu kebaikan amalan gotong royong jika
dilakukan dengan kerap di dalam sesebuah komuniti. Masyarakat pada
hari ini merasakan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan
sekitar adalah peranana kerjaan atau pihak berkuasa. Stigma ini perlu
dihentikan kerana walaupun agensi kerajaan mempunyai pekerja
pembersihan untuk membersihkan kawasan perumahan, kita juga boleh
membantu meringankan bebanan kerja mereka dengan aktiviti gotong
royong. Sebaiknya jika kita berada dalam satu komuniti aktiviti
pembersihan kawasan sekitar secara gotong royong hendaklah
dilaksanakan satu atau dua kali sebulan. Hal ini kerana ia dapat
membuka mata kita terhadap persekitaran tempat tinggal kita. Misalnya
kita dapat memastikan saluran longkang berjalan dengan lancar dan
tidak tersumbat serta tiada takungan air berlaku tanpa sedar kerana
akan menyebabkan pembiakan aedes. Apabila kebersihan dijaga,
nescaya kesihatan juga terjamin bak kata pepatah, mencegah lebih baik
daripada merawat. Isi 2 Pada masa yang sama, aktiviti gotong royong
dapat memupuk semangat atau nilai kerjasama serta memudahkan
tugas setiap individu. Sebagai contoh, aktiviti kebajikan yang dibuat
secara bergotong royong memerlukan kerjasama yang baik antara
peserta. Jika aktiviti kebajikan adalah untuk mengecat sebuah rumah
penjagaan orang tua, sukarelawan yang menyertai aktiviti tersebut perlu
mengagihkan tugas supaya misi tercapai dalam masa yang singkat.
Bayangkan jika aktiviti kebajikan tersebut tidak diatur dengan baik,
pastinya aktiviti mengecat tidak selesai dalam masa satu hari. Secara
tidak langsung, kemahiran mengurus dan mendengar arahan dapat
ditambah baik dalam diri setiap sukarelawan. Persis kata peribahasa
Melayu, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jelasnya, aktiviti gotong
royong dapat menyelesaikan sesuatu tugas dalam tempoh masa yang
singkat dan memupuk nilai kerjasama. Isi 3 Di samping itu, menyertai
aktiviti gotong royong dapat mengeratkan hubungan kita dengan
masyarakat setempat. Ungkapan tak kenal maka tak cinta adalah
kenyataan yang jelas menunjukkan jika kita tidak mengenali seseorang,
kita tidak akan tahu tentang kebaikan atau sumbangan yang mampu
mereka berikan kepada kita. Melalui aktiviti gotong royong dalam
komuniti, kita dapat mengenali jiran tetangga kita dengan lebih baik.
Tamsilnya, jika salah seorang anak kita mencari peluang pekerjaan dan
terdapat jiran yang bekerja di dalam bidang yang sama dengan latar
belakang akademik anak tersebut, kita berpeluang untuk mendapatkan
temu duga dan sebagainya. Selain itu, melalui aktiviti gotong royong,
kita dapat mengenal pasti dan membantu jiran tetangga yang kurang
bernasib baik. Perasaaan simpati dan empati akan timbul untuk kita
membantu jiran tetangga yang menghadapi kesusahan dengan
kemampuan atau keupayaan yang kita miliki. Bak kata peribahasa,
ringan sama menjinjing, berat sama memikul. Intihannya, semangat
kejiranan akan bertambah kukuh dengan melakukan aktiviti gotong
royong Isi 4 Pada masa yang sama, umum mengetahui bahawa
Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan
agama. Maka, aktiviti yang melibatkan kebanyakan anggota masyarakat
seperti gotong royong dapat melahirkan perpaduan antara kaum,
bangsa dan agama. Kita sering kali dipermainkan dengan anasir jahat
yang sengaja ditimbulkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab
untuk menjadikan kucar-kacir dalam keharmonian negara. Namun
begitu, isu tersebut sering kali disangkal oleh ahli masyarakat kita
kerana apabila berlaku bencana seperti banjir kita dapat lihat dengan
mata kasar bahawa pertolongan diberikan antara satu sama lain tanpa
sebarang prejudis. Natijahnya, aktiviti seperti gotong royong dapat
menyemarakkan perpaduan antara masyarakat terutamanya dalam
kalangan kanak-kanak dan belia yang mustahak demi masa hadapan
tanah air. Persis kata peribahasa, hidup dikandung adat, mati
dikandung tanah yang bermaksud, jika adata atau budaya yang
diamalkan oleh nenek dan moyang kita memberikan kebaikan, tiada
sebab untuk kita tidak meneruskan amalan tersebut. Penutup Sebagai
kesimpulan, amalan gotong royong memberikan pelbagai kebaikan
secara langsung dan tidak langsung. Oleh itu, setiap organisasi
khususnya yang melibatkan masyarakat dan golongan muda
seharusnya menggalakkan aktiviti gotong royong dalam gerak kerja
yang boleh dilaksanakan. Ia mampu memberikan impak yang positif
bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi mewujudkan suasana
yang harmoni dan meriah dalam komuniti yang mengamalkan gotong
royong. Malah, keharmonian antara masyarakat dalam negara akan
kekal utuh dan menjadi tunjang kepada kemajuan negara pada masa
kini dan masa hadapan.

Anda mungkin juga menyukai