Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO

Laporan refleksi.

Berdasarkan rancangan pengajaran harian yang saya sediakan, kumpulan sasaran saya ialah murid tahun 3 di Sekolah Kebangsaan Padang Pekan. Bilangan murid seramai 26 orang dari kelas 3 Ar-Razi menjadi kumpulan sasaran saya. Namun begitu, pada hari pengajaran mikro sebenar, hanya 24 orang murid yang mengikuti kelas pendidikan jasmani kelolaan saya kerana seorang murid tidak hadir dan seorang lagi murid tidak memakai pakaian sukan. Tajuk pengajaran mikro saya pada hari berkenaan ialah ketangkasan. Bagi permulaan sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari tersebut, saya dan saudara Mohamad Hafiz telah menjalankan aktiviti Chicken Dance. Permainan ini sangat sesuai bagi menguji ketangkasan murid-murid dalam menukar pergerakan mengikut rentak muzik yang dimainkan. Murid-murid dilihat sangat gembira melakukan tarian chicken dance ini. Selesai sahaja aktiviti tersebut, murid-murid diarahkan melakukan lompat kuadran dan dikawalselia oleh saudara Hafiz. Ini adalah bertujuan bagi menyediakan otot kaki untuk aktiviti seterusnya yang banyak melibatkan bahagian kaki. Selepas selesai melakukan lompat kuadran, saya mengambil alih tugas bagi aktiviti pemanasan badan. Aktiviti pemanasan badan ini dilakukan secara ringkas dengan hanya melibatkan bahagian kaki murid kerana masa yang terhad dan juga kerana sememangnya bahagian kaki yang akan banyak digunakan sepanjang sesi pengajaran mikro saya dan saudara Hafiz ini. Alhamdulillah, murid-murid berjaya memberikan perhatian kepada saya dan Hafiz semasa aktiviti ini dijalankan. Kesemua murid berjaya mengikut setiap langkah pemanasan badan yang saya kendalikan. Dalam bahagian perkembangan pengajaran pula, saya dan Hafiz membahagikan murid kepada dua kumpulan besar yang terdiri daripada 12 orang murid dalam satu kumpulan. Seterusnya, saya dan Hafiz mengambilalih satu kumpulan seorang bagi memastikan setiap murid dapat mengikuti sesi kami secara sepenuhnya. Pada awalnya, saya menyangka murid-murid akan merasa bosan dengan pengajaran kami kerana telah mempelajarinya pada minggu terakhir sebelum bulan Ramadhan yang

LAPORAN REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO


lalu. Namun, penglibatan murid-murid pada kali ini amat berbeza dan

memberangsangkan.

Murid-murid

semakin

bersungguh-sungguh

mengikuti

pembelajaran pendidikan jasmani bersama saya dan Hafiz. Aktiviti pertama dalam bahagian perkembangan ini, saya dan Hafiz telah menyediakan empat buah gelung rotan. Murid-murid dikehendaki melompat dengan kedua-dua belah kaki dan mendarat dengan kedua-dua belah kaki juga mengikut turutan gelung yang disediakan. Selepas itu, murid-murid dikehendaki pula melompat secara zig-zag ke dalam empat gelung rotan tersebut.

Kebimbangan jelas terpancar pada wajah saya dan Hafiz kerana risau murid tidak dapat mengikut arahan yang kami berikan. Seterusnya, setelah semua murid menguasai kedua-dua langkah tersebut, saya dan Hafiz menyediakan 15 gelung rotan ( 2 set ) untuk kedua-dua kumpulan. Aktiviti ini lebih menguji ketangkasan murid berbanding aktiviti sebelumnya. Selepas menunjukkan cara bagaimana untuk melakukan aktiviti itu, saya mengarahkan seorang murid dari setiap kumpulan untuk cuba melakukannya dan ternyata mereka boleh mengikut langkah yang saya dan Hafiz sediakan. Perasaan gembira tidak terhingga dalam diri saya apabila setiap arahan yang saya berikan mampu diikuti oleh setiap murid. Dari segi pengurusan bilik darjah pula, saya akui kekuatan kami berada di bahagian ini yang membolehkan murid mendengar dan mengikut segala arahan yang saya dan Hafiz berikan kepada mereka. Disiplin murid pada pagi berkenaan sangat baik. Di samping penerangan dan arahan saya serta Hafiz yang ringkas dan jelas, yang membolehkan murid-murid terlibat secara responsif dan aktif sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, alatan yang kami sediakan juga mencukupi bagi

LAPORAN REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO


membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran kami berjalan dengan lancar. Suara yang lantang juga membantu murid-murid mendengar arahan dari saya dan Hafiz dengan jelas. Peluang yang kami berikan untuk setiap murid mencuba aktiviti yang kami jalankan juga digunakan sepenuhnya oleh murid-murid. Tidak ada seorang murid pun yang melarikan diri bagi mengelakkan diri dari mengikuti aktiviti yang kami sediakan. Saya mula berasa seronok mengawal kelas ini walaupun pada mulanya bimbang mereka degil dan tidak mendengar kata. Seterusnya, dari aspek komunikasi pula, alhamdulillah, setiap arahan dan laras bahasa yang saya dan Hafiz gunakan dapat difahami dengan baik oleh setiap murid. Walaupun saya dan Hafiz bukan berasal dari negeri Kedah, namun kami berjaya menggunakan laras bahasa yang sesuai bagi membolehkan murid-murid yang rataratanya anak jati negeri Kedah memahami maksud setiap tutur kata dan arahan kami. Pada bahagian penutup pula, saya dan Hafiz melakukan senaman gerak kendur. Gerak kendur ataupun dikenali juga sebagai cooling down amat penting bagi melonggarkan balik otot-otot yang telah bekerja keras semasa melakukan aktiviti sepanjang sesi pendidikan jasmani tadi. Ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kecederaan otot kepada murid-murid. Namun begitu, saya dan Hafiz tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengadakan sesi soal jawab mengenai isi pembelajaran dengan murid kerana kumpulan seterusnya sudah bersedia untuk mengambil alih kelas ini. Kami hanya sempat menyatakan kepentingan dan tujuan mengadakan aktiviti gerak kendur kepada murid-murid. Secara keseluruhannya, saya amat bersyukur kerana berjaya mengendalikan pengajaran mikro pada kali ini dengan amat baik sekali dari segenap aspek. Penegasan aspek nilai, pujian dan amalan nilai murni banyak diterapkan sepanjang sesi pengajaran saya dan Hafiz. Antaranya ialah pujian bagus terhadap murid dan kumpulan yang berjaya melakukan aktiviti dengan baik, amalan menepuk tangan untuk diri sendiri bagi memotivasikan diri murid juga dipraktikkan.

LAPORAN REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO


Untuk akhirnya, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pensyarah pembimbing iaitu Puan Noorashikin Bt. Ismail kerana telah banyak menyumbangkan idea kepada saya dan Hafiz bagi melaksanakan pengajaran mikro ini. Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan sekelas yang telah banyak membantu dari segi penyediaan alatan dan membuat rakaman serta penilaian terhadap sesi pengajaran saya dan Hafiz. Seterusnya, saya berharap saya mampu melakukan penambahbaikkan terhadap aktiviti mengajar saya pada masa akan datang agar dapat menampung segala kekurangan pada masa sekarang.

Disediakan oleh,

( W MOHD TALQIFF IMAN BIN WAN AHMAD RAFIDI) PISMP SEMESTER 4/ AMBILAN JANUARI 2010 PK/ PJ/ BM

Anda mungkin juga menyukai