Anda di halaman 1dari 20

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 1

UNIT 1 ERTI DAN MATLAMAT PENDIDIKAN SERTA MODEL PENGAJARAN


HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini, anda diharap dapat: 1. Membezakan erti pendidikan mengikut beberapa perspektif ilmu ekonomi, politik, sosiologi dan psikologi. 2. Menyatakan dan mentafsir matlamat pendidikan di Malaysia. 3. Menghurai beberapa erti pengajaran dan pedagogi. 4. Membezakan beberapa model pengajaran. 5. Menghuraikan model pengajaran UPSI dan memberi contoh langkah-langkahnya.

PENGENALAN
Kita boleh melihat pendidikan dari pelbagai perspektif. Anda boleh bertanya, apakah erti pendidikan dari kaca mata seorang ibu? Seorang murid Tahun 5? Guru Bahasa Melayu di sekolah menengah? Atau Guru Pendidikan Islam Tahun 6? Guru besar? Pensyarah pendidikan di Fakulti Pendidikan di IPT? Pegawai kurikulum di Pusat Kurikulum? Apakah tafsiran anda? Bab ini akan membincang pengertian konsep pendidikan, pengajaran, beberapa model besar pengajaran serta kemahiran-kemahiran penting dalam pengajaran. Tujuannya adalah supaya anda mendapat gambaran keseluruhan konsep-konsep penting yang kemudian akan dihurai dengan lebih terperinci dalam unit-unit seterusnya.

ISI KANDUNGAN
Apakah erti pendidikan?

idaklah mustahil sekiranya terdapat kelainan antara tafsiran konsep pendidikan dari setiap mereka ini, termasuklah anda sendiri kerana setiap seorang akan mentafsir pendidikan berdasarkan pengalamannya.

Kita boleh melihat pendidikan sebagai satu proses dan sebagai suatu produk (hasil). Dari segi proses, pendidikan bererti bagaimana seseorang itu diasuh dan diajar; dan kesannya adalah berlaku pembelajaran, iaitu pertambahan pengetahuan dan kemahiran serta perubahan cara berfikir seseorang.

2 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

Berikut adalah beberapa erti pendidikan yang mungkin pernah anda baca. 1. Proses asuhan kanak-kanak oleh ibu bapanya supaya anaknya pandai bertutur, membaca dan menulis serta kelakuan yang beradab sopan. 2. Proses perbincangan dan dialog antara ahli kumpulan pelajar tentang sesuatu isu supaya isu itu dapat difahami dengan lebih jelas dari beberapa segi. 3. Proses mengajar murid supaya mereka pandai berfikir dalam matematik dan sains dan dapat menyelesaikan masalah dalam kedua-dua mata pelajaran ini. 4. Proses membimbing murid untuk meneroka dan mencari maklumat mengenai sesuatu perkara dan membuat analisis dan sintesis tentang maklumat itu.

Buat perbandingan pengertian pendidikan di atas dan lihat apakah persamaan dan perbezaannya. Bolehkah anda membuat kesimpulan apakah maksud pendidikan berdasarkan pengertian di atas? Setujukah anda dengan pengertian ini? Mengapa? Kajian tentang proses dan hasil pendidikan melibat berbagai-bagai disiplin ilmu. Setiap disiplin ilmu memberi tafsiran pendidikan mengikut perspektifnya. Berikut ialah contoh tafsiran pendidikan dari perspektif teori sosiologi, ekonomi, sains politik dan psikologi,

Apakah pendidikan dari perspektif sosiologi dan antropologi?


ari perspektif sosiologi, pendidikan dilihat sebagai satu proses sosialisasi, iaitu bagaimana ahli masyarakat, terutama generasi muda, diajar dan diasuh secara formal atau tidak formal untuk menerima pengetahuan, kemahiran, norma dan nilai sosial, kedudukan dan peranan masingmasing dalam konteks sesuatu masyarakat itu. Pendidikan juga dilihat sebagai proses pemilihan (selection) yang menentukan kedudukan atau status seseorang dalam susun lapis sosio-ekonomi masyarakat itu: lebih tinggi pendidikan seseorang lebih tinggi statusnya dalam masyarakat. Ahli antropologi melihat pendidikan sebagai proses pembudayaan (enculturation) di mana ahli sesuatu masyarakat mempelajari dan menerima kepercayaan, nilai-nilai, norma, cara bertindak yang dianggap sesuai dalam masyarakat itu. Seseorang yang berbudaya ialah seseorang yang menghayati dan mengamalkan nilai dan tingkah laku yang baik dalam masyarakat itu. Dari perspektif ini, proses dan hasil pendidikan oleh sesebuah masyarakat yang percaya dan memberi tumpuan kepada pendidikan sains dan teknologi adalah berbeza dengan masyarakat yang mementingkan pendidikan agama dan tatasusila; dan ini tentunya juga berbeza dengan masyarakat yang memberi tumpuan kepada kemahiran dalam perniagaan.

Apakah pendidikan dari perspektif ilmu ekonomi?

lmu ekonomi melihat pendidikan sebagai satu pelaburan (investment), atau sebagai satu consumption. Pelaburan dalam pendidikan bererti membelanjakan wang, masa dan tenaga untuk mendapat pendidikan dan latihan. Ilmu dan kecekapan yang diperolehi dijangka akan membawa

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 3

pulangan yang menguntungkan pada masa hadapan, melalui pekerjaan yang lebih baik, produktiviti dan pendapatan yang lebih tinggi. Pendidikan sebagai consumption pula menganggap proses dan hasil mencari ilmu pengetahuan itu hanyalah untuk kepuasan rasa ingin tahu atau riadah saja. Pelaburan dalam pendidikan boleh dibuat oleh sama ada individu dan keluarganya, atau oleh sesuatu organisasi, atau oleh negara amnya. Contohnya, ibu bapa membelanja wang untuk anaknya mendapat latihan tambahan di pusat tuisyen supaya anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan; supaya layak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi; dan kemudian mendapat pekerjaan yang bergaji tinggi. Negara juga melaburkan banyak wang untuk memberi pendidikan kepada murid di sekolah dan di institusi pendidikan tinggi untuk membentuk modal insan yang yang lebih berkemahiran dan menjadi pekerja yang cekap dan produktif.

Apakah pendidikan dari perspektif ilmu sains politik?


lmu sains politik pula melihat pendidikan sebagai proses bagaimana sesebuah negara itu mendidik dan membina warga negaranya supaya mempunyai sikap dan nilai patriotisme, mengetahui tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Kita boleh melihat pendidikan di negara Jepun berjaya melahirkan rakyatnya yang bangga dengan negara Jepun, begitu juga Amerika Syarikat, Indonesia, Britain dan Singapura. Negara kita Malaysia juga mendidik generasi muda supaya memahami aspirasi negara kita misalnya memahami Rukun Negara, tata susila dan undang-undang negara kita. Murid-murid belajar sejarah dan geografi negara Malaysia, menyanyi lagu Negara-ku, mengibar Jalur Gemilang, menghormati Yang DiPertuan Agong, dan sayang kepada alam sekitar negara kita. Kita dididik secara langsung dan tidak langsung supaya berasa bangga menjadi rakyat Malaysia.

Apakah pendidikan dari perspektif psikologi pendidikan?


akar psikologi melihat pendidikan sebagai proses membantu pembelajaran seseorang murid untuk memperkembangkan potensinya dan membentuk sahsiahnya. Ada berbagai teori pembelajaran dan pengajaran untuk menerangkan bagaimana seseorang itu belajar dan boleh dididik. Setiap individu mempunyai bakat, aptitud dan gaya pembelajarannya yang tersendiri. Dengan itu proses pendidikan ialah proses memupuk perkembangan potensi, bakat dan sahsiah murid-murid.

Sekarang, mari kita pastikan anda telah memahami pengertian pendidikan dari pelbagai perspektif ilmu. Dengan menggunakan perkataan anda sendiri, tuliskan erti pendidikan dari perspektif; ilmu ekonomi: ___________________________________________________________ _______________________________________________________________________

4 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

ilmu sosiologi: ___________________________________________________________ ______________________________________________________________________ seorang ibu atau bapa: ____________________________________________________ _______________________________________________________________________ perspektif anda sendiri: ___________________________________________________ ______________________________________________________________________

Pilih dua erti pendidikan dari sebuah buku atau artikel dalam internet. Dari perspektif manakah definisi atau tafsiran itu dibuat? Bincangkan.

Apakah pendidikan formal, non-formal, dan informal?

ecara amnya, pendidikan seseorang itu ialah pengalaman yang ia terima hasil daripada interaksinya dengan orang lain dan alam sekitar dalam berbagai-bagai situasi: dalam keluarga, masyarakat di sekeliling, media massa, sekolah, dan sebagainya.

Pendidikan yang kita lalui dan yang diterima boleh dibahagikan kepada tiga bentuk, iaitu pendidikan (1) formal, (2) non-formal dan (3) informal. Pembahagian ini sekadar untuk melihat jenis sistem penyampaian pendidikan sahaja, bukan untuk memperkotakkannya, atau memisahkan-misahkannya. Pembelajaran sebenarnya berlaku dalam ketiga-tiga jenis atau mod pendidikan tersebut secara serentak. Apakah pendidikan formal? Pendidikan formal ialah pendidikan terancang di mana kurikulum atau program pengajian dan mata pelajaran disusun dan diajar oleh guru kepada pelajar di institusi pendidikan khas seperti sekolah, kolej, politeknik dan universiti. Biasanya pendidikan formal yang dirancang ini mempunyai peperiksaan atau penilaian formalnya dan membawa kepada penganugerahan sesuatu sijil, diploma atau ijazah. Apakah pendidikan non-formal? Pendidikan non-formal ialah pendidikan tambahan terancang yang diajar di luar pendidikan formal seperti kegiatan kokurikulum di sekolah (aktiviti sukan, persatuan dan kegiatan beruniform). Pendidikan non-formal termasuk kursus pendek, latihan khas, bengkel, dan belajar sambil bekerja yang dirancang oleh jabatan kerajaan atau syarikat swasta untuk menambah kecekapan pekerjanya. Apakah pendidikan informal? Pendidikan informal ialah pendidikan dan pengalaman yang kita perolehi melalui berbagai-bagai aktiviti kehidupan seharian seperti interaksi kita dengan orang lain, dengan ahli keluarga, kawan, ahli-ahli masyarakat. Pendidikan informal juga diperolehi melalui pemerhatian tentang apa yang berlaku di sekeliling kita seperti menonton TV, DVD, filem atau mendengar radio atau membuat lawatan ke sesuatu tempat. Persepsi dan pemikiran kita dibentuk melalui pendidikan informal ini. Kadang-kadang kita tidak sedar yang kita dididik dan dipengaruhi oleh apa saja di sekeliling kita.

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 5

Dalam konteks pendidikan di sekolah ketiga-tiga jenis pendidikan ini berlaku secara serentak. Murid diajar oleh guru mata pelajaran tertentu seperti matematik, sains, sejarah yang telah dirancang dalam sukatan pelajaran. Murid juga belajar secara terancang dalam aktiviti kokurikulum. Secara informal, murid-murid mengambil bahagian dan saling berinteraksi dengan kawan-kawan dalam pelbagai aktiviti di bilik darjah, kantin, padang permainan, semasa rehat dan lain-lain. Beri contoh pendidikan formal, pendidikan nonformal dan informal di sekolah anda. Cuba anda fikirkan kembali pendidikan anda semasa di sekolah dahulu, pembelajaran apakah yang kesannya berpanjangan sehingga sekarang?

Apakah erti pendidikan sepanjang hayat?

endidikan berlaku sepanjang hayat, sejak kita dilahirkan hingga ke akhir hayat. Kita belajar secara formal, non-formal dan informal melalui interaksi dengan berbagai persekitaran dengan mengguna pancaindera kita (lihat, dengar, sentuh, rasa dan hidu), memproses apa yang kita terima itu dalam minda kita, dan memberi makna kepadanya. Mengikut kajian psikologi perkembangan kanak-kanak, pendidikan pada umur lima tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak adalah terpenting dalam memberi asas pendidikan dan perkembangan pembelajaran seterusnya. Sekarang orang sudah menerima bahawa pendidikan bukan berakhir dengan tamatnya pelajaran di sekolah atau di universiti. Latihan dan pendidikan berterusan di peringkat dewasa penting untuk seseorang terus menjadi produktif dalam kerjanya, memahami dan menyesuaikan diri dengan ilmu pengetahuan baru yang pesat berkembang. Tidak ada had umur, cara dan tempat untuk kita belajar sesuatu. Mungkin kaedah atau gaya pembelajaran itu sahaja sedikit berbeza mengikut umur, tempat, program pengajian dan kemudahan. Seseorang boleh belajar mengikut kadar yang ia mahu, di mana sahaja, bila-bila sahaja, dengan cara apa sahaja dan dari siapa atau sumber apa sahaja. Mengikut Laporan UNESCO, Jacques Delors (1996) Learning: The Treasure Within, Simply speaking, education takes place throughout life in many forms, none of which ought to be exclusive. We must start to think about education in a more all-encompassing fashion. Education throughout life is based upon four pillars: learning to know, learning to do, learning to live together and learning to be. Cuba imbas kembali mana dan bagaimanakah anda belajar perkara berikut: Belajar mengguna komputer, berkawan dengan kawan-kawan anda, memahami bagaimana terjadinya tumbuh-tumbuhan, dan menghayati dan mengamal agama anda?

6 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

Apakah matlamat pendidikan?


Selalu orang bertanya dan berbincang tentang matlamat atau tujuan pendidikan. Cuba anda fikirkan soalan berikut. 1. Apakah matlamat pendidikan negara kita? Adakah ia sama atau berbeza dengan matlamat pendidikan di Thailand, di Amerika Syarikat, di Indonesia atau di Jepun? 2. Adakah tujuan pendidikan di sekolah rendah berbeza dari pendidikan di sekolah menengah? 3. Apakah tujuan pengajaran sains dan matematik di sekolah rendah? 4. Apakah objektif pengajaran mendarab kepada murid Tahun 4? Perhatikan soalan-soalan di atas meliputi beberapa peringkat pendidikan: dari peringkat umum, iaitu matlamat pendidikan negara, ke peringkat sekolah, dan ke peringkat yang lebih khusus, iaitu objektif pengajaran guru dan pembelajaran murid dalam sesuatu mata pelajaran pelajaran di bilik darjah. Jadi jawapan bagi setiap soalan di atas itu berlainan sedikit. Matlamat pendidikan negara lebih umum dan berbentuk jangka panjang. Objektif pengajaran sesuatu topik dalam mata pelajaran matematik Tahun 2 lebih dekat dan jelas. Kita akan bincangkan perbezaan ini dengan lebih lanjut dalam Unit 2.

Apakah matlamat pendidikan di Malaysia?


Pendidikan sebelum kemerdekaan Sebelum penjajah British bertapak di Tanah Melayu (iaitu kira-kira sebelum 1800), lebih 90% penduduk di Tanah Melayu ialah orang Melayu. Sistem pendidikan bagi anak-anak Melayu ialah pendidikan agama Islam seperti mengaji Quran dan belajar hal-hal rukun Islam. Selepas British bertapak di Tanah Melayu sekolah Inggeris pertama iaitu Penang Free School ditubuhkan pada tahun 1816 di Pulau Pinang. Kemudian tertubuhlah sekolah rendah Melayu untuk anak-anak Melayu. Apabila ramai kaum Cina dan Tamil berhijrah masuk ke Tanah Melayu, terutama sekitar 1900-an hingga 30-an, sekolah Cina dan sekolah Tamil ditubuh secara berasingan. Sebelum kemerdekaan 1957, sistem pelajaran formal di Tanah Melayu terpisah-pisah. Terdapat sekolah aliran Inggeris terutama di bandar-bandar, mengguna bahasa Inggeris sepenuhnya dari Darjah 1 hingga ke Universiti. Kemudian aliran sekolah Melayu yang terhad kepada pendidikan rendah sehingga ke Darjah 6 saja, yang mengguna bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kebanyakan murid Melayu belajar di Sekolah Melayu. Sekolah aliran Cina, untuk kebanyakan murid Cina, menyediakan pendidikan dari Darjah 1 hingga ke peringkat menengah mengguna kurikulum, buku teks dan guru dari negeri China. Sekolah Tamil hanya setakat sekolah rendah. Kebanyakan pelajarnya terdiri dari murid-murid India di ladang-ladang getah. Jadi sistem pelajaran sebelum merdeka terpisah-pisah, murid-murid dari berbagai kaum belajar di sekolah yang berlainan. Hanya di sekolah aliran Inggeris sahaja terdapat murid daripada pelbagai kaum belajar bersama-sama.

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 7

Pendidikan pada awal kemerdekaan Sebagai persediaan untuk kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, satu jawatankuasa pelajaran yang dipengerusikan oleh Dato Abdul Razak telah ditubuhkan pada tahun 1956 bagi mengkaji dan membuat syor tentang bentuk dan sistem pelajaran kebangsaan sebagai alat menyatukan murid dari pelbagai kaum. Laporan Jawatankuasa Razak, antara lain, mengesyorkan, supaya satu sistem pelajaran kebangsaan ditubuhkan bagi sistem menyatupadukan rakyat Tanah Melayu yang berbagai kaum - Melayu, Cina, India dan sebagainya. Bahasa Melayu diterima sebagai Bahasa Kebangsaan, dan perlu diajar di semua sekolah. Bahasa Kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar utama untuk semua mata pelajaran di semua sekolah, walaupun proses ini hendaklah dibuat secara beransur-ansur. Syor Laporan Razak dijadikan Ordinan Pelajaran 1957, dan dilaksanakan di seluruh negara. Pada tahun 1960, Laporan Razak dan Ordinan 1957 dikaji semula oleh Jawatankuasa Pelajaran yang dipengerusikan oleh Abdul Rahman Talib, menteri pelajaran pada masa itu. Jawatankuasa ini berpendapat bahawa dasar dan pelaksanaan dalam Laporan Razak itu baik, dan perlu diteruskan. Dengan itu Ordinan Pelajaran 1957 diperkemas dan dijadikan Akta Pelajaran 1961. Akta ini merupakan akta penting dalam mencorak perkembangan sistem pelajaran di Malaysia sehingga sekarang. Akta Pelajaran 1961, iaitu akta yang menjadi asas kepada pelaksanaan pendidikan formal di Malaysia membuat penyataan tentang matlamat pendidikan di Malaysia seperti berikut; Bahawasanya dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pelajaran yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Dan bahawasanya peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk khususnya peruntukan bagi perkembangan secara progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana Bahasa Kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama. Bagi mencapai matlamat di atas, Akta Pelajaran 1961 ini telah menjadi tunggak untuk melaksanakan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia sepanjang 35 tahun (1961 1996). Kemudian Akta ini dikaji semula dan dipinda dan termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Sebahagian besar Akta 1996 mengandungi perkara dan dasar yang terkandung dalam Akta Pelajaran 1961. Sehingga kini, Akta 1996 ini menjadi undang-undang asas dalam melaksanakan sistem pelajaran di negara kita. Akta Pendidikan 1996 Falsafah dan matlamat pendidikan di Malaysia dinyatakan dalam mukadimah Akta Pendidikan 1996 sebagai berikut : Bahawasanya mengaku bahawa ilmu itu adalah penentu utama arah tujuan Negara dan penyelamat Negara.

8 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

Dan bahawasanya tujuan pendidikan ialah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat. Dan bahawasanya pendidikan mempunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan Negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dari segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, liberal dan dinamik. Dan bahawasanya adalah menjadi suatu misi untuk menghasil sistem pendidikan yang bertaraf dunia dari segi kualiti bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi Negara Malaysia. Dan bahawasanya Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara yang dizahirkan seperti berikut: "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara." Huraikan kedudukan sistem pendidikan di Malaysia sebelum 1957. Pada pendapat anda apakah tujuan pendidikan pada masa itu? Cuba baca dengan teliti mukadimah Akta Pendidikan 1996 dan bandingkannya dengan Akta Pelajaran 1961. Apakah persamaan dan perbezaannya?

Apakah tujuan pendidikan di sekolah rendah dan menengah di Malaysia?


alah satu matlamat pendidikan negara kita ialah supaya murid kita dapat menguasai ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran. Bagaimanakah matlamat ini hendak dicapai di peringkat sekolah rendah? Apakah tujuan pendidikan di sekolah rendah? Kita boleh menyatakan misalnya, salah satu tujuan utama murid belajar di sekolah adalah supaya mereka menguasai kemahiran 4M, iaitu pandai membaca, menulis, mengira dan menaakul dalam Bahasa Malaysia, dan menguasai kemahiran membaca dan menulis Bahasa Inggeris, kerana kedua-dua bahasa ini ialah alat penting untuk pembelajaran pelbagai ilmu pengetahuan lain seperti sains, sejarah, geografi, seni dan sebagainya. Selain itu, tujuan pendidikan di sekolah rendah adalah supaya mereka bersikap ingin tahu, suka bertanya, berfikir, rajin belajar dan berdaya usaha mencari pengetahuan sendiri dari pelbagai sumber daripada guru, buku, berbincang bersama kawan, memerhati hal-hal di keliling mereka, membaca pelbagai bahan termasuk dalam internet.

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 9

Bagaimana dengan sekolah menengah? Apakah tujuan pendidikan di sekolah menengah di Malaysia? Sejauh manakah terdapat persamaan dan perbezaan matlamat pendidikan di sekolah vokasional, sekolah berasrama penuh dan sekolah harian akademik biasa? Matlamat atau tujuan pendidikan menengah mugkin berlainan sedikit mengikut peringkat yang berlainan: peringkat negara, sekolah dan individu dan mengikut perspektif guru, murid, ibu bapa dan Kementerian Pelajaran. Rujuk buku, Internet dan sumber lain-lain untuk mengumpul maklumat tentang persoalanpersoalan ini. Anda mungkin juga boleh membuat temu ramah dengan beberapa orang guru, murid dan kemudian membuat kesimpulan tujuan pendidikan sekolah menengah.

Apakah erti pengajaran dan pedagogi?

erdapat berbagai-bagai istilah yang kerap diguna yang sama erti atau hampir sama ertinya dengan mengajar (teaching). Antaranya: instruksi (instruction), melatih (train), mendidik (educate) dan membimbing (guide).

Berbagai-bagai erti umum dikemukakan tentang pengajaran. Antaranya, pengajaran ialah; 1. proses menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada murid. 2. pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru untuk membantu muridnya belajar. 3. proses interaksi antara guru dan murid untuk memudahkan (facilitate) murid belajar dan berfikir mengenai sesuatu isu. 4. proses membantu murid supaya pembelajaran mereka cepat dan berkesan. Pedagogi pula merujuk kepada seni dan sains pengajaran, yang mengkaji kaedah proses pengajaran dan prinsip di sebalik sesuatu pendekatan atau kaedah itu. (Pedagogy is the art and science of teaching). Ilmu pedagogi sebagai sains pengajaran bersandar kepada berbagai-bagai teori pembelajaran, teori komunikasi, teori interaksi sosial, teori kurikulum dan taksonomi ilmu pengetahuan. Hasil kajian tentang proses pengajaran-pembelajaran dari pelbagai disiplin ilmu ini memberi kefahaman dan idea kepada kita untuk menggubal pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang boleh memudah dan mempercepatkan proses pembelajaran. Pengajaran juga boleh dilihat sebagai satu seni perlakuan yang kompleks. Profesor Elliot Eisner di Stanford University, California, misalnya mengkaji pentingnya pendidikan seni untuk dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah, supaya pendidikan di sekolah lebih seimbang dan memperkayakan pemikiran murid. Pengajaran boleh dilihat sebagai satu seni dan kraf tingkah laku guru. Perlakuan pengajaran guru di hadapan sekumpulan murid boleh dianggap sebagai suatu seni lakon atau drama. Hasil kajian tentang seni drama, seni lakon dan seni berkomunikasi boleh diaplikasikan dalam latihan guru untuk memperbaiki kaedah dan gaya pengajaran guru, terutama dari segi teknik persembahannya, gaya berkomunikasi dan interaksi guru dengan murid, untuk menarik perhatian murid dan menggalakkan mereka menjalankan aktiviti pembelajaran. Guru yang berpengalaman dan cekap mempunyai seni atau gaya pengajarannya tersendiri, adunan pelbagai teknik yang disesuaikan untuk mengajar pelbagai mata pelajaran kepada pelbagai jenis murid.

10 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

Pelbagai kaedah, gaya dan teknik pengajaran ini boleh kita lihat daripada berbagai-bagai istilah yang kita gunakan untuk menghuraikan tingkah laku atau proses pengajaran. Jikalau kita kumpul istilah atau perkataan yang sinonim dengan pengajaran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kita akan dapat senarai seperti berikut: Mendidik Membimbing Menghurai Menerangkan Menunjuk Memberi tahu Mencerita Mengarah Mengurus Melatih Memudahkan Bertanya Berinteraksi Berkomunikasi educate counsel elaborate explain demonstrate tell narrate direct manage train, coach facilitate question interact communicate Berbincang Memainkan peranan Mencari jawapan Menjawap Melakonkan Bermain Menggalakkan Mendorong Membetulkan Menyuburkan Memperkembangkan Menjaga Mengasuh Mendengar discuss role play to find out to answer to dramatise to play motivate motivate to correct cultivate to develop to care to care and develop to listen

Rajah 1.1 Senarai sinonim pendidikan Senarai di atas boleh ditambah lagi. Banyaknya sinonim atau rangkai kata yang hampir sama erti dengan pengajaran sama ada dalam Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris menggambarkan betapa kayanya dan beragamnya seni dan gaya pengajaran yang diamalkan oleh guru dalam sistem pendidikan kita, baik secara formal atau informal. Berlainan istilah yang kita gunakan menggambar berlainan sedikit gaya atau teknik guru mengajar. Misalnya mengasuh berlainan sedikit kaedahnya berbanding dengan menerangkan sesuatu atau melatih. Kita boleh mengambil mana-mana perkataan di atas dan cuba menggunanya dalam beberapa konteks atau situasi. Di bawah adalah beberapa contoh situasi penggunaan perkataan menunjuk, melatih, berbincang, mengarah sebagai kaedah guru mengajar. 1. Ibu melatih anaknya membaca ayat-ayat Quran dengan betul di rumah, supaya anaknya pandai membaca dan menghafal ayat-ayat itu. 2. Dengan mengguna komputer anaknya menunjuk ibunya langkah-langkah mengguna e-mel supaya ibunya tahu mengguna e-mel. 3. Sarjan mengarah polis kadet berlatih berkawat dengan kemas setiap pagi supaya mereka dapat menunjukan kecekapan berkawat pada akhir tempoh latihan. 4. Pengurus syarikat berbincang dengan jurujual syarikat itu tentang berbagai-bagai teknik menjual komputer kepada pelanggan di pasar raya. 5. Guru bercerita kepada murid Tahun 5 tentang peperangan Melaka dengan Portugis dalam tahun 1511.

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 11

Bolehlah kita simpulkan bahawa adunan semua kata kerja di atas merupakan perbuatan, amalan, dan tingkah laku yang terangkum di bawah konsep pengajaran dan pedagogi.

Apakah itu Model Pengajaran?

ita boleh mengkaji proses dan hasil pengajaran dengan lebih sistematik dengan melihatnya dalam bentuk model. Model ialah satu kerangka konseptual untuk membantu kita melihat bahagian-bahagian yang berkaitan di dalamnya, dan memikir hubungan di antara bahagianbahagian itu dengan lebih mudah kerana sifatnya yang meringkaskan suatu proses yang kompleks.

Rajah 1.2 Pengajaran-Pembelajaran dalam konteks Sistem Pelajaran Rajah 1.2 di atas menunjukkan hubungan antara pengajaran dengan proses pembelajaran dan hasil pembelajaran. Ia berdasarkan hipotesis bahawa kualiti pengajaran mempengaruhi kualiti proses pembelajaran dan hasil pembelajaran: lebih baik kualiti pengajaran lebih mudah dan berkesan pembelajaran murid dan lebih tinggi hasil pembelajarannya. Proses pengajaran-pembelajaran ini akan tambah berkesan jika terdapat sokongan yang baik daripada pihak pentadbiran sekolah dan peralatan yang mencukupi untuk pengajaran-pembelajaran. Banyak kajian dibuat untuk melihat bagaimana kaedah pengajaran boleh dirancang dan direka bentuk untuk memberi kesan yang optimum kepada pembelajaran murid. Model-model ini dipengaruhi oleh berbagai-bagai disiplin ilmu seperti psikologi pendidikan, psikologi sosial dan komunikasi, dan sosiologi pendidikan. Tiga aliran ilmu psikologi yang besar mempengaruhi pendekatan membina kurikulum dan pengajaran, ialah; 1. aliran psikologi behavorisme 2. aliran psikologi kognitif, yang secara popular dipanggil juga mazhab konstruktivisme. 3. aliran psikologi sosial.

12 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

Aliran psikologi behavorisme Teori-teori dalam psikologi behavorisme memberi perhatian dan mengkaji tingkah laku manusia, kerana tingkah laku manusia boleh dilihat dan diukur. Teori dalam aliran ini pada asasnya melihat tingkah laku manusia sebagai tindakan kepada ransangan (S R: stimulus response). Teori ini juga menegaskan pentingnya pengukuhan (reinforcement) melalui ganjaran atau insentif untuk merangsang dan mempengaruhi apa dan bagaimana manusia melakukan sesuatu, termasuk bagaimana murid belajar. Antara penganut dan pengkaji yang berpengaruh dalam mazhab behavorisme ini ialah B. F. Skinner. Berdasarkan teori ini Skinner telah mereka bentuk pendekatan dan rancangan pengajaran yang dinamakan programmed instruction atau pengajaran yang terancang. Pengajaran guru di sekolah pun banyak mengguna teori ini. Misalnya dalam pengajaran guru kerap menggunakan pujian bagus atau betul bagi jawapan murid yang betul, untuk mengukuhkan jawapan murid itu; dan cuba lagi bagi jawapan yang tidak tidak tepat. Markah dan gred digunakan untuk menggalakkan murid belajar. Hadiah tahunan diberi kepada kepada murid terbaik. Semua amalan ini didasari ilmu psikologi aliran behavorisme. Aliran psikologi kognitif: konstruktivisme Aliran psikologi kognitif lebih menekankan perkembangan corak pemikiran manusia cara ia berfikir dan membentuk makna, berbanding dengan aliran behavorisme yang lebih menekan tingkah laku (behaviour) manusia. Secara ringkasnya aliran psikologi kognitif berpendapat bahawa corak pemikiran seseorang bergantung kepada cara ia membina (construct) dan memberi makna kepada apa yang dipelajari atau dialaminya. Pemikiran seseorang murid akan memperkembang dan pengertiannya mengenai sesuatu diperluaskan apabila pengalamannya bertambah. Pengertian atau makna yang diberi kepada sesuatu itu bergantung kepada persepsinya dan skima atau rangka pemikiran yang ada padanya. Persepsi dan skima pemikiran ini akan disusun semula (reconstruct) apabila seseorang itu terdedah dengan pengalaman, informasi dan perspektif baru. Sejak kebelakangan ini psikologi kognitif (terutama kefahaman konstruktivisme) banyak mempengaruhi pendekatan pengajaran, susunan kurikulum dan penilaian. Antara tokoh yang mempelopori mazhab ini ialah John Dewey, Jean Piaget, Jerome Brunner, David Ausubel, Hilda Taba, dan Lee S. Shulman. Aliran psikologi sosial Psikologi sosial dan mikrososiologi memberi tumpuan terhadap kesan kepada perkembangan pemikiran dan sosio-emosi individu apabila ia berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain, baik secara berdua atau secara kumpulan. Seseorang banyak belajar dari peranannya dalam sesuatu kumpulan: dalam keluarga, rakan sebaya, kumpulan dalam kelas atau kumpulan dalam kokurikulum. Melalui perbincangan dan aktiviti kerjasama secara kooperatif misalnya, ia memahami orang lain, meniru (modeling) orang lain, dari segi bahasa, cara bekerja, sikap dan nilai. Kesan daripada ini adalah seseorang belajar nilai menghormati orang lain, sikap bertolak-ansur dalam kerja kumpulan, bertanggung jawab untuk menyiapkan kerja kumpulan dan sebagainya. Pendekatan pembelajaran kooperatif atau projek kumpulan dan pengajaran rakan sebaya (peer teaching) adalah di antara pendekatan pedagogi yang berasaskan teori psikologi sosial dan mikrososiologi.

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 13

Dalam proses pengajaran di bilik darjah, teori daripada ketiga-tiga perspektif psikologi di atas boleh digunakan untuk kita memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Teori dan prinsip pembelajaran dari ketiga-tiga aliran psikologi ini sama penting untuk kita gunakan bagi menggubal perancangan kurikulum, pedagogi dan penilaian. Berdasarkan tiga aliran disiplin ilmu di atas terbentuklah beberapa Model Pengajaran. Kita akan membincangkan empat model yang berkaitan, iaitu Model Tyler, Model ASSURE, Model Masteri, dan Model Inkuiri. Kemudian kita akan menggabungkan beberapa elemen daripada empat model tadi untuk membentuk Model UPSI. Model Tyler Salah satu model atau sistem pembangunan kurikulum dan pengajaran klasik yang banyak mempengaruhi perancangan kurikulum dan pengajaran di sekolah, ialah model Ralph Tyler (1949). Mengikut Tyler, pendekatan membina kurikulum dan pengajaran mengandungi empat bahagian atau langkah utama seperti di bawah; 1. Objektif pengajaran (Kenapa mengajar?). 2. Kurikulum, iaitu kandungan sesuatu pengajaran (Apa yang hendak diajar?). 3. Susunan isi kandungan: turutan unit-unit pelajaran (Bagaimanakah bahan yang hendak diajar itu disusun dalam beberapa unit pelajaran?). 4. Penilaian hasil pembelajaran (Bagaimanakah hasil pembelajaran hendak diukur dan dinilai?) Hasil penilaian pembelajaran kemudiannya digunakan untuk menambahbaik empat komponen di atas. Model ASSURE Model ini berasaskan buku Robert Gagne, Events of Instruction (1992). Model ini amat berguna untuk guru membentuk pengajaran di bilik darjah. ASSURE ialah akronim kepada huruf pertama dalam tujuh bahagian atau proses dalam model ini. A S S U R E Analyze: Buat analisis kesediaan dan gaya pembelajaran murid. State: Nyatakan objektif atau hasil pembelajaran; darjah prestasi yang boleh diterima Select: Pilih kaedah, media dan bahan pengajaran-pembelajaran. Utilise: Buat preview bahan dan media: sediakannya dan laksanakan. Require: Tentukan murid mengambil bahagian aktif dalam pembelajaran: mencari dan membuat analisis maklumat. Evaluate: Menilai hasil pembelajaran dan buat penambahbaikan bahan dan proses pembelajaran.

Model Masteri Model Masteri dipelopori oleh John Caroll (1963) dan diperkembangkan oleh Benjamin Bloom (1970an). Model atau pendekatan Masteri ini didasarkan kepada hipotesis atau anggapan bahawa semua murid normal boleh belajar dan dapat menguasai sesuatu pelajaran di sekolah sehingga ke tahap Masteri, (iaitu prestasi yang ditentukan guru), jika murid diajar sesuai dengan keperluannya, dan diberi

14 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

masa yang mencukupi. Langkah-langkah pengajaran untuk Masteri sesuatu pelajaran adalah seperti berikut: 1. Objektif atau tahap hasil pembelajaran yang hendak dicapai oleh murid itu ditentukan secara realistik dan jelas. 2. Unit-unit pengajaran-pembelajaran dibahagikan dan disusun secara berturutan beransur maju (sequential); 3. Penerangan guru jelas dan mudah difahami oleh semua murid; 4. Jenis penglibatan murid atau latihan untuk murid pelbagai dan mencukupi (latihan individu atau berkumpulan) 5. Masa untuk setiap murid belajar dan membuat latihan itu mencukupi; 6. Kemajuan pembelajaran murid dipantau melalui penilaian formatif (pemerhatian kerja latihan murid, kuiz, bersoal-jawab) ; 7. Guru membuat pembetulan atau pemulihan segera jika murid atau kumpulan murid menghadapi apa-apa masalah; 8. Setiap murid menguasai 80% dari apa yang perlu dipelajari sebelum ia terus belajar ke unit baru, sambungan kepada unit yang telah dikuasainya. 9. Penaksiran dan penilaian summatif diberi pada akhir sesuatu program, misalnya di akhir kursus untuk menaksir dan menilai pencapaian murid Dalam pembelajaran untuk Masteri perbezaan prestasi murid di akhir kursus disebabkan oleh; 1. perbezaan kesediaan kognitif (pengetahuan sedia ada) dan afektif (motivasi) murid untuk belajar sesuatu unit; 2. masa untuk belajar dan membuat latihan tidak mencukupi bagi sesetengah murid; 3. guru tidak membantu murid membuat pembetulan segera di mana murid menghadapi masalah. Model Masteri sekarang menjadi asas untuk menggubal Kurikulum Standard dan Penaksiran Standard di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand dan Malaysia. Dalam kurikulum standard, jenis dan tahap pembelajaran yang murid perlu kuasai pada sesuatu peringkat itu dinyatakan secara jelas. Kemudian setelah proses pengajaran-pembelajaran, penaksiran dan penilaian dibuat untuk menaksir sejauh manakah hasil pembelajaran murid itu mencapai standard yang ditetapkan itu. Model Masteri ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam Unit 7. Apakah persamaan dan perbezaan antara model pengajaran Tyler, model ASSURE dan model Masteri? Senaraikan langkah-langkah utama dalam pendekatan pengajaran Masteri.

Model Inkuiri Inkuiri bererti menyelidik atau mencari jawapan kepada sesuatu persoalan. Perhatikan kanak-kanak pada umur 1 5 tahun amat suka meneroka, mencuba sendiri, memerhati dan mengguna semua panca indera untuk menyelidik, bertanya dan belajar apa saja. Mereka cepat belajar. Idea bahawa manusia selalu bertanya, berfikir, mencari jawapan dan memberi makna tentang sesuatu sudah lama wujud, dan diberi perhatian oleh ahli-ahli falsafah. Misalnya ahli falsafah Greek Socratis (459-399 SM)

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 15

menggalakkan orang berfikir dan mencai jawapan melalui dialog siri bersoal-jawab mengenai sesuatu. Ajaran Islam sendiri sentiasa menyuruh penganutnya memerhati fenomena alam, merenung dan berfikir tentang ciptaan Allah SWT, dan dengan itu menghayati pemberiannya dengan membuat pertanyaan melalui ayat yang bermaksud Maka apakah kamu tidak memerhatikan?. Kebelakangan ini psikologi kognitif (terutama fahaman konstruktivisme) banyak mempengaruhi susunan kurikulum, pendekatan pengajaran dan penilaian. Antara tokoh yang mempelopori aliran pemikiran ini ialah John Dewey, Jean Piaget dan Lev Vygotsky, Jerome Brunner, David Ausubel, Hilda Taba, Lee S. Shulman dan Carl Rogers. Secara ringkas aliran ini berpendapat bahawa pembelajaran ialah proses pembentukan corak pemikiran seseorang, dan cara seseorang membina (construct) dan memberi makna kepada apa yang dipelajarinya. Seseorang murid akan memperkembang dan memperluaskan pengertiannya tentang sesuatu (misalnya tentang hujan) apabila pengalaman dan informasi tentang hujan bertambah. Persepsi dan skema pemikirannya tentang hujan akan disusun semula (reconstruct) dengan bertambahnya pengalaman, informasi dan perspektif baru tentang hujan. Jadi berdasarkan mazhab konstruktivisme ini, pendekatan pengajaran inkuiri adalah untuk membantu murid menyelidik atau mengkaji sesuatu sendiri atau secara berpasukkan mengguna pelbagai sumber informasi. Langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran pada amnya adalah sebagai berikut: 1. Murid (dengan bimbingan guru) membentuk soalan yang hendak dicari jawapannya, misalnya Bagaimana hujan berlaku? 2. Murid berbincang dan membuat hipotesis tentatif (working hypotheis) tentang kemungkinan bagaimana hujan berlaku. Ini berdasarkan pengetahuan atau pengalaman yang sedia ada pada murid. Ini merupakan skema atau rangka pemikiran awalnya terhadap perkara itu 3. Murid mencari dan mendapat maklumat tentang bagaimana hujan berlaku. 4. Murid membuat kesimpulan dan memberi jawapan kepada soalan asalnya Bagaimanakah hujan berlaku. Dengan ini persepsi, pengertian dan rangka pemikiran murid tentang hujan disusun semula dan bertambah luas. 5. Dapatan atau hasil kajiannya itu ditulis dan dibentangkan kepada rakan-rakannya, untuk dibincangkan. Terdapat beberapa variasi dalam pendekatan inkuiri, iaitu guided-inquiry (inkuiri terbimbing), discovery learning (pembelajaran penemuan), problem-based teaching (pengajaran berasaskan masalah), project method (kaedah projek) dan sebagainya. Kaedah yang berbeza ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam Unit 10 modul ini, dan Unit 2, 3, dan 4 dalam Modul 2. Aa result of activities in grades K-4, all students should develop: Model Pengajaran UPSI (2009) Model UPSI ini digubal berdasarkan model Tyler, dan diperluas untuk memasukkan beberapa komponen tambahan, mengambil kira beberapa ciri dalam Model Masteri dan Model Inkuiri. Tujuan model ini adalah untuk dijadikan panduan yang praktikal bagi memikir, merancang dan mereka bentuk kurikulum, pengajaran, teknologi dan penaksiran sesuatu mata pelajaran di sekolah.

16 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

Rajah 1.3 Model Pengajaran UPSI 2009: Universiti Pendidikan Sultan Idris (disesuaikan daripada Model Tyler) Model ini terdiri daripada lapan (8) komponen utama yang perlu guru mengambil kira dalam merancang atau mereka bentuk kurikulum dan pengajaran sesuatu mata pelajaran atau topik. 1. Membuat analisis keperluan dan kesediaan murid dalam konteks pembelajaran yang akan dilaksanakan. 2. Membuat analisis kandungan kurikulum: kandungan topik yang hendak ajar, dari segi pengetahuan di dalamnya: fakta, konsep, prosedur, klasifikasi, prinsip dan teori; dan kemahiran seperti membuat eksperimen, mencari maklumat dalam internet, menulis laporan, dan sebagainya. 3. Berdasarkan (1) dan (2) di atas guru menentukan objektif pengajaran, iaitu tahap hasil pembelajaran yang realistik yang perlu dicapai oleh murid. 4. Menyusun turutan (sequence) unit-unit pengajaran supaya beransur maju, bersambungan, dan berkembang. 5. Memilih dan mengguna kombinasi pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan kesediaan murid dan sifat isi kandungan topik berkenaan. 6. Membina, memilih dan mengguna alat dan media bantu pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk memudahkan proses pengajaran-pembelajaran 7. Menyedia latihan yang sesuai dan mencukupi untuk semua murid supaya pembelajaran mereka berkesan dan mencapai Masteri.

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 17

8. Membina, memilih dan mengguna kaedah dan alat penaksiran yang sesuai untuk mengukur, mentaksir proses pembelajaran (penaksiran formatif bagi memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran murid) dan penaksiran summatif untuk menilai hasil pembelajaran. Perhatikan setiap lapan komponen dalam model ini berkait antara satu sama lain. Perubahan dalam mana-mana komponen akan mempengaruhi komponen atau bahagian lain. Misalnya perubahan dalam kaedah penaksiran akan mempengaruhi objektif pengajaran, kandungan kurikulum, susunan unit-unit kurikulum, kaedah pengajaran dan latihan murid. Perubahan dalam alat media (misalnya mengguna komputer sebagai alat utama pengajaran-pembelajaran) akan mempengaruhi susunan unit-unit pengajaran dan interaksi antara guru dan murid. Jadi dalam mereka bentuk dan merancang pengajaran semua komponen utama ini perlu diambil kira. Apakah akan terjadi kepada komponen lain jika anda ubah objektif pengajaran dan tahap hasil pembelajaran murid?

Isu Pendekatan Berpusatkan Murid dan Berpusatkan Guru


arl Rogers (1994) adalah di antara ahli psikologi yang berpendapat bahawa pendidikan yang bermakna bagi seseorang murid ialah pendidikan yang murid itu sendiri tentukan apa yang ia perlukan, merancang sendiri, belajar mengikut gayanya sendiri, dan menilai sendiri hasil apa yang dipelajarinya. Rogers mengutarakan konsep freedom to learn menamakan pendekatan pendidikan ini pendekatan pembelajaran terarah-kendiri (self-directed learning), kerana semua aspek dalam proses pembelajaran seseorang murid ditentukan oleh murid itu sendiri, bukan oleh guru atau kurikulum badan luar seperti Kementerian Pelajaran. Ini bererti kurikulum, kaedah pembelajaran, alat pembelajaran seperti buku teks, bengkel dan kaedah penilaian dan tafsiran hasil pembelajaran ditentukan oleh murid, yang kerap dilabel sebagai pembelajaran berpusatkan murid. Tugas guru dalam konteks pendekatan pembelajaran terarahkendiri ini adalah untuk memudahkan (facilitate) murid belajar sendiri: bertanya, berfikir, menyelidik dan mencari sendiri jawapan supaya jawapan itu bermakna kepadanya. Seorang lagi ahli psikologi di United Kingdom, N.S. Neill (1960) juga berpegang kepada falsafah yang hampir sama, iaitu setiap murid harus diberi kebebasan kepadanya untuk belajar sendiri apa yang ia mahu: setiap murid bebas untuk belajar apa saja, dengan cara apa yang dipilih sendiri dan dalam masa yang ditentukannya. Pendekatan yang bebas ini dilaksanakan di Summerhill School, di United Kingdom oleh Neill sendiri. Guru lebih berperanan sebagai pembantu dan fasilitator saja. Pendekatan pendidikan berpusatkan murid atau terarah-kendiri ini oleh Rogers dan Neill ini dikritik oleh Lev Vygotsky (1978) yang berpendapat bahawa pembelajaran dan perkembangan kognitif kanakkanak atau murid ialah fenomenon sosial dan budaya, iaitu akibat daripada interaksinya dengan orang lain terutama bimbingan ibu bapa, guru atau orang dewasa. Pembelajaran seseorang murid boleh dipercepat dan lebih berkesan jika murid diberi bimbingan untuk melakukan tugasan pembelajaran yang lebih tinggi sedikit dari apa yang sudah dikuasainya. Dengan cara beransur-ansur pembelajaran murid berkembang.

18 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

Dalam pengajaran sains pendekatan inkuiri amat digalakkan supaya murid mendapat kemahiran seperti apa yang ahli sains lakukan. Tetapi buku panduan Inquiry and the National Science Education Standards (2000, ms 23) menegaskan tidak seharusnya kaedah inkuiri sahaja yang menjadi pegangan guru dalam pengajaran sains. "Although the Standards emphasize inquiry, this should not be interpreted as recommending a single approach to science teaching. Teachers should use different strategies to develop the knowledge, understandings, and abilities described in the content standards. Conducting handson science activities does not guarantee inquiry, nor is reading about science incompatible with inquiry. Attaining the understandings and abilities cannot be achieved by any single teaching strategy or learning experience." Pada amnya pendekatan pendidikan boleh dibahagi kepada dua yang ekstrem; 1. Pertama, ialah sistem yang bebas (freedom to learn) seperti yang cadangkan oleh Rogers dan diamalkan oleh N.S.Neill: pendidikan yang terbuka, pembelajaran terarah-kendiri (atau kerap disebut berpusatkan murid). Dalam sistem ini murid bebas menentukan kenapa ia ingin belajar sesuatu (objektif), apa yang murid ingin pelajari (kurikulum), cara belajar, dari siapa ia ingin belajar (guru), cara menilai kemajuannya. 2. Kedua ialah sistem pendidikan yang terkawal ketat dari luar (other-directed) sama ada oleh Kementerian Pelajaran, badan luar, atau guru, dari segi kurikulum, buku teks, jadual waktu, kaedah pengajaran guru, latihan murid, sistem penaksiran, dan pentadbiran aktiviti sekolah. Hampir semua aspek pendidikan di sekolah sekarang didasarkan kepada prosedur dan peraturan yang digubal oleh pihak luar bukan ditentukan oleh murid. Sistem berasaskan other directed kerap dilabelkan sistem berpusatkan guru yang agak mengelirukan. Antara dua pendekatan ekstrem ini terdapat pelbagai kombinasi atau darjah kebebasan untuk murid belajar atau guru mengajar. Pada amnya mazhab konstruktivisme lebih cenderung kepada sistem yang lebih terbuka. Tetapi sistem pendidikan di kebanyakan masyarakat atau negara adalah lebih cenderung kepada sistem yang lebih terancang, other directed iaitu sistem yang ditentukan oleh agensi luar seperti Kementerian Pelajaran, sekolah dan institusi seperti universiti, bukan oleh murid. Sistem pendidikan di Malaysia misalnya lebih bersifat centralised, over standardised dan over controlled dari segi kurikulum, buku teks, jadual waktu, kaedah penilaian dan sistem pentadbiran sekolah. Apa yang perlu dipelajari dan buku teks yang perlu diguna di sekolah rendah di Petaling Jaya adalah sama dengan apa yang diajar di sekolah rendah di Gua Musang, Kelantan atau di pendalaman di Sabah dan Sarawak, pada hal konteks budaya tempat-tempat ini berbeza. Kebebasan guru untuk mencipta atau membuat inovasi pendekatan alternatif dan cara murid belajar adalah tertakluk kepada keperluan dan peraturan yang dibuat oleh Pusat (Kementerian Pelajaran) dan oleh sekolah. Sekarang terdapat pendekatan alternatif pertengahan antara dua ekstrem, di mana Pusat (misalnya Kementerian Pelajaran) menentukan matlamat dan Standard hasil pembelajaran yang diharapkan untuk murid mencapai bagi setiap mata pelajaran, dan membenarkan sekolah, guru dan murid memilih dan menentukan bahan pengajaran, susunan bahan, kaedah pengajaran-pembelajaran dan tempoh

Erti dan Matlamat Pendidikan serta Model Pengajaran / 19

masa belajar ke arah mencapai Standard itu. Ertinya terdapat pemikiran dan amalan supaya sistem pengajaran-pembelajaran ini lebih fleksibel untuk mencapai sesuatu standard. Aliran pemikiran ini sekarang diamalkan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan New Zealand untuk memenuhi keperluan negara, di samping itu menggalakkan kreativiti dalam pengajaran guru dan pembelajaran murid. Sistem pendidikan yang benar-benar bebas berasaskan pembelajaran terarah-kendiri sebenarnya tidak berlaku: hampir semua sistem pendidikan di setiap negara dibentuk dan dirancang badan luar daripada murid (misalnya Kementerian Pelajaran) dari segi kurikulum, bahan pembelajaran (buku teks) dan sistem peperiksaan atau penilaian. Walau bagaimanapun masih ada ruang untuk guru dan murid membuat inovasi kaedah pengajaran-pembelajaran untuk memudah pembelajaran yang bermakna dalam konteks bilik darjah masing-masing. Pada pendapat anda sejauh manakah guru bebas mengajar kaedah apa saja? Dan sejauh manakah murid bebas belajar mengikut gaya pilihannya?

RUMUSAN
lmu pedagogi ialah satu sains dan seni pengajaran (pedagogy is the science and art of teaching). Pengajaran adalah satu seni atau kraf, tetapi berasaskan sains tingkah laku manusia. Model-model pengajaran adalah contoh-contoh rangka konseptual untuk kita memikir dan mereka bentuk pendekatan pengajaran. Berpandukan ini guru dapat memilih, menyusun unit-unit bahan pengajaran dan mengadunkan kaedah untuk memudahkan muridnya belajar dengan berkesan dan bermakna. Pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang meningkatkan hasil pembelajaran murid bagi tujuan mencapai matlamat pendidikan yang lebih luas.

KATA KUNCI
1. 2. 3. 4. 5. 6. Pendidikan Pengajaran Pedagogi Model pengajaran Model Tyler Pendidikan formal 7. Model ASSURE 8. Model Inkuiri 9. Model Masteri 10. Model UPSI 11. Pendidikan non-formal 12. Pendidikan informal

PENILAIAN KENDIRI
1. Huraikan perbezaan antara pendidikan, pengajaran, dan pedagogi. Apakah matlamat ketigatiganya? 2. Beri contoh bagaimana setiap aliran pemikiran yang dibincangkan mempengaruhi kaedah dan amalan pedagogi di sekolah.

20 / Modul 1 KPD3016 & KPD3026 : Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 1 & 2

3. Huraikan komponen-komponen penting dalam Model Pengajaran UPSI. 4. Apakah akan terjadi kepada komponen lain jika anda ubah objektif pengajaran dan tahap hasil pembelajaran murid? 5. Apa akan terjadi dalam perancangan pengajaran anda jika anda tidak mengambil kira susunan unit-unit pengajaran?

RUJUKAN
Borko, H., & Putnam, R. T. (1996). Learning to teach. In D. C. Berliner & R. C. Calfee (Eds.), Handbook of Educational Psychology, 673-708. New York: Simon & Schuster Macmillan. Bruner, J. (1960). The process of education. New York: Vintage. Carl, R. (1994). Freedom to learn (3rd ed.) New Jersey: Prentice Hall, Inc. Committee on Development of an Addendum to the National Science Education Standards on Scientific (2000). Inquiry and the National Science Education Standards: A Guide for Teaching and Learning. Inquiry Center for Science, Mathematics, and Engineering Education National Research Council. Washington, D.C: National Academy Press. Delors, J. (1996) Learning: the treasure within: The Report of Commission on Education for the Twenty First Century, UNESCO. Gagne R., Briggs L. & Wager, W. (1992). Principles of Instructional Design, 4th. edition, Harcourt, Brace, Javanovich, Orlando. Neill A.S. (1960), Summerhill: a radical approach. New York: Hart Publication Co. Shulman L. S. (2000). Teacher Development: Roles of Domain Expertise and Pedagogical Knowledge. Journal of Applied Developmental Psychology, 21(1), 129135. Shulman, L. (1987). Knowledge and teaching: Foundations of the new reform. Harvard Educational Review, 57, 1-22. Tyler, R. W. (1949). Basic principles of curriculum and instruction. Chicago: University of Chicago Press. Vygotsky, L.S. (1978). Minds in society. Cambridge, MA: Harvard University Press.