Anda di halaman 1dari 14

PERUTUSAN TAHUN BAHARU MENTERI PERTAHANAN 2024

Tarikh: 9 Januari 2024 (Selasa)


Tempat: Auditorium, Wisma Pertahanan

1. Alhamdulillah, marilah kita terlebih dahulu bersama-sama


memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

2. Dengan izin dan limpahan kurnia-Nya, hari ini kita berpeluang


berkumpul, dengan niat dan iltizam yang baharu.

3. Niat dan iltizam yang akan mengisi tahun 2024, dengan harapan
tahun ini menjadi tahun yang lebih baik.

4. Bukan sahaja untuk seluruh warga Kementerian Pertahanan dan


Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tetapi untuk bangsa dan tanahair
yang kita cintai.

5. Majlis pada pagi ini merupakan perjumpaan pertama saya dengan


warga ATM dan Kementerian Pertahanan dalam skala yang besar.
Sejak melapor diri, saya sudah berkesempatan bertemu dengan
sebahagian kepimpinan dan kumpulan kerja.

6. Saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi


penghargaan dan ucapan terima kasih atas penerimaan baik,
kerjasama dan sambutan yang diberikan. Saya harap selepas ini,
saya berpeluang untuk bertemu dengan lebih ramai warga ATM dan
MINDEF dan kita akan dapat bekerjasama dengan lancar serta
berkesan.

7. Selain itu, sekalung tahniah saya ucapkan, untuk segala kerja keras
dan sumbangan semua warga ATM dan Kementerian sepanjang
tahun 2023.

8. Tidak lupa, setinggi-tinggi penghargaan saya kepada YB Mantan


Menteri Pertahanan, Dato Seri Muhamad bin Hasan atas kepimpinan
beliau menerajui kementerian ini.

9. Saya percaya, semua pihak telah memberikan yang terbaik dalam


memastikan Kementerian Pertahanan dan ATM berjaya menjalankan
fungsi dan mandat dengan cemerlang.

1
10. Dan bersempena dengan tahun baharu, marilah kita terus memasang
niat dan tekad untuk memberikan yang lebih baik pada tahun ini.

Saudara dan saudari,

11. Saya ingin mulakan dengan menegaskan bahawa, pertukaran


amanah untuk meneraju tampuk kepimpinan kementerian ini daripada
pentadbiran sebelum ini kepada saya, tidak sama sekali bermakna
segala yang telah dipersetujui dan dibangunkan sebelum ini akan
ditinggalkan atau dihentikan serta merta.

12. Sebaliknya, saya memberi jaminan. Bahawa perkara-perkara asas


yang telah dibangunkan dengan baik sebelum ini, akan saya teruskan
dengan penuh dedikasi.

13. Ini termasuklah, memastikan pelaksanaan Kertas Putih


Pertahanan (KPP) dan pelan-pelan strategik lain seperti yang
telah dirancangkan.

14. Namun begitu, hari ini saya ingin menggariskan 5 perkara utama
yang akan menjadi sebahagian fokus untuk tahun ini.

15. FOKUS PERTAMA : Memastikan sistem pertahanan negara


bukan sahaja sentiasa dalam keadaan bersedia, tetapi dihormati
kawan dan lawan.

16. Perkara ini tidak boleh sekadar menjadi tekad yang dizahirkan saban
tahun setiap kali menjelang tahun baharu.

17. Justeru, untuk memastikan perkara ini tercapai, saya ingin


menggariskan 3 strategi utama.

18. Strategi pertama, meneruskan proses pemodenan kelengkapan


dan aset ketenteraan.

19. Saya mengakui betapa kelengkapan, aset dan peralatan yang kita
miliki dan gunakan bukan sahaja mesti mencukupi. Tetapi harus
berfungsi seiring dengan perkembangan serta kecanggihan teknologi
semasa.

2
20. Dengan segala kekangan dan sumber yang terhad, kita mesti
bersama-sama mengusahakan agar perkara ini bukan sahaja
menjadi keutamaan kementerian, tetapi keutamaan negara.

21. Kelengkapan dan aset yang canggih dan mencukupi ialah sesuatu
yang tidak boleh dikompromikan dalam konteks pertahanan dan
keselamatan negara.

22. Benar, ketangkasan, kesigapan dan kecekatan anggota kita harus


sentiasa dibina melalui latihan dan rejim pembinaan kapasiti yang
mantap dan berterusan.

23. Namun, pada masa yang sama, ketumbukan pertahanan kita mesti
diperkukuh dengan pelbagai teknologi moden dan terkini.

24. Terutamanya dalam konteks yang menyaksikan ancaman dan risiko


keselamatan kini hadir dalam pelbagai bentuk dan cara.

25. Persediaan dan kesiagaan kita harus mengundang rasa gerun dan
hormat di pihak kawan dan lawan.

26. Biarpun kini peruntukan pertahanan yang diperoleh sudah


mencecah 1% KDNK negara, jumlah ini mesti sentiasa disemak
dan ditambah baik.

27. Ini selaras dengan peningkatan keperluan yang sangat berkadar


terus dengan perubahan konteks dan cabaran semasa.

28. Berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2024,


kementerian kita akan menerima peruntukan keseluruhan sebanyak
kira-kira RM19.7 bilion, yang terdiri daripada:

• RM12.6 bilion bagi Perbelanjaan Pengurusan; dan

• RM7.05 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.

29. Peningkatan sebanyak RM 2 bilion atau 5.3% berbanding tahun lalu


ini mesti dimanfaatkan secara berhemah, strategik dan produktif.

30. Untuk itu, kementerian komited untuk menjayakan projek perolehan


pelbagai aset strategik bagi meningkatkan keupayaan ATM.

3
31. Ini termasuklah:

• Maritime Patrol Aircraft, Unmanned Aerial System dan Flight


Lead In Trainer – Light Combat Aircraft;

• 136 buah unit High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) dan


Meriam 155mm Self Propelled Howitzer (SPH) serta Trak
Kembalik Ringan (LRV) bagi mobiliti Tentera Darat;

• Pembekalan Fast Interceptor Craft (FIC), Suar Dan Anti-sonar


Decoy bagi Kapal Selam Kelas Perdana Menteri serta Projek
perolehan 3 unit Littoral Mission Ship (LMS) untuk Tentera Laut;

• Perolehan 12 unit helikopter Baharu Fasa 1, dan Long Range


Radar (LRR) Complete With Ancillary Equipment di Bintulu untuk
Tentera Udara.

32. Strategi kedua, pengukuhan keupayaan daripada segi ilmu,


kepakaran serta kearifan dalam bidang-bidang kritikal.

33. Dalam hal ini, saya tidak menjuruskan hanya kepada kajian dan
penyelidikan yang berkisar dengan teknologi ketenteraan. Perkara
tersebut sudah sememangnya kita jangka dan harapkan.

34. Institusi-institusi milik Kementerian seperti STRIDE dan MiDAS,


sememangnya kita harap dan amanahkan untuk meneroka dan
memperkasa pengetahuan dalam bidang dan teknologi yang
berkaitan secara langsung dengan pertahanan.

35. Tetapi, yang saya maksudkan adalah, keperluan untuk kita memberi
lebih banyak perhatian terhadap usaha melonjak keupayaan.
Antaranya dalam memahami enigma geopolitik dan persempadanan
yang berselirat di bawah pelbagai konvensyen dan undang-undang
antarabangsa.

36. Pasukan pertahanan kita mesti mempunyai lebih ramai pakar yang
pintar dan berpengalaman.

37. Khususnya dalam membahaskan pelbagai isu dan pertikaian


membabitkan kedaulatan negara. Baik yang melibatkan ruang udara,
perbatasan darat, apatah lagi persempadanan perairan.

4
38. Pemahaman terbaik dan kefasihan mendalam dalam Konvensyen
Berkaitan Undang-undang Laut PBB atau UNCLOS misalnya, mesti
dipunyai oleh pakar dari Kementerian Pertahanan.

39. Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia sentiasa terdedah


kepada pelbagai pertikaian, pencerobohan serta pertembungan.

40. Kesemua ini menuntut kearifan terhadap kerangka undang-undang


antarabangsa yang mendalam dan menyeluruh.

41. Strategi ketiga, membangunkan ekosistem sokongan


pertahanan negara dengan memastikan industri pertahanan
tempatan berkembang dan produktif.

42. Selain meneroka pelbagai inovasi dan kerjasama baharu yang


menguntungkan negara, industri pertahanan negara mesti
mempunyai sumbangan yang signifikan dalam melahirkan bakat,
modal insan serta kandungan tempatan yang berkualiti dan
memenuhi keperluan pertahanan negara.

43. Saya harap Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara


yang sedang dibangunkan akan memperhalusi dan mengambil kira
aspek-aspek ini dengan lebih terperinci dan strategik.

44. Kita mesti bermula dari sekarang.

45. Jika tidak, kita akan selama-lamanya menjadi pembeli dan pengguna
teknologi ketenteraan yang dibangunkan oleh negara luar.

46. Amalan sedemikian akan boleh menyebabkan berlakunya


kebergantungan, sekali gus mengehadkan pilihan yang kita ada.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

47. FOKUS KEDUA: MEMBANGUNKAN DAN MENGEMASKINI


PERANCANGAN PERTAHANAN YANG LEBIH TERKINI.

48. Kertas Putih Pertahanan secara asasnya telah menggariskan dengan


jelas dan baik, beberapa strategi, hala tuju dan prinsip pertahanan
negara kita.

5
49. Lebih mustahak, meneruskan pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan
dan dasar-dasar sedia ada akan secara tidak langsung
menggambarkan beberapa perkara penting.

50. Pertama, bahawa dasar dan strategi keselamatan serta pertahanan


memerlukan konsistensi.

51. Kedua, pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan akan membuktikan


bahawa rombakan kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan ialah suatu
proses yang matang, profesional, tidak ‘political’ dan sama sekali tidak
akan menjejaskan kepentingan negara.

52. Walaubagaimanapun, kita sedar yang landskap pertahanan nasional


hari ini sudah menjadi semakin kompleks dengan kerencaman
dimensi yang tidak konvensional.

53. Maka, perancangan, strategi dan ketetapan dasar sedia ada mesti
disokong dan diteruskan tanpa menutup ruang penambahbaikan.

54. Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa, meskipun saya
komited untuk menterjemah dan melaksanakan Kertas Putih
Pertahanan seperti yang sudah disusun sebelum ini, kementerian
mesti memberi perhatian yang serius kepada perkembangan dan
realiti semasa.

55. Segala yang berlaku di sekeliling kita, sama ada wabak kesihatan,
atau perubahan iklim atau krisis tenaga mahupun peperangan
kognitif, kesemuanya menjadikan kita menjadi sebahagian daripada
pemainnya.

56. Misalnya dalam konteks tekanan ekonomi domestik, krisis tenaga


dunia, perkembangan teknologi ‘disruptive’ yang pantas serta
pelbagai ancaman dalaman dan luar, menjadikan perancangan
pertahanan dilakukan dengan pemikiran dan fokus yang baharu.

57. Ini bermakna, realiti pertahanan sudah kita tidak lagi terbatas
pada kesiagaan peperangan tradisional. Ia jauh lebih kompleks
dan lebih memberat kepada segala ancaman bukan tradisional
yang jauh lebih mencabar.

6
58. Kita mesti memahami semula kerumitan dan kedinamikan
pertembungan kuasa besar dan memberi makna kepada semua ini
demi masa depan Malaysia, Kementerian ini dan warganya.

59. Justeru, memandangkan KPP akan berakhir pada tahun hadapan,


maka, Kajian Separuh Penggal KPP yang akan dimulakan tahun
ini, mesti memberikan fokus kepada perancangan pertahanan
yang lebih terkini, khususnya dengan mengambil kira latar
baharu ekosistem global yang telah berubah dengan sangat
pesat.

60. FOKUS KETIGA : KEBAJIKAN dan PEMBANGUNAN KAPASITI.

61. Segala jasa dan pengorbanan anggota pertahanan kepada negara


adalah tidak ternilai. Saya percaya pada pandangan bahawa ‘tiada
tarikh luput bagi pengorbanan dan jasa perajurit pada negara’.

62. Semua itu selayaknya dihargai dengan ingatan, insentif dan intervensi
yang setimpal dan berterusan.

63. Untuk itu, pada tahun 2024 ini, saya akan turut menumpukan
kepada 2 aspek besar iaitu KEBAJIKAN dan PEMBANGUNAN
KAPASITI.

64. Tumpuan ini membawa beberapa makna.

65. Pertama, perihal kebajikan dan kemaslahatan anggota dan bekas


perajurit mesti sentiasa berada dalam radar perhatian kementerian
dan kerajaan.

66. Kedua, aspek kemaslahatan dan kebajikan mesti dikembangkan


untuk turut memfokuskan kepada pembangunan kapasiti dan
mengiktiraf kepintaran.

67. Pembangunan dan insentif perajurit tidak boleh dihadkan kepada


pemahaman konvensional seperti penyediaan kemudahan
perumahan, pinjaman dan imbuhan serta sokongan perubatan atau
kesihatan sahaja.

7
68. Benar, semua itu adalah penting dan kritikal. Dan saya memberi
jaminan. Bahawa kesemua inisiatif berkaitan infrastruktur dan
imbuhan yang sudah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, baik
yang dibuat secara eceran dalam pelbagai kesempatan yang ada,
mahupun penyataan komitmen di bawah Belanjawan 2024, akan
tetap dilaksanakan dan dijayakan mengikut perancangan.

69. Ini termasuklah, menyiapkan sebanyak 974 unit rumah anggota


tentera di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASAR),
penyiapan beberapa lagi projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera
(RKAT), serta pelbagai penyelenggaraan bernilai RM400 juta.

70. Pada masa yang sama, 5 skim bantuan veteran sedia ada akan kita
teruskan.

71. Penambahbaikan perkhidmatan kesihatan ATM akan turut


dimantapkan dengan:

• Pembinaan Poliklinik ATM di Kluang (Johor), Seberang Takir


(Terengganu), Sungai Petani, (Kedah) dan Kuantan (Pahang)

• Sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera (HAT);

• Specialist Outreach Clinic dan Program Mental Health.

72. Saya tidak berhasrat untuk mengulang dan menyenaraikan semua


pelan pembangunan dan imbuhan-imbuhan tersebut satu-persatu di
sini.

73. Tetapi, saya ingin mengambil kesempatan ini mengajak semua untuk
kita bersama-sama meneroka pendekatan dan mekanisme baharu.

74. Pendekatan dan mekanisme yang akan meningkat keupayaan serta


kapasiti anggota kita untuk memberi khidmat lebih baik serta
menyediakan mereka untuk menempuh hidup baharu dengan baik
dan bermaruah selepas tamat perkhidmatan.

75. Perkara tersebut menuntut, antara lain, pendekatan dan mekanisme


yang lebih bersifat anjal, inovatif, jangka panjang dan mengupayakan.

76. Misalnya, pengenalan program pembangunan kapasiti yang


intensif, sistematik dan lebih berdaya saing.

8
77. Terdapat beberapa contoh inisiatif yang boleh kita terokai bersama-
sama.

78. Pertama, menjadikan tempoh perkhidmatan anggota pertahanan


sebagai sesi pengajian yang menggunakan pendekatan work-based
learning atau pembelajaran berasaskan pekerjaan.

79. Kedua, mengaplikasikan konsep APEL – iaitu penukaran


pengalaman dalam sesuatu bidang menjadi pengiktirafan akademik
secara formal.

80. Kedua-dua pendekatan ini membolehkan anggota kita menamatkan


perkhidmatan dengan kelayakan akademik yang bersesuaian tanpa
perlu untuk mengikuti proses pengajian yang baharu.

81. Sasaran saya, semua anggota yang menamatkan perkhidmatan


dalam sektor pertahanan negara akan menjadi sekurang-
kurangnya pemegang sijil atau diploma atau kelulusan-kelulusan
lain dari institusi pendidikan tinggi atau institut latihan awam.

82. Dalam hal ini, insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala


pengalaman menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini,
untuk merunding dan mengusahakan satu kerjasama strategik yang
bersesuaian.

83. Mustahil segala jasa, pengorbanan dan pengalaman yang ditimba


oleh anggota pertahanan sepanjang berkhidmat tidak mempunyai
apa-apa nilai akademik.

84. Kita mempunyai banyak IPT termasuklah rangkaian politeknik yang


ketika ini sedang giat menekankan konsep Work-Based Learning.

85. Adalah wajar dan sesuai agar segala keupayaan, kemahiran dan
kompetensi anggota kita diiktiraf dan ditukar menjadi kelulusan
pendidikan formal.

86. Saya percaya, kesemua institusi ini sudah pasti mempunyai bidang
dan keupayaan yang boleh dipadankan dengan kemahiran serta ilmu
para anggota kita.

87. PERHEBAT mesti diperhebat.

9
88. Institusi ini mesti sentiasa menyemak dan memastikan program
pembangunan kapasiti sedia ada terus diperkemas dan
dipelbagaikan.

89. Begitu juga dengan intervensi-intervensi lain yang selama ini kita
tawarkan. Kesemuanya mesti dipastikan benar-benar memberi nilai
tambah yang akan melonjak potensi dan keupayaan anggota kita.

90. Mana mungkin jasa dan pengorbanan besar yang dicurahkan kepada
negara berakhir dan susut nilainya sebaik tamat perkhidmatan.

Hadirin yang saya hormati,

91. FOKUS KEEMPAT : Patriotisme sebagai benteng pertahanan


terbaik negara.

92. Bagi melengkapkan spektrum pertahanan negara, cabang ‘non-


combatant’ mesti turut diberikan perhatian.

93. Kita tidak hanya boleh melaungkan naratif dan slogan. Bahawa
pertahanan negara ialah tanggungjawab semua. Tetapi pada masa
yang sama kita tidak menampilkan dasar atau inisiatif yang jelas bagi
menjayakan perkara tersebut.

94. Saya ingin menyarankan agar pemugaran semangat cinta


tanahair mesti dijadikan salah satu agenda besar kementerian
pertahanan.

95. Kita tidak boleh sekadar menjadi pemerhati atau pelengkap kepada
agenda besar ini.

96. Sebaliknya, Kementerian Pertahanan mesti menerajui proses


penerapan semangat patriotisme yang membara dalam jiwa anak
muda bangsa.

97. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pertahanan harus memastikan


keputusan Kerajaan untuk mengembalikan dan melaksanakan
semula PLKN dijayakan dengan sebaiknya.

10
98. Kementerian mesti mula meneliti secara mendalam dan segera,
aspek-aspek penting seperti kesesuaian kumpulan sasar,
keberkesanan modul latihan dan kepelbagaian cakupan pengisian.

99. Semua itu mesti didefinisikan secara strategik dengan mengambil kira
keperluan masa depan negara dan kedinamikan gaya hidup semasa.

100. Malah, kita mesti memastikan yang pelaksanaan PLKN ini menjadi
serampang pelbagai mata.

101. Pertama, ini adalah wahana untuk kita memupuk perpaduan.


Kepelbagaian kaum dan identiti bangsa mesti dirai dan diperkukuh
dalam kalangan anak muda.

102. Kedua, PLKN ialah ruang dan peluang untuk kita pasakkan dalam
jiwa anak bangsa, jati diri dengan acuan dan cara kita berdasarkan
nilai-nilai kebangsaan yang kita junjung.

103. Dan ketiga, program sebegini akan meningkatkan kefahaman dan


penghayatan tentang Malaysia MADANI yang menjadi agenda utama
negara.

104. Malah, secara tidak langsung, PLKN berupaya menjadi salah


satu pendekatan kita meningkatkan minat serta keanggotaan
ATM melalui pelbagai skim termasuklah anggota simpanan.

105. Kita tidak boleh mempertahankan negara ini hanya dengan


memberi perhatian kepada ancaman dari luar secara
bersendirian.

106. Sebaliknya, pertahanan negara turut memerlukan keutuhan


patriotisme dari segenap lapisan masyarakat.

107. Negara ini akan hanya kekal terbela apabila dihuni oleh anak
bangsa yang berani, terlatih dan bersedia untuk memberikan
yang terbaik kepada negara.

11
Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

108. FOKUS KELIMA : Malaysia dan keamanan sejagat.

109. Selain memastikan kekuatan pertahanan negara dibangunkan


melalui perolehan aset dan teknologi terkini, pembangunan bakat
terbaik dan kapasiti anggota, pemugaran nilai patriotisme
masyarakat, aspek dasar dan pendirian negara dalam isu-isu
antarabangsa turut mencerminkan kematangan nuansa pertahanan
kita.

110. Diplomasi pertahanan dan penyertaan kita dalam pelbagai forum


serta misi pengaman serantau dan antarabangsa sangat kritikal
dalam membina pengalaman serta menyatakan pendirian
Malaysia.

111. Kita mesti merangka strategi dan pendekatan yang lebih


berkesan untuk terus meletakkan Malaysia sebagai negara yang
komited dan tegas dalam mempertahankan undang-undang, nilai
kemanusiaan dan keamanan sejagat.

112. Malaysia ialah sebuah negara kepelbagaian. Kita terbentuk dan


berdiri atas prinsip hormat-menghormati.

113. Penerimaan kita terhadap perbezaan serta kerencaman identiti


menjadi pasak yang menyuburkan keharmonian dan perpaduan.

114. Di bawah Agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Kerajaan


Perpaduan, negara kita mahu tampil sebagai sebuah masyarakat
berdaulat yang mengangkat nilai-nilai unggul.

115. Saya berani nyatakan, bahawa perkara tersebut turut terpakai dalam
konteks keselamatan dan pertahanan negara.

116. Nilai-nilai unggul seperti ihsan, hormat, daya cipta, keyakinan dan
kesejahteraan ialah hasil langsung yang terbit daripada sebuah
negara yang aman, selamat dan terpelihara.

12
117. Malah, nilai-nilai inilah yang memimpin kita untuk lantang
menyanggah perkara-perkara seperti pencerobohan wilayah,
penjajahan bentuk baharu, pembantaian dan pembunuhan beramai-
ramai sesuatu etnik, serta pelanggaran hak asasi manusia mahupun
prinsip-prinsip keamanan sejagat di bawah undang-undang dan
badan antarabangsa.

118. Pencerobohan dan kekejaman yang merobek nilai kemanusiaan


seperti yang sedang dilakukan ke atas Palestin ialah sesuatu yang
bertentangan dengan dasar dan pendirian kita.

119. Oleh itu, saya memberi komitmen bahawa dalam memperkemas


keupayaan dan integriti pertahanan negara, kita akan terus
berpegang dengan prinsip-prinsip penting yang selama ini menjadi
citra Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

PENUTUP

Hadirin dan hadirat sekalian,

120. Marilah kita mengambil kesempatan untuk menggandakan rasa


syukur kita atas keamanan serta kemakmuran yang kita nikmati hari
ini.

121. Semua itu bukan nikmat pipih yang datang melayang.

122. Banyak yang kita cagar dan korbankan.

123. Saya ingin merakamkan secara khusus, penghargaan dan ucapan


terima kasih saya kepada semua pasukan dan anggota kita yang
sedang bertugas di perbatasan dan seluruh negara.

124. Meskipun tidak dapat bersama-sama dalam majlis ini, doa kami akan
terus mengiringi amanah dan sumbangan kalian pada tanah air kita.

125. Kepada semua yang hadir pada hari ini, saya menyeru. Marilah kita
bekerja sebagai satu ketumbukan yang kuat dan saling
mengukuhkan.

126. Kita hanya punya satu misi. Namun, misi kita ini terlalu besar untuk
digalas secara berasingan oleh sesetengah kelompok sahaja atau
dilaksanakan secara sambil lewa.

13
127. Masyarakat harus dididik untuk melihat, bahawa di Kementerian inilah
berpusatnya mereka yang pengorbanan dan kesetiaannya pada
tanahair tidak perlu dipertikaikan. Malah, di Kementerian Pertahanan
dan ATM jugalah, bakat-bakat terbaik harus dikumpul dan
dibangunkan tanpa kompromi.

128. Jadi, keperluan dan perancangan Kementerian ini dan ATM, mesti
terus disokong dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya oleh
Kerajaan.

129. Sebelum berakhir, sekali lagi, saya harap dengan kerjasama, dedikasi
serta sokongan semua, segala yang kita rancang dan usahakan, akan
membuahkan hasil, insya-Allah.

130. Semoga tahun 2024 membawa pencapaian yang lebih cemerlang


kepada Kementerian Pertahanan dan kepada tanahair.

131. Selamat Tahun Baharu 2024.

14

Anda mungkin juga menyukai