Anda di halaman 1dari 3

Pendidikan Kesihatan (KSSR) Modul 1 (Kesihatan Fizikal) : Kesihatan Diri dan Reproduktif Bincangkan bagaimana topik ini dapat

disampaikan kepada murid-murid sekolah rendah dan dapat meningkatkan nilai-nilai moral mereka serta dalam masa yang sama dapat mengurangkan kesan-kesan negatif apabila murid sudah mempelajari tajuk ini.

Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) telah dilaksanakan sejak tahun 1989 di sekolah menengah dan tahun 1994 di sekolah rendah, khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan secara merentas kurikulum mata pelajaran lain seperti bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Sehubungan itu, pelbagai cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh para pendidik untuk menyampaikan dan memfokuskan pengajaran berkesan terutamanya topic-topik yang amat sukar dijelaskan dalam bentuk penerangan semata-mata. Kaedah pertama yang boleh diaplikasikan semasa pembelajaran dan pengajaran (p&p) dalam topik Kesihatan Diri dan Reproduktif ini adalah dengan menggunakan kaedah penerangan bahan bergambar. Melalui kaedah ini, guru akan memulakan pengajaran dengan menunjukkan beberapa keping gambar atau gambarajah pegun dan rajah yang berkaitan sebelum disusuli dengan sesi penerangan dan perbincangan bersama murid. Seperti yang kita ketahui, murid-murid sekolah rendah mudah tertarik dan peka terhadap bahan atau kad berwarna. Sehubungan itu, adalah amat sesuai dan berkesan jika kita mengeksploitasikan gambar atau rajah sebagai bahan sokongan dalam p&p bagi menarik minat murid untuk belajar dan seterusnya dapat memudahkan murid untuk memahami dan mengingat apa yang telah dipelajari bersama guru. Sebagai contoh, dalam kaedah ini kita boleh mengambil topik yang berkaitan dengan pemakanan seimbang dan amalan postur yang betul. Dalam kedua-dua topik ini, guru boleh menunjukkan gambarajah makanan yang seimbang seperti ayam, nasi, sayur, telur, roti, susu, buah-buahan dan sebagainya mengikut piramid makanan

seimbang. Selain itu, guru juga boleh menunjukkan gambar amalan postur yang baik seperti ketika berdiri, duduk, mengangkat barang dan sebagainya. Sesi penerangan dan perbincangan bersama murid juga harus dilakukan untuk memastikan kefahaman murid dan latihan lemabaran kerja juga disertakan. Guru harus menekankan kefahaman murid tentang pemakanan seimbang dan amalan postur yang baik agar murid dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian di samping keluarga dan rakan-rakan sebaya. Kaedah kedua yang juga boleh digunakan dalam proses penyampaian pengajaran kepada murid-murid sekolah ialah dengan menggunakan kaedah perbandingan atau perbezaan. Guru memulakan pengajaran dengan memberikan beberapa situasi atau fenomena yang baik dan tidak baik. Seterusnya guru memfokuskan kepada perbandingan antara kedua-dua situasi tersebut untuk dinilai oleh murid itu sendiri. Kaedah ini hanya dapat dilakukan dalam topik pengajaran yang memfokuskan kepada dua keadaan yang berbeza samada keadaan itu dipandang positif ataupun negatif dalam kehidupan seharian. Kaedah ini juga boleh digabungkan bersama kaedah yang pertama di atas. Sebagai contoh, antara topik yang boleh digunakan dalam kaedah ini ialah p&p mengenai maksud dan situasi sentuhan tidak selamat serta kepentingan rehat dan tidur. Dalam topik sentuhan tidak selamat, guru boleh memulakan pengajaran dengan menunjukkan gambar yang mengandungi situasi sentuhan yang selamat dan tidak selamat seperti sentuhan antara ayah-anak dan guru lelaki-murid perempuan. Keduadua situasi ini sudah menunjukkan perbandingan yang ketara untuk membincangkan sentuhan yang selamat dan tidak selamat. Guru harus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang betul kepada murid dengan memberikan penerangan yang padat dan mudah difahami oleh murid. Guru juga harus membincangkan isi kandungan dan kesan-kesan akibat daripada sentuhan yang selamat dan tidak selamat. Perbandingan yang dilakukan antara kedua-dua situasi akan dapat meningkatkan kefahaman murid tentang maksud dan situasi sentuhan tidak selamat serta seterusnya dapat membantu murid untuk memahami situasi yang berkenaan dalam kehidupan seharian.

Kaedah ketiga yang juga boleh digunapakai dalam p&p topik yang sama adalah dengan menggunakan kaedah audio-visual. Kaedah ini menggunakan bahan sokongan dengan menayangkan video ataupun iklan. Guru boleh memulakan pengajaran dengan menunjukkan kepada murid tayangan video atau iklan tentang suatu situasi yang berkaitan dengan topik yang diajar. Kemudian, disusuli dengan sesi perbincangan bersama murid untuk penerangan yang lebih lanjut daripada guru. Tayangan video atau iklan ini amat berkesan dalam topik yang merangkumi situasi-situasi bergerak dan bukan pegun bagi memberikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami oleh murid-murid sekolah rendah. Sebagai contoh, topik yang boleh digunakan ialah p&p mengenai situasi dan mengenali individu yang berkemungkinan melakukan sentuhan tidak selamat. Dalam topik ini, guru boleh menayangkan beberapa sketsa atau babak yang sesuai yang diperolehi daripada drama-drama tv ataupun carian di laman elektronik. Contohnya, babak penculikan kanak-kanak, kecurian di taman perumahan ataupun vandalisme di taman permainan kanak-kanak. Semua babak lakonan ini boleh diperolehi sama ada di laman YouTube, drama tv, iklan tv ataupun melalui berita semasa. Selain itu, tayangan video ini dapat membantu murid untuk lebih memahami dan merasai situasi tidak selamat serta mengetahui dan mengenali ciri-ciri individu yang melakukan sentuhan atau aksi tidak selamat. Dengan cara ini, secara tidak langsung murid dapat

mengambil inisiatif dan peringatan untuk keselamatan diri sendiri dan keluarga di dalam kehidupan seharian. Ianya juga dapat mengelak murid terjebak daripada situasi-situasi yang sedemikian pada masa akan datang.