Anda di halaman 1dari 11

Jumaat Oktober 1, 2010 Pendekatan Lebih Holistik Dalam Menangani Isu Buang Bayi - Muhyiddin PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis

Sosial Negara hari ini memutuskan bahawa pendekatan lebih holistik perlu dalam usaha untuk menangani masalah pembuangan bayi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju supaya pelan tindakan yang lebih komprehensif akan dilaksanakan secara bersepadu antara kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). "Institusi penting keluarga dan masyarakat juga perlu diperkukuhkan untuk menerapkan nilai murni dan etika serta kefahaman dalam pendidikan agama supaya dapat membantu masalah itu dalam jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, Jumaat. Muhyiddin berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai pendidikan seks di sekolah yang dianggap sebagai satu inisiatif jangka pendek dan panjang dalam memberikan kefahaman lebih tepat di kalangan generasi muda terutama di peringkat sekolah. "Projek perintis sudah dimulakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Pelajaran dan hasilnya nampak amat memberangsangkan," katanya. Muhyiddin berkata jawatankuasa teknikal mengenai pendidikan seks di sekolah sedang menilai cara terbaik sekiranya program tersebut hendak diperluaskan ke seluruh negara. Selain itu katanya, mesyuarat turut memutuskan untuk menubuhkan sebuah pusat sehenti bertujuan membantu golongan gelandangan. Beliau berkata pusat yang akan diwujudkan di Kuala Lumpur itu dijadual siap pada November tahun ini dan boleh menempatkan kira-kira 76 orang. "Pusat itu ditubuhkan bagi menangani isu membabitkan golongan itu serta memberikan perlindungan sementara supaya selepas itu mereka boleh berdikari.Buat masa ini ia hanya ditubuhkan di Kuala Lumpur," katanya Timbalan Perdana Menteri berkata dalam pada itu semua kerajaan negeri diminta memantau masalah itu di peringkat negeri masing-masing terutama di kota-kota besar dan mengambil langkah perlu. Mesyuarat katanya, turut memutuskan untuk meneliti situasi kes golongan berkenaan daripada aspek latar belakang, mengenal pasti punca serta langkah sesuai yang boleh diambil untuk menangani masalah itu bagi jangka masa panjang. Muhyiddin berkata keberkesanan Dasar Sosial Negara juga akan dikaji semula memandangkan situasi dalam negara sekarang adalah dinamik, berubah dengan cepat serta pantas maka terdapat keperluan untuk wujudkan satu Model Baru Sosial. "Ia bagi memastikan rakyat dapat menikmati kesejahteraan dari segi sosial. Jadi langkah perlu dimulakan untuk merintis jalan kepada model baru itu selaras dengan perubahan masa," katanya.

Beliau berkata ini bermakna kerangkanya perlu dirumuskan sekarang dan jika perlu satu makmal khusus akan ditubuhkan bagi mengkaji segala aspek yang difikirkan sesuai untuk diambil kira dalam merangka model tersebut. "Diharapkan ia dapat dimulakan segera, kalau tidak awal tahun depan mungkin pertengahan tahun," katanya. - BERNAMA

ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK! JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1). Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi Tahun Jumlah kes 2006 53 2007 76 2008 102 2009 (sehingga Mei) 33

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi. Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela? JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.

JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak. JIM menuntut semua pihak memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini. Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya. Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran yang menghakis nilai murni dalam komuniti. Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks. Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata . JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas : a. Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin ( rahmat untuk sekelian alam). Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir. b. Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko

komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian. c. Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya. d. Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja! Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam. JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!

Kes buang bayi di Sgor tertinggi


Posted on April 8, 2010, Thursday KUALA LUMPUR: Selangor mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak tertinggi di negara ini, sejak lima tahun lepas bermula 2005, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata mengikut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Selangor mencatatkan 105 kes pembuangan bayi manakala statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula merekodkan 3,234 kes penderaan kanak-kanak. Secara keseluruhannya, 407 kes direkodkan berkaitan pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan kanak-kanak dan bayi dicatatkan sejak lima tahun lalu, katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BNMaran) yang ingin tahu jumlah kes pembuangan bagi dan penderaan bayi bagi tempoh 2005-2010 mengikut negeri dan sebab kejadian tersebut berlaku serta tindakan kerajaan dalam menangani gejala tersebut.

Selain Selangor, Johor mencatatkan 83 kes pembuangan bayi, Sabah (65), Sarawak (34), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (22), Perak (19), Pahang dan Kedah (17), Kelantan (10), Terengganu (5), Melaka (3), Kuala Lumpur (2) dan Perlis (1). Bagi kes penderaan kanakkanak dan bayi, selepas Selangor, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi iaitu 2,221 kes, Pulau Pinang (891), Perak (861), Negeri Sembilan (799), Johor (599), Pahang dan Sarawak (440),Kedah (420), Melaka (301), Perlis (245), Terengganu (168), Kelantan (105) dan Sabah (34). Shahrizat berkata antara punca berlakunya masalah pembuangan bayi apabila mangsa, wanita hamil luar nikah berasa takut dan malu kerana tidak mendapat sokongan keluarga, khuatir dihukum sekiranya masyarakat umum mengetahuinya dan bayi yang dilahirkan cacat. Kurang pendidikan agama, tiada pengetahuan mengenai khidmat bantuan sokongan seperti khidmat kaunseling dan perkhidmatan perlindungan untuk diri dan anak, bapa kepada bayi yang dilahirkan ghaib dan tidak mahu bertanggungjawab selain wanita pendatang asing tanpa izin takut diusir apabila meminta pertolongan, katanya. Bagi kes penderaan kanakkanak, antara sebab berlaku kejadian tersebut termasuklah kerana kanak-kanak dan bayi terlalu aktif selain masalah yang dihadapi ibu bapa berkaitan tekanan tempat kerja, kewangan, krisis rumah tangga dan kurang pendidikan agama, katanya. Shahrizat berkata tindakan kerajaan bagi menangani masalah ibu muda yang bermasalah serta usaha membendung pembuangan bayi termasuklah menyediakan pusat perlindungan bagi kanak-kanak dan wanita. Kementerian mempunyai 55 institusi kebajikan, 104 pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, 53 Klinik Nur Sejahtera yang sedia menerima bayi-bayi yang memerlukan perlindungan dan empat Taman Seri Puteri serta Pusat Jagaan Sinar Kasih, katanya. Bernama

Pendekatan holistik dalam menangani masalah pembuangan bayi

2010/10/01
PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Sosial Negara hari ini memutuskan bahawa pendekatan lebih holistik perlu dalam usaha untuk menangani masalah pembuangan bayi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya pelan tindakan yang lebih komprehensif akan dilaksanakan secara bersepadu antara kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). "Institusi penting keluarga dan masyarakat juga perlu

diperkukuhkan untuk menerapkan nilai murni dan etika serta kefahaman dalam pendidikan

agama supaya dapat membantu masalah itu dalam jangka masa panjang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini. Muhyiddin berkata, mesyuarat turut membincangkan mengenai pendidikan seks di sekolah yang dianggap sebagai satu inisiatif jangka pendek dan panjang dalam memberikan kefahaman lebih tepat di kalangan generasi muda terutama di peringkat sekolah. "Projek perintis sudah dimulakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Pelajaran dan hasilnya nampak amat memberangsangkan," katanya. Muhyiddin berkata, jawatankuasa teknikal mengenai pendidikan seks di sekolah sedang menilai cara terbaik sekiranya program tersebut hendak diperluaskan ke seluruh negara. Selain itu, katanya, mesyuarat turut memutuskan untuk menubuhkan sebuah pusat sehenti bertujuan membantu golongan gelandangan. Beliau berkata, pusat yang akan diwujudkan di Kuala Lumpur itu dijadual siap pada November tahun ini dan boleh menempatkan kira-kira 76 orang. "Pusat itu ditubuhkan bagi menangani isu membabitkan golongan itu serta memberikan perlindungan sementara supaya selepas itu mereka boleh berdikari. Buat masa ini ia hanya ditubuhkan di Kuala Lumpur," katanya Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam pada itu semua kerajaan negeri diminta memantau masalah itu di peringkat negeri masing-masing terutama di kota-kota besar dan mengambil langkah perlu. Dalam mesyuarat itu katanya, turut memutuskan untuk meneliti situasi kes golongan berkenaan daripada aspek latar belakang, mengenal pasti punca serta langkah sesuai yang boleh diambil untuk menangani masalah itu bagi jangka masa panjang. Muhyiddin berkata, keberkesanan Dasar Sosial Negara juga akan dikaji semula memandangkan situasi dalam negara sekarang adalah dinamik, berubah dengan cepat serta pantas maka terdapat keperluan untuk wujudkan satu Model Baru Sosial. "Ia bagi memastikan rakyat dapat menikmati kesejahteraan dari segi sosial. Jadi langkah perlu dimulakan untuk merintis jalan kepada model baru itu selaras dengan perubahan masa," katanya. Beliau berkata, ia bermakna kerangkanya perlu dirumuskan sekarang dan jika perlu satu makmal khusus akan ditubuhkan bagi mengkaji segala aspek yang difikirkan sesuai untuk diambil kira dalam merangka model tersebut.

"Diharapkan ia dapat dimulakan segera, kalau tidak awal tahun depan mungkin pertengahan tahun," katanya. - BERNAMA

Apa yang ingin dibanggakan walaupun kalau pencapaian akademik sekolah dan tahap pendidikan berada dalam prestasi terbaik, tetapi kes pembuangan bayi di Malaysia semakin menjadi-jadi. Dikejar tuisyen sana, tuisyen sini. Buat kelas tambahan pagi dan petang (bukan niat menyalahkan sekolah semata). Akhirnya keputusan dan pencapaian peperiksaan duduk sama tinggi dengan statistik kes zina mahupun kes pembuangan bayi di Malaysia. Mahu ker begitu? Sampai bila? Dahlah kau berzina, kau buang bayi pula merata-rata. Apa nak dengan manusia zaman sekarang ni, sanggup buang atau bunuh bayi yang tak berdosa. Kasihanilah bayi yang tak berdosa tu. Masa berseronok tak ingat, dah membusung baik si lelaki dayus mahupun si gadis yang akal pendek mulalah gelabah puyuh, akhirnya jalan paling kejam yang dipilih mereka. Wahai insan yang bernama manusia yang terlibat dengan kes pembuangan bayi ini, bukalah mata. Renung-renungkanlah wajah-wajah comel ini. Mereka berhak untuk bernafas dimuka bumi Allah S.W.T. ini. Berilah mereka peluang untuk hidup Laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi kelahiran anak luar nikah :

Tahun 2007 : 16,100 anak luar nikah Melayu Tahun 2008 : 16,541 anak luar nikah Melayu Tahun 2009 : 17,303 anak luar nikah Melayu

Ini beberapa kes lahir anak luar nikah dan kes pembuangan yang dilaporkan untuk 7 hari terakhir ini. Yang tidak dilaporkan atau tidak berjaya dikesan? Erm. Seks bebas antara salah satu dari dosa-dosa besar? Tidak kira samada kau main pakai kondom ker, pancut luar ker, jikalau bukan muhrim, zina tetap zina. Yang kesiannya mak ayah yang hidup susah, cari duit hantar anak-anak pergi sekolah, tetapi lain yang mereka belajar. Budak-budak yang berzina ini sebenarnya bukan nak ANAK, mereka hanya mahu seronok-seronok. Orang-orang tua minta bawa balik kejayaan, mereka bawak balik berita anak luar nikah!!!!!!! Melihat kes pembuangan bayi di Malaysia yang semakin menjadi-jadi, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat ingin melaksanakan pusat penyerahan bayi luar nikah (bank bayi). Apa pandangan anda?

Justeru, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan Babys Craddle untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran uatama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan

kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di Babys Craddle akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya. Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat. Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat menyedihkan. Melalui undang-undang Safe Haven yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang Safe Haven ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat. Salah satu daripadanya ialah www.robynsnest.com/. Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita? Penyelesaian yang terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada ahli masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari setahun ke setahun menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan hukuman sedia ada ini?

Baby Hatch bukan penyelesaian gejala buang bayi


Biro Wanita ISMA secara dasarnya amat bersetuju dengan inisiatif Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta OphanCARE bagi menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius pada hari ini. Bayi-bayi yang dipelihara sementara itu hendaklah diserahkan kepada ibu bapa angkat mengikut agamanya. Walau bagaimanapun, Biro Wanita ISMA berpandangan bahawa usaha yang dilakukan oleh KPWKM menerusi Baby Hatch tersebut bukanlah penyelesaian kepada masalah yang wujud

hari ini. Apa yang dilakukan itu hanyalah sebahagian daripada jawapan kepada penyakit mental golongan yang tidak waras yang sanggup membuang bayi sendiri. Dalam hal ini, kerajaan hendaklah mengenakan tindakan yang tegas kepada pasangan yang melakukan zina dan sanggup membuang bayi yang tidak berdosa. Hukuman sebat ke atas pasangan zina yang belum berkahwin dan rejam kepada pasangan yang telah berkahwin seperti yang dianjurkan oleh syariat Islam adalah jawapan yang paling tegas bagi menangani isu yang tidak pernah berkesudahan ini. Dalam waktu yang sama, usaha menyedarkan masyarakat terutama golongan remaja, belia dan pekerja kilang tentang ajaran Islam yang syumul hendaklah dilipatgandakan. Peranan ini adalah tanggungjawab bersama di antara pihak kerajaan, jabatan agama, masjid, NGO-NGO Islam, sekolah dan agensi-agensi Islam yang lain. Tanggungjawab berdakwah bukan sahaja diperintahkan kepada non-muslim sahaja, malah kepada masyarakat Islam sendiri. Masyarakat Islam adalah golongan yang lebih utama untuk para pendakwah menyampaikan Islam. Ini kerana mereka adalah golongan yang telah beragama Islam tetapi lemah kefahamannya terhadap Islam. Peranan media massa, samada bercetak atau elektronik sebagai agen pembentukan keperibadian individu dan masyarakat juga tidak harus dikesampingkan. Kerosakan akhlak yang berlaku pada hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh media massa yang terlalu mempromosikan fahaman sekularisme, budaya hedonisme dan dorongan untuk hidup berfoya-foya. Justeru itu, para petugas media massa hendaklah memiliki akauntabiliti dan lebih tanggungjawab. Pada masa yang sama, para pengguna terutama ibu bapa hendaklah lebih bijaksana dalam memilih dan memantau siaran yang ditonton oleh anak-anak. ISMA melalui berbagai-bagai agensinya sentiasa berusaha untuk membantu kerajaan menangani isu-isu sosial yang melanda masyarakat Melayu di Malaysia. Berpegang kepada motto Mencegah Lebih Baik Dari Merawat, ISMA melalui agensi wanita, belia, remaja dan kanak-kanak cuba mendekati setiap lapisan mesyarakat dengan mengajak mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. ISMA menyediakan pelbagai program pembangunan diri dan rohani bagi memastikan ahli-ahlinya dan juga masyarakat tidak terjebak ke lembah yang hina itu. Biro Wanita ISMA

Berikut adalah petikan daripada Berita Harian Online berkenaan pelancaran Baby Hatch baru-baru ini: Pertubuhan Kebajikan dan pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) melancarkan Baby Hatch, tempat perlindungan bayi tidak dikehendaki ibu bapa pertama di Kampung Tunku, Petaling Jaya KLANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata cadangan itu antara langkah terbaik untuk memastikan mereka yang disiasat segera dibawa ke muka pengadilan untuk dihukum, sekali gus menjadi pengajaran kepada rakyat. Sekarang pun kementerian mendapat kerjasama polis untuk mempercepatkan siasatan, katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat dan Hari Keluarga Parlimen Kota Raja di sini, semalam. Terbaru, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai menanam mayat bayi lelaki berhampiran landasan kereta api Stesen Komuter Padang Jawa, di sini, Sabtu lalu direman empat hari, mulai kelmarin. Turut direman, kakaknya yang berusia 24 tahun kerana disyaki bersubahat. Pada majlis berasingan di ibu negara, Shahrizat berkata, lelaki yang melarikan diri kerana enggan bertanggungjawab selepas menghamilkan wanita tidak terlepas daripada undangundang. Sudah terlalu lama wanita saja dipersalahkan dalam kes hamil luar nikah dan pembuangan bayi tetapi lelaki melarikan diri. Saya memberi amaran kepada bapa ghaib ini mereka tidak akan terlepas, katanya selepas majlis perasmian Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) serta pelancaran Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini, yang pertama di Malaysia. Perasmian itu disempurnakan Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom. Shahrizat berkata, beliau tidak menyangka Baby Hatch perlu diwujudkan di Malaysia kerana negara memiliki kerajaan yang bertanggungjawab serta rakyat penyayang. Beliau turut menegaskan kewujudan Baby Hatch tidak bertujuan menggalakkan kes kehamilan luar nikah, sebaliknya menyelamatkan bayi dibuang ibu bapa yang tidak menghendaki mereka. Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata Baby Hatch yang beroperasi 24 jam adalah pilihan terakhir kepada bayi tidak dikehendaki yang menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat sebelum diserahkan kepada keluarga angkat. Beroperasi selama 24 jam, beliau berkata, sesiapa saja datang ke OrphanCARE dan meletakkan bayi di tempat yang dikhaskan.

6- Peranan Kementerian Pelajaran Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah amat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja.

Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi memastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu bapa dalam memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya. Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan remaja.