Anda di halaman 1dari 38

TEKS UCAPAN

YBrs. TUAN HAJI AZMAN BIN HAJI ADNAN


KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH PENDIDIKAN


MALAYSIA SEMPENA PEMBUKAAN SESI PERSEKOLAHAN
2024/2025

PADA
4 MAC 2024 (ISNIN)

BERTEMPAT DI
AUDITORIUM KOMPLEKS E
Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Salam Sejahtera
Salam Malaysia MADANI

Yang saya hormati;

Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pendidikan;

Pengarah-pengarah Bahagian;

Pengarah-pengarah Jabatan Pendidikan Negeri;

Ketua-ketua Pegawai Pendidikan Daerah;

Pengetua dan Guru Besar;

Pegawai-pegawai di Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri


dan Pejabat Pendidikan Daerah;

Para Guru;

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

1
1. Terlebih dahulu, Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat
Allah SWT dengan berkat taufik dan hidayah-Nya, dapat kita
berhimpun bersama-sama dalam Sesi Amanat sempena
Pembukaan Sesi Persekolahan bagi tahun 2024/2025.
Saya difahamkan bahawa majlis amanat ini bukan sahaja
dihadiri oleh tuan-tuan dan puan-puan yang berada
di auditorium ini, malahan semua warga pendidik yang
berada di seluruh Malaysia secara dalam talian.

2. Sebagaimana yang kita sedia maklum, cuti akhir


persekolahan bagi Sesi Akademik Tahun 2023/2024 yang
bermula pada 9 Februari 2024 akan berakhir. Saya ingin
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih
kepada seluruh warga pendidik sekalian atas komitmen dan
kesungguhan menggalas amanah dan menunaikan
tanggungjawab pada sesi persekolahan yang lepas. Saya
harap momentum, komitmen dan kesungguhan ini
diteruskan dan ditambah baik dalam usaha kita mendidik
anak bangsa sebagai pewaris negara pada masa hadapan.

3. Saya juga merakamkan ucapan tahniah atas semua


kejayaan yang telah dilakarkan pada sesi persekolahan yang
lepas, baik dari aspek kurikulum mahupun kokurikulum.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

2
Teruskan kecemerlangan ini dalam usaha kita untuk
memartabatkan pendidikan negara.

4. Buat semua anak didik yang dikasihi, syabas dan tahniah


atas pelbagai kejayaan yang telah diperoleh sepanjang
tahun 2023. Tahniah juga kepada semua anak didik yang
sentiasa hadir ke sekolah. Kehadiran anak-anak ke sekolah
untuk mengikuti sesi pembelajaran juga merupakan satu
kejayaan yang amat membanggakan. Diharapkan agar
amalan ini dapat diteruskan pada sesi persekolahan kali ini.

5. Semua komponen pendidikan sama ada kepimpinan,


pengurusan, guru, ibu bapa, murid mahupun komuniti perlu
seiring dalam menangani perubahan landskap pendidikan,
mengubah persepsi dan cara berfikir serta tindak cara
bekerja, bagi memastikan segala gerak kerja dapat
memperkukuh ekosistem pendidikan negara.

6. Pada permulaan sesi persekolahan kali ini, hari kedua atau


ketiga persekolahan telah bermula bulan Ramadan. Oleh itu,
kebijaksanaan barisan pentadbir di sekolah sangat dituntut
untuk menyesuaikan aktiviti minggu pertama persekolahan
dengan datangnya bulan Ramadan. Walaupun begitu, ia
bukanlah alasan, untuk kita memastikan hasrat KPM melalui
aktiviti minggu pertama ini, iaitu, untuk melahirkan “Murid

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

3
Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera”
dapat dilaksanakan.

7. Kerjasama dan sokongan semua peringkat pengurusan


tertinggi kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dimohon untuk
memastikan kelancaran minggu pertama persekolahan ini.
Oleh itu, saya ingin meminta agar semua peringkat
pengurusan tertinggi kementerian, JPN dan PPD hadir ke
sekolah pada minggu pertama persekolahan. Tujuan
kehadiran ke sekolah adalah untuk menzahirkan semangat
kebersamaan semua peringkat pengurusan KPM dalam
program minggu pertama persekolahan. Aktiviti ini bukan
bersifat pemantauan atau penilaian tetapi untuk menyantuni
warga sekolah dalam program yang dilaksanakan di sekolah.

PERANAN GURU

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

8. Guru memainkan peranan penting sewaktu pembukaan


semula sesi persekolahan untuk memastikan proses
pembelajaran berjalan dengan lancar dan efektif. Guru perlu
bersiap siaga memastikan bilik darjah dan persekitaran

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

4
sekolah berada dalam keadaan kondusif dan selamat. Selain
itu, guru juga perlu memastikan bahan pembelajaran,
aktiviti dan jadual pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang
disediakan menyeronokkan dan dapat menarik minat murid
untuk kembali belajar selepas cuti persekolahan.

9. Oleh itu, selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas


Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2023
bertarikh 9 Mac 2023, yang menjelaskan bahawa minggu
pertama persekolahan, hendaklah dimanfaatkan
sepenuhnya dengan pelaksanaan program atau aktiviti yang
menyeronokkan, sebagai usaha untuk memberi ruang dan
menyokong persediaan sosioemosi dan mental murid dan
guru untuk melaksanakan proses pendidikan formal. Dalam
hal ini, guru dan pihak sekolah disarankan untuk menyambut
kedatangan murid dengan ramah, ceria dan penuh kasih
serta memberikan semangat positif pada hari pertama
persekolahan agar murid berasa diterima dan bermotivasi
untuk kembali memulakan sesi pembelajaran.

10. Program Transisi Tahun Satu 2.0 bagi murid Tahun 1 dan
program yang bersifat mendidik berkaitan budaya sekolah,
kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum juga hendaklah
diteruskan mengikut kesesuaian. Program Transisi Tahun

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

5
Satu merupakan satu program yang dirangka
untuk menyediakan murid menghadapi perubahan,
menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri mereka
di sekolah. Program ini merupakan peluang kepada guru
untuk mengenali setiap individu murid dan membantu guru
untuk mengenal potensi terbaik murid. Sewaktu Program
Transisi Tahun Satu 2.0 bagi murid Tahun 1 ini juga
dilakukan saringan pengesanan literasi dan numerasi murid
Tahun 1 untuk mengenal pasti kemahiran membaca,
menulis dan mengira murid Tahun 1, agar guru dapat
memberikan bantuan pemulihan awal.

11. Konsep pengisian program atau aktiviti yang dapat


mewujudkan suasana ceria, selamat, bermakna dan
terancang perlu diteruskan sepanjang tempoh minggu
pertama persekolahan bagi sesi 2024/2025. Hal ini penting
kerana aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan pada
minggu pertama persekolahan merupakan sebahagian
daripada pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP)
dalam usaha membentuk karakter murid yang bukan sahaja
cemerlang akademiknya, tetapi juga memiliki nilai sahsiah
dan keperibadian yang tinggi.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

6
12. Program dan aktiviti di sekolah pada minggu pertama sesi
persekolahan akan menjadi penentu kepada pembentukan
adab, akhlak dan motivasi dalam kalangan murid. Pihak
sekolah mempunyai ruang untuk memupuk pelbagai nilai
baik, yang menjadi teras kemenjadian murid dalam tempoh
ini. Aktiviti dan amalan baik yang menyeronokkan pada awal
pembukaan sekolah dapat mempengaruhi pembentukan
karamah insaniah dalam jangka masa panjang. Namun
begitu, jumlah hari dan pengisian program atau aktiviti
sepanjang tempoh minggu pertama persekolahan adalah
berdasarkan kesesuaian enrolmen, kemudahan, keperluan
dan lokaliti sekolah.

13. Dalam usaha mengembalikan fokus dan minat murid, guru


perlu berupaya memanfaatkan teknologi dan media
pembelajaran yang terkini dengan bijaksana. Guru
disarankan untuk menggunakan teknologi kecerdasasan
buatan atau Artificial Intelligence (AI). Penggunaan AI
membantu guru untuk mencipta rancangan PdP yang
berkualiti tinggi dan selaras dengan keperluan dan minat
murid masa kini. AI membolehkan guru menyesuaikan
bahan PdP berdasarkan potensi dan prestasi murid. Dengan
peranan aktif guru, pembukaan sesi persekolahan dapat
berjalan dengan lancar dan memberikan pengalaman belajar

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

7
yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga bermakna
bagi murid.

KESIAPSIAGAAN MURID

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

14. Konsep murid sebagai pelanggan (client) merupakan


pendekatan yang semakin diterima dalam dunia pendidikan
moden. Dalam konteks ini, murid dianggap sebagai
pelanggan yang berhak untuk memperoleh layanan
pendidikan sewajarnya. Oleh itu, guru dan pentadbir sekolah
perlu memastikan perkhidmatan pendidikan berkualiti tinggi
dan menepati atau melebihi jangkaan murid. Ini dapat
menangani kebimbangan murid dan meningkatkan
pengalaman pendidikan secara berterusan.

15. Walau bagaimanapun, murid perlu dibimbing agar berupaya


menyesuaikan diri dengan situasi PdP dan persekitaran
sekolah, khususnya murid Tahun Satu. Kita tidak boleh
menafikan bahawa terdapat murid yang mengalami perasan
yang bercampur baur antara rasa gembira, cemas, bahkan
resah pada hari pembukaan semula sesi persekolahan.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

8
Justeru, persiapan mental dalam diri murid perlu diberikan
perhatian oleh guru, ibu bapa dan komuniti agar murid
benar-benar bersedia untuk kembali ke sekolah dan
menetapkan tujuan asas mereka ke sekolah, iaitu,
memperkukuhkan kemahiran literasi dan numerasi.

PERANAN IBU BAPA

16. Dalam memastikan pembukaan sesi persekolahan berjalan


dengan lancar, ibu bapa perlu memastikan kesejahteraan
emosi dan mental anak-anak mereka, kejayaan akademik,
dan perkembangan keseluruhan anak-anak mereka. Kita
mengharapkan keterlibatan ibu bapa secara langsung
sewaktu hari pertama persekolahan. Selain itu, ibu bapa juga
perlu aktif dalam aktiviti yang dirangka oleh pihak sekolah
termasuklah sesi orientasi dan mesyuarat Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG). Ibu bapa disarankan agar sentiasa
berkomunikasi dengan guru untuk membincangkan
kemajuan prestasi anak-anak mereka. Komunikasi yang
kerap dengan guru dan penglibatan aktif dalam kehidupan
sekolah anak-anak boleh meningkatkan hasil pendidikan dan
perkembangan murid secara keseluruhan.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

9
PERANAN KOMUNITI DAN SWASTA

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

17. Kita tidak boleh menolak bahawa sokongan masyarakat


kepada sekolah amat diperlukan. Sokongan yang kuat
daripada komuniti memberikan manfaat kepada
pembangunan sekolah. Pelibatan komuniti, ibu bapa,
masyarakat, pihak swasta harus kita lihat dalam dimensi
baharu dan lebih mendalam sifatnya. Jaringan kerjasama
dengan semua entiti sokongan ini harus diperkasakan
dengan lebih kukuh. Komuniti setempat dapat membantu
pihak sekolah dengan menyediakan sumber keperluan
sekolah seperti kemudahan fasiliti dan bantuan kewangan
bagi menjayakan aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak
sekolah. Komuniti dapat membantu mengumpulkan dana
untuk keperluan sekolah seperti memperbaiki fasiliti atau
membeli peralatan pendidikan dalam bentuk buku, alat tulis,
peralatan komputer atau peranti yang diperlukan dalam PdP.

18. Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS),


mempunyai peranan yang cukup besar dalam memastikan
dukungan dan juga sokongan terhadap program-program

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

10
yang dirancang pada peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM.
PIBKS amat perlu bagi menjadikan ibu bapa dan komuniti
sebagai salah satu medium untuk membantu murid-murid
melalui proses pembelajaran di sekolah.

19. Kewujudan PIBKS dan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa


Komuniti dan Sektor Swasta (KPIBKS) jelas dilihat
memberikan banyak manfaat kepada murid, guru dan ibu
bapa. Pelibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta
sebagai rakan strategik menunjukkan komitmen yang baik
dan sokongan padu kepada segala keputusan yang dicapai
secara bersama. Hubungan komunikasi dua hala yang erat
antara ibu bapa, komuniti dan pihak swasta dengan guru dan
pihak sekolah membentuk perasaan bertanggungjawab yang
sewajarnya terhadap keberkesanan pendidikan anak-anak.
PIBKS dan KPIBKS diharapkan terus memberikan sokongan
dan komitmen bagi membantu memastikan setiap inisiatif
dan perancangan pelan pendidikan yang dilaksanakan pada
peringkat KPM mencapai keberhasilan sebagaimana
ditetapkan dan kejayaan cemerlang.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

11
PERANAN KEPIMPINAN SEKOLAH

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

20. Sekolah merupakan institusi penting dalam menjayakan


agenda pendidikan. Dengan komposisi bilangan sekolah
sebanyak 10,232 di seluruh Malaysia, maka terdapat
pelbagai kaedah serta tatacara pengurusan sekolah yang
akan digunakan oleh pihak pentadbir sekolah. Oleh itu, satu
daripada matlamat saya dalam memimpin KPM adalah
dengan memastikan pengurusan sekolah KPM dapat
ditambah baik sama ada dari aspek pentadbiran,
penyampaian dan kempimpinan. Pelibatan pemimpin yang
mahir dalam kepimpinan sekolah serta penggunaan data
yang relevan perlu menjadi asas dalam menentukan sesuatu
keputusan di sekolah. Selain itu, kebersamaan dalam
menggalas tanggungjawab menentukan hala tuju sekolah
menjadi teras kepada kecekapan sekolah. Oleh itu,
penekanan kepada aspek penyampaian yang telus dan terus
kepada pelaksana, menjadi keutamaan saya dalam
meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah demi
kemenjadian anak murid.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

12
21. Dalam memastikan pembentukan karakter murid tercapai
sebagaimana dihasratkan, kepimpinan sedia ada sama ada
pada peringkat sekolah, PPD, JPN dan Kementerian harus
berubah sesuai dengan matlamat pendidikan hari ini. Selaras
dengan itu, semua komponen dalam ekosistem pendidikan
perlu mengoptimumkan potensi diri, institusi atau organisasi
dan menambah baik serta memantapkan kepakaran yang
ada. Seluruh lapis kepimpinan bertanggungjawab
membangunkan potensi dan karakter murid dan perlu
mengembangkan seluruh dimensi karakter meliputi aspek
emosi, spiritual, pengetahuan dan intelektual, keterampilan
dan daya kepimpinan selaras dengan keperluan pendidikan
masa kini dan masa hadapan.

22. Kita perlu bergerak ke arah satu pemikiran baharu selari


dengan perubahan dalam landskap pendidikan hari ini. Minda
kita perlu bersedia untuk menerima perubahan dalam
pendidikan yang sedang dan akan berlaku. Banyak
keperluan dan tuntutan pendidikan masa kini yang perlu
dipenuhi. Dunia pendidikan bukan lagi sekadar mengajar
tulis, baca dan mengira tetapi banyak lagi dimensi dan
potensi murid perlu diterokai dan diterjemahkan dalam
bentuk kemenjadian murid yang menepati nilai karamah
insaniah.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

13
23. Hakikat perubahan ini mesti diakui dan minda kita harus
berubah dalam melihat perspektif yang lebih luas dan
dinamik. Justeru, cara kita berfikir juga perlu berubah. Saya
menyeru agar semua lapisan pendidikan dan rakan strategik
kita, termasuklah ibu bapa dan komuniti dapat mengubah
cara kita berfikir agar memenuhi kehendak peredaran masa.
Nasihat Sayidina Umar al-Khattab mungkin boleh dijadikan
panduan. Kata Sayidina Umar: “Didiklah anak-anakmu itu
berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka
telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zamanmu.”
Jelas, usaha meningkatkan kemahiran mendidik anak
sentiasa penting dan menjadi tanggungjawab kita semua
untuk mencari ilmu dan kemahiran tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

24. Kepimpinan bagi sesebuah organisasi perlu memahami dan


mengubah kepada pemikiran baharu yang memerlukan
kaedah, prinsip dan cara kerja yang mudah. Dalam membina
atau membuat apa-apa jua perancangan, melaksanakan
intervensi, mencari apa jua isu atau kelemahan,
pengubahsuaian, membuat keputusan, dan juga proses
POLC (Planning, Organizing, Leading, Controlling),

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

14
semuanya harus berteraskan kepada data atau data
driven pada semua peringkat dan bukannya hanya
berteraskan kepada andaian dan persepsi semata-mata agar
dapat memenuhi kehendak pihak berkepentingan (stake
holder). Data driven dapat digunakan untuk memacu
organisasi ke tahap yang lebih tinggi. Oleh itu, data
driven tidak boleh dikesampingkan kerana membolehkan
kita menjadikan laporan-laporan, maklum balas yang
diterima, pandangan dan analisis dalaman serta luaran
sebagai rujukan untuk menambah baik dan memperkasakan
pendidikan.

25. Seterusnya, kita perlu menghargai setiap pandangan yang


diberikan. Sebab itulah salah satu prinsip yang saya
cuba ketengahkan ialah daya tahan (resilient), iaitu,
ketahanan diri atau daya tahan yang tinggi dari segi emosi.
Sebagai contohnya, jika kita marah, gembira, benci
seharusnya kita mampu mengawal emosi sebaiknya. Kita
seharusnya bersikap rasional, mempunyai jati diri yang
tinggi, membuat keputusan secara konsisten dalam apa jua
situasi, sentiasa berteraskan kepada prinsip-prinsip kerja
yang sewajarnya, sentiasa berpandukan garis panduan
walaupun ada ketikanya kita berhadapan dengan individu
yang merupakan sahabat, saudara mara dan

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

15
sebagainya. Saya menyasarkan pemimpin pada semua
peringkat, terutamanya di sekolah adalah berprestasi tinggi
dan kuat daya juangnya. Jadi, inilah yang saya cuba
takrifkan sebagai salah satu daripada perkara yang memberi
penjelasan tentang daya ketahanan diri.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

26. Sejauh mana kita dapat menentukan KPI bagi setiap pelan
tindakan kita tercapai? Penentuan kejayaan KPI terletak
kepada keberhasilan kerja buat (outcome-based). Kita
perlu mengukur keberhasilan dan membuat penambaikan
pada semua peringkat. Kita bukan sekadar membina pelan
strategik yang bagaimana, pelan tindakan yang bagaimana,
tetapi yang lebih penting ialah apakah outcome yang dicapai
hasil daripada pelan yang kita bina atau rangka.

27. Selain itu, prinsip utama kerja buat kita


ialah navigasi (navigate), iaitu, memberi pandu arah,
tunjuk arah atau memberi bimbingan dan sokongan. Perkara
yang saya maksudkan adalah pelan sokongan yang
berstruktur yang akan kita berikan pada semua peringkat.
Setiap peringkat kepimpinan bertanggungjawab untuk
memberikan sokongan semaksimumnya kepada pegawai-

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

16
pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuklah JPN,
PPD dan sekolah. Semua pihak ada peranan untuk
memberikan sokongan dan bimbingan supaya kita benar-
benar memberi impak yang positif.

28. Prinsip kerja yang tidak kurang pentingnya perlu ada dalam
budaya kerja warga KPM ialah kecekapan (efficient).
Dalam melaksanakan setiap tugasan yang diamanahkan,
semua lapisan KPM perlu melihat sejauh mana atau
bagaimana penggunaan sumber digunakan secara cekap
untuk mendapatkan hasil yang maksimum? Bagaimana
sistem penyampaian serta pengurusan dalam sesebuah
organisasi dilaksanakan dari peringkat Kementerian, JPN,
PPD sehinggalah ke peringkat sekolah? Adakah setiap
peringkat menerapkan bajet atau peruntukan kewangan
yang diturunkan dengan cekap? Jika kita ada sumber
kewangan, maka tadbir uruslah kewangan sebaiknya supaya
memberi impak yang besar. Jika kita menerima sebarang
peruntukan, maka gunakanlah peruntukan itu sebaiknya
supaya dapat memberi impak yang besar (value for money).

29. Saya juga mahukan setiap lapisan pengurusan kepimpinan


memastikan keefisienan atau kecekapan dalam
penyampaian segala maklumat pendidikan sehingga ke

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

17
peringkat sekolah. JPN dan PPD perlu memastikan bahawa
setiap tindakan, gerak kerja dan maklumat pendidikan
benar-benar difahami oleh peringkat pelaksana, iaitu guru
dan sekolah.

30. Pengetua dan Guru Besar juga perlu memainkan peranan


memastikan setiap tindakan, gerak kerja sederap dan
senada sebagaimana yang dihasratkan oleh Kementerian.
Pengetua dan Guru Besar juga perlu memastikan bahawa
tidak berlaku ketirisan dalam penyampaian maklumat
pendidikan kepada guru dan komuniti. Ini penting kerana
kita melihat salah satu punca mengapa isu-isu berkaitan
pendidikan ini banyak ditimbulkan oleh ibu bapa dan
masyarakat, adalah disebabkan oleh ketidakfahaman dan
kecairan maklumat yang berlaku pada peringkat pelaksana
dan ibu bapa serta komuniti.

31. Perkara seterusnya yang perlu diberikan perhatian dalam


memastikan kita boleh memacu organisasi dengan lebih baik
dan sempurna ialah melalui pengukuhan integriti dan
autonomi. Integriti dan autonomi adalah dua elemen penting
dalam budaya kerja yang dapat menyumbang secara
signifikan terhadap keberhasilan sesebuah organisasi. Oleh
itu, semua peringkat, dari peringkat kepimpinan sehinggalah

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

18
guru sebagai pelaksana perlu sentiasa konsisten dan berlaku
jujur dalam tindakan dan keputusan yang diambil. Justeru,
integriti dan autonomi berperanan dalam membentuk
budaya kerja yang sihat dan produktif dalam organisasi. Nilai
integriti memastikan kejujuran dan kepercayaan, sementara
autonomi memberikan ruang bagi kreativiti dan inovasi.

PERANAN JPN, PPD DAN SEKOLAH

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

32. JPN dan PPD merupakan subsistem sokongan dalam


menentukan kejayaan sistem pendidikan. Untuk
memastikan pembukaan sesi persekolahan 2024/2025
berjalan dengan lancar, maka JPN dan PPD perlu
mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) dengan ibu bapa dan
komuniti. SLU merupakan medium terbaik untuk
menjelaskan mekanisme pembukaan sekolah dan perkara
atau inisiatif yang sedang dilaksanakan pada peringkat KPM.

33. Kerjasama dan sokongan semua peringkat pengurusan


tertinggi kementerian, JPN dan PPD dimohon untuk

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

19
memastikan kelancaran minggu pertama persekolahan ini.
Oleh itu, saya ingin meminta agar semua peringkat
pengurusan tertinggi kementerian, JPN dan PPD hadir
ke sekolah pada minggu pertama persekolahan. Tujuan
kehadiran ke sekolah adalah untuk menzahirkan semangat
kebersamaan semua peringkat pengurusan KPM dalam
program minggu pertama persekolahan. Aktiviti ini bukan
bersifat pemantauan atau penilaian tetapi untuk menyantuni
warga sekolah dalam program yang dilaksanakan di sekolah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

34. Dalam usaha untuk memberi peluang kepada lebih ramai


kanak-kanak mengikuti program pendidikan sekolah, KPM
dari semasa ke semasa memastikan bahawa peluasan kelas
prasekolah dilaksanakan terutamanya di negeri-negeri yang
mempunyai permintaan yang tinggi. Pada masa ini terdapat
sebanyak 9,909 kelas prasekolah yang disediakan oleh KPM
di 6,294 buah sekolah atau institusi pendidikan. KPM
berusaha untuk meningkatkan bilangan kelas prasekolah
melalui usaha peluasan kelas yang dilaksanakan setiap
tahun. Ini adalah bagi memberi peluang kepada lebih ramai
kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah yang
disediakan oleh KPM.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

20
35. Oleh yang demikian, pengoperasian kelas prasekolah tidak
hanya terdapat di sekolah rendah sahaja tetapi juga di lain-
lain institusi seperti di sekolah menengah atau institusi
perguruan. Bagi tahun 2024, sebanyak 129 kelas lagi akan
beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan 2024/2025
dalam usaha untuk meningkatkan enrolmen murid
prasekolah selaras dengan hasrat Kerajaan dalam
memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses
kepada pendidikan prasekolah KPM di negara kita.

36. Murid prasekolah juga akan menerima Bantuan Makanan


Prasekolah (BMP). BMP ini diberikan kepada semua murid
prasekolah yang majoritinya dalam kalangan keluarga B40.
BMP merupakan bantuan kewangan yang diperuntukkan
kepada semua murid prasekolah di Sekolah Kerajaan (SK)
dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) berdasarkan enrolmen
murid prasekolah pada tahun semasa. Peruntukan ini
bertujuan menampung kos penyediaan makanan berkhasiat
bagi murid prasekolah.

37. Berkuatkuasa mulai 1 Mei 2023, kadar baharu BMP telah


dinaikkan daripada RM2.00 kepada RM3.00 di Semenanjung
Malaysia dan daripada RM2.35 kepada RM3.25 di Sabah,

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

21
Sarawak serta WP Labuan dengan kos keseluruhan sebanyak
RM108 juta. Kadar ini dinaikkan bagi tujuan menjamin mutu
dan kualiti makanan yang dibekalkan kepada murid-murid
prasekolah adalah baik, seimbang dan berkhasiat.

38. Menu makanan yang disediakan bagi murid prasekolah


adalah menu standard prasekolah yang mengambil kira
keperluan nutrisi yang perlu diambil oleh setiap kanak-
kanak. Menu standard yang dihasilkan dengan kerjasama
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini adalah berkualiti
dan seimbang bagi menangani isu bantut dan malnutrisi
yang berpandukan kepada Malaysian Dietary Guideline Child
and Adolescent 2023.

PELAN PENDIDIKAN BAHARU

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

39. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan


tamat dalam tempoh dua tahun daripada sekarang. Oleh hal
yang demikian, satu pelan pendidikan baharu sedang
dirangka dan dibangunkan bagi suatu tempoh yang akan
ditetapkan kelak. Pelan pendidikan baharu yang dirangka

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

22
merangkumi semua aspek berkaitan pendidikan sama ada
bersifat dasar ataupun pengoperasian. Sehubungan dengan
itu, perancangan dan pembangunan pelan pendidikan
baharu selepas tahun 2025 ini menjadi satu keutamaan saya
dalam merencanakan kemenjadian murid pada semua
peringkat pendidikan. Pandangan, saranan serta cadangan
daripada pelbagai pihak penting bagi memastikan sebuah
pelan pendidikan baharu yang bersifat holistik dapat
dihasilkan. Oleh itu, KPM sedang melaksanakan Jelajah Masa
Depan Pendidikan Negara melalui pendekatan Sesi Libat
Urus (SLU), Jerayawara dan Town Hall di seluruh negara bagi
mendapatkan input daripada semua pemegang taruh. Input
yang dicadangkan akan menjadi asas KPM dalam
membangunkan pelan pendidikan yang baharu.

PROGRAM TRANSFORMASI DAERAH (DTP)

40. Di samping itu, Program Transformasi Daerah (DTP) dalam


bidang pendidikan akan terus menjadi keutamaan. DTP
adalah inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti
dan akses pendidikan di daerah-daerah tertentu yang
mengalami kekangan atau keterbatasan dalam aspek
infrastruktur, sumber manusia dan akses terhadap

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

23
pendidikan. DTP dilihat dapat mengurangi kesenjangan
pendidikan antara daerah dan meningkatkan kualiti
pendidikan bagi komuniti di kawasan luar bandar dan
pedalaman.

PENDIDIKAN MANUSIAWI

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

41. Dalam Majlis Amanat YB Menteri Pendidikan Tahun Baharu


2024 pada 19 Januari 2024, YB Menteri Pendidikan telah
menekankan kepada Pendidikan Manusiawi. Konsep
Pendidikan Manusiawi perlu dipraktikkan secara menyeluruh
dengan memastikan bahawa akses pendidikan berkualiti
untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir. Oleh itu,
KPM telah melaksanakan Sekolah Dalam Hospital (SDH),
Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

42. Sekolah Dalam Hospital (SDH) merupakan satu inisiatif


antara KPM bersama dengan Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM). Setiap murid tanpa mengira peringkat dan
latar belakang termasuk tahap kesihatan layak untuk
mendapat pendidikan yang berkualiti.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

24
43. Selain itu, KPM turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara
untuk menyediakan peluang pendidikan akademik yang
dikenali sebagai Pendidikan Korektif bagi penghuni yang
berminat untuk meneruskan pembelajaran walaupun berada
di dalam penjara. Keperluan menimba ilmu pengetahuan ini
juga merupakan persediaan kepada mereka untuk
meneruskan kelangsungan hidup setelah bebas daripada
penjara.

44. Peluang pendidikan yang diberikan ini adalah sebagai


pengukuhan kendiri bagi mereka agar mendapat peluang
pekerjaan yang lebih baik. Penyediaan Pendidikan Korektif
kepada penghuni bukan sahaja untuk memastikan tahap
pendidikan setiap penghuni diperluaskan secara sukarela
malah usaha ini dijalankan bagi membolehkan mereka
menikmati pemulihan bersepadu dan pendidikan yang lebih
formal termasuk menduduki peperiksaan awam seperti Sijil
Pendidikan Malaysia (SPM). Sistem pendidikan di penjara
juga memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan
ilmu melalui program pendidikan sejajar dengan dasar
pendemokrasian pendidikan yang ditetapkan oleh KPM dan
“Pendidikan Untuk Semua” yang telah diperjuangkan oleh
UNESCO.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

25
45. Oleh itu, KPM menangani segala isu pendidikan bagi
memastikan pendidikan manusiawi ini benar-benar
dilaksanakan. Dalam usaha menangani isu keciciran
sebagaimana ditekankan dalam pelaksanaan Teras Keempat
dalam Teras Nadi Keunggulan KPM juga akan memberikan
perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah
literasi dan numerasi supaya jurang pendidikan yang wujud
dapat dirapatkan. KPM bukan sahaja memberi perhatian
kepada murid yang berada di hospital dan pusat koreksi
tetapi juga turut memberikan perhatian kepada anak-anak
yang kurang bernasib baik melalui pewujudan Sekolah
Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK). Konsep SBJK yang
diperkenalkan bawah Dasar Pendidikan Wajib ini perlu diuar-
uarkan kepada seluruh komuniti supaya dapat dipastikan
kanak-kanak warga negara tanpa dokumen dan golongan
rentan termasuk di kawasan bandar tidak terus tercicir dari
arus pendidikan.

46. Sebagai usaha membasmi keciciran dalam kalangan murid


terutamanya di kawasan pedalaman, disebabkan faktor
seperti jarak rumah dari sekolah, keadaan muka bumi yang
mencabar dan kemiskinan, maka Sekolah Model Khas
Komprehensif 9 (K9) dan K11 merupakan inisiatif strategik
KPM yang menyediakan peluang pendidikan bermula dari

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

26
Prasekolah hingga tamat Tingkatan 5 dalam sekolah yang
sama.

FOKUS UTAMA KPM UNTUK MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN


NEGARA

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

47. YB Menteri Pendidikan telah memfokuskan kepada empat


perkara utama bagi memperkasakan haluan pendidikan
negara. Empat perkara itu ialah peluasan Dasar Pendidikan
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),
program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional
(TVET), peningkatan mutu penguasaan Bahasa Inggeris dan
membina ekosistem pendidikan digital.

48. Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal


Pendidikan STEM dan keanggotaan dalam Majlis TVET
Negara merupakan komitmen KPM dalam memastikan STEM
dan TVET terus menjadi hala tuju pendidikan negara. KPM
telah mengarusperdanakan TVET untuk melahirkan tenaga
manusia berkemahiran tinggi dan fleksibel bagi
menghasilkan tenaga kerja yang inovatif, kreatif dan

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

27
berdaya saing selaras dengan keperluan semasa. Justeru
program strategik merentasi agensi perlu dirangka dan
dilaksanakan oleh JPN, PPD dan sekolah untuk
memperkukuh STEM dan meningkatkan penyertaan dalam
bidang STEM dan TVET melalui pelbagai inisiatif.

DASAR PENDIDIKAN DIGITAL (DPD)

49. Dasar Pendidikan Digital (DPD) digubal bertujuan untuk


melahirkan generasi fasih digital dan berdaya saing bagi
memenuhi keperluan era ekonomi digital. DPD mempunyai
empat objektif, enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif yang
jelas bagi menyokong visi pendidikan digital, merupakan
usaha yang berstruktur dan terancang bagi mendepani
cabaran Revolusi Perindustrian Kelima (5IR).

50. Enam teras dalam DPD perlu difahami secara menyeluruh,


iaitu:

Teras 1 – Murid fasih digital


Teras 2 – Pendidik kompeten digital
Teras 3 – Budaya kepimpinan digital berwawasan

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

28
Teras 4 – Pengupayaan infrastruktur dan infostruktur
Teras 5 – Kandungan digital berkualiti; dan
Teras 6 – Rakan strategik yang komited

51. Melalui dasar ini, murid fasih digital dapat dibangunkan


untuk memenuhi keperluan era digital, di samping
mengupaya pendidik dan pemimpin pendidikan untuk
mengintegrasi teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.

KURIKULUM PERSEKOLAHAN 2027

52. Pada kesempatan ini juga, saya ingin berkongsi mengenai


kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 untuk sama-sama
kita fahami. Sejauh manakah kita menyediakan pendidikan
yang sesuai untuk generasi masa hadapan? Apakah kita
telah berjaya menyediakan generasi yang memiliki
kompetensi, sahsiah, jati diri, berdaya tahan dan kalis masa
hadapan, dan yang utama, melahirkan generasi melalui
pendidikan yang berwajah dan berkarakter bangsa Malaysia?

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

29
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

53. Kurikulum merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang


menentukan corak generasi masa hadapan. Kurikurulum
sedia ada sudah mencapai tempoh matang. Oleh itu,
transformasi kurikulum amat perlu ke arah menghadapi
cabaran masa hadapan. Konsep karamah insaniah yang
menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti
menjadi tunjang dalam usaha membangunkan Kurikulum
Persekolahan 2027. Hal ini adalah selari dengan Rukun
Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tiga
pendekatan baharu akan diperkenalkan dalam Kurikulum
Persekolahan 2027 melibatkan pendidikan karakter,
penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran
bersepadu.

54. Kurikulum Persekolahan 2027 menggunakan pendekatan


pendidikan karakter dan berfokuskan kepada pembelajaran
sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga
ke peringkat menengah atas. Dalam tempoh sehingga
Kurikulum Persekolahan 2027 siap digubal, maka intervensi
kurikulum dilaksanakan melalui Kurikulum Interim
2021–2027.

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

30
55. KPM komited dalam memastikan setiap pelan pendidikan
yang dirancang benar-benar dilaksanakan dan keberhasilan
setiap rencana pendidikan dapat dicapai pada setiap
peringkat, dari peringkat pengurusan kepimpinan
sehinggalah peringkat pelaksana atau pengoperasian.
Justeru KPM mewujudkan pasukan petugas khas (task force)
untuk memperkukuhkan setiap fokus utama KPM supaya
setiap outcome atau keberhasilan yang berkualiti dapat
dicapai. Bahagian yang dipertanggungjawabkan untuk
menerajui pasukan petugas khas selari dengan kefungsian
bahagian, iaitu:

i. Task force Prasekolah diterajui oleh Bahagian


Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan
(BPPDP)
ii. Task force Intervensi Kurikulum diterajui oleh
Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK)
iii. Task force STEM diterajui oleh BPPDP
iv. Task force TVET diterajui oleh Bahagian Pendidikan
dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV)
v. Task force Pendidikan Digital diterajui oleh Bahagian
Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP)
vi. Task Force MBMMBI diterajui oleh English Language
Teaching Centre (ELTC), Institut Pendidikan Guru

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

31
Malaysia (IPGM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP)

56. Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni
Almarhum Sultan Iskandar dalam Istiadat Pembukaan
Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada 26 Februari
2024 telah menekankan penguasaan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan. Oleh itu, dalam usaha memartabatkan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan, semua urusan
rasmi perlu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Namun pada masa yang sama pengukuhan Bahasa Inggeris
juga perlu dilaksanakan melalui inisiatif dan program yang
telah dirancang.

PENUTUP

57. Suka saya menarik perhatian warga pendidik untuk kembali


kepada visi dan misi KPM. Matlamat KPM adalah untuk
melahirkan bangsa Malaysia yang taat, setia dan bersatu
padu disamping melahirkan insan yang beriman, berakhlak

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

32
mulia, berilmu, berketrampilan dan Sejahtera. Justeru, visi
KPM yang berbunyi “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik,
Negara Sejahtera” perlu difahami. Maksudnya, pendidikan
kita pada hari ini hendaklah yang berkualiti, ampuh dan
dinamik demi melahirkan insan terdidik. Manakala, misi yang
berbunyi “Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti”
merujuk kepada sistem pengajaran dan pengurusan
pendidikan kita, perlu bebas dari sebarang kelemahan dan
cacat cela tetapi lestari, terbaik, cemerlang dan profesional.
Dengan cara itu, sistem pendidikan kita mampu
membangunkan potensi individu yang cemerlang bagi
memenuhi aspirasi negara.

58. Aspek keinsanan atau dimensi manusiawi menjadi


keutamaan dalam pendidikan hari ini. Oleh yang demikian,
peranan pendidikan sebagai “...usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu...” sebagaimana terungkap
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan harus diberikan
penekanan.

59. Tahun 2024 adalah tahun penting yang menyaksikan


pelbagai impak dan implikasi yang muncul hasil daripada
perubahan global yang berlaku. Justeru, kita harus mampu

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

33
beradaptasi dengan perubahan. Kemajuan teknologi digital
yang terus menciptakan gelombang perubahan
sosioekonomi baharu mestilah mampu dikejar, didakap, dan
dikuasai. Kepekaan terhadap perubahan yang berlaku
sangat dituntut, lebih-lebih lagi kita dikelilingi oleh komuniti
yang mempunyai idealisme perjuangan dengan paradigm of
change.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

60. Pendidikan merupakan wahana yang dapat menunjangi


kemajuan dan kejayaan hidup manusia melalui pelbagai ilmu
pengetahuan dan kemahiran. Justeru, warga pendidikan
perlu memastikan bahawa pendidikan berupaya
mencorakkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu dan
berkemahiran, bahkan memiliki peradaban tinggi.

61. KPM telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif dalam


memastikan pendidikan terus berkembang pesat seiring
dengan perkembangan dunia kini. Hal ini adalah bagi
memastikan murid terus menerima pendidikan berkualiti
yang mempersiapkan mereka untuk kehidupan selepas
sekolah. Sehubungan dengan itu, pemerkasaan inisiatif

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

34
sedia ada KPM menjadi satu daripada matlamat saya dalam
memimpin KPM, bagi memastikan anak murid terus
mendapat pendidikan yang berkualiti. Penerusan inisiatif
sedia ada serta pelaksanaan inisiatif baharu adalah penting
bagi menyokong pembelajaran anak murid di sekolah.

62. Guru dan warga pendidikan merupakan nadi penting dalam


menggerakkan sistem pendidikan negara kita. Tanpa guru,
sistem pendidikan tidak mampu berdiri sendiri dan bergerak
ke hadapan. Maka, KPM akan terus menyokong semua usaha
baharu atau sedia ada bagi memberi peluang kepada guru
dan warga pendidikan untuk mengeksplorasi pedagogi
baharu bagi meningkatkan kecekapan pengajaran dan
pembelajaran. Penyediaan latihan dan sokongan yang
berterusan akan terus diperkasakan bagi memastikan semua
guru mendapat peluang dalam meningkatkan kompetensi
mereka dalam aspek pengajaran, mahupun pengurusan
sekolah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

63. Untuk melangkah ke arah pembangunan organisasi yang


lebih profesional, kita memerlukan kepakaran yang pelbagai.
Personel kita seharusnya bersifat multiskilling dan

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

35
multitasking, ini harus diupayakan dengan latihan yang
berterusan. Untuk ini, saya suka menyarankan agar semua
lapisan pendidikan perlu menyediakan Performance
Personnel dan kerangka latihan yang berterusan agar setiap
personel dalam organisasi kita bersifat serba boleh dan
dinamik.

64. Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan


Malaysia (SPLKPM) diwujudkan untuk warga KPM dari
Kementerian sehinggalah ke peringkat sekolah, bagi
meningkatkan kompetensi mereka dengan mengikuti kursus
yang ditawarkan. Untuk meningkatkan pengetahuan,
Kemahiran dan menambah pengalaman, Komuniti
Pembelajaran Profesional (Profesional Learning Communities
– PLC) dilihat sebagai kaedah yang dapat membantu guru,
pegawai dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP)
menyelesaikan masalah yang dihadapi secara in-situ.

65. Kita perlu melaksanakan fungsi penyelidikan dan


pembangunan sumber manusia kita agar sentiasa relevan
dengan fungsi masing-masing. Semua Ketua Jabatan perlu
bertindak bijak dalam membuat pemetaan personel dalam
organisasi. Konsep a right person at a right place adalah satu

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

36
pendekatan yang perlu kita laksanakan demi kepentingan
organisasi.

66. Sebagai penutup, saya berharap segala aspirasi ini dapat


diterjemahkan oleh seluruh warga KPM dalam bentuk
tindakan dan gerak kerja semua. Saya penuh yakin dan
percaya bahawa kita dapat bersama-sama mendepani
cabaran tahun 2024 dengan langkah lebih teguh melalui
perancangan tindakan yang rapi.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Pendidikan Malaysia


4 Mac 2024

MAJLIS AMANAT SESI PERSEKOLAHAN SESI AKADEMIK 2024/2025

37

Anda mungkin juga menyukai