Anda di halaman 1dari 13

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS HSM 3013 MALAYSIA: MELAKA HINGGA NEGERI-NEGERI MELAYU SOALAN 1: ..

. dan lagi tidak akan sentosa kerajaannya kerana raja-raja itu umpama api, akan segala menteri itu umpama kayu, jikalau tiada kayu, di manakah api itu bernyala? Berdasarkan kenyataan tersebut, bincangkan perkaitan hubungan antara raja dan pembesar dalam system pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. NAMA NO. MATRIKS KUMPULAN : : : NOR AKHMA BINTI MOHD SHAFIAI D 20102040374 EL-A02 DR. HARYATI HASAN (Phd (UKM)) PENSYARAH FAKULTI SAINS KEMANUSIAAN

NAMA PENSYARAH:

Pendahuluan Struktur pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka adalah bercorak feudal.1 Corak pemerintahan ini telah memisahkan antara golongan pemerintah dengan golongan yang diperintah. Hubungan antara golongan pemerintah dengan golongan yang diperintah adalah lebih berbentuk kesatuan yang mana setiap golongan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka mengikut pemerintah tanpa sebarang paksaan. Bagi masyarakat Melayu tradisional, ketaatan golongan diperintah kepada pemerintahnya telah bermula semasa termeterainya waadat2 antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun yang meliputi semua aspek seperti politik, ekonomi dan sosial.3 Melalui peristiwa ini, bermulalah permuafakatan antara raja dan rakyat yang diiringi dengan tanggungjawab masing-masing bagi mewujudkan keamanan dan kemakmuran masyarakat terjamin.4

Sistem feudal merupakan sebuah pemerintahan yang dikuasai oleh kaum bangsawan. Di Eropah ia berkait rapat dengan system pembahagian tanah kepada kaum bangsawan. Namun ia berbeza di Tanah Melayu khususnya di Melaka. Dalam sistem pemerintahan Melayu Melaka, pemerintah dibantu oleh pembesar 4 lipatan iaitu Bendahara. Laksamana, Temenggung dan Syahbandar. Pembesar-pembesar ini diberi kuasa tertentu untuk melicinkan lagi proses dan mengukuhkan pentadbiran pemerintah tersebut. 2 Menurut Kamus Dewan, waadat merupakan satu janji, perjanjian atau sumpah setia. Kamus Dewan Edisi ke-4, 2005, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 1791. Juga disebut di dalam laman web dunia: http://www.sabah.edu.my/cwm001/kamus-w.htm sebagai perjanjian atau waad. Namun begitu, dari aspek konsepnya, waadat ialah satu perjanjian sosial (social contract) yang dijalankan antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. 3 Hal ini dinyatakan oleh Shellabear,Demang Lebar Daun ada beranak seorang perempuan: maka disuruh pinang oleh Sang Sapurba. Maka sembah Demang Lebar Daun kepada Sang Sapurba, Jikalau anak patik Tuanku peristeri, nescaya kedal ia; tetapi jikalau Tuanku mau berwaadat dengan patik, maka patik persembahkan anak patik ke bawah Duli yang Dipertuan. Maka sembah Demang Lebar Daun, Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan Maka titah Sang Sapurba, Hendaklah ada pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah . W.G. Shellabear, 1975, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Siri Kajian Sastera Fajar Bakti, hal. 19-20. turut diperjelaskan di dalam A. Samad Ahmad, 2003, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 25-26. 4 Ishak Ismail, 2005, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd. hal. 49.

Melalui sistem feudal, raja atau sultan merupakan ketua negara yang bertindak sebagai ketua politik dalam sesebuah negara berdaulat. Hubungan raja atau sultan dengan pembesar dan rakyat ini dinyatakan oleh Shellabear, Dan lagi tiada akan sentosa kerajaan, kerana raja-raja itu umpama api, akan segala menteri itu umapama kayu; jikalau tiada kayu, dimanakah api itu bernyala? yakni rakyat itu umpama akar, yang raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tidak akan berdiri.5

Kedudukan dan kekuasaan raja atau sultan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka diperkuatkan lagi menerusi sistem pembesar yang diberi autoriti tertentu oleh raja atau sultan dalam bidang politik, ekonomi dan juga sosial. Sistem pembesar ini berfungsi sebagai penyokong utama bagi pemerintah untuk pelbagai bidang bagi menggerakkan jentera pentadbiran Kerajaan Melaka.6

HUBUNGAN RAJA DAN PEMBESAR Anggota masyarakat yang paling hampir dengan raja selepas kerabat diraja adalah pembesar-pembesar kerajaan. Pembesar-pembesar ini dianggap sebagai tonggak penyokong kuasa kerajaan Melaka. Hubungan antara raja dan pembesar sangat rapat dan penting. Bukan saja sebagai menyokong pentadbiran raja tetapi juga terlibat dalam ekonomi dan juga sosial masyarakat Melaka.

Melaksanakan Pentadbiran
5 6

W.G. Shellabear, 1975, Sejarah Melayu, hal.127. Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hal. 284.

Dalam institusi kesultanan Melayu Melaka, para pembesar dilantik untuk membantu raja menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negeri yang diamanahkan kepada mereka. Kesultanan Melayu Melaka jelas telah mengamalkan Sistem Pembesar Empat Lipatan bagi membantu sultan menguruskan pentadbiran dan pemerintahannya.7 Empat pembesar yang paling kanan adalah Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dalam kerajaan mengikut bidang kuasa masingmasing. Bendahara misalnya merupakan pembesar yang lebih tinggi kedudukan sosiopolitiknya berbanding pembesar-pembesar lain.8 Bendahara merupakan ketua eksekutif dalam kerajaan. Ini bermaksud, Bendahara mempunyai kuasa untuk pentadbiran secara fizikal. Antara tugas Bendahara adalah, pemangku raja ketika ketiadaan raja, ketua turus angkatan tentera, ketua hakim dan ketua balairungnya sendiri.9 Penghulu Bendahari pula berada di hierarki kedua selepas Bendahara. Tugas utamanya adalah memegang harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Penghulu Bendahari merupakan ketua kepada bendahari-bendahari Melaka, pemegang hasil negeri, syahbandar-syahbandar dan hambahamba raja. Selain daripada itu, beliau bertindak sebagai wakil menerima ufti dari kawasan takluk Melaka dan jajahan Melaka.10 Jawatan Temenggung pula ditugaskan untuk menjaga keamanan negeri. Selain daripada itu, Temenggung juga bertindak sebagai pengatur orang makan di istana, menghakimkan perbicaraan yang besar sebagai Timbalan Ketua Hakim, menangkap orang yang salah, membaiki keadaan pasar dan ketua perancang Bandar dan jalan raya.11
7 8

Ibid. Ismail Ambia dan Ismail Hussein, 1960, Bendahara-bendahara Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 17. 9 W.G. Shellabear, 1975, Sejarah Melayu, hal.116-117 10 Ibid, hal.80 11 Ibid, hal. 172-174

Taraf Laksamana dan Temenggung adalah sama,12 yang membezakannya adalah Laksamana bertugas sebagai ketua angkatan tentera di laut, manakala Temenggung menjaga keselamatan dalam negeri. Selain daripada itu, kedua-dua pembesar ini juga ditugaskan mengawal keselamatan Bendahara.13 Pembahagian tugas dan autoriti masing-masing ini telah melicinkan pentadbiran dan pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Setiap pembesar akan melakukan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya dengan penuh taat setia kepada sultan.

Jambatan Menghubungkan Rakyat Jelata Pembesar-pembesar juga berfungsi sebagai penghubung antara raja dan rakyat. Pembesar-pembesar diberikan kawasan pegangan di luar wilayah Melaka oleh Sultan Melaka.14 Contohnya, Seri Nara Diraja memegang Sungai Ujung, Laksamana memegang Siantan dan Sungai Raya, Paduka Tuan memegang Buru dan Tun Bija Sura memegang Inderagiri.15 Melalui kawasan pegangan ini, setiap pembesar akan mempunyai pengikut dan anak buah masing-masing dan dibantu oleh Mendelika dan penghulu-penghulu tempatan sebagai pentadbir di peringkat kampung.16 Pembesar dapat memastikan penduduk di bawah pegangannya taat setia kepada raja atau sultan dan kerajaan dengan bantuan Mendelika dan penghulu-penghulu kampung.17 Selain itu, pembesar juga bertindak sebagai pembekal tenaga ketenteraan untuk mempertahankan negara dan juga pembekal tenaga kerja sekiranya diperlukan oleh raja atau sultan.18 Pembahagian kawasan ini memudahkan raja atau sultan menguruskan rakyatnya melalui
12 13

Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, hal. 287. Ibid. 14 Ibid, hal. 288. 15 W.G. Shellabear, 1975, Sejarah Melayu,hal.116-117 16 Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, hal. 287 17 Ibid, hal. 289 18 Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, hal. 195.

bantuan para pembesar. Pembesar-pembesar inilah yang bertindak sebagai orang tengah antara raja dan rakyat sekiranya berlaku sebarang permasalahan.19

Menaikkan Imej Kerajaan Pembesar-pembesar pada zaman kesultanan Melayu Melaka juga berperanan dalam menaikkan imej kerajaan Melayu Melaka. Hal ini berkaitan dengan keperibadian pemimpin tersebut yang cemerlang sehingga mencapai sesuatu kedudukan yang tinggi dan disegani serta ditakuti oleh kawan dan lawan. Misalnya seperti Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, beliau banyak memberi sumbangan dalam pemantapan pentadbiran dan kegemilangan kerajaan Melaka. Hal ini ada dinyatakan dalam Sejarah Melayu,

Setelah Seri Maharaja jadi Bendahara, bergelar Bendahara Seri Maharaja, maka negeri Melaka pun makin makmurlah, lagi dengan ramainya, kerana Bendahara Seri Maharaja terlalu saksama, serta adil dan murahnya; dan terlalu baik budi pekertinya pada membaiki orang, dan terlalu sangat pada memelihara segala dagang.20

Selepas Tun Mutahir menjadi Bendahara, negeri Melaka telah menjadi semakin makmur. Malah Tun Mutahir memainkan peranan dalam penyusunan dan pentadbiran politik negara. Selain daripada itu, sektor perdagangan di Melaka juga semakin meningkat kerana adanya Bendahara yang dihormati dan mempunyai budi bahasa yang tinggi.21 Perlantikan Tun Mutahir merupakan satu perlantikan yang tepat kerana selain daripada mempunyai peribadi yang mulia, beliau juga merupakan penyusun strategi yang bagus. Hal ini dapat dilihat menerusi penyusunan
19 20

Ibid. Lihat A. Samad Ahmad (penyelenggara), 2006, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 206. 21 Haron Daud, 1993, Sejarah Melayu Satu Kajian daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 132.

strategi semasa menghadapi serangan tentera Portugis yang pertama sehingga ia diakui oleh Kapitan Mor yang dalam laporannya kepada Alfonso dAlbuquerque, Wizurai Portugis di Goa, menyebut bahawa negeri Melaka tidak akan tewas selagi adanya Bendahara Seri Maharaja. 22 Ini menunjukkan bahawa kehebatan Tun Mutahir dalam kepimpinan bukan sahaja diktiraf oleh masyarakat tempatan, tetapi juga oleh masyarakat Eropah. Malah, apabila Tun Mutahir dan anggota keluarganya mati, Melaka kekurangan pemimpin yang berkaliber.23 Ini dibuktikan dengan kekalahan Melaka ke tangan Portugis pada 1511. Khidmat Tun Mutahir terhadap sultan dan kerajaannya menunjukkan raja sebagai payung negara tempat rakyat berteduh dan pembesar mencurahkan bakti.

Menentukan Perlantikan Sultan Adakalanya, pembesar-pembesar ini juga boleh mempengaruhi perlantikan raja atau sultan. Sebagai contoh, peranan Bendahara Tun Perak yang menolak perlantikan Raja Muhammad untuk menggantikan ayahandanya sebagai sultan Melaka. Hal ini bermula apabila Raja Muhammad membunuh Tun Besar (anak Tun Perak) kerana menjatuhkan destar Raja Muhammad ketika bermain sepak raga. Oleh kerana berpegang kepada pantang Melayu menderhaka, Tun Perak tidak melakukan apa-apa tindakan.24 Tetapi beliau menyatakan kebimbangannya sekiranya Raja Muhammad menjadi sultan Melaka, maka akan binasalah Melaka.25 Oleh itu, sebagai penasihat sultan, Bendahara Tun Perak telah menyarankan agar Raja
22 23

Ibid, hal. 132-133. Tun Mutahir dan anggota keluarganya mati dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah akibat daripada fitnah Raja Mendaliar dan dendam Sultan Mahmud kepada Tun Mutahir akibat tidak menunjukkan Tun Fatimah kepada baginda. Lihat, Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, hal. 327.
24

Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua; Nyiah! Kerana istiadat hamba Melayu tidak pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan. Dlm. A. Samad Ahmad, 2003, Sejarah Melayu, hal. 153. 25 Ibid.

Muhammad dirajakan di Pahang dengan mengikut segala istiadatnya.26 Peristiwa tersebut menunjukkan bahawa sebagai penasihat sultan, Bendahara boleh menentukan kelayakan pengganti sultan sebagai pemerintah Melaka.27

Penjalin Hubungan Diplomasi Kemuncak kegemilangan Melaka adalah sewaktu Melaka mempunyai hubungan diplomatik dengan Siam, Majapahit dan juga China. Hubungan diplomatik ini kebiasaannya adalah melalui perkahwinan28 dengan puteri-puteri China dan Majapahit.29 Namun jika diteliti, hubungan ini boleh mencapai kejayaan dengan kebijaksanaan pembesar yang dihantar ke negaranegara tersebut bagi menunjukkan bahawa Melaka sebuah negara yang berkuasa dan stabil. Buktinya boleh dilihat menerusi kebijaksanaan Tun Perpatih Putih dalam menyakinkan Raja China mengenai kebesaran kerajaan Melaka yang seolah-olah boleh menandingi kerajaan China. Akhirnya, Raja China bersetuju mengahwinkan puteri baginda dengan pemerintah Melaka seterusnya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Melaka. Hal ini jelas apabila Tun Perpatih Putih menyatakan bahawa setiap biji sagu yang dibawa ke China itu digelek oleh setiap rakyat Melaka.

26 27

Ibid, hal. 152-153. W.G. Shellabear, 1975, Sejarah Melayu,hal.191 28 Perkahwinan yang digambarkan dalam teks Sejarah Melayu dikatakan sebagai perkahwinan yang berguna; (marriage of convenience) atau perkahwinan politik. Perkahwinan yang berguna berfungsi untuk merapatkan dua pihak supaya hasilnya akan melahirkan keuntungan kepada kedua-dua pihak. Perkahwinan jenis ini yang dilakukan oleh raja sesebuah negeri dapat dikelaskan seperti di antara dua buah Negara besar yang berdaulat dan merdeka; di antara dua buah negeri yang kecil; di antara sebuah Negara besar dengan sebuah negeri di bawah lindungannya; di antara raja dengan keluarga menteri/pembesarnya; dan di antara dua keluarga menteri/pembesar. Lihat Ungku Mohd Zaman Tahir, Perkahwinan Politik dan Aneh Dalam Sejarah Melayu, dalam Jurnal Persatuan Penulis Johor (PPJ), Bil. 1, 1989, Johor: Penerbit Gedung Ilmu, hal. 36. 29 Lihat A. Samad Ahmad, 2006, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), hal. 127-128.

Setelah diketahui ertinya, terlalulah sukacita Raja China mendengarnya. Maka sagu itupun dibawa orang ke hadapan Raja China. Maka titah Raja China pada Tun Perpatih Putih, Bagaimana membuat dia ini? Maka sembah Tun Perpatih Putih, Digelek, Tuanku, pada seorang sebiji, disuruh oleh raja kami menggelek dia, hingga sarat sebuah pilu; demikian peri banyaknya rakyat raja kami. Tiada seorang pun tahu bilangannya. Maka titah Raja China, Besar Raja Melaka ini; banyak sungguh rakyatnya, tiada brzanya dengan rakyat kita. Baiklah ia kuambil akan menantuku.30 Kebijaksanaan pembesar Melaka inilah yang menjadikan Melaka mempunyai hubungan diplomatik dengan China. Hubungan ini telah memberikan manfaat yang besar kepada Melaka terutamanya dari segi perdagangan, selain mampu menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan Melaka.

Pemungut Hasil Cukai Dari segi ekonomi, pembesar memainkan peranan penting dalam pungutan hasil cukai sebagai hasil pendapatan negara. Seperti yang diperjelaskan sebelum ini, setiap pembesar mempunyai kawasan pemakanan dan melalui kawasan inilah sebahagian kutipan hasil akan diserahkan kepada raja manakala sebahagian lagi milik pembesar tersebut.31 Selain daripada kutipan cukai dari kawasan pegangan pembesar, hasil pendapatan Kerajaan Melaka adalah dari cukai pedagang. Misalnya pedagang dari India, Ceylon, Arab, Siam dan Pegu dikenakan cukai import sebanyak enam peratus daripada jumlah barangan. Pedagang dari China dan Jepun pula dikenakan cukai sebanyak lima peratus. Walau bagaimanapun, Tom Pires ada menyatakan

30 31

W.G. Shellabear, 1975, Sejarah Melayu, hal. 94-95 Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, hal. 287.

bahawa selalunya pedagang dari China memberi hadiah dengan nilai yang lebih tinggi.32 Bagi pedagang yang menetap di Melaka, cukai yang dikenakan kepada mereka adalah sebanyak tiga peratus daripada jumlah barangan.33

Melicinkan Urusan Perdagangan Pembesar-pembesar bertanggungjawab memastikan urusan perdagangan berjalan dengan licin dan lancar. Sebagai contoh, Temenggung bertanggungjawab menentukan timbangan dan sukatan yang betul dan mengawasi saudagar-saudagar daripada Kepulauan Melayu.34 Laksamana pula menjaga pencerobohan orang asing ke kawasan perairan kerajaannya.35 Hal ini kerana kegiatan di laut adalah nadi penggerak kepada kegiatan perdagangan dan peniagaan di Melaka.36 Oleh itu, keamanan di laut akan dapat menjamin kegiatan perdagangan. Syahbandar pula bertanggungjawab menjaga pelabuhan, hal ehwal pedagang asing serta mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan barang.37 Syahbandarlah yang diberi tugas mengawal system timbangtara dalam berat dan ukuran bagi semua transaksi perniagaan dan menjaga nilai mata wang. Oleh itu, Syahbandar berperanan mengawal inflasi di Melaka.38 Terdapat empat orang Syahbandar Melaka. Hal ini menunjukkan penting dan besarnya kegiatan perdagangan di Melaka. Setiap Syahbandar mewakili khidmat dan kebajikan para saudagar, nakhoda dan pedagang kaum atau bangsa masing-masing. Menurut Hukum Kanun Melaka,
32

Armando Cortesao (ed), 1944, The Sume oriental of Tom Pires: An Account of the East, from the Red Sea to Japan, written in Malacca and India in 1512-1515, 2 Volumes, London: Hakluyt Society Works, hal. 273-274. 33 Ibid. 34 Ibid, hal. 265 35 Ibid, hal. 264-265. 36 Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, hal. 176. 37 Syahbandar tidak termasuk di dalam Pembesar Berempat, tetapi peranan dan tugas Syahbandar sangat penting serta dirakam menjadi fasal undang-undang. Syahbandar boleh diiktiraf sebagai raja pelabuhan kerana mengendalikan organisasi dan system perkapalan, pengendalian cukai, pengawal bagi urusniaga dan urusan dagang, pentadbir anak-anak yatim, menjadi ketua para nakhoda dan menjadi pegawai kebajikan di Bandar Melaka. Lihat Armando Cortesao (ed), 1944, The Sume oriental of Tom Pires: An Account of the East, from the Red Sea to Japan, written in Malacca and India in 1512-1515, hal. 265. 38 Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, hal. 180.

10

fungsi Syahbandar adalah penting, malah telah menempatkannya dalam lingkungan pembesar Empat yang keempat selepas Penghulu Bendahari, Temenggung dan Bendahara. Hukum Kanun Melaka ini menentukan bidang kuasa Syahbandar seperti berikut; Adapun hukum yang diserahkan kepada Syahbandar itu, iaitu menghukum segala dagang dan anak yatim dan segala yang teraniaya dan adat segala jong dan baluk dan barang sebagainya.39

Oleh itu, dengan adanya pembahagian tugas yang telah ditetapkan, perdagangan di Melaka dapat berjalan dengan lancar. Pembesar-pembesar seperti Syahbandar sangat berperanan penting bagi menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang terkenal.

KESIMPULAN Hubungan dan kerjasama antara raja yang memerintah dengan pembesar sebagai jentera pemerintahan untuk menyokong sistem kerajaan dan ia juga dilihat sebagai aspek budaya politik yang paling asas. Malah dalam falsafah politik tradisional, kerjasama yang erat dan hubungan fungsional politik sosial antara raja dan para pembesar adalah penting untuk menjayakan sistem berkerajaan Melayu tradisional. Kelicinan, kemakmuran dan kejayaan untuk menjalankan sistem ini amat bergantung kepada sikap saling sokong-menyokong antara kedua belah pihak. Oleh yang demikian, kerjasama antara raja yang dianalogikan sebagai api dengan para pembesar yang dianalogikan sebagai kayu, kedua-duanya saling memerlukan. Oleh itu, hubungan antara raja dan pembesar ini sangat penting bagi menjadikan sebuah kerajaan makmur dan berjaya. Para pembesar menjadi tonggak yang menyokong dan memelihara institusi perajaan. Mereka dibekalkan dengan wibawa

39

Liaw Yock Fang, 1976. Undang-undang Melaka: The Laws of Malaka, Bibliotheca Indonesia: The Hague, hal.63-64.

11

tertentu dan lingkungan bidang kuasa masing-masing berdasarkan fungsi-fungsi sosial politik dan pentadbiran tertentu di istana, di darat dan di laut serta kawasan jajahannya.

BIBLIOGRAFI A.Samad Ahmad, 2003, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. A.Samad Ahmad (penyelenggara), 2006, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Cortesao, Armando (ed), 1944, The Sume oriental of Tom Pires: An Account of the East, from the Red Sea to Japan, written in Malacca and India in 1512-1515, 2 Volumes, London, Hakluyt Society Works.
12

Haron Daud, 1993, Sejarah Melayu Satu Kajian daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Ishak Ismail, 2005, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Shah Alam, Karisma Publications Sdn. Bhd Ismail Ambia dan Ismail Hussein, 1960, Bendahara-bendahara Melaka, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Liaw Yock Fang, 1976. Undang-undang Melaka: The Laws of Malaka, Bibliotheca Indonesia, The Hague Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka Ungku Mohd Zaman Tahir, Perkahwinan Politik dan Aneh Dalam Sejarah Melayu, dalam Jurnal Persatuan Penulis Johor (PPJ), Bil. 1, 1989, Johor, Penerbit Gedung Ilmu W.G. Shellabear, 1975, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur, Siri Kajian Sastera Fajar Bakti Kamus Dewan Edisi ke-4, 2005, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. http://www.sabah.edu.my/cwm001/kamus-w.htm

13

Anda mungkin juga menyukai