Anda di halaman 1dari 18

KHURAFAT ANTARA DUA DIMENSI: KONSERVATIF DAN KONTEMPORARI

Oleh PROFESOR ZAKARIA STAPA


Profesor Tasawuf dan Pemikiran Islam
Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM

Mukadimah

Subjek yang menjadi mauduk tulisan ini, 'khurafat' adalah satu persoalan yang
tidak asing dan agak lumrah dibicarakan di tengah masyarakat di negara kita.

Majalah Al-Islam, sebuah majalah agama bulanan terbitan Utusan Melayu (M)
Berhad, keluaran bulan Februari 2002 misalnya memberi fokus khusus kepada
persoalan khurafat ini. Di samping itu, dalam ceramah-ceramah tertentu dan
dalam seminar-seminar ilmiah, yang sering dianjurkan di seluruh negara, ahli
masyarakat kita dari pelbagai lapisan juga kerap didedahkan dengan subjek ini.

Walaupun demikian keadaannya, yakni sekalipun persoalan khurafat ini selalu


diketengahkan kepada masyarakat, namun ia kelihatan masih terus juga
bertapak di tengah masyarakat dan masih terus menjadi semacam satu
masalah yang mengganggu kejernihan dan kestabilan beragama sebahagian
ahli masyarakat di negara kita.

Oleh kerana itulah, penulis berasa terpanggil untuk membincangkan subjek ini
secara lebih mendalam bagi membina kefahaman masyarakat terhadap
persoalan berat ini, di samping merangka strategi dan mencari pendekatan
yang berkesan ke arah pembendungan, kalau pun tidak pembasmian secara
total, unsur negatif yang menggugat keharmonian dan kestabilan beragama
kalangan ahli masyarakat ini.

Sesungguhnya khurafat, dalam keadaan-keadaan tertentu, dikenalpasti sebagai


satu faktor yang terutamanya boleh menyumbang ke arah penggugatan
keteguhan pegangan aqidah ummah.

Dengan itu, hal ini tentunya merupakan satu aspek yang cukup bahaya kepada
penerusan kemurnian kehidupan beragama kalangan ummah. Ini kerana aqidah
merupakan perkara yang amat asas dalam penghayatan agama seseorang
Muslim. Dalam pandangan Islam semua perkara yang berkaitan dengan aqidah
dalam kehidupan seseorang Muslim mestilah sentiasa berada dalam keadaan
yang jelas, pasti dan selesai; ia tidak boleh sekali-kali dibiarkan berada dalam
keadaan ragu dan tidak menentu.

Ketidaktentuan, keraguan dan kecelaruan pegangan aqidah boleh mencacatkan


nilai segala amal perbuatan yang dilakukan oleh seseorang Muslim, dan
seterusnya boleh pula membahayakan nasib masa depannya dalam kehidupan
akhirat. Hal ini terungkap jelas dalam firman-firman Allah yang bermaksud:

"... Dan sesiapa yang ingkar [akan syariat Islam] sesudah dia beriman, maka
sesungguhnya gugurlah amalnya [yang baik] dan adalah dia pada hari akhirat
kelak dari orang-orang yang rugi" (Al-Ma’idah, 5:5)

"... dan sesiapa di antara kamu yang murtad [berpaling tadah] dari agamanya
[agama Islam], lain dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian,
rosak binasalah amal usahanya [yang baik] di dunia dan di akhirat, dan mereka
itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya [selama-lamanya]" (Al-Baqarah
2:217)

Di samping itu, adalah juga dikenal pasti bahawa unsur khurafat dikatakan
boleh menyumbang ke arah pembantutan pacuan kemajuan dan
kecemerlangan ummah dalam kehidupan harian di dunia ini.

Hal seumpama ini dikatakan boleh terjadi menerusi halangan-halangan atau


sekatan-sekatan psikologi yang dipaksakan ke atas kalangan orang yang
meyakini sesuatu unsur khurafat, sehingga mereka boleh berada dalam
keadaan ketakutan dan tidak bebas untuk melaksanakan tuntutan sesuatu
tugas dengan sempurna.

Maka itu, tergambar jelas bahawa persoalan khurafat ini adalah satu perkara
yang amat penting dan serius. Kelihatannya ia perlu difahami dengan baik dan
tepat, untuk membolehkan ia ditangani secara bijaksana dan segera, agar
ummah tidak perlu terus terjebak atau terperangkap dalam bahaya yang
dibawanya, sama ada yang membabitkan persoalan hidup mereka di dunia ini,
atau yang lebih utama lagi, yang membabitkan persoalan kehidupan mereka di
akhirat kelak.

Jadi, pembicaraan dan analisis yang akan dibuat sepanjang tulisan ini, secara
asasinya, adalah tertumpu kepada perihal yang berlangsung di kalangan umat
Islam di negara kita sejauh yang berkaitan dengan persoalan khuraf

Khurafat: Definisi dan Skop

Sebelum dilanjutkan pembicaraan, adalah amat penting di peringkat ini


difahami dengan tepat konotasi makna yang terkandung dalam istilah khurafat
tersebut. Maka itu, kalau dilihat dari segi etimologi, adalah ternyata bahawa
perkataan khurafat ini berasal dari bahasa Arab: kharafa-yakhrifu-kharfan-
khurafatan—di mana padanan bahasa Inggerisnya merujuk kepada superstition
atau supertitio dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu yang
dipetik, atau cerita bohong, dongeng dan tahayul, atau sesuatu hal yang tidak
masuk akal, atau sesuatu yang dusta tetapi menarik (Ensiklopedia Hukum Islam
1997; Ensiklopedia Islam 1994; dan al-Mu'jam al-Falsafi 1983).

Di samping itu, terdapat pula catatan yang menjelaskan bahawa khurafat atau
khurafah itu sebenarnya merujuk kepada nama seorang lelaki Arab dari Bani
'Udhrah yang hidup pada zaman jahiliah. Lelaki berkenaan dikatakan telah
dicekup oleh makhluk jin untuk hidup bersama mereka untuk satu tempoh
tertentu. Apabila lelaki tersebut kembali semula kepada kaumnya, beliau
bercerita tentang pelbagai peristiwa dan kejadian yang aneh dan menakjubkan
yang pernah beliau saksi dan alami semasa berada bersama dalam kelompok
jin tersebut. Namun, cerita-cerita berkenaan dianggap dusta dan tidak
dipercayai oleh kalangan orang yang mendengarnya, lantas mereka
mengungkapkan cerita-cerita tersebut sebagai "cerita khurafat". Dan bertitik
tolak daripada peristiwa tersebutlah, maka ungkapan khurafat tersebut
digunapakai untuk merujuk kepada setiap cerita ataupun percakapan dusta,
atau juga setiap perkara yang menarik dan menakjubkan (Saliba 1981: "al-
khurafah"; dan Ensiklopedia Hukum Islam 1997).

Dengan itu jelas bahawa sejauh yang berkaitan dengan pengertian literal
kepada perkataan khurafat tersebut, maka ia adalah merujuk sekitar sesuatu
cerita atau perkara yang dusta dan tidak masuk akal.
Namun, rujukan teknikal kepada istilah ini adalah tertumpu kepada sejumlah
pengertian berikut (al-Mu'jam al-Falsafi 1983; Ensiklopedia Hukum Islam 1997;
Saliba 1971: ^-khurafah"; Ensiklopedia Islam 1994; dan Hj Che Yusoff 1999:11):

1.Pegangan atau iktikad yang tidak bersandarkan kepada asas realiti dan
tidak juga berdasarkan asas agama, seumpama ungkapan atau perbuatan atau
juga bilangan tertentu yang disangkakan boleh mendatangkan kebahagiaan
ataupun kecelakaan.

2.Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak memiliki dasar


dan atau bersumber dari ajaran agama, tetapi diyakini bahawa hal tersebut
berasal dan memiliki dasar dari agama.

3.Dongeng, kisah, legenda, cerita, asumsi, dugaan, kepercayaan, keyakinan


atau aqidah yang tidak benar. la adalah iktikad yang batil, di mana lawannya
ialah iktikad yang benar (al-haq).

4.Keyakinan atau iktikad bahawa sesetengah perbuatan, lafaz perkataan,


bilangan tertentu, atau konsep tertentu boleh mendatangkan kebahagiaan
ataupun kecelakaan.

5.Setiap pengajaran atau keyakinan yang dapat dipastikan


ketidakbenarannya atau yang jelas bertentangan dengan ajaran al-Quran dan
Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

6.Semua perkara yang dicipta oleh manusia melalui pemikiran karutnya tanpa
asas syariah atau akal sihat; kemudian diyakini pula sebagai boleh
mendatangkan manfaat ataupun menolak bala.

Berdasarkan pelbagai definisi teknikal yang tercatat di atas, ciri dan skop
istilah khurafat tersebut kelihatannya sudah boleh dikenal pasti, di mana ciri-
cirinya boleh disimpulkan sebagai merangkumi aspek-aspek berikut:

1.Adanya unsur kepercayaan dan iktikad yang diyakini.


2.la secara jelasnya bukan datang daripada sumber ajaran agama Islam,
serta bertentangan pula dengan logik akal dan realiti, dan kerana itu ia
merupakan sesuatu yang batil yang langsung tidak mengandungi unsur
kebenaran.

3.Ia diyakini sebagai boleh mendatangkan sama ada kebahagiaan/ manfaat


atau kecelakaan/bala.

Adapun bentuknya pula, maka ia boleh muncul dalam bentuk-bentuk yang


berbagai-bagai sama ada dalam bentuk:

1.Perbuatan tertentu
2.Ungkapan tertentu
3.Cerita atau kisah tertentu
4.Bilangan tertentu
5.Konsep, prinsip atau mazhab tertentu.

Dengan itu, dalam kata lainnya bolehlah dirumuskan bahawa istilah khurafat
tersebut dari segi perspektif penggunaan teknikalnya adalah merujuk kepada
sama ada suatu perbuatan, ungkapan kata, cerita atau kisah, bilangan tertentu
sesuatu perkara, konsep, prinsip atau mazhab yang dipercayai dan diiktikadkan
dengan yakin sebagai boleh mendatangkan kebahagiaan/manfaat ataupun
penderitaan/mudarat kepada seseorang, sedangkan semuanya itu merupakan
sesuatu yang tidak sekali-kali terdapat dalam sumber dan suruhan agama Islam
yang maha suci, serta pada waktu yang sama bertentangan pula dengan logik
akal yang sihat dan tidak juga bersandarkan realiti, kerana itu ia merupakan
sesuatu yang batil, yang langsung tidak mengandungi sebarang unsur
kebenaran.

Demikianlah konotasi makna serta ruang lingkup yang dikandungi oleh istilah
khurafat; iaitu secara asasinya sesuatu yang nyatanya bertentangan dengan
pegangan dan ajaran agama Islam yang maha suci serta logik akal. Namun, ia
kelihatannya masih terus boleh menawan hati golongan orang beragama yang
hidup dalam tempoh masa kini — suatu tempoh waktu yang dikatakan segala
sesuatu, dalam kehidupan harian, bertunjangkan kepada logik dan kewarasan
akal. Maka itu, pada sisi inilah kelihatan menariknya subject-matter yang
diteroka dalam tulisan ini.

Khurafat: Dimensi Konservatif

Adalah perlu dicatatkan bahawa perkataan konservatif dalam penggunaan di


sini adalah merujuk kepada
kuatnya kecenderungan untuk mengekalkan sesuatu yang telah menjadi
kelaziman atau tradisi (Kamus Dewan 1991). Oleh itu dalam konteks
pembicaraan perkara-perkara khurafat ini, maka dimensi konservatifnya itu
akan terfokus kepada senario pengislaman ummah serta proses ke arah
penghayatan agama kalangan Muslim di rantau ini, yang tentunya termasuk di
negara kita.

Lembaran sejarah telah mencatatkan bahawa manusia yang menghuni rantau


kita ini memulakan kerjaya keagamaan mereka dengan menganut faham
dinamisme-animisme.

Faham dinamisme ialah suatu kepercayaan yang menyakini adanya tenaga atau
kuasa ghaib yang tidak berperibadi—dalam istilah antropologi disebut mana—
dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan serta benda-benda. Tenaga
yang tidak berperibadi atau mana itu bererti prestasi luar biasa yang dipunyai
pemiliknya. Maka itu, lelaki yang sangat berani, wanita yang lebih baik
tenunannya, pokok yang lebih banyak buahnya dipercayai mempunyai mana
yang lebih banyak daripada yang lainnya.

Demikian pula, terdapat benda-benda lain yang dipercayai memiliki mana yang
tersendiri. Air, besi, batu adalah di antara benda-benda alam yang dipercayai
sebagai mengandungi mana, kerana itu benda-benda berkenaan misalnya
digunakan dengan pelbagai cara dalam berbagai upacara dan istiadat.

Demikian pula pelbagai benda tertentu dicampur untuk dijadikan azimat yang
dipercayai mempunyai kuasa ghaib. Oleh itu, azimat-dalam istilah antropologi
disebut amulet-diyakini dapat menahan pemakainya daripada bahaya,
malapetaka serta serangan dari kuasa ghaib (Rahmat 1983:8-1 .
Adapun faham animisme yang muncul dalam perkembangan seterusnya pula
merupakan kepercayaan akan adanya jiwa dan roh yang dapat mempengaruhi
kehidupan alam manusia. Biasanya animisme akan menimbulkan praktis religis,
iaitu pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu kuasa ghaib yang
berperibadi, kerana manusia yang berfaham animisme merasa terikat kepada
kuasa ghaib tersebut dalam kerangka mengharapkan perlindungan atau
meminta pertolongan bagi mendapatkan sesuatu daripadanya (Rahmat
1983:19-24, 25).

Jenis manusia awal di rantau kita ini adalah kalangan mereka yang menganut
faham dinamisme-animisme tersebut. Kemudian, dalam proses perjalanan
waktu mereka didatangi oleh pengaruh asing, di mana pengaruh asing yang
mula-mula sekali masuk ke rantau kita ini ialah pengaruh India yang membawa
bersamanya Hinduisme dan Budhisme.

Kemasukan pengaruh dari India ini menjalar secara aman dan damai. Hal ini
terutamanya berpunca dari Hinduisme-Budhisme itu sendiri sebenarnya
mempunyai segi-segi atau unsur-unsur dinamisme-animisme yang tersendiri
dalam agama tersebut. Oleh itu, kalangan penduduk di rantau kita ini pada
waktu itu merasakan kepercayaan Hinduisme-Budhisme yang baru dibawa
masuk tersebut serasi dan sekali-kali tidak berlawanan dengan kepercayaan
yang sudah sedia mereka anuti (Rahmat 1983:5).

Keadaan ini telah menyebabkan kepercayaan berbentuk dinamisme-animisme


tidak tergugat dan terus berkembang dalam kehidupan keagamaan masyarakat
di rantau ini.

Perkembangan selanjutnya dalam kehidupan keagamaan manusia di rantau ini


ialah menyaksikan kedatangan agama Islam. Sekali lagi agama baru ini datang
menyebarkan pengaruhnya secara aman. Perkembangan Islam di rantau ini
pada ketika tersebut berjalan dengan cepat sekali, sesuai dengan watak asli
golongan massa di daerah ini yang penuh dengan sifat toleransi. Dalam tempoh
yang relatif singkat agama baru ini telah menjadi anutan massa. Malahan,
dalam tempoh yang singkat pula kalangan para raja juga telah berjaya
diislamkan (Rahmat 1983:6).
Dalam konteks penyebaran Islam di rantau ini, adalah perlu diberikan perhatian
akan aspek perkembangannya yang tidak menumpahkan darah. Sekalipun
agama Islam merupakan agama yang cukup ketat dan cukup tegas unsur
tauhidnya sehingga ia tidak dapat menerima sebarang bentuk syirik, namun
cara dan pendekatan pendakwahan dalam proses penyebarannya di rantau kita
ini adalah berlangsung dalam bentuk yang penuh toleransi.

Kita misalnya boleh memerhatikan bagaimana pendekatan pendakwahan yang


dilakukan oleh kumpulan Wali Songo di Jawa (Abd Aziz 1997:33-46). Mereka
misalnya mengambil pendekatan tidak mengubah, tetapi menyesuaikan:

Dengan itu, upacara persembahan dan pemujaan yang diwarisi daripada


fahaman animisme dan Hindu-Buddha tidak terus dihapuskan tetapi diubahsuai.
Maka adat-adat persembahan dan jamuan kepada roh-roh diubah kepada
kenduri tahlil yang dimakan bersama. Adat membakar kemenyan dan bacaan
mentera kepada roh-roh selepas mati diubah kepada upacara tahlil dan doa
dengan nada yang panjang dan sedih. (Abd Aziz 1997:40).

Demikian juga golongan Wali Songo menggunakan seni sebagai pendekatan


dakwah mereka. Maka itu didapati permainan wayang kulit (Abd Aziz 1997:37)
yang begitu digemari oleh golongan massa dieksploit oleh mereka untuk tujuan
dakwah dengan mengubahsuai permainan tersebut di mana-mana perlu agar
tidak menampakkan pertentangan dengan kehendak ajaran Islam.

Sekalipun hingga ke peringkat-peringkat tertentunya, pendekatan dakwah


sebagai mana di atas sememangnya memberikan kesan yang cukup baik
sehingga ramai sekali golongan massa memeluk agama Islam tanpa perlu
berlakunya pertumpahan darah, namun pada sisi lain ia kelihatan menjadi
penyebab kepada, paling baikpun, munculnya unsur sinkretisme dalam
sebahagian amalan masyarakat, atau menjadi sukarnya untuk menghapuskan
amalan lazim dalam masyarakat, sekalipun ia terang-terang bertentangan
dengan kehendak ajaran Islam.

Hal ini pula ditambah lagi dengan ketidaksempatan masa untuk melakukan
tindakan susulan pengukuhan terhadap ajaran Islam disebabkan oleh keperluan
tenaga dihadapkan kepada kerja-kerja penentangan terhadap kedatangan
pengaruh barat yang datang menjajah rantau kita ini. Dengan itu tepatlah
pemerhatian yang dibuat oleh Profesor Norazit Selat (2002:25) yang mengambil
contoh penggunaan mantera.

Sebelum bacaan mentera, orang berkenaan—kebiasaannya dipanggil pawang


atau bomoh—akan memulakan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, diikuti
dengan puji-pujian ke atas Nabi s.a.w. Tetapi selepas itu mereka akan menyebut
macam-macam bahasa yang sukar difahami, kebiasaannya disebut mantera
dan kemudiannya diakhiri dengan bacaan ayat al-Quran.

Dan tepat pula pemerhatian yang dibuat oleh Dr. H. O. K. Rahmat SH


sebagaimana tercatat dalam sebuah tulisan beliau Pencemaran Akidah di
Nusantara (1983: vi):

Sebagaimana dinamisme, animisme juga tidak hilang dengan kedatangan


berbagai-bagai agama ke rantau ini. Bahkan sampai sekarang ia masih hidup
meskipun majoriti penduduk Nusantara telah menganut agama Islam yang anti
syirik dan tidak mengakui suatu kuasa pun selain daripada kuasa Allah.

Sebahagian umat Islam masih lagi mempercayai kuasa-kuasa roh ini, memuja
dan mengharapkan pertolongannya. Dalam banyak perkara, supaya tidak
ditolak oleh umat Islam, Dinamisme dan Animisme itu (dicampuradukkan)
dengan ajaran Islam.

Di samping itu, seperkara lagi yang wajar diberikan perhatian dalam konteks
dimensi konservatif unsur khurafat ini ialah hakikat fakta bahawa salah satu
ajaran asas dalam Islam itu sendiri adalah juga mewajibkan umatnya supaya
percaya kepada perkara-perkara yang ghaib.

Percaya kepada perkara-perkara ghaib atau al-ghaybiyyat merupakan


sebahagian daripada Rukun Iman, di mana iman seseorang akan gugur
sekiranya dia tidak mempercayai kewujudan perkara-perkara yang ghaib
tersebut. Malahan, dalam ajaran Islam, percaya kepada perkara ghaib itu
merupakan sifat orang yang bertakwa kepada Allah, sebagaimana terungkap
jelas dalam firman Allah yang bermaksud:
"Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya [tentang datangnya dari
Allah dan tentang sempurnanya], ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang
yang [hendak] bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-
perkara yang ghaib ..." (al-Baqarah, 2:2-3).

Kalau dipinjam pandangan al-Raghib al-Asfahani untuk memahami siratan


makna yang terkandung dalam konsep al-ghayb yang terdapat dalam potongan
ayat di atas, maka kita diberitahu— sebagaimana tercatat dalam kitab beliau
Mufradat al-Quran—bahawa ia merujuk kepada setiap perkara yang berada di
luar upaya pancaindera untuk mencapainya; iaitu setiap sesuatu yang
terselindung dan tidak terjangkau oleh pancaindera manusia (Zakaria 1997:54).

Penjelasan-penjelasan di atas mempamerkan betapa status dan kedudukan


perkara-perkara yang ghaib adalah cukup jelas dalam Islam. Ia sebenarnya,
antara lain, termasuk ke dalam Rukun Iman kedua, iaitu (Zakaria 1997:56):

Makrifah pelbagai alam yang berada di luar alam tabii yang tidak dapat
dijangkau oleh pancaindera, iaitu yang terdiri daripada daya kebaikan yang
diwakili oleh para malaikat, serta daya kejahatan yang diwakili oleh Iblis dan
para bala tenteranya yang terdiri daripada kalangan para syaitan. Juga
mengenali dan mengetahui perkara yang terdapat dalam alam berkenaan yang
terdiri dari kalangan para jin dan pelbagai roh.

Jadi, dalam konteks ajaran Islam yang sebegini, maka ia sehingga ke tahap
tertentunya, boleh menyediakan laluan selesa kepada para pendakwah untuk
mendakwahkan golongan penganut fahaman dinamisme-animisme yang juga
percaya kepada kewujudan roh ghaib. Namun, pada sisi lain, ia juga boleh
membuka ruang kekeliruan dan pengekalan tradisi dan kepercayaan lama
sekalipun sudah memeluk Islam.

Maka itu, hal ini perlu ditangani dengan baik dan bijaksana agar ia boleh
berfungsi sebagai faktor positif yang membantu kerja pendakwahan, bukan
sebaliknya untuk menjadi asas kepada pengekalan keyakinan terhadap tradisi
lama yang bertentangan dengan ajaran agama Islam yang maha suci.
Demikianlah senario yang memerihalkan dimensi konservatif dalam konteks
penghayatan dan pengamalan keagamaan di rantau ini, termasuk di negara
kita. Contoh tipikal dalam hubungan ini adalah gambaran pemerhatian yang
dibuat, sekali lagi, oleh Profesor Norazit Selat (2002:2 terhadap fenomena
beragama kalangan sebahagian daripada orang Melayu:

Masalah ini timbul kerana agama Islam datang kemudian. Sebelum kedatangan
Islam, orang Melayu telah banyak mengumpul nilai-nilai agama lain, ada
animisme, Hindu dan sebagainya. Mereka takut hendak meninggalkan yang
lama, akibatnya yang lama disimpan, manakala yang baru diambil. Mereka
mengambil yang baru, tetapi masih hendak menyimpan yang lama.

Malah sehingga kini, kita dapati orang yang menjalani ajaran Islam dengan
baik. Mereka menunaikan semua Rukun Islam dengan baik. Mereka
sembahyang, puasa mereka bukan setakat bukan setakat yang wajib pada
bulan Ramadan, malah puasa-puasa sunat lain, mereka menunaikan fardu haji
lebih daripada satu kali. Tetapi, pada masa yang sama, yang lama tidak
ditinggalkan. Jiwa mereka ada membela hantu raya, mereka tidak maha
membuangnya. Kalau boleh mereka hendak simpan kedua-duanya sekali.

Khurafat: Dimensi Kontemporari

Sesungguhnya dimensi kontemporari daripada unsur khurafat ini menjadi wujud


disebabkan oleh berlakunya pengekalan terhadap sebahagian daripada perkara
tradisi yang sudah menjadi kelaziman dalam kehidupan. Dalam kata lain,
wujudnya dimensi kontemporari ini adalah disebabkan telah berlakunya dimensi
konservatif terhadap sebahagian tradisi lama di kalangan sebahagian umat
Islam sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini.

Kita dapat perhatikan wujudnya sebahagian amalan khurafat di kalangan umat


Melayu-Muslim dewasa ini. Sebahagian daripada amalan berkenaan akan cuba
kita catatkan dalam kesempatan terhad ini bagi dijadikan bahan bukti betapa
persoalan khurafat masih terus mencengkam dan memaksakan dominasinya ke
atas kehidupan harian
Hal ini juga sekaligus menggambarkan bahawa kerja pendakwahan setakat ini
masih belum berjaya membendung gejala negatif ini.

Dalam hubungan ini, secara umumnya dapat kita perhatikan bahawa setelah
agama Islam berkembang dan meluas sampai ke daerah-daerah bukan Arab,
termasuk tentunya ke rantau kita ini, di mana masyarakatnya telah terlebih
dahulu menganut pelbagai kepecayaan dan agama sebelum kedatangan Islam,
maka penghayatan Islam ahli masyarakat berkenaan umumnya menghadapi
masalah dari segi kemurniannya.

Amalan-amalan keislaman yang dihayati pada keseluruhannya menjadi


bercampur-aduk dengan amalan-amalan khurafat dan bidaah yang diwarisi dari
nenek moyang mereka. Amalan memuja jin dan mempraktikkan ilmu sihir
sebagai contoh telah menjadi amalan kebiasaan mereka, di samping
mengamalkan kewajipan sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain
kewajipan fardhu dalam Islam. Campur-aduk seumpama inilah yang menjadikan
ajaran Islam yang dihayati dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam di
seluruh dunia, termasuk di negara kita, menjadi tercemar dan tidak murni
(Kilani 1991:230-231).

Merujuk kepada amalan pemujaan jin untuk maksud mendapatkan pertolongan


makhluk berkenaan di dalam masyarakat Melayu-Muslim secara khusus, maka
kita dapati perkara ini terhubung secara langsung dengan institusi perbomohan
yang didapati sehingga kini masih terus popular, malahan kadang-kadang
grafnya semakin meninggi hari demi hari. Dewasa ini misalnya praktik
perbomohan untuk maksud memberi pertolongan kepada kalangan orang yang
menghadapi masalah adalah diiklankan secara terbuka dalam akhbar-akhbar
serta majalah-majalah tempatan.

Adalah perlu ditegaskan bahawa satu sikap yang amat terlarang menurut
hukum Islam ialah sikap meminta-minta pelbagai jenis hajat daripada makhluk
jin. Dalam al-Quran terungkap dengan jelas betapa Allah mencela masyarakat
Arab jahiliah kerana sikap mereka yang merendah diri kepada jin dan memohon
pertolongan daripada mereka. Dalam konteks ini Allah berfirman yang
bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya adalah [amat salah perbuatan] beberapa orang
daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta
pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu
mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. (al Jin. 72:6).

Sesungguhnya dalam keghairahan untuk mendapatkan pertolongan daripada


makhluk jin tersebut berlakunya proses pemujaan jin. Dan di sinilah bermulanya
keperluan kalangan yang berhajat tersebut mematuhi pelbagai syarat tanpa
mengira jin yang dikehendaki pertolongannya itu datang daripada mana-mana
golongan jin.

Sekalipun jin tersebut datangnya daripada golongan jin Islam yang salih, tetap
juga syarat keperluan yang diminta dilakukan tersebut dilihat sebagai
bermasalah dari segi pandangan Islam yang murni. Dan tentulah akan lebih-
lebih dilarang apabila jin yang berkaitan datangnya daripada golongan jin yang
kafir (Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad t. th.: 20-24).

Selain daripada sikap meminta-minta kepada jin yang jelas salah menurut
pandangan Islam, satu lagi sikap yang juga salah ialah sikap terlalu percaya
kepada bantuan khadam-khadam makhluk ghaib (Kilani 1991:211-214).

Sebilangan dukun dan bomoh di Malaysia sebagai contoh mendakwa harus


menggunakan khadam dan bersahabat dengan pelbagai jenis makhluk ghaib
suci. Ini termasuk. menurut mereka. bersahabat dengan malaikat-malaikat
tertentu dari jenis malaikat yang mereka namakan sebagai Muakal. Makhluk-
makhluk ghaib ini pada anggapan mereka bertugas sebagai rakan-rakan
pembantu dalam menjalankan sesuatu kerja, usaha, hajat dan keperluan.

Mereka juga dianggap sebagai pengawal setia yang bertugas melindungi rakan
mereka dari jenis makhluk manusia dari terkena perbuatan jahat yang
dirancang oleh lawan dan musuh. Bagaimana pun, sebenarnya menurut
penjelasan yang terdapat dalam al-Quran. anggapan-anggapan sebagaimana di
atas adalah tidak tepat.

Menurut al-Quran, apa yang disangkakan malaikat tersebut sebenarnya adalah


makhluk ghaib yang tidak lain daripada jin yang pada keseluruhannya berniat
jahat terhadap manusia. Perihal kekeliruan manusia sebagaimana di atas
terungkap jelas dalam firman Allah yang bermaksud:

"Dan [ingatlah] masa Allah menghimpunkan mereka semua [pada hari kiamat],
kemudian Dia bertanya kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, [kamu
setujui] menyembah kamu dahulu?". Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau
[dari adanya sebarang sekutu dengan-Mu]! Engkaulah [yang kami hubungi
sebagai pemimpin dan] Pelindung kami bukan mereka. [Tidak ada hubungan
dari pihak kami dengan mereka mengenai sembahan mereka akan kami],
bahkan mereka adalah menyembah jin syaitan; kebanyakan mereka pula
percaya kepada jin syaitan itu [sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan
dipatuhi}"

Di samping itu, kalangan bomoh dan dukun juga yakin bahawa khadam-khadam
yang sentiasa berdampingan dengan mereka adalah terdiri daripada makhluk
ghaib yang mereka namakan sebagai Malaikat Hafazah dan lain-lain makhluk
ghaib suci. Semua anggapan yang disebutkan di sini adalah tidak benar sama
sekali.

Pada pandangan para ulama hadith dan fiqh tidak ada langsung makhluk-
makhluk ghaib suci dan malaikat yang ditugaskan untuk menjadi khadam
dalam ertikata dikuasai dan dimiliki oleh manusia. Adapun makhluk yang boleh
dikuasai melalui amalan-amalan tertentu adalah tidak lain daripada makhluk jin
dan 'ifrit yang dalam istilah biasa masyarakat Melayu dikenali sebagai hantu.

Demikianlah senario yang terjadi dalam institusi perbomohan yang sebenarnya


tidak pernah pudar pengamalan dan penggunaannya dalam masyarakat kita
sejak dahulu sampai sekarang. Contoh terkini merebaknya amalan khurafat
yang berbentuk syirik dalam institusi perbomohan ini yang terjadi dalam
masyarakat kita ialah apa yang termuat dalam ruangan Soal Jawab Agama,
kelolaan Dr Amran Kasimin dalam Mingguan Malaysia, di mana beliau terpaksa
melayan persoalan yang dibangkitkan oleh pembaca yang mahu mengetahui
tentang upacara amalan semah yang berlaku di kampung pembaca berkenaan
(Mingguan Malaysia 21 April, 2002:9).
Amalan semah sebagaimana yang dicatatkan oleh Dr. Amran dalam jawapan
beliau ialah amalan menyediakan sajian untuk makhluk-makhluk halus yang
terdiri daripada jin-jin untuk tujuan tertentu. Dalam upacara itu yang
melibatkan jin-jin, upacara diadakan supaya jin-jin yang dipanggil, dan dipuja
datang membantu sama ada untuk tujuan rawatan, permainan atau hiburan.
Dalam masa yang sama dipohon agar jin-jin itu melindungi gelanggang di mana
persembahan itu diadakan, menjaga mereka yang terlibat dengan
persembahan dan juga mengawal keselamatan para penonton.

Semah juga diadakan untuk mengelakkan berlakunya gangguan yang


melibatkan jin-jin yang menghuni tempat berkenaan ataupun dari luar atau
daripada gangguan angkara manusia dengan bantuan jin-jin yang diistilahkan
sebagai sihir. Lumrahnya ada beberapa tujuan utama semah dilakukan apabila
pesakit sembuh setelah diubati.

Menurut kaedah tradisional antaranya ialah sebagai memenuhi perjanjian yang


telah dipersetujui oleh orang yang melakukan rawatan dan jin-jin yang
dikatakan membantu manusia yang dilakukan dalam keadaan menurun
ataupun menerusi persembahan teater tradisional, yang juga melibatkan
menurun. Jin yang merasuk pesakit dipujuk dan dijanjikan akan diberi makan
(semah) kalau ia sudi keluar dan tidak mengganggu pesakit.

Tujuan lain ialah sebagai tanda berterima-kasih kepada makhluk ini yang sudi
datang membantu manusia melakukan rawatan sehingga membolehkan pesakit
sembuh.

Di negara kita masa kini, nampaknya dengan semakin kompleksnya kehidupan


bermasyarakat, bersama pelbagai keperluan dan tuntutan, hasil dari
kecanggihan hidup yang merupakan akibat langsung dari pelbagai sumbangan
sains dan teknologi moden, maka kelihatan semakin bertambah pula keperluan
ahli masyarakat kepada khidmat perbomohan. Dan segala sesuatu yang
berlangsung dalam dunia perbomohan di tanah air kita itu ditandai kehebatan
dan titik puncaknya dengan apa yang berlaku di antara mantan ADUN Batu
Talam dengan institusi perbomohan yang dikepalai oleh Mona Fandy dan
suaminya serta seorang pembantu beliau, di mana kesemua mereka terpaksa
berakhir dengan mengalami kematian yang cukup tragis, sekalipun dalam
bentuk dan cara yang berbeza.

Kemudian, lanjutan yang kelihatannya berupa semacam part and parcel dengan
institusi perbomohan ini ialah praktis sihir yang diamalkan di tengah-tengah
masyarakat kita. Amalan ini juga kelihatan berlangsung dalam kadar yang agak
baik di tengah masyarakat kita masa kini, sebagaimana kejadian-kejadiannya
dipaparkan dalam pelbagai majalah tempatan yang cukup popular dan cukup
ramai peminatnya dari kalangan ahli masyarakat kita masa kini. Sejumlah
jenama majalah yang dikepalai oleh Mastika—Pesona, Cermin Misteri, Paparan
Misteri, Buletin Misteri, Kisah Benar, Bicara—adalah dipenuhi dengan pelbagai
cerita yang aneh-aneh, termasuk cerita yang berkaitan dengan perbuatan sihir
yang dilakukan oleh setengah pihak kepada pihak yang lain.

Istilah sihir sebenarnya merujuk kepada sesuatu perbuatan yang luar biasa,
yang berjaya dilakukan oleh para ahlinya melalui bantuan jin atau syaitan
(Kilani 1991:220). Dalam praktis sihir ini, jin atau syaitan dijadikan perutusan
supaya merasuk dan mengganggu individu-individu tertentu, dan hasilnya
adalah kerap bahawa kalangan mangsa akan mengalami pelbagai kesusahan
dan kesakitan.

Namun, adalah amat perlu difahami bahawa kerja memberi bantuan untuk
melaksanakan tugas dalam kerja sihir ini akan hanya benar-benar menarik
minat jin atau syaitan, sekiranya kerja-kerja ini didorong oleh makhluk manusia
itu sendiri. Dorongan tersebut boleh berlaku dalam pelbagai cara dan upacara,
yang pada keseluruhannya boleh disimpulkan dalam satu ungkapan sahaja,
iaitu cara dan upacara pemujaan jin. Dan di sinilah sekali lagi, secara yang tidak
dapat dielakkan lagi, akan berlakunya amalan khurafat.

Satu lagi amalan lumrah yang tidak kurang juga pengamalnya masa kini ialah
amalan penggunaan azimat-azimat serta tangkal tertentu. Hal ini terserlah
jelas misalnya, dalam pembicaraan kes kematian isteri kedua Raja Di Hilir Perak
yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak sekarang (Mac,
April, 2003).

Di samping itu ia juga ditandai dengan tersebar secara meluas dan larisnya di
pasaran buku-buku yang berkaitan dengan azimat dan mentera. Buku-buku
berkaitan boleh didapati di kedai-kedai buku yang menjual buku-buku agama di
seluruh tanah air kita. Di antara buku-buku yang berkaitan ialah seperti Kitab
Mujarrobat Melayu, Kitab Taj al-Mulk, Kitab Senjata Sulit, Kitab Senjata Dunia,
Primbon Lengkap Kunci Keselamatan, 1000 Hikmat dan Iain-lain (Kilani
1991:202-203).

Azimat sebenarnya merupakan suatu benda yang dipercayai dapat menahan


bahaya, malapetaka, serangan dari kuasa ghaib bagi orang yang memakainya.
Azimat juga diyakini mempunyai kekuatan ghaib dan dipercayai ada
khadamnya dari makhluk-makhluk ghaib.

Khadam-khadam ini dipercayai dapat membantu pemakai azimat berkenaan


untuk mencapai pelbagai keperluan diri. Di samping diyakini juga bahawa
khadam-khadam ini dapat menyelamatkan tuan azimat berkenaan daripada
pelbagai ancaman dan usaha jahat dari lawan dan musuh yang bermaksud
jahat terhadap diri, keluarga dan harta benda pemilik azimat tersebut (Rahmat
1983:15; dan Kilani 1991: 204-205).

Adalah ternyata bahawa semua keyakinan yang dimiliki oleh pemakai azimat
seperti yang tercatat di atas adalah sesuatu yang boleh membawa kepada
syirik terhadap Allah. Dan di sinilah duduknya unsur khurafat yang dibawa oleh
pemakai azimat berkenaan.

Demikianlah sebahagian daripada amalan-amalan kontemporari yang sedang


berlangsung dalam tempoh masa kini di dalam masyarakat kita yang boleh
dijadikan sebagai bahan bukti betapa unsur khurafat ini masih terus bertapak
subur dalam kehidupan masyarakat Melayu-Muslim di tanah air kita. Apa-apa
yang dipilih untuk dicatatkan dalam kesempatan ini hanyalah merupakan wakil
kepada amalan-amalan lain yang tidak sempat dicatatkan oleh kesempitan
ruang dan waktu.

Penutup

Sesungguhnya praktis khurafat masih terus bertapak kukuh dan berlangsung


dalam kadar yang agak subur di tengah-tengah masyarakat kita di Malaysia.
Usaha-usaha pembenterasan mesti terus digerakkan agar masyarakat dapat
diselamatkan daripada terjebak dalam unsur negatif ini. Strategi dan
pendekatan berkesan dalam usaha pembenterasan tersebut mesti dicari
dengan bersungguh-sungguh.

Dalam proses kerja pembenterasan tersebut, tentulah kerja-kerja pendakwahan


merupakan senjata yang paling berguna. Namun, pengisian program dakwah
berkenaan mestilah diatur dengan teliti, dengan diberi fokus khusus kepada
kedua-dua aspek utama dalam dakwah, iaitu isi kandungan dakwah dan
pendakwah. Isi kandungan hendaklah disesuaikan dengan kumpulan sasarnya,
di samping pendakwah mestilah juga dari kalangan yang terlatih dan
berkelayakan.

Di samping itu segenap kesempatan yang terbuka, perlu pula bersifat proaktif
untuk mewujudkan pelbagai kesempatan, yang dipergunakan sepenuhnya
untuk menyalurkan mesej dakwah dalam usaha yang berterusan dan tidak
kenal penat dan jemu. Mudah-mudahan kita akan dapat juga nantinya
menyelamatkan ahli masyarakat kita dari menjadi mangsa virus khurafat yang
cukup bahaya ini, Insya-Allah!

Jurnal Yadim Dis 2003

http://www.bicaramuslim.com/bicara6/viewtopic.php?t=7626&highlight=tangkal