Anda di halaman 1dari 25

Masih Ada Rindu

Mimie Afinie
MIMIE AFINIE dilahirkan di Kuala Terengganu pada 26.4.1963.
Merupakan anak kedua dari empat orang adik-beradik. Telah berumah
tangga dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Sekarang bertugas di
salah sebuah organisasi di Kuala Lumpur.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Duyong
(1970-1974), kemudian di Sekolah Kebangsaan Chendering (1974-
1975), Sekolah Menengah Batu Burok (1976-1980) dan menyambung
pengajian di Institut Pertanian Ayer HItam, Johor (1982-1985).
Novel BISIKAN RINDU merupakan karya pertama Mimie Afinie.
Sememangnya minat menulis telah lama ada, cuma baru-baru ini
sahaja mampu direalisasikan. Agak terlewat jika dibandingkan dengan
penulis lain.
Walaupun hobi Mimie membaca tetapi minat membaca novel
hanya muncul 2 tahun kebelakangan ini. Mimie tidak pernah mengikuti
kelas-kelas formal dalam bidang penulisan, cuma lebih kepada
pemerhatian melalui novel-novel yang pernah dibaca. Antara
kegemaran Mimie ialah membaca dan bercerita (terutama dengan
anak-anak).
Pernah juga menyertai kumpulan nasyid sebagai penyanyi utama
semasa di Kuala Terengganu. Namun, semua aktiviti ini telah
ditinggalkan sejak berhijrah ke Kuala Lumpur.
Novel MASIH ADA RINDU adalah karya kedua. Sebenarnya
banyak yang ingin ditonjolkan melalui novel ini, terutamanya tentang
hubungan kekeluargaan dan kasih saying.
Besar harapan agar novel ini mampu memberi kesan dan
pengajaran kepada pembaca.
Bab 1

P
andangan Syafika masih lagi dihalakan ke arah Dewan Tunku
Canselor. Cuba mencari kelibat seseorang. Namun, dalam ribuan
yang keluar dari situ, dia masih tidak nampak Hakim. Apabila
terasa bahunya ditepuk seseorang, dia lantas berpaling. Senyuman
segera terukir apabila terpandang seraut wajah tampan yang sudah
berada di hadapannya.
“Tahniah Kim, Ika tumpang gembira,” ucap Syafika sambil
menghulurkan sejambangan mawar merah.
“Terima kasih Ika kerana sudi datang,”
“Tentu Hakim gembira, kan?”
“Gembira sangat-sangat. Penat lelah Hakim selama ini sudah
berbayar. Dengan segulung ijazah ini, Hakim telah dapat
menggembirakan hati mama dan papa. Mereka tentu berbangga
dengan kejayaan Hakim.”
Syafika mengangguk. Sempat juga dia membayangkan kalaulah
dia yang berada dalam kelompok graduan di Majlis Konvokesyen tadi.
Pasti emaknya tersenyum bangga dengan kejayaan yang dicapainya.
“Kalau Ika nak tahu, perasaan Hakim hari ini sama dengan
perasaan Hakim semasa Ika terima Hakim dulu. Bila Ika kata Ika sudi
terima Hakim, Hakim rasa seronok sangat. Seolah-olah dunia ini Hakim
yang punya.” Hakim senyum apabila mengingati kembali detik-detik
manis ketika Syafika menyambut huluran kasihnya.
“Tapi… ada lagi satu hari yang begitu Hakim tunggu-tunggu. Hari
di mana Hakim akan mengambil Ika sebagai isteri. Walaupun hari itu
masih jauh tapi Hakim akan sabar menanti. Hakim tahu Ika ada cita-
cita dan Hakim akan pastikan Ika capai dulu apa yang Ika kejarkan
selama ini. Lepas itu barulah kita fikirkan tentang diri kita.”
“Terima kasih Kim… kerana faham diri Ika.”
“Ika, jom Hakim bawak jumpa mama dan papa. Tentu mereka
sedang tunggu Ika sekarang.”
“Hakim tak cakap pun mama dan papa Hakim nak datang,” balas
Syafika dengan wajah gusar.
Membayangkan orang tua Hakim, Syafika jadi tidak tentu arah.
Bukan tidak suka. Jauh sekali hendak jual mahal tapi dia belum
bersedia sebenarnya. Sebab itulah dia sering mengelak setiap kali
Hakim mempelawanya datang ke rumah. Lagipun, hubungan ini masih
tidak diketahui emak dan ayah di kampung. Kalaulah mereka tahu…
“Ika, bukankah hari ini hari penting dalam hidup Hakim? Tentulah
mama dan papa Hakim datang.”
Laa… betul jugak! Takkan itupun aku tak boleh fikir? Apasal
gelabah sangat aku ni? Rungut Syafika dalam hati.
“Kim…Ika takutlah….”
“Ika nak takut apa? Mama dan papa Hakim okey…percayalah
cakap Hakim,” pujuk Hakim lembut.
Perlahan-lahan Syafika mengangguk meskipun dadanya mula
berdebar-debar. Resah, gelisah dan bermacam-macam rasa memenuhi
hatinya. Bimbang memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi. Entah
bagaimanalah agaknya reaksi ibu bapa Hakim apabila bertemunya
nanti. Kalau baik, taka pa juga. Buatnya mereka tidak suka macam
mana? Apatah lagi Hakim anak bongsu. Tentulah mereka mahu yang
terbaik buat anak mereka.

“MAMA… papa… ini Nurul Syafika.”


Suara Hakim yang mesra menjamah ke gegendang telinga
Syafika. Asyik sangat mengelamun , sampaikan dia tidak sedar yang
mereka sudah berdiri di hadapan ibu bapa Hakim. Dengan saki-baki
debar yang masih ada, dia menghampiri mama Hakim untuk
bersalaman.
“Apa khabar makcik…pakcik?” ucap Syafika sopan. Nadanya
sedikit menggeletar. Sempat menoleh pada papa Hakim yang begitu
murah dengan senyuman.
“Baik, alhamdulillah.” Serentak mereka membalas.
“Ohh…ini ke Ika yang selalu Hakim cerita tu?” Hajah Noraini
bersuara mesra. Matanya tidak lepas memandang Syafika. Perwatakan
menarik, lemah lembut dan begitu bersopan. Sempat dia merenung
wajah Syafika yang cantik meskipun tanpa sebarang alat solek.
Syafika sekadar mengangguk. Cuba mengukir senyuman. Dalam
hati terasa lega kerana ibu bapa Hakim tidak seperti yang dia
gambarkan.
“Ika, ini mama Hakim, Hajah Noraini. Papa Hakim pulak Haji
Bahrin.”
Syafika mengangguk lagi. Lidahnya terasa kelu.
“Ika pun belajar di UM ni juga ke?”
“Ya, pakcik.”
“Jurusan apa?” Hajah Noraini sekadar berbasa-basi. Sedangkan
apa saja tentang Syafika, Hakim telahpun menceritakan kepadanya.
“Sama macam Hakim…accountancy.”
“Berapa tahun lagi Ika kat sini?”
“Dua tahun lagi, makcik. InsyaALLAH.”
Agak lama juga perbualan berlangsung. Syafika yang masih
malu-malu tidak banyak bercakap. Namun begitu, setiap pertanyaan
Hajah Noraini dan Haji Bahrin dijawab dengan penuh sopan dan ikhlas.
“Nanti senang-senang, jemputlah ke rumah.”
“InsyaALLAH makcik….”
“Hakim, nanti jangan lupa bawak Ika datang ke rumah tau…”
Hajah Noraini senyum penuh makna.
Bab 2

T
ergamam, terkejut, kaget dan tidak tentu arah. Itulah gambaran
perasaan Syafika saat ini. Terkedu dia seketika dengan
permintaan Hakim yang tidak masuk dek akal itu.
Kata Hakim di majlis konvokesyen dua bulan lalu kembali
terngiang-ngiang di gegendang telinga Syafika. Janji Hakim untuk
menunggunya sehingga tamat pengajian juga masih segar di ingatan.
Namun tanpa sebarang alasan, Hakim tiba-tiba berubah fikiran.
Satu bulan! Itulah tempoh yang diberikan.
Dalam apa jua situasi sekalipun, tempoh sebulan itu memang
mustahil. Statusnya sebagai pelajar merupakan salah satu sebab
utama. Lagipun dia masih muda. Baru 21 tahun dan Hakim sendiri
baru 24 tahun. Itu baru faktor bab status dan usia. Belum lagi
memikirkan pandangan orang ramai, penerimaan keluarga serta
teman-teman. Namun, dalam banyak-banyak alasan, ada satu
halangan yang pasti menimbulkan kesulitan besar.
Emak! Ya, emak!
Syafika tahu, bila saja melibatkan emak, semua perkara tidak
akan jadi mudah lagi. Apatah lagi, bila membabitkan soal perkahwinan.
Emak pernah beri kata dua kepada anak-anaknya. Jangan sesekali
berani memikirkan soal cinta dan rumah tangga ketika masih bergelar
pelajar. Bagi emak, anak-anak yang ingkar bagai melakukan satu
kesalahan yang amat besar.
Mengenangkan tentangan hebat yang bakal menanti, Syafika
hampir menyerah kalah. Dia yakin, permintaannya yang satu ini bukan
perkara mudah.
“HOI! Jauhnya berangan. Dah sampai ke mana ni, hah? Korea, Jepun
atau Venezuela?” sergah Nora sambil menepuk belakang Syafika.
Sengaja dia bergurau begitu. Tahu sangat minat Syafika dengan
telenovela dari Negara-negara tersebut.
Syafika tersentak dengan kehadiran Nora yang tiba-tiba. Tapi dia
sengaja mendiamkan diri. Malas hendak membalas usikan sepupu
merangkap teman sekampusnya itu.
“Apa hal semacam aje ni? Aku buat lawak antarabangsa pun, kau
langsung tak gelak,” usik Nora lantas duduk bersebelahan Syafika.
“Kau ni kenapa Ika? Apa yang tak kena?”
Syafika yang dia kenal adalah seorang yang kuat mengusik dan
ketawa. Kalau Syafika diam, bererti ada sesuatu yang sedang
mengganggu fikirannya. Selalunya Hakimlah penyebab dia berubah
wajah. Nora pasti, kali ini tentu sebab Hakim lagi.
“Kau gaduh dengan Hakim ke?”
“Taklah,” balas Syafika perlahan.
“Habis tu, kenapa diam aje ni?”
Syafika memandang wajah Nora. Nafasnya dihela kasar.
“Nora, Hakim ajak aku kahwin.”
“Kahwin?” Terjegil mata Nora. Macam tidak percaya. Untuk
seketika, hanya sepatah perkataan itu sahaja yang mampu diucapkan.
“Betul, Nora. Hakim ajak aku kahwin masa cuti semester nanti.”
Perlahan suara Syafika. Antara dengar dengan tidak.
“Maksud kau…bulan depan? Kau serius ke ni, Ika?” Suara Nora
separuh menjerit. Lagi membulat matanya.
Pelik Nora memikirkan Hakim yang seperti tidak sempat-sempat
itu. Kalau ya pun hendak kahwin sangat, buatlah perancangan dengan
rapi. Lagipun dia tidak nampak, atas dasar apa mereka berdua ingin
terburu-buru mendirikan rumah tangga.
“Betul Nora, aku serius.”
“Biar betul Ika! Tak ada angin, tak ada rebut tiba-tiba aje Hakim
ajak kau kahwin ni apa hal?”
“Entahlah, aku pun tak tahu,” balas Syafika perlahan.
Sebetulnya, dia sendiri pun tidak mengerti dengan cadangan
mendadak Hakim itu.
Selama ini, Hakim sering memberinya galakan agar
menghabiskan dahulu studynya. Tambahan pula, dalam tempoh dua
tahun bercinta, mereka bukanlah seperti sesetengah pasangan yang
bercinta bagai nak rak.
“Kau tak tanya kenapa dia ajak kau kahwin dalam keadaan
tergesa-gesa macam ni?”
“Aku tanya juga…”
“Habis, apa dia kata?” Lagak Nora bertanya bagaikan pegawai
penyiasat.
“Dia sendiri pun tak tahu kenapa…tapi dia cakap, tiba-tiba aje
dia rasa macam nak kahwin. Itupun kalau ikutkan dia, dia nak kita
orang kahwin minggu ni jugak. Tapi memikirkan banyak perkara, itu
yang dia buat keputusan agar kami kahwin bulan depan.”
“Pelik Hakim ni.” Nora bersuara perlahan. Seolah-olah bercakap
dengan dirinya sendiri.
“Kau macam mana…setuju?”
Syafika sekadar mengangguk.
“Ika, kau sedar tak apa yang kau buat ni? Perkara nikah kahwin
ni bukan boleh dibuat main. Kau patut bincang dengan Mak Uda dan
Pak Uda dulu. Kau jangan nak buat pasal dengan dia orang!”
Nora yakin keputusan Syafika bakal menimbulkan kemarahan
Mak Uda Zaleha. Dia faham sangat dengan sikap panas baran emak
saudaranya itu. Usahkan Mak Uda Zaleha, malah sesiapa pun tidak
akan setuju dengan tindakan drastic Syafika yang terlalu mengikut
perasaan.
“Itu aku tahulah, tapi nak buat macam mana? I have no choice,
aku terpaksa terima. Dia pun dah beritahu papa dan mama dia.
Minggu depan dia orang akan pergi ke rumah aku, jumpa mak dan
ayah.”
“Kenapa pulak terpaksa? Takkan Hakim paksa kau kot.” Nora
seperti tidak berpuas hati.
“Dia tak adalah paksa tapi…entahlah…” kata-kata Syafika
terhenti di situ. Dia tahu, apa pun alasan yang diberikan, Nora tidak
mungkin akan faham perasaan orang yang sedang bercinta.
Selepas itu Nora diam. Tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan.
Bimbang kalau terlebih cakap nanti, akan mengecilkan hati Syafika
pula. Dahulu dia pernah bermasam muka dengan Syafika hanya kerana
kritikan kecil terhadap Hakim. Sejak itu dia tidak berani lagi berkata
sesuatu yang negatif tentang lelaki pujaan sepupunya itu.
“Nora, aku tahu tindakan aku ni salah. Sepatutnya aku tanya
mak dan ayah aku dulu. Tapi aku terlalu cintakan Hakim. Aku tak
sampai hati nak hampakan dia.”
“Entahlah Ika. Aku pun tak tau nak kata apa lagi, tapi untuk
pengetahuan kau, apa yang kau buat ni memang tak betul. Terus-
terang, aku tak setuju dengan cara kau.”
Wajah Syafika bertukar muram. Kalau Nora yang sehati sejiwa
dengannya, yang ibarat isi dengan kuku dengannya pun boleh
membantah, apatah lagi emak yang begitu terkenal dengan kekerasan
hatinya. Memikirkan itu, Syafika begitu khuatir. Apakah hasrat untuk
membina hidup bersama Hakim akan terkubur begitu sahaja?
“Tapi Ika, kalau dah itu kata putus kau, aku hanya dapat doakan
agar niat baik kau akan termakbul.”
Nora sengaja berkata begitu walaupun masih tidak berpuas hati
dengan tindakan Syafika. Tangan Syafika dicapai dan digenggam erat.
Melihat air muka Syafika, dia tahu, Syafika berkecil hati dengan kata-
katanya tadi.
“Hanya satu nasihat aku. Apa-apa pun, jangan belakangkan mak
dan ayah kau. Mintak restu mereka.”
“Aku tahu Nora…” Terasa apa yang dirancang tidak semudah
yang dijangka. Bagaikan ada onak dan duri yang bakal menghalang
laluannya.
Ayah, rasanya tiada masalah. Dia seorang yang bertimbang rasa
dan mudah memahami. Yang Syafika bimbangkan adalah Zaleha. Tapi
akan diusahakan juga untuk memujuk emaknya.
“Nora, pagi esok aku nak balik kampung. Aku nak bincang
dengan mak dan ayah. Kau nak balik tak?”
“Boleh jugak, kebetulan Abang Im pun nak balik. Apa kata kita
balik dengan Abang Im?”
“Okeylah, aku pun dah lama tak jumpa dia.”
Membayangkan Imran, Syafika tersenyum sendiri. Seraut wajah
milik sepupu yang juga abang kepada Nora segera singgah di
mindanya. Dahulu dia pernah menyimpan perasaan terhadap Imran.
Baginya Imran merupakan seorang lelaki yang begitu sempurna. Baik
hati dan penyayang.
Namun, setelah masa beredar dan dia memasuki alam remaja,
perasaan itu mulai terhakis sedikit demi sedikit. Baru dia sedar
perasaannya itu tidak akan ke mana. Cintanya selama ini tidak lebih
dari cinta monyet. Dia hanya berminat dengan wajah kacak Imran.
Lagipun dia tahu, Imran tidak pernah menganggapnya lebih daripada
seorang adik.
Nama Imran terkuis terus dari hatinya apabila dia menjalin
hubungan cinta dengan Hakim. Sejak itu, hanya nama Hakim yang
memenuhi setiap sudut hatinya.

Bab 3

A bang betul-betul tak sangka, Ika dah nak


kahwin.” Imran cuba berlagak tenang
walaupun hatinya bergetar hebat.
Kalau selama ini dia begitu mesra dengan Syafika namun kali ini
dia dapat merasai kelainannya. Tiba-tiba sahaja dia berasa kekok.
Terus-terang, dia begitu terkejut dengan berita itu. Siapakah jejaka
bertuah yang telah berjaya menambat hati Syafika? Mengapa selama
ini dia tidak pernah tahu hubungan mereka?
“Nak buat macam mana, mungkin jodoh Ika dah sampai,” ucap
Syafika perlahan. Wajah Imran yang pernah dipuja dipandang sebentar.
“Lepas ni, tentu semuanya akan jadi lain kan, Ika? Tentu abang
tak boleh jumpa Ika sesuka hati abang lagi macam sekarang ni. Yalah,
Ika kan dah nak jadi isteri orang.” Nada suara Imran bertukar sayu.
Renungan matanya menggambarkan hatinya yang lara.
“Abang jangan bimbang, Ika tetap macam dulu.”
“Ika memanglah…tapi suami Ika…takkan dia nak benarkan Ika
jumpa abang.”
“Ika tak rasa dia macam tu. Tentu dia faham. Abang Im kan
sepupu Ika sendiri? Takkan dia nak marah kot.”
Syafika yakin Hakim bukan begitu. Baginya Hakim seorang yang
berfikiran terbuka dan begitu memahami. Kalau betul apa yang dikata
Imran, sudah tentu Hakim marah bila tahu Syafika sedang bersama
Imran. Tapi Hakim yang kebetulan menelefonnya tadi, hanya bersikap
seperti biasa.
“Macam mana abang tau Ika nak kahwin? Nora beritahu ke?”
“Yalah…Nora yang beritahu abang. Tapi kenapa cepat sangat nak
kahwin? Takkan tak sempat tunggu sampai Ika habis belajar?”
Imran benar-benar tidak berpuas hati dengan keputusan Syafika
yang begitu terburu-buru. Syafika sepatutnya menghabiskan studynya
dahulu. Bertahun-tahun dia memendam rasa terhadap Syafika pun
adalah disebabkan alasan itu. Dia tahu prinsip Mak Uda Zaleha. Dia
tidak mahu Mak Uda Zaleha hilang kepercayaan terhadapnya. Oleh itu,
dia sabarkan hati.
Tetapi, penantiannya hanya sia-sia. Dia ibarat menunggu buah
yang tidak gugur. Tanpa disedari, gadis yang sekian lama dipuja telah
menjalin kasih dengan orang lain.
“Ika cintakan dia?”
Syafika mengangguk.
“Ika terlalu cintakan dia. Ika tak boleh bayangkan hidup tanpa
dia.” Bersahaja dia melafazkan kata-kata itu tanpa menyedari apa
yang sedang bersarang di hati Imran.
Imran mengeluh. Tapi hanya di dalam hati. Mendengar
pengakuan Syafika, dia begitu terluka.
“Boleh abang tahu, siapa lelaki bertuah yang berjaya merebut
hati Ika?” Imran bertanya dalam nada riang. Cuba menceriakan
suasana yang agak suram dari tadi. Selalunya mereka tidak pernah
begini. Pertemuan mereka sering diiringi gelak tawa dan gurau senda.
“Nama dia Luqman Hakim, bang,” jawab Syafika malu-malu.
Selama ini dia sengaja menyembunyikan daripada Imran. Baginya,
masih terlalu awal untuk dihebahkan. Bimbang apa yang diimpikan
bersama Hakim tidak kesampaian.
“Tentu dia istimewa, kan?” soal Imran lagi. Cemburu kian
bermaharajalela di jiwanya. Dia cuba membayangkan wajah lelaki
yang telah berjaya memiliki hati Syafika.
“Biasa aje…”
“Dia orang mana?”
“Orang KL. Keluarganya tinggal di Taman Tun.”
“Ika dah pernah jumpa keluarga dia?”
“Pernah. Ibu bapa dia pun terima Ika dengan baik.”
Syafika tersenyum apabila membayangkan Hajah Noraini yang
baik dan lemah lembut. Begitu juga Haji Bahrin. Dia yakin, Hakim
banyak mewarisi sifat kedua-dua ibu bapanya. Seketika, dia
terbayangkan emaknya. Alangkah jauh berbeza sikap Zaleha dan
Hajah Noraini. Macam langit dan bumi. Kalaulah emak seperti Hajah
Noraini, alangkah bahagianya. Tentu tidak timbul masalah yang sedang
dihadapi sekarang.
“Mana Ika jumpa dia?”
“Dulu dia senior Ika. Tapi sekarang dah kerja…”
“Kerja kat mana?”
“Dengan company ayah dia.”
“Handsome sangat ke?” Kali ini Imran ketawa.
“Bagi Ika, dia handsomelah…tapi tak taulah pulak pada
pandangan mata orang lain. Mungkin tak sehandsome abang, kot!”
Syafika juga ketawa.
“Handsome ke abang ni, Ika?”
“Alah…kura-kura dalam perahu pulak!”
“Tapi handsome pun buat apa, Ika bukan suka kat abang pun. Ika
tetap cari orang lain jugak.” Imran pura-pura ketawa lagi. Sebenarnya
apa yang terlafaz di bibir lahir dari hatinya. Tapi sayang, Syafika
langsung tidak mengerti. Sangkanya Imran sekadar bergurau.
“Ika takutlah nak jadi makwe abang. Abang tu…handsome
sangat. Nanti ramai pulak peminat abang. Ika jugak yang makan hati.”
“Yalah tu…” Imran ketawa.
“Ika, maafkan abang ya, banyak sangat bertanya.Entah-entah
Ika tak suka…”
“Tak apa, Ika tak kisah. Tak salah, kan seorang abang mengambil
berat tentang adiknya.”
Ya…kau hanya boleh dianggap adik, Ika. Rintih Imran di dalam
hati.

PETANG sabtu itu juga Imran balik ke Kuala Lumpur. Sepanjang dua
tahun bekerja, baru kali ini sahaja dia menghabiskan masa cuti hujung
minggunya dengan begitu singkat. Kebiasaannya, habis bekerja pada
petang Jumaat, dia akan terus pulang ke Kuala Kubu Baru. Pagi-pagi
Isnin, barulah dia bertolak ke Kuala Lumpur dan terus ke tempat
kerjanya di bangunan KLCC. Malah, dua hari itu pun dirasakan tidak
mencukupi.
Namun, tidak kali ini. Dengan apa yang terjadi, dia tidak betah
lagi tinggal di kampung. Dia begitu terluka apabila mengetahui Syafika
bakal menjadi isteri orang.
Siapa Hakim? Istimewa sangat ke sampai Syafika sanggup
menghampakannya. Apa lebihnya Hakim? Apa kurangnya dia? Tapi dia
tak boleh salahkan Syafika.
Syafika tidak pernah tahu isi hatinya. Dia sedar, sikap
berahsianya selama ini telah memakan dirinya sendiri. Kalaulah dari
dulu dia berani meluahkan isi hati, tentu kini Syafika miliknya.
Hujan lebat membasahi bumi sepanjang perjalanan kira-kira
sejam dari Kuala Kubu Baru ke Kuala Lumpur. Suasana juga gelap dan
mendung. Semendung hati Imran.
Pagi tadi dia pulang dengan hati yang girang. Lebih-lebih lagi
apabila Syafika ada bersama. Itulah saat yang sering dinanti-nantikan.
Meskipun Nora ada bersama tapi dia tidak kisah. Yang penting dia
dapat menatap wajah ayu Syafika dan mendengar suara Syafika yang
manja.
Namun, berita yang disampaikan Nora terasa menghancur
lumatkan hatinya. Ternyata, hanya dia yang memendam rasa. Dia
bertepuk sebelah tangan. Penantiannya selama ini sia-sia sahaja. Hati
Syafika sudah dimiliki.
Ika…walaupun Ika telah mengecewakan abang, memusnahkan
harapan abang tapi abang tidak akan memusuhi Ika. Abang akan tetap
doakan Ika. Itu janji abang!
Bab 4

W
alaupun Syafika sudah menjangka tentangan itu akan
dihadapinya, namun dia tidak menduga kemarahan emaknya
begitu teruk sekali. Seperti gunung berapi yang memuntahkan
lahar, begitulah tahap kemarahan Zaleha. Pucat lesi muka Syafika
akibat terlalu takut. Seumur hidupnya, tidak pernah sekalipun dia
melihat emaknya sebegitu garang dan bengis.
Tapi, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal
lengan. Syafika nekad berhadapan dengan emaknya. Biarlah setakut
mana pun, dia tetap akan mempertahankan keputusannya.
Berderau darah Syafika apabila melihat renungan tajam Zaleha.
Tapi dia tetap buat-buat selamba. Walhal dia tahu emaknya sudah ke
tahap maksimum.
“Sejak bila Ika berani buat keputusan sendiri, hah? Mak hantar
Ika masuk universiti tu untuk belajar…bukannya nak suruh
menggatal!”
Tersentak Syafika dengan suara Zaleha yang kuat. Menggigil
kedua belah kakinya.
“Mak, Ika hanya nak kahwin dengan Hakim. Takkan itu pun mak
tak boleh izinkan. Lainlah kalau Ika buat perkara tak senonoh.” Dalam
takut-takut Syafika tetap menjawab. Wajah Zaleha dijeling sekilas.
“Oooo…sekarang dah pandai menjawab! Kerana lelaki yang
entah dari keturunan mana tu, Ika berani lawan cakap mak. Mak tak
sangka Ika boleh jadi kurang ajar macam ni!”
Semakin kuat suara Zaleha, semakin kecut perut Syafika
mendengar. Tapi demi Hakim, dia terpaksa memberanikan diri. Dia
nekad menghadapi segalanya.
“Mak tak sangka Ika sanggup buat mak macam ni. Ini ke balasan
Ika untuk mak?”
Menggigil-gigil suara Zaleha menahan marah. Marah sungguh
apabila teringat permintaan Syafika yang tidak masuk dek akal. Dia
tidak menyangka Syafika sanggup membuat keputusan sebegini besar.
Syafika yang selama ini dianggap anak paling patuh berani melanggar
peraturan yang telah sekian lama dibuat.
“Ika, dari dulu lagi mak dah cakap. Mak tak akan izinkan kahwin
selagi belum tamatkan pelajaran. Takkan Ika dah lupa? Atau…sengaja
buat-buat lupa?”
“Ika tak lupa mak. Ika memang ingat. Tapi Ika kena kahwin jugak
dengan Hakim. Ika tak nak mungkir janji.”
“Ika sedar tak dengan siapa Ika sedang bercakap sekarang? Ini
mak…Ika! Takkan kerana seorang lelaki, Ika sanggup kecewakan mak.
Sanggup lukakan hati mak.” Suara Zaleha bertukar sebak. Sedih
dengan perbuatan Syafika yang begitu melukakan hatinya.
“Ika tak berniat pun macam tu, mak. Tapi Ika kena juga fikirkan
masa depan Ika.”
“Masa depan? Apa maksud Ika dengan masa depan? Berkahwin
dalam usia muda, belajar separuh jalan, itu Ika kata masa depan? Hei!
Kenapa singkat sangat fikiran Ika ni, hah!” Suara Zaleha menjadi tinggi
semula.
Syafika terdiam. Tidak mempunyai sebarang alasan untuk
mempertahankan diri. Sebetulnya dia telah terlepas cakap.
“Ika tahu tak, masa depan yang cerah ialah bila ada pelajaran
yang cukup dan juga berilmu. Capai dulu apa yang dikejar selama ini.
Barulah boleh fikir pasal cinta dan rumah tangga.”
“Mak, tak semestinya bila Ika dah kahwin, Ika akan tinggalkan
pelajaran. Ika janji mak…Ika akan belajar dengan lebih bersungguh-
sungguh lagi,” rayu Syafika. Bangkangan emaknya dipandang sepi.
“Mak tak percaya Ika boleh terus belajar kalau dah kahwin nanti.
Masa bila nak belajar kalau dah kena layan suami? Bayangkan pulak
kalau Ika mengandung, ada anak, lepas tu mengandung lagi. Memang
terbarailah pelajaran tu nanti! Asyik sibuk kelek anak ke hulu ke hilir
aje!”
Terkedu Syafika sebentar. Tidak terjawab serangan sinis Zaleha.
Terasa kata-kata emaknya memang ada kebenaran. Namun, dia tetap
akan pertahankan keputusannya. Dia kena yakinkan emak yang
keputusannya tidak salah.
“Mak, ramai kawan Ika yang kahwin masa belajar. Tapi tak ada
masalah pun. Malah, mereka tambah bersemangat sebab boleh belajar
sama-sama dan berkongsi pendapat. Ada lagi tu, dah beranak-pinak
pun masih boleh teruskan pelajaran. Ambil Ph.D lagi. Sebenarnya
semua ni bergantung pada kemahuan sendiri, mak. Kalau dah tak
minat, tak kahwin pun tak pass jugak!”
Lantang Syafika membentangkan hujahnya. Semoga kali ini
emaknya akan celik mata. Namun dia silap. Kata-katanya tadi hanya
ibarat mencurah minyak tanah ke dalam api. Semakin bertambah
marak nyalanya.
“Ika jangan nak ajar mak. Mak peduli apa dengan orang lain?
Lantak dia oranglah! Bukan ada kena mengena dengan mak pun. Kita
sekarang bercakap pasal Ika kerana Ika tu anak mak. Dan kerana Ika
anak maklah, mak tak akan benarkan Ika kahwin sekarang! Itu kata
putus daripada mak. Faham?” Membulat mata Zaleha kali ini. Suaranya
juga semakin kuat. Bagai mahu pecah gegendang telinga Syafika
dengan tempikan Zaleha.
“Mak, tolonglah jangan buat Ika macam ni.”
“Ika, kenapa degil sangat ni? Kenapa tiba-tiba aje berani bantah
cakap mak?”
“Mak, Ika hanya nak minta restu mak. Izinkanlah Ika kahwin
dengan Hakim.” Syafika memandang Zaleha dengan pandangan yang
sayu. Cuba meraih simpati.
“Aku kenal pun tak dengan budak Hakim tu!” Nada Zaleha sedikit
kendur dari tadi.
“Hakim baik sangat, mak. Mak memang tak perlu risau pasal dia.
Lagipun dia banyak beri Ika tunjuk ajar dalam pelajaran, sejak Ika di
tahun satu lagi. Ika percaya, lepas kahwin nanti, tentu lebih banyak
yang Ika boleh belajar dari dia. Lagipun jurusan yang kami ambil
sama.” Memdengar nada suara Zaleha yang sudah menurun, Syafika
menjadi berani semula. Dia amat berharap agar hati emak dapat
dilembutkan.
“Ika tak faham bahasa Melayu ke? Kan dah berulang kali mak
cakap…selagi belum habis belajar jangan sesiapa berani sebut pasal
kahwin. Takkan tak faham-faham lagi? Kalau Kak Wani boleh ikut,
kenapa Ika tak boleh? Kenapa keras kepala sangat ni, haa?” Suara
Zaleha semakin meninggi. Geram dengan Syafika yang seperti sengaja
mahu menguji kesabarannya.
“Tapi mak…kami cuma nak kahwin, bukannya buat perkara tak
elok.” Dalam nada kecewa Syafika terus mempertahankan hasratnya.
“Dari kecil mak bela Ika. Mak tak sangka ini balasan Ika untuk
mak. Degil! Tak dengar kata!” Zaleha merengus kuat. Mukanya
dipalingkan ke arah lain. Marah sungguh hinggakan muka Syafika tidak
sanggup dipandang lagi.
“Mak, Ika tak berniat pun macam tu!”
“Kalau Ika masih anggap mak ni mak Ika…jangan sebut lagi
pasal kahwin. Mak tak nak dengar.”
“Mak, Ika dah janji dengan Hakim. Ika dah setuju nak kahwin
dengan dia. Mak kena izinkan jugak!”
“Langkah mayat mak dulu Ika…” Mencerlung mata Zaleha.
Menggigil-gigil suaranya.
“Mak, takkan sampai macam tu sekali?” Syafika mula menangis.
Tidak menyangka langsung yang emaknya sanggup menuturkan kata-
kata itu.
“Kalau Ika tak nak jadi anak derhaka, dengar cakap mak. Mulai
sekarang, lupakan budak tu. Putuskan hubungan dengan dia! Mak tak
nak pelajaran Ika terganggu kerana benda-benda mengarut macam
ni.”
Syafika tersentak. Kalau tadi dia bagai takut-takut berani, tapi
mendengar kata dua yang diberi oleh emak dia menjadi betul-betul
berani. Perasaan takutnya terus hilang sama sekali. Di dalam hati dia
bertekad, dia akan mempertahankan cintanya walaupun mendapat
tentangan maha hebat.
“Mak, Ika bukan nak derhaka pada mak. Sebesar zarah pun tak
ada dalam hati Ika nak buat macam tu. Niat Ika balik hari ni pun sebab
nak jumpa mak. Ika nak beritahu mak yang keluarga Hakim akan
datang berbincang dengan mak dan ayah. Takkan disebabkan itu, mak
boleh tuduh Ika yang bukan-bukan,” kali ini Syafika memandang tepat
muka Zaleha.
“Eh! Kamu ni tak reti-reti lagi? Tak paham-paham lagi? Mak dah
cakap tak boleh…tak bolehlah! Faham?” Zaleha menjerit kuat. Bibirnya
diketap kuat.
Syafika kaget. Bagai hendak tercabut jantung dek jeritan
emaknya. Dengan perasaan yang bercampur-baur, dia bangun.
Kemudian duduk bersimpuh di hadapan Zaleha. Kedua-dua belah
tangan memegang lutut emaknya. Dengan air mata yang sudah
membasahi pipi, dia mendongak memandang emaknya.
“Mak…Ika merayu pada mak. Tolonglah izinkan Ika kahwin
dengan Hakim. Ika janji IKa takkan abaikan pelajaran. Ika akan ikut
setiap nasihat mak. Tolonglah Ika ya, mak?” Dalam sedu-sedan,
Syafika merayu. Begitu mengharapkan restu daripada emaknya.
“Walau apapun kata kamu…mak tetap takkan setuju. Itu
keputusan mak. Muktamad. Kamu jangan nak membantah lagi!” Tegas
suara Zaleha. Bulat matanya merenung Syafika.
“Mak…tolonglah Ika mak.” Syafika tidak jemu-jemu merayu.
Wajah Zaleha direnung dengan perasaan sendu. Semoga emak akan
jatuh kasihan apabila melihat wajahnya yang sudah dibanjiri air mata.
“Eh! Yang kamu beria-ia sangat ni kenapa?”
Zaleha pelik. Apa agaknya yang istimewa sangat tentang lelaki
itu sampaikan Syafika begitu bersungguh-sungguh sekali. Kalau
selama ini Syafika anak yang mendengar kata tapi kerana seorang
lelaki tiba-tiba sahaja dia menjadi degil. Itu yang Zaleha tidak boleh
terima.
“Ika cintakan Hakim, mak.”
“Cinta? Kamu ingat kamu boleh hidup hanya dengan cinta? Masa
tengah suka ni memanglah semua manis tapi bila dah jemu nanti,
kamu akan ditinggalkan macam tu aje. Kamu dengarlah cakap aku ni!”
Marah sungguh Zaleha hinggakan bahasanya sudah menjadi kasar
pula.
Perkataan ‘aku’ yang selama ini diharamkan penggunaannya di
dalam rumah itu pun terpaksa digunakan bagi menggambarkan betapa
dia benar-benar marah.
“Mak, Hakim bukan macam tu!” Syafika sedikit menjerit. Tidak
bersetuju apabila kekasih hati dituduh begitu. Hakim tidak mungkin
mensia-siakan hidupnya. Hakim seorang lelaki yang budiman dan
bertimbang rasa.
“Dah! Mak tak nak dengar apa-apa lagi! Mulai sekarang, lupakan
aje budak tu!”
“Mak, Ika minta maaf banyak-banyak. Kali ni, Ika terpaksa
langgar perintah mak. Walaupun mak tak izinkan, tapi Ika tetap akan
kahwin jugak. Tapi Ika janji, Ika takkan sekali-kali abaikan pelajaran Ika.
Ika akan buktikan pada mak yang Ika juga boleh berjaya walaupun dah
bersuami nanti.”

Syafika menangis teresak-esak. Sedih dengan keputusan Zaleha


dan juga keputusannya sendiri. Terbayang-bayang wajah Hakim di
ruang matanya. Hakim yang amat menyayanginya.
“Baiklah! Kalau dah tu keputusan Ika, mak nak tengok sejauh
mana Ika boleh pergi. Tapi…kalau berlaku sesuatu nanti, jangan
salahkan mak dan jangan cari mak! Dan ini kata-kata terakhir mak…
jangan sekali-kali berangan nak kahwin selagi tak habis belajar!
Muktamad!”
Bab 5

“T
ak boleh ke ayah pujuk mak?” rayu Syafika. Tangan Saifuddin
dipegang kuat. Sekuat harapan yang disandarkan ke bahu
lelaki yang baru melepasi usia separuh abad itu. Air mata di
pipi dibiarkan sahaja. Biar ayahnya tahu kesedihan yang ditanggung.
Inilah sahaja senjata yang dia ada untuk menundukkan hati ayah.
Tetapi, bukan hati emak. Hati emak kebal. Langsung tidak tembus
dengan rembesan air matanya.
“Ika…ayah bukan tak nak tolong tapi Ika tahu, kan mak macam
mana.” Saifuddin mengeluh. Serba salah. Dia tersepit di tengah-
tengah. Di kiri isteri, di kanan pula anak. Kedua-duanya dia sayang.
Kedua-duanya penting di dalam hidupnya.
“Tapi ayah…IKa kena kahwin jugak dengan Hakim. Tolonglah
izinkan Ika.”
“Ika, mak bukan tak nak bagi Ika kahwin. Cuma dia suruh Ika
tunggu. Dua tahun aje, Ika. Lagipun Ika kan masih muda. Buat apa nak
kahwin cepat sangat?”
“Ayah, kalau Ika boleh tunggu, takkan Ika balik jumpa ayah dan
mak. Buat apa susah-susah Ika ‘berperang’ dengan mak kalau
memang Ika nak tunggu dua tahun tu? Sebab tak bolehlah Ika merayu-
rayu kat ayah ni. Tolonglah ayah, restuilah Ika…ya ayah?”
“Ayah mintak maaf, Ika…”
“Ayah, tolonglah Ika…kali ni aje. Lepas ni Ika tak akan susahkan
ayah lagi. Percayalah cakap Ika.”
“Ika, bukan ayah tak nak beri restu tapi macam mak kata, ayah
nak Ika sabar. Dua tahun aje Ika.”
Mendengar kata-kata Saifuddin, Syafika tahu dia tidak boleh
berlembut lagi. Dia mesti tegas. Dia mesti tunjukkan kepada ayah dan
juga emak yang dia benar-benar serius dengan keputusannya.
“Ayah, walau apapun yang akan terjadi, Ika tetap akan kahwin
dengan Hakim. Ika dah nekad. Apa nak jadi pun…jadilah!”
Semacam ada suatu kuasa yang meresap ke dalam tubuh
Syafika apabila tiba-tiba sahaja dia mengucapkan kata-kata itu. Tegas
kedengaran suaranya. Nampaknya tidak guna dia berlembut lagi.
Kebekuan hati emak dan ayah bukan boleh dicairkan dengan tangis
pilunya. Mereka seolah-olah sudah tidak berperasaan lagi.
“Ika, jangan buat ayah takut…”
“Ayah terlalu pentingkan mak. Apa aje kata mak, ayah ikut. Dulu
mak buat macam ni jugak pada Kak Wani. Sekarang giliran Ika pulak.
Apa…sebagai ketua keluarga, ayah tak boleh buat keputusan ke?
Apakah semuanya mesti mak yang tentukan? Mana pergi maruah ayah
sebagai suami? Sebagai seorang ayah yang sepatutnya melindungi
anak-anak?”
Syafika menjadi semakin berani. Ayah yang selama ini sangat
dihormati dan disanjung, ditentang dengan mata berkaca. Memang
sedih mengeluarkan kata-kata bisa yang mungkin akan melukakan hati
ayah tapi dia sudah tiada pilihan. Itu sahaja jalan yang dia ada.
Membuntang mata Saifuddin. Terkejut dengan kata-kata Syafika
yang seperti ledakan peluru itu. Bahasa apa agaknya yang paling tepat
digunakan untuk menggambarkan Syafika ketika itu? Anak kurang
ajarkah? Kalau kurang ajar, siapa yang tidak tahu mengajar?
“Ika, ayah tak bermaksud macam tu…” Lemah sahaja suara
Saifuddin. Namun, di dalam diam dia terpaksa mengakui kebenaran
kata-kata Syafika. Memang benar, selama ini dia terlalu mengikut
telunjuk Zaleha. Setiap arahan Zaleha tidak pernah yang tidak dituruti,
meskipun kadang-kadang dilakukan dalam keadaan terpaksa.
“Ayah, kalau masih ada rasa sayang ayah untuk Ika, restuilah Ika
dengan Hakim. Izinkan Ika kahwin dengan dia. Ika betul-betul
sayangkan dia.” Suara Syafika mulai lembut. Tangan Saifuddin dicapai
sambil matanya merenung sayu wajah lelaki itu. Cuba meminta
pengertian.
Agak lama Saifuddin memandang Syafika. Akhirnya, beserta
keluhan berat, dia mengangguk.
“Demi Ika…apa saja akan ayah turutkan.”
Kata-kata Saifuddin yang ringkas tetapi padat maknanya itu
benar-benar melegakan hati Syafika. Berkali-kali dia mencium tangan
ayahnya.
“Ayah, terima kasih ayah…terima kasih. Ika takkan lupa jasa
ayah.” Hanya itu yang mampu diucapkan Syafika dengan penuh
kesyukuran.

PETANG itu Zaleha mengamuk sakan. Marah sungguh dengan kata


putus Syafika. Yang lebih membangkitkan api kemarahannya adalah
Saifuddin. Ternyata Saifuddin menikamnya dari belakang. Suami yang
diharap akan memberi sokongan rupa-rupanya berpaling tadah. Entah
apa yang dia dapat dengan menyokong Syafika, itu yang membuat
semakin berang.
“Leha, dahlah…bawak mengucap.” Saifuddin masih boleh
bertenang, walaupun Zaleha seperti sudah hilang ingatan. Fikirannya
seperti sudah dirasuk.
“Abang dua beranak memang sama aje!” jerit Zaleha. Habis
semua barang dibalingnya.
“Leha, awak jangan melampau!” tengking Saifuddin. Tangan
Zaleha disambar dan dicengkam.
“Lepaskan tangan saya!” Zaleha cuba menarik tangannya dari
genggaman tangan Saifuddin.
Saifuddin melepaskan. Zaleha menggosok-gosok tangannya
yang terasa perit akibat cengkaman tadi. Sempat matanya menjeling
wajah suaminya yang tegang.
“Awak memang melampau, Leha! Mentang-mentang selama ini
saya diam, awak semakin menjadi-jadi. Awak fikir saya ni apa, hah?
Tunggul kayu? Sesuka hati awak aje nak buat macam mana!”
Tersentak Zaleha dengan tengkingan Saifuddin. Sejak bila pulak
Saifuddin pandai marah?
“Leha, saya mintak sangat-sangat daripada awak. Restuilah Ika…
berilah dia peluang.”
“Apa kena dengan abang ni? Dia tu kan masih belajar. Abang nak
rosakkan masa depan dia ke?” Mendengar intonasi Saifuddin yang
sudah rendah, Zaleha menjadi berani semula.
“Diam…saya belum habis cakap lagi!”
Lagi sekali Zaleha tersentak. Terasa kecut perutnya. Terkejut
dengan suara kuat Saifuddin. Boleh tahan juga suaminya bila sesekali
marah macam ni.
“Leha, selama ini kita dah terlalu banyak membuat keputusan
untuk anak-anak. Apa salahnya kali ini kita beri Ika peluang untuk pilih
jalan hidup dia sendiri. Lagipun saya yakin Ika tak akan abaikan
pelajarannya.”
Muka Zaleha masam. Dia mengerling suaminya sekilas. Seratus
peratus tidak bersetuju.
“Dari apa yang diceritakan oleh Syafika, saya percaya Hakim tu
budak baik. Keluarga dia pun orang baik-baik. Ayahnya pun bukan
calang-calang orang. Ahli perniagaan terkenal di Kuala Lumpur tu.
Saya percaya masa depan Ika akan terjamin.”
“Abang cakaplah apa pun…pujilah lelaki tu setinggi langit pun,
saya tetap takkan setuju.”
Saifuddin seperti ingin merasuahnya dengan bercerita tentang
kehebatan Hakim dan keluarganya. Tapi selagi dia bernama Zaleha,
sama sekali dia tidak akan izinkan dirinya ‘dibeli’ dengan cerita-cerita
seperti itu.
“Leha, kenapa keras sangat hati awak ni? Takkan tak boleh
bertolak ansur langsung.”
“Terus-terang, saya tak setuju. Saya tetap dengan pendirian
saya. Syafika tak boleh kahwin selagi dia tak pegang segulung ijazah!
Itu syarat saya!” Zaleha meninggikan suara. Entah apa yang merasuk,
sekejap sahaja dia sudah mendapat keberaniannya semula.
“Saya dah buat keputusan. Sama ada awak setuju atau tidak,
saya tetap akan kahwinkan Ika dengan Hakim,” ucap Saifuddin yakin.
Pertama kali di dalam hidupnya, dia membuat keputusan yang begitu
besar.
“Kalau abang dah buat keputusan…saya pun ada keputusan saya
sendiri. Mulai sekarang, putus hubungan saya dengan Ika!”
Bab 6

E h, Hakim…dah lama balik?” soal


Hajah Noraini sebaik terpandang Hakim
yang bersandar lemah di sofa sambil
memicit-micit dahinya. Satu kelainan yang tidak pernah Hakim lakukan
sebelum ini.
“Dah lama jugak. Mama aje yang tak sedar.”
“Hakim nak minum?”
“Tak ma…Hakim dah minum dengan kawan tadi.”
“Kenapa Hakim ni? Lain macam aje mama tengok. Hakim ade
problem kat ofis ke?” soal Hajah Noraini lembut. Melihat wajah muram
Hakim sahaja, dia tahu anak bongsunya itu sedang menanggung
masalah.
“Mama…mak Ika tak izinkan kita orang kahwin.”
Terdiam Hajah Noraini sebentar. Bagai dapat menyelami
kekecewaan anaknya.
“Bukan setakat tak beri izin tapi dia marah betul sebab Ika tetap
berkeras dengan keputusannya.” Hakim diam sebentar.
“Mama, salah ke apa yang Hakim buat ni? Hakim ni selfish ke
ma?”
Seperti mamanya, Hakim turut berasa bersalah lebih-lebih lagi
apabila teringatkan perbualan telefon dengan Syafika tengah hari tadi.
Kalau tidak kerana dia, tentu hubungan Syafika dengan emaknya tidak
menjadi tegang seperti sekarang.
“Salah tu taklah, tapi tak kena cara aje. Ika kan masih belajar.
Tentulah mak dia tak izinkan. Mama rasalah…dia takut Ika tak dapat
tumpukan pada pelajaran bila dah kahwin nanti.”
“Ma…Hakim tak ada niat pun nak suruh Ika berhenti belajar.
Hakim janji Hakim akan tetap bagi Ika dorongan selepas kahwin nanti.”
“Itu kata Hakim…manalah mak Ika tahu. Dia tak kenal Hakim
lagi.”
“Kenapa mak Ika tak macam mama? Berfikiran terbuka, sporting
dan boleh berkompromi.”
“Kim…Ika tu anak dia. Mestilah dia mahu yang terbaik untuk
anaknya. Mana ada mak yang nak tengok anaknya susah?”
Hajah Noraini memegang tangan Hakim. Berusaha untuk buat
Hakim faham. Dia tahu Hakim akan kecewa jika rancangan
perkahwinannya gagal. Masakan tidak, sejak dua tiga hari yang lepas
dia asyik bercerita tentang Syafika. Bagai tidak sabar-sabar untuk
hidup bersama Syafika. Hajah Noraini dan Haji Bahrin yang pada
mulanya menentang keras rancangan itu pun terpaksa akur akhirnya.
Mereka jadi tidak sampai hati pula apabila melihat kesungguhan
Hakim.
“Mama ni macam sokong aje tindakan mak Ika tu. Habis…mama
sukalah Hakim ni tak jadi kahwin, merana, frust menonggeng?” Hakim
menjeling Hajah Noraini. Sedikit berjauh hati dengan kata-kata
mamanya tadi.
“Hakim ni, nama aje dah besar panjang…tapi pemikiran macam
budak kecil. Siapa cakap mama suka tengok Hakim merana? Hakim
kan anak mama…tentulah mama nak tengok Hakim bahagia.”
Hajah Noraini senyum. Geli hati dengan kata-kata Hakim yang
agak keanak-anakan. Sebagai anak bongsu, Hakim memang manja.
Meskipun telah bekerja tapi sifat itu masih belum terhakis sepenuhnya.
Tapi dalam manja-manja pun, pandai pula cari teman wanita. Itu yang
buat Hajah Noraini pelik. Bagaimana agaknya Syafika melayan karenah
Hakim?
“Sebenarnya, mama berkenan sangat dengan Ika tu. Tapi kalau
mak dia tak izinkan, kita nak buat macam mana lagi? Hakim
bersabarlah. Bukan lama pun, dua tahun aje lagi.”
Hakim yang tidak bersetuju dengan kata-kata mamanya,
menoleh dengan muka yang mencuka.
“Mama, takkan nak suruh Hakim tunggu sampai dua tahun.
Hakim tak sanggup, ma. Lagipun Ika sendiri dah setuju nak kahwin.”
Yakin Hakim bersuara. Wajah mamanya ditatap dengan pandangan
penuh mengharap. Semoga mamanya tidak akan ubah keputusan
hanya disebabkan pendirian emak Syafika.
“Sekarang, apa Hakim nak buat?”
“Ma, Hakim tetap dengan keputusan Hakim. Hakim akan
teruskan rancangan perkahwinan ni. Lagipun, ayah Ika dah setuju
untuk mewalikan Ika. Nanti mama dan papa jumpa ayah Ika, ya?”
Lembut Hakim bersuara sambil memegang tangan mamanya. Agak
bimbang kalau-kalau hasrat murninya mendapat bantahan.
“Hakim dah habis fikir ke? Hakim pasti dapat jalankan
tanggungjawab suami dengan baik? Hakim pasti pelajaran Ika tak
terganggu?”
“Hakim yakin dengan diri Hakim, ma. Hakim akan buat yang
terbaik untuk Ika. Hanya Hakim nak minta restu mama dan papa aje.”
Hakim tahu dia masih muda. Kerja pun belum sampai setengah
tahun. Duit simpanan masih belum mencukupi untuk menyunting anak
dara orang. Tapi dia yakin dia akan dapat menjadi suami yang baik dan
bertanggungjawab. Dia akan pastikan hidup Syafika akan bahagia
bersamanya.
“Sebenarnya, mama agak keberatan untuk teruskan
perkahwinan ni. Mama tak nak kerana Hakim, hubungan Ika dengan
mak dia jadi renggang. Sebagai seorang ibu, mama turut rasa
bersalah. Tapi kalau dah itu kata putus Hakim, mama tak boleh buat
apa lagi. Nantilah mama bincangkan dengan papa.”
Hajah Noraini mengeluh. Serba salah. Memang sejak dari mula
lagi dia tidak bersetuju dengan rancangan Hakim. Walaupun
sayangkan Syafika dan ingin Syafika menjadi menantunya tapi bukan
sekarang. Seperti juga emak Syafika, dia mahu Syafika terlebih dahulu
menghabiskan pelajarannya. Dia juga mahu Hakim betul-betul
bersedia memikul tugas yang berat ini. Berkahwin bukan untuk
berseronok sahaja dan setakat sehari dua. Berkahwin seperti berkongsi
segala-galanya sepanjang hidup bersama.
Namun, Hakim terlalu terburu-buru. Hakim terlalu mengikut
darah muda. Kerana kedegilan Hakimlah, dia dan Haji Bahrin terpaksa
bersetuju. Tapi setelah mendengar berita terbaru tentang emak
Syafika, dia mula menjadi tidak sedap hati.
“Terima kasih, mama.” Hakim senyum. Rasa bahagia menyelinap
di dalam sanubarinya. Meskipun dia tahu jalan yang bakal dilalui
mungkin sukar, namun membayangkan Syafika, semua halangan akan
cuba ditempuh.

BALIK sahaja dari surau malam itu, Hakim terus mencapai telefon.
Sudah lama dia tidak menghubungi Luqman Hadi. Satu-satunya abang
yang dia ada.
“Hakim…how’s papa and mama?” ceria kedengaran suara Hadi.
Tidak menduga Hakim akan menelefonnya. Selalunya dia yang rajin
membuat panggilan. Kerapkali juga dia mengusik adiknya kedekut
kerana bimbang kena bayar bil yang tinggi.
“Semua okey, bang. Macam mana London sekarang?”
“Macam tulah…” Hadi ketawa. Tapi selepas itu dia dapat
menangkap suara Hakim yang kurang bermaya.
“Lain macam aje suara Hakim…kenapa? Hakim ada problem ke?”
“Bang…mungkin abang akan terkejut dengan berita yang akan
Hakim sampaikan ni.”
“Apa dia? Takkan Hakim nak kahwin kot?” Hadi ketawa. Sengaja
mengusik Hakim.
“Betul bang…Hakim nak kahwin.” Perlahan suara Hakim kali ini.
“Are you serious?” Hadi separuh menjerit. Tidak percaya dengan
dengan apa yang didengar.
Dia yang empat tahun lebih tua pun belum bercadang mencari
pasangan. Inikan pula Hakim. Lagi pula dia sering menganggap Hakim
anak manja. Kalau sudah asyik berkepit dengan mama, macam mana
hendak kahwin?
“Kenapa abang ketawa?” Hakim terasa hati. Hadi seolah-olah
menyindirnya.
“Abang rasa macam tak percaya.” Hadi ketawa lagi. Spontan
terbayang keletah Hakim yang nakal sewaktu kecil dahulu. Begitu
cepat masa berlalu.
Hakim diam. Membiarkan Hadi menyudahkan saki-baki tawanya.
Rasa kecil hati dengan tawa Hadi membuatkan dia berasa menyesal
kerana menghubungi abangnya. Sangkanya Hadi akan gembira dan
seterusnya memberi dia sokongan. Namun, dia silap. Rupa-rupanya
Hadi lebih berminat mempersendakannya.
“Hakim marah abang ke?” tanya Hadi setelah menyedari
keadaan Hakim.
“Tak…ketawalah bang. Hakim tak kisah. Itu hak abang.”
“Eh! Lain macam aje bunyinya ni. Takkan merajuk kot. Tadi kata
nak kahwin. Tapi kalau abang gurau macam ni pun Hakim dah tak
tahan, macam mana kalau dah kahwin nanti?” Hadi berkata lembut.
Cuba mengambil hati adiknya.
“Cuma satu aje yang abang musykilkan. Orang, kalau nak kahwin
mestilah seronok. Tapi dari suara Hakim, abang tahu Hakim tak
gembira. Kenapa ni? Hakim kena paksa kahwin ke?”
Sejak tadi, Hadi menyedari nada suara Hakim yang berlainan
dari biasa. Selalunya Hakim tidak begitu. Hakim yang dikenali adalah
seorang yang periang dan gemar bergurau.
“Ada masalah sikitlah, bang…”
Lalu Hakim menceritakan secara terperinci tentang masalah
Syafika. Dari A hingga Z. Apa yang dia tahu, semua diceritakan. Hadi
hanya berupaya memberi nasihat dan meminta supaya Hakim banyak
bersabar.
“Abang harap semuanya akan berjalan dengan baik.”
“InsyaALLAH, bang. Hakim pun harap macam tu.”
“So…bila tarikhnya?”
“Bulan depan. Masa Ika cuti semester.”
“Tak dapatlah abang tengok Hakim naik pelamin. Kebetulan
abang ada trip masa tu.”
“Hakim pun sedih abang tak dapat balik masa kami kahwin
nanti,” ucap Hakim dengan nada sayu.
“Tak apa Hakim…abang beri restu dari jauh.”

MI HAILAM di dalam pinggan masih lagi berasap namun telah hampir


habis dimakan oleh Nora. Syafika hanya memerhati. Seronok melihat
selera makan Nora. Agaknya beginilah kalau hidup tanpa dibelenggu
masalah. Bukan macam dia. Apa yang dimakan langsung tidak dapat
memberi nikmat. Mi tom yam yang kegemarannya pun sudah tidak
mampu membangkitkan nafsu makannya lagi. Hanya dua sudu yang
masuk ke mulut, itu pun terasa tawar dan hambar.
“Ika, makanlah. Mi tom yam ni kan favourite kau?” tutur Nora.
Pandangannya dilemparkan ke arah pinggan yang masih banyak
berbaki.
“Kau makan ajelah, Nora. Aku tak ada selera.,” balas Syafika
sambil menolak pinggan pada Nora.
“Ika…masalah…masalah jugak tapi kau tak bolehlah macam ni.
Kau kena makan. Kalau kau terus macam ni, aku takut kau jatuh sakit
pulak nanti.” Nora menolak semula pinggan pada Syafika.
“Nora, mak aku langsung tak nak cakap dengan aku. Tengok
muka aku pun dia tak nak. Benci sungguh dia kat aku. Aku tak sangka,
mak sanggup buat aku macam ni.”
“Sabar Ika…”
“Aku tak tahu sampai bila aku boleh bertahan, Nora.”
“Lambat laun dia akan okey semula. Percayalah cakap aku. Dia
marah sekejap aje tu. Janganlah risau sangat.” Nora cuba memujuk.
“Nora, besar sangat ke salah aku? Takkan sekadar nak kahwin,
mak sampai buat aku macam ni?”
“Sebenarnya, Mak Uda bukan tak izinkan kau orang kahwin,
cuma dia mintak kau tunggu hingga tamat belajar. Yalah…kau anak
dia. Tentulah dia nak yang terbaik untuk anaknya.”
“Tapi Nora…sekarang ni ramai orang kahwin masa tengah
belajar. Okey aje aku tengok. Berjaya jugak. Yang penting, usaha yang
berterusan walaupun dah ada tanggungjawab terhadap pasangan.
Betul tak, Nora?”
“Betul jugak apa yang kau cakap tu. Tengok macam Anis dan
Syamir atau Arif dan Safina. Lepas kahwin, dia orang lagi bersemangat
untuk belajar. Tak timbul masalah langsung,” gumam Nora.
Memandang Syafika sebentar sebelum menyedut jus karot. Sekelip
mata sahaja gelas yang penuh tadi menjadi kosong.
“Aku dah terangkan kat mak aku. Aku siap bagi contoh sekali tapi
mak aku langsung tak nak dengar. Dia tetap dengan keputusannya.
Hati dia memang keras sangat Nora. Sia-sia aje aku pujuk rayu dia.
Tapi aku bersyukur. Sekurang-kurangnya ayah merestui aku,” ucap
Syafika sambil membayangkan wajah Saifuddin.
Sesungguhnya, dia amat berterima kasih dengan ayahnya. Kalau
tidak, sudah pasti impiannya bersama Hakim tidak akan kesampaian.
Sampai bila-bila pun, dia tidak akan lupa jasa ayah. Ayah yang amat
memahami dirinya.
“Ika, aku yakin, suatu hari nanti mak kau akan terima kau
semula. Kau percayalah cakap aku.”
“Aku pun harap macam tu.”
Syafika menghela nafas. Terasa semuanya seperti mimpi. Ketika
dia sedang membilang hari untuk melayari hidup bersama Hakim, dia
terpaksa menerima hakikat yang dia akan ‘kehilangan’ ibu tercinta.