Anda di halaman 1dari 16

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05)

APLIKASI PERISIAN MULTIMEDIA BUILDER 4.9 DALAM PEMBANGUNAN KOSWER HYPERMEDIA: PENYALUR DAYA KREATIVITI Oleh: Mohd. Nizam Hj. Nasrifan Jabatan Muzik Fakulti Seni & Muzik Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak mnizam@upsi.edu.my / nsnizam@yahoo.com

Abstrak Pembinaan hypermedia merupakan suatu contoh aplikasi penggunaan ICT sebagai alat pemikiran (cognitive tool). Ia selari dengan pendekatan konstruktivisme yang menekankan kemahiran membina pengetahuan sendiri, seterusnya mengaplikasikan kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif. Dalam kajian ini, pelajar yang sedang mengikuti Kursus Multimedia Dalam Pendidikan Muzik peringkat Sarjana didedahkan kepada aktiviti membina alat bantu mengajar berbentuk koswer hypermedia menggunakan perisian pengarangan yang amat berkesan dan mudah digunakan (user friendly), iaitu Multimedia Builder 4.9. Seramai 10 orang pelajar mengikuti kursus ini selama satu semester. Hasil kajian mendapati para pelajar berjaya menghasilkan koswer yang menarik dan berdaya kreatif yang tinggi, malah turut mempelajari dan mengaplikasikan kemahiran dalam mengguna pelbagai peralatan dan perisian lain yang berkaitan yang tidak pernah dipelajari di dalam kelas. Mereka turut menunjukkan minat yang tinggi dalam membangun dan merekabentuk bahan pembelajaran berasaskan hypermedia selain terlibat secara aktif di dalam proses pembelajaran.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) Pengenalan Perkembangan teknologi moden dan penggunaan teknologi maklumat

berperantaraan komputer di dalam bidang pendidikan semakin pesat di Malaysia. Komputer dikatakan sebagai peralatan yang sangat penting dalam membantu pelajar dan guru sama ada dalam pengajaran dan pembelajaran. Hasrat kerajaan melalui rangka Rancangan Kementerian Pendidikan bagi tempoh 1996, pembudayaan teknologi maklumat dijadikan sasaran utama kepada pelajar-pelajar semenjak di peringkat sekolah (Mazlan Hamzah, 2000). Pengaruh

penggunaannya kini semakin meluas di dalam pengajaran dan pembelajaran kerana keupayaannya dalam menyampaikan isi kandungan pembelajaran dengan lebih cekap dan menarik. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan telah diperkenalkan sejak awal tahun 60-an lagi (Tengku Zawawi, 2000). Banyak institusi tinggi atau pun sekolah turut sama berusaha menggunakan perkembangan teknologi ke dalam pendidikan . Guru-guru diberi penyediaan dari segi pengetahuan dan kemahiran ICT melalui kursus-kursus di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran. Tidak kurang juga guruguru melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama, Ijazah Sarjana dan

Ijazah Kedoktoran di bidang berkenaan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris, selain dari menawarkan kursus yang khusus dalam bidang komputer di Fakulti Sains Dan Teknologi, fakulti-fakulti lain juga menawarkan kursus yang berkaitan di peringkat jabatan masing-masing. Jabatan Muzik, Fakulti Seni Dan Muzik menawarkan kursus Teknologi Pendidikan Muzik di peringkat Ijazah Pertama dengan mendedahkan pelajar dengan penggunaan komputer sebagai medium utama untuk penulisan skor lagu dan penggubahan muzik. Di peringkat Ijazah Sarjana ditawarkan kursus SPM 6413 Multimedia Dalam Pendidikan Muzik dengan fokus kearah pembangunan koswer hypermedia

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) interaktif sebagai alat bantuan mengajar Pendidikan Muzik di sekolah. Pembangunan hypermedia tersebut berasaskan perisian pengarangan tertentu.

Definisi Operasi Hypermedia dan Hyperteks Jonassen (1996) mendefinisikan hypermedia sebagai integrasi antara pelbagai elemen dalam multimedia dan hyperteks. Antara elemen dalam multimedia ialah teks, grafik, animasi, audio dan video, manakala hyperteks pula didefinisikan sebagai kaedah yang bukan linear dalam mengorganisasi dan memaparkan teks. Berdasarkan definisi tersebut, dapatlah difahami bahawa secara ringkasnya hypermedia bermaksud integrasi teks, grafik, animasi, audio, video, dan hyperteks.

Pembinaan hypermedia sebagai alat pemikiran kritis dan kreatif Dapatan kajian berkaitan strategi pengajaran dan pembelajaran memperlihatkan bahawa aktiviti pembelajaran berpusatkan pelajar terbukti berkesan dalam menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah (Brush dan Saye, 2001), selain berperanan sebagai alat yang mewakili keupayaan kognitif dan tahap pengetahuan sebenar pelajar (Chen dan McGrath, 2003). Dalam menggalakkan strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berpusatkan pelajar, integrasi ICT amat dialu-alukan. Antara contoh integrasi ICT dalam menggalakkan strategi P&P berpusatkan pelajar ialah aktiviti membangun koswer hypermedia. Dalam aktiviti ini, pelajar diberi peranan sebagai penulis ilmu (authors of knowledge) yang bertanggungjawab menentukan arah pembelajaran mereka sendiri. Berbeza dengan pendekatan pembelajaran berpusatkan guru, aktiviti ini memberi lebih peluang kepada pelajar menentukan objektif pembelajaran dan strategi mencapai objektif pembelajaran tersebut. Dalam hal ini, pelajar mengambil alih peranan guru dalam merancang, menyusun, menganalisis, dan menilai isi kandungan pelajaran. Secara tidak langsung, pelajar diberi tanggungjawab sepenuhnya terhadap aktiviti pembelajaran mereka dan tidak hanya bergantung kepada guru semata-mata

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) Selain itu, Jonassen (1996) menyatakan bahawa aktiviti membina koswer berasaskan hypermedia menuntut pelajar memaksimumkan keupayaan dan kemahiran berfikir peringkat tinggi seperti yang digariskan dalam Taksonomi Bloom iaitu kemahiran menganalisis, mensistesis dan menilai. Ini kerana pelajar digalakkan untuk menganalisis, mensistesis dan menilai maklumat yang didapati untuk menghasilkan suatu koswer yang baik. Ia juga merupakan satu contoh penggunaan ICT sebagai alat pembinaan pengetahuan (MindTools) sepertimana yang digariskan oleh Jonassen (1996) dalam Jadual 1.

Jadual 1 Ciri-ciri alat pembinaan pengetahuan (MindTools). Sumber: Jonassen (1996)

Ciri-ciri alat pembinaan pengetahuan (MindTools) 1. Berasaskan computer

Penerangan

- Hanya perisian aplikasi berasaskan komputer sahaja dianggap sebagai MindTools

2.

Mudah didapati

- Perisian aplikasi mesilah sedia ada, mudah didapati dan bersifat umum.

3.

Mampu dimiliki

- Perisian aplikasi mesti bersifat mampu dimiliki oleh semua golongan, contohnya aplikasi Microsoft Office dan shareware

4.

Bersifat membina pengetahuan

- Perisian aplikasi boleh digunakan untuk membina dan berupaya menunjukkan atau mewakili tahap pengetahuan individu

5.

Bersifat umum

- Perisian aplikasi dapat digunakan dalam semua bidang ilmu seperti sains tulen, sains social, kesusasteraan dan sebagainya, dan tidak terbatas kepada hanya satu bidang

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) tertentu sahaja

6.

Pemikiran kritis

- Perisian aplikasi berupaya memimpin pelajar untuk berfikiran kritis dan pembelajaran yang bermakna, bukan hanya sekadar untuk mempersembahkan maklumat daripada buku teks dan sumber lain dalam bentuk media

7.

Pemindahan pengetahuan

- Perisian aplikasi berupaya membina pengetahuan dan kemahiran individu yang boleh digeneralisasi dan diaplikasi ke dalam pelbagai bidang lain

8.

Mudah tetapi berkeupayaan tinggi

- Perisian aplikasi harus mudah (simple) tetapi mampu membina kemahiran berfikir tahap tinggi. Contohnya, pembinaan pangkalan data yang boleh dibina dengan perisian Microsoft Access yang mudah, tetapi aktiviti ini mampu mencabar pemikiran kritis pelajar

9.

Mudah dipelajari

- Perisian aplikasi harus bersifat mudah dipelajari oleh pelajar.Ia bertujuan mengelakkan pelajar menumpukan perhatian yang lebih kepada mempelajari perisian tersebut semata-mata, sedangkan objektif pengajaran sebenar yang disasarkan tidak tercapai. Sebaik-baiknya, perisian aplikasi tersebut dapat dipelajari dalam masa yang singkat, contohnya antara 2-3 jam.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) Latar belakang kajian Kajian ini dijalankan keatas pelajar yang mengikuti kursus SPM 6413 Multimedia Dalam Pendidikan Muzik peringkat Ijazah Sarjana di makmal komputer Jabatan Muzik, Fakulti Seni Dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultn Idris, Tanjong Malim.Salah satu objektif kursus ini ialah mendedahkan pelajar kepada beberapa perisian asas berkaitan pemprosesan perkataan, helaian elektronik, pangkalan data dan persembahan maklumat. Objektif utama kursus ini pelajar-pelajar dapat membangunkan satu koswer hypermedia interaktif yang berkaitan dengan Pendidikan Muzik untuk dijadikan bahan pengajaran di sekolah atau di maktab. Seramai 10 orang responden (pelajar) terlibat dalam kajian ini yang mengikuti kelas tersebut setiap Sabtu dari pukul 8.00 hingga 11.00 pagi (3 jam). Mereka diminta menghasilkan satu koswer hypermedia menggunakan perisian Multimedia Builder 4.9 dalam masa 14 minggu. Minggu pertama hingga minggu kelima dikhususkan untuk tajuk yang berkaitan dengan elemen-elemen hypermedia seperti hyperteks, audio, video dan animasi. Pelajar-pelajar didedahkan kaedah memformatkan teks, suntingan audio video, dan penciptaan animasi dengan menggunakan perisian-perisian tertentu seperti Ulead 3D, Ulead Video Studio, Swish Max dan lalin-lain. Minggu keenam dikhaskan untuk pembentangan projekprojek suntingan audio, video dan penghasilan animasi. Pengetahuan dan kemahiran dalam pembinaan dan penyuntingan elemen-elemen multimedia tersebut sangat berguna sebagai penyediaan bahan dalam projek pembangunan koswer hypermedia interaktif kelak. Seterusnya 7 minggu diperuntukkan untuk pelajar mendalami penggunaan perisian Multimedia Builder 4.9 sebagai tapak pembinaan koswer hypermedia Pendidikan Muzik. Mereka juga diminta untuk memformatkan koswer tersebut dalam bentuk autorun CD-ROM. Koswer hypermedia yang dihasilkan dinilai sebagai sebahagian tugasan pelajar.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) Responden Kajian Responden kajian ini merupakan 10 pelajar semester 1 Ijazah Sarjana Pendidikan Muzik 2005 yang mengikuti kursus SPM6413 Multimedia Dalam Pendidikan Muzik selama 14 minggu bermula Julai 2005 hingga Oktober 2005. Analisa data daripada soalselidik taksiran keperluan (need assessment) sebelum kajian bermula mendapati kesemua responden tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran lansung menggunakan perisian Multimedia Builder 4.9. Hanya 5 orang (50%) responden berpengalaman menggunakan Microsoft PowerPoint untuk membina presentation sebagai bahan mengajar di sekolah.

Soalan Kajian Kajian ini cuba menjawab soalan-soalan berikut: 1. Adakah pelajar dapat menguasai kemahiran menggunakan perisian Multimedia Builder 4.9 untuk membangunkan koswer hypermedia? 2. Sejauhmana pelajar mengaplikasi kemahiran kritis dan kreatif semasa membangunkan koswer hypermedia menggunakan perisian Multimedia Builder 4.9?

Mengapa Multimedia Builder 4.9 dipilih? Terdapat beberapa rasional perisian ini dipilih, antaranya: 1. Ia merupakan suatu perisian yang mudah diperolehi. Perisian ini boleh dimuat turun secara percuma di laman web syarikat yang membangunkannya iaitu di www.mediachance.com dan boleh diinstall ke dalam setiap sistem komputer di sekolah-sekolah. Ini bermakna guru tidak perlu mencari perisian lain yang mungkin sukar diuruskan, terutama dari segi pelesenan perisian. 2. Fungsi-fungsi yang disediakan adalah bersifat mudah digunakan (user friendly) dan mudah dipelajari dalam masa yang singkat. Ini membolehkan guru menghasilkan seberapa banyak bahan pengajaran dalam jangkamasa singkat.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) 3. Ia membenarkan integrasi elemen teks, grafik, animasi, audio, video dan hyperlink dengan cara yang lebih ringkas berbanding perisian multimedia lain seperti Macromedia Flash, Swish dan sebagainya.

Kaedah Kajian Kajian ini mengadaptasi model rekabentuk ADDIE (Analysis Design Development Implementation Evaluation). Terdapat 5 fasa dalam model ini iaitu (1) Analisis, (2) Rekabentuk, (3) Pembangunan, (4) Pelaksanaan dan (5) Penilaian.

Soalselidik taksiran keperluan (need assessment analysis) digunakan dalam fasa analisis untuk mengenalpasti keperluan pelajar (responden), manakala perancangan dan persediaan rapi berkaitan kajian ini, termasuk kuliah, tutorial dan latihan-latihan telah dilakukan dalam fasa rekabentuk dan fasa pembangunan. Dalam fasa pelaksanaan, pelajar terlibat dalam membina koswer hypermedia menggunakan perisian Multimedia Builder 4.9, manakala dalam fasa penilaian, aspek kognitif pelajar yang melibatkan pemikiran kritis dan kreatif dinilai dari masa ke masa. Masa yang diambil untuk melakukan kajian ini adalah selama 14 minggu. Minggu pertama hingga minggu kelima dikhususkan untuk tajuk yang berkaitan dengan elemen-elemen hypermedia seperti hyperteks, audio, video dan animasi. Minggu keenam dikhaskan untuk pembentangan projek-projek suntingan audio, video dan penghasilan animasi. Seterusnya 7 minggu diperuntukkan untuk pelajar mendalami penggunaan perisian Multimedia Builder 4.9 sebagai tapak pembinaan koswer hypermedia Pendidikan Muzik. Minggu terakhir diperuntukkan untuk sesi pembentangan hasil projek koswer dan pensyarah-pensyarah Jabatan Muzik serta pensyarah dari fakulti lain turut sama dijemput mengikuti pembentangan seterusnya memberi penilaian dan komen.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) Kaedah Pengumpulan Data Kajian ini memfokuskan kepada kaedah pemerhatian dan temubual sebagai kaedah utama pengumpulan data. Pemerhatian dilakukan setiap kali kelas pengajaran, iaitu 1 kali seminggu. Setiap waktu pengajaran ialah 3 jam. Temubual pula dilakukan secara rambang dengan beberapa pelajar semasa dan selepas pemerhatian dilakukan untuk memastikan kesahan pemerhatian yang dilaksanakan sebelum ini. Manakala kaedah penilaian produk yang dihasilkan pelajar digunakan untuk mengenalpasti kemahiran menggunakan Multimedia Builder 4.9 selain bagi tujuan triangulation. Analisis data dibuat secara deskriptif menggunakan kaedah frekuensi dan peratusan.

Dapatan dan Perbincangan Bahagian ini membincangkan dapatan kajian yang menjurus kepada 2 persoalan utama iaitu kemahiran menggunakan perisian pengarangan Multimedia Builder 4.9 dan kemahiran pemikiran kritis dan kreatif hasil daripada aktiviti membangunkan koswer hypermedia.

Kemahiran menggunakan perisian Multimedia Builder 4.9 Perisian Multimedia Builder 4.9 sering digunakan di negara luar seperti Amerika untuk menyampaikan sesuatu maklumat dalam bentuk yang menarik perhatian umum dan digunakan untuk tujuan pengarangan (authoring). Ini disebabkan perisian ini lebih mudah diaplikasikan dan menawarkan ciri-ciri interaktiviti yang lebih menarik. Penyelidik juga berpendapat perisian Multimedia Builder 4.9 merupakan asas kepada kemahiran mengarang yang boleh menggabungkan hasil kerja perisianperisian lain untuk menjadikan sebuah presentation atau koswer pempelajaran interaktif. Ini kerana ia lebih mudah dipelajari dalam masa yang singkat, selain menawarkan interaktiviti paling asas menggunakan ciri animasi yang disediakan. Ciri ini sangat penting terutama dalam usaha memperkenalkan kemahiran

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) mengarang kepada mereka yang tidak mempunyai asas mengarang koswer sepertimana responden kajian ini. Di antaraa tajuk/skop koswer hypermedia interaktif Pendidikan Muzik Yang dihasilkan ialah: 1. Mari Mengenal Gitar 2. Teknik Rekoder 3. Teknik Trumpet 4. Angklung 5. Dikir Barat 6. Teknik Nyanyian 7. Klasifikasi Alat Muzik

Berdasarkan analisis terhadap koswer hypermedia yang dihasilkan menunjukkan pelajar telah berjaya mencapai tahap cemerlang (fluent users) dalam menggunakan perisian tersebut. Tahap kecemerlangan ini diukur berdasarkan nilai min 94.2%. Ia diukur dengan kebolehan pelajar memasukkan teks, bunyi, grafik dan animasi dalam frame.

Selain itu, mereka juga menunjukkan kemahiran pengarangan yang baik, terutama dalam menyediakan pautan (link) antara slaid persembahan. Sebagai contoh, setiap isi kandungan yang dipaparkan dalam slaid menu utama akan dihubungkan dengan slaid yang berkenaan menggunakan butang-butang pautan tertentu. Begitu juga, setiap slaid yang mengandungi isi kandungan tertentu dihubungkan dengan menu utama melalui satu butang tertentu. Kebolehan ini secara tidak langsung menunjukkan keupayaan merancang dan merekabentuk koswer. Malah mereka juga telah berjaya menyediakan storyboard yang merupakan salah satu keperluan dalam membangunkan koswer hypermedia.Ini menunjukkan para pelajar tersebut telah membuat perancangan yang rapi dan teliti sebelum membangunkan koswer terutama dalam menetapkan merancang objektif pengajaran dan pembelajaran, isi kandungan dan aktiviti pembelajaran yang sesuai.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05)

Selain menghasilkan pautan antara slaid ke slaid dalam perisian yang sama, mereka juga berjaya menggabungjalinkan perisian tersebut dengan perisian lain. Contohnya, salah satu kumpulan pelajar tersebut telah menghubungkan perisian tersebut dengan perisian Microsoft Office dan Acrobat Reader untuk tujuan aktiviti menulis dan membaca. Keupayaan kumpulan ini menggabungjalin Multimedia Builder 4.9 dengan program lain adalah suatu pencapaian yang tidak diduga memandangkan pemerhatian yang dijalankan di peringkat awal mendapati kemahiran mereka dalam menggunakan komputer amat rendah dan perisian tersebut tidak pernah langsung didedahkan semasa ini

Berdasarkan analisis terhadap hasil projek, bolehlah dirumuskan bahawa pelajarpelajar telah menunjukkan keupayaan yang tinggi dalam penggunaan Multimedia Builder 4.9 sebagai tapak bagi penghasilan koswer hypermedia interaktif Pendidikan Muzik.

Aplikasi kemahiran pemikiran kritis dan kreatif Kemahiran kritis dan kreatif pelajar dalam menghasilkan koswer ini diukur menggunakan kriteria yang adaptasi daripada kajian Carver, Lehrer, Connell dan Erickson (1992) dan Jonassen (1996). 5 kriteria utama pemikiran kritis dan kreatif kajian ini : (1) kemahiran pengurusan projek, (2) kemahiran penyelidikan, (3) kemahiran organisasi dan pewakilan maklumat, (4) kemahiran persembahan maklumat, dan (5) kemahiran refleksi.

Hasil analisis data adalah seperti berikut: a. Kemahiran Pengurusan Projek Terdapat 3 elemen yang dinilai dalam kemahiran ini iaitu (1) penyediaan pelan tindakan (action plan)

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) (2) menentukan sumber bahan (3) pengagihan tugas kepada setiap ahli kumpulan. Data yang diperolehi menunjukkan 7 daripada 10 pelajar menyediakan pelan tindakan (timeline) atau carta alir bagi projek yang akan dilaksanakan. Manakala kesemua pelajar berjaya mengagihkan sumber, masa dan tugas yang akan dilakukan sepanjang tempoh menghasilkan projek selama 7 minggu itu dengan baik. Ini menunjukkan kemahiran menguruskan projek adalah adalah memuaskan

b. Kemahiran Penyelidikan Terdapat 5 elemen yang dinilai dalam kemahiran ini iaitu (1) mengenalpasti masalah dan cara penyelesaiannya (2) menanyakan soalan berkaitan masalah (3) mencari maklumat daripada sumber bercetak dan elektronik, (4) membina maklumat baru melalui kaedah tinjauan, cuba-jaya, eksplorasi, temubual dan sebagainya. (5) menganalisis dan menginterpretasi maklumat yang dikumpul untuk mendapatkan corak tertentu sesuatu maklumat. Data menunjukkan kesemua pelajar mengaplikasikan kesemua elemen dalam kemahiran penyelidikan. Mereka banyak menghadapi masalah pada peringkat permulaan disebabkan ianya merupakan sesuatu yang baru, tetapi kesemuanya dapat diselesaikan melalui menanyakan soalan kepada pensyarah, berbincang dengan rakan, mencari maklumat-maklumat melalui buku manual dan menggunakan kaedah cuba-jaya (try and error) serta melakukan eksplorasi sendiri di rumah.

c. Kemahiran Organisasi Dan Pewakilan Maklumat Terdapat 4 elemen yang dinilai dalam kemahiran ini iaitu (1) membuat perancangan untuk menyusun maklumat agar mudah difahami, (2) membuat keputusan bagaimana menyampaikan maklumat dengan berkesan menggunakan teks, grafik, video dll.,

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) (3) membuat keputusan bagaimana maklumat diorganisasi (secara hirarki, linear atau link), (4) menghadapi dan menangani halangan. Data menunjukkan kesemua pelajar mengaplikasikan kesemua elemen dalam kemahiran organisasi dan pewakilan maklumat. Ini menunjukkan kesemua pelajar berjaya mengaplikasikan sepenuhnya kemahiran mengorganisasi dan pewakilan maklumat dengan baik.

d. Kemahiran Persembahan Maklumat Kemahiran ini dinilai berdasarkan 3 elemen, iaitu (1) memetakan rekabentuk maklumat ke dalam media persembahan, (2) mengintegrasikan elemen multimedia dalam media persembahan, dan (3) menarik dan mengekalkan minat pengguna terhadap persembahan. Data daripada pemeriksaan hasil projek menunjukkan kesemua pelajar menunjukkan kemahiran mempersembahkan maklumat secara kreatif dan mudah difahami. Tahap kekreatifan ini diperincikan lagi dengan penilaian terhadap produk yang dihasilkan dimana mereka telah mendapat gred B ke atas.

e. Kemahiran Refleksi Kemahiran ini dinilai berdasarkan 2 elemen, iaitu (1) menilai keberkesanan produk yang dihasilkan dan proses yang terlibat, dan (2) membaiki rekabentuk produk berdasarkan maklumbalas yang diterima. Melalui pembentangan persembahan di akhir minggu ke 14, 4 pensyarah Jabatan Muzik UPSI dan 2 orang pensyarah dari Jabatan lain yang berkaitan dengan multimedia pendidikan telah menilai keberkesanan produk dan memberi komen-komen yang membina bagi menambahbaikkan hasil koswer hypermedia pelajar-pelajar tersebut. Terdapat 2 koswer yang dihasilkan telah diperakukan tanpa dibaiki manakala selebihnya memerlukan minor correction dan telah dihantar semula pada minggu berikutnya.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) Kesemua data di atas menunjukkan bahawa kemahiran kritis dan kreatif pelajar amat terserlah semasa melaksanakan aktiviti penyelidikan bahan, persembahan bahan tersebut dan refleksi terhadap bahan yang dihasilkan. Ini kerana kesemua aktiviti ini melibatkan perancangan yang rapi berkaitan penyusunan bahan, pemilihan perkataan, dan animasi yang sesuai agar mudah difahami oleh pengguna serta memaksimumkan kekreatifan individu agar bahan tersebut mampu menarik minat pengguna, di samping dapat mencapai objektif yang digariskan dengan berkesan.

Salah satu aspek yang sangat jelas dapat diperhatikan ialah pelajar amat menitikberatkan aspek ketepatan maklumat yang dipersembahkan. Kebanyakan pelajar didapati merujuk kepada kurikulum sebenar yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai panduan isi kandungan koswer. Mereka juga didapati sentiasa peka terhadap keperluan bakal pengguna koswer mereka. Situasi ini amat ketara semasa dalam sesi perbincangan kumpulan di peringkat perancangan dan merekabentuk koswer tersebut. Secara tidak langsung, ia menunjukkan pelajar berupaya mengaplikasi kemahiran menganalisis, mensintesis dan menilai yang dinyatakan dalam taksonomi Bloom.

Selain itu, pelajar juga didapati mempunyai daya kreativiti yang amat membanggakan. Sebagai contoh, mereka bukan setakat memasukkan bunyi yang sedia ada yang dijual dalam CD ke dalam slaid persembahan, malah mengambil inisiatif merakam sendiri suara mereka dan pelbagai bunyi-bunyian lain di sekitar mereka menggunakan mikrofon dan perisian Sound Recorder yang sedia ada di dalam komputer masing-masing. Keupayaan mengolah bahan yang terdapat di sekeliling mereka sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran mereka ini juga satu pencapaian yang menunjukkan kemahiran kritis dan kreatif yang tinggi.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05) Kesimpulan Aktiviti membina koswer hypermedia interaktif dengan menggunakan perisian Multimedia Builder 4.9 terbukti mampu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif. Selain itu, ia turut menggalakkan pelajar mengaplikasikan dan mengintegrasikan pengetahuan yang diperolehi dalam pelbagai kurikulum lain ke dalam koswer hypermedia mereka. Ia juga berjaya menyuntik motivasi dalaman (intrinsic) ke dalam diri pelajar untuk meningkatkan kemahiran mengguna pelbagai perisian dan perkakasan komputer. Motivasi ini amat penting dalam memupuk falsafah pembelajaran sepanjang hayat yang merupakan asas mewujudkan masyarakat berpengetahuan (k-society) yang ditekankan oleh Malaysia selama ini.

Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran konstruktivis sosial (social constructivism) yang menekankan kepada pembinaan pengetahuan dan kemahiran secara bersama melalui interaksi sosial dengan rakan sebaya. Mereka banyak berbincang dan bertukar-tukar pendapat sesama mereka bagi menyelesaikan masalah dan berusaha bersama-sama bagi menghasilkan koswer hypermedia interaktif Pendidikan Muzik yang bermutu.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ini, pensyarah memainkan peranan yang sangat penting. Pensyarah bukan sekadar merancang dan melaksanakan aktiviti seumpama ini, malah harus sentiasa bersedia membimbing pelajar terutama di peringkat perancangan projek dan di peringkat membangunkan koswer. Dalam konteks kajian ini, kuliah dan tutorial yang dilaksanakan di peringkat awal menjadi pembimbing asas kepada pelajar dalam menguasai teknik asas perisian Multimedia Builder 4.9 tersebut dan secara amnya penyelidik berpendapat bahawa penggunaan perisian ini telah menjadi penyalur dan penggalak daya kreativiti pelajar bagi penghasilan koswer hypermedia interaktif Pendidikan Muzik.

Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005 (MusEd05)

Rujukan Brush,T. & Saye, J. (2001). The use of embedded scaffolds with hypermediasupported studentcentered learning. Journal of Educational Multimedia and Hypermedia, 10(24), p333

Carver,S.M., Lehrer,R., Connell,T. & Erickson,J. (1992). Learning by hypermedia design: Issues of assessment and implementation. Educational Psychologist, 27(3), p236

Chen,Der-Thang, Hsu,Jackie J.F. & Hung,D. (2000). Learning theories and IT: The computer as a tool. Dalam William, M.D. (2000). Integrating technology into teaching and learning: Concepts and applications: An Asia-Pacific perspective. Singapore: Prentice Hall

Chen, P. & McGrath,D. (2003). Knowledge construction and knowledge representation in high school students design of hypermedia documents. Journal of Educational Multimedia and Hypermedia, 12(29), p233

Jonassen, D.H. (1996). Computers as MindTools for schools: Engaging critical thinking 2nd ed. New Jersey: Prentice Hall Kommers, P., Jonassen, D. H. & Mayes T. (Eds.). (1992). Cognitive tools for learning. Heidelberg FRG: Springer-Verlag. Salomon, G. (1993). On the nature of pedagogic computer tools. The case of the wiring partner. In S.P. LaJoie & S.J. Derry (Eds.), Computers as cognitive tools. Hillsdale, NJ: Lawrence Erlbaum Associates.