Anda di halaman 1dari 15

MEMBINA GENERASI MASJID

Disusun oleh: Bahagian Penerbitan JAKIM

PENDAHULUAN

PERSEPSI sesetengah remaja Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak
terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-
mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan
perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di
tempat itu.
Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja
terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam
menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya
sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan para remaja
serta masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar
pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik
masyarakat Islam terutamanya para remaja untuk mengunjungi masjid-masjid.

Para remaja perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci,
yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan
Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan
penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan
perpaduan umat Islam setempat.

Sesuai dengan kemuliaan dan kebersihannya, masjid adalah tempat paling


cocok untuk solat, beri’tikaf, membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan
sebagainya. Pendek kata kerja mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk
ibadat amatlah dituntut. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah at-
Taubah ayat ke-18 yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah


terdiri daripada orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat,
mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah. (Dengan
adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi
golongan yang mendapat petunjuk.”

Abu Said al- Khudri mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda


maksudnya:
“Apabila kamu melihat seseorang itu rajin ke masjid, maka hendaklah kamu
menjadi saksi bahawa dia benar-benar beriman.”

Berdasarkan keterangan yang tersebut di atas tadi, maka jelaslah kepada kita
bahawa masjid mempunyai fungsi yang besar sebagai institusi masyarakat
Islam setempat yang penting, untuk membangun jiwa dan keperibadian Islam
yang baik.

Para remaja wajib mencintai masjid, memakmurkannya dengan cara selalu


hadir ke masjid untuk tujuan solat berjemaah dan melakukan i’tikaf, berzikir,
membaca al-Quran dan sebagainya. Di samping itu mengikuti majlis-majlis
ilmu dan turut menjayakan apa jua aktiviti yang mendatangkan manfaat dan
kebaikan kepada Islam dan umatnya.

FUNGSI MASJID PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W.

Setelah Rasulullah (s.a.w.) berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina


masjid Quba’, yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan
agama Islam. Jika diperhatikan walaupun hanya beberapa hari Rasulullah
(s.a.w.) berada di Quba’, dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah
berusaha membina masjid.

Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat


sembahyang maka sudah tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera,
tetapi oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) melihat masjid memberikan pengertian
yang lebih besar maka Rasulullah (s.a.w.) memberi keutamaan kepadanya.

Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya, ia merupakan pusat


yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Pembinaannya
menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat
Islam dan sebagai pusat perkembangan agama mereka.

Kita lihat setelah baginda Rasulullah (s.a.w.) tiba di Madinah, baginda telah
mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan
yang kukuh di kalangan penduduk Islam di Madinah. Antara langkah-langkah
segera yang diambil oleh Rasulullah (s.a.w.) ialah mendirikan masjid (yang
terkenal dengan nama “Masjid Nabawi”) dan bermula dari sinilah terpancarnya
cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat
Islam di seluruh pelosok dunia. Di samping itu baginda telah menjadikan
masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi
gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan
keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta
pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Kita boleh menyatakan bahawa fungsi masjid ketika itu amat besar dan ketara
sekali. Ia melambangkan paduan dalam urusan dunia dan akhirat.
Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya digambarkan oleh
Rasulullah (s.a.w.) melalui peranan dan fungsi masjid ini.

KEADAAN MASJID PADA HARI INI

Secara umum, apabila kita menyebut perkataan masjid, maka terbayanglah di


fikiran kita bahawa ianya adalah tempat umat Islam bersembahyang berjemaah
dan berjumaat, diadakan kelas-kelas fardhu ain, ceramah dan syarahan agama
terutama ketika sempena perayaan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur
Rasul, Ma’al hijrah dan sebagainya.

Terbayang juga di fikiran kita bahawa kebanyakan masjid seluruh negara ini
merupakan bangunan indah tersergam, alat-alat dan kelengkapan pada
umumnya mencukupi dan sempurna, ia dihampar permaidani yang indah,
dihiasi ukiran ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah (s.a.w.) di dalamnya,
namun bangunan yang tersergam indah ini serta kemudahan yang wujud itu
seolah-olah tidak sempurna, kosong, tidak bersemangat dan kurang berfungsi.

Ternyatalah masjid di negara ini indah tetapi kurang dimanfaatkan. Ia tidak


diimarahkan dengan sewajarnya. Ia lebih merupakan lambang kemegahan yang
membayangkan status kedudukan agama Islam dari segi tempat, bangunan dan
kelengkapan bukan dari segi pengisian dan penghayatan sedangkan kedua-dua
aspek ini menjadi matlamat utama pembinaannya. Kejayaan sesebuah masjid
bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsinya dijalankan.
Demikianlah perbandingan fungsi dan peranan masjid yang wujud pada zaman
Rasulullah (s.a.w) dengan masjid yang wujud pada masa ini. Perbezaan yang
terdapat antara kedua-duanya memerlukan kita berfikir dan bertindak untuk
mengimarahkan semula masjid-masjid berdasarkan tuntutan Islam serta
bertepatan pula dengan peranan dan fungsi masjid yang sebenar.

KELEBIHAN MASJID

Islam sangat menggalakkan pembinaan masjid dan mengimarahkannya,


Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan Allah
S.W.T., Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga”.

Allah telah menjadikan masjid tempat yang mulia di sisi-Nya, ianya juga
terkenal dengan nama “Baitul Allah”.

Dalam hal ini baginda Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:

“Tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah pasarnya
manakala tempat yang paling disukai oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah
masjid-masjidnya”.

Di dalam hadith yang lain, dalam memperlihatkan kelebihan masjid Rasulullah


(s.a.w) pernah bersabda:

“Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka


saksikanlah baginya dengan keimanan”.

Selain daripada itu, Rasulullah (s.a.w.) juga menegaskan tentang kelebihan


masjid kepada umat Islam terutama sekali kepada golongan pemuda, iaitu
antara manusia yang mendapat perlindungan Allah pada hari Qiamat ialah
pemuda yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid.

Antara kelebihan masjid, Rasulullah (s.a.w) memberi jaminan kepada orang


yang sentiasa sembahyang berjemaah di dalamnya. Sabda baginda yang
bermaksud:

“Seorang Muslim yang sentiasa pergi ke masjid untuk sembahyang dan


mengingati Allah, Allah amat bergembira dengan kedatangannya sebagaimana
ahli keluarga amat gembira dengan kedatangan keluarga yang lain”.

Sabda baginda lagi,

"Sesiapa yang pergi ke masjid, Allah akan menyediakan untuknya hidangan di


dalam Syurga, setiap kali ia pergi dan balik".

Hadith di atas menerangkan bahawa orang yang mendapat kebaikan daripada


masjid ialah mereka yang melakukan amalan soleh dan taqwa. Orang-orang
yang sedemikian itulah juga yang layak dan berhak untuk mendapatkan
ganjaran baik daripada Allah terhadap amalan-amalan soleh yang mereka
lakukan, kerana Allah telah menyediakan kelebihan pada masjid-masjid.
PERANAN REMAJA KE ARAH PEMBINAAN GENERASI ISLAM

Peranan remaja merupakan tonggak utama kemajuan dan kekuatan sesebuah


negara. Kita dapati dalam sesebuah masyarakat yang maju dan suasana
persekitaran yang baik adalah lantaran wujudnya remaja yang berpotensi,
optimistik dan baik akhlaknya. Apabila masyarakat itu baik, maka secara tidak
langsung negara turut maju dan aman. Namun yang menjadi masalah kita hari
ini ialah masih wujud para remaja yang tidak tahu apakah sebenarnya peranan
diri mereka sama ada untuk diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat ataupun
negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan golongan


yang paling berperanan di dalam perkembangan dakwah Islam. Rasulullah
(s.a.w) sendiri sewaktu menerima wahyu yang pertama berusia 40 tahun.
Sementara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar masing-masing berumur 37
dan 27 tahun sewaktu menerima Islam. Islam sangat mengambil berat tentang
remaja. Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengisahkan
tentang peranan dan perjuangan remaja. Antaranya ialah menceritakan tentang
kisah beberapa orang remaja yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan
aqidah mereka dari kekejaman seorang raja.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“(Ingat peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu


mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu
dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk
keselamatan agama kami”.

(Al-Kahfi: 10)

Allah juga menyebutkan tentang wasiat Luqman kepada anaknya supaya tidak
menyekutukan Allah, menyedarkan bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui
segala-galanya, mendirikan sembahyang, tidak merasa angkuh dan sentiasa
bersederhana dalam tingkah laku.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai anak kesayanganku, dirikan sembahyang, suruhlah berbuat kebaikan


dan larang daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah
atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu
adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”.
(Luqman:17)

Dalam sebuah hadith Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud:

“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan Arasy daripada Allah


di akhirat kelak, yang mana pada hari itu tidak ada sebarang lindungan selain
daripada lindungan tersebut. Antara golongan yang mendapat lindungan
tersebut ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa tertumpu kepada
masjid”.

(Riwayat As-Syeikhan)

Hadith tersebut menekankan tentang sikap remaja yang sentiasa merujukkan


segala permasalahan hidup yang dihadapinya. Permasalahan bukan sahaja
kepada dirinya tetapi juga dengan masyarakat dan negara.
Remaja yang menjadikan masjid sebagai sumber rujukan sudah pasti akan
memperlihatkan watak yang lebih jelas dalam setiap tindak-tanduknya. Ia akan
menjadikan dirinya model serta sebagai perantara masjid dengan masyarakat.
Apabila ini terjadi maka remaja akan menjadi rujukan pula kepada masyarakat.
Demikianlah fungsi remaja yang sebenarnya seperti yang dikehendaki oleh
Islam.
Di dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah (s.a.w) berabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda (remaja) yang


tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak”.

(Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la)

Pada zaman Rasulullah (s.a.w) didapati remaja Islam begitu gigih dan beriman.
Golongan merekalah yang mencatatkan sejarah yang agung ke arah
mengembangkan dakwah Islam. Remaja-remaja Islam pada zaman itu
merupakan pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar
dalam satu kawasan geografi yang luas. Keluasannya meliputi empayar Rom
dan Parsi. Kekuatan yang ada pada remaja Islam pada masa itu ditunjangi oleh
mereka seperti Abdullah bin Mas’ud, Abd.Rahman bin Auf, Said bin Zaid dan
ramai lagi. Memang tidak dinafikan ketabahan dan ketulenan jiwa mereka
sentiasa direstui oleh Allah S.W.T. sama ada di bawah pimpinan Rasulullah
(s.a.w) mahupun sahabat-sahabat baginda yang menjadi khalifah kemudiannya.

Sejarah Islam telah membuktikan bagaimana peranan dua remaja yang


mengharumkan nama Islam iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dan Usamah bin
Zaid yang memainkan peranan dalam perkembangan Islam. Saidina Ali
sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah semasa Rasulullah dikepung
oleh pemuda-pemuda Qurish sedangkan ia tahu nyawanya terancam. Manakala
Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang besar
daripada Abu Bakar As-Sidiq untuk memimpin satu bala tentera ke medan jihad
sebagai pengganti ayahnya.

Demikianlah pengiktirafan Islam terhadap peranan golongan remaja yang


menunjukkan contoh perjuangan Islam yang dapat menyayangi golongan yang
lebih tua kepada mereka.

Peranan remaja menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Remaja yang


baik akan mewujudkan negara yang maju dan seimbang dalam semua bidang
rohani dan jasmani. Sebaliknya remaja yang tidak baik atau yang tidak
mempunyai kesedaran adalah merugikan, malah melemahkan masyarakat dan
negara.

Pembentukan sesebuah negara yang baik dan maju haruslah bermula dari
pembentukan individu yang baik terlebih dahulu, kemudian disusuli pula
dengan pembentukan keluarga yang baik, kemudian dari keluarga yang baik ini
akan mewujudkan sebuah masyarakat yang baik. Seterusnya melalui
masyarakat yang baik akan tertegaklah sebuah negara yang baik dan maju. Ini
bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh akal, negara yang sejahtera dan
mendapat keampunan daripada Allah.

FENOMENA REMAJA PADA HARI INI

Secara umum minat golongan remaja untuk menghayati dan mempraktikkan


ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka adalah berbeza-beza
berdasarkan perbezaan latar belakang, taraf intelektual dan pengaruh
persekitaran masing-masing. Dengan demikian didapati di sesetengah tempat,
masjid penuh dengan golongan ini, manakala di sesetengah tempat lain tidak
pula.

Satu perkara yang tidak wajar dilupakan bahawa kesan kebangkitan Islam pada
dekad 70an banyak memberi pengaruh kepada kecenderungan masyarakat,
termasuk golongan remaja, untuk memenuhi masjid-masjid yang sebelumnya
menjadi kunjungan sebahagian kecil orang-orang dewasa. Petanda positif ini
pula sentiasa dipupuk oleh pihak-pihak yang komited dengan penghayatan
Islam seperti pertubuhan-pertubuhan sosial, badan-badan bukan Kerajaan lebih-
lebih lagi agensi-agensi Kerajaan yang terlibat secara khusus berkenaan Islam.
Keadaan ini semakin lancar dan teratur apabila Kerajaan memperkenalkan
Dasar Penerapan nilai-nilai Islam pada tahun 1983.
Sungguhpun begitu masih terdapat kekosongan dalam ruang lingkup kehidupan
golongan remaja ini untuk diisikan atau dipertingkatkan ‘nilai-nilai masjid’
supaya paradigma pemuda dan remaja ini dapat berada pada tahap yang tinggi
dan dihormati. Perancangan dan usaha yang rapi sangat perlu bagi memenangi
persaingan ke atas pengaruh negatif yang sentiasa mencari peluang untuk
merosakkan golongan ini. Harus diingat bahawa kehidupan dunia masakini
yang semakin maju dan kompleks, sememangnya memberi pengaruh yang
besar dalam sosialisasi kehidupan setiap remaja. Apa yang dibimbangi ialah
naluri kejiwaan remaja yang sentiasa cenderung kearah keseronokan akan lebih
parah apabila jiwa-jiwa mereka tidak mampu menangkis segala macam
ancaman budaya barat yang sentiasa menggoda serta runtunan dan hambatan
nafsu ammarah yang setiap detik dan ketika meronta-ronta dan merungut-
rungut mengajak menyimpang dari haluan mengamalkan nilai-nilai masjid.
Dengan demikian kehidupan golongan remaja perlu dipenuhi dengan
peningkatan nilai-nilai unggul dan murni. Sekiranya kekosongan ini tidak diisi
dengan nilai-nilai tersebut, nilai-nilai negatif pasti mudah mengambil tempat
kekosongan yang wujud itu.

PERMASALAHAN REMAJA

Mutaakhir ini seluruh masyarakat dikejutkan dengan rentetan peristiwa dan


masalah yang melanda golongan remaja. Gejala mungkar di kalangan mereka
ditunjukkan dengan lingkaran cerita yang sangat memalukan dan dengan
pendedahan variable yang memeranjatkan. Dalam satu kajian (1994) tentang
perilaku membuang masa di kalangan remaja oleh Kementerian Belia Dan
Sukan dengan kerjasama enam buah universiti tempatan, didapati sebanyak 28
peratus atau 1,640 daripada 5860 remaja yang disoal selidik telah mengaku
terbabit dalam kegiatan seks bebas, 40 peratus terbabit pernah menonton video
lucah , 25 peratus mengaku meminum minuman keras, 14 peratus menagih
dadah dan 71 peratus menghisap rokok. Kajian ini mendedahkan betapa amalan
seks luar nikah yang sangat terkutuk itu dianggap sebagai perkara biasa. Lebih
malang lagi ialah 83 peratus daripada remaja yang suka melepak adalah
Melayu dan beragama Islam. (Berita Harian 1 Jun, 1994).

Penglibatan golongan pemuda dalam kegiatan-kegiatan negatif seperti


penyalahgunaan dadah, alkoholisme, seks bebas, malas, berseronok berlebih-
lebihan dan lain-lain seperti yang telah disebutkan bukan sahaja boleh
merendahkan martabat diri sendiri tetapi boleh memudaratkan kesihatan dan
membawa maut. Islam sangat melarang keras setiap tindakan salah laku yang
membawa kemusnahan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya
kebinasaan…”

(Al-Baqarah: 195)

Kesan yang lebih buruk dari tindakan yang kurang sihat ialah meruntuhkan
masyarakat serta negara yang kesemua ini merupakan kemungkaran yang akan
mendapat kemurkaan serta pembalasan daripada Allah S.W.T. Firman Allah
yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang
demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka
kembali (insaf dan bertaubat)”.

(Ar-Rum: 41)

FAKTOR-FAKTOR PENGHALANG MENDAMPINGI MASJID

a. Faktor Ibubapa

Remaja hari ini merupakan aset kepimpinan yang amat penting buat masa
hadapan. Sikap dan pembawaan yang ditunjukkan oleh mereka adalah
gambaran sikap dan pembawaan yang akan mencorakkan kepemimpinan
generasi akan datang. Oleh sebab itu, untuk melahirkan corak kepimpinan yang
sewajarnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. dan Rasulullah
(s.a.w.), maka para remaja yang merupakan pelapis kepimpinan itu harus
dibentuk semenjak kecil lagi. Malah bagi sesetengah ulama, mereka harus
dididik sejak dari dalam kandungan lagi. Maka orang yang bertanggungjawab
untuk melaksanakan tugas serta peranan ini sudah tentulah para ibubapa di
samping juga anggota masyarakat sebagai agen pembantu.

Rasulullah (s.a.w.) telah menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab ini


dalam sabdanya yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua


ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

(Riwayat al-Bukhari)
Dalam soal mendidik anak-anak semenjak kecil ini, perkara pertama yang perlu
ditekankan oleh para ibubapa ialah aspek keimanan. Anak-anak perlu
disebatikan dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa tiada Tuhan melainkan
Allah S.W.T. Tuhan Sekalian Alam, Dia yang telah menciptakan alam ini,
Tuhan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu dan kepada-Nya tempat kembali
yang kekal. Apabila kepercayaan-kepercayaan begini telah sebati dalam jiwa
anak-anak, akan mudahlah untuk menyalurkan unsur-unsur positif yang lain
kepada mereka.

Aspek kedua ialah ibadat. Anak-anak perlu diajar dan ditanam rasa
tangungjawab tentang kewajipan melaksanakan ibadat kepada Allah S.W.T.
Tuhan yang telah menjadikannya di dunia ini. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Ajarilah anak-anak kamu menunaikan sembahyang semasa ia berumur tujuh


tahun dan pukullah mereka (jika enggan) semasa berumur sepuluh tahun”.

Konsep ibadat harus dijelaskan kepada anak-anak bahawa ia bukan tergantung


kepada sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat khusus sahaja. Mereka perlu
faham bahawa pekerjaan harian yang dilakukan juga merupakan ibadat jika
dilakukan dengan ikhlas kerana Allah dan untuk kebajikan.

Aspek ketiga pula yang perlu diberi perhatian ialah pendidikan akhlak. Perlu
diingatkan bahawa dalam membentuk akhlak anak-anak, contoh dan teladan
yang baik mesti ditunjukkan oleh ibubapa sebagai pendidik. Ini kerana model
pertama dan utama dalam hidup seseorang anak itu adalah ibubapanya dan
anggota keluarga di dalam rumahnya. Suasana rumahtangga perlu dihias
dengan kemurnian akhlak Islam yang suci murni itu kerana anak-anak yang
lahir dan terbimbing dalam lingkungan orientasi Islam sebegini akan terus
membesar menjadi generasi muda yang beriman dan menjadi tonggak kekuatan
ummah pada masa akan datang.

Perlu juga diingat bahawa dalam membina generasi muda yang berakhlak
dalam konteks hari ini, para ibubapa dan pendidik terpaksa berlawan dengan
berbagai-bagai halangan dan pengaruh luar yang negatif. Oleh itu, bimbingan
dan pengawasan daripada ibubapa hendaklah sentiasa diberi perhatian agar
anak-anak tidak terleka dan hanyut dengan pengaruh-pengaruh buruk yang
terdapat dalam masyarakat hari ini. Mereka perlu mendapat kefahaman bahawa
tidak semua nilai yang terdapat di dalam masyarakat boleh diterima. Anak-anak
mesti diajar bagaimana membezakan nilai baik dan nilai buruk, bersedia
menerima kebaikan dan berupaya menolak keburukan.

b. Faktor Remaja
Golongan remaja yang telah terjebak dalam kancah gejala mungkar ini sudah
tentu semakin menjauhi masjid yang merupakan simbol keharmonian
penghayatan Islam bagi seseorang Muslim. Peralihan secara drastik tentu
menghadapi kesukaran dan memerlukan masa yang agak selesa. Masyarakat
juga perlu prihatin dan mempunyai fikrah terbuka dalam menjinakkan
golongan pemuda yang tersasul seperti ini ketika mereka mula mendekati
masjid. Sebarang prasangka hendaklah dielakkan kerana masjid sewajarnya
terbuka kepada siapa sahaja yang ingin bernaung di bawah bumbungnya.

Realiti dan suasana yang ada di sekeliling masyarakat, sukar untuk menarik
remaja datang berjemaah ke masjid. Suasana masyarakat yang mementingkan
diri masing-masing dan tidak ada perasaan ukhwah Islamiah, menyebabkan
golongan remaja menjauhkan diri dari masyarakat, apatah lagi untuk datang ke
masjid.

Memandangkan rancangan di TV, kebetulan di antara waktu Magrib hingga


waktu Isya’, menyebabkan anak-anak lebih suka memerap di hadapan TV tanpa
berminat untuk melakukan kerja-kerja lain yang lebih berfaedah. Untuk
mengatasi masalah tersebut ibubapa sewajarnya mengawal dan menyediakan
jadual yang khusus untuk anak-anak mereka. Begitu juga ibubapa seharusnya
melatih membawa anak-anak bersama ke masjid dalam waktu-waktu tersebut.
Dengan ini secara tidak langsung dapat menghalang anak-anak daripada
duduk menghabiskan masa di depan TV.

Bagi pihak lain pula, pelbagai kegiatan sukan di padang hingga waktu
Maghrib menyebabkan tidak ada peluang untuk mereka ke masjid bagi sama-
sama menunaikan sembahyang berjemaah. Sepatutnya sebarang kegiatan
sukan perlu dihadkan waktunya, supaya tidak menjejaskan aktiviti-aktiviti lain.

Tabiat suka mengajak anak isteri dan kawan-kawan sebaya mengunjungi


supermarket di waktu menjelang senja hendaklah dielakkan kerana perbuatan
seperti ini akan menyebabkan peluang untuk ke masjid terlepas begitu sahaja.

Antara faktor lain yang menghalang remaja ke masjid ialah tiadanya kawalan
terhadap mereka untuk mengunjungi pasar-pasar malam menjelang Maghrib.
Ketika bilal sedang melaungkan azan mengajak orang ramai menunaikan
sembahyang, waktu itulah para penjual pasar malam sibuk melayan dan
melaungkan suaranya menarik minat pengunjung dan pelanggan. Malahan
pelanggan pula riuh rendah tawar menawar dengan penjual, tanpa
menghiraukan alunan azan yang berkumandang di udara, menandakan masuk
waktu Mahgrib. Bagi ibubapa yang prihatin mereka sepatutnya memikirkan
waktu yang sesuai untuk membenarkan anak-anak mengunjungi pasar-pasar
malam. Begitu juga golongan peniaga hendaklah mempunyai kesedaran untuk
menghormati waktu sembahyang umpamanya dengan menutup gerai semasa
azan Maghrib atau Isya’ atau sekurang-kurangnya mereka tidak melayan
pembeli pada masa-masa tersebut.

Salah anggapan terhadap fungsi masjid hanya untuk ibadat khusus sahaja
seperti sembahyang, berwirid dan sebagainya adalah antara punca remaja tidak
datang ke masjid. Di samping itu, pihak masjid sendiri juga tidak
mempelbagaikan kegiatan yang sepatutnya diadakan untuk menarik minat
golongan remaja datang ke masjid. Tidak ada ruangan yang sesuai bagi tempat
menjalankan pelbagai aktiviti seperti perpustakaan, kelab komputer, permainan
sukan (sepak takraw, badminton dan sebagainya) dan lain-lain lagi. Sikap ahli
Jawatankuasa Masjid sendiri yang memandang serong dan kurang bergaul rapat
dengan golongan remaja, menyebabkan mereka semakin jauh dengan masjid.
Ahli Jawatankuasa Masjid asyik bersama dengan golongan seangkatan dengan
mereka sahaja, seolah-olah masjid itu untuk golongan mereka sahaja.

Program-program yang boleh membantu masyarakat setempat mengejar


pembangunan dan kemajuan yang berlaku di sekeliling mereka didapati kurang
diberi perhatian oleh pihak masjid. Kalau adapun hanya terbatas kepada bidang
pengurusan mayat (tanpa yang berkait dengan pengurusan sebelum seseorang
menjadi mayat). Seharusnya diadakan program seperti kursus-kursus di bidang
pertanian, perniagaan dan kemahiran, juga kelas-kelas tuisyen untuk membantu
anak-anak dalam bidang pelajaran. Jika kursus-kursus dan kelas-kelas tuisyen
seperti itu turut diadakan oleh pihak pengurusan masjid, maka penerimaan
masyarakat terhadap masjid lebih terbuka dan lebih jelas lagi.

Terdapat juga di kalangan pihak pengurusan masjid dan ahli keluarga mereka
yang mempunyai akhlak yang tidak membayangkan pihak yang menjaga
masjid dan tidak disenangi oleh masyarakat. Selalunya akhlak isteri, anak-anak
dan cucu mereka menjadi perbandingan di kalangan orang ramai. Masyarakat
tentulah sukar menerima panduan dan nasihat yang baik daripada imam-imam
atau pengerusi masjid sekiranya masyarakat mengetahui keluarga kepada
imam-imam atau pengerusi masjid ini juga tidak mematuhi nasihat dan
tegurannya sendiri.

Ada juga ibubapa sendiri yang kurang menggalakkan dan mengajak anak-anak
ke masjid, malah ada yang tidak berminat ke masjid untuk menunaikan
sembahyang berjemaah. Pemimpin masyarakat dan orang yang berpengaruh
boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini. Mereka perlu memberi
contoh yang baik dengan melibatkan diri dalam aktiviti masjid, supaya
menjadi ikutan dan teladan kepada orang ramai.
KAEDAH DAN PROGRAM UNTUK MENARIK REMAJA
KE MASJID

Sesungguhnya usaha-usaha untuk menambat hati para remaja bagi menjinakkan


mereka ke arah budaya masjid, memerlukan kerahan serta pengembelingan
tenaga daripada semua pihak. Sikap mereka-reka pelbagai tohmahan ke atas
remaja wajar dikikis daripada kita. Kita wajar mengambil sikap mendekatkan
diri dengan tutur kata yang lemah lembut dan berhikmah.

Sebagai golongan tua atau penjaga kepada mereka, kita wajar mempamerkan
sifat-sifat yang terpuji di hadapan anak-anak sebagai tunas-tunas awal yang
akan berkembang seterusnya turut mempengaruhi mereka. Peranan ibubapa,
masyarakat, pihak berkuasa khususnya ahli-ahli Jawatankuasa Masjid amat
besar dalam menentukan hala tuju dan menjinakkan jiwa remaja ke arah
masjid. Bermacam kaedah dan program boleh dirancang untuk mencapai hasrat
murni tersebut.

Ekspedisi

Dengan menaiki kereta, bas atau keretapi, pihak ahli Jawatankuasa Masjid
mengaturkan program untuk para remaja umpamanya dari Masjid Seremban ke
Masjid Kangar. Sekiranya berkereta atau menaiki bas boleh diatur maka
pelbagai acara dapat diadakan apabila singgah di satu-satu masjid yang telah
ditentukan seperti sembahyang berjemaah, mencantik kawasan masjid dan
majlis-majlis ilmu.

Pertandingan Pidato

Jiwa orang-orang muda terarah kepada perlumbaan atau bersaing antara rakan-
rakan, oleh itu pelbagai acara berbentuk pertandingan boleh dianjurkan oleh
pihak masjid seperti berpidato, berbahas, melukis, mengarang dan lain-lain
lagi. Kita amat yakin, khususnya bagi masjid kariah, program-program yang
berbentuk pertandingan lebih berkesan dari segi hubungan kekeluargaan serta
kekampungan. Ini kerana saiz penduduk yang kecil di mana setiap orang boleh
mengenali antara satu dengan yang lain dengan lebih rapat.

Tadika

Kanak-kanak yang masih kecil amat mudah dihala tuju dan lentur mengikut
kehendak ibubapa. Di dalam hal ini, mengadakan kelas-kelas Taski, Taska atau
apa sahaja nama program untuk anak-anak kita yang diadakan di kawasan
masjid sungguh bermanfaat dalam usaha menjinakkan para remaja ke masjid.
Asrama

Orang-orang musafir atau orang yang pertama kali sampai ke suatu tempat
sering menghadapi masalah mencari tempat tinggal yang murah, selesa dan
mempunyai segala kemudahan. Di dalam hubungan ini, membina hostel atau
asrama-asrama di kawasan masjid boleh mengisi kehendak-kehendak para
musafir khususnya para remaja.
Sekaligus boleh mengawal untuk mengurangkan krisis-krisis moral yang tidak
kunjung padam. Usaha ini lebih jelas lagi jika para pekerja kilang atau sesiapa
sahaja yang masih bujang tinggal di hostel atau asrama yang dimaksudkan di
atas.

Bank, Klinik Dan Perpustakaan Awam

Tumpuan pemerhatian para remaja khasnya dan masyarakat amnya apabila


melangkah keluar daripada rumah ialah menuju ke tempat-tempat yang biasa di
hati mereka umpamanya bank, klinik dan perpustakaan awam. Mewujudkan
pusat-pusat tumpuan sedemikian di kawasan masjid, sebagaimana yang
dinyatakan sebelum ini, adalah langkah-langkah yang akan menjinakkan hati
mereka ke masjid.

Pusat Riadah

Mengadakan gimnasium, gelanggang sepaktakraw, badminton, tenis, pingpong,


menunggang kuda dan apa sahaja untuk menarik kehadiran para remaja ke
masjid. Bagi menjayakan hasrat ini maka masjid mesti didirikan di dalam
persekitaran yang luas.

Hari Masjid

Tidak keterlaluan jika kita mengadakan suatu hari dalam setahun yang
dinamakan Hari Masjid. Semua masyarakat yang berhampiran datang ke masjid
dengan menyertai pelbagai acara yang meliputi untuk kanak-kanak, remaja dan
orang dewasa mulai pagi hingga ke malam.

PENUTUP

Sesungguhnya banyak lagi kaedah dan program boleh dilaksanakan oleh ahli
Jawatankuasa Masjid untuk menyuburkan jiwa remaja ke arah budaya masjid.
Di dalam pada itu, para imam, bilal, siak serta seluruh ahli Jawatankuasa
Masjid wajar mempertingkatkan ilmu, bukan ilmu agama sahaja malah ilmu
pengurusan, kewangan dan pentadbiran. Mereka juga perlu mencari masa untuk
berdampingan bergaul dengan para remaja dari masa ke semasa.

Pihak berkuasa hendaklah sediakan peluang-peluang latihan untuk


mempertingkatkan kemahiran dan ilmu para Ahli Jawatankuasa Masjid. Tidak
ketinggalan ahli masyarakat terus memberi kerjasama dan menghargai usaha-
usaha murni yang dilakukan oleh pihak masjid. Para ibubapa pula janganlah
putus asa mendorong anak-anak menyokong kaedah-kaedah atau program-
program yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh pihak masjid.

Kesemua hal yang telah diterangkan adalah untuk membina usaha ke arah
membentuk para remaja tertarik jiwa raga memakmurkan masjid. Juga
memasjidkan kehidupan remaja keseluruhannya agar terbina sebuah
masyarakat dan negara yang kukuh dan padu. Apa yang penting, semua
program-program yang dirancang mesti melibatkan para remaja secara
langsung.