Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki
permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan
tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian,
permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan
peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek
moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita
mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.

Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan


permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini
tidak hilang ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini
pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom
Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisonal
merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting
supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan
tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal,
maka tak cinta. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan
permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang
akan datang.

Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai lambang


keagungan bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini
berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa
mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama,
permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat menghidupkan
kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan
permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing
ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub
dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk
mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa
“sambil menyelam, minum air”. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara
melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.
Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis
pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian kerana kita
dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara
kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tardisional. Sebagai contoh,
permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain memasukkan biji
guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita
dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah
negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari
luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat
mengukuhkan semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat supaya
mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi


tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Saya berharap, satu hari nanti,
permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap
lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita
kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional
dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.
Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus
popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai hobi yang
berfaedah. Ayuh kita main congkak!