Anda di halaman 1dari 5

Sentuhan fizikal minimum

Oleh NURUL HUSNA MAHMUD husna@hmetro.com.my

SUASANA padang panorama Presint 18, Putrajaya yang selalunya tenang, berubah dengan kehadiran sekumpulan wanita yang asyik berlari sambil membawa bola. Andaian awal bahawa mereka main bola baling meleset kerana tidak kelihatan gawang untuk dibolosi pemain. Malah, jika diamati bentuk bola yang dipangku pemain bersama gerakan di mana bola dibaling kepada pemain yang berada di belakangnya, kumpulan ini tidak ubah lagak pemain ragbi. Pengasas kumpulan ragbi yang dikenali dengan Scorpion Women In Touch atau SWIT, Dr Zalina Abd Razak, tidak menafikan kumpulannya bermain ragbi sentuh yang menyerupai perlawanan sebenar sukan agresif itu tetapimengamalkan peraturan berbeza. Permainan kami seakan-akan permainan ragbi kerana bola serta teknik mainan menyerupai asas sukan itu. Hakikatnya, ragbi sentuh atau touch rugby yang kami main sangat berbeza daripada ragbi biasa yang dimainkan di seluruh negara.

Dalam sukan ini, aktiviti seperti tumbangan (tackle), skrum (scrum), lontaran ke dalam (line out) dan tendangan bola (kicking) tidak dibenarkan. Ia bukan sukan lasak sebagaimana ragbi kerana konsep sukan ini membabitkan sentuhan fizikal yang sangat minimum, katanya.

Kata doktor berusia 41 tahun itu, ragbi sentuh tidak ubah seperti permainan rakyat galah panjang, di mana sebarang sentuhan tidak dibenarkan. Asasnya, ragbi sentuh memerlukan enam pemain sama ada untuk pasukan pertahanan atau penyerang. Pasukan penyerang akan berusaha melepasi pertahanan dan perlu melakukan touchdown tanpa ada sentuhan pihak lawan. Namun kekerasan dilarang sama sekali, katanya yang berpendapat sukan ini selamat dimainkan oleh semua peringkat umur. Pemain senior kelab SWIT, Nurul Ain Wahida Abu Bakar pula berkata, dia meminati sukan terutama kegiatan lasak. Sebaik dipelawa oleh tenaga pengajar dalam kursus yang diikutinya di Port Dickson untuk menyertai kelab ragbi sentuh, perasaan teruja dan ingin tahu silih berganti. Kata guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) itu, dia obses untuk mengenali aktiviti kelab ragbi sentuh yang membabitkan pemain wanita kerana pertama kali mendengar kewujudan kelab seumpama itu. Ketika berkursus, saya diundang menyertai kelab ragbi sentuh wanita yang menjalani latihan setiap petang di padang komuniti Presint Sembilan, Putrajaya. Kebetulan saya tinggal berhampiran kawasan latihan, lalu memutuskan untuk singgah menjenguk sesi latihan kumpulan terbabit. Pertama kali menyaksikan mereka bermain, saya berasa hairan kerana tiada seorang pemain pun mempunyai susuk tubuh sasa mahupun tegap seperti atlet, apatah lagi bergelar pemain ragbi. Rata-rata yang datang terserlah ciri feminin, malah difahamkan ramai di kalangan mereka adalah jururawat serta pembantu perubatan berkhidmat dengan Hospital Putrajaya, katanya yang pada mulanya tidak percaya wujud kelab yang aktif bermain ragbi sentuh. Katanya, persepsi terhadap sukan berkenaan berubah sebaik menyaksikan gerakan pemain kerana tampak asing daripada disaksikannya di kaca televisyen sebelum ini. Namun sebaik latihan dimulakan, sangkaan saya tidak tepat kerana tiada langsung gerakan konvensional ragbi seperti rempuhan kasar mahupun usaha menjatuhkan lawan dilakukan. Mereka kelihatan sangat santai dengan teknik diajar jurulatih di mana lebih tertumpu kepada cara larian, melontar bola, menangkap bola dan berkomunikasi secara berkesan, katanya yang aktif bermain sejak tujuh bulan lalu. 2

Selain Nurul Ain, Nurfahmida Zamanhuri, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) turut tidak melepaskan peluang membabitkan diri dalam sukan ragbi sentuh meskipun mulanya mendapat tentangan ibu bapa. Ibu bapa kurang senang saya menyertai sukan berkenaan kerana bimbang dengan risiko kecederaan. Mereka yang kurang faham dengan permainan ragbi sentuh membayangkan saya bakal dicederakan teruk kerana mempunyai susuk tubuh kecil. Namun, selepas diterangkan cara permainan dan hadir menemani saya bermain setiap kali latihan, mereka mula sedar sukan ini sangat lembut dan selamat, katanya yang pernah menyertai Perlawanan Ragbi Sentuh Antarabangsa Ke-8 di Shanghai, China, tahun lalu. Gadis berusia 14 tahun itu berkata, peluang serta pengalaman dilalui ketika mengenali sukan ragbi sentuh antara yang terbaik dalam hidupnya kerana dia berpeluang bermain dengan mereka yang lebih berpengalaman dan bertaraf antarabangsa. Terus terang, andai saya membabitkan diri dalam sukan lain, potensi untuk bermain sehingga ke peringkat antarabangsa mungkin tiada. Namun dalam ragbi sentuh, saya mendapat ruang untuk menyerlahkan bakat dan berpeluang bermain di peringkat antarabangsa. Terbaru, saya bertemu dengan pemain Filipina dan itu antara pengalaman berguna buat diri sepanjang mengenali ragbi sentuh. Tambah pula, saya membuat touchdown pertama ketika beraksi di Shanghai tahun lalu, katanya yang juga kapten pasukan Swit Junior. Bagi peserta termuda dalam skuad Swit Junior, Wan Sabrina Wan Rithauden, 12, pembabitannya mendapat sokongan keluarga kerana ibunya, Nor Sahlawati Ismail turut aktif bermain ragbi sentuh. Saya gembira kerana minat ini turut dikongsi bersama ibu dan kakak. Kami kerap mengadakan latihan sendiri di kawasan rumah apabila tiada latihan. Latihan sekurang-kurangnya dua kali seminggu membantu saya meningkatkan kecergasan di samping mengeratkan hubungan keluarga, katanya yang menyukai ragbi sentuh kerana permainannya yang pantas. Sementara itu, Presiden Kelab Ragbi Scorpion Putrajaya, Ahmad Sufiani Johari merakam penghargaan terhadap penajaan segelintir pihak membantu kelabnya untuk terus memperkembangkan sukan ragbi sentuh di seluruh negara. Saya bersyukur ada pihak sudi menaja keperluan kelab. Namun ia masih tidak memadai kerana kami berharap untuk mengkomersialkan sukan ini ke seluruh negara.

Saya mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menaja aktiviti kelab dalam memperkembangkan ragbi sentuh sebagai sukan komuniti di seluruh negara sebagaimana futsal mahupun badminton, katanya. PROFIL 1: NAMA: Wan Sabrina Wan Rithauden UMUR: 12 tahun KATEGORI: Pasukan Junior Swit PENCAPAIAN: Johan dalam kategori Bold bagi Perlawanan Rugbi Sentuh Pantai, Port Dickson KERJAYA: Pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2)

PROFIL 2: NAMA: Dr Zalina Abd Razak UMUR: 41 tahun JAWATAN: Pengasas Pasukan Swit KERJAYA: Doktor

PROFIL 3: NAMA: Nurfahmida Zamanhuri UMUR: 14 tahun KATEGORI: Kapten Pasukan Junior Swit PENCAPAIAN: Tempat ketiga wanita Asia, Perlawanan Ragbi Sentuh Antarabangsa kelapan di Shanghai, China KERJAYA: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1)

PROFIL 4: NAMA: Nurul Ain Wahida Abu Bakar UMUR: 24 tahun KATEGORI: Pasukan Senior Swit. PENCAPAIAN: Tempat Ketiga Wanita Asia, Perlawanan Ragbi Sentuh Antarabangsa kelapan di Shanghai, China KERJAYA: Guru

INFO: Scorpion Swit bernaung di bawah Scorpion Putrajaya iaitu kelab ditubuhkan dengan kelulusan Majlis Sukan Putrajaya dan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 Ditubuhkan sebagai kelab kebajikan sukan yang menjadikan sukan ragbi sentuh sebagai platform permainan utama di Wilayah Persekutuan Putrajaya Lima divisyen pemain di kelab ini iaitu lelaki, wanita, masters (35+), remaja lelaki dan remaja perempuan Nama pasukan: Scorpion SWiT (Senior wanita) 2.SWiT Junior (Junior wanita) 3.Scorpion SMiT (Senior lelaki) 4.SMiT Junior (Junior lelaki) Alamat Rumah Kelab: Rumah Kelab Scorpion Putrajaya, D2-T7-U4, Jalan P9B, Presint 9 Putra Harmoni 62250 PUTRAJAYA. Alamat Perhubungan; scorpionputrajaya.mail@gmail.com Lokasi dan hari latihan: Selasa dan Khamis bermula 5.30 PM hingga 7.00 PM di Padang Komuniti Presint 9