Anda di halaman 1dari 2

Perjuangan memartabatkan tulisan jawi ALOR SETAR: Terlalu banyak pandangan serta keluh kesah para pejuang tulisan

jawi serta pejuang bahasa terhadap nasib malang yang menimpa tulisan ini dan malah terlalu banyak juga paparan dibuat dalam bentuk fenomena kegersangan masyarakat Melayu terhadap penggunaan tulisan jawi. Namun begitu, memartabatkan tulisan jawi kepada orbit atau gelanggang sebenarnya juga adalah suatu perjuangan kemerdekaan. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, tulisan jawi mewakili kedua-dua warisan iaitu nyata dan tidak nyata di mana ia nyata apabila ia terukir pada batu bersurat dan prasasti. Ia juga warisan tidak nyata apabila ia mewariskan budaya Islam, bukti adanya keterikatan antara Islam dalam budaya harian Melayu dan sebagainya, jelasnya. Menurutnya, tulisan adalah simbol atau lambang kepada identiti bahasa di mana tulisan adalah perwakilan artikulasi bahasa semenjak manusia tahu bagaimana menyampaikan buah fikiran, menghurai perkara visual untuk difahami oleh orang lain. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Muktamar Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi (PERAWI) di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Jalan Kolam Air, di sini. Program itu dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dengan kerjasama Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). Beliau menjelaskan, tulisan juga menjadi alat awal mengekalkan ingatan bermula dengan penulisan bilangan hari dan bulan dan lantaran itu, ia dikaitkan dengan bahasa sebagai teras atau satu entity manakala tulisan adalah penunjuk atau dalil wujudnya entiti tersebut. Tulisan jawi hendaklah dijadikan salah satu asas keperibadian bangsa dengan cara menetapkan taraf tulisan tersebut iaitu dengan mengadakan akta atau undang-undang khas tentang tulisan jawi, ujarnya. YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, memasukkan tulisan jawi ke dalam akta Bahasa Kebangsaan sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan adalah langkah berkesan dalam usaha memelihara dan mengangkat martabat tulisan berkenaan agar ianya tidak luput di telan zaman. Dalam pada itu, katanya, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meneliti dan mengkaji kelemahan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi

dalam system pendidikan masa kini. Ia diharap mampu membina jaringan institusi dan individu yang boleh mengangkat semula martabat tulisan jawi serta melaksanakan gerakerja advokasi kepada pihak kerajaan untuk menerima cadangan pemerkasaan tulisan jawi sebagai tulisan yang diarus perdanakan dalam semua sektor swasta dan awam. Apa yang penting, katanya, ia secara tidak langsung berupaya melancarkan kempen kebangsaan Celik Jawi sebagai wahana mempopularkan tulisan jawi di kalangan masyarakat serta menambah bilangan pendokong dan penyokong pemerkasaan tulisan jawi di kalangan golongan muda.Turut hadir ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Tuan Haji Mohd. Azmi Abdul Hamid dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Ustaz Yusof Mahmud.