Anda di halaman 1dari 2

Masalah buli di sekolah kini semakin membimbangkan.

Usaha-usaha yang berkesan perlu dilakukan untuk membendung masalah ini sebelum menjadi lebih parah lagi. Ulaskan pernyataan tersebut.

Masalah buli di sekolah semakin membimbangkan pelbagai pihak pada dewasa ini. Media massa sering membentangkan isu ini melalui surat khabar, berita harian televisyen serta radio. Usaha-usaha yang berkesan harus dilakukan untuk membendung masalah ini sebelum menjadi lebih parah.

Salah satu punca masalah buli ialah latar belakang keluarga. Struktur keluarga yang buruk akan menampilkan anak-anak dengan personaliti dan mentaliti yang tidak sihat. Kes-kes seperti penceraian atau penderaan di rumah akan menjejaskan proses pertumbuhan mentaliti dan membawa kepada masalah buli di sekolah akibat tekanan yang dialami dalam persekitaran keluarga dengan isu-isu tersebut. Hal ini jelas menunjukkan faktor latar belakang keluarga menyumbang kepada masalah buli di sekolah.

Kekurangan pendidikan agama dan moral turut merupakan salah satu punca masalah buli. Para pelajar yang kurang didikan agama dan moral gagal untuk membezakan antara yang baik dengan yang buruk dan mereka sering berpendapat bahawa mereka sentiasa betul. Hal ini demikian, kerana mereka tidak dibimbing dan dididik dengan sempurna. Perkara ini terus membawa kepada masalah buli kerana pelajar yang membuli tidak memikirkan kesan tindakan mereka dan hal ini menjadi lebih parah lagi sekiranya tindakan yang wajar tidak diambil oleh pihak yang bertanggungjawab. Jelasnya faktor kekurangan pendidikan agama dan moral akan menyumbangkan kepada masalah buli di sekolah.

Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan sesi kaunseling untuk pelajar-pelajar yang terlibat dalam gejala membuli. Pihak sekolah wajar mengadakan sesi kaunseling untuk mereka supaya dapat mengetahui punca-punca mereka terlibat dalam kegiatan membuli dan sekaligus membantu mereka mengharungi masalah tersebut dengan sepenuh hati. Bantuan yang ikhlas dari hati sememangnya akan membantu para pelajar yang bermasalah kerana mereka akan merasai sokongan dan kasih sayang yang dicurahkan dan ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk bertukar menjadi insan yang lebih baik.

Selain itu, pihak ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membendung masalah membuli di sekolah. Ibu bapa harus meluangkan lebih banyak masa untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka di sekolah dan berkongsi isi hati dan masalah-masalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Pembentukan insan yang mulia bermula dari rumah dan jika anak-anak dididik dan diberi perhatian yang secukupnya di rumah, sudah pastinya mereka akan menjadi pelajar yang baik di sekolah kerana personaliti yang baik telah dibentuk sejak di rumah dan masalah buli akan dikurangkan.

Walhasil, pihak sekolah dan ibu bapa harus berganding bahu untuk membendung masalah buli supaya suasana pembelajaran yang kondusif dan harmoni dapat diwujudkan untuk semua pelajar agar masa depan mereka terjamin.

Penulis: (Ho Kah Fai)