Anda di halaman 1dari 3

20 SEN UNTUK TABUNG MASJID?

Bersedekah merupakan suatu amalan yang dituntut oleh syarak seperti Firman Allah di dalam surah Al-Hadid ayat yang ke-18 yang bermaksud, Sesungguhnya orangorang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. Kadangkala amalan mulia ini dipandang remeh oleh sesetengah masyarakat kita pada masa kini sedangkan Allah S.W.T telah menjanjikan ganjaran yang hebat dan sesekali tidak merugikan hamba-hambaNya. Namun persoalannya, kita seringkali menyempitkan skop untuk kita bersedekah dengan memikirkan hanya di masjid sahaja sebagai tempat untuk bersedekah. Tahukah antum semua, terdapat pelbagai cara untuk kita menunaikan amalan bersedekah yang tinggi nilainya ini di sisi Allah S.W.T ini sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas untuk mencari keredaan Allah S.W.T semata-mata? Antaranya ialah membelanja keluarga mahupun sahabat-sahabat seperjuangan. Apa salahnya untuk kita

menghulurkan wang bagi membiayai makanan yang sudah di makan andai kita diberi kemampuan oleh Allah S.W.T.? Lebih-lebih lagi jika kita mendapat berita gembira seperti sudah menerima gaji mahupun mendapat bonus tahunan. Selain daripada itu, kepada kaum Hawa khususnya, andai kita jarang ke masjid mahupun ibu-ibu yang kesuntukan masa untuk ke sana, kita juga mampu bersedekah seperti kaum Adam di masjid dengan cara mengirimkan wang yang hendak disedekahkan kepada ayah, suami, abang mahupun adik lelaki sebelum mereka pergi menunaikan solat Jumaat di masjid. Walaupun seminggu sekali namun, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, Sebaik-baik amalan ialah amalan yang senantiasa atau istiqomah dilakukan sekalipun sedikit." Berapa nilai yang kita sedekahkan bukanlah perkara pokok di sini namun usaha baik kita itu yang dikira Allah S.W.T di akhirat kelak.

Sememangnya tidak dinafikan nilai wang yang kita sedekahkan bukan perkara utama namun, di zaman moden ini, kita membayar 20 sen untuk ke tandas awam. Gamakkah kita hanya mengisi wang-wang syiling ke dalam tabung masjid sedangkan tandas di KLCC pun mengenakan bayaran RM2 untuk sekali masuk. Renungkan sejenak, kita mungkin niatkan bersedekah adalah bagi membantu kuliyah-kuliyah agama dilaksanakan dengan lancar mahupun penambahbaikan masjid. Jika diikutkan zaman globalisasi serba canggih dengan harga barang yang kian meningkat, kos makan kita sehari pun mencecah RM10. Oleh yang demikian, adalah lebih cantik dan manis jika kita juga menaikkan nilai sedekah kita mengikut peredaran zaman dan mengikis perbuatan kita yang suka untuk menyeluk saku yang paling dalam untuk mencari wang-wang syiling untuk disedekahkan. Jika kita mempunyai pendapatan besar, mempunyai rumah besar, berkereta besar, apalah nilai not-not merah untuk disedekahkan di masjid? Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa ayat 39, Apakah kemudaratannya bagi mereka, kalau mereka beriman kepada Allah dan hari kemudian dan menafkahkan sebahagian rezeki yang telah diberikan Allah kepada mereka? Dan adalah Allah Maha Mengetahui keadaan mereka. Kesemua nikmat harta benda yang kita perolehi dahulu, kini dan selamanya adalah kurniaan Allah S.W.T yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dialah yang memberi keizinan untuk memiliki apa yang kita perolehi. Sememangnya usaha kita yang membuahkan hasil namun milik siapakan kita dan harta kita jika bukan milik mutlak Allah S.W.T? Kita seharusnya bersyukur kerana kita mendapat kurniaan yang lebih dan amalan bersedekah merupakan salah satu tanda bagi kita untuk membuktikan rasa syukur tersebut.

Suka ana menyampaikan pesanan daripada seorang tok guru mengenai amalan bersedekah ini. Beliau mengingatkan agar menjadikan amalan bersedekah sebagai amalan berterusan walau sepuluh sen daripada setiap wang yang kita dapat mahupun keluarkan daripada bank. Kemudian, barulah kita belanjakan wang tersebut untuk diri sendiri dan hal-hal lain. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 268 yang bermaksud, Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui. Sama-sama kita mengikis sifat bakhil dalam diri kita dan memulakan penghijrahan sikap dengan yakin akan janji Allah S.W.T yang sememangnya benar semata-mata. Walau kita dilanda kesempitan wang sekalipun, kita masih lagi boleh bersedekah dengan cara-cara yang lain seperti mana dianjurkan oleh Penghulu segala nabi, Nabi Muhammad S.A.W. Menurut hadis riwayat Imam Muslim, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang maksudnya, "Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan Tasbih adalah sedekah, Takbir sedekah, Tahmid sedekah, Tahlil sedekah, Amar Makruf sedekah, Nahi Mungkar sedekah. Justeru, apa lagi yang kita tunggu dan lihat? Moga-moga amalan baik ini dapat kita sama-sama jadikan amalan dan teruskan hingga ke hujung nyawa kita sebagai salah satu cara hamba yang ingin mencari keredaan Tuhannya, mendekatkan diri kepadaNya.

Anda mungkin juga menyukai