Anda di halaman 1dari 4

NAMA: NUR HUSNA BINTI NORHISAM SEKOLAH: SMJK PEI HWA TAJUK: ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA Dalam

meniti arus kemodenan ini, kita sering dihimpit dengan masalah berkaitan alam sekitar. Hal ini wujud akibat daripada sikap rakus manusia yang semakin alpa terhadap penjagaan alam sekitar. Akibatnya, kejadian tanah runtuh, gempa bumi, banjir, dan ombak besar tsunami telah pun berlaku sejak belakangan ini. Malapetaka berkenaan seolah-olah menghantar isyarat agar manusia jangan terlalu ghairah membinasakan alam sekitar. Dengan keadaan demikian, semua makhluk yang bernama manusia, tidak kira apa bangsa dan agama harus bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar agar dapat merealisasikan dunia ini menjadi sebuah taman kehidupan yang indah, aman, sejahtera, harmoni dan terhindar dari sebarang bencana yang boleh menghancurkan spesies kehidupan bernyawa di atasnya. Maka dengan itu, menjaga alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Merujuk kepada Kamus Dewan, alam sekitar didefinisikan sebagai apa-apa yang ada di langit dan di bumi. "Tanggungjawab" pula ditakrifkan sebagai amanah atau tugas perlu dipikul oleh seseorang sementara "bersama" diertikan sebagai semua pihak yang terlibat iaitu merujuk kepada kanak-kanak yang baru dilahirkan sehingga orang tua yang lanjut usianya. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan alam sekitar ini ialah tanggungjawab semua pihak, bukan terpikul oleh orang-orang tertentu sahaja. Sesuai dengan pepatah 'bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat', maka memastikan kebersihan dan keindahan alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama yang melibatkan semua pihak dan kita seharusnya berpegang pada prinsip yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita seharusnya beruntung kerana memiliki pemerintah atau pada umumnya ialah kerajaan yang sedar akan pentingnya keindahan dan kebersihan alam sekitar. Walau bagaimanapun, ianya tidak akan berjaya jika kerjasama daripada daripada masyarakat awam tidak diberikan. Umum mengetahui bahawa pihak Jabatan Alam Sekitar merupakan agensi yang berdiri di atas dasar kerajaan. Dengan kata lain, ianya merupakan tulang belakang dalam mengawal dan mencegah pencemaran alam sekitar. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Dalam pada itu, masih terdapat berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang tidak mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Maka dengan itu, tindakan undang-undang telah dikenakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling sejak diwartakan pada 1974. Tindakan hukuman serta denda yang setimpal mengikut undang-undang yang dikenakan membolehkan pesalah mendapat pengajaran yang bermanfaat. Dengan berbuat demikian, ianya akan mampu menjadi batu penghalang kepada berlakunya pencemaran alam sekitar yang lebih serius lagi. Sebagai contoh, Sungai Tebrau. Sungai tersebut yang mengalami kemerosotan kualiti air yang berpunca daripada pembuangan sisa loji-loji kumbahan Indah Water Konsortium. Namun begitu, bagi pencemaran perairan daratan ialah denda tidak lebih RM 10 000, penjara tak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan RM 1000 sehari bagi kesalahan yang diteruskan selepas mendapat notis daripada Ketua Pengarah untuk menghentikanya

sudahpun dikenakan. Sementara itu, kerajaan sendiri mensyaratkan supaya setiap projek pembangunan perumahan menyediakan sekurang-kurangnya sepuluh peratus kawasan rizab lapang yang boleh ditanam dengan pokok sebagai tempat rekreasi kawasan perumahan. Selain itu, kawasan perindustrian juga disyaratkan mengambil langkah yang sama dalam memulihara kehijauan Sementara itu, promosi pendidikan, kesedaran dan sebaran maklumat alam sekitar telah menjadi keutamaan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk menyokong usaha-usaha negara ke arah pengurusan alam sekitar yang mapan. Di antara aktiviti-aktiviti kesedaran alam sekitar yang dijalankan termasuk ceramah. Ceramah alam sekitar yang dilaksanakan lebih tertumpu kepada komuniti industri dan pelajar sekolah. Sebagai tamsilnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Aman, Kota Tinggi sudahpun melaksanakan ceramahn yang bertajuk Peranan Pelajar dalam Menjaga Alam Sekitar. Pada program tersebut semua pelajar telah mengikuti ceramah alam sekitar telah disampaikan oleh En. Mohd Nasir bin Ali, Pegawai Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor. Bukan sahaja ceramah, malahan pameran seperti Pokok untuk Kehidupan diadakan selama 28 hari di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor bagi menonjolkan kepentingan pokok dalam kehidupan harian manusia serta sumbangannya terhadap kemampanan alam sekitar selain bengkel alam sekitar dan kem kesedaran alam sekitar. Seterusnya, Jabatan Alam Sekitar bagi negeri-negeri tertentu juga menyediakan perkhidmatan Pusat Sumber sebagai rujukan kepada orang awam dan pelajar secara percuma yang mampu memberi impak yang positif. Menurut sumber Jabatan Alam Sekitar, penggunaan perkhidmatan Pusat Sumber telah banyak dinaik taraf melalui penyelenggaraan perpustakaan, pembelian buku dan penerimaan terbitanterbitan baru untuk rujukan pengguna-pangguna perpustakaan. Justifikasinya, pengguna perkhidmatan Pusat Sumber Jabatan Alam Sekitar yang direkodkan telahpun meningkat. Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar turut memperluas Pendidikan Alam Sekitar. Melalui program sebegini, kefahaman seseorang mengenai bagaimana dunia berfungsi dan perkaitannya dengan kehidupan bagi memupuk sikap positif di samping memilih cara hidup yang bertanggungjawab dalam memelihara dan memulihara alam sekitar untuk mewujudkan satu ekosistem yang boleh menyokong kehidupan bersih, sihat, produktif, seimbang dan terjamin disamping kempen kesedaran yang konsisten dapat ditingkatkan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Antara program yang dirancang ialah Program Sekolah Lestari. Jabatan Alam Sekitar telah bekerjasama dengan beberapa buah sekolah dan turut melibatkan komuniti diluar sekolah yang terdiri daripada Jabatan Kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan yang paling penting adalah anggota komuniti itu sendiri yang terdiri daripada kalangan ibu bapa dalam menjayakan program ini. Melalui Program Sekolah Lestari, semua aktiviti-aktiviti kesedaran yang dijalankan ialah seperti Rakan Alam Sekitar dan Projek Wira Alam. Program Rakan Alam Sekitar merupakan satu program yang direkabentuk supaya mempunyai unsurunsur pemantauan, pelaksanaan dan maklumbalas keberkesanan aktiviti dan yang paling penting penglibatan secara hands-on atau fizikal oleh anggota masyarakat untuk membantu agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar. Bagi memantapkan lagi program Rakan Alam Sekitar ianya akan dijalankan di setiap kawasan Parlimen. Tema Program Rakan Alam Sekitar adalah Planet ini memerlukan ANDA, Bersatu menangani Perubahan Iklim. Yang terkini, program Rakan Alam Sekitar telah menjalankan satu aktiviti iaitu e-waste di beberapa buah sekolah turut diadakan. Aktiviti ini merupakan program

pengumpulan dan mengitar semula buangan elektrik dan elektronik melalui penglibatan secara praktis atau hands-on sekitar yang berbentuk komuniti mengikut kawasan Parlimen. Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya, sebagai contoh di Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi, Johor yang berjaya mengumpul sebanyak 2890 kg bahan buangan. Selain itu, projek Wira Alam juga merupakan salah satu daripada projek di bawah payung Sekolah Lestari Projek ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS). Program Wira Alam sebenarnya diperkenalkan oleh JAS kepada pelajar melalui komuniti sekolah iaitu Kelab Pecinta Alam yang ditubuhkan di sekolah-sekolah. Penerapan nilai-nilai murni alam sekitar di kalangan pelajar dilaksanakan bukan sahaja melalui proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah tetapi juga melalui penglibatan pelajar secara aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah dan tugasan yang disempurnakan dalam buku kerja yang mengandungi tiga tahap iaitu, Wira Diri, Wira Komuniti dan Wira Alam berdasarkan kepada tahap kesedaran, sikap dan tindakan pelajar dengan objektif untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk melibatkan diri secara individu atau berkumpulan dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Dalam melaksanakan program ini, setiap laporan pelajar akan dinilai dan disahkan oleh guru penasihat. Untuk setiap tugasan yang dilakukan secara berkumpulan, guru perlu memastikan semua ahli kumpulan tersebut melibatkan diri secara aktif dan laporan perlu dikemukakan secara individu. Guru perlu memastikan bahawa hanya pelajar yang benar-benar layak sahaja akan menerima anugerah Wira Alam. Secara umumnya, guru dan pelajar akan bekerjasama secara langsung ke arah mewujudkan konsep "Masyarakat Penyayang". Sementara itu, kerjasama dalam menjaga alam sekitar ini turut disahut oleh pihak swasta seperti syarikat Intel Malaysia. Syarikat ini telah berganding bahu dengan sekolah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menganjurkan aktiviti Kempen Kitar Semula Bahan Buangan Padu Intel, Program Renjer Sungai Intel Malaysia, dan Program Pemuliharaan Marin Intel Malaysia dengan bertemakan Dari Daratan ke Lautan: Komitmen Kita kepada Alam Sekitar sempena meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia. Aktiviti ini dilakukan bersama masyarakat di Pulau Pinang dan Kulim kearah menumpukan kepada usaha memulihara alam sekitar, meningkatkan kesedaran, tanggungjawab dan tindakan bagi melindungi alam semulajadi. Di samping itu, pihak Intel Malaysia juga melancarkan kempen 1 Pekerja, 1 Pokok. Dalam kempen ini, aktiviti yang telah digerakkan ialah menanam pokok tembakau. Sebanyak 8000 batang pokok bakau telah ditanam oleh 2000 pekerja syarikat Intel Malaysia. Pelajar dari 24 buah sekolah telah malibatkan diri dalam usaha eco-mesra ini. Syarikat swasta lain iaitu Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. turut bekerjasama dalam menjaga alam sekitar dengan menyambut kempen program penghijauan yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Johor. Mereka telah menyumbang sebanyak 2000 pokok hutan untuk Taman Bandar, Pasir Gudangdi mana sebanyak 74 spesis pokok hutan seperti pokok cengal, merbau, kapur, kempas dan lain-lain lagi ditanam di sini. Malakoff pula melancarkan projek Inisiatif Paya Bakau dengan menanam 9,300 anak pokok bakau di sekitar lojinya di Tanjung Bin untuk membantu memulihara ekosistem kawasan berkenaan. Lain daripada itu, medium pendidikan terutama masyarakat komuniti sekolah dan institusi pengajian tinggi dari peringkat awal memainkan peranan penting untuk menanamkan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat. Bahagian pendidikan ini telah

berkerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dalam menerapkan nilai-nilai menghargai alam sekitar melalui kewujudan kelab-kelab seperti kelab Pecinta Alam. Kelab seperti ini telahpun diwujudkan disetiap sekolah malahan pihak Persatuan Pencinta Alam yang bertanggungjawab ke atas kelab tersebut bagi menggerakkan aktiviti berkaitan alam sekitar. Ini kerana, pelajar-pelajar terutama di bandar yang pesat dan membangun kurang didedahkan kepada isu dan masalah alam sekitar yang sebenar. Pembangunan yang pesat di sekeliling mereka menjadikan mereka semakin jauh dengan keadaan alam semula jadi terutamanya hutan. Maka kelab Pecinta Alam ini khususnya dapat meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman para pelajar tentang alam sekitar serta kepentingan memelihara alam semula jadi. Ini dapat dibuktikan melalui Persatuan Pencinta Alam Sekolah Menengah Tun Dr. Ismail,Bakri, Muar, yang menjalankan telah Eksplorasi Hutan Bakau di Tanjung Ketapang, bagi menjalankan gotong-royong menanam 700 anak pokok bakau di kawasan itu. Seterusnya, pendidikan di pengajian tinggi seperti di Universiti Sains Malaysia telah melaksanakan program Kejuruteraan Alam Sekitar. Aktiviti-aktiviti yang diwujudkan ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya terhadap pelajar yang merupakan pelapis yang akan mempelopori ruang-ruang komuniti mendatang melalui pendekatan yang menggerakkan masyarakat terlibat secara praktis. Begitu juga dengan masyarakat yang membabitkan individu itu sendiri terutama bagi individu berdaftar sebagai Rakan Alam Sekitar. Ini kerana merekam merupakan mata dan telinga kepada agensi berkaitan dengan menyalurkan maklumat dan memainkan peranan yang amat penting dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kesedaran sivik dalam diri setiap masyarakat perlulah dipupuk sejak masih rebung lagi, misalnya, tidak membuang sampah merata-rata dan perlu lebih prihatin supaya tidak melakukan jenayah terhadap sekitar agar khazanah alam dapat dipelihara serta dipulihara. Mereka juga perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kejadian pencemaran alam sekitar. Mereka seharusnya bersikap lebih mengambil berat dengan menyambut baik di samping mengamalkan setiap kempen yang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan selama ini. Maka, kerjasama bagai aur dengan tebing sewajarnya diberikan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.. Kita harus mengambil kira kesan yang mungkin wujud terhadap khazanah alam semulajadi disebabkan oleh aktiviti negatif tersebut. Intihannya, yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. Oleh hal yang demikian, kerjasama yang padu antara rakyat dengan kerajaan tentunya mampu menangani masalah-masalah alam sekitar yang timbul kini justeru akan menjamin kesejahteraan hidup. Bahkan dalam ungkapan orang tua-tua Melayu turut dikatakan: Kalau hidup hendak selamat, peliharalah laut beserta selat, peliharalah tanah berhutan lebat, di situ terkandung rezeki dan rahmat, di situ terkandung tamsil ibarat, di situ terkandung aneka nikmat, di situ terkandung beragam manfaat, di situ terkandung petua adat. Hal ini sinonim dengan slogan negara Negara Bersih, Rakyat Sihat .

Anda mungkin juga menyukai