Anda di halaman 1dari 30

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Nama Kursus: PENGAJARAN KEPELBAGAIAN PELAJAR (KPD5033)

Program Pengajian: DIPLOMA PENDIDIKAN LEPASAN IJAZAH EKONOMI RUMAH TANGGA (AT63D)

Semester: SEMESTER 2 SESI JULAI 2009/2010 Kumpulan Kuliah: M

Tajuk Tugasan: TUGASAN 1 : PENGUASAAN KONSEP BERKENAAN DENGAN PENGAJARAN KEPELBAGAIAN PELAJAR

Nama Pensyarah: PROF. MADYA DR. AMIR HASAN DAWI

KAEDAH INDUKTIF DAN DEDUKTIF

Kaedah induktif merupakan salah satu kaedah mengajar yang sesuai digunakan dalam pengajaran pelbagai mata pelajaran, khususnya Matematik, Sains dan Bahasa (Mok Soon Sang, 2001). Pengajaran berasaskan gaya induktif adalah satu pendekatan mengajar yang melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi di mana melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulan (Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz, 2004).

Hilda taba mempercayai bahawa pelajar membuat generalisasi hanya setelah maklumat dapat diorganisasi dengan sempurna. Taba adalah lebih dikenali dengan model pengajarannya yang melibatkan pemikiran induktif. Menurut beliau, dengan

menggunakan pelbagai strategi, pelajar boleh dibantu menyelesaikan masalah dengan jayanya. Strategi induktif ini mengalir dalam proses kognitif dan memerlukan pelajar menggunakan teknik soalan-soalan ringkas (Hilda Taba, 1962).

Pengajaran berasaskan gaya pemikiran deduktif adalah satu pendekatan mengajar yang mengasaskan pengajaran berdasarkan keseluruhan konsep. Konsep deduktif boleh ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan yang diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus (Mok Soon Sang, 2003). Seperti dalam pendekatan induktif, ia juga menggunakan proses penaakulan yang tinggi. Kaedah deduktif berlandaskan pendekatannya merupakan kaedah mengajar yang kompleks kerana ia memerlukan murid-murid memperolehi kefahaman yang mendalam dan pengetahuan yang cukup. Dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek matter, pendekatan deduktif melibatkan pelajar-pelajar mempelajari peraturan-peraturan atau diberi maklumat tertentu sebelum mereka diminta melakukan penganalisisan bahan yang hendak dipelajari itu. Kaedah ini menjadi pilihan kami kerana pelajar terlibat secara aktif dalam kumpulan dan dapat melatih mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Pelajar lemah

dapat berinteraksi dengan pelajar pandai. Selain itu mereka dapat melatih diri untuk berkomunikasi dan bergaul dengan pelajar yang pelbagai latar belakang.

KONSEP PEMBELAJARAN KOPERATIF Koperatif membawa maksud kerjasama. Oleh itu pembelajaran koperatif bermaksud proses pembelajaran di mana para pelajar dari pelbagai kebolehan belajar secara berkerjasama di dalam kumpulan kecil. Antara unsur-unsur yang terdapat dalam pembelajaran koperatif ialah: i. Pelajar-pelajar saling bergantung antara satu sama lain secara positif serta melibatkan diri secara aktif dalam kumpulan tersebut. ii. Pelajar-pelajar saling berkomunikasi secara bersemuka dan kemahiran berkomunikasi dapat diperbaiki. iii. Pelajar-pelajar dilatih dengan akauntabiliti diri sendiri serta

tanggungjawab berkongsi sesama rakan sekumpulan. iv. Pembelajaran koperatif adalah sebagai salah satu cara untuk mencapai pencapaian yang lebih baik daripada pembelajaran diri sendiri.

Menurut Kamarudin dan Siti Hajar (2004) di dalam Pedagogi Asas Pendidikan terdapat tiga perkara penting bagi membolehkan pembelajaran koperatif berjalan dengan lancar. Pertama, adalah pelajar perlu merasa selamat tetapi mencabar. Kedua, bilangan ahli dalam kumpulan perlu kecil untuk membolehkan setiap orang daripada mereka menyumbang sesuatu. Ketiga, tugas yang diberi untuk setiap pelajar bekerja hendaklah dapat di takrifkan dengan jelas.

Antara teknik-teknik Pembelajaran Koperatif adalah seperi berikut : Temu Duga Tiga-Langkah - Teknik ini digunakan untuk sebagai pemecahan tembok (ice breaker) untuk ahli-ahli kumpulan mengenali sesama sendiri. Perbincangan Meja Bulat digunakan untuk sumbang saran idea dan untuk memberikan tindak balas terhadap satu soalan sahaja atau satu siri soalan.

Anotasi Berpasangan pelajar berpasangan menyemak atau menganalisis satu artikel yang sama dan kemudian bertukar-tukar bahan untuk membaca dan menceritakan semula. Penyenaraian Berfokus sebagai satu teknik sumbang saran atau satu cara untuk menerbitkan deskrepsi dan definasi konsep-konsep. Terdapat banyak lagi teknik-teknik pembelajaran koperatif antaranya Jigsaw, TGT (Teams-Games-Tournaments), STAD (Students Teams-Achievement Division), Belajar Bersama (Learning Together) dan Permainan Panggil Nombor (Numbered Heads).

Pembelajaran Koperatif menjadi pilihan kami kerana melalui pembelajaran sebegini pelajar dapat memahirkan kemahiran berkomunikasi dan memberikan keyakinan di dalam diri. Selain itu pelajar juga dapat melatih kemahiran bersosial. Mereka akan belajar untuk menerima pendapat rakan-rakan sebaya (perkongsian idea) dan bersedia dikritik apabila pendapat mereka disangkal oleh rakan-rakan yang lain. Mereka juga dapat bersaing sesama sendiri dalam keadaan yang terkawal dan positif. Kemahiran berfikir juga dapat dipraktikkan di dalam pembelajaran ini kerana pelajar dikehendaki berfikir untuk mencurahkan idea masing-masing.

Merujuk kepada pengajaran pelbagai pelajar, pembelajaran koperatif dapat menyatukan pelajar dari pelbagai kebolehan. Melalui perbincangan berkumpulan pelajar di letakkan dalam kumpulan yang mempunyai pelbagai kebolehan. Setiap kumpulan akan ada pelajar yang lemah dan pelajar yang pandai. Maka pelajar yang lemah dapat dibimbing oleh pelajar yang pandai dan keseimbangan penyampaian ilmu dapat dilaksanakan. Selain itu dengan pembelajaran koperatif interaksi yang positif di antara pelajar dari pelbagai budaya, keturunan, agama dan kelas sosial dapat diwujudkan.

KONSEP SEKOLAH KLUSTER

Di dalam Bab 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 terdapat penubuhan Sekolah Kluster dalam kehendak Teras Strategik Keenam iaitu Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Konsep Sekolah Kluster adalah di mana sekolah-sekolah dikelompokkan mengikut aspek kecemerlangan pengurusan sekolah dan kecemerlangan pelajar.

Tujuan Sekolah Kluster diwujudkan adalah untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia. Sekolah Kluster adalah sekolah cemerlang yang berpotensi untuk ditingkatkan kecemerlangannya ke tahap yang lebih tinggi. Ianya juga menjadi contoh kepada sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah di luar klusternya.

Di dalam Sekolah Kluster terdapat tiga jawatankuasa yang ditubuhkan bagi melaksanakan konsep sekolah kluster. Jawatankuasa tersebut ialah; 1) Jawatankuasa Pemilihan Sekolah - dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia 2) Panel Penasihat - dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad 3) Jawatankuasa Pelaksana - dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Sekolah) (Sumber www.moe.gov.my)

Sekolah yang terlibat dalam Sekolah Kluster adalah sekolah rendah dari Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) dan Sekolah Orang Asli. Bagi sekolah menengah pula, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya serta Sekolah Modal Khas. (Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman, 2008).

Sekolah Kluster ini mempunyai kuasa autonomi dari segi pentadbiran, kewangan, pemilihan guru dan pelajar, kurikulum, kokurikulum, proses pengajaran dan

pembelajaran serta yuran. Pandangan stakeholder seperti PIBG, Alumi, pemimpin sekolah dan guru turut diambil kira dalam pelaksanaan sekolah kluster. Kesemua mereka terlibat secara langsung dalam Bengkel Autonomi Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah diadakan pada 19-20 Mac 2007. Namun, Sekolah Kluster masih di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dari segi kepelbagaian pelajar Sekolah Kluster dilihat dapat membantu pelajar memupuk kemahiran dalam bidang masing-masing. Setiap pelajar di dalam sekolah tersebut akan di berikan perhatian sama rata demi meningkatkan kecemerlangan sekolah tersebut. Maka tidak akan ada pelajar yang ketinggalan.

PENGURUSAN BILIK DARJAH UNTUK PELAJAR BERMASALAH PEMBELAJARAN (DISRUPTIVE)

Pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran adalah pelajar yang terdiri daripada mereka yang mempunyai I.Q (darjah kecerdasan) yang rendah. Mereka tidak berupaya mengikuti pembelajaran di dalam kelas biasa. Kebiasaannya mereka mempunyai konsep kendiri negatif, motivasi rendah, sifat introvert, tabiat malas berusaha, kekurangan minat dan kecenderungan dalam kanak-kanak ataupun sakit. Menurut Mok Soon Sang (2009), dalam buku Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku definasi umum yang digariskan oleh Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak Cacat (1986). Definasi tersebut ialah, kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah dimanifestasikan daripada salah satu atau beberapa proses psikologikal yang melibatkan gangguan tatatertib dalam kefahaman dan penggunaan bahasa lisan atau tulisan.

Menurut Mok Soon Sang (2009), terdapat beberapa faktor berkenaan pelajar bermasalah pembelajaran antaranya faktor peribadi, kurang kecerdasan, fizikal dan psikologi. Faktor peribadi berkaitan dengan masalah yang berhubung rapat dengan kemiskinan dan masalah sosial. Persekitaran sosial yang kurang kondusif dan kemiskinan keluarga menyebabkan pencapaian pembelajaran pelajar terjejas. Bagi pelajar yang berasal daripada keluarga yang miskin terpaksa menolong keluarga dengan bekerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga. Mereka kurang bermotivasi untuk belajar kerana kurang mendapat galakan dan sokongan daripada keluarga mereka.

Bagi faktor kurang kecerdasan pula, ianya berkaitan dengan masalah mental pelajar tersebut. Mereka terdiri daripada pelajar yang lambat berfikir, cepat lupa, sukar memahami sesuatu, lemah pengamatan dan sebagainya. Sementara itu dari segi faktor fizikal pula ialah dari aspek kesihatan pelajar. Ianya berkait rapat dengan faktor-faktor kesihatan seperti kekurangan makanan berzat, kekurangan tenaga untuk belajar dan mudah diserang berbagai jenis penyakit. Selain itu mereka juga mempunyai masalah kecacatan fizikal seperti pekak, bisu, buta, sengau, kurang pendengaran, penglihatan kurang jelas dan sebagainya.

Untuk faktor psikologi pula berkait rapat dengan masalah emosi. Pelajar ini mempunyai perasaan takut, benci, diam, malu, tidak berkeyakinan, rendah diri dan mempunyai tahap kendiri negatif.

Konsep ini menjadi pilihan kami kerana di dalam sesebuah kelas tentu ada di antara pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. Pelajar tersebut perlu di kenal pasti agar proses pengajaran boleh di ubahsuai bersesuaian dengan tahap pencapaian mereka. Kaedah pengajaran perlu di pelbagaikan mengikut keadaan murid. Pelajar tersebut perlu diberikan lebih perhatian dan bimbingan agar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Selain itu dengan memahami konsep ini kami akan lebih bersedia apabila berhadapan dengan pelajar yang bermaslah pembelajaran.

Bagi pengajaran kepelbagaian pelajar pula guru perlulah mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran agar pengajaran boleh diubah mengikut tahap pencapaian pelajar. Selain itu guru juga perlu memberikan peneguhan positif kepada pelajar bermasalah pembelajaran kerana mereka sememangnya mempunyai tahap kendiri yang negatif. Dengan adanya peneguhan positif mereka akan lebih bersemangat untuk belajar. Teknik motivasi juga boleh digunakan untuk memandu pelajar ke arah yang lebih dinamik. Seterusnya merancang variasi penyampaian kerana ia mampu menarik perhatian pelajar. Contoh penyampaian yang boleh di lakukan adalah seperti menukarnukar intonasi suara, tepuk tangan, fokus pandangan, gerakan kepala dan gerakan fizikal guru yang berbagai-bagai.

KAEDAH PENEMUAN INKUIRI

Pada umumnya, kaedah ialah cara atau peraturan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu. Berlainan dengan pendekatan, kaedah merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran yang spesifik dalam jangka pendek (Mok Soon Sang, 2008). Mengikut Edward M. Anthony (1963) dalam buku siri pendidikan Pedagogi untuk Pengajaran & pembelajaran (Mok Soon Sang, 2008), kaedah merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun, berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih.

Penemuan dapat ditakrifkan sebagai proses mental mengasimilasikan konsep dan prinsip (Shulman, 1968). Penemuan berlaku apabila seseorang itu menggunakan proses mental dalam usaha mendapatkan sesuatu konsep atau prinsip. Proses mental itu adalah membuat pemerhatian, pengelasan, pengukuran, meramal, menerangkan dan membuat inferens. Pembelajaran inkuiri-penemuan adalah pendekatan penerokaan, ini didorong oleh pertanyaan demi pertanyaan dan membuat penemuan dalam usaha mencari kefahaman baru. Proses inkuiri didorong oleh sifat ingin tahu dan keinginan memahami sesuatu ataupun menyelesaikan masalah. Proses inkuiri bermula daripada sesuatu pemerhatian yang menarik minat dan seterusnya menimbulkan persoalan.

Inkuiri adalah satu proses mencari dan menyiasat masalah, membina hipotesis, mereka bentuk eksperimen, mengumpul data dan membuat kesimpulan untuk menyelesaikan masalah. (Lee S. Shulman,1986). Inkuiri secara amnya bermaksud mencari maklumat, menyoal dan menyiasat sesuatu fenomena yang berlaku di sekeliling. Melalui inkuiri, kanak-kanak menerangkan objek ataupun proses, menyoal, menjalankan eksperimen, menjawab soalan berkomunikasi bagi berkongsi penemuan ataupun penyelesaian. Inkuiri juga ditakrifkan seperti berikut: Inkuiri adalah proses mencari dan menyiasat masalah, membina hipotesis, mereka bentuk eksperimen, mengumpul data dan membuat kesimpulan menyelesaikan masalah.

Teknik inkuiri dikenali juga sebagai teknik tinjau siasat. Ia merangkumi segala proses soal selidik bagi mendapatkan jawapan daripada soalan atau masalah yang ditimbulkan. Dalam proses pembelajarannya, teknik ini adalah berdasarkan prinsip dan prosedur yang

digunakan oleh para saintis sewaktu menjalankan uji kaji di dalam makmal. Teknik inkuiri dapat mengembangkan kebolehan berfikir reflektif di kalangan pelajar sewaktu menyenaraikan soalan-soalan yang perlu dicari jawapannya sebelum membuat kesimpulan mengenai sesuatu perkara yang disiasat. Kaedah penemuan pula adalah proses mengenalpasti dan mendapat tahu sesuatu prinsip, fenomena atau ciri-ciri tertentu yang sedia ada tetapi belum dipastikan lagi. Sewaktu menjalankan aktiviti pembelajaran menggunakan teknik penemuan ini, pelajar akan memerhati, mengkaji, mengumpul data, menganalisis, mentafsir, merumus, dan mengenalpasti ciri-ciri tertentu sebelum mengetahui dengan pasti sesuatu perkara.

Teknik inkuiri-penemuan juga sangat berpusatkan kepada pelajar dan mereka diberi kebebasan yang luas meneroka sesuatu fenomena dengan bimbingan guru. Kebebasan tersebut meningkatkan motivasi mereka supaya berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan kejayaan menemui sesuatu konsep yang tepat pada akhir pelajaran. Ingatan pada penemuan tersebut juga kekal lama dan aktiviti sebegini dapat melatih pelajar bertanggungjawab pada pembelajaran mereka sendiri. Disiplin yang tinggi juga perlu bagi menyelesaikan masalah dan jika dijalankan secara berkumpulan, dapat memupuk semangat kerjasama dan toleransi di kalangan ahli kumpulan

KONSEP PENDEKATAN, KAEDAH, TEKNIK DAN STRATEGI

Konsep Pendekatan

Mengikut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti mengatasi masalah. Di dalam konteks pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu, misalnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran sesuatu mata pelajaran. Dengan kata lain, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan untuk mencapai objektifnya.

Konsep Kaedah

Pada umumnya, kaedah ialah cara atau peraturan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu. Berlainan dengan pendekatan, kaedah merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran yang spesifik dalam jangka pendek (Mok Soon Sang, 2003). Mengikut Edward M. Anthony (1963) dalam buku siri pendidikan Pedagogi untuk Pengajaran & pembelajaran (Mok Soon Sang, 2008), kaedah merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun, berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih.

Konsep Teknik

Di bawah konteks pendidikan, teknik mengajar boleh ditakrifkan sebagai kemahiran guru digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut pandangan Edward M. Anthony (1963), teknik mengajar merujuk kepada satu muslihat atau strategi atau satu kemahiran yang digunakan oleh guru dengan tujuan untuk mencapai objektif pelajaran secara optimum. Tujuan menggunakan pelbagai teknik mengajar dalam situasi pengajaran ialah untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian serta membangkitkan perasaan ingin tahu murid supaya mencapai objektif pengajaran guru.

Konsep Strategi

Mengikut Kamus Dewan (1998), strategi merupakan rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Strategi pula bermakna kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara. Di dalam bidang pendidikan, konsep strategi merujuk kepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam satu-satu pengajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan. Dengan perkataan lain, strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada penentuan dan perancangan kaedah serta teknik mengajar untuk mencapai objektif jangka panjang dalam sesuatu pendekatan dengan berkesan (Mok Soon Sang, 2003).

Kita biasanya mendengar pendapat bahawa tiada terdapat mana-mana kaedah yang paling baik sekali. Ini amat benar kerana kaedah-kaedah mengajar mestilah diatur untuk membentuk strategi pengajaran mengikut keadaan di mana proses pengajaran itu berlaku. Jelasnya sesuatu kaedah pengajaran tidak menjaminkan pencapaian matlamat pengajaran. Yang lebih penting adalah interaksi kaedah itu dengan kaedah-kaedah lain.

Kesimpulan yang boleh dibuat setakat ini ialah sesuatu strategi pengajaran menggabungkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang optimum sekali. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling maksimum

KONSEP SEKOLAH WAWASAN

Sekolah Wawasan diperkenalkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan Disember dalam tahun 1995. Konsep ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid daripada pelbagai kaum dan agama untuk belajar dan berinteraksi bersama-sama dalam sesuatu kawasan yang sama. Ini adalah bertujuan untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan bangsa.

Di dalam Sekolah Wawasan terdapat tiga jenis aliran sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina & Tamil). Semua sekolah tersebut diletakkan dalam kawasan yang sama tetapi setiap jenis aliran sekolah mempunyai bilik darjah dan kuasa terhadap pentadbiran sekolah masing-masing. Setiap sekolah mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung di antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way). Walau bagaimanapun mereka bersama-sama dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan aktiviti kokurikulum, berkongsi kemudahan-kemudahan sekolah seperti padang, dewan, kantin, pusat sumber dan lain-lain.

Guru Besar bagi setiap sekolah tersebut akan bertanggungjawab ke atas pengurusan pentadbiran dan kewangan sekolah masing-masing. Selain itu, seorang Guru Besar daripada tiga aliran sekolah tersebut akan dipilih sebagai penyelaras untuk menyelaras segala rancangan yang akan dilakukan bersama. Didalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum, kerjasama di kalangan guru Sekolah Wawasan amat digalakkan.

Kami memilih konsep ini kerana bahasa rasmi adalah Bahasa Malaysia, ia digunakan sebagai bahasa pengantar di dalam semua aktiviti di luar bilik darjah seperti dalam interaksi sosial, perhimpunan, aktiviti kurikulum, hari penyampaian hadiah dan sebagainya. Selain itu tujuan dan matlamat Sekolah Wawasan adalah untuk;

1. Mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang 2. Memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran

3. Melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu 4. Menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah

5 buah Kompleks Sekolah Wawasan yang telah berjaya beroperasi adalah Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak, Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah, Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang, Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.

Sekolah Wawasan memang mempunyai perkaitan dengan kepelbagaian pelajar kerana pelajar dari pelbagai kaum, agama dan bangsa berada dalam sekolah yang sama. Pelajar dapat bergaul dengan pelbagai kaum dan semangat perpaduan dapat dipupuk dari awal lagi.

KONSEP PENGURUSAN BILIK DARJAH UNTUK PELAJAR PINTAR CERGAS (GIFTED)

Pelajar Pintar Cergas (gifted) merujuk kepada kanak-kanak yang mempunyai Darjah Kecerdasan melebihi 120. Terdapat tiga kategori kanak-kanak yang tergolong dalam kumpulan ini, iaitu: 1. Kanak-kanak yang mempunyai intelek yang tinggi. 2. Kanak-kanak yang mempunyai bakat mencipta. 3. Kanak-kanak yang berbakat khas dalam senilukis, penulisan, drama, muzik, kraftangan, sukan dan sebagainya.

Menurut Dr. Chua Tee Tee, (di dalam buku Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, Mok Soon Sang, 2008), pelajar pintar-cerdas menunjukkan potensi atau kebolehannya yang cemerlang dalam aktiviti intelek seperti pemikiran abstrak, pemikiran logik atau kemahiran bertutur. Selain itu mereka mempunyai daya ingatan yang tinggi serta berbakat mencipta atau mempunyai kemahiran senilukis, drama, muzik, penulisan dan sebagainya. Terdapat tujuh ciri yang telah di kenal pasti oleh Dr. Chua Tee Tee berkenaan pelajar pintar-cergas: 1. Mempunyai keupayaan berfikiran keatif. 2. Memperolehi kebolehan intelek am. 3. Memiliki kebolehan akademik khusus. 4. Berbakat dalam satu atau lebih kesenian. 5. Cekap menyesuaikan diri dari segi sosial dan emosi. 6. Boleh bervisi jauh. 7. Mempunyai bakat memimpin.

Kami memilih pengurusan bilik darjah bagi pelajar pintar-cergas kerana pelajar ini mempunyai kemahiran kognitif yang tinggi, bersifat ingin tahu yang amat kuat dan ketara, berpotensi kreativiti dan sensitiviti, menunjukkan motivasi yang kuat dan mempunyai perasaan afektif yang tinggi. Selain itu ianya boleh memberikan kami pemahaman yang lebih jelas berkaitan pelajar pintar cergas. Terdapat beberapa kaedah yang boleh di gunakan untuk dalam mengajar pelajar tersebut, antaranya kaedah pengelompokan, pengayaan dan pecutan (acceleration). Bagi kaedah pengelompokan, pelajar di tempatkan di dalam kelas yang sama dan para pelajar mempunyai kebolehan

yang hampir sama. Di dalam kelas tersebut pelajar diajar dengan pengajaran yang berkualiti dan di sertai dengan aktiviti pengayaan. Dalam kaedah pengayaan guru menyediakan pengalaman belajar yang berbeza. Ini adalah untuk meningkatkan kecekapan kefahaman pelajar tersebut. Kaedah pecutan pula, masa belajar di pendekkan. Sukatan pelajaran berubah bagi membolehkan pelajar tersebut menyiapkan program pendidikan biasa dalam masa yang singkat. Dalam kaedah memerlukan pendidikan lanjutan yang baik agar kanak-kanak pintar ini dapat mengisi masa dengan produktif.

Dari segi kepelbagaian pelajar pula, guru boleh merancang teknik, kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut jenis kecerdasan, bakat dan potensi yang terdapat pada para pelajar. Pelajar tidak akan bosan sekiranya guru mempelbagaikan cara pengajarannya dan tidak hanya berfokus kepada satu-satu jenis kecerdasaan sahaja. Melalui kepelbagaian kaedah mengajar para guru dapat mengasah bakat pelajar pintar cergas tersebut dalam menonjolkan kelebihan yang telah sedia mereka miliki. Cara tersebut dapat menjadikan mereka lebih mengetahui potensi dan kemampuan sebenar diri mereka.

KONSEP KOLABORATIF

Pembelajaran kolaboratif merujuk kepada keadaan di mana pelajar bersatu dalam kumpulan untuk melaksanakan tugas. Pembelajaran ini membolehkan permuafakatan terbina melalui kerjasama dengan ahli kumpulan. Dalam konsep ini guru hanya membantu pelajar memberi respon kepada tugas pembelajaran. Sebagai contoh dalam topik diet bagi mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga, pelajar berbincang mengenai topik tersebut dan memainkan peranan aktif dalam mengkaji topik diet tersebut. Selain itu koloboratif juga membawa makna bekerja bersama-sama, membina bersamasama, mengubah bersama-sama dan membaiki bersama-sama.

Kamarudin dan Siti Hajar (2004) di dalam Pedagogi Asas Pendidikan ciri-ciri kelas kolaboratif ialah: 1. Berkongsi pengetahuan di kalangan guru dan pelajar. Guru akan menilai dan membangunkan pengetahuan, pengalaman personal, bahasa, strategi dan budaya yang di bawa oleh pelajar ke dalam situasi pembelajaran. 2. Berkongsi autoriti di kalangan guru dan pelajar. Guru menggalakkan pelajar menggunakan pengetahuan mereka dengan memastikan yang mereka berpeluang berkongsi pengetahuan dan strategi pembelajaran, melayan setiap orang secara hormat dan berfokus kepada peringkat pemahaman yang tinggi. 3. Guru sebagai perantara. Guru membantu pelajar menghubungkan maklumat baru kepada pengalaman mereka, menganggarkan apa yang hendak dilakukan apabila mereka terganggu atau tergamam dan membantu mereka belajar bagaimana hendak belajar. 4. Pengelompokan pelajar secara heterogeneous. Pelajar belajar dari setiap pelajar yang lain. Semua pelajar di beri peluang untuk memberikan sumbangan dan menghargai sumbangan pelajar lain.

Pemilihan konsep ini bagi kami adalah kerana ianya melibatkan kerjasama di antara pelajar dapat dipupuk dan kemahiran bersosial serta komunikasi dapat di pertingkatkan. Pelajar boleh melahirkan idea dan berkongsi bersama-sama pelajar lain. Penilaian pelajar dalam kumpulan di lakukan dengan mengambil kira semangat

berpasukan, sumbangan, penglibatan dan kejujuran memberi kerjasama. Daripada konsep ini juga pelajar dapat menguasai teknik-teknik menyelesaikan masalah pembelajaran. Idea dan pandangan yang di keluarkan dapat membantu menangani sebarang masalah secara makro dan mikro.

Konsep ini bersesuaian dengan pengajaran kepelbagaian pelajar kerana dalam pembelajaran kolabratif ianya memberi peluang kepada pelajar yang tidak di kenali sebelum ini iaitu jika di luar bilik darjah. Proses adaptasi terjadi dan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang dinamik. Selain itu pelajar mendapat pelbagai pengalaman pembelajaran melalui pelajar yang berlatar belakang sosioekonomi yang berbeza-beza. Pelajar dapat membuat perbandingan idea-idea pelajar lain dan mengiktiraf sumbangan idea yang dikongsi oleh pelajar. Melalui pembelajaran kolaboratif pelajar tidak didiskriminasi atau di ketepikan ataupun dipencilkan mengikut kebolehan yang sepatutnya, pencapaian, minat dan sebagainya. Setiap pelajar saling hormat-menghormati, belajar menerima idea atau pandangan pelajar lain, saling bertolak ansur dan dapat menyusaiakan diri dengan pelajar yang datang dari pelbagai latar belakang.

KONSEP PENDIDIKAN PEMULIHAN

Konsep pendidikan pemulihan adalah suatu pengajaran dan pembelajaran untuk membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran di dalam kelas. Antara masalah yang sering di hadapi oleh pelajar ialah kesukaran menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Di dalam kelas pemulihan pelajar akan dibantu untuk menguasai kemahiran-kemahiran asas tersebut.

Aktiviti-aktiviti khas perlu dirancangkan dan dijalankan untuk membantu pelajar yang bermasalah pembelajaran atau lembam ini. Dengan adanya aktiviti tersebut kesulitan pembelajaran dapat diatasi, pencapaian mereka dapat di tingkatkan ke taraf normal. Pengajaran pemulihan adalah bertujuan untuk memulihkan masalah pembelajaran pelajar lembam supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam mata pelajaran dan dapat mengejar rakan sebaya mereka. Dua prinsip asas pengajaran pemulihan ialah 1. Pelajar-pelajar lembam boleh mencapai perlakuan normal jika diberi pertolongan yang sesuai. 2. Pengajaran pemulihan dapat mencegah kesan buruk yang mungkin dibawa oleh kegagalan pembelajaran.

Mok Soon Sang (2009), dalam buku Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, terdapat beberapa objektif pendidikan pemulihan antaranya: 1) Pelajar dapat menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang di rancang khas berdasarkan kebolehan mereka. 2) Pelajar mendapat layanan yang bersesuaian dengan kebolehan dan perkembangan kognitif mereka. 3) Boleh mengurangkan masalah-masalah pembelajaran yang di hadapi oleh mereka. 4) Dapat mengembangkan potensi minat mereka terhadap pelajaran ke peringkat yang memuaskan. 5) Dapat memberi peluang yang sama dengan melibatkan pelajar tersebut dalam aktiviti-aktiviti sosial baik dalam bilik darjah mahu pun di luar bilik darjah. 6) Pelajar memperolehi serta mengamalkan sikap positif seperti keyakinan diri dan berdikari apabila mereka berada dalam kumpulan atau masyarakat.

7) Pelajar dapat meneruskan pelajaran alam sistem persekolahan biasa dan dapat mengatasi masalah keciciran.

Kami memilih konsep pendidikan pemulihan kerana ianya amat penting dalam membantu pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran. Pengajaran pemulihan mestilah dijalankan seawal mungkin dan secara berterusan. Pengesanan pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran perlu dikesan dan ditentukan dengan awal supaya tindakan pemulihan dapat dijalankan dengan segera. Pemulihan perlu di lakukan pada peringkat pra sekolah lagi dan seterusnya pada awal sekolah rendah. Ianya perlu di lakukan secara berterusan dan konsisten dan tindakan pemulihan mestilah diambil bila ada pelajar yang memerlukannya tidak kira pada mana peringkat persekolahan.

Dari segi konteks pengajaran pelbagai pelajar, konsep pendidikan pemulihan hendaklah disediakan untuk pelajar yang terbabit serta merta untuk menggelakkan masalah tersebut terhimpun hingga ke peringkat yang tidak dapat dipulihkan lagi. Ini adalah kerana di dalam sesebuah kelas terdapat ramai pelajar dan keupayaan mereka juga berbeza. Bagi pelajar yang lemah sudah memestinya tidak dapat menerima apa yang diajar oleh guru mereka. Guru perlu menggunakan kaedah seluruh kelas dalam aktiviti pengajaran untuk menghabiskan sukatan dan perbezaan pelajar tidak dapat di ambil kira. Oleh sebab itu pentingnya pendidikan pemulihan bagi pelajar-pelajar tersebut.

MULTIPLE INTELLIGENCE (PEMBELAJARAN PELBAGAI)

Teori Pelbagai Kecerdasan yang dipelopori oleh Howard Gardner (1983) yang percaya bahawa kecerdasan melibatkan kebolehan seseorang untuk menyelesaikan masalah atau mencipta sesuatu hasil kerja. Menurut Gardner terdapat pelbagai cara atau proses kognitif yang individu lakukan untuk menyelesaikan masalah atau menghasilkan produk. Beliau seterusnya mengenalpasti tujuh jenis kecerdasan yang dimiliki oleh seseorang iaitu linguistik, logik matematik, ruang, muzik, kinestatik, intra personal dan inter personal.

Menurut Gardner lagi potensi kecerdasan mungkin bersifat aktif atau terpendam. Dari itu seorang guru perlu menyelidik apakah kecerdasan yang dimiliki oleh pelajarpelajarnya dan menggunakan potensi tersebut menjana sifat yang positif terhadap pembelajaran.

Lind Campbell dan Dee Dickinson (1999) merumuskan definisi kecerdasan Gardner sebagai kebolehan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar dan kebolehan membuat sesuatu atau menawarkan perkhidmatan bernilai dalam lingkungan sesuatu bidang. Di samping itu orang yang memiliki potensi kecerdasan juga berupaya mencari masalah baru hasil interaksinya dengan persekitaran dan berjaya mengatasi masalah tersebut seterusnya membuat sumbangan yang positif untuk dimanfaatkan oleh dirinya dan masyarakat sekeliling.

Menurut Thomas Amstrong (1999) pula teori pelbagai kecerdasan adalah berdasarkan inventori linguistik, logik matematik, ruang, muzik, kinestatik badan, intra personal dan inter personal. Inventori-inventori ini boleh diibaratkan sebagai satu kuasa intrinsik yang dapat memotivasikan setiap perlakuan seseorang. Beliau seterusnya berpendapat seseorang individu mungkin mempunyai satu atau lebih potensi dengan darjah yang berbeza-beza. Individu yang dirangsang potensi kecerdasannya akan merasa selesa dengan situasi yang dihadapinya. Ini akan mendorongnya untuk melakukan sesuatu dengan lebih serius dan sudah pasti dapat mempamerkan hasil kerja yang lebih bermutu.

Teori pelbagai kecerdasan ini perlu diaplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia berupaya:-

i)

Menyokong pembelajaran bersepadu yang menyeluruh selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan keperluan pelajar. Disamping menghasilkan insan yang seimbang, teori ini juga membantu pelajar memperoleh apa yang perlu untuk hidup di abad akan datang.

ii)

Menerima persamaan dan perbezaan antara individu dengan mengakui bahawa setiap pelajar adalah unik dan belajar dengan cara yang berlainan. Ia dapat membantu guru memahami motivasi pelajar dan kepentingan menggunakan pelbagai cara pelajar kefahaman mereka. Pelajar lebih dapat belajar dan menunjukkan bermotivasi dan guru perlu

mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran supaya lebih ramai pelajar boleh belajar mengikut cara masing-masing.

SEKOLAH BESTARI

Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal konsep Sekolah Bestari yang berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berpemikiran kritis dan kreatif. Seterusnya, ia mula diperkenalkan pada tahun 1999. Sekolah bestari merupakan institusi pengajian yang akan menyediakan kanak-kanak kepada alaf teknologi (Amir Hasan Dawi, 2009). Institusi pengajian ini telah direka semula secara menyeluruh

(systematically) dari segi proses pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi cabaran zaman maklumat (Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz, 2004). Selaras dengan itu, strategi utama adalah melalui penggunaan teknologi secara besar-besaran dalam pengajaran dan pembelajaran oleh murid dan oleh sekolah.

Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar - kuat atau lemah, kaya atau miskin - mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Sekolah Bestari mempunyai ciri yang berbeza sedikit dengan sekolah biasa.

Pertama, sekolah bestari telah dihubungkan melalui jaringan kawasan tempatan (LAN) untuk berkongsi maklumat dan komunikasi di peringkat dalam sekolah. Kedua, sekolah dihubungkan melalui jaringan kawasan yang lebih luas (WAN) seperti sekolah-sekolah, peringkat daerah, negara serta dunia secara

keseluruhannya. Ketiga, sekolah bestari juga akan dapat disesuaikan mengikut kehendak guru, pelajar dan pentadbir dengan menyediakan pelbagai perisian aplikasi (Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman, 2008).

Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Penyampaian pengajaran dan pembelajaran adalah menggunakan sumber-sumber yang berasaskan penggunaan komputer, bahan-bahan yang hands-on, makmal pembelajaran simulasi multimedia, bilik-bilik khas dan perpustakaan multimedia (Smart School Project Team 1997). Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, telah diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknolgi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, telah diberi latihan dalam perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya telah dipilih oleh Ketua Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perkembangan Sekolah Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Hal ini kerana, program pendidikan untuk penguasaan teknologi maklumat memang menjadi satu keperluan yang mendesak dalam zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Sekolah Bestari ini diharapkan akan dapat melahirkan generasi baru Malaysia yang mempunyai fikiran yang lebih kreatif dan inovatif, dapat menyesuaikan dan

menerima teknologi baru dan berkebolehan untuk akses dan menangani sepenuhnya ledakan informasi. Selain itu, Sekolah Bestari juga boleh melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan, yang dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi cabaran-cabaran Wawasan Negara.

KONSEP PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME

Konstruktivisime merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Konsep ini menggalakkan pelajar menggunakan teknik-teknik yang aktif untuk mencipta lebih banyak pengetahuan dan bertindak balas, serta berbincang tentang apa yang mereka lakukan dan bagaimana pemahaman mereka berubah. Sesi-sesi pembelajaran berkumpulan, sumbangsaran, kolaboratif memberi fokus kepada tugasan melibatkan interaksi dapat menggunakan strategi memori untuk memberi penekanan kepada penerokaan informasi yang baru. Selain itu pelajar juga di dedahkan kepada peluang-peluang untuk belajar menilai dan mengakomodasi maklumat ilmu pengetahuan ke arah pemahaman yang lebih kukuh.

Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan yang diajar di sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada pelajar dalam bentuk yang serba sempurna. Pelajar perlu membina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran haruslah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme. Beberapa tokoh konstruktivsme ialah Rutherford, Ahlgren dan John Dewey.

Kamarudin dan Siti Hajar (2004) di dalam Pedagogi Asas Pendidikan dalam konsep konstrktivisme tiga perkara boleh berlaku: i. Pelajar dapat menyesuaikan maklumat baru dengan pengalaman yang lama. Dengan ini pelajar menambah sesuatu kepada pemahamannya. ii. Terdapat juga maklumat yang tidak sesuai dengan pengetahuan lepas. Pelajar perlu mengubah pemahaman mereka terhadap maklumat tersebut dan mencari padanan untuk disesuaikan dengan maklumat yang sedia ada. iii. Pelajar akan mengetepikan maklumat yang tidak sesuai dengan

pengetahuan yang lalu. Pelajar juga akan menolak beberapa maklumat yang tidak akan diserap.

Kami memilih konsep konstrutivisme adalah kerana dengan konsep ini pelajar mempunyai interaksi sosial yang aktif di antara ahli kumpulan. Pelajar belajar dalam kumpulan dan ini akan memaksimumkan kemahiran sosial, komunikasi, interpersonal, kinestetik dan lain-lain kemahiran yang ada di kalangan pelajar tersebut. Idea-idea baru dapat digunakan dalam menyelesaikan masalah pembelajaran di dalam situasi bilik darjah. Melalui konsep ini pelajar bukan hanya belajar untuk diri sendiri tetapi juga untuk rakan-rakan.

Bagi pengajaran kepelbagaian pelajar pula, konsep ini menggalakkan pelajar berkerja secara berkumpulan dan menggunakan rakan sebaya sebagai sumber. Pelajar yang lemah dapat berkongsi maklumat dengan pelajar yang tahap keupayaannya tinggi. Para guru juga dapat mengimbangi pembelajaran secara menyeluruh kerana pelajar lemah tidak ketinggalan setelah mendapat maklumat daripada rakan yang lain melalui aktiviti berkumpulan. Guru membantu pelajar menciptakan situasi di mana pelajar merasa selamat untuk meluahkan pengetahuan serta memberi pendapat. Pelajar bebas bertanya dengan cara sendiri sama ada secara personal atau dalam kumpulan. Dengan ini pelajar yang bersifat pemalu dapat berinteraksi secara aktif tanpa rasa malu dan mula berkeyakinan.

KONSEP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu (Mok Soon Sang, 2001). Manakala menurut Robert Glaser (1968) (Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz, 2004) menyebut pengajaran adalah satu proses yang melibatkan empat elemen utama, iaitu objektif pengajaran, pengetahuan sedia ada, kaedah mengajar dan penilaian pencapaian. Semua elemen ini saling mempengaruhi antara satu sama lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran menurut beliau adalah hasil daripada interaksi antara guru, murid, isi pelajaran, objektif pengajaran dan persekitaran.

Pada umumnya, pengajaran merupakan sesuatu aktiviti yang meliputi pengajaran guru, disertai dengan aktiviti pengajaran murid. Menurut ahli-ahli pendidik progresifisme seperti W.H. Kilpatrik (1987-1965) berpendapat pengajaran harus berpusatkan murid dan bukan guru. Bahan pelajaran sekolah hendaklah dirancang mengikut keperluan murid-murid. Pengajaran ini dirancangkan oleh guru secara sistematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan.

Pembelajaran adalah satu proses mengakumulasi maklumat dan pengalaman secara berterusan, yang berlaku dalam diri seseorang sejak ia dilahirkan. Proses ini berlaku secara sedar ataupun tidak disedari. Menurut Robert M. Gagne dalam buku Pedagogi Asas Pendidikan (Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 2004) pembelajaran adalah perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang berlaku yang disebabkan oleh proses pertumbuhan secara semula jadi. Ahli-ahli psikologi kognitif seperti Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel berpendapat bahawa pembelajaran ialah satu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran, dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Tokoh-tokoh ini menekankan proses kognitif yang sebenarnya menghasilkan tingkah laku dalam pembelajaran. Mereka berpendapat pembelajaran ialah suatu proses kognitif untuk perhubungan perkara-perkara dalam persekitarannya dan bukannya percubaan secara melulu kerana ianya mempunyai motif atau objektif tertentu. Berikutan dengan

kajian yang dilakukan, pembelajaran hanya boleh berlaku adalah berdasarkan pelajar yang mempunyai cukup pengalaman yang berkaitan untuk mempelajari pengalaman baru, di samping mempunyai motif serta rela mengambil inisiatif diri sendiri untuk menjalankan aktiviti pembelajaran.

Ringkas kata, ramai ahli psikologi, pada umumnya, mentafsirkan pembelajaran sebagai proses, melalui latihan atau pengalaman organisma, menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal.

PEMBELAJARAN MASTERI

Pembelajaran Masteri adalah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran alternatif yang mendorong pelajar sampai kepada satu tahap penguasaan unit-unit pengajaran tertentu sebelum mereka dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran ke unit yang seterusnya (Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 2004). Pembelajaran Masteri juga dikenali sebagai pembelajaran penguasaan. Perkataan masteri berasal daripada Bahasa Inggeris yang mempunyai erti seperti kehandalan, kepandaian atau pun menguasai sesuatu kemahiran dengan cekap dan lengkap. Pembelajaran Masteri boleh diertikan sebagai kehandalan pembelajaran seperti menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan cekap dan lengkap (Mok Soon Sang, 2001). Oleh itu, Pembelajaran Masteri merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang penting untuk memastikan murid dapat menguasai apa yang diajar adalah berkesan dan mencapai objektif pelajaran yang ditentukan dengan memuaskan.

Tujuan Pembelajaran Masteri ialah mendapatkan maklum balas terhadap pembelajaran dan membuat pengubahsuaian untuk meningkatkan keberkesanannya, serta memberi bantuan dan masa yang diperlukan kepada murid yang berkenaan, demi membolehkan kebanyakan mereka dapat mencapai objektif pelajaran yang ditentukan.

Idea Pembelajaran Masteri ini adalah dicadangkan oleh B.S. Bloom, seorang pakar pendidikan di Amerika Syarikat pada hujung 1960an. Idea ini adalah berasal daripada John Bisell Carool yang telah menjalankan kajian tentang pembelajaran di peringkat sekolah.

Pembelajaran Masteri menjadi pilihan untuk proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana didapati bahawa masih terdapat sebilangan pelajar yang belum mencapai tahap yang minimum dalam beberapa mata pelajaran. Kebanyakan sekolah-sekolah maju di barat yang melaksanakan pembelajaran masteri telah mendapati bahawa pencapaian pelajar telah banyak meningkat dan pencapaian tersebut telah berkekalan. Hal demikian berlaku adalah kerana pelajar sudah tahu bagaimana untuk menguasai sesuatu perkara yang diajar. Dengan cara ini, ia dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar terutamanya pelajar yang sering kali mendapat pencapaian yang rendah. Pada pendapat kami, Pembelajaran Masteri dirasakan mempunyai kaitan dengan pengajaran kepelbagaian pelajar. Melalui konsep ini, masa untuk pelajar menguasai sesuatu perkara boleh dipendekkan kerana ia menggunakan kaedah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Selain itu, konsep ini juga merangsang, mendorong dan melatih pelajar dalam kemahiran belajar dan kemahiran berfikir supaya mereka menjadi pelajar berdikari.

Namun begitu, kaedah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan sekiranya menggunakan kaedah yang menarik serta menyeronokkan dan yang berpusatkan kepada pelajar. Selain itu, ia perlu mengambil kira tahap kebolehan dan gaya pembelajaran pelajar memahami dan menghayati sesuatu perkara dan juga menjalankan penilaian formatif untuk menentukan sama ada mereka sudah menguasai perkara perkara yang telah diajar.

RUJUKAN :

Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman. 2008. Falsafah Pendidikan Dan Kurikulum. Tanjong Malim : Quantum Books. Amir Hasan Dawi. 2009. Sekolah Dan Masyarakat. Tanjong Malim: Quantum Books.

Campbell, Lind & Dee Dickinson. 1999. Teaching And Learning Through Multiple Intelligencies. Boston: Penerbitan Allyn & Bacon.

Howard Gardner. 1983. Frames Of Mind. New York: Penerbitan Harper & Row.

Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 2004. Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala Lumpur: Kayazano Enterprise.

Mok Soon Sang. 2001. Siri Pendidikan Perguruan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3. Edisi Ketiga. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang. 2003. Siri Pendidikan Guru: Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Ipoh: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Mok Soon Sang. 2006. Nota, Panduan & Latihan MTEST Dan Isu-Isu Pendidikan Dalam Temuduga. Perak: CIPTA Printing & Publishing (M) Sdn. Bhd. Mok Soon Sang. 2008. Bimbingan & Latihan Persediaan INSAK & Temuduga. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang. 2008. Pedagogi Untuk Pengajaran & Pembelajaran. Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. Mok Soon Sang. 2009. Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah Laku. Perak: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Thomas Amstrong. 1999. 7 Kinds Of Smart: Identifying And Developing Your Multiple Intelligencies. New York: Plum Publishing Inc.

www.moe.gov.my

www.teacherstrock.net http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1199% 3Asekolah-wawasan&catid=180%3Ajenis-jenis&Itemid=10