Anda di halaman 1dari 3

KECICIRAN, APA PUNCANYA (Oleh: Umar Bakhy bin Ghazali) Baru-baru ini isu keciciran hangat semula apabila

dikatakan bahawa bilangan pelajar sekolah menengah yang gagal menamatkan pengajian sehingga ke tingkatan lima mencecah 242,195 atau 3.8 peratus daripada keseluruhan 6.3 orang. Jumlah tersebut menimbulkan keraguan kerana mengikut unjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) jumlah enrolmen murid pada 2006 hanyalah 5.5 juta (bukannya 6.3 juta) iaitu 3.2 juta di sekolah rendah & 2.3 juta di sekolah menengah. Walaupun terdapat perbezaan dari segi statistik, itu bukanlah isunya. Isunya ialah masih wujud masalah keciciran di Malaysia. Masalah keciciran sering dikaitkan dengan perbezaan kualiti dan kemudahan pendidikan antara bandar dan luar bandar. Sementara kemiskinan pula dikatakan sebagai punca utama berlakunya keciciran di kalangan para pelajar. Namun begitu, menurut Wahid Hashim (2006) kemiskinan bukanlah satu-satunya punca yang menyebabkan pelajar tercicir. Mengikut Bahagian Sekolah, KPM punca lain ialah tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira sejak di bangku sekolah rendah, faktor pengankutan atau perhubungan, faktor keluarga dan pengaruh rakan sebaya. Pengurusan yang lemah di peringkat sekolah juga mungkin menjadi faktor kepada kadar keciciran yang tinggi. Pentadbir di sekolah kurang ilmu pentadbiran atau kurang minat dengan tempat mereka mengajar menyebabkan mereka tidak begitu mempedulikan nasib anak bangsa. Hal tersebut pernah disentuh oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri iaitu guru perlu mendalami ilmu kepimpinan instruksional atau kepimpinan pengajaran. Secara amnya, kepimpinan instruksional ialah pemimpin sekolah yang mengambil peduli terhadap

pengajaran guru dan pembelajaran pelajar serta perkembangannya dan sentiasa membina suasana dan iklim pembelajaran kondusif di sekolahnya bagi memacu kecemerlangan sekolah. Secara ringkasnya, tanggungjawab pentadbir sekolah perlu memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid (modal insan) yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah. Mengikut Murphy (1990), seseorang pemimpin instruksional perlu mengamalkan Hukum 80/20 iaitu 80 peratus untuk urusan pengajaran dan 20 peratus urusan pentadbiran dan bukan sebaliknya. Adalah menjadi harapan masalah keciciran ini boleh diatasi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), sebelum kita melangkah sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

Kementerian Mahu Kurangkan Kadar Keciciran Pelajar


Sumber: Forum Utusan Malaysia |17 November 2009| KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat Mohd. Fahzudin Mohd. Sharuji, Kuala Lumpur dalam rangan ini pada 10 September 2009 bertajuk Kaji Dasar Naik Tingkatan 4. Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi pendidikan menengah bermatlamat untuk menyediakan dan memberi peluang pendidikan percuma kepada semua pelajar yang berumur antara 12+ tahun hingga 17+ tahun, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kadar keciciran pelajar. Struktur pendidikan menengah memberi fokus kepada pendidikan umum pada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 agar setiap pelajar mendapat pendedahan kepada pelbagai bidang ilmu. Dalam Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, pelajar dijuruskan kepada jurusan sastera, sains, agama, teknikal dan vokasional. Pada masa yang sama, Malaysia telah pun memberikan komitmen untuk menyediakan peluang pendidikan untuk semua kanak-kanak, remaja dan orang dewasa dalam World Conference on Education for All di Jomtien, Thailand pada Mac 1990. Sehingga 2007, Malaysia telah mecapai peningkatan dalam Gross Enrollment Rate (GER) bagi pendidikan rendah dan menengah daripada 85 peratus pada tahun 1985 kepada 92 peratus pada tahun 2007. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah memberi tumpuan yang berterusan dalam perkara berhubung penyertaan pendidikan dan ekuiti di samping memastikan sistem pendidikan negara kekal efisien dan efektif dalam pembentukan modal insan. KPM juga sedang mengkaji dasar berkaitan kualiti pelajar di Tingkatan Empat. Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pendidikan dan Latihan Bil. 1/2008 bertarikh 30 April 2008 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, menyarankan KPM menambah dan memperkenalkan pendidikan aliran vokasional dan aliran Asas Kemahiran lebih awal bagi mengatasi masalah keciciran murid sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Mesyuarat Memperkasakan Pendidikan Teknik dan Vokasional bertarikh 25 Julai 2008 yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran telah memutuskan supaya pendidikan kemahiran atau aliran Asas Kemahiran (AAK) diperkenalkan lebih awal iaitu di peringkat Tingkatan 1 bagi memberi alternatif kepada pelajar-pelajar yang tidak cenderung kepada akademik.

Dasar ini akan dapat mengatasi masalah keciciran yang tinggi peratusnya semasa transisi dari Tahun 6 ke Tingkatan 1 dan akan memudahkan pelajar untuk menentukan laluan kerjaya masing-masing. Ia juga bertepatan dengan salah satu daripada bidang dalam Ministerial Key Result Areas (MKRA), iaitu Aliran Vokasional dan Kemahiran yang juga merupakan Teras 2 dalam PIPP. Kementerian Pelajaran Malaysia
Tags: guru, murid, Pendidikan, sekolah

Anda mungkin juga menyukai