Anda di halaman 1dari 4

TAJUK : KISAH NABI ADAM SI SYURGA

Bismillahirrahmanirrahim.. Asalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh... dan salam 1 Malaysia. Sekalung ucapan terima kasih digubah untuk pengerusi, parisan panel hakim yang arif lagi bijaksana dan ucapan ukhwah kepada guru-guru serta gugusan sahabat sekalian.

Salam dihulur tanda pengenalan, Diserikan dengan senyuman menawan, Di petang yang ceria hamba sembahkan, Kisah Nabi Adam di syurga menjadi pilihan. ( PANTUN )

Sahabat sekalian, Keadaan di dalam Syurga Allah SWT amatlah penuh dengan keindahan yang sempurna. Tiada cacat cela dan kekurangan. Maka dengan kehendak Allah SWT dan dengan kekuasaan yang Maha Kuasa menjadikan Nabi Adam sebagai penghuni syurgaNya, manusia pertama yang dicipta daripada tanah. Firman Allah SWT,

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi. ( surah Ar-Rum ayat 20 ) Ya, manusia dijadikan oleh Allah SWT, sebaik-baik makluk ciptaan-Nya. Namun sayangnya, kini, kita dapati bayi-bayi dibuang di sana sini. Selain itu, berlaku juga pemerdagangan bayi.

Sidang hadirin sekalian, Sesungguhnya Allah SWT telah mengarahkan para malaikat, iblis dan semua isi syurga supaya sujud hormat kepada Nabi Adam. Namun, Iblis enggan menuruti perintah Allah swt itu. Maka jadilah Iblis sebagai makhluk yang dilaknat oleh Allah swt.

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Al-Baqarah ayat 34)

Dengan penciptaan Nabi Adam ini, ia menimbulkan kebimbangan kalangan malaikat. Namun, Allah swt menyatakan kepada mereka bahawa Allah swt Maha Mengetahui apa yang dilakukan.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Al-Baqarah ayat 30)

Kini, kita saksikan bahawa sifat takabur dan bangga diri telah banyak menjatuhkan diri sendiri contohnya para pemimpin dunia ramai yang bersifat takabur telah jatuh kerajaannya. Pengajarannya, kita jangan bongkak dan takabur dan jangan buruk sangka terhadap orang lain.

Tahukah sahabat sekalian, Sesungguhnya kehidupan Nabi Adam di dalam syurga telah dikurnia ilmu pengetahuan yang tinggi dan para Malaikat berasa takjub dengan ilmu baginda. Baginda mengetahui semua nama benda. Malaikat amat menghormati Nabi Adam.

Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah ayat 32)

Namun, sebaliknya, Iblis berdendam dengan baginda dan ia berjanji untuk menyesatkan keturunan Nabi Adam iaitu kita semua. Negara kita Malaysia pada masa ini dalam keadaan aman damai dan kita mesti bersyukur. Pengajarannya, kita wajib menanamkan sifat syukur atas nikmat dari Allah swt ini.

Betapa sunyi dan kesepian, Terasa kini tanpa ditemani, Dicipta Hawa untukmu Adam, Ibu sekalian umat manusia. ( LAGU )

Ketika Nabi Adam berada di syurga yang penuh dengan kenikmatan yang sempurna, baginda masih merasa sunyi. Maka, Allah swt telah menciptakan Hawa sebagai isterinya yang diambil dari tulang rusuk Nabi Adam. Maka, baginda pun tidak merasa sunyi lagi selepas itu. Allah swt juga melarang Nabi Adam dan isterinya daripada memakan buah khuldi.

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah ayat 35)

Kini, kita dapati kes penceraian semakin meningkat dalam negara kita. Pengajarannya, kita hendaklah sentiasa mewujudkan kasih dan sayang dalam kehidupan kita.

Buah larangan disantap mereka, Adam dan Hawa tercampak ke dunia, Berakhirlah kisah Adam di syurga, ( SYAIR )

Nabi Adam dikeluarkan oleh Allah swt dari syurga kerana tipu daya Iblis. Baginda dan isterinya diperdaya memakan buah khuldi. Pada hari ini, syirik dan murtad serta gejala sosial semakin membimbangkan kita semua. Oleh itu kita mesti kuatkan iman dan bertekad jangan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.

Sidang hadirin sekalian, Begitulah kisah Nabi Adam di syurga. Moga-moga kita akan dapat mengambil iktibar dan teladan dari cerita tadi.

Terbang sekawan si burung nuri, Hinggap sebentar di dahan meranti, Hamba ingin mengundur diri, Silap kata harap dimaafi. ( PANTUN )

Wabilahitaufiwalhidayah wassalamualaikum warahmatulahiwabarakatuh. Sekian terima kasih.