Anda di halaman 1dari 3

Jumaat lepas saya berpeluang mengikuti taklimat ringkas pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan

secara berperingkat bermula tahun 2011. Walaupun pada masa ini saya sebenarnya tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan atau pelaksanaan KSSR yang dimaksudkan, namun sejujurnya saya amat berminat untuk mengetahui dan memahami lebih banyak berkenaan KSSR. Sekurang-kurangnya ia adalah pengetahuan asas tentang kurikulum standard berkenaan adalah input berguna yang bukan sahaja perlu diketahui oleh guru atau pihak pengurusan pendidikan, tetapi termasuklah juga ibu bapa. Pada saya pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah sangat bertepatan dan sesuai pada masanya. Kali terakhir Kurikulum Pendidikan Malaysia mengalami perubahan adalah pada tahun 2003, iaitu semakan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilaksanakan sejak 1993. Tambahan pula, jika merujuk kepada matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah. Transformasi kurikulum itu pula digubal berasaskan dua standard utama, iaitu pertama: Standard Kandungan yang merujuk kepada penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kedua: Standard Pembelajaran yang merupakan satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Jadi, adalah diharapkan pelaksanaan KSSR ini dapat membaharui kurikulum sedia ada dan memastikan ianya relevan dengan keperluan pendidikan semasa. Kepada guru-guru atau sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan KSSR, boleh merujuk terus di laman web rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Penerangan tentang Konsep, Bahan Sokongan, dan Buku Panduan Guru telahpun dimuatkan di laman web tersebut.

kulanz March 4, 2011 at 1:31 am Harap maaf, saya pun tak sempat kaji secara mendalam KSSR ni..

bagaimanapun pandangan saya secara umum, antara kekuatan yang ada: dari segi bentuk: KSSR lebih luas berbanding KBSR. Jika KBSR, hanya 3 utama aspek diberi penekanan, iaitu Komunikasi, Perkembangan Diri Indivdu dan Manusia dengan alam sekelilingnya, tetapi kurikulum KSSR member penekanan kepada 6 elemen, iaitu: Komunikasi; Kerohanian, sikap & nilai; Kemanusiaan, Ketrampilan diri; Perkembangan Fizikal & Estetika; Sains & Teknologi; dari segi kandungan dan sistem penilaian: Isi kandungan pembelajaran memiliki standard tertentu yang perlu dicapai oleh setiap pelajar. Pencapaian itu boleh diukur menggunakan sistem penilaian yang juga disediakan bersama.. KSSR lebih melihat kepada kualiti pencapaian murid berdasarkan standard kandungan yang ditetapkan, berbeza dengan KBSR yang menekankan perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. dari segi tumpuan/kandungan kurikulum: KSSR memberi tumpuan kepada penguasaan 4M berbanding 3M pada KBSR. Tahap satu (tahun 1 3) perlu menguasai kemahiran asas 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Tahap dua (tahun 4 6) member tumpuan kepada pengukuhan dan aplikasi 4M juga kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Tumpuan pembelajaran Prasekolah melibatkan perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan kemahiran 3M dan menaakul Tentang kelemahan pula.. mungkin antara kekangan yang mungkin dihadapi dalam pelaksanaan KSSR adalah pencapian terhadap matlamat tertentu yang digariskan. Misalnya elemen nilai tambah, iaitu Kreativiti dan Inovasi; Keusahawanan; Teknologi Maklumat dan Komunikasi mungkin sukar yang cuba diterapkan kepada murid di sesetengah sekolah. Keadaan ini berlaku disebabkan jurang perbezaan pendidikan yang ketara akibat perbezaan lokasi sekolah. Perbezaan yang dimaksudkan antaranya, ekuiti pendidikan, akses pendidikan serta tenaga pengajar (boleh rujuk entri: Isu-Isu Pendidikan di Malaysia dalam blog ni). Sebagai contoh, adalah

mustahil untuk menerapkan kemahiran ICT kepada murid jika sekolah berkenaan tidak memiliki kemudahan ICT. Mengajar dunia sains dan teknologi tapi peralatan/makmal sains tiada. Hendak mengajar kemahiran hidup bengkel tiada. Ringkasnya, matlamat untuk memberi peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid dalam KSSR mungkin sukar dicapai. Selain itu, seperkara lagi yang mungkin boleh diberi perhatian ialah tentang perubahan pada peruntukan masa dalam KSSR. Pengurangan masa subjek tertentu, misalnya Dunia Muzik (Pendidikan Muzik) mungkin boleh menjejaskan pengetahuan/kemahiran murid dalam bidang berkenaan. Walaupun unsur penerapan elemen muzik juga terdapat dalam m/pelajaran lain, tetapi pembelajaran melalui penggabungjalinan dan pembelajaran secara spesifik pada saya tetap mempunyai perbezaan. Apapun ini hanyalah pandangan peribadi, sayapun tidak terlibat secara langsung dalam pelaksanaan (mengajar) KSSR, jadi agak kurang mahir dalam bidang ini.. semoga berjaya dengan assignment