Anda di halaman 1dari 3

BAHASA JIWA BANGSA

Pembentukan suatu keperibadian yang mulia bermula daripada tutur kata. Lantaran dalam berkomunikasi, susun atur bahasa yang diungkap akan menonjolkan siasah diri dalam khalayak ramai. Dengan bahasalah kita akan dinilai dan gaya bahasa akan mencerminkan akar keturunan kita. Peri penting bahasa dalam berkomunikasi tidak boleh dipandang enteng malah jika kita

memperlekehkannya, maka akan buruklah nama keluarga kita. Tuntasnya, kita sewajarnya menekankan penggunaan bahasa yang baik dan sopan seperti mana yang kita selalu perkatakan, Bahasa Jiwa Bangsa, kerana dengan tutur kata menggambarkan keturunan kita.

Daripada aspek ketatanegaraan, sesebuah negara hanya mampu mencapai perpaduan dengan menggunakan medium bahasa yang sama. Bangsa Malaysia membentuk benih perpaduan yang kukuh kerana kekuatan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang efisien. Malah, sering kali apabila para pelancong asing datang ke Malaysia, mereka setidaknya akan mempelajari bahasa Melayu seperti perkataan Terima Kasih dan Jumpa Lagi. Biarpun penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas, namun bahasa Melayu masih lagi menjadi keutamaan warga Malaysia dalam pertuturan tidak kiralah di mana-mana sahaja. Fokusnya, dengan wujudnya pendekatan bahasa, perpaduan dapat dibentuk sekaligus merealisasikan semangat kebangsaan warga Malaysia.

BUDI BAHASA AMALAN MULIA

Budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperolehi. Salah satu kepentingan amalan ini adalah dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan.

Bukan itu sahaja, dengan berbudi bahasa dapat meningkatkan industri pelancongan di negara kita.Masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti memberi layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing. Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian yangmenyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka ke sini adalah dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan. Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan

bertutur dengan nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana masyarakatnya sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan irasshaimase yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi.

KELUARGA BAHAGIA

Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang antara ahlinya, lahirnya rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucap dan lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta kepada insan lain yang memerlukan.

Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku, merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Rumahtangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan dirinya dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa jua perkara yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga itu. Namun begitu, pepatah ada mengatakan bahawa bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi. Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab membentuk kebahagiaan keluarga itu, di tangan salah seorang ahli keluarga sahaja seperti ibu, bapa atau anak-anak. Setiap ahli keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati antara sati sama lain. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.

Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi role model kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu. Contoh negatif yang diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta

melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.