Anda di halaman 1dari 5

SKAA6143 : DEVIANS, JENAYAH DAN PENGADILAN SOSIAL

TAJUK TUGASAN : Teori Anomie Robert Merton menghuraikan mengenai devians dan jenayah. Adakah kegiatan merempit adalah kerana adaptasi tipologi untuk memenuhi matlamat dan cara dengan melakukan berbagai-bagai perlakuan devians dan jenayah?

Gejala sosial di kalangan remaja dan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ponteng sekolah, menagih dadah, seks bebas dan merempit sudah menjadi perkara biasa yang didedahkan dalam media-media elektronik dan mediamedia cetak. Isu Mat rempit sebagai contoh semakin membimbangkan. Kebanyakan yang terlibat dalam kegiatan merempit ini adalah remaja yang menjadi harapan negara. Mat rempit merupakan istilah yang diberikan kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram. Mereka juga dikenali sebagai samseng jalanan. Walaupun kebanyakan Mat rempit sering berlumba secara haram namun ada juga yang menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat rempit biasanya bergerak secara berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam minggu. Namun, ada juga yang menjalankan kegiatan tersebut di kampung-kampung atau di pinggir kota. Kegiatan merempit ini dianggap devians kerana melanggar norma dan nilai masyarakat dan seringkali dikaitkan dengan perbuatan jenayah. Sekiranya perlakuan ini tidak dikawal, ianya boleh merosakkan masyarakat dan generasi yang akan datang. Dari sudut sosiologi, terdapat beberapa teori yang menjelaskan tentang perilaku devians ini. Antaranya adalah Teori Anomie / Teori Keterikan (Strain Theory) oleh Robert K. Merton (1938). Teori anomie ini mula diperkenalkan oleh Emile Durkheim pada tahun 1897.

Menurut Emile Durkheim Anomie membawa maksud ketiadaan norma. Ini bermaksud individu itu sukar untuk menyesuaikan tingkahlaku mereka dengan norma yang mereka anggap lemah, tidak jelas atau bercanggah. Sesebuah masyarakat anomik dikatakan anomik apabila peraturan kelakuan masyarakat tersebut musnah dan tidak berfungsi. Durkheim menjelaskan bahawa anomie berlaku apabila jangkaan individu terhadap ganjaran dan penghargaan tidak sama dengan apa yang mereka terima. Kepatuhan terhadap peraturan menjadi tegang dan longgar. Keadaan anomie ini menyebabkan ketegangan dalam kalangan individu akibat daripada persekitaran sosial yang mengundang konflik, kekeliruan atau kehendak yang sukar untuk dipenuhi. Teori Anomie ini diperkembangkan lagi oleh Robert K. Merton (1937) dengan menekankan kepada percanggahan antara matlamat dan cara. Teori Anomie Merton turut dikenali sebagai Teori Keterikan. Menurut Merton, Anomie merujuk kepada bentuk perilaku nonkonformis yang terhasil daripada ketidakselarasan antara matlamat masyarakat dan cara memenuhi matlamat. Merton mengadaptasikan keadaan ini daripada teori anomie dengan mengaitkan dengan kehidupan rakyat Amerika yang bermatlamatkan kekayaan dan pendidikan tinggi. Merton menekankan bahawa kekayaan dan kemewahan adalah matlamat utama anggota masyarakat khususnya kelompok minoriti dan miskin dalam masyarakat industri. Apa yang ingin dicapai oleh anggota masyarakat adalah berkisar kepada wang, kedudukan, status, mendapat barang konsumer dan lain-lain lagi. (Azlina Abdullah, 2010). Namun begitu, tidak semua anggota masyarakat mendapat peluang yang adil dan saksama untuk mencapai matlamat dengan cara yang diterima oleh norma masyarakat. Oleh kerana ketidakadilan struktur sosial, peluang yang ada tidak tersebar secara adil. Sebagai contoh orang miskin telah dinafikan hak kemasyarakatan yang sepenuhnya untuk mendapat pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan (Robert Merton, 1957). Ketidakselarasan antara penekanan masyarakat bagi memenuhi matlamat boleh membenarkan individu melaksanakan pencapaian matlamat itu melalui berbagai-bagai cara termasuk melakukan devians dan jenayah. Keadaan masa kini yang lebih mementingkan kebendaan dan status menyebabkan perilaku devians seperti merempit

berlaku. Masyarakat menetapkan matlamat yang harus dicapai tetapi hanya cara-cara tertentu sahaja dibenarkan oleh masyarakat untuk mencapai matlamat tersebut. Jadi bagi mereka yang inginkan kejayaan terdapat dorongan yang kuat untuk mereka melakukan apa sahaja termasuk jenayah bagi mencapai matlamat. Hal ini dijelaskan oleh Merton di mana orang-orang yang gagal mencapai matlamat dalam hidup mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira sama ada melanggar normanorma masyarakat atau pun tidak. Merton telah mengemukakan lima (5) tipologi anomie bagi menjelaskan keadaan devians ini. Pertama, Conformity atau dikenali sebagai keakuran. Keakuran adalah suatu kedaan di mana anggota masyarakat menerima matlamat yang terdapat dalam masyarakat dan menerima cara-cara yang ditetapkan bagi mencapai matlamat tersebut. Tingkahlaku sedemikinan merupakan asas yang kukuh kepada fungsi masyarakat yang maju. Sebaliknya bagi empat tipologi yang lain semuanya dianggap sebagai menyimpang atau devians. Empat tipologi tersebut adalah inovasi, ritualisme, retreatism, dan rebellion. Inovasi merujuk kepada ahli masyarakat yang memegang kukuh budaya yang menekankan kepada kejayaan matlamat. Akan tetapi disebabkan cara untuk mencapai matlamat tidak ada, maka mereka berusaha mencapai matlamat tersebut dengan cara yang inovatif. Mereka akan melibatkan diri dalam penipuan, pengedaran dadah, merompak dan sebagainya untuk mendapatkan wang dan memperolehi simbol kejayaan. Ritualisme pula merujuk kepada individu yang menolak matlamat masyarakat tetapi menerima cara-cara untuk mencapainya. Sebagai contoh seorang pekerja tetap bekerja seperti biasa tetapi menolak untuk dinaikkan pangkat. Bagi retreatisme pula adalah keadaan di mana anggota masyarakat menolak kedua-dua matlamat dan cara untuk mencapai matlamat tersebut. Bagi Merton, retreatist ini adalah mereka yang berada dalam masyarakat tetapi bukan sebahagian daripada masyarakat tersebut. Golongan ini adalah orang yang tidak bermoral serta tidak berupaya untuk menggunakan cara yang konvensional dan tidak konvensional. Contohnya seperti penagih dadah, pelacur dan sebagainya.

Akhir sekali adalah rebellion atau memberontak. Terdapat individu yang menolak matlamat budaya dan juga cara mencapainya dan menggantikannya dengan norma baru. Individu tersebut mengalih kesetiaannya daripada kumpulan sosialnya dan memindahkannya kepada kumpulan baru dengan ideologi baru. Contohnya pergerakan militia dan sosialisme radikal. Berbalik kepada kegiatan merempit ini, ia adalah adapatasi 5 tipologi untuk memenuhi matlamat dan cara seperti yang dinyatakan oleh Merton iaitu konformiti, inovasi, ritualisme, retreatisme dan rebellion. Konformiti di sini dilihat kerana ada antara mat-mat rempit ini yang tetap mengikut matlamat masyarakat dengan cara yang ditetapkan. Namun ruang dan peluang ke arah mencapai matlamt tersebut amat sedikit. Keterikan yang wujud dalam budaya yang menekankan kejayaan tetapi kurangnya peluang menyebabkan mereka merempit. Mat rempit menerima matlamat budaya untuk menjadi kaya dan berjaya tetapi menggunakan cara yang tidak konvensional untuk mencapainya iaitu melakukan devians dan jenayah. Ini yang dikatakan sebagai inovasi dalam adaptasi tipologi Merton. Sebagai contoh, bagi memperolehi wang dan kemewahan mereka menjadikan akvititi lumba motosikal haram sebagai cara untuk mendapatkan wang dan habuan. Ada juga antara mereka yang melakukan jenayah lain seperti meragut, mencuri, menyamun dan mengedar dadah. Ketiganya pula, ritualisme iaitu mat rempit menolak matlamat budaya tetapi masih mengekalkan cara yang konvensional seperti bekerja kerana desakan keluarga atau mahu dihormati sebagai contoh. Mereka merempit hanya sekadar mengisi masa lapang atau melepaskan tekanan di tempat kerja. Mat rempit menolak kedua-dua matlamat dan cara yang konvensional dan mereka ini dikatakan sebagai retreatisme. Gaya hidup mereka tidak lagi konvensional, tidak ada haluan dan tidak melibatkan diri dengan dengan masyarakat. Mereka hanya ingin mencari keseronokan dan kebebasan dengan melanggar norma dan nilai budaya masyarakat. Ada di antara mereka ini yang melakukan seks bebas vandalisme, menghisap dadah, melepak dan lain-lain lagi.

Akhir sekali adalah rebellion atau memberontak iaitu menolak kedua-dua matlamat dan cara tetapi menggantikannya dengan cara dan matlamat yang baru. Mereka ingin membawa masyarakat supaya menerima aktiviti merempit sebagai bukan suatu yang devians. Tetapi keadaan ini jarang berlaku dalam kalangan mat rempit. Namun begitu, terdapat satu kes di Pulau Pinang di mana golongan mat rempit mengadakan demonstrasi meminta kerajaan menyediakan litar lumba kepada mereka. Terdapat beberapa kajian yang dijalankan terhadap aktiviti merempit ini. Antaranya adalah daripada kajian oleh Hasbi bin Mat Harun (2001), Kajian terhadap Lumba Motosikal Haram di Bandaraya Kuala Lumpur, Malaysia. Menurut kajian ini, terdapat beberapa sebab Mat rempit berlumba motosikal secara haram. Antaranya adalah untuk mendapatkan kepuasan diri, melepaskan tekanan, mendapat habuan/ganjaran, pengaruh rakan-rakan, ingin mengekalkan ikatan dengan rakan-rakan, mahu jadi popular dalam kalangan kelompok mereka serta sekadar ingin memenuhi masa lapang. Mengikut kajian Hasbi ini, kebanyakan remaja yang terlibat dalam aktiviti merempit ini terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah keluarga, mempunyai adik beradik yang ramai tetapi ruang rumah yang kecil, lari dari rumah dan tidak berminat lagi untuk belajar. Kesimpulannya, perlakuan devians menjadi lebih ketara apabila ekonomi menjadi institusi utama sesuatu masyarakat dan juga status sosial seseorang itu bergantung kepada pencapaiannya dalam peranan ekonomi. Keterikan yang tidak dapat dikawal menyebabkan keadaan anomik akan berterusan dalam masyarakat. Apabila situasi ini berlaku kehendak dan matlamat masyarakat menjadi sukar dikawal dan mula menyebabkan tingkahlaku devians berlaku. Sesetengah perlakuan devians dianggap penting untuk masyarakat berfungsi. Tetapi sekiranya terlalu banyak keterikan yang berlaku dalam masyarakat boleh mendorong kepada perlakuan devians yang tidak terkawal dan masyarakat akan mengalami disfungsi.

Anda mungkin juga menyukai