Anda di halaman 1dari 7

Pemikiran Strategi Laut Biru

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN marhaini.kamaruddin@utusan.com.my

KEADAAN aman di Malaysia menyebabkan kelibat anggota tentera jarang-jarang kelihatan. Berbeza dengan polis yang dapat kita lihat di mana-mana, tentera apatah lagi dalam jumlah yang besar hanya dapat dilihat semasa perbarisan Hari Kebangsaan, membantu memindahkan mangsa bencana banjir atau tanah runtuh.

Najib Tun Razak berbual dengan seorang banduan sambil diperhatikan ahli keluarga banduan (kiri duduk) selepas melancarkan program pemulihan dan perasmian pusat pemulihan pemasyarakatan di Kem Mahkota Kluang, Sabtu lalu.

Sekali-sekala wajah segak mereka keluar di dada akhbar ketika berlepas pergi atau pulang dari luar negara sebagai pasukan pengaman di bawah panji Bangsa-Bangsa Bersatu. Akibatnya anggota tentera menjadi figura yang asing bagi masyarakat. Justeru pelancaran Program Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota, Kluang, Johor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu, membawa perspektif baru kepada tugas pasukan tentera - bukan hanya mendekati rakyat semasa kecemasan atau bencana. Seperti kata Najib: "Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan terutamanya polis, tentera dan Jabatan

Penjara dilihat menjaga kubu masing-masing dengan secara cemburu." Namun di bawah pemikiran Strategi Laut Biru (National Blue Ocean Strategy - NBOS), kedua-dua kementerian bekerjasama dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan yang sedia ada bagi mencapai impak lebih besar. Sebelum ini, mungkin tidak pernah dibayangkan sebuah pusat pemulihan yang menempatkan banduan akan dibina di dalam kem tentera. Namun di bawah NBOS, pusat-pusat pemulihan akan dibina di kem tentera yang dikenal pasti dengan anggota tentera membantu menyelia banduan bersama-sama pegawai penjara. Lima kem tentera terlibat menjadi perintis program iaitu Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan, Kem Tok Jalai, Alor Setar (Kedah), Kem Batu 10, 4 Briged Mekanis, Kuantan (Pahang), Kem Desa Pahlawan (Kelantan) dan Kem Mahkota, Kluang, Johor, yang dirasmikan Najib, kelmarin. Mungkin akan timbul suara-suara sumbang mempersoalkan kenapa perlu dilakukan di dalam kem tentera? Tidakkah ini akan mengancam keselamatan anggota tentera dan keluarga mereka yang berada di dalam kawasan itu. Malah lebih buruk lagi mendedahkan aset ketenteraan negara kepada golongan banduan? Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd. Zin sudah pun bersedia menjawab isu-isu seperti itu. "Secara logiknya dalam keadaan sekarang, di manakah lokasi yang paling sesuai untuk membina penjara," soalnya.

Hakikatnya tidak ada komuniti yang mahukan penjara dibina dalam kejiranan mereka. Memang mudah mencadangkan program itu dan ini kononnya untuk mengembalikan bekas banduan ke pangkuan masyarakat, namun realitinya siapa yang benar-benar ikhlas dan tidak teragak-agak menerima mereka? Menyedarinya, Najib selaku bekas Menteri Pertahanan yang cukup arif tentang aset dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melontarkan pandangan: "Kenapa tidak dibina sahaja pusat pemulihan banduan di dalam kem tentera?" Selain menjimatkan kos seperti dijelaskan Perdana Menteri dianggarkan hampir RM40 juta untuk membina sebuah penjara berbanding hanya sekitar RM4 juta bagi sebuah pusat pemulihan di dalam kem tentera - masalah kesukaran mencari lokasi penjara baru seterusnya kesesakan di penjara seluruh negara dapat diatasi serentak. Bagi Zulkifeli dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar, program terbaru ini cukup mengujakan mereka. Sebagai langkah pertama untuk memasyarakatkan kumpulan yang terlibat di bawah program itu, mereka tidak lagi dipanggil banduan sebaliknya 'orang yang diselia'. Selain kemahiran tertentu yang akan diajar kepada mereka sebagai bekal apabila keluar nanti, pelbagai aktiviti antaranya kelas pemantapan rohani oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan serta perlawanan futsal persahabatan, dirancang. Malah, Kor Pendidikan Angkatan Tentera bersedia mengadakan kelas malam untuk 'orang yang diselia' sekiranya ada yang berminat menduduki peperiksaan.

Semuanya bermatlamat membina sikap baik, memudahkan pergaulan dan mengembalikan keyakinan mereka untuk berdepan dengan masyarakat. Akhirnya, peranan Jabatan Penjara sebagai organisasi pemulihan dan bukan sekadar pelaksana hukuman akan betul-betul tercapai. Penglibatan ATM pula akan memberi nilai tambah kepada 'graduan' pusat pemulihan terbabit apabila mereka dibiasakan dengan nilai disiplin tentera yang tinggi. Justeru ia diyakini akan menurunkan kadar kemasukan semula ke penjara sekali gus mencapai salah satu objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kadar jenayah.

Enam NKRA yang digariskan adalah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam. Perdana Menteri berkata, ketika ini, ATM dan PDRM bekerjasama untuk mengawal sempadan dan kawasan 'panas' di bandar, latihan rekrut PDRM diadakan di pusat latihan ATM dan menerapkan anggota tentera pencen sebagai anggota polis.

Jika kita membina penjara baru, kosnya antara RM50 juta hingga RM60 juta, berbanding pembinaan pusat seperti ini dengan kos RM4.5 juta saja.

Banduan di sini juga akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran hidup seperti penyelenggaraan bangunan, potong rumput, penternakan ikan dan penanaman herba sebagai persediaan sebelum dibebaskan, katanya sambil menambah mereka juga akan diberikan elaun harian.

Secara ringkasnya Strategi Lautan Biru menggunakan pendekatan yang berlawanan dengan Strategi Lautan Merah. Strategi Lautan Merah merujuk kepada suasana dan persaingan perniagaan yang semakin sengit dan sempit sehingga menyebabkan kesesakan manakala strategi Lautan Biru pula menggambarkan betapa luasnya peluang dan ruang yang boleh diterokai.

ORT DICKSON 30 Jul Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khasnya Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya anggota dari kedua-dua pasukan keselamatan ini menyertai Perbarisan Tamat Latihan Perdana secara bersama. Perbarisan membabitkan 2,107 Perajurit Muda termasuk 194 Perajurit Wanita dan 984 orang Konstabel Polis berlangsung di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA)

Upacara gemilang ini disaksikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak yang menganggap latihan bersama bersejarah ini telah meruntuhkan tembok pemisah antara ATM dan PDRM yang selama ini bergerak mengikut haluan masingmasing. Beliau turut menyifatkan perbarisan yang berasaskan Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) ini sebagai titik permulaan ke arah menyatukan dua pasukan keselamatan demi memelihara keamanan dan keharmonian negara tercinta ini. Perdana Menteri turut menyatakan pentingnya kedua-dua pasukan ini kepada negara sehingga menggelarkan sebagai tiang seri negara, kedua-dua merupakan institusi yang amat penting bagi negara kerana ianya adalah tonggak yang selama ini menjaga keselamatan dan keamanan negara. Perbarisan Tamat Latihan Perdana ATM dan PDRM Siri 1/2011 ini telah diketuai secara bersama oleh Mej Rosman Mohd Noh dari ATM dan DSP Douglas Nyeging Taong dari PDRM dan melibatkan seramai 45 orang jurulatih. Pada perbarisan ini, Perajurit Muda Mohd Nur Amirul Muntil telah dipilih sebagai Keseluruhan Terbaik ATM dan Perajurit Muda Wanita Terbaik pula dimenangi oleh Mas Erma Md Sharif manakala Md Khairul Razee Ramli pula telah dipilih sebagai Konstabel Lelaki Terbaik Keseluruhan PDRM. Kesemua anggota tentera dan polis yang terlibat adalah pelatih yang menjalani latihan asas bersama selama enam bulan di PUSASDA dan merupakan kumpulan perintis bagi program gunasama pusat latihan. Kehadiran orangramai menyaksikan Perbarisan Perdana ini

dianggarkan hampir 20,000 orang terdiri daripada ibubapa serta saudara mara pelatih. Keadah program latihan asas kepolisan menggunakan kemudahan tentera adalah sebahagian daripada susulan dasar pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan Perdana Menteri. Ia juga merupakan salah satu daripada tiga perkara yang terkandung dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hasan. Dua perkara lagi yang terkandung dalam NBOS ialah pelantikan bekas anggota tentera untuk berkhidmat dalam pasukan polis dan tugas rondaan polis bersama anggota tentera. Dengan adanya strategi terbaru ini, ia dapat membentuk satu pasukan keselamatan yang lebih berkesan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat sekali gus melindungi negara tercinta ini. Perbarisan bersejarah ini merupakan satu manifestasi kepada kejayaan kerajaan menggambungkan dua pasukan keselamatan negara selepas terlaksananya strategi tersebut. Hadir sama pada perbarisan ini Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan, YB Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, YB Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato Seri Hj Ismail Hj Omar dan Pegawai-pegawai Kanan ATM dan PDRM.