Anda di halaman 1dari 39

Bahasa Dalam Pantun dan Keistimewaannya Prof. Madya Dato Dr.

Rosli Saludin Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)

Pendahuluan Tunjang utama yang menjamin keutuhan sesebuah bangsa ialah penglestarian tinggalan tradisi dan ianya perlu dipertahankan. Sehubungan dengan itu, seluruh bangsa yang dianggap bertamadun perlu memartabatkan tinggalan adatnya untuk keampuhan peribadi bangsanya. Ia sebenarnya merupakan sesuatu yang mampu diperkukuhkan dan disulamjalinkan sejajar dengan perkembangan zaman. Dalam era pembentukan masyarakat madani kecintaan terhadap pantun perlu ditekankan sejajar dengan kepesatan pembangunan Negara. Pantun wajar terus dimartabatkan selaras dengan kecanggihan teknologi dan jagat siber era MSC Negara. Pantun menakjubkan serta mengkagumkan. Masyarakat Melayu yang dianggap buta huruf, simple, kolektif dan serba kekurangan itu telah menghasilkan pantun yang bukan sahaja banyak jumlahnya tetapi tinggi kualitinya. Pantun telah menampakkan perkembangan dan liku-liku sejarah peradaban kehidupan masyarakat yang melahirkannya, lingkaran pengaruh di sekeliling, world view masyarakat yang mengucapkannya dan kekreatifan masyarakatnya. Pantun telah digunakan dalam semua aspek kehidupan sama ada untuk gurauan, hiburan, di dalam upacara perdukunan, adat istiadat dan alat perundangan hingga kekal ke hari ini. Pantun agak berbeza dengan puisi baru. Perbezaan tersebut ialah dari segi bentuk, pemilihan diksi, jalan irama, fikiran dan perasaan yang terjelma di dalamnya.

________________________________
Kertas kerja ini dibentangkan pada Seminar Sejuta Pantun pada 26 Januari 2005

Kelahiran Pantun Yang Istimewa Orang-orang Melayu banyak terpengaruh dengan unsur-unsur alamiah. Misalnya daripada alam, dilihat banyak unsur yang mempunyai persamaan seperti pohonpohon yang sejenis. Ada pula yang bersifat bertentangan seperti tinggi rendah, jauh dekat, panjang pendek dan sebagainya. Perkara yang lain-lain mempunyai pasangan seperti lelaki perempuan, kiri kanan, teruna dara dan sebagainya. Di samping itu ada juga yang bersifat kepelbagaian. Melalui kehidupan, mereka mengalami suka duka, kasih benci, rindu dendam dan sebagainya yang menyentuh perasaan. Kesemuanya ini ada unsur-unsur keindahan dan garapan pengalaman mempengaruhi pandangan estetika masyarakat Melayu pada zaman permulaan pantun. Setiap unsur-unsur alamiah tersebut menjadi pemerhatian orang Melayu. Semuanya akan diterapkan di dalam pantun. Pantun dijadikan sebagai suatu tempat untuk mencurahkan segala-galanya. Tidak hairanlah setiap pantun yang terhasil jelas dari segi estetikanya dan ini kerana setiap keadaan sekeliling diperhatikan melalui mata hati. Contohnya:Kalau digumpal selebar kuku Kalau dibentang selebar alam Walau sebiji buah labu Langit dan bumi ada di dalam Penakik pisau siraut Ambil galah batang lintabung Selodang jadikan nyiru Nang setitik jadikan laut Nang sekepal jadikan gunung Alam terkembang jadikan guru Pantun di atas jelas membicarakan pemerhatian Melayu pada alam dan dikaitkan dengan kehidupan masyarakatnya. Garapan pengalaman dalam pantun di 2

atas begitu indah sekali dan kata-kata yang digunakan tepat dengan apa yang dilalui oleh masyarakatnya. Pantun merupakan puisi Melayu Klasik yang terpenting. Kelebihan bahasanya telah menarik minat pengkaji dari negara asing untuk datang mengkaji. Di antara pengkaji asing yang terpenting ialah Profesor Pijnappel, Profesor Van Ophusyen, R.J. Wilkinson, R.O. Winstedt, Dr. H.C. Klinkert, Dr. Gaicomo Prampolini dan sebagainya. Sarjana tempatan yang mengkaji pantun ialah Zaba, Husein Jayadiningrat, Harun Mat Piah, Mohd Rosli Saludin dan professor-profesor universiti di Malaysia dahulu dan kini. Pantun merupakan puisi Melayu Klasik yang paling popular jika didasarkan daripada penggunaannya yang paling meluas. Bukan itu sahaja, pantun ini merupakan puisi Melayu Klasik yang tidak diragukan sifat keasliannya. Tidak kedapatan bentuk sedemikian di dalam puisi-puisi bangsa lain secara asli, melainkan dari bangsa Melayu di kawasan Nusantara Mengikut Brandsetter dan R.O. Winstedt (1955), iaitu antara dua orang pengkaji yang banyak mengkaji secara komparatif antara bahasa-bahasa PolynesiaAustronesia, kata akar pantun berasal daripada pelbagai kata akar daripada pelbagai bahasa. Dalam perkataan Pantun Sunda itu akarnya ialah tun yang terdapat juga dalam bahasa Pampanga tuntun yang bermakna teratur. Dalam bahasa Tagalog tonton, mengucapkan sesuatu dengan susunan yang tertentu, dalam bahasa Jawa Kuno pula tuntun bermakna benang, atuntun, teratur dan matuntun bererti memimpin. Dalam bahasa Bisaya, panton bermakna mendidik. Bahasa Toba mengatakan pantun adalah kesopanan atau kehormatan. Dalam hubungan ini, kata akar tun sebagaimana yang terdapat dalam bahasabahasa di Nusantara adalah merujuk kepada sesuatu yang teratur, yang lurus, yang bersistematik dan yang tersusun, baik secara konkrit atau abstrak. Kalau maksud dari inti kata akar yang sedemikian, ternyata kepada kita bahawa perkataan atau istilah pantun yang kita guna sekarang adalah satu bentuk atau cara yang cukup tersusun, teratur, bersistematik dalam usahanya untuk melahirkan sesuatu maksud, pemikiran, idea dan gagasan. 3

Dunia pantun itu terbina dengan unsur-unsur tertentu. Kemudian unsur-unsur ini diperkuatkan secara teratur, diperkukuhkan secara tersusun dan disempurnakan secara bersistematik. Justeru itu dunia pantun muncul sebagai satu dunia yang utuh, kompak dan konkrit. Dalam hubungan yang sedemikian, istilah atau perkataan pantun yang kita gunakan sebagai istilah atau perkataan kepada suatu bentuk sastera adalah ternyata muncul daripada aspek-aspek teknikalnya yang sedemikian rupa untuk melontarkan perasaan dan pemikiran dalam iklim dan suasana pengucapan dan kebahasaan yang tertentu pula. Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek iaitu pertamanya berkaitan dengan penggunaan lambanglambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Keduanya berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak. Berdasarkan aspek isi (tema dan persoalan) pantun biasanya menyentuh hampir seluruh kehidupan masyarakat Melayu. Melalui penelitian isi (tema dan persoalan) juga telah membawa kepada pengkelompokan pantun yang lebih sistematik (Harun Mat Piah, 1989: 63), seperti pantun kanak-kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat, pantun teka-teki, pantun pujipujian/sambutan, pantun nasihat dan pendidikan, pantun agama dan kepercayaan, pantun adat, pantun peribahasa, pantun naratif/cerita dan sebagainya. Pengkelasan tersebut dapat dipecahkan kepada kelompok-kelompok tema yang lebih kecil. Misalnya tema nasihat dan pendidikan dapat dipecahkan kepada tema budi, dan kias-ibarat. Pantun tentang nasib dan jenaka boleh dimasukkan ke dalam golongan pantun telatah dan cara hidup masyarakat. Berdasarkan aspek luarannya, keistimewaan pantun dapat dilihat daripada aspek strukturnya/ciri-ciri visualnya iaitu:

1.

Pantun mempunyai rangkap-rangkap berasingan. Setiap rangkapnya

terbina daripada baris-baris yang sejajar dan berpasangan seperti 2, 4, 6, sehingga 16. Rangkap yang paling umum ialah yang mempunyai empat baris serangkap.rangkap yang genap adalah melambangkan keindahan kerana orang Melayu penting sesuatu yang telah di susun rapi, tapi menarik. Pembentukan rangkap berdasarkan baris ini telah menjeniskan pantun Melayu iaitu pantun dua kerat (pameo atau pantun kilat), pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan seterusnya hingga pantun enam belas kerat. Terdapat juga pantun yang wujud secara berkait yang dinamakan pantun berkait, (Zainal Abidin Bakar, 1991) dan biasanya dalam bentuk empat kerat. 2. Setiap baris mengandungi kata dasar antara 4-5 patah perkataan, dengan jumlah suku kata antara lapan hingga dua belas. Yang biasanya ialah lapan hingga sepuluh suku kata dalam sebaris. 3. Setiap stanza/rangkap pantun mempunyai dua unit atau kuplet iaitu unit/kuplet pembayang/sampiran (separuh jumlah baris bahagian pertama) dan unit/kuplet maksud (separuh jumlah baris bahagian kedua).

4.
b,a-b.

Mempunyai skema rima hujung yng tetap iaitu a-b,a-b dengan sedikit

variasi a-a, a-a, a-b, a-a, a-b, b-a dan sebagainya. Tetapi lumrahnya ialah a5. Setiap rangkap pantun merupakan satu keseluruhan, iaitu mengandungi satu fikiran yang bulat dan lengkap yang dapat dikesan melalui maksud pantun dalam rangkap tersebut. Walaubagaimanapun terdapat juga pantun yang tidak lengkap jika hanya satu rangkap sahaja seperti pantun berkait. Pendeta Zaba dalam bukunya Pelita Bahasa Melayu III mengatakan bahawa pantun ialah karangan berangkap yang menjadi milik bangsa Melayu dan mempunyai semangat Melayu. Pantun merupakan wadah bagi orang Melayu dalam menggambarkan pencapaian kognitif atau fikiran, falsafah, sikap dan perasaan mereka. Ini mencakupi perasaan hiba, suka, duka, sindir, giat, berkasih sayang, pujuk cumbu dan sebagainya.

Tegasnya, pantun boleh diertikan sebagai karangan berangkap atau puisi milik masyarakat Melayu yang terciri dengan kehadiran sampiran atau pembayang dan mempunyai pola rima tertentu, sama ada a b, ab ab, abc abc, abcd abcd, abcde abcde.n. n ialah jenis pantun. Contohnya, jika n ialah jenis pantun 16 kerat, maka pola rimanya ialah abcdefgh abcdefgh. Terdapat 8 baris sampiran dan 8 baris maksud. Menurut Abdul Halim R dalam kertas kerjanya yang bertajukPemantapan Pantun, terdapat satu lagi keistimewaan pantun yang boleh di ketengahkan ke alam sastera. Keistimewaan yang dimaksudkan itu ialah dalam Pantun Samarima. Yakni rimanya sama untuk semua perkataan yang sejajar atau sepasang dengannya. Pantun yang dinamakan Samarima ini berdasarkan sebuah pantun klasik yang sungguh popular sehingga kini. Pantun tersebut ialah:

Buah langsat kuning mencelah Keduduk tidak berbunga lagi Sudah dapat gading bertuah Tanduk tidak berguna lagi Cuba kita hayati persamaan rima antara pasangan tersebut. Mari kita perhatikan antara baris pertama dengan baris ketiga: Buah dengan sudah, langsat dengan dapat, kuning dengan gading dan mencelah dengan bertuah. Kemudian kita bandingkan pula antara baris kedua dengan keempat: Keduduk dengan tanduk, tidak dengan tidak (Persamaan ini kadangkala boleh dimaafkan), berbunga dengan berguna dan lagi dengan lagi (Sekali persamaan total pula), hendaknya kalau boleh mesti tidak persamaan total seperti itu, tetapi kita patut memberi penilaian yang tinggi terhadap seniman lama yang kita tidak tahu siapakah dia. Perhatikan pula beberapa contoh Pantun Samarima yang lain yang begitu istimewa. Contohnya adalah seperti di bawah ini:

Meraba saku ketika bertemu Salam bersama selepas raya Mengapa daku mangsa kasihmu 6

Dalam drama di pentas maya

Ambil pulut serta sawi Bawa sarat berkelah di huma Sambil bergelut harta duniawi Pahala akhirat laburlah sama Berguru kepalang ajar Dapat rusa belang kaki Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi

Hubungan Pembayang dengan Maksud Keistimewaan pantun yang lain juga terletak pada perhubungan makna antara pasangan-pasangan pembayang dan maksud dalam suatu untaian. Perkara ini perlu kajian yang serba mendalam. Setidak-tidaknya secara teori semiotik. Dalam pantun, perhubungan antara pembayang dengan maksud kadang-kadang ada dan kadangkadang tiada. Bentuk hubungan antara pembayang dengan maksud lebih umum dalam bentuk perlambangan yang difahami masyarakat. Hubungan itu ada yang bersifat objektif dan subjektif. Kadang-kadang hubungan itu berlaku secara kebetulan sahaja. Profesor Pijnappel (1888) mengatakan bahawa bahagian pertama daripada pantun seolah-olah lukisan daripada bahagian yang kedua maksud sebenar. Beliau mengambil contoh pantun yang berikut: Telur itik dari Singgora Pandan terletak dilangkahi Darahnya titik di Singapura Badannya terhantar di Langkawi

Selanjutnya, R.O. Winstedt berpendapat bahawa kebanyakan pantun merupakan lukisan sesuatu kejadian atau kiasan dari sesuatu peristiwa. Ishak Haji Muhammad mengatakan bahawa keempat-empat baris dalam satu-satu pantun Melayu itu ada hubungannya antara satu dengan yang lain. Seterusnya, Van Ophusyen mengatakan bahawa mencari hubungan antara kedua bahagian pantun adalah kerja yang sia-sia kerana perhubungan itu hanya ada dengan tiada sengaja. Beliau mengemukakan buktinya dengan pantun yang berikut:

Satu dua tiga enam Satu dan enam jadi tujuh Buah delima yang ditanam Buah berangan hanya tumbuh

Perkara di atas telah menjadi bahan polemik yang panjang antara pengkaji pantun. Ada yang mengatakan terdapat hubungan antara pembayang dan maksud dan ada pula yang menyangkal pendapat ini, sedangkan sebahagiannya ada pula yang mengambil jalan tengah dengan mengatakan di antara pantun-pantun itu jelas memperlihatkan hubungan. Hanya sebahagian daripadanya yang kurang jelas, bahkan ada yang tidak berhubung langsung.

Sejarah Asal Pantun Keistimewaan bahasa pantun telah menarik minat ramai pengkaji dan telah banyak pendapat dikeluarkan tentangnya. Kata asal pantun dan ertinya telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh Pijnappel, Hoessein Djajadiningrat, Zainal Abidin Ahmad, Wilkinson, Winstedt, Van Ophuijsen dan lain-lain lagi. Sesungguhnya pantun mendapat sorotan dan kritikan yang cukup luas daripada kalangan Sarjana Melayu dan Orientalis Barat. Sarjana dan penulis Melayu seperti Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh, Profesor Dr. Md Salleh Yaapar, Tajul Kelantan, Darus Ahmad, Dr. Harun Mat Piah, Zainal Abidin Bakar, Jamilah Haji Ahmad, Samad Ahmad, Zakaria Hitam, Asmad, Gazali Dunia, Yahya Ismail dan puluhan nama lagi 8

turut memartabatkan kembali keistimewaan pantun dalam masyarakat Malaysia mutakhir. Di samping puluhan nama orientalis dan Sarjana Barat yang tidak jemu-jemu mengkaji dan memasyurkan pantun Melayu termasuklah R.O. Winstedt, H. Overbeck, A.W. Hamilton, M.G. Emies, C.Hooykaas, L. Philip Thomas, R.J. Wilkinson, C. Hugh Holman, Rene Daillie dan sebagainya yang terdapat sama ada di Amerika Syarikat, Great Britaian, Peranchis dan sebagainya turut sama memperkenalkan pantun dalam masyarakat Eropah dan dunia antarabangsa menerusi kajian dan buku-buku karangan mereka. Sarjana dan penulis berketurunan Cina seperti Goh Then Chye (Loo Mun), Liaw Yock Fang, Phoon Mun Kwong, F.L. Wong dan sebagainya ikut membantu menyebarluaskan kefahaman masyarakat dunia terhadap keunggulan pantun yang sudah diakui sebagai satu-satunya genre kesusasteraan Melayu yang asli, indah dan tidak lapuk ditelan zaman dan sentiasa mengikut rentak perubahan dengan mesejnya yang semasa. Van Ophusyen mengatakan bahawa pantun adalah seperti ende-ende bahasa Batak. Pendeta Zaba mengatakan pantun merupakan puisi Melayu tertua yang hampir sama dengan bangsa Melayu sendiri. Wujud perbezaan pendapat antara Zaba dengan Van Ophusyen. Sesungguhnya kaum Batak hanya satu kaum sahaja daripada bangsa Melayu. Kajian Van Ophusyen sendiri telah memperkukuhkan pendapat Pendeta Zaba tentang asal pantun. Van Ophusyen mengutarakan kajian pantun terhadap masyarakat Bugis yang mengirimkan sejenis tiram dan daun kepada pasangan yang baru berumahtangga dan seorang gadis Jawa yang mengirimkan sirih dan pinang kepada bakal mentuanya supaya cepat melamarnya. Orang Bugis dan Jawa adalah Bangsa Melayu. Hal ini berkait dengan sejarah bangsa dan bahasa Melayu. Kita boleh menyatakan pendapat bahawa penggunaan daun, tiram atau unsur-unsur lain sebagai satu peniruan atau projeksi ke atas benda-benda persekitaran yang berasaskan bentuk pantun.

Pantun ialah ragam puisi yang hidup di kalangan rakyat dan bersifat penuh dengan kemelayuan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu sebelum orang-orang Melayu tahu membaca dan menulis. Keistimewaan pantun terserlah apabila ia berjaya melahirkan berbagai-bagai bentuk perasaan, iaitu dengan menggunakan lafasan seni yang cukup indah. Keistimewaan bahasa pantun dapat digunakan ketika berkasih-kasihan, memberi nasihat, bersuka-suka, bergurau senda, berjenaka, menyindir dan untuk menyatakan kesedihan. Oleh itu, pantun sehingga kini kekal sebagai hak masyarakat umum, tiada sesiapapun boleh mengaku bahawa mereka merupakan pemilik asalnya. Secara umumnya pantun boleh dikelompokkan kepada beberapa penjenisan dari sudut temanya, Zainal Bakar (1983) iaitu :

i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. ix. x. xi.

Pantun adat dan resam manusia, Pantun agama dan kepecayaan, Pantun budi, Pantun jenaka dan permainan, Pantun teka-teki, Pantun kepahlawanan, Pantun pendidikan dan nasihat, Pantun peribahasa dan perbilangan, Pantun kias dan ibarat, Pantun kembara dan perantauan, Pantun percintaan dan perkahwinan.

Bagi menjelaskan lagi keistimewaan bahasa dalam pantun penulis telah mengumpulkan sebahagian daripada pantun-pantun percintaan yang menjurus kepada perkahwinan. Perbincangan tentang isi pantun-pantun itu turut dihuraikan secara rengkas. Pantun perkahwinan yang dikaji boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu; i. ii. iii. Pantun pada awal pertemuan, Pantun semasa peminangan, Pantun semasa dalam pertunangan, 10

iv. v. vi.

Pantun semasa menyambut pengantin, Pantun semasa persandingan, Pantun selepas perkahwinan.

i- Pantun Pada Awal Pertemuan Pantun yang dilafaskan oleh masyarakat Melayu pada awal pertemuan pasangan berkisar kepada;

Kata-kata di awal pengenalan antara pasangan. Menggunakan perkataan-perkataan yang indah sesuai dengan masa, tempat dan situasi pantun itu dilafaskan. Biasanya pasangan saling menduga hati masing-masing untuk memastikan mereka belum mempunyai buah hati dan saling suka menyukai.

Setelah berkenalan pasangan yang mendalam antara mereka.

saling puji-memuji untuk menarik perhatian

pasangan masing-masing dan mengambil hati serta memupuk kasing sayang

Pantun-pantun yang dilafaskan jelas mencerminkan adat pergaulan bangsa Melayu yang kaya dengan budi bahasa, sopan santun, keimanan, pantang larang dan sebagainya.

Contoh pantun yang sering dilafaskan seperti di bawah ;

Perahu temberang pun baharu, Baharu sekali masuk Melaka, Abang baharu, adik pun baharu, Baharu sekali kenal biasa. Dua tiga kucing berlari, Mana nak sama si kucing belang, Dua tiga boleh ku cari, Mana nak sama adik seorang. 11

Limau purut lebat di pangkal, Sayang selasih condong uratnya, Angin ribut dapat ditangkal, Hati kasih apa ubatnya? Apa tanda hari nak petang, Anak merbah terciap-ciap, Apa tanda cinta nak datang, Darah di dada gerap-gemirap Dari mana datangnya kelisa? Dari sawah turun ke kali, Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati. Mengapa tuan pergi ke hutan, Kerana hendak bertanam padi, Apabila persahabatan menjadi percintaan, Kata tidak perlu lagi. Gelang emas di atas peti, Ambil lampu padam pelita, Barulah puas rasanya hati, Jika dapat bertentang mata. Apa guna pasang pelita, Jika tidak dengan sumbunya, Apa guna bermain cinta, Kalau tidak dengan sungguhnya.

ii- Pantun Peminangan

12

Pantun-pantun yang dilafas lebih tersusun dan formal sesuai dengan majlis yang berlangsung. Maksud yang disampaikan terarah kepada hajat yang dibawa dan sebabsebab datang bertandan. Biasanya kedua-dua pihak masing-masing mencari keserasian untuk mendapatkan satu permuafakatan dan persetujuan. Kedua-dua belah pihak akan menjaga tutur kata masing-masing, pantun yang dilafaskan disusun dengan teratur dalam suasana yang terkawal dan ceria. Kalau tersalah cakap akan membawa padah.

Majlis berlangsung dalam suasana harmonis, beradat sesuai dengan budaya dan adat setempat. - Contoh pantun-pantunnya seperti berikut; Berkokok ayam dari hulu, Ditangkap budak sedang berlari, Angin memukul gelombang memalu, Sebab berhajat kita ke mari. Jika tidak kerana bulan, Bilakan air pasang pagi? Jika tidak kerana tuan, Masakan kami datang ke mari? Bukan kacang sebarang kacang, Kacang melilit kayu jati, Bukan datang sebarang datang, Datang mengikat jantung hati. Pagi-pagi pergi ke ladang, Hendak menyemai benih padi, Berapa tinggi Gunung Ledang, Tinggi lagi hajat di hati. Asap api di Tanjung Tuan, 13

Kuala Linggi bakaunya rendah, Harap hati kepada tuan, Langit tinggi kupandang rendah.

Daun terap di atas bukit, Tempat menjemur buah pala, Harapan saya bukan sedikit, Sebanyak rambut di kepala. Daun terap terbang ke bukit, Buah delima di dalam puan, Harapan kanda bukan sedikit, Hendak berdua denganmu tuan. Jangan dikait buah pinang, Entah berbuah entak tidak, Sudah dibawa sirih peminang, Entah diterima entah tidak. Jika pudak katakan pudak, Jangan penuh sampah sarap, Jika tidak katakan tidak, Jangan kami terharap-harap. Jika padi katakan padi, Tidak hamba tertampi-tampi, Kalau sudi katakan sudi, Tidaklah hamba ternanti-nanti. Suji-suji daun delima, Disuji anak Sultan Bentan, Kalau sudi minta terima, 14

Diharap jangan tuan lupakan.

iii- Pantun Semasa Dalam Pertunangan


Tempoh yang cukup meyiksakan buat kedua pasangan. Pantun yang dilapaskan penuh emosi, sarat dengan perasangka, saling rindumerindui, cemburu, kasih sayang dan sebagainya. Turut mengambarkan harapan dan keserasian di antara pasangan.

Kuda kelabu menyeberang, Terendam kaki pelananya, Hati gila mabuk seorang, Tuanlah sebab kerananya. Jika tuan pergi ke tanjung, Saya berkirim pisau lipat, Jika tuan menjadi burung, Saya menjadi seorang pemikat. Jahit setangan pinggir dikelim, Baik dikelim kembang kelapa, Rindu dendam ke mana dikirim, Mahu dikirim kepada siapa. Buluh perindu di atas gunung, Habis luruh buah padiku, Rindu kekanda tiada tertanggung, Hancur luluh rasa hatiku.

15

Tujuh hari dalam hutan, Air tak minum, nasi tak makan, Sehari tidak pandang tuan, Rasanya susut tubuh di badan.

Daun dilam di pintu raja, Bakar capa di pohon lontar, Siang dan malam teringat saja, Tiada lupa barang sebentar. Terang bulan cahaya berseri, Nampak dilihat jauh saujana, Seksanya tuan cinta berahi, Semua dibuat serba tak kena. Bakar capa di pohon lontar, Capa tumbuh di dekat kundur, Tiada lupa barang sebentar, Hanya sementara waktu tidur. Di dalam peti di Pantai Katung, Di situlah mutiara abang sembunyikan, Di antara hati dengan jantung, Di sinilah adik abang tinggalkan. Nuri hinggap di atas kota, Dapat ditangkap putera ratu, Hati di dalam sangat bercinta, Bila gerangan akan bersatu. Kalau tuan berkota batu, Sayang penyengat di pucuk nipah, Kalau tuan berkata begitu, 16

Malam Jumaat kita bernikah.

iv- Pantun Semasa Menyambut Pengantin

Pantun yang dilafazkan mengambarkan adat mengunjung dan adat menerima pengunjung yang diamalkan oleh masyarakat Melayu. Kaya dengan budi bahasa, sopan santun dan memuliakan tetapi. Menyelitkan unsur cabar mencabar, bergurau senda, dan kata-mengata untuk menghidupkan majlis agar sentiasa segar dan ceria. Contoh pantunnya seperti di bawah ;

Raja besar perang berarak, Perang sekali tidak selesai, Silalah tuan datang ke teratak, Tikar jarang jarak merasai. Kemili berjunjung naik, Datang selingkar jatuh ke lubuk, Jerangkan air di pangkal titi, Saya berdiri sudah nak naik, Berilah tikar saya nak duduk, Berilah air pembasuh kaki. Katang-katang berisi manik, Yang sebiji berisi gelam, Hulurkan tangan kami nak naik, Kami datang di malam kelam. Tidak disangka menimbul batang, Batang pauh batang tenggelam, 17

Tidak disangka tuan nak datang, Tempat jauh bulan pun kelam.

Tanah licin perahunya kolek, Ubi keling di Tanjung Teluk, Tangga licin rumahnya molek, Beri izin kami nak masuk. Hendak mangkuk kuberi mangkuk, Mangkuk bekas daun inai, Hendak masuk ku beri masuk, Masuk bersekali belanja tunai.

v- Pantun Semasa Majlis Persandingan


Pantun-pantun yang dilafaskan khusus kepada kedua mempelai. Biasanya dilafaskan oleh pengacara, keluarga terdekat dan para hadirin yang hadir. Pantun-pantun yang dilafaskan menjurus kepada pengantin dengan kata-kata pujian dan keserasian di antara mereka. Contoh pantunnya seperti berikut;

Anak cina cari sembilang, Dapat seekor di atas pasir, Laksana mahkota gilang gemilng, Sebagai emas baru diukir. Jelatik burung jeladan, Tekukur terbang tinggi, Sama cantik, sama padan, Kalau diukur sama tinggi. 18

Burung jelatik burung jeladan Mencari sarang burung tempua Sama cantik sama padan Seperti pinang dibelah dua Kain batik baju batik, Batik datang dari Jawa, Adik cantik abang cantik, Bagai pinang belah dua. Kain batik selendang batik, Mari sebar di atas pentas, Adik cantik abang cantik; Bagai dakwat dengan kertas. Layang-layang terbang ke Aceh, Jatuh ke ladu makan padi, Seorang sayang seorang kasih, Bagai hempedu lekat di hati. Pucuk mengkudu di tengah padang, Pucuk direntas burung cawi, Berjodoh adik dengan abang, Bagai bulan dengan matahari Kalau tuan pergi ke Tanjung, Belikan saya pisau lipat, Kalau tuan menjadi burung, Saya menjadi benang pengikat. Kalau tuan pergi ke Tanjung, Bawalah kain barang sekayu, Kalau tuan menjadi burung, Saya menjadi ranting kayu. 19

Kalau tuan pergi ke Klang Saya hantar sampai ke Linggi, Kalau tuan menjadi helang, Saya menjadi kayu yang tinggi. Kalau tuan pergi ke laut, Pesan saya ketam jantan, Kalau tuan menjadi pulut, Saya menjadi kelapa santan. Kalau tuan pergi ke laut, carikan saya ketam betina, kalau tuan menjadi rambut, saya menjadi bunga cina. Kalau tuan pergi ke laut, Carikan saya ketam bertelur, Kalau tuan menjadi rambut, Saya menjadi bunga melor. Kalau cik adik pergi ke laut, Saya mandi dalam perahu, Jikalau cik adik menjadi rambut, Saya menjadi minyak berbau.

vi- Pantun Selepas Berkahwin


Pantun-pantun yang dilafaskan adalah di antara suami dan isteri. Kata-kata yang dilafaskan untuk mengambarkan isi hati yang kesumbat dengan cinta, kasih sayang, pengharapan, janji setia dan sebagainya. Melalui pantun-pantun ini menjelaskan betapa murninya ikatan perkahwinan yang dianjurkan oleh agama, kerana melalui pekahwinan itu telah menghalalkan penyatuan dua hati yang saling lengkap-melengkapi, perlu20

memerlukan, sehingga berlakunya satu perkongsian hidup yang benar-benar adil, harmonis dan bahagia.

Antara pantun-pantun itu ialah ;

Pohon selasih pohon semulih, Ambil sopan pecahkan santun, Sudah kita bertambah kasih, Marilah kita berkarang pantun. Anak muda berantai dokoh, Padang luas larian kuda, Sekarang baru mendapat jodoh, barulah puas hati kakanda. Tuailah padi antara masak, Esok jangan layu-layuan, Intailah kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan. Layang-layang di atas bukit, Kayu tengar dari seberang, Cinta sayang bukan sedikit, Racun penawar tuan seorang. Seri Rama menambang tasik, Tasik ditambang dipadan tetamu, Sekian lama menanggung kasih, Baharulah sekarang kita bertemu. Padi bernama padi belok, Benih datang dari Palembang, Serta dapat bunga dijolok, Baharulah dapat bunga yang kembang. 21

Belayar masuk Kuala Kedah, Patah tiang timpa kemudi, Sekuntum bunga terlalu indah, Sekalian kumbang asyik berahi. Pukul empat pukul lima, Pukul lapan belum lagi, Sirih lipat sudah terima, Badan tuan belum lagi. Ikan todak dalam perahu, Anak syahbandar memangku puan, Tidur tak hendak makan tak hendak, Badan terserah padamu tuan. Tatang puan tatang cerana, Datang biduk seri rama, Datang tuan datang nyawa, Mari duduk bersama-sama. Di mana tempat murai berbunyi, Pokok kekabu di tepi kolam, Di mana tempat kita berjanji? Di dalam kelambu di atas tilam. Di mana kuang bertelur? Di atas lata, di ruang batu, Di mana abang nak tidur? Di atas dada, di ruang susu. Hanyut batang dari kuala, Raja mambang berkayuh balik, Dinda kutatang bagai gemala, Tempat abang duduk bertelek. 22

Sedap sungguh belayar kapal, Kapal masuk sekali setahun, Sedap sungguh tidur sebantal, Tangan memeluk kaki memanggun. Kalau ada kaca di pintu, Batang dedap di dalam padi, Kalau kanda kata begitu, Alangkah sedap di dalam hati. Kalau tuan menjadi ketua, Kayu bongkok mari dijulang, Kalau hendak kita berdua, Karam perahu sama direnang. Buah pauh buah kundang, Buah langsat buah duku, Duduk jauh berasa bimbang, Duduk dekat berasa malu. Banyak sudu dalam peti, Hendak makan bubur sagu, Kalau betul setuju di hati, Mengapa sampai menanggung rindu. Kalau menyeberang titi hanyut, Sanggupkah adik berenang ke tepi, Kalau datang ajal dan maut, Sanggupkah adik bersama mati. Kalau kena dengan pasangnya, Kuda tidak takut pedati, Kalau kena dengan datangnya, Dinda tidak takut mati. 23

Dari Sekukuh mudik ke Benta, Mudik dengan perahu galah, Kalau sungguh bagai di kata, Badan dan nyawa sanggup ku serah. Kalau roboh kota Melaka, Sayang selasih di dalam puan, Kalau sungguh bagai dikata, Rasa nak mati di pangku tuan. Orang Daik bersampan panjang, Lalu mari laut Burma, Kasih baik hatiku sayang, Rasa nak mati bersama-sama. Burung terkukur terbang menguku, Makan padi di tapak tangan, Rasa nak mati di hujung kuku, Hendak berkubur di tapak tangan. Gajah langgar kuda beraksa, Mayang di mana dihempaskan, Sama lebur sama binasa, Tuan tiada kanda lepaskan, Burung merpati terbang seribu, Hinggap seekor di tengah laman, Hendak mati di hujung kuku, Hendak berkubur di tapak tangan. Anak ruan lima-lima, Mati ditimpa punggur berdaun, Kasih tuan saya terima, Menjadi hutang beribu tahun. 24

Anak ruan lima-lima, Mati seekor di atas darat, Kasih tuan saya terima, Jadi hutang dunia akhirat. Ubur-ubur sepinggan dua, Pakai cincin di hujung jari, Satu kubur kita berdua, Dinda di kanan saya di kiri. Kalau tuan pergi ke hulu, Carikan saya ikan pelaga, Kalau tuan mati dahulu, Nantilah saya di pintu syurga. Hari Khamis malam Jumaat, Sembahyang Subuh pukul lima, Janji kita biar selamat, Subur kekal selama-lama.

Penjelasan dan contoh-contoh pantun yang diutarakan di atas menunjukkan bahawa, pantun sangat istimewa dan tersendiri sifatnya. Penjenisan dari sudut tema khusus kepada tema perkahwinan yang dibincangkan ini tidak terdapat pada puisipuisi Melayu Klasik yang lain. Ini merupakan suatu fenomena yang sangat menarik, kerana itulah pantun dianggap oleh banyak pengkaji sebagai suatu hasil kesusasateraan yang istimewa milik orang Melayu. Di sebalik keistimewaan bahasa dalam pantun itulah tersimpan khazanah dan keperibadian Melayu yang sebenar. Bagaimanapun, pembahagian ini hanyalah suatu pembahagian yang umum dan bukan mutlak sifatnya. Pembahagiannya kepada enam peringkat proses perkahwinan masih boleh dipersoalkan. Tambahan pula pantun-pantun yang dihimpunkan ini bukan statik sifatnya. Pantun-pantun itu boleh juga dilafaskan dimana-mana majlis dan situasi mengikut kesesuaian dan keperluannya, tidak terikat 25

dalam majlis perkahwinan sahaja. Bahkan, temanya juga boleh berubah mengikut keadaan dan keperluan si pengucapnya. Namun begitu, pembahagian yang dibuat ini, pada hemat penulis ada rasional dan kepentingannya. Paling tidak, kita dengan mudah boleh mengenali adat dan peraturan majlis perkahwinan masyarakat Melayu, pemantunnya, budi bahasanya, sikap dan emosi serta gaya kasih sayang bangsa kita.

Pantun Keagamaan Pantun lain yang tidak kurang istimewanya ialah pantun keagamaan. Pantun keagamaan dikemukakan untuk memberi nasihat, saranan, pengajaran, panduan, contoh, tauladan lain-lain lagi. Selain itu, pantun keagamaan juga menjelaskan kepada kita bahawa penyebaran agama Islam ke Tanah Melayu sudah lama. Ekoran dari itu, bait-bait puisi memasukkan unsur keagamaan dalam rangkap pantun. Contoh pantun keagamaan:

Bintang tujuh tinggal enam, Jatuh sebuah ke Melaka, Langit runtuh bumi tenggelam, Tinggallah syurga dengan neraka.

Pantun ini menjelaskan tentang kejadian kiamat akan berlaku dan pada masa itu langit akan runtuh dan bumi akan tenggelam. Sehubungan itu juga manusia semua akan mati dan manusia akan menerima pembalasan masing-masing. Yang baik akan dimasukkan ke syurga dan yang jahat akan menerima pembalasan di neraka.

Bunga kenangan di atas kubur, Sayang selasih burung angkasa, Apa guna sombong takbur, 26

Akhir badan rosak binasa. Pantun di atas mengajar atau memberi nasihat kepada manusia agar jangan bersifat sombong dan takbur. Ini kerana lama-kelamaan orang yang berperangai sedemikian tidak disukai orang dan akan menerima pembalasan atas setiap perbuatannya. Anak ayam turun sepuluh, Mati seekor tinggal sembilan, Bangun pagi sembahyang subuh, Minta ampun kepada Tuhan. Pantun di atas menjelaskan tentang perkara yang perlu dilakukan pada waktu pagi. Sebagai orang Islam mestilah bangun pagi untuk sembahyang subuh. Seterusnya selepas sembahyang mohonlah ampun kepada tuhan atas segala dosa yang dilakukan.

Khoja Baktab terlalu mungkar, Menteri kepada Raja Nasran, Di dunia dicari terlalu sukar, Serah sahaja ke hadrat Allah.

Segala benda atau perkara yang dikehendaki di dunia ini apabila sukar untuk ditemui. Perlulah meminta dan menyerah diri kepada Allah. Ini kerana segala kejadian yang berlaku adalah ketentuanNya.

Anak ayam turun sembilan, Mati seekor tinggal lapan, Duduk berdoa pada Tuhan, Minta jalan ketetapan.

27

Sebagai orang Islam kita perlu sentiasa berdoa dan memohon jalan ketetapan agar setiap perbuatan yang dilakukan mendapat keredaan dari Tuhan Yang Maha Esa.

Halia ini tanam-tanaman, Di barat sahaja akan tumbuhnya, Dunia ini pinjam-pinjaman, Akhirat juga akan sunggguhnya.

Pantun ini menerangkan tentang hidup di dunia ini hanyalah sementara dan tidak akan kekal lama. Tempat manusia paling kekal adalah di akhirat. Oleh itu, segala perbuatan yang dilaksanakan perlulah menjurus ke arah mendapat manfaat untuk kebaikan diri semasa di akhirat kelak.

Kulit lembu celup samak, Mari buat tapak kasut, Harta dunia janganlah tamak, Kalau mati tidak diikut.

Pantun ini mengajak kita semua agar jangan leka mengejar harta dunia sahaja. Sebaliknya ilmu akhirat jangan dilupakan. Ini kerana, harta yang banyak tidak boleh dibawa ke kubur. Sebaliknya ilmu yang manfaat, anak yang soleh dan sedekah amal jariah adalah yang utama untuk memabantu kita di akhirat.

Buah remia bawa ke huma, Untuk dimakan sambil menjerat, Hidup di dunia tidaklah lama, Patut amalkan bekal akhirat.

28

Pantun ini mengingatkan manusia agar jangan hanya mengejar dunia sebaliknya kejarlah ilmu akhirat kerana ilmu ini akan menjadi bekalan semasa di akhirat kelak. Ilmu ini akan membantu kita untuk berada di syurga atau neraka.

Terintip di tepi kota, Mari dikayuh sampan pengail, Imam khatib lagikan berdoa, Bertambah pula kita yang jahil.

Walaupun seorang Imam yang warak tidak membuat dosa, mereka berdoa agar dihapuskan dosa. Inikan manusia biasa yang banyak membuat dosa mestilah meminta ampun dari Allah.

Jangan diraba sarang lebah, Lebah beribu berani mati, Jangan cuba hendah bermegah, Kerana itu perkara keji.

Sebagai manusia biasa kita janganlah hidup dalam keadaan bermegah. Ini kerana, perbuatan itu adalah tidak baik. Allah amat melarang umatnya melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang Islam.

Zaman empat satu masa, Zaman mula pula dibilang, Jangan mengumpat sangat berdosa, Iman yang salih habis hilang.

Perbuatan mengumpat adalah perbuatan yang tidak baik. Hal ini harus dielakkan kerana seseorang itu akan hilang imannya apabila banyak mengumpat.

29

Pantun ini memberi nasihatkan kepada semua agar tidak melakukan dosa dengan cara tersebut.

Pergi ke paya menangguk sepat, Dapat juga ikan haruan, Jangan suka duduk mengumpat, Kerja keji dimurkai Tuhan. Perbuatan mengumpat akan berlaku apabila seseorang itu duduk beramairamai bersama kawan sambil berbual kosong. Perbuatan ini sebegini amat dimurkai Allah. Ini kerana kegiatan sebegini tidak mendatangkan faedah malahan akan dimurkai Tuhan.

Tun Teja Ratna Benggala, Pandai membelah lada sulah, Jikalau tuan kurang percaya, Mari bersumpah kalam Allah.

Dalam kehidupan seharian untuk meyakinkan sesuatu perkara agar dipercayai, kebanyakkan Islam. manusia berani bersumpah menggunakan kalam Allah. Ini menunjukkan agama Islam sudah wujud dan Al Quran menjadi pegangan umat

Pisang embun masak merekah, Dituris dengan pisau raut, Kalau abang pergi ke Mekah, Dua kali menyeberang laut.

Mekah adalah tempat umat Islam mengerjakan ibadat haji. Perjalanan ke Mekah sangatlah jauh. Oleh kerana, pantun dicipta pada masa dahulu dan kenderaan yang digunakan adalah kapal laut. Maka baris pantun juga adalah berkaitan. Ketika itu

30

tidak ada kapal terbang yang boleh pergi ke Mekah. Ini menunjukkan bahawa perjalanan ke Mekah adalah jauh sehingga menyeberang laut.

Terang bulan di pintu kurung, Cahayanya sampai di daun kayu, Kalau Allah hendak menolong, Air pasang kapal pun laju.

Pantun ini menjelaskan tentang segala yang berlaku di muka bumi ini adalah kehendak Allah. Jika Allah mahu jadikan sesuatu maka jadilah tapi jika tidak sebaliknya. Umpama kapal akan lebih laju pergerakan apabila air. Ini adalah bantuan dan kehendak Allah.

Hari ini hari Rabu, Hari esok hari Khamis, Kita sembah Tuhan Yang Satu, Sentiasa dengan tangis. Pantun ini membawa maksud kita mestilah menyembah Tuhan yang satu dan jangan menyembah selain dari itu, Sentiasa dengan tangis membawa erti kita mestilah sentiasa berdoa dan meminta ampun dari Allah.

Masa berada di Pulau Jawa, Rakan-rakan ajak menjala, Masa berkuasa janganlah lupa, Kuasa Tuhan tiada terhingga.

Hidup di dunia ini walaupun kita berkuasa dan mampu memerintah tetapi kita harus sedar bahawa yang paling berkuasa adalah Tuhan yang esa. Oleh itu, setiap perbuatan kita mestilah ingat bahawa tiada yang lain berkuasa dari Allah.

31

Asam kandis asam gelugur, Ketiga asam si riang-riang, Menangis mayat di pintu kubur, Teringat badan tidak sembahyang.

Hidup di dunia ini mestilah sentiasa melakukan perbuatan yang baik dan jauhkan diri dari melakukan segala dosa. Ini kerana dosa yang dilakukan akan menerima pembalasan di akhirat. Pantun ini menjelaskan dosa yang paling besar ialah tidak sembahyang. Siksaan akan diterima jika di dunia tidak bersembahyang. Kemumu di dalam semak, Jatuh melayang selaranya, Meski ilmu setinggi tegak, Tidak sembahyang apa gunanya. Pantun ini menjelaskan bahawa walaupun seseorang itu, mempunyai ilmu dunia yang banyak tetapi jika tidak sembahyang ilmu itu tidak berguna untuk akhirat. Oleh itu sebagai orang Islam kita mestilah menuntut ilmu untuk dunia dan akhirat. Ini penting untuk kesenangan kita kelak.

Anak ayam turun tujuh, Mati seekor tinggal enam, Nabi Muhammad nabi pesuruh, Menyuruh umat membawa iman.

Pantun ini menjelaskan tentang Nabi Muhammad yang menjadi pesuruh Allah. Beliau membawa iman dan mengajar semua manusia mengikut segala apa yang disuruh oleh Allah dan juga menjelaskan perkara yang dilarang oleh Allah.

Asamnya kandis asam gelugur. Ketiga dengan asam remunia, Nyawa menangis di pintu kubur, Hendak kembali ke dalam dunia.

32

Apabila seseorang itu melanggar suruhan Allah beliau akan menerima pembalasan di akhirat kelak. Sehubungan itu, apabila mati siksaan akan diterima sejak dalam kubur lagi. Apabila tersiksa manusia itu berasa menyesal dan seolah olah mereka akan kembali ke dunia untuk melakukan kebaikan.

Malas hamba menyelam bubu, Takut terpijak binatang berbisa, Orang malas menuntut ilmu, Di akhirat kelak badan binasa. Seseorang yang malas menuntut ilmu akhirnya akan membinasakan diri. Hal ini terjadi kerana apabila seseorang itu tiada ilmu atau cetek pengetahuannya tentang ilmu agama, maka mereka akan terjerumus untuk melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh Allah. Bagi menjamin kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat maka menuntut ilmu adalah perlu.

Layar tupang sahaya balikkan, Ditarik agung sahaya selawatkan, Pada nabi sahaya pohonkan, Sebarang maksud sahaya turutkan.

Pantun ini membawa maksud, setiap kejadian yang berlaku adalah ketentuan dari Allah Yang Maha Esa. Segala hajat yang dipohonkan sama ada berjaya atau tidak sebenarnya mempunyai hikmah disebalik kejadian itu. Serentetan itu, apa yang diberikan haruslah diterima dengan penuh kerelaan.

Zahir nabi di tanah Arab, Nabi Muhammad ismu namanya, Pekerjaan jahat jangan diharapkan, Tidak selamat akan jadinya.

33

Perbuatan yang jahat atau yang buruk seseorang itu, walaupun ditutup tidak akan kekal lama. Ini kerana perbuatan yang jahat akan mudah dikesan dan diketahui umum.Oleh itu, elakkan diri dari melakukan perbuatan yang salah.

Anak ayam turun lapan, Mati seekor tinggal tujuh, Pinta jalan ketetapan, Mengikut nabi pesuruh. Sebagai orang Islam, untuk memilih jalan yang di redai Allah dan memberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Maka jalan yang paling baik adalah mengikut Nabi Muhammad.

Bintang tujuh tinggal enam, Jatuh sebuah ke Melaka, Langit runtuh bumi tenggelam, Tinggallah syurga dengan neraka.

Apabila tiba hari kiamat maka seluruh alam ini akan musnah. Langit akan runtuh dan bumi akan tenggelam. Pada masa itu semua orang akan menerima pembalasannya. Manusia yang baik akan berada di syurga dan yang berperangai tidak baik dan mempunyai banyak dosa akan berada di neraka jahanam.

Alhamdulillah tulisan cina, Dibawa khatib Seri Alam, Sedang di dunia begini hina, Di akhirat wallahualam.

Pantun ini mengajar manusia agar beramal soleh setiap masa. Ini kerana hidup di dunia sudah tidak dihormati. Apatah lagi diakhirat kelak. Oleh itu, agar hidup sentiasa bahagia kita mestilah melakukan kebaikan dan meninggalkan laranganNya.

34

Baik berburu ke seberang, Rusa banyak di dalam rimba, Baik berguru kita sembahyang, Dosa banyak di dalam dunia. Pantun ini mengajar manusia agar taat kepada Allah dan sentiasa melakukan sembahyang seperti yang diarahkan. Ini disebabkan hidup di dunia banyak melakukan dosa. Untuk meminta ampun segala dosa yang dilakukan maka, bersembahyang adalah cara yang terbaik bagi memohon ampun kepada Allah. Anak ayam turun sembilan, Satu mati tinggal lapan, Memohon rahmat pada Tuhan, Mencari rezeki jalan kehidupan.

Untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat maka sebagai orang Islam kita mestilah memohon rahmat dari Tuhan. Begitu juga mencari rezeki dalam kehidupan kita perlulah meminta rahmat dan pertolongan dari Allah.

Hari ini hari isnin, Besok hari selasa, Jika masuk kaum muslimin, Mudah-mudahan terlepas seksa.

Apabila kita menganut agama Islam Insya Allah jika mengikut apa yang diperintahkan kita akan terlepas dari siksaan. Ini kerana Allahlah yang akan memberi kebahagiaan didunia dan akhirat.

Halia ini tanam-tanaman. Di darat jua tumbuhnya, Dunia ini pinjam-pinjaman, Akhirat jua kan sungguhnya.

35

Pantun ini menjelaskan tentang hidup di dunia ini hanya sementara dan kehidupan di akhirat adalah yang kekal abadi. Oleh itu, apabila melakukan sesuatu kita haruslah memikirkan kebaikan untuk di dunia dan di akhirat.

Sungai di teluk jauh di rawa, Tempat berkelah tepi pangkalan, Sebagai makhluk yang bertakwa, Cintai Allah dengan amalan.

Sebagai orang Islam kita mestilah mengikuti dan mengamalkan ilmu dan cara hidup yang diarahkan oleh agama Islam. Kepatuhan dan pelaksanaan yang dilakukan membuktikan kita mentaati Allah Yang Maha Esa. Jelaslah bahawa pantun keagamaan sudah wujud sejak dulu lagi. Pantun ini banyak memberi tunjuk ajar dan saranan yang berguna untuk kehidupan seharian. Segala nasihat, tunjuk ajar berkaitan keagamaan banyak dipaparkan dalam pantun.

Kesimpulan Pantun adalah alat komunikasi yang sangat istimewa kerana bahasanya yang tepat dan mempunyai mesej untuk mendidik masyarakat. Setiap rangkap pantun sudah diukur terlebih dahulu dan kemudian bari digunakan. Keistimewaan bahasa dalam pantun menunjukkan kebijaksanaan orang Melayu dalam mendidik masyarakat supaya beradat dan beradab. Pantun yang istimewa terutama dari segi bahasanya yang indah dan kritis dijadikan sebagai sumber rujukan, ilmu dan amanat. Pantun juga adalah alat komunikasi Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam. Sastera dan budaya sememangnya mempunyai kedudukan yang tersendiri menurut pandangan Islam seperti yang diakui oleh Allah dalam kitab suci al-Quran mahupun dalam hadis Nabi Muhammad.

36

Dalam al-Quran terdapat surah khusus yang membincangkan peranan, kepentingan, ciri-ciri sasterawan dan seniman Islam yang terdapat dalam Surah AsySyura (Surah Para Penyair) yang menjelaskan apa yang harus dilakukan dan tidak harus dilakukan oleh seseorang sasterawan atau budayawan kerana apa yang dilakukan dan dihasilkan akan ditanya dan diadili oleh Allah pada hari kiamat. Pantun yang baik telah membuatkan orang Melayu jadi unik dan istimewa. Banyak nilai baik dalam pantun yang boleh kita amalkan kerana boleh mewujudkan perpaduan orang Melayu, Islam dan rakyat di negara kita. Walaupun kita sudah memasuki abad yang ke 21, namun pantun yang istimewa, menarik dan kritis masih terus diamalkan dan bukan mustahil untuk diteruskan. Apa yang penting orang Melayu harus memahami sedalam mungkin mesej pantun itu sendiri. Pantun yang baik dan istimewa patut kita amalkan dan menjadi darah daging kerana banyak membawa kesan yang positif kepada khalayak. Sebenarnya pantun sepatutnya bukan menjadi hiasan majlis sahaja, tetapi ia perlu dijadikan sebagai pakaian harian orang Melayu dan peminat-peminatnya. Bahasanya yang indah dan padat sungguh tepat untuk menyampaikan mesej kepada sasarannya.

37

Rujukan

Ahmad Kamal Abdullah (1989). Unsur-Unsur Islam Dalam Puisi Melayu Moden. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Harun Mat Piah (1997). Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Zainal Abidin Bakar (1983). Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Kurik-Kundi Merah Saga Kumpulan Pantun Lisan Melayu (2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Permata Timur(1998). Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia.

38

39