Anda di halaman 1dari 18

BAB 06 : PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

I : PENDAHULUAN 6.01 Malaysia sedang mengalami perubahan struktur ekonomi dan memasuki dengan cepat era perindustrian yang pesat. Proses perubahan ini yang berterusan ke tahun-tahun sembilan puluhan akan menambah permintaan baru terhadap kemahiran teknikal peringkat tinggi, keupayaan pengurusan dan keusahawanan serta peningkatan tahap pembangunan teknologi dan penggunaan modal. Bagi menyokong dan mengekalkan proses pembangunan ini, Malaysia perlu mewujudkan tenaga kerja berdisiplin yang di-lengkapi dengan asas kemahiran yang lebih luas serta mempunyai budaya dan etika kerja positif. Peningkatan keupayaan rakyat Malaysia dengan motivasi yang sesuai untuk bekerja dan memperbaiki produktiviti perlu dimajukan untuk membolehkan Malaysia sentiasa berada di hadapan dan mengekalkan daya saingannya, dan dengan itu, dapat mencapai matlamat untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. 6.02 Satu aspek penting dalam pembangunan sumber manusia ialah menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dengan aktif dan saksama dalam aktiviti pembangunan ekonomi negara. Dalam proses menyusun semula masyarakat Malaysia, program pendidikan dan latihan akan dilaksanakan bersama dengan usaha untuk mengatasi ketidakseimbangan pendapatan, gunatenaga dan pemilikan serta penguasaan sumber-sumber produktif di kalangan kumpulan ethnik. Untuk mencapai objektif ini dengan jayanya, kerjasama yang lebih rapat antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan sumber manusia adalah diperlukan. 6.03 Satu lagi aspek pembangunan sumber manusia ialah menanamkan nilai-nilai positif yang dimiliki bersama khusus-nya di kalangan generasi muda. Semangat kekitaan yang tinggi, kesetiaan dan cinta kepada negara akan terus dipupuk. Di tempat kerja, rakyat Malaysia perlu mempunyai tahap disiplin yang lebih tinggi, gigih berusaha mencapai kecemerlangan dan sentiasa mengejar kemajuan. Di samping itu, mereka perlu mempunyai nilai-nilai positif lain seperti dedikasi, bekerjasama, dinamik dan kreatif. Saluran utama bagi menanam nilai-nilai ini ialah sistem pendidikan dan latihan yang berpandangan jauh dan pragmatik. Sistem ini perlulah diubahsuaikan untuk memenuhi keperluan negara masa hadapan. II : TERAS PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

6.04 Teras pembangunan sumber manusia di bawah Dasar Pembangunan Baru (DPB) adalah bertujuan mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama. Dalam dekad akan datang, pembangunan negara akan bergantung kepada sumber manusianya untuk membangunkan sumber alam semulajadi yang kaya. Dalam suasana ekonomi dunia yang cepat berubah, pertumbuhan ekonomi memerlukan tenaga kerja yang lebih berpengetahuan dan berkemahiran. Oleh itu, tumpuan yang lebih akan diberi kepada usaha-usaha membangunkan tenaga manusia yang berpendidikan terlatih dan boleh menyesuaikan diri mengikut keadaan supaya arahaliran pertumbuhan dan pencapaian produktiviti yangada sekarang dapat diperkukuhkan. 6.05 Pertambahan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang mempunyai nilai ditambah lebih tinggi adalah perlu dalam usaha membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Sehubungan dengan ini, penyertaan Bumiputera dalam beberapa kumpulan pekerjaan tertentu dan profesion penting masih lagi kurang, walaupun usaha telah dibuat dalam tempoh 20 tahun yang lalu. Sungguhpun bilangan gunatenaga Bumiputera dalam kumpulan pekerjaan ikhtisas dan teknikal bertambah dengan ketara, sebilangan besar daripada mereka adalah dalam bidang perguruan dan kejururawatan. Oleh itu, penekanan akan diberi untuk menambah lagi bilangan Bumiputera dalam kumpulan pekerjaan ikhtisas dan teknikal untuk meningkatkan lagi peranan mereka dalam ekonomi negara. 6.06 Tumpuan akan diberi untuk membangunkan tenaga buruh luar bandar bagi membolehkan mereka memasuki pasaran buruh yang semakin canggih dan berorientasikan teknologi. Tenaga buruh luar bandar, yang sebahagian besarnya adalah Bumiputera, perlu mengubah tumpuan daripada aktiviti tradisional yang berproduktiviti rendah kepada kegiatan sektor moden yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Untuk membolehkan tenaga buruh luar bandar menyertai pembangunan ekonomi negara dengan lebih berkesan mereka perlu diberi peluang mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik, maklumat pasaran buruh dan kemahiran-kemahiran baru, di samping mempunyai semangat yang kuat untuk bersaing dan berdikari. 6.07 Satu perkara penting dalam pembangunan sumber manusia ialah mengembeling sumbangan kreatif penduduk yang berbilang kaum untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memupuk perpaduan negara. III : KEPENDUDUKAN, TENAGA BURUH DAN GUNATENAGA Kependudukan 6.08 Penduduk Malaysia dijangka bertambah daripada 18 juta pada tahun

1990 kepada 22.7 juta pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan tahunan penduduk adalah lebih rendah iaitu 2.3 peratus berbanding dengan 2.6 peratus dalam dekad lapan puluhan seperti di Jadual 6-1. Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh kesuburan keseluruhan yang dijangka berkurangan. Ini menghasilkan saiz keluarga yang kecil. Penurunan kesuburan adalah disebabkan oleh tahap pendidikan penduduk yang lebih tinggi, peningkatan perbandaran, perkahwinan yang dilewatkan dan taraf hidup yang bertambahbaik. Unjuran arahaliran sehingga tahun 2000 adalah selaras dengan matlamat pertumbuhan penduduk yang dijangkakan di bawah Dasar Penduduk 70 Juta. Berdasarkan kadar pertumbuhan penduduk semasa dan jangkaan penurunan kesuburan pada masa hadapan hasil daripada pembangunan sosio-ekonomi, saiz penduduk ini boleh dicapai pada tahun 2100. 6.09 Perubahan dalam komposisi umur merupakan satu komponen penting dalam perubahan demografi. Dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, penduduk dalam kumpulan umur bawah 15 tahun dijangka bertambah pada kadar purata 1.6 peratus setahun. Ini menggambarkan penurunan jumlah kadar kesuburan daripada 3.8 pada tahun 1990 kepada 3.4 pada tahun 2000. Bahagian kumpulan umur ini akan berkurangan daripada 37.5 peratus jumlah penduduk pada tahun 1990 kepada 34.8 peratus pada tahun 2000 seperti di Jadual 6-1. Sebaliknya, bahagian penduduk dalam kumpulan umur bekerja iaitu 15-64 tahun akan meningkat daripada 58.8 peratus pada tahun 1990 kepada 60.8 peratus pada tahun 2000. Di samping itu, kumpulan umur 65 tahun dan keatas akan meningkat dari segi bilangan dan juga kadar pertumbuhan. Keadaan ini disebabkan oleh jangka hayat yang meningkat hasil daripada peningkatan keseluruhan kualiti hidup penduduk. 6.10 Perubahan dalam struktur umur penduduk Malaysia akan memberi kesan yang ketara kepada ekonomi negara. Pertambahan penduduk dalam lingkungan umur bekerja pada kadar 2.6 peratus setahun bermakna lebih banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan dalam dekad akan datang. Oleh kerana bahagian penduduk dalam lingkungan umur bekerja dijangka lebih besar daripada bahagian penduduk dalam kumpulan umur bawah 15 tahun dan 65 tahun ke atas, nisbah tanggungan keseluruhan akan berkurangan daripada 70pada tahun 1990 kepada 64 menjelang tahun 2000 seperti di Jadual 6-1. 6.11 Dalam usaha meningkatkan lagi kualiti penduduk, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan dan kebajikan keluarga. Program-program perkhidmatan kesihatan dan sosial akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan lagi kualiti hidup pada keseluruhannya, terutamanya di negeri-negeri kurang maju. Dengan bertambahnya bilangan golongan tua, pertimbangan yang lebih akan diberi kepada perancangan

kesihatan, kebajikan dan perkhidmatan keselamatan sosial untuk memenuhi keperluan khusus golongan ini. Tenaga Buruh 6.12 Jumlah tenaga buruh iaitu komponen penduduk berumur 15-64 tahun yang terdiri daripada mereka yang bekerja dan yang menganggur, dijangka bertambah daripada 7.0 juta pada tahun 1990 kepada 9.4 juta pada tahun 2000 atau meningkat pada kadar 2.9 peratus setahun seperti di Jadual 6-2. Pertumbuhan tenaga buruh ini berpunca daripada bertambahnya penduduk umur bekerja serta kadar penyertaan tenaga buruh yang dijangka meningkat daripada 66 peratus kepada 68 peratus seperti di Jadual 6-3. 6.13 Dengan meningkatnya tahap pendidikan dan bertambahnya peluang pekerjaan, lebih ramai lagi wanita dijangka menyertai kegiatan ekonomi secara aktif. Dalam tempoh ini, kadar penyertaan tenaga buruh wanita dijangka meningkat daripada 47 peratus kepada 49 peratus, sementara kadar penyertaan tenaga buruh lelaki adalah 86 peratus. Memandangkan perlunya tenaga buruh wanita yang berkualiti lebih tinggi, program-program untuk meningkatkan kemahiran mereka akan diperkenalkan bagi membolehkan mereka menyertai proses pembangunan dengan lebih berkesan. 6.14 Dalam tempoh RRJP2, tenaga buruh dianggar bertambah pada kadar 2.9 peratus setahun. Ini akan menambahkan bilangan tenaga buruh sebanyak 2.4 juta. Tenaga buruh akan menjadi lebih terpelajar, terlatih dan mempunyai profil umur yang lebih tua seperti di Jadual 6-3. Gunatenaga 6.15 Memandangkan bilangan tenaga manusia yang memasuki pasaran buruh kian bertambah dan di samping itu masih wujud pengangguran, dasar gunatenaga akan ditumpukan ke arah meningkatkan kadar pewujudan pekerjaan baru. Oleh kerana sumber utama pendapatan isirumah ialah upah, pewujudan peluang- peluang pekerjaan terutamanya dalam kegiatan nilai ditambah yang lebih tinggi akan terus menjadi kaedah penting. Ini boleh menambah pendapatan,mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia. Kesemua ini bukan sahaja bergantung kepada langkah untuk meningkat dan mengekalkan tahap pertumbuhan ekonomi yang tinggi, tetapi juga kepada usaha memperbaiki suasana pasaran buruh dan meningkatkan mutu sumber manusia melalui pendidikan, latihan dan latihan semula. Sistem maklumat pasaran buruh juga akan diperkemaskan untuk mengurangkan ketidaksesuaian kemahiran dan memudahkan mobiliti buruh. Sistem upah juga perlu peka dan responsif kepada keadaan pasaran

yang berubah. Peningkatan kualiti tenaga buruh akan menambahkan produktiviti dan ini akan meningkatkan pendapatan pekerja. 6.16 Berdasarkan pertumbuhan KDNK sebenar pada kadar 7 peratus setahun dalam tempoh ini, permintaan buruh akan bertambah sebanyak 3.1 peratus setahun. Oleh yang demikian, jumlah gunatenaga dijangka bertambah daripada 6.6 juta pada tahun 1990 kepada 9.0 juta pada tahun 2000. Pada kadar pertumbuhan gunatenaga ini dan pertumbuhan penawaran buruh pada kadar 2.9 peratus setahun, kadar pengangguran, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 6-2, akan berkurang daripada 6 peratus pada tahun 1990 kepada 4 peratus menjelang akhir dekad ini. 6.17 Dalam usaha meningkatkan penggunaan buruh dalam ekonomi, dasar gunatenaga akan mengambilkira profil penganggur sediada. Keadaan pengangguran pada umumnya bersifat jangka pendek dan tertumpu di kalangan golongan muda. Dari segi tahap pendidikan, taburan pengangguran menunjukkan kira-kira dua pertiga daripada jumlah penganggur mempunyai pendidikan menengah. Peratusan penganggur berpendidikan tinggi telah meningkat, manakala peratusan penganggur yang tidak berpendidikan formal atau berpendidikan rendah telah menjadi lebih kecil. Tenaga pekerja yang memasuki pasaran buruh pada masa hadapan adalah daripada golongan muda, berpendidikan dan mudah bergerak. Oleh yang demikian, latihan yang lebih adalah diperlukan untuk memudahkan penyerapan mereka ke dalam pasaran buruh. 6.18 Pada umumnya, kadar pengangguran adalah lebih tinggi di negerinegeri kurang maju berbanding dengan negeri-negeri lebih maju yang mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan. Oleh yang demikian, lebih banyak peluang pekerjaan akan wujudkan menerusi usaha mempelbagaikan asas ekonomi dan menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan yang lebih baik di negeri-negeri kurang maju. Gunatenaga mengikut Sektor 6.19 Dari perspektif sektor, adalah dijangka sektor perkhidmatan akan menyumbangkan peratusan terbesar gunatenaga baru. Sektor pembuatan pula akan menyediakan 36 peratus dari pada peluang pekerjaan baru, manakala sumbangan sektor pertanian kepada jumlah gunatenaga dijangka turun daripada 28 peratus kepada 20 peratus, selaras dengan perubahan struktur yang berlaku dalam ekonomi seperti di Jadual 6-2. 6.20 Sektor perkhidmatan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh RRJP2, iaitu 55 peratus dari pada keseluruhan pekerjaan baru. Daripada 1.3 juta pekerjaan baru yang dijangka diwujudkan

dalam sektor ini, sebahagian besar adalah dalam sektor kecil perkhidmatan pengedaran yang terdiri daripada perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran. Selaras dengan pertumbuhan ekonomi keseluruhannya, sektor kecil pengangkutan, penyimpanan dan perhubungan; sektor kecil kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan perniagaan serta perkhidmatanperkhidmatan lain akan turut menyumbang kepada pertambahan gunatenaga. Peluang gunatenaga juga akan bertambah dalam kegiatan berkaitan dengan pelancongan dan perkhidmatan perundingan. Peluangpeluang ini akan wujud berikutan daripada peluasan dan pelbagaian aktiviti sektor perkhidmatan. Walau bagaimanapun, bagi sektor perkhidmatan Kerajaan pertumbuhan gunatenaga dijangka sederhana selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mengurangkan saiz dan peranan sektor awam. 6.21 Walaupun sektor pembuatan akan menjadi bertambah penting dari segi nilai ditambah, penggunaan buruh secara intensif atau kadar penyerapan buruh dalam sektor ini akan berkurang, selaras dengan bertambahnya penggunaan loji yang moden dan berjentera. Memandangkan industriindustri akan terus berkembang ke arah keluaran nilai ditambah yang lebih tinggi, permintaan buruh dijangka tertumpu kepada pekerja mahir. Ini memerlukan peningkatan kemahiran tenaga buruh. Sektor ini dijangka menyediakan kira-kira 853,700 pekerjaan baru atau kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan gunatenaga baru. Sektor pembinaan juga dijangka mencatatkan pertambahan gunatenaga yang besar, hasil daripada paras perbelanjaan awam yang tinggi ke atas infrastruktur fizikal dan sosial serta pelaburan swasta dalam pembangunan hartanah. Kira-kira 237,500 pekerjaan baru akan diwujudkan dalam sektor ini yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan gunatenaga baru. 6.22 Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dan gunatenaga dijangka berkurangan. Pengurangan jumlah gunatenaga sektor pertanian adalah disebabkan oleh pemodenan sektor ini dan jangkaan penghijrahan keluar tenaga kerja dari kawasan luar bandar berikutan daripada peningkatan taraf pendidikan dan tarikan pekerjaan dari kawasan bandar. Walau bagaimanapun, nilai mutlak keluaran pertanian akan mencatat pertambahan hasil daripada perusahaan pertanian secara moden dan komersial serta peningkatan produktiviti. Sektor ini akan kekal sebagai sektor penting yang menyumbangkan sebanyak 20 peratus daripada jumlah gunatenaga. Komposisi Pekerjaan 6.23 Kategori pekerjaan yang berkembang paling pesat adalah yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan, jualan, ikhtisas dan teknikal, dan pengeluaran, selaras dengan perkembangan kegiatan sektor pembuatan dan perkhidmatan seperti di Jadual 6-4. Pekerjaan-pekerjaan ini akan

menyumbangkan 1.8 juta pekerjaan baru atau 76.7 peratus daripada pekerjaan baru yang akan diwujudkan dalam tempoh tersebut. Daripada jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan bagi tempoh RRJP2, sebanyak 38.5 peratus merupakan permintaan terhadap pekerja pengeluaran, terutamanya dalam kegiatan pembuatan dan pembinaan. 6.24 Kategori pekerjaan ikhtisas dan teknikal dijangka menyediakan sebanyak 320,000 pekerjaan baru dalam tempoh tersebut yang mana 48 peratus daripadanya adalah dalam pekerjaan teknikal. Peningkatan teknologi pengeluaran daripada jenis pemasangan mudah dan bercorak operasi memproses kepada penggunaan mesin automatik canggih akan memerlukan 153,000 jurutera dan pembantu jurutera serta juruteknik terutamanya dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal dan elektronik. Permintaan terhadap saintis dan teknologis dalam kegiatan penyelidikan dan pembangunan (P&P) juga akan meningkat. Memandangkan hasrat untuk mengekal dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, permintaan terhadap guru serta kakitangan perubatan dan kesihatan akan terus berada pada tahap yang tinggi bagi tempoh tersebut seperti di Jadual 6-5. 6.25 Gunatenaga dalam pekerjaan ikhtisas dan teknikal terpilih seperti kejuruteraan, perubatan dan kesihatan serta perguruan dijangka mengalami pertambahan sebanyak 244,000 menjelang tahun 2000. Pertambahan ini akan dipenuhi oleh keluaran daripada institusi latihan dan pendidikan sektor awam dan swasta dalam negeri serta institusi-institusi luar negeri. Oleh yang demikian, penglibatan sektor swasta khususnya dalam latihan pembantu jurutera dan juruteknik adalah penting. Sektor ini dijangka mengeluarkan 32 peratus daripada anggaran permintaan 122,900 pembantu jurutera dan juruteknik dalam tempoh tersebut. Ini adalah selaras dengan dasar menggalakkan penglibatan yang lebih sektor swasta dalam pembangunan sumber manusia. 6.26 Perubahan tugas dan bidang kerja dalam kategori pekerjaan pentadbiran dan pengurusan akan diiringi oleh pertumbuhan dalam pekerjaan pengurusan. Oleh yang demikian, pengurus dan penyelia dalam sektor awam dan swasta perlu mempunyai kecekapan teknikal yang lebih luas untuk membolehkan mereka mengendalikan operasi yang lebih rencam dan gabungan peralatan dan pekerja mahir yang lebih besar Berhubung dengan kategori pekerjaan jualan dan perkeranian, penekanan akan diberi kepada pengetahuan yang lebih mendalam mengenai keluaran, kemahiran berkomunikasi, kemahiran pengendalian keyboard, pengetahuan perisian komputer dan kesedaran perdagangan yang lebih luas. Sejumlah 828,600 pekerjaan baru akan diwujudkan dalam ketiga-tiga kategori pekerjaan ini seperti di Jadual 6-4. Institusi pendidikan dan latihan tempatan berupaya

menyediakan latihan dan pendidikan yang diperlukan oleh kumpulan pekerjaan ini. 6.27 Bagi pekerja pertanian, bilangan gunatenaga dijangka berkurang kerana pekerja Malaysia yang lebih berpendidikan dan terlatih memilih pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, produktiviti pekerja pertanian akan meningkat berikutan daripada bertambahnya P&P dalam aktiviti-aktiviti huluan dan penggunaan teknologi baru serta mekanisasi. 6.28 Lebih ramai pekerja mahir diperlukan di peringkat pengeluaran berikutan proses perindustrian yang lebih pesat dan penggunaan teknologi baru. Keadaan ini akan menambahkan permintaan terhadap tenaga manusia yang mempunyai kecekapan asas ketukangan yang luas dan kemahiran sokongan. Keutamaan akan diberi untuk meningkatkan penggunaan institusi pendidikandan latihan yang sediada di samping menambahkan lagi kemudahan ini. Lebih banyak kemudahan latihan di peringkat sijil dan diploma akan juga disediakan. Memandangkan proses pendidikan dan latihan ditumpukan kearah memenuhi keperluan tenaga manusia negara dimasa hadapan, program pendidikan dan latihan akan lebih berorientasikan sains dan teknologi. Untuk memberi peluang yang lebih kepada Bumiputera, terutamanya di luar bandar, mendapat pendidikan tinggi lebih banyak sekolah berasrama penuh dan kemudahan- kemudahan yang lebih baik akan disediakan. Kaum bukan Bumiputera yang miskin akan juga diberi peluang yang lebih untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh dan meningkatkan peluang pendidikan untuk menambah mobiliti sosio-ekonomi mereka. 6.29 Walaupun kemudahan pendidikan dan latihan akan ditambah dan disediakan oleh sektor awam dan swasta, rakyat Malaysia terus digalakkan mendapat pendidikan dan pengalaman yang berfaedah di luar negeri. Langkah mempelajari teknologi dan teknik pengurusan baru di luar negeri akan membolehkan rakyat Malaysia merapatkan jurang perbezaan teknologi. Sejajar dengan ini, Kerajaan akan terus menghantar pelajar Malaysia ke institusi-institusi terkemuka luar negeri dalam bidang-bidang terpilih ke arah meningkatkan usaha menghapuskan ketidakseimbangan sosio-ekonomi. Wanita dalam Pembangunan 6.30 Penyertaan wanita dalam proses pembangunan bagi dua dekad yang lalu telah meningkat. Pekerja wanita merupakan 35 peratus daripada tenaga buruh pada tahun 1988. Kira-kira 82 peratus pekerja wanita terdiri daripada pekerja bergaji dan pekerja keluarga tidak bergaji. Sungguhpun perbezaan upah antara lelaki dan wanita semakin berkurangan, ianya terus wujud dalam beberapa sektor ekonomi tertentu. Menyedari pentingnya peranan

wanita dalam pembangunan, dasar di masa hadapan akan ditumpu ke arah memastikan penyediaan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada mereka. Lebih banyak kemudahan latihan dan latihan semula akan disediakan bagi membolehkan pekerja wanita menyesuaikan diri dengan teknologi baru serta memperbaiki mobiliti mereka di dalam dan di antara pekerjaan. Pada masa yang sama, maklumat pasaran buruh akan diperkemaskan untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan mengenai peluang pekerjaan dan keperluan yang berkaitan. Bagi menggalakkan penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, terutamanya di kalangan wanita yang berkahwin, langkahlangkah tambahan sedang dipertimbangkan untuk menggalakkan mereka menyertai pekerjaan yang produktif di samping memenuhi tanggungjawab mereka kepada keluarga. Upah 6.31 Dalam usaha mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat, antara langkah-langkah yang akan diambil untuk memenuhi permintaan buruh ialah menawar pekej insentif yang lebih menarik. Sektor swasta akan digalak untuk menyediakan insentif tersebut sejajar dengan keadaan pasaran buruh, bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan memasuki sektor ladang dan sektor kecil lain yang mengalami kekurangan buruh. 6.32 Pengalaman pada tahun-tahun lapan puluhan menunjukkan bahawa upah dalam sektor tersusun adalah agak tegar dan tidak mudah berubah berbanding dengan produktiviti dan keuntunan. Ini disebabkan oleh perjanjian-perjanjian bersama yangbersifat kontrak yang tidak membenarkan upah diubahsuai di masa keadaan ekonomi merosot dan prestasi syarikat kurang baik. Keadaan ini boleh menyebabkan pemberhentian pekerja. Dalam jangkamasa panjang, ketegaran upah akan menghadkan pengwujudan peluang- peluang pekerjaan dan menjejas kebajikan pekerja. Permintaan kenaikan upah tanpa mengambilkira keupayaan firma membayar, akan memberi kesan yang negatif kepada pekerja dan majikan. Seterusnya keupayaan ekonomi untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan dan menggalak pelaburan baru akan terjejas. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi pekerja dan majikan bekerjasama bagi mempastikan perhubungan perindustrian harmonis sebagai asas kepada pasaran buruh yang berdaya saing. 6.33 Walaupun diakui paras upah perlu ditingkatkan untuk menambah pendapatan dan memperbaiki taraf hidup, daya saingan Malaysia perlu dipertahankan, terutamanya dalam sektor eksport. Untuk mempastikan kos pengeluaran seunit terus berdaya saing, kenaikan upah perlu dikaitkan dengan produktiviti. Satu sistem penyelarasan upah yang lebih baik yang mengaitkan perubahan upah dengan produktiviti akan menjaga kepentingan

pekerja dan majikan. Di samping menyediakan insentif kepada majikan untuk menambah peluang pekerjaan, sistem ini juga akan mengurangkan pemberhentian pekerja semasa ekonomi merosot. Sehubungan dengan ini, Kerajaan akan berusaha ke arah mewujudkan satu sistem upah yang mengaitkan perubahan upah dan produktiviti. IV : PEMBANGUNAN TENAGA MANUSIA 6.34 Pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan memerlukan tenaga buruh yang berkualiti tinggi, serba boleh dan cepat menyesuaikan diri kepada perubahan keadaan perindustrian. Tenaga kerja mahir dan produktif adalah pra-syarat untuk mengekalkan iklim pelaburan yang menggalakkan dan daya saingan keluaran Malaysia di pasaran dunia. Bagi memenuhi keperluan ini, sistem penyampaian pendidikan dan latihan perlu menjadi lebih responsif kepada keperluan pasaran buruh yang dinamik. Pendidikan dan latihan akan terus menekankan penerapan nilai-nilai positif dan progresif, termasuk etika kerja yang baik dan disiplin industri. 6.35 Walaupun terdapat usaha-usaha pembangunan tenaga manusia, ketidakseimbangan masih wujud di antara kawasan bandar dan luar bandar. Oleh itu, tumpuan akan terus diberi bagi menyediakan kemudahankemudahan perlu kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran mereka. Ini akan membantu meningkatkan peluang dan penyertaan mereka dalam kegiatan sektor moden. Penyediaan peluang yang sama dan kemudahan yang lebih baik akan membantu menghapuskan ketidaksamaan kualiti pendidikan dan latihan di antarakawasan bandar dan luar bandar dan di kalangan berbagai lapisan masyarakat. 6.36 Arahaliran permintaan tenaga manusia perindustrian pada masa ini menunjukkan perlunya tenaga buruh yang mempunyai asas pendidikan yang luas dengan penekanan kepada bidang matematik dan sains. Kebolehan berkomunikasi serta fasih berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua adalah juga penting. Ciri-ciri tersebut merupakan asas penyediaan tenaga buruh yang mudah dilatih dan berupaya menyesuaikan diri dengan cepat kepada perubahan keperluan teknologi. Sehubungan dengan ini, kurikulum sekolah akan terus diperbaiki, terutamanya di peringkat rendah dan menengah, manakala guru-guru akan dilengkapkan dengan kebolehan mengajar pelajaran matematik, sains dan kemahiran berkomunikasi. Lebih banyak pelaburan akan dibuat bagi menambah kemudahan dan meningkatkan kualiti guru diperingkat pendidikan rendah dan menengah memandangkan ianya merupakan faktor penting dalam membangunkan tenaga buruh pada masa hadapan.

6.37 Pengawasan yang lebih kerap dan rapi ke atas kurikulum institusi pendidikan dan latihan adalah perlu. Ini dapat mempastikan kemahiran tenaga kerja adalah bersesuaian dengan permintaan terhadap kemahiran baru berikutan daripada pembangunan teknologi yang pesat. Guru dan pelajar perlu diberi pendedahan kepada perubahan industri bagi mempastikan keluaran daripada sistem penyampaian pendidikan dan latihan adalah selaras dengan keperluan pasaran buruh. Kemudahan pendidikan dan latihan perlu disesuaikan dengan segera, sejajar dengan perubahan teknologi untuk memudahkan usaha mengeluarkan tenaga manusia yang mempunyai kelayakan yang sesuai. Ini boleh dilakukan melalui peningkatan penyertaan sektor swasta dalam bidang pembangunan kurikulum serta penyediaan kemudahan latihan. Disamping itu, penyebaran maklumat pasaran buruh yang lebih meluas melalui pelbagai media akan dilaksanakan untuk mempastikan tenaga kerja menyedari keperluan pasaran yang berubah dan peluang latihan yang sediada. 6.38 Proses perindustrian ekonomi yang pesat berserta penyusunan semula industri yang ketara, dijangka memberi tekanan kepada permintaan kemahiran. Jurutera dan juruteknik, pengurus, pemesin di peringkat tinggi, pembuat 10 alat dan acuan serta tenaga manusia teknikal dan berkemahiran lain akan diperlukan. Tenaga manusia berpengalaman ini adalah diperlukan terutamanya berikutan daripada pertumbuhan industri berorien-tasikan eksport seperti bahan kimia, keluaran getah, elektrik dan elektronik, tekstil, kayu serta plastik. Di samping itu permintaan terhadap penyelidik, saintis dan juruteknik sokongan akan bertambah selaras dengan penekanan kepada peranan sains dan teknologi (S&T), P&P yang merupakan komponen penting dalam pembangunan negara. 6.39 Kemahiran kritikal seperti membuat dan merekacipta alat dan komponen yang persis, tentukuran alat persis dan merekabentuk keluaran adalah penting untuk menyediakan sokongan asas kepada industri pembuatan. Di samping itu, ke-mahiran yang berasaskan komputer dan elektronik serta mekatronik adalah sama pentingnya. Oleh yang demikian, institusi-institusi latihan mesti memberi tumpuan yang lebih bagi mengeluarkan tenaga manusia mahir ini khususnya di peringkat pertengahan dan tinggi. Selain daripada tenaga manusia mahir, pengeluaran tenaga manusia di peringkat pengurusan, penyeliaan dan penyelenggaraan juga adalah di perlukan. Ciri-ciri kepimpinan seperti mempunyai kebolehan membawa pembaharuan, berdaya cipta dan keusahawanan hendaklah diberi penekanan dalam membangunkan kemahiran ini. 6.40 Strategi perindustrian pada masa ini memerlukan lati-han semula tenaga kerja sediada bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran khusus dan terkini oleh kerana teknik pengeluaran bertambah rencam dan banyak

menggunakan jentera otomasi. Oleh yang demikian, latihan berasaskan perusahaan perlu diga- lakkan untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan menyesuaikan diri tenaga kerja bagi mempastikan daya saingan keluaran Malaysia di pasaran dunia. Dalam hal ini, penglibatan sektor swasta dalam latihan perindustrian adalah penting. Selaras dengan itu, penglibatan sektor swasta yang lebih besar dalam latihan perindustrian formal akan digalakkan, supaya dapat menyumbang kepada keseluruhan usaha menambah bilangan pekerja mahir dalam negara. Tenaga Manusia Saintifik dan Teknologi 6.41 Bilangan dan kualiti tenaga manusia saintifik dan teknologi adalah sangat penting kepada pembangunan S&T. Pada masa kini terdapat kira-kira 7,000 ahli penyelidikan sains dan teknologi sepenuh masa. Nisbah jumlah ini kepada penduduk ialah 400 bagi setiap sejuta penduduk. Nisbah ini adalah ren-dah berbanding dengan nisbah bagi negara perindustrian iaitu di antara 3,500 hingga 6,500 bagi setiap sejuta penduduk. Menjelang tahun 2000, Malaysia berhasrat untuk mencapai mat- lamat nisbah tenaga manusia S&T yang lebih tinggi iaitu kira-kira 1,000 bagi setiap sejuta penduduk. Ini adalah selaras dengan matlamat untuk menggandakan peratusan sumbangan P&P kepada KNK. 6.42 Berdasarkan teras untuk membangunkan asas S&T yang kukuh bagi meningkatkan kecekapan dan daya saingan industri, pelaburan yang besar akan dibuat untuk kemudahan pendidikan dan latihan. Langkah ini adalah bertujuan untuk mengeluarkan tenaga manusia peringkat tinggi yang diperlukan oleh industri, terutamanya bagi menjalankan kegiatan P&P. Penekanan akan diberikan kepada keperluan tiga peringkat utama tenaga ma- nusia, iaitu peringkat loji dan operasi yang memerlukan te-naga buruh yang mempunyai kecekapan teknik, peringkat pengajar- an dan latihan serta P&P. Oleh itu, pembangunan tenaga manusia S&T perlu dilihat sebagai satu proses pendidikan, latihan, pendidikan lanjutan serta latihan semula yang bersepadu dan berterusan. 6.43 Program untuk menanam kesedaran S&T bermula di peringkat pendidikan paling rendah supaya generasi muda dipupuk dengan semangat ingin tahu, berdaya usaha, berfikiran sainti- fik dan kreatif serta dilengkapkan dengan kemahiran menyele-saikan masalah. Pendidikan asas di peringkat rendah dan mene-ngah akan terus diperkukuhkan bagi membentuk pelajar-pelajar yang mempunyai asas pendidikan yang kukuh. Ini akan memboleh-kan mereka menyesuaikan diri dan bertindakbalas kepada perubah-an permintaan teknologi yang pesat di masa hadapan. Untuk mencapai matlamat ini, usaha-usaha gigih akan dijalankan bagi mempertingkatkan pengajaran sains, matematik, Bahasa Inggeris dan

kemahiran berkomunikasi di peringkat rendah dan menengah. Di peringkat lepasan menengah, latihan teknik dan penyemaian daya kreatif akan diberi perhatian utama. Peluang-peluang akan disediakan kepada industri untuk melibatkan diri dalam perancangan dan pembangunan kurikulum institusi teknikal, politeknik dan universiti. Peluang untuk melanjutkan pendi-dikan lepasan ijazah yang bertambah terutamanya yang berkaitan dengan S&T merupakan langkah-langkah penting ke arah membangun- kan tenaga manusia P&P. Penyebaran yang meluas bahan-bahan mak- lumat S&T, buku dan bahan serta alat bantuan latihan dan pendi- dikan yang lain kepada sekolah dan institusi latihan akan dilak-sanakan. Langkah ini akan membantu lagi usaha meningkatkan kese-daran S&T di kalangan pelajar. 6.44 Di samping itu, bidang pembangunan tenaga manusia S& T akan merangkumi isu menguruskan pembangunan S&T. Sistem pengurusan S&T yang berkesan akan menghubungkan aspek perminta- an dan penawaran serta mewujudkan kakitangan P&P yang lebih dinamik dan bermotivasi. Selaras dengan itu, Kerajaan akan mengamalkan dasar dan strategi yang sesuai, yang antara lain-nya akan mengukuhkan pengurusan S&T dan menambah peluang ke-pada sektor swasta untuk memainkan peranan yang berkesan dalam pembangunan teknologi industri. Seterusnya, hubungan yang ber- kesan di antara sektor awam, pihak industri dan para akademik akan dipupuk. Langkah bagi memperdagangkan hasil penyelidikan industri bagi menggalak penyelidikan tempatan yang berorienta- sikan pengguna dan pasaran akan digalakkan. Pada masa ini, usaha memperdagangkan hasil keluaran P&P adalah terbatas oleh undang-undang dan peraturan yang sediada. Sehubungan dengan ini, beberapa langkah akan diperkenalkan untuk memberi kelonggaran dan menghapuskan halangan bagi menyokong usaha memperdagangkan kegiatan P&P. 6.45 Pembangunan teknologi mestilah disokong sepenuhnya oleh usaha P&P. Ini akan meningkatkan keupayaan negara mengamal, menyesuai dan memajukan teknologi di samping menggalakkan pembangunan teknologi tempatan. Sehubungan dengan itu, penubuhan Pusat-pusat Kecemerlangan dalam dan antara universiti serta institusi latihan akan digalakkan. Institusiinstitusi yang terlibat dengan kegiatan P&P mesti bekerja rapat untuk meningkatkan daya innovasi dan mempastikan pengetahuan dan kemahiran yang dimajukan adalah berkaitan dengan industri. Dalam hal ini, kerjasama antara institusi dan industri dalam membiayai usaha P&P serta pertukaran kakitangan akan digalakkan. Kerjasama yang lebih rapat antara kedua-dua sektor adalah penting untuk mempastikan penawaran tenaga manusia P&P adalah mencukupi bagi mewujudkan suasana yang dapat menarik minat kakitangan P&P yang baru. 6.46 Dalam tahun-tahun sembilan puluhan, pengetahuan dan kemahiran

yang diperlukan tidak lagi berasaskan satu disiplin tetapi akan berorientasikan gabungan disiplin teknikal, statistik dan berasaskan komputer. Gabongan disiplin ini akan melengkapkan tenaga manusia masa hadapan untuk mengendalikan teknologi baru dan yang akan muncul seperti teknologi pembuatan berautomasi, bahan-bahan terbaru, bio-teknologi, elektronik dan teknologi maklumat. Oleh itu, pembangunan kemahiran akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang berkenaan bagi mempastikan kemajuan teknologi, pertumbuhan industri dan daya saingan negara. 6.47 Kegiatan sektor perkhidmatan akan berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan tenaga kerja yang dijangkakan. Oleh itu, tenaga manusia mahir dan berkelayakan sesuai adalah perlu untuk menyokong pertumbuhan sektor kecil perkhidmatan seperti kewangan, bank, pengangkutan, insuran, perkhidmatan keraian dan lipuran serta pengurusan, perkhidmatan pakarunding, teknologi maklumat dan perkhidmatan ikhtisas lain. Oleh yang demikian, kegiatan institusi pendidikan dan latihan akan ditumpukan ke arah menghasilkan kemahiran dalam bidang pengurusan dan kewangan, teknologi maklumat dan literasi komputer. 6.48 Adalah perlu bagi Malaysia memajukan sektor perniagaan yang teguh, agresif dan bermotivasi tinggi. Bagi mencapai matlamat ini, sistem pendidikan akan menyediakan saluran yang sesuai bagi memperolehi pengetahuan, kefahaman dan pandangan yang mendalam mengenai proses perniagaan serta mewujudkan kesedaran terhadap peluang ekonomi. Suasana yang sesuai akan disediakan bagi membentuk dan memupuk nilai keusahawanandi kalangan Bumiputera terutamanya di peringkat awal persekolahan. Latihan keusahawanan akan juga diperkenalkan dalam sistem latihan perindustrian dan vokasional untuk peniaga-peniaga kecil dan yang bekerja sendiri. Perubahan Institusi 6.49 Pembangunan ekonomi negara akan meningkatkan permintaan bagi tenaga manusia terlatih. Peluang memasuki institusi pendidikan dan latihan di luar negeri walau bagaimanapun adalah semakin terhad, terutamanya dalam bidang ikhtisas dan teknikal. Di samping itu kos pendidikan di luar negeri terus meningkat. Dalam keadaan ini kemudahan pendidikan dan latihan sediada di sektor awam dan swasta tempatan terpaksa menampung permintaan yang bertambah. Kerajaan akan meningkatkan pelaburan dalam pendidikan dan latihan di peringkat tinggi. Walau bagaimanapun, memandangkan penyediaan kemudahan pendidikan dan latihan dijangka melibatkan kos yang tinggi, usaha bagi menampung permintaan yang bertambah ini perlu disokong dengan langkah-langkah lain termasuk

menggunakan sepenuhnya kemudahan sediada. Usaha ini akan dijalankan melalui penambahan pro-gram- program universiti terbuka, skim luar kampus, program pendidikan jarak jauh dan pertambahan kelas-kelas khas bagi pendidikan berterusan di samping memberi kemudahan kepada sektor swasta menggunakan ruang latihan dan peralatan di institusi latihan awam bagi menjalankan kursus latihan mereka. Melalui usaha ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan berpeluang meningkatkan tahap pencapaian pendidikan dan kecekapan teknik mereka. Di samping itu, Kerajaan akan menggalakkan sektor swasta untuk meningkatkan penyertaannya dalam pendidikan tinggi khususnya dalam menyediakan kursus ikhtisas dan teknikal dan melalui program berkembar dengan institusi terkemuka luar negeri. 6.50 Peruntukan yang lebih akan diberikan kepada institusi latihan yang menyediakan latihan kemahiran dengan tujuan melengkapkan institusi berkenaan dengan kemudahan dan peralatan teknologi terbaru. Di samping itu, sistem mengurus institusi latihan akan dikajisemula bagi memberi kelonggaran dan autonomi yang lebih dalam proses membuat keputusan berkaitan dengan rekabentuk kursus, perancangan kurikulum dan pengurusan institusi. Usaha ini akan membolehkan institusi latihan mengambil langkah untuk bertindakbalas dengan lebih berkesan kepada keperluan pasaran buruh tempatan. 6.51 Latihan vokasional dan teknikal adalah penting khusus-nya dalam penyediaan tenaga manusia untuk menyokong program perindustrian dan pertumbuhan sektor-sektor moden ekonomi. Dalam hal ini, sektor swasta boleh memainkan peranan yang dinamik. Bidang-bidang di mana penglibatan sektor swasta boleh dipertingkatkan termasuk pendidikan dan latihan di peringkat sijil dan diploma dalam bidang am dan teknikal. Sektor swasta, melalui daya usahanya sendiri atau dengan kerjasama Kerajaan akan digalakkan menubuhkan Pusat Latihan Khas bagi mengeluarkan kemahiran yang berkaitan dengan teknologi baru dan teknologi yang baru muncul. 6.52 Tenaga pengajar di institusi latihan vokasional dan teknikal perlu mempunyai pengetahuan yang terkini, berorientasi kan industri dan mempunyai pengalaman bekerja dalam industri. Oleh itu, tenaga pengajar akan digalakkan menjalankan kerja perundingan supaya dapat meningkatkan pendedahan kepada industri. Langkah ini akan melengkapkan lagi usaha yang sedang dijalankan untuk melahirkan tenaga pengajar yang lebih dinamik dan berdaya cipta di institusi-institusi tersebut. Program latihan bagi pengurus-pengurus kanan sektor awam akan memberi tumpuan yang lebih kepada isu-isu S&T bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap

perkembangan terbaru dalam bidang S&T. 6.53 Oleh kerana corak kerja yang semakin rencam dan berintensif pengetahuan berikutan daripada proses perindustrian, permintaan terhadap penyelia, juruteknik dan pekerja mahir akan terus bertambah. Pada masa ini, kemudahan latihan formal bagi pembangunan tenaga manusia mahir di peringkat tersebut adalah minimum. Penubuhan dan perkembangan politeknik akan membantu mengurangkan masalah kekurangan penyelia, juruteknik dan pekerja mahir. Institusi-institusi ini bukan sahaja akan menyediakan latihan teknikal yang sesuai dengan keperluan industri tertentu, tetapi juga akan menghasilkan kemahiran umum yang diperlukan oleh pelbagai industri. Sistem pengiktirafan kemahiran juga akan dikajisemula dan diperluaskan bagi mengambil- kira kemahiran dalam teknologi baru dan yang baru muncul serta kemahiran yang lebih tinggi dari pada peringkat lanjutan. 6.54 Kajian semula akan dijalankan terhadap peranan institusi latihan yang sediada di peringkat diploma dan sijil untuk mengurangkan pertindihan fungsi, meningkatkan pengkhususan n latihan dan menumpukan latihan kepada keperlu industri. Selain daripada terlibat dalam pengurusan, pembiayaan bersama dan pembangunan kurikulum institusi-institusi berkenaan, sektor swasta juga akan turut serta dalam latihan dan penempatan kerja bagi perantis. 6.55 Di peringkat pendidikan tinggi, program dan kandungan kursus akan diawasi secara berterusan dan diubahsuai bagi memenuhi permintaan pasaran buruh yang berubah. Keutamaan akan terus diberi kepada programprogram untuk menyediakan lebih banyak penempatan pelatih di firmafirma, latihan amali serta pembangunan keusahawanan. Universiti-universiti akan memajukan lebih banyak lagi pro-gram lepasan ijazah untuk memenuhi keperluan P&P dalam industri. 6.56 Berikutan daripada proses perindustrian yang semakin pesat, institusi pendidikan dan latihan awam dikehendaki lebih berorientasikan pasaran. Oleh itu, institusi latihan awam perlu mengadakan hubungan yang lebih rapat dengan sektor swasta. Penyediaan peruntukan pembiayaan bersama oleh Kerajaan bagi projek penyelidikan khas yang dikendalikan oleh sektor swasta dalam bidang-bidang utama yang dikenalpasti dan bentuk- bentuk kerjasama lain dengan sektor swasta akan ditambah lagi. Universiti dan institusi latihan dan penyelidikan akan berpeluang bersaing mendapatkan pembiayaan tersebut dan ini akan mempastikan institusi yang lebih berdaya cipta dan dinamik yang menjalankan kegiatan penyelidikan berorientasikan pasaran akan mendapat pembiayaan yang diperlukan.

6.57 Nilai dan sikap positif di kalangan penduduk Malaysia telah dibentuk melalui pergaulan rapat antara masyarakat yang berbilang kaum dan budaya. Ini dilengkapkan lagi dengan berbagai amalan dan nilai keagamaan. Rukunegara menggariskan lima prinsip asas iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan yang perlu dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia. 6.58 Usaha membina sebuah negara yang teguh dan bersatupadu bergantung kepada sumber manusia yang mempunyai nilai dan sikap positif yang bukan sahaja dapat diamalkan di tempat kerja tetapi juga dapat menggalak dan mempertahankan nilai masyarakat di luar persekitaran tempat kerja. Oleh yang demikian, adalah penting sumber manusia bagi negara ini mempunyai pandangan yang sihat dan positif terhadap negara seperti perasaan bangga, cinta dan setia kepada negara serta menghormati dan sedia mempertahankan proses demokrasi. 6.59 Rakyat Malaysia perlu menerap nilai-nilai positif, sesuai dengan keperluan ekonomi negara yang sedang berubah kepada ekonomi berasaskan industri. Nilai-nilai ini termasuklah kejujuran, disiplin, ketepatan masa, kesedaran terhadap kos, dan kegigihan serta ketekunan. Hasil daripada amalan kesemua nilai ini akan melahirkan tenaga kerja berkualiti yang akan meningkatkan daya saingan yang diperlukan oleh ekonomi negara. Sistem pendidikan dan latihan perlu diubahsuai untuk membolehkan nilai-nilai ini disemai di kalangan rakyat Malaysia. Guru dan pengajar, yang merupakan barisan utama pembentuk tenaga kerja industri masa hadapan, akan diorientasikan semula untuk melengkapkan mereka bagi menghadapi cabaran-cabaran baru untuk memupuk nilai-nilai ini. Kerajaan akan memperkenalkan program latihan sikap dan motivasi untuk menanam nilainilai ini supaya rakyat Malaysia akan lebih responsif kepada keperluan pembangunan. 6.60 Kerajaan akan terus memberi pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing, dalam usaha mengutamakan kecemerlangan dan meningkatkan dedikasi serta daya cipta. Pengiktirafan ini akan meningkatkan taraf kedudukan mereka dalam masyarakat. Pertandingan-pertandingan kemahiran di peringkat negeri dan negara akan terus diadakan untuk menggalakkan mereka yang mempunyai kemahiran dan kebolehan bersaing mendapat penghormatan. Usaha-usaha ini akan menggalakkan kecemerlangan dan pembentukan tenaga kerja yang berkesan dan berdisiplin. V : PENUTUP

6.61 Tahun-tahun sembilan puluhan merupakan satu dekad yang mencabar bagi pembangunan sumber manusia. Ini adalah kerana perubahan ekonomi ke arah tahap perindustrian yang lebihpesat bukan sahaja bergantung kepada sumber modal dan kemajuan teknologi tetapi juga kualiti sumber manusia yang sediada. Rakyat Malaysia sahaja yang dapat mewujudkan peluang-peluang pertumbuhan baru, membuka pasaran baru dan menghasilkan keluaran baru yang berdaya saing yang akan memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai kecekapan teknikal dan giat berusaha. Adalah juga penting tenaga kerja pada masa hadapan bersifat tekun, berdedikasi, berdaya kreatif, berdisiplin tinggi, mementingkan kualiti dan dapat menyesuaikan diri kepada perubahan suasana ekonomi. 6.62 Tugas membentuk dan memajukan tenaga manusia sedemikian akan bergantung kepada sistem penyampaian pendidikan danlatihan yang pragmatik dan peka kepada perubahan dan keperluan pasaran masa hadapan. Sistem ini bertujuan mengeluarkan tenaga manusia mahir dan berkualiti yang akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di rantau ini. Bagi mencapai matlamat ini, sistem penyampaian tersebut memerlukan penglibatan sektor swasta yang lebih berkesan dalam bidang pendidikan dan latihan. Pada keseluruhannya, pembangunan tenaga kerja industri yangdinamik dan berkualiti tinggi bergantung kepada suasana yang mendorong rakyat Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dan turut sama terlibat dalam pembangunan negara.

Anda mungkin juga menyukai