Anda di halaman 1dari 16

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

BAB 2 Model-Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum


Pengenalan
Pendidikan yang berkesan dan berjaya diperoleh melalui perancangan yang rapi. Ramai pendidik yang berpengalaman menyedari bahawa tanpa perancangan, kecelaruan, pertindihan dan pergeseran akan berlaku ketika melaksanakan aktiviti-aktiviti kurikulum. Oleh yang demikian, sesetengah pendidik membentuk strategi-strategi perkembangan kurikulum. Biasanya, para pendidik di sekolah akan mengembangkan satu rancangan induk (master plan) sebelum melaksanakan program-program yang akan dilaksanakan dalam sesebuah sekolah itu. Pastinya, sedikit sahaja daripada kita yang dapat mengembangkan sesuatu kutikulum tanpa memikirkan tujuan, isi kandungan, pengalaman pembelajaran, kaedah, bahan-bahan pengajaran dan kaedah penilaian. Kebanyakkan daripada kita akan memikirkan perkara-perkara tersebut apabila ingin mengembangkan sesebuah kurikulum. Keperluan untuk merancangkan satu kurikulum yang berkesan sangatlah jelas, namun anda harus menyedari bahawa terdapat beberapa definisi berhubung istilah perkembangan kurikulum. Juga terdapat beberapa pandangan berhubung reka bentuk kurikulum. Oleh yang demikian, jika anda ingin merancangkan satu kurikulum yang berkesan, anda terlebih dahulu perlu didedahkan kepada kepelbagaian definisi dan model perkembangan kurikulum dan model reka bentuk kurikulum. Mengetahui kepelbagaian model-model ini akan memberikan anda satu garis panduan dalam memilih model-model yang sesuai dengan matlamat dan nilai yang dianjurkan oleh falsafah sekolah dan Falsafah Pendidikan Negara. Bab ini akan mendedahkan anda kepada 2 jenis model perkembangan kurikulum yang utama iaitu model perkembangan kurikulum mengikut pendekatan teknikal-saintifik dan kedua model perkembangan kurikulum menurut pendekatan bukan teknikal-bukan saintifik. Di bawah kedua-dua jenis pendekatan ini akan diterangkan contoh-contoh yang lebih spesifik.

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Objektif
Di akhir bab ini anda dapat: 1. Menamakan, menerangkan dan membandingkan model-model perkembangan kurikulum 2. Menamakan, menerangkan dan membandingkan model-model reka bentuk kurikulum 3. Menerangkan pengaruh pandangan hidup seseorang terhadap proses perkembangan dan reka bentuk kurikulum

2.1 Model-Model Perkembangan Kurikulum


Apakah yang dimaksudkan dengan perkembangan kurikulum yang menuruti pendekatan teknikal-saintifik dan pendekatan bukan teknikal-bukan saintifik?

2.1.1

Pendekatan teknikal-saintifik

Pendekatan ini pada dasarnya mendefinisikan perkembangan kurikulum sebagai satu rancangan yang menyusun persekitaran agar terdapat penyelarasan yang tersusun antara unsur-unsur masa, ruang, bahan dan tenaga kerja. Pandangan teknikal-saintifik membolehkan anda memahami istilah kurikulum daripadan pandangan yang luas atau makro dan memahaminya sebagai unit kompleks yang terdiri daripada bahagian-bahagian kecil yang berfungsi secara bersepadu untuk mencapai fungsi yang sama iaitu mendidik manusia. Pandangan ini menuntut anda menggunakan pendekatan intelektual dan rasional dalam mencapai tujuan tadi. Pandangan ini membolehkan anda menggariskan secara sistematik prosedur-prosedur atau langkah-langkah yang akan memudahkan pembentukan sesebuah kurikulum. Model-model yang digunakan dalam pendekatan ini mengambil paradigma proses-hasil (a means-end paradigm) yang mengusulkan bahawa hasil yang baik dijangkakan akan terhasil dengan adanya proses yang tegas. Menurut mereka yang menyakini pendekatan ini program yang dikembangkan dan direka bentuk berdasarkan pendekatan ini boleh dinilaikan hasilnya (Ornstein & Hunkins 192). Menurut Bobbit (Ornstein & Hunkins 193), jika anda ingin menggunakan pendekatan ini ketika mengembangkan kurikulum anda perlu mendefinisikan 2

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

bidang-bidang utama pengalaman manusia dewasa dan akhirnya membahagikannya kepada unit-unit kecil sehingga akhirnya unit-unit itu menjadi aktiviti kurikulum yang khusus. Jika diambil pandangan ini untuk mengembangkan kurikulum di sekolah, anda perlu mendefinisikan bidangbidang utama pengalaman pelajar di sekolah dan membahagikannya kepada unit-unit kecil sehingga akhirnya unit-unit itu menjadi aktiviti kurikulum yang khusus. Perincian berhubung pendekatan ini dapat dilakukan dengan mengusulkan contoh-contoh model yang dikelompokkan dalam pendekatan ini. Oleh itu berikut akan diterangkan Model Tyler, Model Saylor dan Alaxander, Model Perkembangan Hunkins dan Model Miller dan Seller. Model Tyler: Empat Prinsip Asas Model Tyler merupakan satu model dalam pendekatan teknikal-saintifik yang terbaik. Tyler pada tahun 1949 telah menerbitkan Basic Principles Of Curriculum and Instruction yang di dalamnya telah beliau gariskan rasional bagi menyelidiki masalah-masalah dalam kurikulum dan pengajaran. Beliau mengatakan mereka yang terlibat dalam kurikulum inkuiri seharusnya berusaha mendefinisikan; (1) tujuan sekolah; (2) pengalaman pendidikan yang berkait dengan tujuan sekolah; (3) organisasi pengalaman tersebut; (4) penilaian ke atas tujuan sekolah. Yang dimaksudkan dengan tujuan tadi ialah objektif-objektif. Menurut Tyler, perancang kurikulum seharusnya mengenal pasti objektif-objektif umum ini dengan mengumpulkan data daripada tiga sumber iaitu mata pelajaran, pelajar dan masyarakat. Setelah dapat mengenal pasti pelbagai objektif umum ini, perancang kurikulum itu seharusnya memperincikannya dengan menyaringnya melalui dua tapisan iaitu falsafah sekolah berkenaan dan psikologi pembelajaran. Apa yang terhasil daripada saringan atau tapisan itu adalah objektif pengajaran yang khusus. Perlu anda sedari di sini walaupun Tyler mengatakan objektif pengajaran, namun beliau tidak menganjurkan atau mempertahankan objektif tingkah laku yang sempit seperti yang dianjurkan pada masa kini. Dalam bukunya itu Tyler seterusnya membincangkan bagaimana untuk memilih pengalaman pembelajaran yang memungkinkan objektif pembelajaran tadi tercapai. Pengalaman pembelajaran perlu mengambil kira pengalaman lampau dan pandangan pelajar berhubung perkara yang dipelajari atau situasi yang dialami. Selain itu, pengalaman pembelajaran perlu dipilih berdasarkan pandangan berhubung proses pembelajaran dan perkembangan atau pembangunan insan. 3

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Tyler seterusnya membincangkan tentang organisasi dan urutan pengalamanpengalaman pengajaran dan pembelajaran. Beliau mendakwa bahawa tertib atau aturan pengalaman itu seharusnya sistematik agar dapat menghasilkan kesan terkumpul yang maksimum. Beliau memikirkan bahawa elemen-elemen penyusunan seperti ide-ide, konsep, nilai dan kemahiran seharusnya disulam sebagai benang di dalam struktur kurikulum. Elemen-elemen utama ini seharusnya bertindak sebagai pengurus, jalan dan kaedah pengajaran dan elemen-elemen tadi seharusnya dapat mengaitkan pengalaman pembelajaran yang berlainan dalam subjek yang berlainan. Ide-ide, konsep, nilai dan kemahiran juga boleh mengaitkan isi kandungan di dalam sesuatu kursus yang khusus contohnya English dan Matematik. Prinsip Tyler yang terakhir mengambil kira proses menilai keberkesanan proses perancangan dan pelaksanaan kurikulum. Tyler berpendapat bahawa penilaian adalah penting untuk perkembangan kurikulum. Beliau menyedari bahawa pendidik seharusnya memeriksa sama ada pengalaman pembelajaran yang dipilih menghasilkan objektif yang diharapkan. Di samping itu adalah perlu diketahui sama ada program yang dirancangkan itu berkesan atau sebaliknya. Penilaian menjadi panduan sama ada program itu harus dikekalkan atau diperbaiki. Penilaian haruslah dikaitkan dengan objektif sesuatu program atau kurikulum itu. Model Saylor dan Alexander: Proses Perancangan Saylor dan Alexander telah mengusulkan pendekatan yang sistematik untuk perkembangan kurikulum. 1. Tujuan, Objektif dan Bidang. Saylor dan Alexander berpandangan perkembangan kurikulum bermula dengan menentukan tujuan utama dan objektif yang ingin dicapai. Setiap tujuan utama kurikulum menggambarkan satu bidang dalam sesebuah kurikulum. Saylor berpendapat terdapat empat bidang utama yang seharusnya mendapat perhatian iaitu pembangunan insan, perhubungan sesama insan, kemahiran belajar dan pengkhususan. Tujuan, objektif dan bidang yang dipilih berkembang secara beransur-ansur selepas pertimbangan yang teliti dilakukan ke atas pemboleh ubah-pemboleh ubah luar, yang antaranya adalah pandangan dan tuntutan masyarakat, undangundang, hasil kajian dan pandangan falsafah penggubal kurikulum. 2. Reka Bentuk Kurikulum 4

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Selepas langkah utama di atas selesai, penggubal kurikulum sudah sedia untuk melaksanakan reka bentuk kurikulum. Di sini penggubal kurikulum harus menentukan isi kandungan, organisasi isi kandungan dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan isi kandungan yang telah dipilih tadi. Cara bagaimana menyampaikan aktiviti pembelajaran ini dan mengaitkannya kepada sesuatu bidang dalam sesuatu kurikulum itu juga diambil kira pada peringkat ini. Pandangan filosofi diambil kira pada tahap ini. Adakah kurikulum ini direka bentuk dengan memberi penekanan terhadap disiplin akademik, pelajar atau keperluan dan pola masyarakat?. 3. Pelaksanaan kurikulum Apabila reka bentuk atau reka bentuk-reka bentuk kurikulum telah dikenal pasti, rancangan pengajaran boleh disediakan. Kaedah dan bahan yang hendak digunakan ketika pengajaran boleh dipilih dan disediakan bagi membantu pelajar mempelajari isi kandungan. Dengan kata lain, kurikulum itu dilaksanakan. 4. Penilaian kurikulum Peringkat ini merupakan peringkat yang terakhir dalam model ini. Pada peringkat ini, teknik-teknik penilaian perlu dipilih daripada pelbagai jenis teknik-teknik penilaian sedia ada agar dapat dinilai dengan sebenarbenarnya nilai dan keberkesanan kurikulum dan penyampaiannya. Saylor dan Alexander menggesa agar penilaian dilaksanakan secara komprehensif. Penilaian mestilah ditumpukan kepada perancangan kurikulum, kualiti pengajaran dan tingkah laku pembelajaran pelajar. Daripada penilaian kurikulum yang komprehensif ini barulah dapat ditentukan sama ada untuk mengekalkan, mengemas kini atau membuangkannya sahaja.

2.1.2 Pendekatan bukan teknikal-bukan saintifik


5

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Istilah bukan teknikal-bukan saintifik mungkin memberi pandangan bahawa pendekatan ini sebagai satu yang tidak sistematik atau tidak rasional. Jika pendekatan teknikal-saintifik mengusulkan agar proses perkembangan kurikulum seharusnya mempunyai tahap objektiviti, keuniversalan dan logik yang tinggi, pendekatan bukan teknikal-bukan saintifik pula menekankan subjektiviti, personal, aesthetik, heuristik dan pengurusan atau pelaksanaan. Pendekatan ini tidak menekankan hasil proses tetapi sebaliknya kepada pelajar, terutama melalui pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan aktiviti. Mereka yang menyukai pendekatan ini mencatat bahawa tidak semua hasil pendidikan dapat diketahui dan sememangnya tidak semua hasil pendidikan itu perlu diketahui dalam kesemua kes. Pendekatan ini menganggapkan kurikulum berkembang secara beransur-ansur dan bukannya dirancangkan secara tepat.

Idea Anda: Berdasarkan pendedahan berhubung model-model perkembangan kurikulum di atas, model yang manakah sesuai untuk anda gunakan ketika merancang kurikulum pendidikan bagi menyelesaikan isu atau masalah yang anda pilih.

2.2 Model-Model Reka Bentuk Kurikulum


2.2.1 Konsep Reka Bentuk Kurikulum Konsep reka bentuk kurikulum menumpukan kepada usaha dengan mana sesuatu kurikulum itu dibina atau direka cipta, terutama dalam menyusun atur bahagian-bahagian yang terdapat dalam perancangan kurikulum. Dalam bab ini istilah reka bentuk kurikulum yang kadang kala dipanggil juga sebagai organisasi kurikulum merujuk kepada penyusunan komponen-komponen dalam sesebuah kurikulum agar menjadi satu entiti yang tersendiri dalam menyelesaikan satu perkara atau isu yang penting. Jenis reka bentuk yang dipilih oleh seseorang guru bergantung kepada pendekatan kurikulum dan pegangan falsafahnya. Komponen-komponen yang akan disusun aturkan ketika reka bentuk kurikulum ini ialah; (1) matlamat, tujuan dan objektif; (2) isi kandungan; (3) pengalaman pembelajaran; (4) pendekatan penilaian. Tabii setiap komponen ini dan bagaimana setiap komponen itu disusunkan atau diorganisasikan dalam perancangan kurikulum merupakan perkara yang dimaksudkan dengan istilah 6

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

reka bentuk kurikulum. Dengan kata lain reka bentuk kurikulum menekankan tentang tabii dan penyusunan keempat-empat komponen kurikulum tadi. Kebanyakkan perancangan kurikulum mempunyai kesemua empat komponen ini dalam reka bentuk mereka, namun penekanannya adalah tidak sama. Biasanya, isi kandungan mendapat penekanan yang utama. Walau bagaimanapun sekolah ada kalanya mereka bentuk kurikulum yang menekankan pendekatan objektif dan penilaian. Sesetengah reka bentuk menekankan pula pengalaman pembelajaran atau aktiviti pelajar. 2.2.2 Komponen-komponen Kurikulum Ketika seseorang pendidik berusaha mereka bentuk kurikulum atau program yang dihajatkannya, beliau perlu bertanyakan akan persoalan-persoalan berikut; 1. Apakah matlamat, tujuan dan objektif yang ingin dicapai dalam kurikulum atau program ini 2. Apakah isi kandungan yang seharusnya disampaikan kepada pelajar 3. Apakah pengalaman pembelajaran yang sesuai digunakan atau aktiviti pelajar yang harus dilaksanakan 4. Apakah kaedah penilaian yang sesuai digunakan. Ini bermakna pendidik perlu memperincikan setiap komponen tadi. Keputusan yang dilakukan dalam satu komponen biasanya akan mempengaruhi keputusan untuk komponen yang lain. Lazimnya ketika melakukan proses perincian ini, seseorang pendidik itu akan dipengaruhi oleh falsafah dan pendekatan kurikulum yang diyakininya. 2.2.3 Sumber-Sumber Reka Bentuk Kurikulum Setelah diperolehi perincian bagi setiap komponen kurikulum di atas, pendidik seharusnya menyusunkan kesemuanya agar menjadi satu entiti yang menyelesaikan isu yang ingin diselesaikan. Ketika memilih reka bentuk sesebuah kurikulum itu seseorang perancang kurikulum itu akan dipengaruhi oleh pegangan falsafahnya juga. Oleh itu, anda sebagai seorang penggubal kurikulum atau program di sekolah harus menjelaskan kepada diri anda sendiri apa sebenarnya pegangan falsafah dan pandangan anda berhubung masyarakat dan diri individu pelajar atau apa yang dipanggil sebagai sumber-sumber bagi sesebuah kurikulum. Sains sebagai sumber reka bentuk kurikulum

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Seseorang individu yang melihat sains sebagai sumber reka bentuk kurikulum akan akan bergantung sepenuhnya kepada kaedah sains sebagai jalan mencari kebenaran. Mereka memilih dan menyusun di dalam kurikulum itu realiti atau kebenaran yang boleh dilihat dan dikuantitikan. Reka bentuk berdasarkan mata pelajaran yang akan dibincangkan nanti merupakan satu contoh reka bentuk kurikulum yang mengambil sains sebagai sumbernya. Masyarakat sebagai sumber reka bentuk kurikulum Pereka bentuk kurikulum yang menyukai masyarakat sebagai sumber reka bentuk kurikulumnya berpandangan sekolah sebagai satu agen masyarakat. Oleh yang demikian, sekolah harus mengambil pemikiran berhubung kurikulum daripada analisis yang dilakukan ke atas situasi sosial. Ini bermaksud reka bentuk kurikulum yang dijalankan di sekolah haruslah dapat memperbaiki masyarakat. Tuhan dan agama sebagai sumber reka bentuk kurikulum Pereka bentuk kurikulum yang menyakini Tuhan dan agama sebagai sumber reka bentuk kurikulum berpandangan Tuhan dan agama sebagai satu sumber yang memberikan cara terbaik untuk membangunkan dan mengembangkan manusia. Reka bentuk kurikulum dengan yang demikian seharusnya didasarkan kepada kitab-kitab agama seperti al-Quran, Injil dan sebagainya. Ilmu sebagai sumber reka bentuk kurikulum Seorang pereka bentuk kurikulum yang menyakini ilmu sebagai sumber reka bentuk kurikulum berpandangan bahawa jika ilmu diambil sebagai sumber reka bentuk kurikulum maka tidak akan ada isi kandungan yang tertinggal daripada apa yang seharusnya di pelajari oleh pelajar. Pereka bentuk ini biasanya menyedari bahawa ilmu sebenarnya tersusun dalam bentuk-bentuk yang khusus. Untuk ilmu yang berdisiplin seperti contohnya Fizik, ia mempunyai struktur konsepsual dan proses yang unik. Sesetengah ilmu yang tidak berdisiplin seperti ekonomi rumahtangga, ia tidak mempunyai struktur konsepsual dan proses yang unik, sebaliknya isi kandungannya diambil daripada pelbagai disiplin lain dan diubahsuai untuk tujuan kursus itu. Berdasarkan fahaman ini pereka bentuk kurikulum yang menjadikan ilmu sebagai sumber reka bentuk kurikulum akan menjadikan struktur disiplin yang merangkumi struktur konsepsual dan proses yang unik bagi setiap disiplin itu sebagai isi kandungan yang seharusnya dipelajari oleh pelajar. Pelajar sebagai sumber reka bentuk kurikulum 8

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Sesetengah pereka bentuk kurikulum menyakini bahawa tabii pelajar seharusnya menjadi sumber reka bentuk kurikulum.Bagaimana pelajar belajar dan membentuk sikap, mengembangkan minat dan nilai merupakan sebahagian daripada tabii pelajar. Pendidik dan pereka bentuk kurikulum yang menyakini falsafah progresivism berminat untuk mereka bentuk kurikulum berpusatkan pelajar. Ini kerana mereka beranggapan pelajar sebagai sumber reka bentuk kurikulum. 2.2.4 Dimensi kurikulum Sebagai yang telah diketahui sebelum ini, reka bentuk kurikulum merupakan satu penyataan yang menunjukkan perkaitan antara komponen-komponen sesebuah kurikulum. Ketika usaha mendapatkan penyataan itu pereka bentuk kurikulum haruslah mereka bentuk kurikulum dengan mengambil kira beberapa dimensi kurikulum; (1) skop; (2) penyepaduan; (3) urutan dan (4) kesinambungan dan (5) keseimbangan Skop Ketika mereka bentuk kurikulum seseorang itu harus mengambil kira tentang keluasan dan kedalaman isi kandungan yang ingin disampaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan skop. J. Galen Saylor mendefinisikan skop sebagai keluasan, kepelbagaian dan jenis-jenis pengalaman pembelajaran yang disediakan untuk pelajar alami ketika mereka menjalani program pendidikan di sekolah. Apakah isi kandungan yang seharusnya disampaikan melalui program ini?. Apakah aktiviti-aktiviti pembelajaran yang seharusnya disediakan?. Sejauhmana komponen-komponen (isi kandungan dan aktiviti) ini harus dirancangkan?. Penyepaduan Penyepaduan yang ideal menekankan perkaitan yang bermakna di antara isi kandungan daripada satu subjek atau bidang dengan subjek atau bidang yang lain. Dengan kata lain, penyepaduan menekankan perkaitan horizontal di antara pelbagai topik dan tema. Jika idea dan konsep digunakan sebagai benang asas yang menunjukkan perkaitan-perkaitan, penyepaduan dapat dicapai dengan menunjukkan bagaimana isi kandungan dapat diajarkan merentas subjek atau kurikulum sekolah secara keseluruhannya. Penyepaduan juga merujuk kepada mengaitkan isi kandungan dengan pengalaman dan aktiviti pembelajaran pelajar agar keperluan pelajar dapat dipenuhi.

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Urutan Apabila mengambil kira urutan sesebuah kurikulum, pereka bentuk kurikulum dicabar untuk mengorganisasikan komponen-komponen kurikulum secara berkesan agar dapat mewujudkan pembelajaran yang terkumpul dan berterusan di kalangan pelajar atau apa yang dikenali sebagai perkaitan vertical di antara bidang-bidang dalam sesebuah kurikulum. Bidang-bidang yang dimaksudkan di sini merangkumi isi kandungan dan kemahiran-kemahiran juga proses yang diperlukan bagi memperoleh isi kandungan tersebut. Ini bermakna isi kandungan, kemahiran dan proses perlu diorganisasikan secara berkesan agar organisasi itu dapat mengwujudkan pembelajaran yang terkumpul dan berterusan di kalangan pelajar. Lazimnya ketika mengorganisasikan isi kandungan, proses dan kemahiran dalam sesebuah kurikulum, seseorang pereka bentuk itu akan mengorganisasikannya berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang diambil daripada kefahaman tentang bagaimana manusia berkembang dan belajar. Contohnya penyelidikan yang dijalankan oleh Piaget dapat memberi garis panduan tentang bagaimana seharusnya disusunkan isi kandungan dan aktiviti pembelajaran agar kanak-kanak dapat mencapai perkembangan kognitif menurut tahap-tahap perkembangan mereka. Kesinambungan Kesinambungan mengambil kira tentang manipulasi dan pengulangan komponen-komponen kurikulum secara vertical. Ini bermaksud kesinambungan kurikulum menerangkan tentang pengulangan ide dan kemahiran-kemahiran utama yang dirasakan oleh pereka bentuk kurikulum sebagai yang diseharusnya difahami oleh pelajar secara meluas dan mendalam dalam masa yang ditentukan. Kesinambungan sangat jelas ditunjukkan dalam kurikulum spiral yang dianjurkan oleh Bruner. Konsep kurikulum spiral ini bukan sahaja menekankan perkaitan secara vertical malah perkaitan secara horizontal juga ia itu yang menambahkan keluasan sesebuah kurikulum. Jika seseorang pendidik itu ingin memperbaiki perkaitan antara topik dalam sesuatu mata pelajaran atau sesuatu bidang ilmu itu, ia dikatakan sebagai perkaitan vertical. Jika pendidik itu ingin memperbaiki perkaitan antara mata pelajaran atau pengalaman, itu dikatakan sebagai perkaitan secara horizontal. Keseimbangan Kurikulum yang seimbang ialah kurikulum yang menyediakan pelajar peluang untuk menguasai ilmu dan mencernakan juga menggunakannya secara sesuai untuk perkembangan diri, sosial dan intelektualnya. Oleh kerana kurikulum boleh dilihat daripada bingkai rujukan yang berbeza iaitu sama ada daripada bingkai rujukan mata pelajaran, minat pelajar, pengalaman pelajar atau nilai, 10

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

komponen-komponen kurikulum yang perlu diseimbangkan wujud dalam pelbagai bentuk dan dimensi. Namun, tanpa mengira apa jenis reka bentuk itu, kesemua komponen kurikulumnya mestilah seimbang.

2.3 Model-Model Reka Bentuk Kurikulum


Agar anda dapat mereka bentuk kurikulum yang sesuai dengan masalah yang ingin anda selesaikan, anda perlu kepada ilmu tentang model-model reka bentuk yang biasanya digunakan dalam dunia pendidikan. Menurut Ornstein & Hunkins (1988: 171) terdapat banyak reka bentuk kurikulum yang didasarkan kepada tiga bentuk yang asas. Tiga bentuk tersebut adalah; (1) reka bentuk berpusatkan subjek; (2) reka bentuk berpusatkan pelajar dan (3) reka bentuk berpusatkan masalah.

2.3.1 Reka bentuk berpusatkan subjek


Reka bentuk berpusatkan subjek merupakan reka bentuk yang terkenal dan digunakan secara meluas. Ini kerana ilmu dan isi kandungan diterima dengan baik sebagai bahagian yang penting dalam sesebuah kurikulum. Reka bentuk berpusatkan subjek merangkumi reka bentuk mata pelajaran, reka bentuk disiplin, reka bentuk broad field dan reka bentuk korelasi. Reka bentuk mata pelajaran Reka bentuk mata pelajaran merupakan reka bentuk yang tertua di sekolah dan yang paling diketahui oleh para guru dan kebanyakan orang. Ia diketahui umum kerana para guru dan kebanyakan orang lazimnya mendapat pendidikan dengan mengalami reka bentuk ini. Ia juga popular kerana selari dengan penulisan dan penulisan buku teks di samping selari dengan latihan guru sebagai pakar mata pelajaran. Reka bentuk ini didasarkan kepada andaian bahawa insan itu unik dan istimewa kerana intelektualnya. Manusia berupaya mencari dan memperoleh ilmu. Dalam reka bentuk ini, kurikulum direka bentuk menurut bagaimana ilmu pengetahuan telah dikembangkan menurut sesuatu subjek. Dengan letusan maklumat yang mengakibatkan pengkhususan dalam bidang-bidang ilmu, pembahagian mata pelajaran bukan sahaja menjadi banyak malahan menjadi terlalu kompleks.

Reka Bentuk Disiplin 11

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Reka bentuk disiplin bukan sahaja menekankan tentang isi kandungan malah cara atau proses sesuatu disiplin itu dikembangkan. Contohnya dalam sains, struktur ilmu dalam bidang tersebut dan kaedah proses sains yang menjadi kaedah perkembangan ilmu itu juga penting dalam mereka bentuk kurikulum jenis ini. Ini bermaksud pelajar bukan sahaja ditekankan agar memperoleh ilmu dalam bidang sains malah memperoleh cara bagaimana ahli sains memperoleh ilmu. Reka bentuk ini dibina dengan pertamanya mengenal pasti struktur ilmu untuk sesuatu subjek yang berdisiplin dan keduanya mengenal pasti kaedah atau proses yang terlibat dalam mengembangkan ilmu dalam bidang itu. Berdasarkan struktur sesuatu disiplin itu, isi kandungan dalam sesebuah kurikulum boleh dipilih di samping cara mengorganisasikan isi kandungan itu untuk proses pembelajaran. Reka bentuk broad field Reka bentuk ini cuba menyatukan dua atau tiga subjek yang berkaitan menjadi satu bidang kajian yang bersepadu. Reka bentuk ini terhasil daripada tuntutan masyarakat yang meminta sekolah mengajarkan pelajar ilmu yang bersepadu dan tidak terasing-asing seperti yang terdapat dalam reka bentuk mata pelajaran dan reka bentuk disiplin. Reka bentuk ini melenyapkan sempadan mata pelajaran dan disiplin dan dengan yang demikian akan menjadikan maklumat itu menjadi lebih bermakna bagi diri pelajar. Selain itu reka bentuk ini juga membolehkan pelajar melihat perkaitan antara pelbagai subjek yang terdapat dalam kurikulum. Ilmu dengan demikian dilihat oleh pelajar sebagai satu yang bersepadu. Contohnya di menengah rendah, Biologi, Kimia dan Fizik disepadukan membentuk Sains Paduan. Di menengah atas, Biologi, Kimia dan Fizik disepadukan menjadi Sains Teras. Reka bentuk korelasi Reka bentuk ini merupakan reka bentuk yang boleh digunakan sekiranya seseorang tidak mahu pergi jauh sehingga membentuk reka bentuk broad field. Dalam reka bentuk ini seseorang itu boleh mengaitkan secara kadang kala maklumat daripada subjek yang berlainan dengan tujuan mengurangkan pemecahan antara subjek. Sebagai contoh seorang pendidik sains perlu bekerjasama dengan guru sejarah bagi menghasilkan tugasan yang menuntut pelajar mengaitkan maklumat sains dengan sejarah. Dengan yang demikian beliau boleh meminta pelajarnya melaksanakan tugasan berhubung Sejarah satu teori sains. Biasanya apabila kursus-kursus diolah dengan menggunakan pendekatan penyelesaian masalah, perkaitan antara subjek akan berlaku tetapi sempadan antara subjek masih dikekalkan. Dalam reka bentuk ini pendidik 12

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

daripada pelbagai subjek yang ingin mengaitkan maklumat mereka antara satu sama lain harus bekerjasama memikirkan dan merancangkan kursus atau tugasan yang memerlukan pelajar mengaitkan maklumat daripada subjek-subjek itu.

2.3.2 Reka bentuk berpusatkan pelajar


Reka bentuk berpusatkan pelajar didasarkan kepada andaian bahawa pelajar merupakan fokus atau pusat kepada sesuatu program pendidikan. Pandangan ini telah didasarkan kepada mazhab falsafah pendidikan progressivisme. Reka bentuk jenis ini terdiri daripada reka bentuk berpusatkan kanak-kanak, reka bentuk berpusatkan pengalaman dan reka bentuk humanistik. Reka bentuk berpusatkan kanak-kanak Reka bentuk ini menekankan agar kurikulum direka bentuk menurut pendekatan semula jadi kanak-kanak ketika belajar. Reka bentuk ini didasarkan kepada andaian bahawa kanak-kanak akan berkembang jika mereka diberi peluang untuk berinteraksi dengan alam. Sebagai contoh dalam pengajaran geografi para pelajar seharusnya dibawa ke kajian lapangan dan meminta mereka melukis lanskap dan peta yang mudah. Ini dikatakan sebagai lebih produktif berbanding dengan hanya membaca buku. Reka bentuk berpusatkan pengalaman Reka bentuk ini sangat mirip dengan reka bentuk berpusatkan kanak-kanak kerana menekankan kanak-kanak sebagai asas untuk mengorganisasikan dunia sekolah mereka. Namun, ia berbeza daripada reka bentuk berpusatkan kanakkanak kerana dalam pandangan mereka yang menyakini reka bentuk ini, minat dan keperluan kanak-kanak tidak boleh dijangka dan dengan yang demikian kurikulum tidak dapat dirancang lebih awal. Hanya apabila kanak-kanak itu sampai ke sekolah, aktiviti yang sesuai dirancangan secara spontan untuk hari itu. Reka bentuk jenis ini dan reka bentuk berpusatkan kanak-kanak sangat menekankan minat kanak-kanak. Reka bentuk berpusatkan humanistik Reka bentuk ini memfokuskan kepada pelajar terutamanya kepada konsep kendirinya (self-concept). Konsep self-actualization yang diusulkan oleh Abraham Maslow menjadi rangka teoretikal reka bentuk kurikulum jenis ini. Pandangan Carl Rogers juga banyak memberi pengaruh kepada reka bentuk ini.

13

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Pendidikan yang didasarkan kepada reka bentuk ini akan menambahkan komponen afektif kepada kurikulum sedia ada yang biasanya menekankan aspek kognitif sahaja. Mereka yang menyakini reka bentuk ini tidak hanya menekankan isi kandungan atau kognitif atau pengalaman atau perasaan sahaja, malah menekankan penyepaduan antara kesemuanya itu. Mereka menekankan agar kurikulum direka bentuk dengan mengadunkan kesemua aktiviti yang menyebabkan pelajar dapat merasai kesemua aspek pendidikan sama ada yang menyampaikan isi kandungan, yang membangunkan kognitif, yang memberi pengalaman atau yang menyentuh perasaan. Reka bentuk ini dengan kata lain menekankan pendidikan insan secara keseluruhannya dari aspek pemikiran, perasaan dan amalan mereka.

2.3.3 Reka bentuk berpusatkan masalah


Reka bentuk kurikulum berpusatkan masalah memfokuskan kepada masalah dalam kehidupan sama ada pada tahap individu atau masyarakat amnya. Reka bentuk berpusatkan masalah diorganisasikan untuk memperkukuhkan warisan budaya dan juga mengambil kira keperluan masyarakat dan komuniti yang tidak dapat dipenuhi. Walaupun reka bentuk ini meletakkan individu dalam konteks masyarakat, namun ia berbeza daripada reka bentuk berpusatkan individu dalam satu perkara utama. Reka bentuk berpusatkan masalah dirancangkan sebelum kehadiran pelajar. Walau bagaimanapun, perancang reka bentuk berpusatkan masalah sedar keperluan menyesuaikan reka bentuk ini agar mengambil kira keperluan dan situasi pelajar. Bagaimana reka bentuk ini diorganisasikan bergantung sebahagian besarnya kepada sifat tabii masalah yang ingin dikaji atau diselesaikan. Oleh kerana itu, isi kandungannya selalu merentas sempadan banyak mata pelajaran. Reka bentuk ini juga perlu didasarkan kepada keperluan, urusan dan keupayaan pelajar. Penekanan duaan kepada isi kandungan dan perkembangan diri pelajar ini membezakan reka bentuk berpusatkan masalah ini daripada reka bentuk yang lain. Oleh kerana reka bentuk berpusatkan masalah ini mengambil penekanannya daripada masalah masyarakat, keperluan, minat dan keupayaan pelajar, terdapat kepelbagaian dalam reka bentuk ini. Sesetengahnya memfokuskan kepada situasi kehidupan yang berterusan, yang lain menumpukan kepada masalah sosial yang semasa, sesetengahnya pula mengambil kira tentang bidang-bidang kehidupan dan ada pula berurusan dengan pembangunan semula masyarakat. 14

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

Reka bentuk situasi-kehidupan Reka bentuk ini mengandaikan bahawa pembelajaran di sekolah akan menjadi lebih bermakna jika pembelajaran itu dapat digunakan secara terus dalam kehidupan sebenar pelajar. Sekolah dengan yang demikian seharusnya mengajarkan masalah-masalah seperti masalah dalam kehidupan sebenar. Pendidik yang menggunakan reka bentuk ini akan membantu pelajar meluaskan pandangan dan mendalamkan generalisasinya tentang masalah-masalah berkait dengan kehidupan di dunia yang sebenar iaitu dunia di luar daripada dunia sekolah. Sebagai contoh situasi kehidupan yang sentiasa perlu diberikan perhatian ialah; situasi yang menuntut perkembangan potensi individu dari segi kesihatan, intelektual, tanggungjawab dan penzahiran dirinya; situasi yang menuntut perkembangan kerjasama masyarakat dalam aspek hubungan sesama insan, hubungan dalam kumpulan dan hubungan antara kumpulan; dan akhirnya situasi yang menuntut kepada keupayaan mengambil kira faktor-faktor dan kuasa alam semula jadi. Di samping situasi-situasi kehidupan ini, keupayaaan dan keperluan pelajar harus juga menjadi dasar kepada reka bentuk ini. Reka Bentuk Pembangunan Semula Masyarakat Reka bentuk ini menekankan pembangunan semula masyarakat. Pereka bentuk kurikulum ini berminat mencari perkaitan antara kurikulum dengan perkembangan masyarakat dari aspek sosial, politik dan ekonomi. Mereka menyakini bahawa melalui kurikulum dapat dilakukan perubahan dalam masyarakat yang akhirnya akan melahirkan masyarakat yang adil. Latihan: Projek Objektif: Memperoleh kemahiran mereka bentuk kurikulum/program sains di sekolah. 1. Pelajar dikehendaki mengenal pasti pendekatan kurikulum dan falsafah yang mereka yakini. 2. Pelajar perlu memilih jenis-jenis reka bentuk yang sesuai dengan falsafah dan pendekatan yang mereka yakini. 3. Memperincikan setiap unsur kurikulum iaitu; (1) matlamat, tujuan, objektif; (2) isi kandungan; (3) pengalaman pembelajaran; (4) pendekatan penilaian. 4. Menyusunkan unsur-unsur kurikulum tadi agar menjadi satu entiti yang dijangkakan dapat menyelesaikan masalah yang ingin diselesaikan.

15

UNIT 1 BAB 2

Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Sains Model Perkembangan & Reka Bentuk Kurikulum

16

Anda mungkin juga menyukai