Anda di halaman 1dari 38

SENI MEMPERTAHANKAN DIRI

SILAT

SILAT CEKAK

Asal-Usul Silat Cekak Malaysia


Silat Cekak berasal dari Kedah. Pernah diamalkan oleh panglima-panglima kerajaan Kedah di zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II. Panglima Ismail, salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah yang pernah menewaskan seorang batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) telah menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid. Manakala Panglima Tok Rashid pula telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said yang berasal dari Batu Kurau, Taiping sebagai 'pemegang amanah'.

Panglima Tok Rashid meninggalkan wasiat kepada Yahya Said yang ketika itu berumur 20 tahun: "Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali". Silat ini telah terpendam selama 40 tahun sehinggalah Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah, telah bertemu dengan Yahya Said. Oleh kerana minatnya yang amat mendalam terhadap silat ini, Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah dapat mewarisi kembali seni pusaka bangsa ini daripada Yahya Said. Pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung Alor Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah yang ditubuhkan pada Februari 1964.

Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia didaftarkan dan diasaskan oleh YM Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad Pada tahun 1975, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah menyaksikan logo baru baginya yang mana ianya juga telah diasaskan oleh Y.M. Al-Marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama merangkap Presiden PSSCM.

Beliau telah meninggal dunia pada 13 Ogos, 1986 setelah menerajui PSSCM dan mengembangkan silat ini ke seluruh negara selama 21 tahun. Tanggungjawab ini diteruskan pula oleh Y.M. Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama merangkap Presiden PSSCM pada 21 September, 1986. Majlis pengijazahan penuntut baru pertama kali dilakukan oleh beliau di Universiti Pertanian Malaysia pada 13 Oktober, 1986. Seterusnya hingga sekarang cawangan-cawangan PSSCM telah berkembang diseluruh Semenanjung Malaysia.

Pengertian Cekak
Mengapakah Silat Cekak ini dipanggil Silat Cekak? Mengapakah tidak diberi nama-nama yang lain? Adakah nama Cekak diletakkan dengan tidak mempunyai apa-apa maksud? Perkataan Lama. Perkataan Cekak adalah satu perkataan yang tua yang telah lahir sejak zaman masyarakat Melayu. Perkataan 'Cekak' digunakan setiap hari, ini menunjukkan perhubungan yang rapat antara masyarakat kita dengan perkataan 'Cekak' itu tetapi mereka masih jauh dari pengertian Cekak apabila perkataan itu digunakan sebagai nama sejenis seni silat iaitu Seni Silat Cekak.

Oleh kerana perkataan Cekak mempunyai pertalian yang erat dengan tatabahasa Melayu, untuk mengetahui mengapakah Silat Cekak itu dinamakan 'Silat Cekak', kita mestilah mengkaji dari segi istilah dan penggunaan perkataan 'Cekak' itu sendiri. Makan Cekak. Di Utara terutama di Kedah, perkataan Cekak itu telah dijadikan satu simpulan bahasa - 'makan cekak'. Simpulan bahasa tersebut membawa makna bertanggungjawab. Misalnya ada suatu pekerjaan yang hendak dibuat, maka ada orang yang mengatakan: "Ah, itu aku seorang saja pun 'makan cekak'."

Bila dibawa kembali kepada 'Silat Cekak' maka makna 'Silat Cekak' ialah silat yang bertanggungjawab menjaga diri pengamal-pengamalnya dari dianiayai oleh musuhmusuhnya.

Bercakak. Di dalam bahasa Minang, perkataan Cekak ada juga, tetapi tidak disebut sebagai 'Ce-kak' tetapi disebut dengan bunyi 'Cakak'. Bercakak dalam bahasa Minang membawa maksud bergaduh. Contohnya: "Si Ali dan si Ahmad sedang bercakak di simpang tiga". Ini membawa pengertian bahawa si Ali dan si Ahmad sedang bergaduh. Jadi kembali kita kepada makna Silat Cekak - ia membawa erti 'Silat Gaduh'. Ini bukan bermakna Silat Cekak ini suka bergaduh tetap ialah Silat yang boleh dibawa bergaduh untuk mempertahankan diri. Jelas sekali Silat Cekak sebenarnya Silat yang benarbenar untuk mempertahankan diri bukan untuk pertunjukkan di majlis-majlis kenduri ataupun di pesta-pesta.

Sebab itulah Silat Cekak tidak ada tari menari, gong gendang dan langkah melangkah. Ia hanya mara kehadapan apabila bertempur dengan musuh. Secekak. Pergi pula kita kepada perkataan secekak. Secekak membawa erti segenggam. Segenggam ini pula membawa kepada banyak maksud. Pertamanya, Silat Cekak mempelajari yang segenggam bukan yang segantang. Di sini dimaksudkan bahawa mata pelajaran Silat Cekak merupakan mata pelajaran intisari silat sahaja (segenggam) bukannya cabangcabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana Silat Cekak adalah mempelajari perdu gerak, maka ianya sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang singkat sekali.

Kedua, segenggam menunjukkan padu. Jadi Silat Cekak adalah satu Silat yang benar-benar tegas dan berpendirian. Di mana kaedah-kaedahnya memberi keyakinan kepada pengamal-pengamalnya bahawa mereka telah mendapat rahsia dan sesuatu yang berguna di dalam bidang seni mempertahankan diri. Kesimpulan. Dari hujjah-hujjah di atas dapatlah kita membuat satu tumpuan kesimpulan, mengapa Silat Cekak dinamakan Silat Cekak itu. Silat Cekak adalah sesuai dinamakan kepada amalan Seni Silat ini kerana Seni Silat ini adalah satu-satunya jenis silat yang benar-benar asli hak pusaka Melayu yang mempunyai pegangan untuk bertanggungjawab di dalam menjaga diri pengamal-pengamalnya.

Senjata Rasmi Seni Silat Cekak Malaysia


Parang lading memang tidak asing lagi di daerahdaerah utara Tanah Melayu, terutama di Kedah. Di sana hari ini lading digunakan sehari-harian. Kesebatian parang lading dengan negeri Kedah memang tidak dapat dinafikan lagi, tetapi di negeri lain jarang kedapatan. Hal inilah menyebabkan kita yakin bahawa silat Cekak ini berasal dari Kedah.

Kita berkeyakinan demikian kerana sebenarnya parang lading adalah senjata rasmi silat Cekak sejak zaman dahulu lagi. Parang lading adalah senjata yang tunggal di dalam silat Cekak. Didalam Cekak, tidak terdapat penggunaan keris, pisau, pedang, kelewang atau apa senjata lain kerana kita yakin parang lading sudah cukup.

Disamping itu parang lading sajalah yang bersesuaian dengan kaedah-kaedah serta cara penangkisan yang diamalkan oleh silat Cekak yang dimana sembilan puluh peratus dari mata pelajarannya menitik beratkan cara-cara mempertahankan diri.

Seratus Peratus
Senjata parang lading adalah senjata untuk mempertahankan diri seratus peratus. Tiada satu kaedah pun di dalam menggunakannya ada kaedah untuk menyerang. Ini merupakan satu lagi bukti betapa sesuainya silat Cekak ini untuk mempertahankan diri, bukan untuk menceroboh yang bersesuaian dengan pakaian panglima-panglima.

Ada Perbezaan Satu hal yang mesti dijelaskan ialah bahawa terdapat perbezaan yang nyata di antara lading biasa yang digunakan sehari-hari dengan parang lading senjata rasmi silat Cekak. Cara membuat dan kadar ukuran di antara keduanya adalah perbezaan yang mustahak sekali diterangkan. Parang lading biasa itu cuma berbentuk rupa parang lading sahaja, dibuat tidak dengan ukuran tertentu, berkemungkinan besar tidak ada lagi pakarnya. Sebenarnya, ukuran sebenar parang lading yang tepat dan sesuai dengan mempertahankan diri hanya terdapat didalam pengetahuan silat Cekak sahaja. Ukuran khas yang dimaksudkan adalah ukuran parang lading yang dibuat mengikut ukuran anggota tuan sipemakainya.

Oleh itu, orang lain tidak boleh menggunakan parang lading yang ditempa khas untuk seseorang yang tertentu. Peringatan Parang lading ini bukanlah boleh digunakan untuk menyerang. Tetapi hanya buat menunggu serangan dari segala jenis serangan kecuali senjata api. Memandangkan kepada keistimewaan parang lading sebagai satu pusaka Melayu yang begitu asli dan bererti, maka persatuan kita telah cuba mengenengahkannya kepada umum serta disimpan sebagai satu bahan sejarah.

Datuk Mohd. Zain, Ketua Menteri Melaka, menerima parang lading daripada wakil Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Melaka. Utusan Malaysia, 8hb Januari, 1994

Pantang-larang
Berikut adalah pantang-larang yang terdapat di dalam Silat Cekak : Tidak boleh derhaka kepada guru Tidak boleh derhaka kepada ibu Tidak boleh derhaka kepada bapa Tidak boleh bergaduh sesama ahli Tidak boleh mencaci silat Melayu yang asli

Pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia


Pelajaran ini terbahagi kepada 8 bahagian: a. Mempunyai kaedah A, B, C dan D. 4 pergerakan di tangan kiri dan 4 pergerakan di tangan kanan (kaki tidak bergerak), berdiri lurus seperti berdiri waktu sembahyang (tidak berdiri kuda-kuda). b. Buah-buah dasar (basic) sambungan daripada kaedah A, B, C dan D; dilatih bergerak sekali tangan dan kaki. c. Buah-buah pecahan atau buah-buah anak sambungan daripada buahbuah dasar pelajaran yang kedua. Dengan buah-buah pecahan inilah untuk mempertahankan keselamatan daripada segala rupa serangan.

c. Buah-buah dasar dan pecahan-pecahan ini adalah buah-buah segala ilmu keputusan seluruh silat Melayu di dalam alam Melayu seperti Keputusan Sendeng, Keputusan Gayung Fatani, Keputusan Silat Harimau dan lain-lain seperti yang disebutkan pada bahagian awal tadi.

Nama-nama buah Seni Silat Cekak antara lain ialah: Buah Pertama Buah Keputusan Gayung Fatani Buah Keputusan Sendeng Atas Buah Kilas Belakang Buah Kilas Hadapan Buah Kidong Kiri Buah Kuntau Jatuh Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung Buah Kuntau Kanan Gantung Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau) Buah Ali Patah Atas Buah Ali Patah Sudah Buah Selendang Buah Gari & Gari Gunting Buah Paras Buah Keputusan Pasung Kemanga Buah Keputusan Terlak Buah Keputusan Lintau Buah Hempok Buah Luncur Buah Siku Potong

d. Pengajaran cara memotong atau menyekat kesemua 21 buah yang tersebut itu. Andainya Seni Silat Cekak menyerang dan musuh menggunakan salah satu buah yang tersebut, buah itu tak terdaya mernakan atau menangkap Seni Silat Cekak; bahkan Seni Silat Cekak dapat memakan balik dengan salah satu buah-buah yang tersebut. Di sinilah tegaknya falsafah Seni Silat Cekak yang berbunyi:

PAKAI TAK PAKAI, TAK PAKAI PAKAI


e. Ini adalah pelajaran tamat; bererti sesama ahli Seni Silat Cekak tak terdaya melawan lagi kerana sama-sama faham pelajaran silat.

f. Pengajaran taktik menyerang lawan supaya membunuh buah-buahnya sendiri dan juga buah silat yang lain. Yang anehnya dalam Seni Silat Cekak sambil menyerang sambil menangkap. (Cekak menyerang, Cekak menangkap). Menurut penyelidikan yang dibuat tidak ada satu silat yang sekiranya ia menyerang ia dapat menangkap.
g. Pengajaran menangkis segala pukulan tongkat dengan tangan kosong; tidak menggunakan dua tongkat seperti yang terdapat dalam silat-silat lain yang bercorak kesukanan. Begitu juga menangkis segala tikaman dengan tangan kosong juga; tidak mengguna dua pisau. h. Pengajaran mengguna Parang Lading buah menunggu segala rupa serangan yang menggunakan senjata pendek. Penyerangan terhadap musuh tidak dilakukan kerana Seni Silat Cekak percaya bahawa penyerangan itu lebih merbahaya kepada dirinya.

Keahlian Seni Silat Cekak Malaysia


Seni Silat Cekak Malaysia adalah terbuka kepada semua penduduk Malaysia lelaki dan perempuan yang berumur 16 tahun (seelok-eloknya 18 tahun) ke atas yang beragama Islam dan sihat tubuh badan serta berfikiran waras. Tempoh Pembelajaran Silat Cekak Sistem pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia secara keseluruhannya diajar kepada penuntut secara pakej.

Setiap penuntut perlu menyempurnakan pakej tersebut dan barulah dianggap mereka telah mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia hingga bertanggungjawab mempertahankan diri. Sistem mata pelajaran Seni Silat cekak Malaysia yang terbahagi kepada beberapa peringkat tersebut mengambil masa selama lebih kurang 7 bulan untuk tamat pembelajaran. Selepas tamat pembelajaran Seni Silat Cekak Malaysia maka penuntut adalah digalakkan untuk meneruskan kemahiran di dalam Silat Cekak dengan menyertai kelas kemahiran yang pada kebiasaannya akan mengambil masa selama lebih kurang 3 bulan dengan 1 kelas latihan seminggu (tertakluk kepada perubahan semasa).

Silat Seni Gayong

CITA-CITA DAN DASAR


Silat Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua terlah terbukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat Islam. Hakikat ini dinilai melalui coretan sejarah negara kita yang pada suatu ketika dahulu dijajah oleh kuasa asing. Pergerakan para pahlawan Silat Seni Gayong seperti allahyarham Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tuk Zainal, Dato' Maharaja Lela dan ramai lagi pejuang kemerdekaan tanahair telah berjaya membataskan penguasaan pihak penjajah dalam politik dan sosiobudaya penduduk tempatan.

Pejuang kemerdekaan tanahair tersebut merupakan pemimpin agama yang lazimnya menjadi teras kepimpinan tradisi masyarakat Melayu zaman dahulu. Mereka dimuliakan dan disanjungi bukan semata-mata keilmuan tinggi dalam bidang keagamaan, bahkan semangat perjuangan dan sifat kependekaran yang dimiliki beserta sikap yang tegas dalam menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. Kini Silat Seni Gayong ialah satu warisan bangsa yang diajar kepada waris generasi sebagai alat pendidikan dan pembentukan disiplin dalam rangka menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara.

Ia mestilah dipelihara agar bangsa kita dapat menghargai warisan nenek moyang dan seterusnya menghayati makna sebenar sebuah kemerdekaan. Namun begitu, cita-cita dan dasar asal pergerakan Silat Seni Gayong tidak harus luput ditelan perubahan. Ia mesti terus dan sentiasa dipupuk dalam jiwa anak-anak gayong agar segala apa yang diperjuangkan akan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah S.W.T.

PANTANG LARANG
Tiada pantang larang dalam Silat Seni Gayong. Apa yang menjadi pegangan dalam Silat Seni Gayong ialah mentaati segala suruhan dan titah perintah Allah S.W.T. serta menghindar atau menjauhi segala laranganNya.

FALSAFAH
Falsafah Silat Seni Gayong ialah falsafah etika yang membicarakan kaedah pembentukan akhlak terpuji. Ia memupuk peningkatan nilai peribadi daripada segi kualiti, matlamat dan sentiasa bergerak dalam lingkungan pedoman yang diberikan. Falsafah ini juga wujud dalam setiap amalan adat istiadat, peristiwa sejarah, puisi, amanat dan pelajaran Silat Seni Gayong.

Silat merupakan segala teknik, kaedah dan langkah pencak yang digunakan untuk membela diri atau melakukan serangan balas. Ia hanya meliputi aspek lahiriah semata-mata. Seni dalam kontek Silat Seni Gayong pula ialah satu unsur dalaman yang menekankan konsep kerohanian dan pembersihan diri. Ia mendidik dan membentuk pertahanan dan ketahanan jiwa yang sentiasa perlu dibaja dengan makanan kerohanian dan dihiasi adab kesopanan serta akhlak yang terpuji. Gayong ialah suatu kalimah yang menggariskan sifat peribadi - sifat yang membina unsur silat dan unsur seni dalam jiwa dan jasad seorang murid Gayong.

Falsafah Silat Seni Gayong daripada satu sudut yang lebih global akan hanya dapat dikupas melalui skop kajian integrasi pemikiran yang luas meliputi aspek sejarah, adat istiadat, pelajaran dan perkembangan Silat Seni Gayong itu sendiri. Hanya mereka yang mendalami ilmu Silat Seni Gayong secara praktikal dan menghayati setiap unsur daripadanya akan dapat menghuraikan Falsafah Silat Seni Gayong dengan tepat dan lengkap.

NILAI-NILAI LUHUR
Nilai ini terbit daripada falsafah Silat Seni Gayong sendiri yang meliputi aspek mental (spiritual), bela diri dan kesenian. Antara contoh aspek-aspek berikut : 1. Aspek mental: Beriman kepada Allah S.W.T. dan rukun iman yang lain. Menghormati sesama insan, terutamanya mereka yang lebih tua dan berilmu. Kecintaan untuk membantu sesama insan. Berterusan meningkatkan kualiti diri. Istiqamah dalam perjuangan dan kerja kebajikan yang dilakukan. 2. Aspek Bela Diri Berani menegakkan kebenaran dan keadilan. Jujur serta amanah dalam membanteras segala kepalsuan, penyelewengan dan kemunafikan. Tabah dalam menghadapi cubaan dan godaan. 3. Aspek Kesenian Mencintai seni budaya dan menghargai karya-karya indah. Memiliki keperibadian yang kukuh dan berbudaya. Menghalusi serta menjiwai segala apa yang dilakukan. Memiliki daya kreativiti yang tinggi dan inovatif.

SEKIAN, TERIMA KASIH

Anda mungkin juga menyukai