Anda di halaman 1dari 26

TAJUK : HUBUNGAN ANTARA PENGUASAAN PEMBACAAN AL-QURAN DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DENGAN KAEDAH PENGAJARAN GURU

PENDIDIKAN ISLAM
NAMA PEMBENTANG :

SALINA BINTI SADON


UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

ABSTRAK
Kertas konsep ini akan membincangkan hubungan antara penguasaan pembacaan al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah menengah dengan kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru Pendidikan Islam Perbincangan ini juga menghubungkaitkan antara faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar dalam pembelajaran pembacaan al-Quran, adakah kaedah pengajaran guru sesuai dalam mengajar mata pelajaran al-Quran dan punca pelajar kurang minat dalam membaca al-Quran Kupasan juga dilakukan terhadap kesesuaian kaedah pengajaran guru Pendidikan Islam dengan tahap bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar masa kini

PENDAHULUAN
Pada masa kini, bilangan pelajar yang tidak boleh membaca AlQuran semakin meningkat dan menjadi satu masalah yang sangat serius di negara kita. Melalui pemerhatian umum yang dilakukan oleh penyelidik,penilaian awal dibuat bahawa tahap penguasaan pembacaan Al-Quran sebahagian daripada pelajar adalah tidak begitu memuaskan dari segi kefasihan dan kelancaran bacaan baik pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan. Menurut Abd. Halim El-Muhamady (1991), al-Quran merupakan sumber utama untuk mendapat keberkatan dan pengajaran tentang hukum-hukum Allah S.W.T. sama ada yang berkaitan dengan aqidah, syariah mahupun akhlak. Kesemua itu adalah untuk kehidupan setiap muslim dalam pelbagai aktiviti, malah penentuan kesempurnaan beribadat kepada Allah S.W.T.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN PEMBACAAN AL-QURAN

Ibu bapa
Ibu bapa mempunyai pelbagai tanggungjawab terhadap anakanaknya termasuk memberikan pendidikan. Dan ini semua sepatutnya bermula dari rumah. Terdapat ibu bapa yang menyerahkan kesemua tanggungjawab itu kepada institusi pendidikan. Hanya segelintir ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak di rumah terutamanya hal yang berkaitan dengan pengajian al-Quran.

Menurut Azarudin, Azman dan Ahmad Nazuki (2011), sebahagian besar pelajar mendapat pendedahan awal pembelajaran membaca al-Quran daripada pembimbing yang tidak berkemahiran seperti tok guru dan ibu bapa sendiri yang tidak dilatih khas dalam membimbing bacaan alQuran.
Ini bererti para pelajar tersebut tidak dibimbing secara teratur ketika mula belajar membaca al-Quran.

Kajian yang dilakukan juga menunjukkan bahawa kebanyakan para pelajar mendapat pendedahan secara tidak formal pada awal usia empat atau lima tahun daripada ibu bapa di rumah, rumah tok guru, jiran, nenek dan saudara mara.
Pelajar hanya didedahkan dengan ilmu tajwid ketika di sekolah yang masa pembelajaran yang diperuntukkan sangat terbatas.

Tidak ramai ibu bapa yang menunjukkan kesungguhan mereka dalam mengajar atau menyelia bacaan al-Quran anak-anak. Mereka tidak memberi perhatian seperti mana yang dilakukan terhadap mata pelajaran Matematik, Sains dan lain-lain yang diuji dalam peperiksaan awam. Ibu bapa dilihat berlumba-lumba menghantar anak-anak ke pusat tuisyen sekalipun dengan bayaran yang agak tinggi. Kesungguhan seperti ini tidak dilakukan untuk pengajian al-Quran. Mereka tidak risau jika anak-anak mereka lemah dalam al-Quran seperti mana mereka risau jika anak-anak mereka tidak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR atau SPM.

Menurut Abdullah Nasih Ulwan (1989), Ibnu Sina menyarankan ibu bapa supaya memulakan pembelajaran al-Quran kepada anak-anak apabila mereka menunjukkan kecenderungan dari segi fizikal dan mental untuk belajar. Ini bertujuan supaya anak tersebut dapat mengenalpasti dari kecil lagi betapa penting bahasa Arab yang asli.
Terdapat juga ibu bapa yang menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan kurang mengambil perhatian kepada pendidikan anak-anak mereka. Mereka seharusnya perlu mencari alternatif lain seperti mengupah guru mengajar al-Quran atau menggalakkan anak-anak menghadiri program-program yang berkaitan seperti kelas tajwid, bertadarus dan sebagainya. Di samping itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak mereka membaca al-Quran dengan menggunakan teknologi masa kini seperti kaset dan cakera padat bacaan al-Quran. Malah internet juga menyediakan banyak software bacaan al-Quran secara percuma.

Minat Pelajar
Faktor kedua yang mempengaruhi penguasaan pembacaan alQuran adalah minat pelajar itu sendiri untuk membaca al-Quran. Menurut Haszrul Azrie (2011), majoriti pelajar bersetuju bahawa minat yang lahir daripada diri sendiri menjadi faktor utama yang membolehkan seseorang pelajar itu menguasai tilawah Al-Quran. Setelah ada minat, akan timbullah inisiatif untuk belajar Al-Quran dengan menggunakan waktu yang terluang. Bermula daripada minat dari diri ini juga, pelajar akan mengambil inisiatif sendiri dengan bertanya guru dan mendengar bacaan AlQuran melalui internet, CD atau bahan media elektronik yang lain.

Kajian yang dilakukan oleh Azarudin, Azman dan Ahmad Nazuki (2011), hanya sebilangan kecil pelajar yang kerap membaca alQuran. Ramai pelajar tidak menjadikan membaca al-Quran sebahagian daripada amalan kehidupan. Sikap sambil lewa terhadap perkara tersebut telah menyebabkan tahap kebolehan membaca al-Quran yang rendah di kalangan pelajar. Sikap pelajar yang tidak mementingkan amalan pembacaan alQuran juga merupakan salah satu faktor yang menentukan sejauhmana mereka boleh membaca al-Quran dengan baik. Sikap malas dan alasan tidak mempunyai masa yang cukup menyebabkan mereka gagal untuk memperuntukkan masa untuk melibatkan diri dalam pengajian al-Quran.

Guru
Guru juga memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar terhadap pembacaan al-Quran. Guru hendaklah menyambut baik orang yang hendak belajar alQuran dengannya dan seorang guru tidak seharusnya menolak seseorang yang ingin belajar. Guru hendaklah memberi keutamaan kepada pelajar yang datang lebih awal. Seorang guru yang baik sentiasa memberi nasihat dan dorongan serta motivasi untuk pelajarnya agar pelajar tersebut mudah untuk mempelajari dan memahami al-Quran.

KAEDAH PENGAJARAN GURU DALAM TILAWAH AL-QURAN


Seseorang guru itu hendaklah mempelbagaikan kaedah pengajaran untuk menarik minat pelajar dalam membaca al-Quran. Peranan seorang guru bukan setakat mendidik untuk memajukan bidang akademik semata-mata, tetapi guru juga bertanggungjawab untuk membimbing pelajar dalam penguasaan bacaan al-Quran supaya pelajar tersebut tidak buta al-Quran. Perkara penting yang perlu dilakukan oleh guru sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran ialah memastikan bahawa kaedah yang digunakan bertepatan dengan objektif yang hendak dicapai. Perancangan perlu dilakukan dengan terancang untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ini.

Membaca ayat dan surah secara tartil Pembacaan al-Quran secara tartil ialah dengan membaca secara perlahan dan khusyuk serta berhenti di tempat yang betul agar menyamai dengan cara penurunan wahyu. Seperti yang telah diketahui, ayat-ayat al-Quran tidak diturunkan dengan sekaligus tetapi ianya diturunkan secara beransur-ansur.Tujuan al-Quran diturunkan secara beransur-ansur adalah untuk menguatkan ingatan Rasulullah s.a.w terhadap ayat yang diturunkan. Selain itu, Rasulullah s.a.w dapat membacanya dengan teratur secara satu persatu dan ayat demi ayat.

Menurut Ishak bin Haji Abbas (1988), terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan oleh ulama mengenai erti perkataan tartil dalam pembacaan al-Quran, di antaranya ialah : * Membaca secara tenang dengan melahirkan segala huruf mengikut sebutan makhraj yang betul di samping mengamati makna dan kandungan yang tersirat di dalam al-Quran. * Mengelokkan sebutan huruf-huruf al-Quran mengikut lahjah (loghat) Arab dengan melambat-lambatkan bacaan di samping menjaga aturan-aturan waqaf (berhenti) dan ibtida' (memulakan bacaan).

Membaca ayat al-Quran secara bertajwid


Membaca al-Quran dengan bertajwid merupakan suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam. Dengan pembacaan al-Quran yang bertajwid akan melahirkan pembacaan yang sempurna. Pembacaan yang salah dari sudut makhrajnya akan menyebabkan berlaku perubahan terhadap makna ayat tersebut.

Perkataan tajwid adalah berasal dari perkataan Arab ) ( yang bermaksud mengelokkan sesuatu. Manakala mengikut penggunaan para qurra' al-Quran, tajwid itu adalah suatu ilmu mengenai makhraj huruf, pengucapan sifat-sifat huruf serta lain-lain hal yang berkaitan dengan bacaan al-Quran.

Menurut Kamarul Azmi, Ab. Halim Tamuri (2012), terdapat pelbagai kaedah, teknik dan aktiviti yang boleh digunakan untuk membaca ayat dan surah secara bertajwid dengan betul dan fasih. Antaranya ialah teknik al-Tariq bi al-Tadris. Teknik ini merupakan bacaan secara kelas atau keseluruhan pelajar secara beramai-ramai dimulai dengan bacaan guru kemudiannya diikuti oleh pelajar. Selepas itu, guru boleh menggunakan kaedah ulangan iaitu meminta beberapa orang pelajar untuk membaca secara individu. Seorang pelajar akan dipilih untuk mebaca dengan betul dan fasih secara bertajwid dan diikuti oleh pelajar lain.

Memperdengarkan bacaan rakaman


Selaras dengan kecanggihan teknologi pada masa kini, seorang guru boleh menggunakan rakaman kaset, CD, Video CD dan yang terbaru e-Book untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat alQuran. Apa yang didengar dan dilihat dijadikan sebagai panduan dan model kepada pelajar. Guru membentangkan ayat-ayat yang hendak dibaca dan dibincangkan pada hari itu. Sebaik- baiknya setiap pelajar mempunyai sebuah mushaf atau pun buku teks yang mengandungi ayat-ayat yang berkaitan. Guru harus menyediakan carta ayat atau slide power point supaya pelajar dapat berbincang bersama-sama dengan guru. Di samping itu guru juga boleh menunjukkan terus kepada ayat yang tertera berkaitan tanda-tanda bacaan seperti mad, tanwin, saktah dan sebagainya seperti mana terdapat dalam Al-Quran. Sekiranya pelajar salah membaca ayat, maka mudah bagi guru menunjukkan di atas carta atau slide power point dan pelajar lebih mudah faham.

Menurut Mohd Abbas dan Farihatun Nadia (2010), pengunaan bahan bantu mengajar (BBM) Elektronik serta penggunaan radio atau kaset dan tunjuk cara amat disukai oleh pelajar kerana mempengaruhi minat pelajar untuk membaca al-Quran. Kecanggihan ini dapat membantu guru dan membuka jalan yang lebih luas untuk menarik minat dan tumpuan pelajar serta melatih pelajar menjadi pengguna teknologi maklumat dan komunikasi yang efisien.

HUBUNGAN ANTARA PENGUASAAN BACAAN ALQURAN PELAJAR DENGAN KAEDAH PENGAJARAN GURU
Pelajar yang tidak mahu mengubah diri mereka ataupun berusaha untuk memajukan diri mereka, kadang kala memberi kesan secara langsung terhadap tahap kebolehan mereka menguasai pembacaan al-Quran dengan baik. Antara salah satu punca pelajar tidak dapat membaca al-Quran adalah disebabkan punca-punca dalaman dalam diri pelajar dan bukan disebabkan faktor-faktor luaran seperti ibu bapa dan pihak sekolah. Pelajar itu mempunyai aspirasi dan cita-cita yang sederhana, semangat persaingan yang rendah dan tiada motivasi yang kuat untuk memajukan diri mereka ke tahap yang lebih tinggi. Azarudin, Azman dan Ahmad Nazuki (2011) menjelaskan bahawa kebanyakan pelajar mempunyai minat dan sikap yang sederhana terhadap program tilawah al-Quran. Malah lebih teruk lagi jika penguasaan bacaan al-Quran masih belum mampu untuk mengubah sikap pelajar untuk menghayati nilai-nilai Islam sepenuhnya.

Amalan pengajaran tilawah al-Quran yang berkesan juga dikaitkan dengan sifat kreatif guru yang mana bukan sahaja merancang pengajaran, bahkan juga meliputi kreativiti semasa proses pengajaran supaya pelajar tidak bosan untuk membaca al-Quran. Amalan ini juga penting untuk menentukan daya tarikan minat pelajar untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Antara punca pelajar hilang tumpuan semasa belajar ialah disebabkan oleh cara guru menerangkan dan menggunakan bahan pengajaran yang membosankan. Oleh itu, usaha harus dilakukan agar suasana amalan pengajaran yang kreatif dapat diwujudkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam bilik darjah.

PUNCA KURANG MINAT PELAJAR TERHADAP PEMBACAAN AL-QURAN


Muhd Taftazani, Nik Mohd Hakimi, Wan Mohd Hafizuddin & Zuhairun Najah (2009) menjelaskan bahawa sikap negatif guru Pendidikan Islam seperti bertindak kasar terhadap pelajar, sentiasa bersikap serius pada pelajar, bimbingan hanya kepada pelajarpelajar tertentu sahaja, pengajarannya yang membosankan dan suka bersyarah tanpa mempedulikan pendidikan konstruktif adalah faktor penyumbang bagi kurangnya minat pelajar terhadap bacaan al-Quran itu sendiri. Menurut Farah Ihyani & Mohd Aderi (2011), pendekatan guru yang cenderung menggunakan kaedah pengajaran tradisi menyebabkan pelajar merasa bosan dan kurang aktif. Di samping itu, waktu pembelajaran terutamanya di waktu petang, mengurangkan minat pelajar untuk menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru.

Pembacaan al-Quran juga berkait rapat dengan kemahiran pelajar mebaca tulisan jawi. Kajian yang dilakukan oleh Nik Rosila, sikap negatif pelajar di mana pelajar beranggapan bahawa tulisan Jawi amat susah dipelajari, tidak penting dan tidak dinilai di dalam peperiksaan. Kebanyakan pelajar juga kurang berkeyakinan menggunakan tulisan Jawi disebabkan mereka kurang menguasai suku kata terbuka dan mereka juga tidak dapat membina perkataan untuk suku kata tersebut. Pelajar kurang minat mata pelajaran jawi dan hal ini menyebabkan mereka tidak dapat membaca al-Quran dengan baik. Terdapat segelintir pelajar yang selalu melakukan kerja lain semasa guru sedang mengajar Pendidikan Islam..

CADANGAN UNTUK MENINGKATKAN MINAT PELAJAR TERHADAP AMALAN MEMBACA AL-QURAN


Membaca Setiap Hari Membaca al-Quran setiap hari sangat dituntut kepada umat Islam. Pembacaan secara konsisten ini dapat mendatangkan ketenangan jiwa kepada pembacanya. Melalui pembacaan secara konsisten ini akan menambahkan kelancaran membaca al-Quran di samping mempraktikkan hukum-hukum tajwid ketika proses pembacaan alQuran berlaku. Mengadakan bengkel atau seminar Pelajar yang lemah dan tidak boleh membaca al-Quran dengan lancar hendaklah dihantar ke bengkel atau seminar untuk mengenali asas bacaan al-Quran seperti kaedah Iqra.

Kelas mengaji seminggu sekali Guru hendaklah mengadakan kelas mengaji al-Quran seminggu sekali bagi pelajar yang dikenalpasti lemah dalam penguasaan pembacaan al-Quran. Jika ada pelajar yang boleh membaca alQuran dengan baik dan lancar, guru boleh melantik mereka sebagai fasilitator kepada pelajar yang lemah ini. Menggunakan software al-Quran Guru digalakkan untuk selalu menggunakan CD ataupun software pembelajaran al-Quran yang terkini agar pembelajaran di dalam kelas lebih menarik minat pelajar dan memberikan kesan yang baik kepada tahap pembacaan pelajar.

Kaedah talaqqi dan musyafahah Guru ketika mengajar mestilah selalu menggunakan kaedah talaqqi dan musyafahah iaitu pelajar mengambil bacaan daripada guru, iaitu mendengar dengan teliti serta melihat pergerakan mulut guru kemudian mengulang bacaannya dengan didengari oleh guru sehingga guru berpuas hati bacaannya betul dan sebutannya tepat. Memperbanyakkan program al-Quran Memperbanyakkan program berkaitan al-Quran seperti menjadikan hari Jumaat sebagai hari membudayakan al-Quran. Bacaan ayat al-Quran boleh dipasang di dataran pelajar selama beberapa minit untuk memupuk kesedaran dan minat pelajar terhadap pengamalan pembacaan al-Quran. Di samping itu, dengan mendengar bacaan al-Quran ini, dapat membentuk akhlak dan sahsiah yang baik kepada pelajar-pelajar dan menjadi benteng amalan-amalan yang bertentangan dengan syarak.

PENUTUP
Pelajar perlu merancang untuk memilih strategi pembelajaran yang berkesan seperti pembelajaran berkumpulan, mengadakan perbincangan dengan guru dan terus bertanya guru apabila tidak dapat memahami pembelajaran yang disampaikan. Semua pihak perlu memainkan peranan untuk meningkatkan tahap penilaian pelajar terhadap tilawah al-Quran agar setanding dengan mata pelajaran lain yang dianggap lebih penting. Penguasaan ilmu dan kemahiran al-Quran dari sudut bacaan merupakan antara perkara yang perlu ditingkatkan dalam masyarakat Islam pada masa sekarang. Hal ini adalah kerana masih terdapat segelintir umat Islam di Malaysia ketika ini yang kurang berupaya untuk membaca al-Quran dengan baik dari segi tajwid dan bacaan, serta berlagu dan lancar. Sedangkan dalam situasi menghadapai era globalisasi, umat Islam perlu mantap dalam pelbagai bidang supaya mampu berhadapan dengan cabaran pada masa hadapan di dalam semua aspek kehidupan.

Kesimpulannya, terdapat hubungan yang rapat antara kaedah pengajaran guru dan tahap penguasaan pembacaan al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah terutamanya pelajar sekolah menengah yang sudah mencapai umur baligh. Seharusnya mereka dapat membaca al-Quran dengan baik dan lancar kerana rata-rata mereka belajar membaca al-Quran sejak dari kecil lagi.

SEKIAN, TERIMA KASIH

Anda mungkin juga menyukai