Anda di halaman 1dari 30

Dari segi Istilah, panggilan Asia Tenggara (Southeast Asia) mula dipakai pada waktu Perang Dunia Ke-II,

bagi memudahkan rujukan kawasan dan operasi peperangan di kawasan yang kita kenal sekarang sebagai Asia Tenggara (Tanah Besar dan Kepulauan). Sebelum itu kawasan Asia Tenggara dikenali dalam berbagai nama seperti Indo-Chinese Peninsula (merujuk khusus kepada Tanah Besar Asia Tenggara), Hindia Timur (lebih khas kepada kepulauan Asia Tenggara).

Nama Indo-China wujud dari kefahaman bahawa kawasan ini terletak di antara benua India dan China; dan pada suatu ketika yang agak lama menerima pengaruh dari kedua benua tersebut.
Oleh itu terbit pembahagian kawasan Asia Tenggara berdasarkan kepada pengaruh India dan China, iaitu:
"Sinicized" (kawasan yang menerima pengaruh China, khususnya Vietnam) -"Indianized" (kawasan yang menerima pengaruh dari India, seperti Kemboja/Khmer, Laos, Thailand, Burma serta Kepulauan dan Semananjung Melayu.

Istilah Hindia Timur (East Indies) memaparkan perbezaan warna kulit atau taraf kemajuan yang berlainan khususnya dari tamadun Barat atau Asia Barat atau lain-lainnya. Asia Tenggara merupakan kawasan penjajahan dan sumber hasil barangan tropika kepada kuasa kuasa Barat sama seperti Hindia Barat (yang meliputi kawasan kepulauan di lautan Atlantik yang berdekatan dengan Mexico).

Asia Tenggara dikenali sebagai "India beyond the Ganges" atau "Greater India" atau "Ultra Ganges" memberi erti kawasan di sebelah (selepas) benua India diteropong dari arah barat (kuasa Barat) yang juga memberi erti kawasan yang mempunyai pengaruh India sebelum penggunaan istilah Asia Tenggara. Asia Tenggara juga disebut dalam konsep seperti "Crossroads" [ekspresi yang digunakan oleh M.E. Gaspordone, "L'histoire et la philologie indochinoise," Revue historique, July/Sept 1947, p. 13] yang membawa erti kawasan yang menemukan dan membaurkan pelbagai kumpulan bangsa, dan dua tamadun utama (India dan China) sehingga membawa kepada tranformasi, dalam pelbagai kadarnya sehingga memperkayakan atau memberi perubahan kepada pertumbuhan peradapan tempatan.

Sifat peradapan yang wujud di Asia Tenggara dikatakan sebagai "unity in diversity" (kesatuan dalam kepelbagaian). C.A. Fisher, berpendapat sifat kepelbagaian itu tidak boleh disamakan dengan keadaan di Balkan (negeri negeri/tamadun tamadun kecil di Eropah Timur sebelum disatukan ke dalam satu politi). Hal ini juga dipersetujui oleh Lingat, yang mengutarakan bahawa sebahagian besar tamadun kaum utama Asia Tenggara mempunyai asal-usul (parentage) yang sama, misalnya adat kekeluargaan orang Burma dan Siam adalah serupa dengan undang-undang primitif (pra-penjajahan Cina) Vietnam.

Jika dilihat kepada buku-buku sejarah Asia Tenggara tulisan orang Barat seperti DGE Hall, periodisasi (perzamanan sejarah) yang mereka gunakan lebih merupakan periodisasi Barat dengan abad ke-15 sebagai zaman pembaharuan . Namun ia kurang sesuai digunakan bagi perzamanan sejarah Asia Tenggara.

Sehingga waktu ini periodisasi Asia Tenggara dibahagikan kepada: i. Pra-sejarah (pre-history) ii. Zaman Proto (Proto-history) atau disebut pra-klasik (pre-classical period) - dari abad ke-3 Sebelum Masehi (S.M.) sehingga abad ke-4 Masehi. iii. Zaman Klasik (Classical period) - dari abad ke4 Masehi hingga abad ke-13/14 Masehi. Dari abad ke-9 hingga ke-13/14 Masehi disebut juga sebagai zaman pertengahan atas "high middle ages" [dipinjam dari pengistilahan perzamanan di Barat] yang ditandai dengan corak politik dan kehidupan sosial yang mudah dimengertikan (sistem sistem yang tersusun) sekurangkurangnya secara garis kasar atau kewujudan corak itu di beberapa tempat/kerajaan yang berkuasa di tanah besar Asia Tenggara.

Menurut H.J. Benda, zaman proto/pra-klasik dan klasik, mempunyai sejarah utama kerana terbahaginya Asia Tenggara kepada dua kawasan, pertamanya kawasan pengaruh India (Coedes sebut "Hinduized", Brian Harrison sebut "Indianized") dan keduanya kawasan pengaruh China (Sinicized).

Zaman Lepas Klasik (post-classical period) abad ke-14 Masehi hingga abad ke-18. Tempoh ini dirujuk juga sebagai Zaman Pertengahan atau menurut H.J. Benda sebagai zaman awal penjajahan (Barat) - Umumnya disebut juga sebagai zaman tradisional. Zaman Moden (abad ke-19 - sekarang) atau disebut oleh H.J. Benda sebagai penjajahan moden/imperialisme ("modern colonial"), penjajahan Jepun, perjuangan kebebasan dan kemerdekaan.

Di dalam penulisan sejarah pada zaman tradisional, terdapat pelbagai masalah tersendiri. Antara masalah yang dapat dikesan secara tidak langsung adalah berhubungkait dengan konsepkonsep yang menyelimuti penulisan sejarah (zaman awal). Historiografi selalunya mencerminkan budaya pihak yang menciptanya dan dipengaruhi oleh sifat-sifat dan tingkat budaya manusia. Antara pengaruh tersebut ialah pengaruh "milieu" (persekitaran dan masa) sosio-budaya, budaya-jiwa dan sosio-politikekonomi.

Justeru itu corak struktural historiografi zaman awal Asia Tenggara banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri Hindu-Buddha atau China dan lokal. Sifatnya "region-centricism" (sentrisme-kawasan) dan "ethnocentricism" (sentrisme-etnik) dan sering pula berpusat/tumpuan perhatian (sentrisme) kepada istana, raja atau dinasti tertentu.

Kebanyakan penulisan memuatkan sifat pewarisan sejarah (mempunyai motif untuk memberi keterangan atau panduan/pengajaran kepada generasi kemudian) - bertujuan didaktif yang membawa penulisan sejarah demikian sebagai berunsur pragmatis. Walau bagaimanapun kebanyakannya memuatkan unsur-unsur legenda, mitos, posteventum, simbolisme, sinkritisme dan anakronisme (kesemuanya tergolong dalam "the realm of folklore").

Sifat lain yang tidak kurang pentingnya ialah, sejarah itu bertujuan memberi legitimasi dinasti atau kebangsawanan. Sebagai kaedah mencapai matlamat sifat (memberi legitimasi) itu maka pembahagian huraian (cerita-cerita) sejarah biasanya terdiri daripada: asal usul raja dan salsilah pembentukan sesebuah negeri atau kerajaan, kemasukan pengaruh Hindu-Buda atau China, cerita khusus tentang raja-raja, memberi kelebihan huraian kepada raja yang mengeluarkan perintah penulisan sejarah atau raja yang sedang memerintah.

Sifat (memberi legitimasi) yang terdapat di dalam historiografi Asia Tenggara seperti kebanyakan genre sejarah klasik tidak semestinya memberi realiti (realisme) sejarah.

Seringkali huraiannya penuh dengan unsur legenda dan mitos. Unsur-unsur ini terdapat dalam huraian terhadap geneologi raja-raja (misalnya, geneologi raja-raja praPagan, menyebut tentang perkahwinan antara seorang putera dengan puteri raja ular; geneologi raja Vietnam, disebutkan sebagai bermula dengan perkahwinan antara seorang putera dengan puteri raja kura-kura laut). Mitos dan legenda berhubung dengan rajakula merupakan bahagian yang terpenting kerana memberi legitimasi "super human" kepada jurai raja-raja (sesebuah dinasti). Unsur yang sama biasanya diwujudkan dalam cerita permulaan kewujudan kerajaan. Kesemuanya itu bertujuan mendukung tinggi rajakula dan kerajaannya.

Oleh kerana cerita yang terdapat dalam penulisan sejarah itu penuh dengan mitos, legenda dan magis keagungan dinasti atau raja yang mencapai tahap jelmaan dewa, maka penulis sejarah itu sendiri dianggap sebagai mempunyai kekuatan magis (sakti). Bagi mewujudkan unsur-unsur mitos, legenda dan magis yang agung, maka penulis itu bukan orang sebarangan (biasanya golongan sami atau rahib atau pegawai istana atau cendikiawan yang tertinggi) kerana pekerjaan menulis sejarah sedemikian adalah satu pekerjaan sakral (suci).

Dari segi kebenaran sejarah, sifat kebenaran sejarah zaman itu lebih berupa kebenaran subjektif. Malah dari segi pertarikhan, tidak begitu dipentingkan - masa dahulu, sekarang dan akan datang dianggap tidak terasing atau bercorak anakronisme.
Walau bagaimanapun penulisan sejarah Asia Tenggara yang dihasilkan pada zaman awal bukanlah kesemuanya bersifat seperti dihuraikan di atas. Kebanyakan daripada kronik (kronikal atau salsilah/annal, catatan dinasti atau kerajaan) adalah pseudo-history (bersifat kronik atau salsilah) dalam maksud yang sebenarnya. Unsur-unsur realisme, ketepatan peristiwa, rasionalisme atau keterbukaan (kurangnya mitos, legenda, magis) semakin mengisi penulisan kronik yang dihasilkan pada zaman pasca-klasik. Di Burma keadaan ini berlaku dengan pembentukan kerajaan Ava (1365) .

Di Vietnam, kronik dinasti kerajaan-kerajaan Vietnam selepas pendudukan China (iaitu selepas abad ke-10) cuba memuatkan unsur-unsur sejarah nasional (menekankan unsur-unsur entiti/identiti politik, geografik atau sempadan politik dan meliputi aspek ekonomi, politik dan sosial. Kesemua kronik ini lebih berbentuk naratif (tidak definitif/analistikal) dan semakin mendekati ciriciri sejarah konvensional masih disadurkan di sana sini sedikit sebanyak dengan unsur-unsur genre sejarah klasik (mitos, legenda dan magis).

Penulisan sejarah mengikut kaedah moden, biasanya berdasar kepada metodologi yang mengutamakan empat prosedur berikut:

Memilih tajuk (masalah)


Pengumpulan sumber (heuristic). Kritik sumber. kritik sumber dilakukan melalui dua kaedah iaitu: a. kritik sumber (kritik luaran dan dalam): (kritik luaran bagi menentukan kesahihan/authenticity sumber dan kritik dalaman bagi menentukan kredibiliti huraian dalam sumber itu). b. interpretasi (sintesis dan analisis): sintesis - membuat extraksi, mengumpul dan pilih-menyusun bahan. analisis - menyaring dan menilai perkaitan (relevancy) bahan atau fakta. Persembahan/penulisan.

Pemilihan tajuk banyak dipengaruhi oleh faktorfaktor tujuan atau motif, kecenderungan, kebolehan, kedudukan dan pengalaman seseorang penulis. Faktor sumber rujukan, kemudahan penyelidikan, waktu, suasana dan tuntutan persekitaran juga memberi pengaruh yang tidak kurang pentingnya dalam menentukan sifat atau bentuk atau fungsi karya sejarah yang dihasilkan. Misalnya, kebanyakan orang Burma menulis sejarahnya dengan cara melihat ke dalam (inward-looking) dan walaupun menghuraikan sejarah/peristiwa semasa masih juga memuatkan unsur legenda zaman dahulu serta mengutamakan perkembangan sejarah yang berlaku di kawasan lembah atau dataran rendah.

Pemilihan sesuatu tajuk kadangkala dilakukan kerana minat, kadangkala kerana dipersesuaikan dengan kefahaman dan kebolehan diri ataupun ruang masa seseorang penulis. Bagi seseorang sejarawan, kadangkala beliau memikirkan soal kepentingan etnik, kelompok, lokal atau nasional ataupun internasional bagi mencapai fungsi tertentu. Kadangkala kecenderungannya dalam hal-hal tertentu membawa penulisan sejarahnya lebih berunsur politik atau ekonomi atau budaya atau lainlain lagi. Begitu juga dengan skop penelitiannya, mungkin mengenai sejarah yang baru berlalu atau sejarah yang sudah lama berlalu dan mungkin pula terhad kepada jangkawaktu yang panjang ataupun sebaliknya.

Ringkasnya, dalam soal memilih tajuk penelitian sahaja sudahpun terdapat banyak masalah. Berhubung dengan historiografi Asia Tenggara (ciri-ciri pemilihan topik ini) dapat diperhatikan berbeza dari satu peringkat ke satu peringkat (rujuk kuliah 1).
Pada dekad-dekad awal abad ini (tatkala penulisan sejarah bersifat moden bermula) penekanan kepada aspek politik dilakukan. Kemudian pada waktu selepas Perang Dunia Kedua, khususnya selepas "decolonization" (kebebasan daripada penguasaan Barat) barulah aspek-aspek lain mendapat perhatian.

Sumber Tempatan: Sumber tempatan boleh dibahagikan kepada sumber bertulis dan sumber tidak bertulis (tinggalan arkeologi, sejarah lisan, contoh atau kedudukan masyarakat kekal dll.) Berhubung dengan sumber bertulis, D.G.E. Hall mengatakan, tulisan-tulisan Asia Tenggara sendiri mengenai zaman yang awal tidak dapat memberi pertolongan kepada kita.

Keterangan- keterangan yang tepat berkenaan dengan negeri- negeri di sebelah timur Lautan Hindia jelas tidak terdapat dalam sastera India. Kalau adapun hanya disebut secara samar-samar sahaja dalam puisi klasik Sanskrit dan puisi istana Tamil yang boleh dikatakan tidak dapat diberi pengertian yang tepat (seperti nama-nama yang tersebut dalam Hikayat Ramayana - "Malayadvipa", Cerita-cerita Jataka - "Surarnadvipa/pulau emas atau Suvarabhumi/tanah emas). Oleh itu tafsiran yang penuh dengan daya bayangan seperti ini lebih merupakan khayalan kebangsaan daripada pendapat sejarah...Cerita- cerita di dalamnya lebih bercorak tujuan patriotik dan feudalistik. Zaman silam Asia Tenggara telah dikaji selidik dan tulis oleh orang-orang India - rasa bangga (nasionalisme) kerana menganggap Asia Tenggara banyak terhutang pengaruh dari India. Pada tahun 1926 tertubuh Persatuan India Besar (Greater India Society) berpendirian: "Sejarah penjajahan India di Indocina dan Semenanjung Tanah Melayu merupakan satu babak yang gilang gemilang dalam sejarah India."

Tulisan-tulisan China sungguhpun berharga kerana banyak mengandungi keterangan tentang ilmu alam politik dan perdagangan - dan walaupun sukar ditafsirkan, tetapi sedikit sekali mengandungi keterangan berhubung dengan perkembangan sejarah/pengaruh Hindu Buda. Misalnya pada masa dinasti ketiga dan keempat (Hou-han-shu dan San-kuo-chih) sejarahnya ada memuat rujukan tentang sempadan Burma dan kedudukan di Yunnan. Pada masa sejarah dinasti Tang lama dan Tang baru, terdapat cerita yang detail berkenaan dengan orang-orang Pyu (P'iao). Manakala catatan Yuan-shih dan Ming-shih lebih banyak huraian berkaitan dengan Asia Tenggara diperolehi.
Antara sumber China yang agak utama merujuk tentang Asia Tenggara ialah tulisan/koleksi yang dinamakan "Gazetteers" atau Koleksi Sejarah Tempatan khususnya yang terdapat di kawasan kawasan selatan China.

Gazetteers dari wilayah Kwantung dan Fukien memuatkan catatan tentang hubungan laut (pelayaran pengembaraan/diplomatik, perdagangan atau ketenteraan dll.) Sumber dari wilayah Yunnan dan Kwangsi memuatkan soal perhubungan kawasan darat. Selain dari itu catatan daerah/pelabuhan seperti Kuangchou (Canton) atau Ch'uan-Chou atau kawasan bersempadan/berdekatan dengan kawasan jiran (Asia Tenggara) seperti Ta-li di Yunnan, mempunyai keterangan yang berguna bagi memahami sejarah awal Asia Tenggara. Namun demikian penggunaan sumber China perlu dilakukan dengan hati-hati kerana masalah bahasa/tulisan kerana nama nama yang digunakan bagi merujuk kepada sesuatu kawasan sukar dipastikan. Di samping itu konsep/teori politik universal China tradisional yang menganggap Maharaja China sebagai pentadbir seluruh muka bumi/"oikoumene" (dalam konsep "Middle Kingdom") tidak membezakan antara kawasan dengan kawasan (atau soal dalam negeri dengan luar negeri). Walau bagaimana pun masih jelas sikap yang membezakan antara orang China dengan mereka yang bukan orang China.

Sumber Eropah yang awal lebih menyentuh soal ilmu alam dan pelayaran. Buku "Periplus of the Erythraean Sea (T.M. 70-1) adalah buku yang mula- mula sekali menyebutkan kisah perdagangan di antara pelabuhan-pelabuhan India dengan negeri- negeri di sebelah timur. Kemudiannya buku Geographia, karangan Ptolemy (T.M. 165). Sumber Barat hanya lebih banyak didapati setelah kehadiran Portugis di rantau ini pada abad ke-15. Sumber Arab. Sumber sumber lain seperti sumber Arab, tidak begitu banyak merujuk kepada tanah besar berbanding dengan kawasan kepulauan Asia Tenggara.

Masalah Periodisasi: Jika dilihat kepada buku-buku sejarah Asia Tenggara tulisan orang orang Barat seperti DGE Hall, periodisasi (perzamanan sejarah) yang mereka gunakan lebih merupakan periodisasi Barat dengan abad ke-15 sebagai zaman pembaharuan yang tidak cocok digunakan bagi perzamanan sejarah Asia Tenggara.

Sehingga waktu ini periodisasi Asia Tenggara dibahagikan kepada:


1. Pra-sejarah (pre-history) 2. Zaman Proto (Proto-history) atau disebut pra-klasik (pre-classical period) - dari abad ke-3 S.M. (Sebelum Masehi) sehingga abad ke-4 Masehi. 3. Zaman Klasik (Classical period) - dari abad ke-4 Masehi hingga abad ke-13/14 Masehi. 4. Zaman Lepas Klasik (post-classical period) - abad ke-14 Masehi hingga abad ke-18. 5. Zaman Moden (abad ke-19 - sekarang).

Periodisasi sejarah Asia Tenggara lebih berdasarkan kepada perubahan (changes) dari kesenambungan (continuity); lebih dipengaruhi oleh perubahan yang dibawa dari tenaga/kuasa luar. Dilihat dari sifat ini maka dapat dirumuskan bahawa Vietnam beredar sehingga ke akhir zaman klasik dengan tidak banyak berlaku perubahan, manakala kawasan lain Asia Tenggara mengalami perubahan sosial, agama dan politik dalam pelbagai kadar innovasi (pencernaan).

. masalah pendekatan (approach): Pendekatan penulisan banyak bergantung kepada pendirian dan pandangan ahli sejarah/penulis itu sendiri yang pula ditentukan oleh bahan/sumber yang diperolehinya atau apakah aspek dan corak sejarah yang hendak diliputi oleh penulisannya. George Coedes percaya sejarah awal Asia Tenggara dapat dibentangkan melalui pendekatan tiga cara bersepadu iaitu:

cara sinkronik (kajian sejajar "cross-line" bagi keseluruhan kawasan Asia Tenggara), cara diakronik (kajian penumpuan terhadap kepada sesuatu kawasan tertentu, secara tersendiri antara satu kawasan dengan kawasan yang lain); cara gabungan kedua pendekatan tadi (sinkronik-diakronik).