Pertumbuhan Mikroorganisma Mikroorganisma ada di mana-mana. Bagaimanakah mikroorganisma ini dapat menyesuaikan diri dan hidup dalam pelbagai keadaan? Anda mungkin menyedari bahawa tempat lembap dan gelap lebih mudah ditumbuhi mikroorganisma. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan mikroorganisma? Mengapa makanan terbiar akan menjadi basi dengan cepat? Mengapa susu akan menjadi masam jika tidak disimpan di dalam peti sejuk? Nutrien diperlukan oleh mikroorganisma untuk pertumbuhan, pembiakan, dan mengekalkan kesihatan sel. Mikroorganisma memperoleh tenaga daripada nutrien untuk menjalankan aktiviti sel. Semua mikroorganisma memerluan nutrien untuk hidup kecuali virus. Mikroorganisma parasit memperoleh nutrien daripada perumah (organisma hidup). Bakteria saprofit dan kulat memperoleh nutrien daripada jirim organik yang mati. Mikroorganisma berklorofil membuat makanan sendiri melalui fotosintesis. Suhu yang optimum bagi pertumbuhan mikroorganisma ialah 37oC. Mikroorganisma menjadi tidak aktif pada suhu tinggi atau suhu terlalu rendah (melambatkan kadar aktiviti sel). Pada suhu melebihi 120oC kebanyakan mikroorganisma akan mati. Keadaan berasid atau beralkali kurang sesuai bagi pertumbuhan mikroorganisma. Persekitaran pH 7 (neutral) adalah keadaan yang paling sesuai bagi pertumbuhan dan pembiakan mikroorganisma. Bakteria pengurai pula lebih sesuai hidup dalam medium yang sedikit berasid. Kebanyakan mikroorganisma hidup aktif di kawasan gelap kecuali mikroorganisma fotosintetik. Alga dan bakteria autotrof dapat hidup subur dalam keadaan yang bercahaya. Keadaan lembap amat sesuai untuk pertumbuhan mikroorganisma. Sesetengah bakteria membentuk spora dalam keadaan kering dan menjadi aktif jika ada air.