Anda di halaman 1dari 14

Gejala buli dalam kalangan pelajar

Gejala buli kini semakin berleluasa di sekolah-sekolah di negara kita.


Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar dan bimbang
kerana keselamatan pelajar terancam setiap hari.

Huraikan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasinya.


Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan
seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan
sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang
tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah
semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang
amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah,
ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian, kes buli ini
menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar
terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor
yang mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu
Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak
merupakan akar tunjang kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era
moden ini, ibu bapa hanya mementingkan profesion dan kerjaya mereka yang
bermotifkan hanya untuk mencari pendapatan sehingga mengabaikan
tanggungjawab mereka terhadap anak. Hal ini menyebabkan, seseorang anak
itu kurang mendapat perhatian dan belaian kasih sayang daripada ibu bapa
mereka. Anak juga sebenarnya tidak mengetahui perkara yang dilakukan oleh
mereka itu betul ataupun salah, baik atau buruk, akibat daripada tiada
bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak dalam gejala buli.
Tambahan pula belaian kasih sayang yang tidak cukup yang diterima daripada
ibu bapa juga melahirkan anak yang bersikap agresif dan tidak
berperikemanusiaan sehingga mereka sanggup melakukan perkara yang tidak
sepatutnya terhadap orang lain tanpa mempunyai rasa belas kasihan.
Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di
sekolah juga mendorong berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang
peka dan tidak mengambil peduli tentang hal ehwal peajar serta kelonggaran
kawalan disiplin memberi peluang keemasan kepada para pelajar untuk
mengambil kesempatan melakukan gejala sosial seperti gejala buli. Kelonggaran
kawalan disiplin juga menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki
menunjukkan keberanian mereka dan mengambil peluang untuk melakukan
apa-apa saja perkara secara bebas tanpa rasa takut. 
Kekurangan penghayatan nilai-nilai moral dan agama juga menyebabkan
para remaja terlibat dalam gejala negatif seperti buli ini. Hal Ini
disebabkan,seseorang pelajar yang mempunyai nilai moral dan agama yang
tinggi tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam gejala yang negatif.
Tambahan pula,kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga
membentuk remaja yang kurang berakhlak dan tidak mempunyai tahap
kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai moral dan agama dalam
kehidupan
Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.. Terdapat
banyak langkah yang efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Ibu
bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka
supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada
tanggapan anak mereka, perbuatan  atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul
dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berkelakuan baik di hadapan anak-anak
sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan
sebagainya. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik, seperti ketam mengajar
anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Meskipun sibuk
bekerja, ibu bapa juga seharus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan
anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang
sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak
sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang
ternampak kes buli yang berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus
memberanikan diri untuk membuat laporan kepada pihak sekolah dengan
segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi
kesejahteraan semua. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang
disyaki terlibat dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan
masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mencari jalan keluarnya. Pihak
sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut
agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar
kepada pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga perlu diketatkan
dan ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika
peraturan sekolah dan tidak membuat kesalahan seperti penglibatan dalam
gejala buli
Seterusnya, pihak kerajaan pula harus memainkan peranan aktif dalam
membendung gejala ini. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus
mengambil berat isu kes buli ini. Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan
sebagainya perlu diperkasakan. Melalui pendidikan ini,para pelajar mulai sedar
akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan juga perlu
bergabung dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen
kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala buli. Melalui cara ini, remaja
dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh daripada melakukan gejala
membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang
lain. Contohya, kempen ANTIBULI yang dijalankan di seluruh negara telah
mendapat sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes buli dapat
dikurangkan di sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.
Konklusinya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang
ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan
tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai
Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-
matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan
akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh hal itu, semua pihak
haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes
buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak
duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi
muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di
persada dunia

Anda mungkin juga menyukai