Anda di halaman 1dari 27

Disediakan oleh: Kamlit Kindan Ardy Rechie Apang Ily Sofianny Nosin Megritta Majin

KEMAHIRAN MENDENGAR

Mendengar merupakan salah satu daripada aktiviti yang penting yang dilakukan di peringkat kanak-kanak dan dewasa. Barker (1971) telah menjalankan satu kajian terhadap kemahiran pendengaran. Hasil daripada kajian itu, beliau merumuskan, dalam keadaan manusia itu sedar, 45% digunakan untuk mendengar, 30% bercakap, 16% membaca dan 9% menulis. Ini menunjukkan proses pendengaran berperanan penting dalam komunikasi. Burley-Alen (1982) dalam kajiannya mendapati peratus mendengar bertambah sehingga 60% bagi kehidupan pelajar sekolah menengah. Guru-guru menyatakan proses mendengar merupakan proses paling utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

DEFINISI

Mengikut Chuah (1987) terdapat perbezaan yang besar antara proses mendengar dan dengar. Ini bolehlah disamakan dengan penerangan Barker (1971) yang boleh dirumuskan sebagai mendengar adalah suatu proses yang aktif dan dengar adalah satu proses yang pasif. Pendengaran yang aktif merangkumi proses mendengar dengan tujuan untuk memahami, mengingati, menilai dan mengkritik. Mengikut Chuah (1987) dengar (pasif) adalah satu proses fisiologi yang melibatkan sistem saraf pendengaran di otak tetapi mendengar adalah satu proses yang lebih aktif, iaitu proses yang melibatkan bidang psikologi.

Dari segi kaunseling, mendengar yang terbaik adalah dengan mendengar secara empati isitu mendengar dengan menjiwai apa yang didengar oleh sebab dari sini timbul celik akal. Apabila hal ini terhasil maka para pelajar akan mencapai tahap nirwana kendiri, yang akhirnya dapat merealisasi dan menggunakan keupayaan dan intelektual secara maksimum dalam proses pembelajaran. Mendengar secara aktif bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan telinga, tetapi kepada kesemua pancaindera, terutama penglihatan, iaitu menerusi komunikasi tidak verbal.

Devine (1981) menyatakan bahawa dengan mendengar bukan sahaja menumpukan sepenuhnya perhatian tetapi melibatkan motivasi dan keadaan fizikal emosi yang mempengaruhi proses pendengaran itu sendiri. Proses mendengar berkait secara terus dengan proses berfikir. Berfikir dalam konteks ini melibatkan penggunaan proses mental dalam melakukan inferens, mengagakkan hasil, generalisasi, organisasi dan dalam membuat rumusan.

PROSES MENDENGAR

a) Mendengar deretan bunyi bahasa Individu mendengar bunyi dari unsur-unsur luar yang sengaja dihasilkan dengan maksud tertentu. Bunyi itu dapat didengar setelah ia dapat dikesan dari mana arah datangnya. Pada peringkat permulaan mendengar, hanya bunyi-bunyi yang jelas dan lantang sahaja yang dapat dikesan. Setelah mendegnar beberapa kali, barulah deretan bunyi itu didengar secara total. Proses ini hanya ditujukan kepada individu yang mempunyai alat artikulasi dan pancaindera dengar yang normal.

b) Memahami bunyi tersebut Sesuatu bunyi yang didengar itu dikaitkan dengan maksud tertentu. Apabila deretan bunyi didengarkan dan diikuti dengan tingkah laku tertentu dari penutur, pendengar akan berhubungkaitkan tingkah laku tersebut dengan deretan bunyi tersebut. Dalam perkataan lain, pendengar akan menghubungkaitkan benda yang dimaksudkan, atau tingkah laku yang dilakukann dengan bunyi yang dilafazkan. Proses ini yang berukangkali dilakukan akan menjadi kebiasaan kepada pendengar.

c) Menguasai makna beberapa deretan bunyi Di peringkat ini pendengar dapat memahami persamaan erti dan kelainan makna antara satu deretan bunyi dengan deretan bunyi yang lain, antara satu rangkai kata dengan satu rangkai kata yang lain dalam bahasa yang sama. Misalnya, bunyi yang menggunakan intonasi yang tinggi lagi keras menandakan perasaan marah. Bunyi yang menggunakan intonasi lemah melambangkan tanda manja, sedih, simpati dan sebagainya. Pendek kata, pendengar yang baik akan faham dan mengerti maksud setiap ujuran yang dilafazkan. Mereka bukan shaja boleh memaham malah boleh juga membuat interpretasi daripadanya.

d) Bertindak terhadap bunyi Peringkat ini hanya akan terlaksana setelah pendengar melalui ketiga-tiga peringkat tadi. Waktu pendengar akan membuat rumusan dan keputusan. Ia akan melakukan sesuatu setelah arahan dalam bentuk deretan bunyi bahasa dilafazkan.

PENTINGNYA MENDENGAR DENGAN AKTIF


Weaver (1972) mengatakan terdapat beberapa faedah penting mendengar dengan aktif dn antaranya adalah seperti yang berikut

i) Dengan mendengar secara aktif anda akan lebih banyak belajar. ii) Anda akan lebih banyak mengetahui apa yang diberitahu dan menjadi lebih berpengalaman lagi. iii) Anda akan menjadi seorang pendengar yang menyukai dan menghormati orang yang bercakap kepada anda.

iv) Dapat memberi tindak balas yang baik kepada orang yang sedang bercakap. v) Anda akan menjadi orang yang lebih tidak bergantung pada pendapat orang lain. Anda akan mengikut arahan dengan lebih baik, rapi dan anda membuat sedikit kesilapan dan mengurangkan kesilapan-kesilapan kecuaian. vi) Tidak menyentuh perasaan anda misalnya dalam masa perbincangan jika rakan anda berbincang tentang sesuatu tajuk dan anda tertinggal dan masih bertanyakan masalah yang sama akan memalukan diri sendiri.

Mengikut Barker (19710 terdapat tiga asas keuntungan daripada proses mendengar dengan aktif, iaitu:

i) mendengar membantu anda mengembangkan pengetahuan dan kemahiran. ii) Dapat memajukan perkembangan perbendaharaan kata dan kemudahan berbahasa. Mendengar merupakan asas pertama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. iii) Mendengar membolahkan anda melihat mesej yang penting dan tidak penting.

JENIS KEMAHIRAN MENDENGAR

a) Mendengar secara intensif Mendengar jenis ini dilakukan melalui latihan dan aktiviti yang formal yang biasanya dilaksanakan di bawah kelolaan dan pengawasan guru. Mendengar secara intensif boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama ia menekankan kepada latihan yang berpusatkan kepada kefahaman makna secara terperinci. Kedua, ia menekankan kepada latihan mendengar bahasa yang dituturkan.

Latihan yang berpusatkan kepada kefahaman makna secara terperinci boleh dijalankan dalam berbagai-bagai cara. Antaranya ialah: i) Mendengar arahan ii) Menjawab soalan kefahaman iii) Mendengar untuk mendapatkan maklumat iv) Membuat ringkasan v) Menyelesaikan masalah

Latihan Mendengar Bahasa Yang Dituturkan Setelah murid-murid memahami dan boleh menanggapi apa yang didengarnya, guru boleh meneruskan kerja mereka selanjutnya secara terperinci bahasa. Pada peringkat awal, murid-murid akan didedahkan kepada bahasa-bahasa yang asli iaitu bahasa yang belum dipermudahkan. Tujuan mendedahkan mereka kepada bentuk bahasa seperti ini adalah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa mereka boleh menterjemah sebahagian besar ciri-ciri bahasa walaupun mereka tidak memahami apa yang diperkatakan. Murid-murid dapat juga menyuburkan keyakinan diri mereka terhadap pembelajaran bahasa di samping memberi mereka peluang mendengar berbagai-bagai bentuk bahasa.

b) Mendengar Secara Ekstensif Latihan mendengar secara ekstensif adalah latihan yang dijalankan setelah murid-murid dapat menguasai kemahiran mendengar secara intensif. Mendengar secara ekstensif ini bertujuan untuk meluaskan penguasaan bahasa secara keseluruhan dan tidak lagi tertumpu kepada pengukuhan struktur tatabahasa atau yang seumpamanya. Latihan mendengar secara ekstensif biasanya dilakukan melalui aktiviti lanjutan daripada kemahiran mendengar yang telah sedia diperolehi.

Mendengar secara ekstensif menekankan aktiviti mendengar secara kritis dan logis. Murid-murid boleh menggunakan buah fikiran mereka untuk memperdebatkan apa yang didengarnya itu. Kemungkinan murid-murid boelh memberi komen daripada apa yang didengarnya, atau melengkapkan cerita, atau mencari isi penting daripada sebuahtafsiran dan sebagainya. Latihan mendengar seperti ini membantu menyediakan murid-murid untuk boleh memberi pandangan dan pendapat serta hujah dengan baik.

BENTUK KEMAHIRAN MENDENGAR

Bentuk-bentuk kemahiran mendengar boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah: a) Mendengar secara pasif Mendengar secara pasif adalah peringkat kemahiran mendengar yang paling rendah. Pada peringkat ini si pendengar biasanya tidak berupaya menangkap makna keseluruhan ujaran yang dilafazkan dalam sesuatu pertuturan atau percakapan yang didengarnya. Si pendengar juga jarangjarang dapat memahami dan mengingati serta menyebutkan semula perkara-perkara yang didengar itu. Banyak perkara yang boleh mendorong kanak-kanak mendengar secara pasif. Antaranya ialah, mungkin kerana bahan yang diperdengarkan itu tidak menarik minat mereka atau kerana bahan itu terlalu sukar untuk difahami dan tidak bermakna kepada mereka.

b) Mendengar Secara Bertelau-telau mendengar secara bertelau-telau berlaku dilalangan pelajar bahasa kedua. Kemahiran ini lebih tinggi tarafnya daripada kemahiran mendengar secara pasif. Dalam kemahiran ini, pendengar biasanya kurang mampu mendengar dan menangkap bahagian-bahagian ujaran tertentu dalam sesuatu pertuturan. Mereka kurang biasa mendengar dan bertutur atau berkomunikasi dalam bahasa itu.

c) Mendengar Tanpa Tindak Balas Mendengar tanpa tindak balas bermaksud pelajar-pelajar mendengar tetapi tidak membuat sebarang tindakan selepas itu. Hal ini berlaku kerana si pendengar tidak peka terhadap kata-kata yang diucapkan itu. Mungkin si pendengar tidak memahami sepenuhnya hubungan makna di antara kata-kata dalam ayat-ayat yang diucapkan menyebabkan mereka tiak memberi sebarang reaksi sama ada marah, sedih, simpati atau sebagainya.

d) Mendengar Secara Membuak-buak Hal ini berlaku dikalangan pelajar bahasa pertama. Pelajar hanya menebuk-nebuk kata atau rangkai kata yang didengar dan mengambilnya untuk tujuan tertentu. Di peringkat ini, kemahiran mendengar pelajar yang menuturkan bahasa itu masih rendah. Kemahiran mendengar secara menebuk ini juga berlaku di kelangan pelaJar bahasa ibunda. Ini berlaku kerana mereka pasti yang mereka cukup berupaya memahami dan menggunakan bahasa sendiri, walhal darjah kefahaman mereka terhadap bahasa itu adalah pada peringkat yang masih lemah.

e) Mendengar Dengan Beremosi Pada peringkat ini pendengar sudah mula mempunyai kemahiran dalam bahasa yang dituturkannya. Ini dikatakan begitu kerana pendengar dapat merasakan sesuatu hingga memberanngsangkan emosinya. Mereka sudah boleh mendengar, memaham dan bertindak terhadap ujaran tersebut.

f) Mendengar Secara Berhati-hati Mendengar di peringkat ini memerlukan seseorang itu mendengar dengan teliti dan secara bersungguh-sungguh. Dia harus menumpukan pendengarannya terhadap kata demi kata, rangkai kata demi rangkai kata dan ayat demi ayat di dalam sesuatu percakapan itu. Tujuan mendengar dengan teliti setiap ujaran yang dilafazkan ituadalah untuk menentukan supaya setiap butir yang dituturkan itu dapat difahami dengan tepat dan betul.

g) Mendengar Secara kritikal Mendengar secara kritikal biasanya berlaku setelah seseorang itu dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan baik. Pada peringkat ini kemahiran mendengar si pendengar itu telah mencapai tahap yang tinggi. Dia boleh menentukan kesahihan sesuatu fakta yang didengarnya.

h) Mendengar Dengan Pengamatan Mendengar dengan pengamatan biasanya berlaku di kalangan pelajar yang sudah boleh berfikir secara kritikal. Mendengar cara ini akan lebih bermakna jika proses mendengar itu berdasarkan kepada pengalaman si pendengar. Ini bermakna si pendengar itu akan lebih mudah memahami sesuatu ujaran yang dilafazkan jika ujaran-ujaran itu ada pertalian dengan pengalamannya.

i) Mendengar Secara Kreatif Kemahiran mendengar secara kreatif adalah kemahiran yang paling tinggi dan ia manjadi matlamat pengajaran bahasa lisan di peringkat mendengar. Pada peringkat ini, si pendengar akan menggunakan daya kreatifnya untuk mencipta sesuatu setelah ia dapat mendengar dengan baik sesuatu pertuturan. Ini bermakna ia dapat memahami ujaranujaran yang dikemukakan kepadanya dengan baik. Ia juga boleh membuat interpretasi, mengkritik dan membuat ulasan dan komen yang bernas dan jitu.

KEMAHIRAN BERTUTUR

Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan pelajar menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada keyakinan pelajar untuk bertutur serta penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai. Kegiatan melafazkan bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) manusia. Ia juga merupakan kemahiran berinteraksi menggunakan bahasa.

TUJUAN

GURU - Dapat memperbaiki kelemahan yang dimiliki oleh pelajar. - Dapat menjadi pencetus dan mampu memberikan intrepretasi yang betul. - Mengesan dan mengasuh pelajar supaya mahir dalam sebutan, boleh menggunakan nada (tone) dan intonasi yang betul dan lancer serta fasih dalam berbahasa. MURID - Murid dapat membezakan di antara sebutan dan intonasi yang betul dan sesuai dengan yang tidak betul dan kurang sesuai. - Dapat mengesan perbezaan makna yang dibawakan oleh intonasi yang berbeza walaupun menggunakan perkataan atau frasa yang sama tetapi dalam konteks yang berlainan.

KONSEP

a) Pertuturan merupakan gabungan bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan. b) Pertuturan berlaku di peringkat productive level. Ia berlaku setelah si penutur dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang didengarnya. c) Individu lebih banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada melalui kecerdasan otaknya d) Aspek fizikal, kesihatan, persekitaran dan jantina noleh mempengaruhi kemahiran bertutur. e) Pertuturan yang dapat dikuasai dengan baik akan menghasilkan tabiat berbahasa yang baik. Tabiat berbahasa yang baik itu pula akan membolehkan penghasilan interaksi dengan baik juga. f) Pertuturan yang baik boleh dikuasai dengan memberi tumpuan kepada aspek fonologi, struktur, intonasi penguasaan sistem bunyi.

ASPEK PERTUTURAN

a) Sebutan - murid2 telah diajar dan dilatih mengenal huruf dan bunyi setiap huruf, suku kata, perkataan, rangkai kata dan ayat. - Semua ini bertujuan untuk melatih murid2 supaya dapat menyebut sesuatu dengan tepat dan seperti yang sepatutnya mengikut bunyi, ejaan dan makna. b) Tekanan - Satu cara menyebut perkataan, frasa atau ayat dengan memberikan tekanan pada tempat2 tertentu. - Biasanya dilakukan pada suku kata. - Bertujuan untuk menandakan keras atau lembut sesuatu pengucapan itu. - Lambangnya ialah /?/. - Dalam BM, tekanan tidak membezakan makna dan digunakan untuk menyedapkan ayat sahaja seperti dalam sajak.

c) Panjang-pendek (Mora)(Harakat) - Kadar sesuatu bunyi itu diucapkan - Lambangnya ialah [:] , [::] adalah 2 mora , [.] adalah setengah mora. d) Kefasihan - boleh bercakap dan membunyikan kata dalam bentuk yang kemas, teratur, lancar, tepat dan jelas. e) Laras bahasa - kemampuan mengguankan bahasa dalam pelbagai konteks, suasana, atau situasi yang sesuai - melatih pelajar menggunakan bahasamengikut larasnya. - Bertujuan untuk berkomunikasi.

KECEKAPAN BERBAHASA BAGI KEMAHIRAN BERTUTUR ADALAH SEPERTI BERIKUT


a. Menyebut sesuatu perkataan dengan sebutan yang betul. b. Bertutur dengan fasih dan dapat memberi pendapat serta pandangan dengan jelas untuk melibatkan diri dalam interaksi sosial. c. Berbual dan berbincang tentang kehidupan yang berkaitan dengan diri, keluarga, dan masyarakat dengan menggunakan sebutan serta intonasi yang betul. d. Menyoal untuk mendapatkan maklumat dengan mengemukakan soalan secara jelas dan sopan. e. Menjawab secara spontan tentang sesuatu perkara atau isu yang dikemukakan terhadapnya.

Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran bertutur di kalangan pelajar

a. Mengadakan latih tubi sebutan untuk membetulkan kesalahan penyebutan yang telah dikenal pasti. b. Perbualan secara terpimpin, dialog, dan soal jawab boleh dijalankan untuk memberi peluang kepada pelajar bercakap tanpa perasaan segan, takut, dan bosan. c. Mempersembahkan satu daya kreatif berdasarkan skrip yang sedia ada atau yang dicipta oleh pelajar sendiri. d. Mengadakan pertandingan bercerita, perbahasan, forum, temu ramah, ceramah, syarahan, dan sebagainya. f. Membincangkan berita dan peristiwa semasa, membincang isi yang terdapat dalam satu gambar bersiri, membincang aspek-aspek satu filem atau slaid yang telah diperlihatkan.