Anda di halaman 1dari 17

OBJEKTIVITI SEJARAH

Pengenalan

Bidang Sejarah adalah merupakan bidang yang amat mementingkan aktiviti penelitian ke atas fakta-fakta sejarah (peristiwa) dengan penuh bertanggungjawab demi mencari dan mewujudkan kebenaran mengenai kehidupan pada masa telah pun berlalu atau yang lampau. Sejarawan akan mengumpulkan fakta-fakta sejarah dan menghasilkannya dalam bentuk penulisan atau pensejarahan.

Dalam membicarakan persoalan objektiviti dan subjektiviti di sini, permasalahan yang pertama perlu ditekankan ialah keterlibatan (involvement) seseorang sejarawan terhadap penyelidikannya atau kajiannya. Iaitu sama ada dia harus terikat (attached) atau terpisah (detached) daripada kajiannya. Ini kerana, menurut Edward Hallet Carr bahawa fakta-fakta yang dikumpul oleh ahli sejarah dari dokumen-dokumen, surat-surat dan sebagainya adalah ibarat ikan di atas papan penyiang si penjaja ikan'. Sejarawan itu memungut ikan itu, membawanya pulang, memasak dan menghidangkannya dalam apa cara yang menarik baginya. Justeru, sejarah yang tulen ialah sejarah yang mempunyai pemisah yang mutlak.

Maka dari sinilah, sejarawan menghadapi dua bentuk konsep yang menjadi penghalang (straitjackets) kepada segala usaha penelitian sejarahnya, iaitu konsep objektiviti dan konsep subjektiviti dalam pensejarahan. Hingga kini, perbahasan sudah berlarutan mengenai sama ada sejarah itu sewajarnya objektif atau subjektif. Persoalan yang menjadi isu paling penting dalam perbahasan para sejarawan ialah mengenai keupayaan ahli-ahli sejarah untuk menghasilkan penulisan yang bersifat objektif. Hakikatnya, ramai sejarawan tidak merasa senang dengan persoalan ini menyebabkan tidak wujud penyelesaiannya yang muktamad.

Terdapat dua aliran yang telah mempengaruhi pengertian sejarah ialah aliran rasionalisme dan aliran emperisme. Aliran rasionalisme bersifat subjektif dan didokong tokoh-tokoh seperti Benedetto Croce dari Itali, Arnold Tonybee dan R.G. Collingwood dari England. Manakala aliran emperisme bersifat objektif dan didokong oleh tokoh-tokoh seperti Leopold Von Ranke dari Jerman, Lord Acton dan J.B. Bury dari England.

Pengertian Konsep objektiviti


Objetiviti timbul dari kata asal objektif. Kamus Dewan memberi maksudnya sebagai suatu kenyataan atau fakta sebenar yang tidak dipengaruhi atau dikuasai oleh perasaan atau prasangka sendiri. Menurut pandangan Abdul Rahman Haji Abdullah dalam penulisan bertajuk Pengantar Ilmu Sejarah (1994), beliau mendefinisikan sejarah objektif sebagai sejarah sebagaimana terjadinya (histoire-realite). Pandangan ini selari dengan teori terkenal oleh Leopold Von Ranke, iaitu wie es eigentlich gewesen yang bermaksud seperti sebenarnya ia berlaku.

Muhd Yusof lbrahim mendefinisikan konsep objektif sebagai salah satu daripada beberapa sifat atau hakikat sejarah itu sendiri dan ia merupakan persoalan yang hakiki bagi sejarah dan pensejarahan. Menurut Barzun dan Graf dalam karya mereka bertajuk The Modern Researcher (1970) bahawa objektif adalah apa yang semua orang menyetujuinya atau pandangan yang benar. Aliran objektif ini didasari oleh tradisi emperisme John Locke dan positivesme Aguste Comte yang melihat adanya pemisahan di antara subjek dan objek.

Karya sejarah yang dikatakan bersifat objektif ini pada asasnya adalah suatu penulisan yang merupakan tafsiran atau penerangan terhadap sesuatu peristiwa sejarah dengan berdasarkan kepada sumbernya yang masih kekal. Hasil itu haruslah dipertahankan kebenarannya untuk sementara waktu sehinggalah wujudnya pentafsiran baru yang akan mengambil alih tempat tersebut.

Empat perkara dasar yang dilihat di dalam penulisan sejarah ialah ketepatan dan kesahihan di dalam fakta, kesempurnaan di dalam menyampaikan bukti, struktur logikal yang berkesan serta kelancaran persembahan. Bagi mencerminkan sifat objektif di dalam penulisan sejarah, seseorang sejarawan haruslah menyingkirkan sifat subjektif di dalam hasil penulisannya. Sebagai satu istilah ilmu sejarah, maka konsep objektif itu biasanya dilihat daripada dua sudut pengertian yang berbeza.

Pengertian yang pertama ialah objektif itu bermakna tujuan atau sasaran sesuatu sejarah itu dikaji atau ditulis. Maknanya ialah untuk apa atau siapa sejarah itu dikaji? Sebagai contoh ialah Tun Seri Lanang telah memperbaiki semula 'Hikayat Melayu' yang dibawa daripada Goa dan dinamakan Sulalatus Salatin dengan tujuan untuk memenuhi permintaan Sultan Abdullah Ma'ayah Syah serta menyukakan hati baginda untuk teladan serta iktibar bagi keturunan yang akan datang.

Pengertian yang kedua adalah lebih kontrovesi dan memerlukan perbincangan yang lebih luas serta mendalam lagi. Ini kerana ia dianggap sebagai sifat sejarah itu sendiri. la adalah merupakan persoalan yang intrinsik bagi sejarah dan pensejarahan. Objektif adalah dianggap sebagai sains tulin yang menganggap kebenaran sebagai sesuatu yang mutlak dan tepat. Leopold Von Ranke adalah sebagai pengasas agung aliran sejarah objektif ini.

Ranke berpendapat bahawa, sejarawan seharusnya berusaha untuk membuat satu persembahan tulen fakta-fakta yang berpandukan kepada penyelidikan rapi ke atas peristiwa-peristiwa lepas yang khusus dan nyata, dan berasaskan kepada tafsiran sumber-sumber yang asli dan kemasukan unsur moral hanya mendedahkan sejarah kepada prasangka dan berat sebelah yang boleh menggugat kewibawaannya sebagai satu bidang ilmu yang sahih.

Tradisi emperisme John Locke dan positivisme Aguste Comte telah menjadi asas kepada aliran sejarah objektif yang diperjuangkan oleh Leopold Von Ranke (1795 -1886). Kita juga sedar bahawa, matlamat pengajian sejarah adalah untuk menggambarkan kejadian-kejadian sebagaimana yang berlaku.

Pada tahun 1896, Lord Acton (1834 1902) telah melancarkan projek penulisan yang terkenal bertajuk "Cambridge Modern History" untuk melahirkan karya sejarah objektif. Dalam kata-kata aluannya, beliau menyatakan bahawa, biarlah gambaran para sejarawan tentang sesuatu peristi\va itu serupa sahaja dan memuaskan hati setiap pihak tanpa sebarang perasaan subjektif atau sikap berat sebelah (bias).

Aliran objektif ini adalah berasaskan kepada keyakinan tentang kemampuan memperolehi fakta sejarah secara muktamad. Selain daripada itu, sejarah adalah sejenis sains dan ia mampu menghasilkan karya sejarah yang bersifat saintifik dan objektif. Kesimpulannya ialah penulisan sejarah, tafsiran atau penerangan yang objektif adalah menjadi matlamat seseorang sejarawan yang tulen.

Di dalam mewujudkan hasil karya sejarah yang bersifat objektif, beberapa perkara harus diambil kira iaitu; Harus mencerminkan sikap yang jujur. Tidak ada bias tetapi adil dan berkecuali di dalam penulisan. Perlu memahami kaedah penyelidikan sejarah dan mengamalkannya di dalam penulisan. Seorang sejarawan haruslah menggunakan sumber yang secukupnya untuk mendapatkan fakta dan maklumat yang membolehkan ia membuat tafsiran secara adil dan saksama atau bersikap kritis.

Sejarawan tidak boleh membuat pentafsiran secara sesuka hati mengikut perasaannya demi untuk menyukakan sesuatu pihak atau mendapatkan keuntungan dan kepentingan. Tafsiran itu pula haruslah menggambarkan kebenaran tanpa memasukkan unsur pengadilan terhadap sesuatu peristiwa sejarah yang dikajinya itu.

Anda mungkin juga menyukai