Anda di halaman 1dari 4

MANIS BERACUN

KHAIRUNNISA SULAIMAN UTUSAN MALAYSIA

Rasanya tidak lengkap hidup tanpa kemanisan. Apa rasanya air kopi atau teh jika tidak ditambah gula? Sirap yang tawar atau sambal tumis yang hambar. Setiap hari kita pasti mengambil gula sama ada dalam makanan seperti kuih-muih, lauk-pauk dan teh tarik semasa sarapan atau sirap semasa makan tengahari. Tapi bolehkah kita hidup tanpa kristal putih yang membawa 'kemanisan' itu? Gula sebenarnya adalah kimia tulen. Dalam menjalani pemprosesan, semua nutrisi makanan semula jadi yang asalnya terkandung di dalam tumbuhan telah dikeluarkan. Gula yang ada di meja makan sekarang bukan lagi dalam bentuk jisim semula jadi kerana ia dikeluarkan melalui proses industri dengan melakukan penapisan sehingga menjadi sukrosa atau fruktosa tulen. Walaupun kebanyakan gula terhasil daripada pokok tebu atau ubi bit. Semasa proses industri semua vitamin, mineral, protein, enzim dan nutrien bermanfaat yang lain dikeluarkan daripadanya. Justeru pengambilan gula yang berlebihan boleh mengurangkan tahap kesihatan dengan meningkatkan tekanan darah dan paras kolestrol. Itu belum lagi dikira penyakit kronik lain seperti risiko kegagalan hati, obesiti, sakit jantung dan diabetes. Gula dan pemanis sebenarnya amat toksik kepada badan manusia dan sepatutnya dikelaskan sebagai alkohol oleh kerajaan seluruh dunia.

Komen ini diberikan sekumpulan penyelidik Universiti California, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bertajuk The Toxic Truth About Sugar dalam jurnal Nature bertarikh 2 Februari lalu. Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Dr. Robert Lustig juga pakar pediatrik yang terkenal kerana kuliahnya di YouTube menyarankan penguatkuasaan seperti cukai ke atas semua makanan dan minuman yang ditambah gula, melarang penjualan makanan bergula di dalam atau berhampiran sekolah dan letakkan had umur untuk membeli gula. Menurut beliau, gula membawa kepada perkembangan sindrom metabolik, obesiti, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung. Beliau menganggap fruktosa dan sukrosa menjadi penyebab masalah ini kerana ketoksikan meningkat jika dibandingkan dengan glukosa. Justeru dengan sejumlah kecil kalori dalam gula, kesan negatifnya amat jelas. Menurutnya, setelah gula memasuki aliran darah, kandungan gula dalam darah akan meningkat menyebabkan pankreas melepaskan insulin - yang diperlukan untuk mengubah gula menjadi tenaga. Apabila lebih banyak gula diambil bermakna lebih banyak insulin dilepaskan. Setelah paras insulin yang tinggi dilepaskan, kadar gula darah mulai berkurang dengan cepat sehingga menimbulkan pelbagai masalah tidak lama selepas mengambil makanan manis. Selain mengubah gula menjadi tenaga, insulin juga merangsang penyimpanan lemak. KETAGIH Akibatnya, besar kemungkinan anda akan mengalami kenaikan berat badan dengan pengeluaran insulin. Disebabkan bahaya gula, ada yang meletakkan keburukan gula setaraf dengan tembakau dan alkohol. Misalnya di negara maju seperti AS, lebih dua pertiga daripada populasinya lebih berat badan dengan separuh daripadanya mengalami obesiti. Menurut Dr. Robert, kira-kira 80 peratus mereka yang obes mengalami diabetes atau keadaan metabolik tidak seimbang. Malah kira-kira 75 peratus dana penjagaan kesihatan dibelanjakan bagi diet berkaitan dengan obesiti. Di seluruh dunia, obesiti adalah masalah kesihatan paling umum dalam banyak negara dan berkaitan penyakit kronik dengan diet seperti sakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser. Kebanyakan penyelidik melihat gula bukan hanya kalori kosong tetapi juga bahan kimia yang toksik jika diambil berlebihan. Dr. Robert membandingkan gula tambahan dengan tembakau dan gula yang toksik, membuatkan ketagih dan mempunyai kesan negatif kepada masyarakat. Tapi apa rasanya dunia tanpa gula? Tentu saja tawar dan hambar.

MENGHADAPI TEKANAN SECARA ISLAM


Oleh Profesor Dr. Osman Che Bakar UTUSAN MALAYSIA

RAMAI yang tertekan serta menderita apabila mengalami peristiwa atau musibah seperti kerosakan harta benda, kehilangan atau kegagalan dalam kerjaya, percintaan atau rumah tangga dan sebagainya. Musibah atau tekanan adalah satu peristiwa yang ditakuti dan tidak dikehendaki oleh mana-mana individu di dalam kehidupan seharian. Majoriti daripada kita akan bertindak-balas secara spontan sama ada mengeluh, memaki-hamun dan marah terhadap seseorang malah ada pula yang marah kepada takdir Tuhan. Individu yang terbabit dengan musibah mengalami gejala-gejala tekanan seperti bimbang, hilang tumpuan, cepat marah, tidak dapat tidur, hilang selera makan dan lain-lain lagi. Berdasarkan personaliti serta cara seseorang menangani sesuatu tekanan, ada yang merasakan kehidupannya sudah tidak bererti, menjadi panik dan merasakan yang dunia ini kejam terhadapnya. Situasi ini akan lebih menyakitkan apabila ada pula insan sekeliling yang memberi ulasan-ulasan negatif. Sering dikatakan musibah didatangkan sebagai hukuman atau peringatan daripada Allah SWT tetapi hakikat dan tujuan yang sebenar, hanya Allah yang maha mengetahui. Bolehkah kita mentakrifkan apa yang ditentukan Allah SWT mungkin benar atau sebaliknya? Lupakah kita ujian-ujian yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah dan para nabi jauh lebih hebat dan apakah mereka ini melakukan banyak kesalahan serta kita lebih baik daripada mereka? Tetapi sebagai seorang Islam, kenapa kita tidak melihat dan pelajari akan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran serta sunah Rasulullah melalui hadisnya. Allah SWT menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286, bahawa Dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ini bermakna setiap individu yang mengalami musibah tersebut akan mampu mengatasinya . Kerap seseorang individu menjadi kecewa, marah dan susah hati apabila sesuatu hajat yang diingini tidak berjaya atau sesuatu perkara lain pula yang berlaku. Mereka lupa akan firman Allah SWT; Adakalanya sesuatu itu tidak baik bagimu meskipun kamu begitu menghendakinya dan adakala pula sesuatu itu baik bagimu meskipun kamu tidak menyukainya, sesungguhnya aku mengetahui tetapi kamu tidak mengetahuinya. Kita terlalu mengharapkan keseronokan, kemudahan serta kenikmatan dunia, sudah tentu ia tidak salah kerana itu adalah sifat naluri seseorang manusia. Allah SWT juga menyuruh kita berbuat demikian seperti firmannya; Dan hendaklah kamu mencari kebaikan akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia.

Masalahnya, ramai di antara kita tidak mempedulikan janji Allah SWT tentang kehidupan akhirat yang mana ia adalah kehidupan yang kekal sebenarnya dan lebih baik. Jika kita benar bertakwa dan yakin, majoriti daripada tekanan yang kita alami tidak memerlukan kita bersedih dan merasa kecewa yang melampau bahkan dapat melihatnya secara lebih positif. Pun begitu, janganlah ada antara kita beranggapan kita tidak memerlukan rawatan dan ubat-ubatan bahkan menasihati ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan untuk tidak mendapatkan rawatan memadai hanya dengan reda. Ramai antara kita yang tersalah faham mengenai konsep reda dalam Islam. Reda pada Islam bukan bererti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar.

SIKAP TERBUKA Ubat-ubatan dan kaunseling akan melengkapkan proses pemulihan emosi seseorang individu. Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah tersebut, berkongsilah masalah anda dengan saudara-mara atau rakan karib atau mana-mana individu yang anda percaya dapat membantu. Cubalah amalkan mengambil sikap terbuka dan fikirlah secara positif dan objektif dalam usaha menyelesaikan sesuatu kesulitan. Bermula sekarang, kita harus mengambil pendekatan tidak mengeluh bahkan banyakkanlah menyebut Allahuakbar, Subhanallah, Astaghfirullah berulang-kali kerana jika kita mengeluh, memaki hamun contohnya apabila terpijak paku, kita meneriak celaka sambil memaki hamun, percayalah kita akan lebih merasa sakit. Tetapi jika kita ingat dan yakin akan apa yang diberitahu Allah SWT dan ajaran Rasulullah, kita akan merasa kurang sakit, reda serta mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan banyak berdoa serta dapatkan rawatan dan pertolongan supaya kita beroleh kejayaan, di dunia apalagi di akhirat.

Anda mungkin juga menyukai