Anda di halaman 1dari 2

Pelajaran Silat Seni Gayong

Berdasarkan kepada nama silat ini, iaitu Silat Seni Gayong, maka sistem pelajarannya adalah berasaskan kepada nama ini. Secara amnya, seseorang pesilat akan diajar pergerakan tangan dan kaki secara sistematik. Peringkat ini digolongkan sebagai pelajaran bersilat. Manakala peringkat kedua ialah bahagian seni. Peringkat seni ini ialah peringkat pengenalan kehalusan dan ketepatan pergerakan bagi tujuan membuat serang balas yang berkesan ke atas sasaran yang boleh melemahkan lawan. Latihan Silat Seni Gayong biasanya dijalankan di tempat yang tidak berbumbung - hanya dipagari dinding yang tinggi untuk menghalang sesiapa yang tidak berkenaan daripada memasuki gelanggang. Biasanya pesilat dalam sesuatu gelanggang boleh mencapai ke angka 50 orang atau lebih. Latihan Silat Seni Gayong dimulakan dengan upacara Membuka Gelanggang, iaitu dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan diikuti dengan memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T. meminta agar dijauhkan segala mara bahaya semasa latihan sedang dijalankan. Selepas melakukan aktiviti pemanasan badan dan senaman gerakan asas(jurus), pesilat akan berpasangan untuk berlatih suatu siri pergerakan atau gerakan yang direka untuk menghindarkan serangan mengejut dan menyekat lawan daripada terus bertindak agresif(asas elakan/elak pukul). Biasanya terdapat beberapa orang pembantu jurulatih yang hadir untuk mengawal pasangan yang bergelut dan membetulkan mana-mana gerakan yang silap, jika perlu, tangkapan yang berbahaya serta gerakan serang balas yang dilakukan tanpa disedari. Ahli-ahli baru melakukan latihan kekuatan fizikal selama sebulan untuk melonggarkan otot-otot dan tendon. Kemudian mereka berlatih untuk memperbaiki teknik menumbuk dan teknik asas menendang dan menangkis. Pergerakan menyerang hanya diajar dari peringkat bengkung Pelangi Hijau.Pemegang bengkung Pelangi Hijau juga diajar cara-cara mengunci pergerakan lawan, melepaskan tangkapan, jatuhan dan gulingan. Pesilat juga didedahkan kepada kawasan-kawasan berbahaya pada tubuh. Kesemua gerakan yang dipelajari adalah bertujuan untuk membentuk kemahiran membuat serang balas. Walaupun pesilat dimahirkan dengan teknik menyerang menggunakan tangan dan kaki, tetapi ia hanyalah untuk membiasakan rakan sepelatih untuk bertindak balas ke atas serangan yang berasaskan kepada teknik tersebut. Serangan yang dibuat tanpa menggunakan kaedah yang betul amat mudah untuk dipatahkan, sebaliknya serangan yang terkawal dari segi sasaran, imbangan badan, dan penumpuan tenaga perlulah dipatahkan dengan kemas dan tepat. Maka untuk membuat serang balas yang berkesan, seseorang pesilat haruslah dimahirkan dengan serangan-serangan yang betul kaedahnya. Kemahiran yang perlu diperoleh oleh pesilat dalam latihan silatnya ialah: 1. Gerakan membuka tapak dan serangan kaki dan tangan. 2. Gerakan serang balas jenis tangkapan - buah tapak kunci mati. 3. Gerakan serang balas ke atas kuncian - buah tapak kunci hidup.

4. Gerakan serang balas jenis pukulan - serangan harimau. 5. Gerakan jatuh pulih - senaman anak harimau. 6. Gerakan serangan bersenjata dan serang balas ke atas serangan bersenjata. Latihan Silat Seni Gayong diakhiri dengan upacara Menutup Gelanggang, dan pesilat dikehendaki membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebagaimana pada upacara Membuka Gelanggang. Kebanyakan mata pelajaran yang diperturunkan oleh Mahaguru Dato' Meor Abd.Rahman adalah berupa tangkapan kunci mati. Tangkapan kunci mati ini boleh dikategorikan seperti berikut: melalui tangan kosong, serangan bersenjata ataupun gerak daripada kaki yang diserang oleh pihak musuh. Silat Seni Gayong mempunyai 349 "seni", yang berupa seni tangkapan kunci mati(tangan kosong/bersenjata), serangan maut, buah pukulan, dan ulasan serangan balas(tapak hidup).Ini bermakna walau bagaimana sekali pun keadaan serangan pihak lawan, pesilat Seni Gayong masih mampu bertindak untuk menyelamatkan diri di samping dapat mematahkan serangan lawan. Pelajaran dalam Silat Seni Gayong pada asalnya mempunyai tujuh buah tangkapan sahaja untuk setiap peringkat. Dari tujuh buah tangkapan ini kemudian dipecah-pecahkan sehingga menjadi 49 pecahan untuk setiap peringkat, baik dari peringkat tangkapan tangan kosong hinggalah ke peringkat Seni Gayong(permainan yang menggunakan senjata tradisi Melayu).

Anda mungkin juga menyukai