Anda di halaman 1dari 5

KECANTIKAN DALAMAN DARI PERSPEKTIF ISLAM MAJALAH DAKWAH, NOVEMBER-DISEMBER 2011 Kita biasa dengar perkataan orang itu

cantik, perempuan itu cantik dan acap kali juga kita dengar banyak penganjuran berkaitan dengan ratu cantik. Setakat yang diketahui, saya tidak pernah mendengar orang menganjurkan ratu cantik dalaman, kecantikan rohani atau kecantikan dalaman. Kecantikan adalah suatu perkara yang lumrah dalam fitrah manusia. Semua manusia cenderung kepada perkara yang molek-molek dan cantik-cantik sama ada kepada aspek fizikal maupun aspek-aspek kehidupan lahiriah yang lain. Jarangjarang orang memperkatakan mengenai kecantikan dalaman. Selalunya orang akan menilai seseorang yang lain daripada segi kecantikan luaran yang serba subjektif. Naum demikian, kriteria penilaian yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. adalah lebih baik. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [Surah Al-Hujurat: 13] Ayat ini menjelaskan bahawa sesungguhnya semulia-mulia insan di sisi Allah ialah orang yang lebih tinggi takwanya di antara manusia kamu dan bukannya yang lebih tinggi keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah juga Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya akan keadaan manusia dan amalan-amalan manusia semuanya. Saya berpendapat kecantikan dalaman insan terletak kepada sifat takwa yang juga merupakan kriteria utama kemuliaan insan itu sendiri. Hal ini juga telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras, keturunan dan harta benda kamu, akan tetapi Allah melihat kepada keimanan dan amalan-amalan kamu. Pengertian hadis ini menjelaskan bahawa di sisi Allah s.w.t., perkara yang dinilai oleh Allah ialah keimanan dan amalan-amalan manusia dan tiada selain daripada itu. Rupa paras, keturunan dan harta benda akan beransur-ansur menjadi terhakis. Paras rupa daripada muda remaja akan menjadi tua, keturunan akan berakhir dengan kematian ataupun ketiadaan zuriat dan harta benda pula akan berkurangan dan ditinggalkan di dunia apabila berlaku kematian. Hadis ini juga menjelaskan bahawa iman dan amalan manusia adalah amat signifikan dalam konteks hubungan insan dengan Allah s.w.t. Kayu pengukur berimannya seseorang itu ialah ia beriktikad dan meyakini dengan sebenarnya segala rukun iman (arkan al-iman) beserta dengan tuntutan-tuntutannya dan menunaikannya manakala kayu pengukur Muslimnya seseorang ialah dengan pengakuan dua kalimah shahadahnya, iktikad serta keyakinannya yang jitu dengan tuntutan-tuntutan Islam yang tidak berobah dan berbelah bagi serta praktikpraktiknya. Ini adalah teras dan tunjang kecantikan dalaman yang patut diutamakan. Jika hati kita tunduk kepada keimanan, fizikal dan jasmani kita akan turut cantik. Begitulah sepatutnya ia berlaku.

Orang yang cantik dalamannya ialah mereka yang benar-benar berada di atas landasan al-Quran dan al-Sunnah. Orang-orang Muslim yang hanya bershahadah tetapi tidak melakukan dosa mensyirikkan Allah, tidak menunaikan tuntutan shahadah, tuntutan rukun iman dan tuntutan Islam ataupun meninggalkan salah satu atau sebahagian daripadanya adalah sama ada tergolong dalam kelompok Muslim fajir, Muslim fasiq ataupun Muslim Asi. Mereka ini tergolong dalam kelompok yang tidak cantik dalamnya walaupun secara fizikal kelihatan cantik. Mereka tetap akan diazab oleh Allah sesuai dengan sebanyak mana dosa yang telah mereka lakukan dan bezanya mereka dengan seorang yang kafir ialah orang kafir akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Kecantikan dalaman yang utama ialah mengesakan Allah pada Tauhid Rububiyyah dan pemerintahanNya. Iaitu beriktikad bahawa Allah sebagai pemilik mutlak dan memiliki serta menguasai seluruh alam, Pencipta setiap sesuatu dan Pemberi rezeki. Kesemuanya di alam semesta dan bimasakti berada di bawah kehendakNya, pengetahuan dan ilmuNya serta kebijaksanaanNya yang Maha Suci. Oleh itu setiap perkataan, perbuatan atau iktikad yang mengingkari elemen khusus Tauhid Rububiyyah ini atau pengingkaran terhadap sebahagian atau sedikit daripadanya akan membawa kepada kufur dan murtad. Satu ciri penting berkaitan dengan kecantikan dalaman ialah mereka itu tidak mempunyai sifat kesombongan dan kebongkakan. Firaun contohnya; mengaku sebagai rabb bahawa beliau adalah pemilik mutlak sesuatu di atas alam, pemberi rezeki atau pentadbir yang menafikan Allah yang lebih berhak ke atas segalagalanya. Begitu juga dari segi sejarah kisah Namrud yang takabbur (besar diri kerana bongkak) yang berhujah dengan Nabi Ibrahim bahawa beliau boleh menghidupkan dan mematikan manusia [Al-Baqarah: 258]. Orang yang tidak mempunyai ciri kecantikan dalaman ialah mereka yang mengingkari Tauhid al-Asma wa al-Sifat iaitu mengingkari bahawasanya Allah sahaja yang layak baginya nama-namaNya dan sifat-sifatNya sepertimana yang telah disabitkan oleh Allah dan Rasulallah s.a.w ataupun mengingkari penafian Allah berkenaan diriNya atau mengingkari penafian yang dilakukan oleh Rasulallah s.a.w. berkenaan sifat-sifatNya. Termasuk juga mereka yang tidak mempunyai kecantikan dalaman ialah mereka yang menafikan atau menidakkan salah satu, sebahagian atau kesemua sifat-sifat Allah, sebagai contoh menafikan ilmuNya bersifat sempurna dan menyeluruh, qudrahNya, hayahNya, berdiri dengan sendiriNya, SamaNya, BasrNya dan lain-lain sifat yang telah disabitkan di dalam al-Quran ataupun Sunnah. Juga termasuk dalam kelompok ini ialah mereka yang mentakwilkan sifat-sifat dan nama-nama Allah yang mengurangkan atau menghadkan kesempurnaanNya. Sebagai contoh mengurangkan atau menghadkan ilmu Allah dengan mengatakan bahawa Allah tidak mengetahui perkara-perkara juziyyat dan tafsilat (cabangan dan detail) sungguhpun seseorang itu mengakui bahawa Allah berilmu secara ijmali (ringkas). Ataupun menyerupakan sifat-sifat itu dengan sifat-sifat makhluk seperti mengatakan bahawa Allah Mendengar sepertimana manusia mendengar, melihat seperti manusia dan lain-lain yang seumpamanya ataupun mengatakan Allah itu berjisim seperti golongan Mujassimah.

Ciri seterusnya mereka yang tidak mempunyai kecantikan dalaman ialah mereka yang mengisbatkan atau menetapkan mana-mana sifat kekurangan ataupun kemustahilan bagi Allah s.w.t. yang telah dinafikan oleh Allah dan RasulNya seperti mengatakan bahawa Allah itu mempunyai anak, bersekutu atau penolong, mengantuk, tidur, lalai, mati, ataupun mana-mana sifat kekurangan yang ada pada makhluk. Begitu juga jatuh kafir mereka yang mengaku atau menetapkan diri mereka bersifat seperti Allah. Sebagai contoh mengatakan bahawa aku mengetahui seperti Allah atau sipulan bijak seperti Allah. Mereka yang tidak mempunyai kecantikan dalaman juga ialah orang yang menzahirkan keberimanannya dengan ucapan dan perlakuan sedangkan hatinya langsung tidak beriman, inilah juga dikatakan sebagai nifaq hati. Al-Quran menggambarkan tindakan orang munafiq jenis ini sebagai percubaan menipu Allah dan orang-orang beriman tetapi mereka tidak menyedari bahawa mereka memperdaya diri mereka sendiri (Al-Baqarah: 8-9). Mereka mengaku beriman ketika berhadapan dengan orang beriman tetapi apabila kembali kepada pemimpin mereka mereka mengatakan bahawa mereka hanyalah olok-olok. (Al-Baqarah:14). Muslim pula boleh tergolong dalam lingkungan mereka yang nifaq amalan seandainya mereka melakukan perbuatan berikut seperti yang pernah diceritakan dalam satu hadis: apabila bercakap ia berbohong, apabila menjalin perjanjian ia khianati, apabila diberi amanah dikhianati, apabila bergaduh dia melampaui. Orang yang mempunyai kecantikan dalaman ialah mereka yang bertauhid kepada Allah di dalam ubudiyyah dan ia adalah bersepadu dan tidak terpisah-pisah. Tidak ada satu segipun yang boleh kita sekutukan atau isbatkan Allah dengan makhluk atau selain daripadaNya. Sebab itu persepsi tauhid yang bersepadu ini haruslah kita jelmakan di dalam setiap detik dan bentuk aktiviti kehidupan dan lapangan yang kita ceburi. Bermula daripada sistem nilai, sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem politik, sistem pemerintahan, sains dan teknologi, kebudayaan, perundangan dan lain-lain lagi dari segenap segi haruslah tunduk kepada mentauhidkan Allah dan bermatlamatkan mendapat keredaan Allah biar sebesar mana sekalipun matlamat sekundernya. Orang yang mempunyai kecantikan dalaman mempunyai matlamat menjadikan keredaan Allah sebagai matlamat hidup dan beraktiviti di samping berada di bawah landasan shariah dan akidah. Inilah yang harus dijadikan matlamat primer. Haruslah dijauhi barang sedikit unsur-unsur yang mensyirikkan Allah, bermatlamatkan kebendaan, pengagungan terhadap makhluk atau sistem hidup selain daripada Islam dan keyakinan hidup terhadap ideologi-ideologi dan aliran-aliran pemikiran yang tidak bersumberkan wahyu. Umat Islam hasil daripada pengaruh epistemologi dan world view Barat telah jauh terjerumus dalam kancah kemelut dan dilema keyakinan dan pegangan hidup justeru kerana keliru atau tidak yakin dengan Islam serta jauh daripada kebenaran persepsi Tauhidi di dalam segenap bidang kehidupan mereka. Kita sebagai Muslim dan Mukmin perlukan satu perubahan dan anjakan paradigma (paradigm shift) ke arah meletakkan Tauhid Allah sebagai matlamat kita, apa yang boleh saya katakan sebagai Tauhidic Paradigm (Paradigma Tauhidi) iaitu semua aktiviti di dunia ini menjurus ke arah kefahaman Tauhid dan berdasarkan Tauhid untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t. Di samping itu janganlah kita salah fahami bahawa umat Islam hanya beraktiviti secara ritual dan spirituil.

Orang yang mempunyai kecantikan dalaman ialah mereka yang kembali kepada konsep al-Din yang mencakupi keseluruhan hidup berdunia dan berakhirat dengan memberikan al-Wala (kepimpinan) kepada mereka yang benar-benar berjuang di jalan Allah dengan cara berhikmah seperti yang diamalkan kerajaan Malaysia sekarang, berjuang secara berjamaah yang pegangan, dasar dan pedoman hidup adalah berlandaskan Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Terdapat tujuh kelompok yang bakal mendapat naungan Allah, pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang membangun dengan beribadah kepada Allah (kerap beribadah), individu yang bergantung hatinya kepada masjid (selalu berjemaah), dua individu yang saling mengasihi antara satu sama lain di jalan Allah, kedua bergaul dan berpisah kerana Allah, seseorang yang dipujuk wanita berkedudukan dan cantik (untuk berzina), tetapi ia berkata: Aku takut kepada Allah!, seseorang individu yang bersedekah dan merahsiakannnya hinggakan tangan kanannya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kirinya dan seseorang yang berzikir (mengingati) Allah ketika bersendirian lalu menitiskan air mata. Inilah sifat orang yang mempunyai kecantikan dalaman yang diiktiraf oleh Allah s.w.t. dan mendapat keredaanNya. Orang yang mempunyai kecantikan dalaman ialah mereka yang pada asasnya berpegang kepada prinsip-prinsip peraturan Allah dalam hubungan manusia dengan Tuhan, manusia sesama manusia, manusia dengan alam sekitar dan manusia dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Dalam pembinaan kecantikan dalaman, manusia sebenarnya adalah pemegang amanah Allah. Dunia ini adalah amanah Allah untuk dimanfaatkan dan dimakmurkan mengikut ketentuan yang Allah perintahkan. Usaha-usaha manusia harus dilakukan mengikut landasan-landasan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Sebab itu, Islam memberikan perhatian yang serius kepada pembangunan insan berbanding dengan pembangunan-pembangunan lain kerana di tangan insanlah terletaknya inisiatif dan pelaksanaan membangunkan bidang-bidang lain. Jika hati dalaman tidak cantik, maka akan hancur musnahlah semua pembangunan kerana dirosakkan oleh mereka yang tidak mempunyai akhlak mahmudah. Secara dasarnya, apabila baik hati insan itu maka baiklah juga pelaksanaannya menurut tuntutan Islam. Walau bagaimanapun, ini tidaklah boleh diertikan Islam sebagai mengenepikan pembangunan-pembangunan lain. Islam juga mementingkan pembangunan material, negara, masyarakat dan keluarga. Oleh yang demikian, bidang-bidang ini mesti disepadukan dengan pembangunan insan tadi. Takwa merupakan ciri terpenting kecantikan dalaman. Kecantikan dalaman perlu dibangunkan dengan cara menjuruskan hati, perasaan dan matlamat kehidupan untuk mematuhi titah perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangannya. Taqwa merupakan paksi kepada kecantikan dalaman. Setiap perbuatan dinilai baikburuknya berdasarkan neraca Allah s.w.t. dan bukannya manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Perbandingan syurga yang dijanjikan untuk orang yang bertakwa itu ialah mengalir air sungai di bawahnya, makanannya tidak habis-habis, begitu juga naunganNya. Begitulah kesudahannya orang yang bertakwa, dan kesudahan orang yang kafir itu ialah api neraka. [Surah al-Rad: 35] Menurut Islam, Allah telah melantik manusia sebagai khalifahNya di atas mukabumi ini. Manusia diberikan beberapa kualiti untuk mentadbir dunia dan hal ehwalnya,

diberikan tanggung-jawab dan amanah untuk memenuhi tuntutan-tuntutan Allah dengan bentuk fizikal yang terbaik dan bersesuaian. Oleh yang demikian, pembalasan-pembalasan baik dan buruk akan diberikan oleh Allah s.w.t. berkenaan dengan pelaksanaan tuntutan-tuntutan Allah tadi. Manusia akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak untuk segala aktiviti-aktivitinya yang dijalankan di atas dunia ini. Manusia yang mempunyai kecantikan dalaman akan mengunakan seluruh keupayaan akal dan potensinya untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t. Segala tenaga dan keupayaannya patut ditumpukan pada membangunkan dunia ini menurut kehendak Allah s.w.t. mengikut cara yang dikehendaki olehNya. Manusia patut bersedia menjawab persoalan-persoalan yang akan ditanya oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak berkenaan dengan dirinya, keluarga, jiran, masyarakat, aktiviti ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perundangan, penguatkuasaan undang-undang, urusan pemerintahan, negara, peperangan dan sebagainya. Kejayaan sebenar (AlFalah) dan pembangunan kecantikan dalaman hanya akan dapat diraih sekiranya manusia memberikan sepenuh tumpuan kehidupannya untuk menjawab persoalanpersoalan ini. Misi para Nabi adalah mensucikan diri manusia dalam kecantikan dalam. Konsep (Tazkiyyah) mengambil kira penyucian manusia dalam hubunganhubungan manusia-Tuhan, manusia sesama manusia, manusia-makhluk dan manusia-alam sekitar. Konsep ini akan mengharmonikan kesejahteraan alam semesta dan manusia dan mempertingkatkan hubungan-hubungan di atas untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Orang yang mempunyai kecantikan dalaman ialah mereka yang mengamalkan keseimbangan (al-Tawazun) antara tuntutan dunia dan akhirat. Keseimbangan juga dituntut antara pembangunan rohani dan jasmani, sprituil dan material, akal dan nafsu. Pembentukan nilai kecantikan dalaman yang seimbang dengan perbuatan akan membawa kita kepada persoalan nilai antara dua elemen asas dalam keseimbangan pembangunan menurut perspektif Islam. Tuntutan dunia dan akhirat mestilah berdasarkan kriteria marufat (baik) dan munkarat (buruk atau keji). Kecantikan dalaman amat berkait rapat dengan misi agung Rasulallah s.a.w. iaitu misi menyempurnakan akhlak yang mulia. Terdapat sebuah hadis yang memperingatkan tentang akhlak yang boleh dijadikan sandaran pembentukan kecantikan dalaman. Sabda Rasulallah s.a.w. yang maksudnya seperti berikut: Tiga perkara yang menyelamatkan, iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan dikhalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kekaguman seseorang terhadap dirinya sendiri. Rumusan Kecantikan dalaman insan akan terbentuk apabila insan menganggap dirinya sentiasa berada di bawah pemantauan Allah s.w.t.. Oleh kerana itu, hal ini amat berkaitan dengan konsep ihsan bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, sekiranya kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu. Di dalam hadith yang lain berkenaan ihsan, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Allah telah mewajibkan ihsan pada setiap sesuatu Allah mewajibkan kita berbuat kebaikan dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Dalam konteks orang yang memiliki kecantikan dalaman, konsep ihsan sentiasa diaplikasikan dalam segenap aspek kehidupan termasuklah ihsan terhadap sesama manusia, ihsan terhadap makhluk dan alam sekitar.

Anda mungkin juga menyukai