Anda di halaman 1dari 5

Fiqh Ibadah: Imamkanlah Jenazah Ibu Bapa Kita & Panduan Mudah Menunaikannya

By Fathullah Al-Haq | March 26, 2012 at 12:32 pm | 2 comments | Dakwah & Motivasi, Fekah & Ibadah, Keluarga Islam

Apabila ditanya kepada setiap ibu bapa yang mengharapkan keredaan Allah SWT. Adakah mereka ingin anak-anak lelaki mereka atau menantu-menantu lelaki mereka agar salah seorang daripadanya boleh mengimamkan solat jenazah dan mendoakan mereka? Maka sudah pasti itu adalah impian setiap daripada mereka yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Namun, adakah kita sebagai anak sudah bersedia untuk menunaikan perkara tersebut dengan sebaiknya. Sedangkan suasana hari ini kita lebih gemar menolaknya supaya orang lain seperti imam masjid dan orang lain yang tidak ada pertalian dengan kita mengimamkan solat jenazah ibu bapa kita, buat hanya sekadar menuntut tuntutan fardu kifayah. Adakah kita seperti itu? Walhal, itulah khidmat yang terakhir yang amat diharapkan oleh setiap yang bergelar ibu bapa. Di saat getir menghadapi saat kematian, maka mereka mengharapkan ada doa-doa yang ikhlas supaya dapat mendoakan keampunan buat mereka sebelum masuk ke liang lahad, yang mana lebih hebat dan mencabar daripada alam dunia ini. Di dalam hadis sahih mengatakan bahawa: Apabila telah mati seorang insan, maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu; Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya. (Direkodkan oleh Muslim, no. 4310)

Berdasarkan hadis ini, kita dapat lihat hikmahnya apabila Allah SWT hanya menerima doa-doa yang ikhlas. Kita bayangkan apabila orang lain yang mengimamkan jenazah ibu bapa kita, maka kita tidak tahu sejauh mana keikhlasan mereka dalam menunaikan tugasan tersebut. Tetapi apabila kita yang mengimamkan solat jenazah ibu bapa kita, sudah pasti kita dapat mengukur sendiri sejauh mana keikhlasan yang ada pada diri kita selaku anak yang ingin mengharapkan keredaan dan keampunan buat ibu bapa kita yang sedang berada di alam barzakh. Jika setiap daripada kita menghayati kata-kata Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur. Lalu Umar Al-khattab RA bertanya: Adakah akan dikembalikan akal-akal kita (di dalam kubur kelak)? Nabi menjawab: Ya, ia akan dikembalikan sebagaimana keadaan kamu sekarang. (Direkodkan oleh Ahmad No 6603, 2/172: Ibnu Hibban, 7/387 Majma Zawaid, 3/47) Maka sudah pasti kita akan kesian memikirkan keadaan mereka di alam barzakh kelak jika amalan mereka kurang dan dosa mereka banyak. Sedarlah bahawa kita ada peluang untuk menyelamatkan mereka di sana iaitu dengan kesolehan kita supaya kita manfaatkannya buat ibu bapa kita setelah mereka berganding bahu dan bersusah-payah membesarkan kita serta memberikan didikan yang sempurna. Mari kita pasakkan niat yang ikhlas agar suatu hari nanti kita dapat mengimamkan solat jenazah serta dapat mendoakan mereka dengan penuh khusyuk. Belajarlah, kerana ia sangat mudah.

Antara kaedah di dalam solat jenazah adalah seperti berikut: Setelah kita memandikan mayat tersebut dan kemudian kita kafankannya dengan sempurna, maka kita boleh meletakkannya di hadapan untuk disolatkan secara berjemaah. Kedudukan ringkas mayat ketika solat adalah Imam berdiri berhadapan dengan kepala mayat lelaki. Sekiranya mayat tersebut perempuan maka imam berdiri berhadapan dengan bahagian tengah badan mayat tersebut.

Cara solat jenazah: 1. Niat sewaktu angkat takbir: Sahaja aku menunaikan solat ke atas mayat ini 4 takbir fardu kifayah menjadi imam/makmum kerana Allah Taala. Setelah melakukan takbir yang pertama, maka kita perlu membaca surah al-fatehah secara sirr(senyap) sehingga habis. Jika hendak baca surah lazim selepas membaca al-fatehah pun tidak mengapa, kerana ianya sunat.

2. Setelah habis membaca al-fatehah pada takbir yang pertama, maka tidak perlu ruku dan sujud. Kita terus sahaja angkat takbir yang kedua iaitu dengan membaca selawat Ibrahimiyah seperti kita membaca selawat selepas tasyahud ketika tahiyat akhir solat. Bacaannya seperti berikut:

3. Setelah selesai membaca selawat Ibrahimiyyah di atas. Kita angkat takbir lagi sekali tanpa sujud dan ruku iaitu dengan membaca doa ini: Maksudnya: Ya Allah, berikanlah ampunan kepadanya, sayangilah dia, maafkan dan ampunilah dia, muliakan tempatnya, luaskan tempat masuknya, serta mandikanlah dia dengan air, salju dan embun; bersihkanlah dia dari kesalahan-kesalahan sebagaimana baju putih dibersihkan dari kotoran; berikanlah dia pengganti tempat tinggal yang lebih baik dari tempat tinggalnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya; masukkanlah dia ke syurga serta lindungilah dia dari azab kubur (atau azab neraka).

Dia berkata (yakni Auf): Sampai aku berharap seandainya aku yang menjadi jenazah tersebut. (Direkodkan oleh Muslim, no. 963)

Jika tidak mampu membaca doa panjang di atas, kita boleh membaca doa yang pendek seperti ini:

4. Setelah selesai membaca doa di atas, maka sekali lagi kita mengangkat takbir dan terus membaca doa ini: Maksudnya: Ya Allah, janganlah kamu menghalangi kami daripada mendapat pahalanya dan janganlah kami terfitnah selepas kematiannya. Ampunilah kami dan ampunilah dia. (Direkodkan oleh Abu Daud, no. 3201)

5. Selepas sahaja kita membaca doa di atas, kita terus memberi salam ke kanan dan ke kiri seperti kita lakukan pada akhir solat. Hanya dengan empat kali takbir. Kita sudah selesai mengimamkan jenazah tersebut. Walaupun ia nampak mudah dan senang, tetapi sebenarnya ia amat bernilai di sisi Allah SWT. Kerana sudah pasti, ia adalah ibu bapa kita. Maka kita akan bersungguh-sungguh mendoakan keampunan dan kesejahteraan mereka. Hasilnya, Allah akan menerima doa tersebut kerana kita berdoa dengan hati yang benar-benar tulus dan ikhlas.

Ringkasan Susunannya 1. Imam berdiri berhadapan dengan kepala mayat lelaki. Sekiranya mayat tersebut perempuan maka imam berdiri berhadapan dengan bahagian tengah badan mayat tersebut 2. Menyusun tiga saf (barisan) 3. Niat di dalam hati untuk mengerjakan solat Jenazah

4. Takbiratul Ihram (takbir pertama) 5. Membaca surah al-Fatihah 6. Takbir kedua 7. Membaca selawat ke atas Nabi 8. Takbir ketiga 9. Mendoakan ke atas mayat 10. Takbir keempat 11. Mendoakan ke atas mayat 12. Memberi salam ke kanan dan ke kiri

Akhirnya, menunaikan solat jenazah adalah perkara yang mudah. Apa salahnya jika kita yakinkan diri untuk menjadi imam jenazah buat ibu bapa kita tanda penghormatan terakhir kita kepada mereka. Kasihanilah mereka seperti mereka mengasihani kita sejak daripada kecil dahulu. Maafkanlah, andai kata mereka jahil dalam mendidik kita. Supaya mereka bahagia hidup di sana, di pangkuan tuhan yang Maha Pengampun. Percayalah, bahawa kita adalah syafaat besar buat mereka di sana.

Anda mungkin juga menyukai